Isnin, 16 Ogos 2010

Islam Mengangkat Darjat Insaniah Wanita

SMAHADZIR

Kedudukan Wanita Pada Zaman Jahiliah


Kehidupan wanita pada zaman jahiliah iaitu di negara Arab dan di dunia secara umum, adalah di dalam kehinaan dan kerendahan. Khususnya di bumi Arab, para wanita dibenci kelahiran dan kehadirannya di dunia. Sehingga kelahiran bagi mereka, adalah awal dari kematian mereka. Para bayi wanita yang dilahirkan pada masa itu segera dikuburkan hidup-hidup di bawah tanah. Kalau pun para wanita dibiarkan untuk terus hidup, mereka akan hidup dalam kehinaan dan tanpa kemuliaan.

Perilaku jahiliah ini diabadikan dalam firman Allah s.w.t, yang ertinya: ‘Ketika bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh.’ (surah At-Takwir: 8-9). Wanita yang sempat hidup dewasa, mereka dilecehkan dan tidak memperoleh bahagian dalam harta warisan. Mereka dijadikan sebagai alat pemuas nafsu para lelaki belaka. Setelah puas direguk, segera dibuang, tak ada harga dan nilai. Pada masa itu juga, para lelaki berhak menikahi ramai wanita tanpa batas, tidak mempedulikan akan keadilan dalam pernikahan.

Kedudukan Wanita Dalam Islam


Kedudukan wanita diangkat dari bentuk-bentuk kezaliman dan Islam mengembalikan kedudukannya kepada darjat insaniyah. Seperti firman Allah s.w.t, yang bermaksud: ‘Wahai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kalian dari lelaki dan perempuan.’ (surah Al-Hujurat: 13)

Allah menegaskan bahawa wanita bersyarikat dengan kaum lelaki dalam prinsip kemanusiaan mereka. Sebagaimana mereka jua bersyarikat dengan lelaki dalam hal pahala dan dosa sesuai dengan amal perbuatan mereka. ‘Barangsiapa yang berbuat amalan kebaikan dari lelaki mahupun perempuan dan dia adalah orang mukmin maka Kami akan hidupkan dia dalam kehidupan yang baik, dan Kami akan balasi mereka dengan yang lebih baik daripada yang mereka lakukan.’ (surah An Nahl: 97)

Allah s.w.t juga menjadikan para wanita sebagai pemimpin di rumah tangga suaminya, sebagai pemimpin bagi anak-anak suaminya. ‘Wanita adalah pemimpin di dalam rumah suaminya dan akan ditanya tentang kepemimpinannya itu.’

Menjaga kaum wanita pula, maka Islam membatasi poligami bagi lelaki tidak boleh lebih dari empat. Itu pun dengan syarat kaum lelaki harus mampu berbuat adil dalam mempergauli para wanita.

Isteri Idaman Kerjaya Wanita Mulia

Sungguh kaum wanita telah melewati suatu masa yang mana mereka ditempatkan pada kedudukan yang tidak layak, tidak proporsional dan sangat memilukan, tidak ada perlindungan bagi mereka, hak-hak mereka dihancurkan, kemahuan mereka dirampas, jiwa mereka dibelenggu, bahkan ketika itu mereka berada pada kedudukan yang amat rendah dan hina.

Pada zaman Romawi, seorang suami boleh menetapkan hukuman mati kepada isterinya jika suaminya menghendaki. Bangsa Romawi menganggap bahawa wanita adalah sama dengan harta dan perabot rumah tangga, sementara bangsa Yahudi menganggap wanita adalah najis atau kotor, dan yang lebih buruk lagi adalah sikap orang Nashrani yang mempersoalkan kewujudan wanita, apakah wanita itu manusia yang memiliki jiwa atau tidak?!

Yang pada akhirnya perlakuan buruk ini mencapai puncaknya dengan menganggap wanita sebagai sumber keburukan, di mana wanita dikuburkan hidup-hidup, sebagaimana yang dilakukan oleh bangsa Arab jahiliah.

Setelah melalui berbagai macam kebiadaban dan perlakuan pahit sepanjang masa, muncullah cahaya Islam yang menempatkan wanita pada kedudukan yang adil untuk melindungi kehormatan mereka. Islam memberikan hak-hak wanita secara sempurna tanpa dikurangi, juga meninggikan darjat wanita yang masa sebelumnya mereka dihina dan direndahkan sepanjang sejarah.

Islam memproklamirkan bahawa wanita adalah manusia sempurna, memberikan hak-haknya secara wajar dan manusiawi serta menjaga mereka agar tidak dijadikan pelampiasan syahwat semata-mata yang diperlakukan seperti binatang. Islam menjadikan wanita sebagai unsur yang memegang peranan penting dalam membangun masyarakat yang beradab.

Untuk mencapai tujuan itu, Islam menjadikan kasih sayang antara suami dan isteri sebagai penjaga kelangsungan hidup berumah tangga. Kecintaan dan kasih sayang seorang wanita kepada suaminya merupakan bukti adanya karakter yang kuat dari sifat alamiah yang ada pada dirinya, sehingga hal itu akan menghindarkan dirinya dari berzina atau mencari perhatian lelaki lain.

Di antara kebahagiaan seorang suami adalah dikurniai-Nya isteri yang solehah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, yang bermaksud: ‘Dan di antara kebahagiaan adalah wanita solehah, jika engkau memandangnya maka engkau kagum kepadanya, dan jika engkau pergi darinya (tidak berada di sisinya) engkau akan merasa selamat atas dirinya dan hartamu. Dan di antara kesengsaraan adalah wanita yang apabila engkau memandangnya engkau merasa enggan, lalu dia melontarkan kata-kata kotor kepadamu, dan jika engkau pergi darinya engkau tidak merasa selamat atas dirinya dan hartamu.’ (hadis riwayat Ibnu Hibban dan lainnya dalam As-Silsilah ash-Sahihah hadis 282)

Dalam sabda baginda s.a.w yang lain, yang bermaksud: ‘Dan isteri solehah yang menolongmu atas persoalan dunia dan agamamu adalah sebaik-sebaik (harta) yang disimpan manusia.’ (hadis riwayat Baihaqi dalam Syu’abul Iman, Sahihul Jami’ 4285)

Oleh itu, isteri solehah adalah idaman bagi setiap suami soleh di setiap waktu dan tempat. Isteri idaman adalah wanita mukminah, wanita solehah yang jiwanya sebagai cerminan ilmu syar’i yang hanif, akidahnya murni, akhlaknya agung, dan perangainya baik, untuk mendapatkannya harus diperhatikan hal-hal berikut:

Cara Memilih Isteri Idaman


Memilih wanita kerana harta, keturunan, kecantikan dan agamanya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, yang ertinya: ‘Wanita itu dinikahi kerana empat hal: Hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaknya engkau utamakan wanita yang memiliki agama, (jika tidak) nescaya kedua tanganmu akan berdebu (miskin merana).’ (hadis riwayat Al-Bukhari, Fathul Bari 9/132)

Dengan memilih wanita yang berasal dari lingkungan yang baik dan karakter yang benar-benar solehah maka akan menghasilkan ketenangan dalam hidup berumah tangga. Kerana adat kebiasaan dan gaya hidup suatu kaum sangat berpengaruh terhadap keperibadiannya.

Diutamakan yang gadis sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, yang ertinya: ‘(Nikahilah) gadis-gadis sesungguhnya mereka lebih banyak keturunannya, lebih manis tutur katanya dan lebih menerima dengan sedikit (qanaah).’ Dan dalam riwayat lain: ‘Lebih sedikit tipu dayanya.’ (hadis riwayat Ibnu Majah No.1816 dan dalam As Silsilah ash Sahihah, hadis No. 623)

Diutamakan wanita yang subur atau tidak mandul, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, yang ertinya: ‘Kahwinilah wanita yang penuh cinta dan yang subur peranakannya. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya jumlah kalian di antara para nabi pada hari kiamat.’ (hadis riwayat Imam Ahmad 3/245 dari Anas, dikatakan dalam Irwaul Ghalil hadis ini sahih)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA