Sejarah telah mencatatkan bahawa tanggal
di mana Abrahah menyerang Kaabah bersamaan dengan kelahiran junjungan besar
kita, Nabi Muhammad s.a.w. Ia adalah kejadian yang besar maknanya dan mempunyai
hikmah yang tersendiri.
Kisah kebiadapan Abrahah untuk
membinasakan Kaabah tersemat dalam banyak kitab sirah. Malahan Al-Quran
merakamkan episod tersebut di dalam surah Al-Fiil daripada ayat 1
sehingga ayat 5 sebagai pengajaran kepada manusia supaya tidak berlaku bongkak
dengan Allah s.w.t.
Abrahah adalah seorang gabenor
kepada raja Najasyi di Habsyah. Beliau beragama Kristian Orthodox. Abrahah pada
awalnya bukannya seorang gabenor tetapi hanya panglima kepada seorang wakil
raja Najasyi yang diutuskan untuk memerangi seorang pembesar Najran di Yaman
yang zalim. Pembesar tersebut dikenali sebagai Zul Nawwas.
Kezaliman raja tersebut
bertitik-tolak daripada pembunuhan beramai-ramai penganut Kristian di Yaman.
Cerita kezaliman Raja Zul Nawwas ada diabadikan dalam Al-Quran dalam surah
Al-Buruj ayat 4 sehingga ayat 9. Allah menggelar penganut Kristian yang
dibunuh oleh raja tersebut sebagai ‘orang-orang beriman’. (Surah Al-Buruj 85:8)
Namun, selepas pembesar tersebut
tewas, wakil Raja Najasyi mula bertindak luar batasan dan berlaku zalim. Ia menimbulkan
kemarahan Abrahah. Abrahah dengan sokongan tentera yang setia kepadanya
memerangi wakil raja Najasyi tersebut. Maka berlakulah pertarungan satu lawan
satu. Abrahah memenangi pertarungan tersebut namun hidung beliau luka parah
akibat terhunus pedang lawannya.
Dengan kemenangan tersebut, Abrahah
telah menjadi raja di Yaman. Beliau mendirikan gereja dan memperbaiki kemudahan
di sekitar tanah jajahannya. Walau bagaimanapun, sikap bongkak dan cemburunya
mula menguasai diri apabila menyaksikan gereja miliknya tidak mendapat sambutan
sebagaimana sambutan terhadap Kaabah di Mekah. Insiden yang dikaitkan dengan
penghinaan gereja yang dibina juga menyemarakkan api dengki dan bongkaknya.
Beliau mengambil keputusan
untuk membinasakan Kaabah pada tahun 570 Masehi dengan menggunakan tentera
bergajah miliknya. Perjalanan yang ditempuhi daripada Yaman menyaksikan
beberapa peninggalan bersejarah seperti laluan tentera bergajah, telaga dan
inskripsi kuno di batuan-batuan sekitar Yaman dan Mekah.
Abrahah dan tentera bergajah
dihancurkan Allah s.w.t dengan lontaran batu Sijjil daripada neraka yang
diriwayatkan sebesar sebiji kacang yang mana telah dibawa oleh
burung Ababil. Lontaran batu tersebut bagaikan hempasan peluru berpandu
sehingga menghancurkan seluruh tentera bergajah miliknya. Allah s.w.t
mengibaratkan mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat. (Surah Al-Fiil
105:5)
Abrahah diriwayatkan telah
meninggal dunia semasa dalam perjalanan pulang ke Yaman. Abrahah cedera teruk
akibat terkena hanya satu lontaran batu Sijjil di badannya.
Laluan tentera bergajah Abrahah
terletak di kawasan berdekatan Taif dan mengadap ke Hijjaz. Kawasan ini
dikatakan laluan tentera bergajah Abrahah dan juga tentera berkudanya. Laluan
ini diperbuatkan daripada batu granit yang setiap satunya tidak mempunyai saiz
yang sama. Terdapat juga sebuah tempat yang dikatakan menjadi kem tentera
Abrahah untuk berehat. Orang Arab menggelarkan tempat ini sebagai Laluan
Gajah.
Telaga tentera Abrahah pula dipercayai
pernah digali oleh tentera Abrahah di sekitar Mekah sebelum bergerak untuk
membinasakan Kaabah. Telaga itu dipercayai berjumlah 5 buah kesemuanya.
Kemungkinan besar untuk menampung gajah serta kuda yang berpuluh-puluh ekor
banyaknya. Melihat kepada telaga tersebut, peperangan dan pengepungan tersebut
memakan masa berbulan-bulan lamanya.
Inskripsi Mengenai Abrahah
Sememangnya tiada langsung
pernyataan tentang kemusnahan tentera Abrahah diserang burung Ababil mahupun
keinginan mereka memusnahkan Kaabah. Akan tetapi, daripada sudut yang lain, ia
menunjukkan watak Abrahah memang wujud dan sememang seorang yang mempunyai ego
yang tinggi. Daripada sudut yang lain, ia menunjukkan inskripsi ini bukan
dicipta atau direka oleh seseorang yang memiliki pengetahuan tentang Al-Quran
atau hadis kerana tiada pernyataan tentang Nabi Muhammad atau datuknya, Abdul
Mutallib. Inskripsi ini kemungkinan besar ditulis oleh seseorang atas arahan
Abrahah sendiri. Di bawah adalah maksud inskripsi tersebut:
‘Dengan kuasa Allah
Yang Maha Kuasa dan juruselamat (Messiah) Raja Abrahah Zeebman, Raja Saba’a, Zuridan,
dan Hadramaut dan Yaman dan puak-puak gunung dan pantai menulis ayat-ayat
ini ke medan perang menentang puak Ma’Iklan, pertempuran
al-Rabiya dan pada bulan ’Dhu al Thabithan’, berjuang semua Bani A’amir dan
melantik Raja Abi Jabar dengan Kinda dan
Al-Bishar bin Hasan dengan Sa’ad, Murad, dan Hadra-maut di hadapan tentera menentang Bani Amir dari Kinda dan Al di lembah Zu
Markh dan Murad dan Sa’ad di lembah Manha dalam
perjalanan untuk Serban dan membunuh dan menawan dan
mengambil harta rampasan dalam kuantiti yang besar dan Raja
berperang di Halbandan mencapai Ma’ad dan mengambil harta
rampasan dan banduan, dan selepas itu, menakluk Omro bin al-Munzir
(Abrahah) yang dilantik anak (Omro) sebagai pemerintah dan kembali dari Hal Ban
(halban) dengan kuasa yang Maha Berku-asa dalam bulan A’allan Zu pada
tahun 62 dan 600.’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan