APABILA melihat slogan ‘Selamatkan
Bumi’ timbul tanda tanya di hati saya, apakah bumi yang hendak diselamatkan,
atau sebenarnya untuk menyelamatkan manusia itu sendiri?
Bumi adalah seketul batu yang
mengelilingi matahari. Apa yang berlaku ke atasnya hanyalah merupakan reaksi
dan tindak balas fizik dan kimia hasil daripada keadaan matahari, dan
kesemuanya mengikut hukum alam. Tidak timbul bahawa bumi hendak diselamatkan
atau tidak. Ia muncul daripada serpihan batu-batu daripada dentuman besar yang
menjadikannya mengelilingi matahari.
Dengan mengikut hukum alam yang
ditetapkan oleh Allah s.w.t, maka bumi berkembang dalam keadaan yang pelbagai.
daripadanyalah timbul suasana yang boleh ada benda-benda hidup, organisma,
tumbuhan dan haiwan, termasuk manusia. Bumi bergolak dengan pelbagai peristiwa
berlaku sepanjang hayatnya yang berjuta-juta tahun. Kalaulah apa yang
disebutkan sebagai hayat itu adalah kemunculan planet bumi hinggalah ia
berakhir nanti apabila musnah dijangka berlaku apabila matahari juga mengakhiri
kewujudannya.
Tetapi apakah benar manusia
boleh menyelamatkan bumi? Selamatkannya daripada apa? Buat masa ini isu bagi
manusia ialah perubahan iklim. Manusia melihat bahawa bumi sedang sakit kerana
perbuatan manusia melalui tamadun, pembangunan dan kemajuan sains serta
teknologi. Manusia gemar melihat benda-benda lain menurut pengalamannya
sendiri. Mereka memandang seolah-olah bumi itu organisma hidup. Ia boleh sakit
dan mengakhiri hayatnya. Tetapi bumi hanyalah batu yang berubah mengikut aksi
dan reaksi yang dikenakan ke atasnya.
Memang ada teori atau konsep
yang disebut sebagai Gaia, dicadangkan oleh James Lovelock bahawa bumi adalah
organisma hidup. Bagaimana ia berfungsi memang kelihatan sebagai benda hidup.
Iaitu dengan manusia tinggal di dalamnya. Bagi mereka yang terlibat dengan
gerakan alam sekitar, konsep bahawa bumi ini organisma hidup bukan saja menarik
tetapi berguna dalam usaha memelihara persekitaran. Tetapi kalau difahamkan
bahawa sesuatu benda hidup mestilah makan dan membiak, maka bumi bukannya benda
hidup. Ini kerana bumi tidak makan dan membiak.
Namun jika ditakrifkan bahawa
cahaya matahari itu adalah makanannya, dan pembiakan bumi itu berbentuk
benda-benda hidup di dalamnya termasuk manusia, maka bumi wajar dianggap
sebagai benda hidup. Apabila disebut planet hidup dan planet mati, maka
perbandingannya adalah antara bumi dan Marikh. Planet Marikh dianggap mati
kerana tidak ada benda hidup di dalamnya. Ia dilihat kering kontang dan
sebarang penemuan air akan menguja manusia. Begitu juga bulan. Ia dilihat
sebagai benda mati, yang kering kontang dan mengelilingi bumi.
Tetapi bumi dianggap hidup
kerana di dalamnya ada benda hidup. Sedangkan benda-benda hidup ini muncul
kerana keadaan planet bumi ini sendiri. Bukan saja apa yang berlaku dalam bumi
yang menjadikannya hidup dalam erti kata menyebabkan munculnya kehidupan tetapi
kesan daripada benda-benda luar yang dianggap tidak hidup. Tentunya kehidupan
di bumi amat bergantung kepada matahari, bulan dan keseluruhan planet-planet di
sistem suria.
Adakah matahari dan bulan itu
benda hidup? Atau matahari hanyalah seperti dapur gas yang mengeluarkan tenaga
untuk disimbahkan ke bumi. Sementara bulan, walaupun benda mati tetapi kesannya
terhadap kehidupan di bumi adalah besar sangat. Begitu juga di bumi. Banyak
benda yang dianggap tidak hidup, termasuklah peralatan teknologi ciptaan
manusia memberi pengaruh kepada kehidupan manusia.
Maknanya benda mati menyumbang
kepada kehidupan. Sedangkan benda hidup pula boleh membawa kepada kematian atau
kehancuran. Umpamanya sesuatu pemangsa akan membunuh mangsanya. Ia mematikan.
Tetapi daripada kematian mangsanya itu, ia menjadi makanan kepada pemangsa
untuk terus hidup.
Apakah bulan dan Marikh yang
tidak hidup itu adalah sebenarnya memberi kehidupan kepada bumi? Dan adakah
matahari itu dianggap hidup kerana ia sedang aktif mengeluarkan tenaga, yang
digunakan pula oleh bumi. Di atas muka bumi pula, apabila tanah-tanah yang
subur dengan memiliki tumbuh-tumbuhan yang segar dan menghijau, maka ia
dianggap hidup. Sementara kawasan-kawasan yang kering kontang, sama ada di
gurun padang pasir atau benua Antartika dianggap mati. Tetapi tidakkah apa yang
dianggap mati itu sebenarnya memberikan kehidupan kepada bahagian permukaan
bumi yang lain?
Kini kawasan Artik sedang mencair
kerana kepanasan global. Sementara lapisan ozon di atas Antartika semakin
melebar. Perubahan iklim sedang berlaku. Manusia berhimpun dan berfikir
bagaimana hendak menyelamatkan bumi akibat perubahan iklim ini. Paling boleh
mereka mungkin melewat-lewatkannya. Tetapi bumi tetap berubah. Cumanya,
perbuatan manusia telah mempercepatkan perubahan itu kepada keadaan yang
akhirnya memudaratkan kehidupan di muka bumi ini.
Apa yang hendak diselamatkan
ialah kehidupan di muka bumi. Bukannya bumi yang hendak diselamatkan. Bumi
tetap sepertinya dengan sebarang perubahan hanyalah mengikut hukum alam yang
sedang berlaku. Manusia juga adalah sebahagian daripada alam yang mengikut
hukumnya tanpa terdaya untuk berubah.
Jelas bagi manusia, kehidupan
amat berharga. Dengan adanya kehidupan di muka bumi, maka dapatlah muncul
manusia yang mampu berfikir mengenai kewujudan alam ini. Justeru, slogan ‘Selamatkan
Bumi’ itu hakikatnya bermaksud ‘Selamatkan Manusia’. Untuk apakah manusia ada
di muka bumi? Untuk berfikir. Jadi ia sebenarnya ‘Selamatkan Pemikiran Manusia’.
Tetapi untuk apa?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan