ADA suatu genre penulisan yang
dipanggil sebagai alternate history,
atau sejarah alternatif. Ia boleh ditulis sama ada dalam bentuk fiksyen, atau
bukan fiksyen. Tetapi asasnya ia mengkisahkan semula sejarah dalam bentuk andaian
kata. Maknanya kalaulah sesuatu peristiwa berlaku secara berlainan, maka apakah
yang akan terjadi sekarang?
Di Amerika Syarikat, antara
penulis fiksyen sejarah alternatif yang terkenal adalah Harry Turtledove.
Beliau menulis banyak novel sejarah alternatif. Antaranya ialah senario di mana
gambaran yang boleh berlaku jika Jerman dan Jepun menang dalam Perang Dunia
Kedua dahulu. Beliau juga andaikan apa yang boleh berlaku jika pihak
Confederate menang dalam Perang Saudara di Amerika Syarikat.
Banyak senario yang boleh
ditulis mengenai sejarah alternatif ini. Ada penulis membuat andaian apakah
yang akan berlaku jika Britain menjadi salah sebuah negeri dalam Amerika
Syarikat. Ada pula yang membuat andaian apa yang akan berlaku pada dunia jika
komunis menguasai Washington.
Terdapat pula sebuah novel yang
mengisahkan apa yang akan berlaku andai kata Empayar British tidak tumbang
tetapi sebaliknya berubah menjadi Komanwel di mana semua tanah jajahannya
menjadi negeri dalam empayar itu. Oleh kerana penduduk terbesar Komanwel
British itu berada di India, maka ibu negaranya juga dipindahkan dari London ke
Delhi. Malaysia juga menjadi salah sebuah negeri dalam Komanwel British ini.
Bagi orang Islam pula, mungkin
adalah menjadi sesuatu yang menarik untuk menggambarkan keadaan di mana jika
Jerman dan sekutu-sekutunya iaitu Turki menang dalam Perang Dunia Pertama, dan
lanjutan daripada itu kerajaan Uthmaniah terus kekal menjadi suatu kuasa besar
dengan memerintah satu wilayah penting dunia meliputi kawasan Teluk. Dengan
wilayah kekuasaannya meliputi Afrika Utara, Asia Barat dan Balkan, negara
Uthmaniah ini pasti menjadi kuasa besar yang mampu menghalang sebarang
kebangkitan Amerika dan Rusia. Tanpa minyak Teluk, dunia Barat tidak akan dapat
bangkit. Tetapi lebih menarik lagi jika penjelajahan Portugis ke Asia dapat
disekat.
Andai kata jurumudi Islam di Zanzibar tidak membantu Vasco da Gama belayar hingga ke India, maka kapal-kapal Peringgi tidak akan memusnahkan Melaka pada tahun 1511.
Sejarah alternatif boleh juga
difikirkan bahawa andai kata Kesultanan Melaka dapat dipertahankan hingga ke
abad ke-20, maka negara Melayu Melaka yang meliputi sebahagian besar Nusantara
boleh muncul sebagai negara bangsa yang besar seperti mana China, India dan
Jepun. Tidak timbul Tanah Melayu dijajah Belanda dan British. Tidak timbul
masalah kaum yang datang dari China dan India. Tetapi mungkin wujud masalah
lain pula.
Maka bila bercakap mengenai
sejarah alternatif, adalah menarik untuk memikirkan apa yang akan berlaku jika
Malaysia yang asal, iaitu termasuk Singapura wujud hingga ke hari ini. Apakah
yang akan terjadi? Lee Kuan Yew ada memberi pandangannya mengenai andai kata
Singapura terus berada dalam Malaysia dalam wawancaranya dengan The New York Times. Mungkin Malaysia
menjadi lebih maju kerana adanya Singapura. Baginya pula, masalah perkauman
mungkin dapat diselesaikan.
Terhadap inilah Tun Dr Mahathir
memberi jawapan bahawa keadaannya mungkin lebih buruk lagi. Hubungan perkauman
adalah lebih teruk lagi dan boleh memporak-perandakan negara. Sementara bagi
orang Melayu, iaitu andai kata PAP mentadbir negara ini, maka kedudukan mereka
adalah seperti apa yang ada di Singapura. Realitinya ialah orang Melayu tidak
akan mampu bersaing dalam apa yang disebut sebagai meritokrasi. Ini kerana apa
yang disebut sebagai meritokrasi adalah memihak kepada mereka yang lebih
pandai, cerdik, kaya dan rajin. Orang Melayu walaupun layak untuk diberikan
biasiswa dan pinjaman perniagaan akan kalah dengan pihak lain kerana peruntukan
terhad dan sudah pasti akan dibolot oleh mereka yang lebih cemerlang.
Sejarah alternatif adalah suatu
bidang subjektif kerana perkembangan manusia terlalu kompleks untuk ditentukan.
Apabila tidak berupaya untuk memahami kesemuanya, maka apa yang boleh disebut
hanyalah dengan menyifatkannya sebagai takdir. Tetapi cuba bayangkan kalau
Malaysia tidak diwujudkan. Hakikatnya ialah Singapura di bawah Lee Kuan Yew
memperjuangkan percantuman pulau itu dengan Tanah Melayu. Tunku Abdul Rahman
amat keberatan kerana masalah perkauman. Bagi Tunku, biarlah Singapura terus
menjadi pangkalan British dan Tanah Melayu berkembang menjadi sebuah negara
yang aman, sentosa dan berbahagia. Orang Melayu dapat hidup mengamalkan agama
dan budayanya. Mungkin tidaklah semaju bangsa lain tetapi cukup untuk hidup dan
memastikan anak cucu mendapat pelajaran dan seterusnya memperoleh pendapatan
yang lebih baik, sekurang-kurangnya dapat keluar daripada kemiskinan.
Masalahnya orang Melayu dan
Tanah Melayu tidak hidup terpencil. Mereka berada di tengah-tengah pergolakan
dunia. Persaingan Amerika dan Rusia menyebabkan Singapura terancam dan
kepentingan British tergugat. Akhirnya Singapura dibenarkan bercantum dengan
Malaya, maka tertubuhlah Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan