Di dalam
kitab suci Al-Quran terdapat sejumlah watak yang sangat misteri. Allah s.w.t
hanya menceritakan kisah-kisah mereka sahaja namun tidak pula Allah s.w.t
memperincikan dengan jelas tentang fizikal dan umur mereka dalam firman-Nya. Sebenarnya
ini adalah kelebihan Al-Quran sebagai mukjizat terbesar umat Islam berbanding
kitab-kitab lain yang diturunkan sebelumnya kepada Rasul yang terdahulu
daripada junjungan besar Muhammad s.a.w.
Tujuan Al-Quran
diturunkan kepada umat Islam adalah sebagai pembimbing kita untuk terus berada
di jalan yang lurus dan dengan yang demikian, Al-Quran hanya mengambil iktibar
daripada kisah-kisah insan yang Allah s.w.t sebutkan dalam Al-Quran tanpa perlu
Allah s.w.t perincikan siapakah mereka itu. Adalah tidak penting untuk Allah
memberitahu hamba-Nya dengan lebih terperinci kerana isi pentingnya yang perlu
hamba-Nya teladani adalah kisah-kisah mereka.
Namun, manusia
tetap manusia. Watak-watak misteri dalam Al-Quran sebenarnya terus menjadi
persoalan kepada umat Islam sejak daripada zaman Rasullulah s.a.w lagi.
Kisah-kisah mereka terus kita teladani dan ambil pedoman namun watak seperti
Zulkarnain, Lukman al-Hakim, Khidir a.s, tiga orang Rasul dalam surah Yassin, tujuh
sahabat gua (Ashabul Kahfi) dan sebagainya terus menjadi bahan kajian sejak
zaman berzaman. Tidak salah untuk umat Islam dan para cendekiawan Islam untuk
terus mengkaji kerana ia adalah kebaikan untuk umat Islam sejagat selagi ia
tidak melanggar batas-batas syariat Islam.
Kisah Nabi
Khidir a.s termaktub di dalam surah al-Kahfi ayat 60-82. Namun, kisah mengenai
Khidir ini penulis lebih fokuskan mengenai siapakah sebenarnya Khidir
berdasarkan hadis-hadis daripada Shahih Bukhari dan juga penyelidikan daripada
beberapa manuskrip dan artikel mengenai insan yang menyamai peribadi Khidir a.s.
Semoga ia memberi manfaat kepada pembaca semua. Insya-Allah.
Nabi Khidir a.s
‘Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis)
kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis)
kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).’
Kisah
mengenai insan yang dikenali sebagai Khidir telah diceritakan oleh Allah s.w.t
dalam surah al-Kahfi daripada ayat 60 sehingga ayat 82. Walau bagaimanapun, Allah
s.w.t tidak pula memberitahu bahawa insan tersebut adalah Khidir. Allah s.w.t
hanya menyebut sebagai ’seorang hamba di antara hamba-hamba kami’ untuk
merujuk kepada insan yang dikenali sebagai Khidir ini.
Dalam ayat
60 sehingga 82, Allah s.w.t menceritakan bagaimana Nabi Musa a.s pergi mencari
ilmu dengan seorang yang sangat alim dan tinggi ilmunya. Ilmu yang tinggi itu
dianugerahkan oleh Allah s.w.t kerana ketakwaan dan kezuhudan beliau. Insan
yang dikenali sebagai Khidir itu telah memberi kita seribu satu pengajaran
terutama dalam pencarian ilmu terutama ilmu akhirat.
Dalam
penyelidikan semasa penulis menulis artikel ini, terdapat dakwaan yang
mengatakan bahawa Musa yang diceritakan oleh Allah s.w.t adalah Musa yang
berlainan daripada Nabi Musa daripada Bani Israel. Musa yang dimaksudkan
adalah Musa bin Misha’ atau Manasseh. Musa bin Misha’ merupakan
keturunan daripada Nabi Yusuf a.s. Namun, ia adalah kesalahan yang amat nyata
sekali. Imam Bukhari meriwayatkan dari Sa’id bin Jubair, Sa’id bin Jubair
berkata:
‘Aku berkata kepada Ibnu Abbas r.a, Nauf al-Bikali merasakan bahawa Musa
a.s dalam kisah Nabi Khidir a.s bukanlah Musa yang Nabi kepada Bani Israel.
Maka Ibnu Abbas ra berkata, ‘Apa yang dikatakannya tidak benar, Ubai Ibnu Kaab
r.a mengatakan kepada kami bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda; Musa
berdiri untuk menyampaikan khutbah kepada Bani Israel, lalu ia ditanya: ‘Siapakah
manusia yang paling alim?’ Musa menjawab, ‘Aku’. Maka Allah s.w.t pun langusng
menegurnya, sebab ia belum diberi wahyu tentang hal itu (tentang siapa yang
paling alim). Lalu Allah s.w.t memberi wahyu kepada Musa, ‘Aku memiliki seorang
hamba yang berada di pertemuan dua laut, dia lebih berilmu dari kamu’. Musa
berkata, ‘Ya Allah, bagaimana aku dapat menemuinya?’ Allah berfirman, ‘Bawalah
ikan, lalu letakkan di dalam bakul. Maka di mana pun ikan itu menghilang, maka
di situlah hamba-Ku (Khidir a.s) berada di sana.’
Hadis
bertaraf sahih ini sebenarnya sudah cukup untuk menangkis tentang siapakah Musa
yang Allah s.w.t maksudkan di dalam surah al-Kahfi tersebut.
Bagaimana
dengan Khidir a.s? Siapakah baginda yang sebenarnya?
Daripada
istilah bahasa, Khidir memberi makna yang kehijau-hijauan. Adalah menjadi
satu kemungkinan bahawa Khidir ini hanyalah nama gelaran sahaja yang diberikan
oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana yang terjadi kepada nama Zulqarnain, Luqmanulhakim
dan Ashaabul Kahfi. Perlu diingatkan bahawa Al-Quran tidak menitikberatkan nama
seseorang individu melainkan kisah-kisah mereka yang perlu diambil iktibar. Walau
bagaimanapun, tidak menjadi satu kesalahan untuk kita mengkaji siapakah
sebenarnya Khidir.
Telah
menjadi perdebatan daripada zaman sahabat diikuti tabiin dan diikuti pula tabi’ut
tabiin tentang siapakah insan yang digelar Khidir a.s. Rasullulah s.a.w
dalam sabdanya menyatakan insan berilmu dalam surah al-Kahfi adalah Khidir.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a daripada Rasulullah s.a.w
mengenai Khidir a.s, baginda bersabda; ‘Ia
dinamakan Khidir tidak lain kerana, apabila dia duduk di atas farwah (permukaan
bumi) yang putih (tidak bertanaman), maka tiba-tiba tanah di bawahnya itu
menumbuhkan tanaman yang menghijau’.
Sheikh al-Arna-uth
mengatakan hadis ini sahih menurut periwayatan Imam Bukhari dan Imam Muslim. Imam
Ahmad turut meriwayatkan daripada Abdurrazaq daripada Hammam, daripada Abu
Hurairah ra bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; ‘Ia dinamakan Khidir tidak lain kerana, jika dia duduk di farwah (permukaan
bumi), maka tiba-tiba tanah di bawahnya itu menumbuhkan tanaman yang menghijau.’
Farwah menurut sesetengah ulama hadis
mendefinisikan sebagai rumput kering atau tanaman yang sudah kering. Pendapat
ini dipopularkan oleh ulama hadis terkenal, Abdurrazaq. Namun pendapat masyhur
adalah farwah bermaksud permukaan
bumi. Hadis di atas adalah bertaraf sahih dan turut diriwayatkan oleh Imam
Bukhari dalam kitab masyhurnya Shahih Bukhari.
Khidir Seorang Nabi
Para ulama
sepakat memartabatkan Khidir sebagai nabi atas dalil daripada satu ayat Al-Quran
daripada surah al-Kahfi. Maksud ayat di atas adalah penjelasan Khidir mengenai TIGA perbuatan
kepada Musa a.s semasa Musa a.s berguru dengannya. Khidir bertegas mengatakan
bahawa perbuatan yang dilakunya bukanlah kerana daripada dirinya sendiri akan
tetapi datang daripada Allah s.w.t yang Maha Bijaksana.
Ibnu Abu Hatim: Mendakwa
bahawa Khidir a.s adalah anak atau keturunan Qabil. Qabil adalah anak Nabi Adam
a.s yang telah membunuh Habil.
Ibnu
Abbas dan Hamka: Mendakwa Khidir a.s adalah anak sulung kepada
Nabi Adam a.s. Menurut Hamka, Khidir yang beliau maksudkan sebagai anak sulung
Nabi Adam dianugerahkan Allah s.w.t dengan umur yang tiada penghujungnya
sehingga dimatikan ketika bersama-sama berjuang dengan Nabi Isa dan al-Mahdi
membunuh Dajjal laknatullah. Khidir juga tidak mampu dilihat dengan mata kasar
dan hanya dapat dilihat dengan kasyaf
yang biasa dianugerah Allah s.w.t kepada para Nabi dan walinya.
Tabari: Mendakwa
Khidir a.s adalah rakan seperjuangan Nabi Ibrahim a.s ketika di Babylon (Iraq)
ketika berdakwah kepada Nimrod (Namrod). Ketika Nabi Ibrahim berhijrah keluar
daripada Babylon, Khidir a.s turut serta bersama-sama Nabi Ibrahim dan
keluarganya. Tabari juga mendakwa Khidir samada ayah atau ibunya berketurunan
Parsi dan ayah atau ibunya berketurunan Romawi. Ini bermakna Khidir a.s adalah
berasal daripada perkahwinan campuran antara Parsi dan Romawi. Tabari juga
menyatakan bahawa Khidir a.s adalah salah seorang panglima kanan Zulqarnain.
Ketika Zulqarnain mencari air kehidupan (Water of Life) dan menjumpainya, Zulqarnain
menolak untuk meminumnya dan memberi kepada Khidir a.s. Disebabkan itulah
Khidir a.s dianugerahkan kehidupan yang abadi (atas kekuasaan Allah s.w.t).
Dalam Al-Quran, terdapat ayat yang menyatakan air kehidupan ini iaitu ketika
ikan yang dibawa oleh Musa a.s dan pesuruhnya (dipercayai Nabi Yusyak a.s)
melompat keluar daripada bakul setelah terkena percikan air di tempat yang
dikenali sebagai ‘pertemuan dua laut’.
Abdallah
bin Shawdhab: Mendakwa Khidir a.s adalah individu daripada Parsi dan sering
berjumpa dengan Nabi Elyas a.s setiap tahun terutama pada bulan Ramadhan dan
musim haji di Mekah. Nabi Elyas a.s adalah antara empat orang individu yang
masih belum wafat iaitu Idris a.s, Isa a.s, Khidir a.s dan baginda sendiri.
Ibnu Ishq:
Mendakwa Khidir a.s adalah Nabi Aramiyah bin Khulfiyah a.s (Jeremiah a.s). Nabi
Aramiyah a.s adalah Rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t ketika pemerintahan
Raja Josiah bin Amon yang memerintah Judah. Walau bagaimanapun, Tabari menolak
dakwaan Ibnu Ishq.
Ibn
al-Kalbi: Mendakwa Khidir a.s adalah keturunan Nabi Harun a.s.
Muhammad
bin Ayub: Mendakwa Khidir a.s adalah anak lelaki kepada anak perempuan
Firaun. Namun, siapakah Firaun yang Muhammad bin Ayub dakwa sebagai datuk
kepada Khidir a.s tidak pula dinyatakan.
Naqqash: Mendakwa
Khidir a.s adalah anak kepada Firaun. Sama seperti Muhammad bin Ayub, tidak
dinyatakan Firaun mana yang beliau dakwa sebagai ayah kepada Khidir a.s.
Muqatil bin
Sulayman: Mendakwa Khidir a.s adalah Nabi Elias a.s.
Ibnu
Qutaybah: Beliau mendakwa Khidir a.s adalah nama lain bagi individu yang bernama
Ama’il bin Eliphaz (Yafaz) bin Esau bin Ishak a.s.
Wahb bin
Munabbih, Ibnu Kathir, al-Alusi, Imam Nawawi dan Ibnu
Qutaybah: Wahb bin Munabbih mendakwa Khidir a.s adalah nama lain bagi
individu yang bernama Baliya bin Malikan bin Peleg bin Eber (Hud a.s) bin
Shelah bin Arpachshad bin Sam bin Nuh a.s. Namun, Imam Nawawi memberi nama
Baliya bin Kaliman dan bukannya Baliya bin Malikan. Ulama zaman kini mendakwa
insan yang didakwa oleh dua tokoh ulama salafi ini adalah insan yang sama. Ibnu
Qutaybah turut mendakwa Khidir a.s adalah insan yang bernama Malikan selain
dakwaannya Khidir a.s adalah insan bernama Ama’il.
Tempat Pertemuan Khidir Dan Musa a.s
Pendapat
paling utama tentang pertemuan Khidir dan Musa berdasar firman Allah s.w.t di
atas adalah di Teluk Aqabah iaitu pertemuan antara Laut Merah dan Laut Putih. Walau
bagaimanapun terdapat pendapat yang mengatakan ia berlaku di pertemuan dua laut
di Jordan. Ibnu Kathir pula mendakwa ia berlaku jauh ke di sebuah laut di
Tangier, Maghribi iaitu pertemuan Lautan Atlantik dan Laut Mediterenean. Tidak
terhenti di situ, pendapat yang terbaru adalah ia berlaku di pertemuan dua laut
iaitu di pertemuan dua Lautan iaitu Lautan India dan Lautan Atlantik.
Walau apapun
pendapat yang dikemukakan, ia tidak menyalahi syariat Islam kerana Allah s.w.t
langsung tidak menyatakan di mana pertemuan dua lautan itu berlaku. Tidak
menjadi satu kesalahan untuk memberi teori yang terbaik bagi membolehkan umat
Islam terus memahami isi kandung Al-Quran yang mulia itu.
Penutup
Penulis
tidak mahu menafi mahupun mengiyakan mana-mana dakwaan atau teori yang
melibatkan kekasih Allah s.w.t yang bernama Khidir ini. Tiada penjelasan yang
kukuh mengenai siapakah sebenarnya Khidir. Namun, apa yang pasti adalah Khidir
merupakan seorang yang memiliki ilmu yang sangat tinggi sehingga melebihi
seorang Rasul yang digelar Kalamullah iaitu Nabi Musa a.s. Kisah mengenai
Khidir a.s dan Musa a.s sangat banyak ikhtibarnya. Malah daripada kisah ini
juga pelbagai teori mulai muncul seperti teori wujudnya air kehidupan di
pertemuan dua laut, teori ilmu ladunni, teori kehidupan abadi dan sebagainya.
Apa yang
penulis ingin tekankan adalah penulis amat menjauhi segala unsur Israelliyat
dalam kajian penulis. Meskipun penulis tidak menolak bahawa terdapat
unsur-unsur Israelliyat yang selari dengan ajaran Islam namun terdapat banyak
unsur Israelliyat yang menyimpang daripada ajaran Islam. Segala yang menyimpang
daripada Islam, penulis ingin jauhi bagi menjaga kemurniaan ajaran Islam. Insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan