Rabu, 11 April 2012

Jadilah Generasi Belia Pencipta Sejarah

SMAHADZIR

AHLI sejarah telah meletakkan kekuatan sesuatu bangsa dan tamadun bermula dengan penegasan identiti diri. Apabila seseorang individu itu kenal diri mereka dengan sebaiknya, akan timbullah keyakinan dalam diri bahawa mereka secara tersendirinya adalah seorang yang hebat. Jika tidak dirasai kehebatan dan kewibawaan dirinya, maka di situlah mula generasi belia kita mengikuti orang lain yang dirasakan lebih hebat. Kata kunci di sini adalah ‘kagum’, iaitu kekaguman kepada kewibawaan orang lain menjadikan kita berasa diri kurang, seterusnya meletakkan harapan dan kepercayaan kepada ‘hero-hero’ di luar bangsa kita sendiri.

Harus kita sedar bahawa belia sejati ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh serangkap sajak Arab yang bermaksud: “Bukan pemuda (sejati) mereka yang berkata dulu bapaku (begitu dan begini), tetapi pemuda (sejati) ialah yang mengatakan inilah aku.” Ertinya belia yang tulen ialah belia yang bukan hanya bernostalgia dengan kegemilangan datuk neneknya atau sejarah masa lalu tetapi belia yang tulen ialah belia yang ‘berbangga’ dengan sumbangannya yang bermakna atau belia yang mencipta sejarah tersendiri.

Sejarah di negara kita telah mencatatkan bahawa Melaka pernah muncul sebagai Empayar Melayu yang terbesar di Nusantara. Sejarah penyebaran Islam secara besar-besaran di Nusantara juga bermula di Melaka. Bukan itu sahaja, Bahasa Melayu juga menjadi lingua franca atau bahasa pertuturan utama di rantau tersebut. Ia digunakan oleh sesiapa sahaja yang datang menyinggah, baik saudagar-saudagar mahupun pendatang-pendatang asing lain. Manakan mungkin bahasa sesuatu bangsa itu dipertuturkan secara meluas sekiranya bangsa itu lemah! Kemakmuran dan kehebatan Kesultanan Melayu Melaka boleh dilihat kepada betapa pesatnya perkembangan tamadun Melayu Melaka.

Ia juga boleh dilihat kepada struktur pentadbiran dan undang-undang yang kemas, seperti Undang Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, serta rakyat yang mendokong penuh agenda negara dan agama. Berbanding dengan beberapa era dan tradisi agung Melayu di persekitaran Selat Melaka, tradisi dan era Kesultanan Melayu Melaka yang tidaklah begitu lama (hanya seratus tahun lebih), tetapi kesan yang ditinggalkannya dalam ruang ketamadunan serta perspektif sejarah Melayu di rantau ini adalah besar. Adakah dengan kehebatan-kehebatan ini masih lagi tidak berjaya meyakinkan kita tentang kehebatan bangsa kita sendiri?

Generasi belia adalah aset yang amat berharga kerana merekalah tonggak kekuatan serta pewaris kepemimpinan masa depan negara. Pada masa ini golongan belia dianggarkan sekitar 11.9 juta atau 41.5% daripada keseluruhan 28 juta penduduk negara. Berdasarkan peratusan besar ini wajarlah golongan ini diasuh, dididik dan dibimbing menjadi generasi belia yang bertakwa, memiliki akal fikiran sempurna, berilmu, kreatif lagi berupaya menyelamatkan dirinya daripada pengaruh hidup budaya berdosa serta mampu menjadi pemangkin supaya orang lain juga berubah ke arah sedemikian.

Keadaan masyarakat akan datang bergantung pada keadaan dan pembinaan belia hari ini. Jika keadaan belia hari ini baik dan pembinaannya sempurna, maka besar kemungkinan masyarakat pada masa akan datang akan juga menjadi baik dan begitulah sebaliknya. Bahkan, sejarah telah mencatatkan bahawa belia bukan sahaja bermanfaat pada hari muka tetapi juga berpotensi untuk memainkan peranan yang bermakna semasa umur muda dan remaja.

Sejarah Islam banyak mengemukakan contoh-contoh belia yang memainkan peranan penting semasa umur remaja lagi. Antara mereka ini ialah Ali bin Abi Talib yang pada umur 10 tahun berani tidur di tempat tidur Rasulullah s.a.w untuk menipu orang kafir agar baginda Rasulullah s.a.w dapat berhijrah, Usamah bin Zaid, sewaktu berumur 18 tahun telaah dilantik untuk memimpin tentera Islam menentang tentera Rom. Abdullah bin Abbas telah menjadi tokoh dalam bidang tafsir pada usia muda. Imam Asy-Syafi’e pula menjadi tokoh Fiqh pada usia belia dan Muhammad Al-Fatih yang pada umur mudanya berjaya menawan Konstantinopel.

Al-Quran sendiri turut merakam kisah Ashabul Kahfi (Penghuni Gua), belia-belia yang dipuji oleh Allah s.w.t dengan firman-Nya, yang bermaksud: “Mereka itu adalah pemuda yang beriman pada Tuhan mereka dan Kami tambah pada mereka petunjuk.” (surah Al-Kahfi : 13)

Sejarah juga telah merakamkan kegigihan tentera Islam sejak kerajaan Umaiyyah, Abasiyah dan kepemimpinan awal kerajaan Othmaniah Turki untuk menawan Kota Constantinople (Istanbul) tetapi gagal. Namun, tampil seorang anak muda iaitu Sultan Kerajaan Othmaniah Turki, Sultan Muhammad Al-Fateh, menghidupkan cahaya dakwah. Dalam usia 21 tahun, baginda berjaya menawan semula Constantinople daripada Rom. Antara penyebab kejayaan itu tertanam kekuatan, pintar dan kreatif.


Kota itu menjadi laluan dan pintu masuk penyebaran Islam di Eropah. Antara kata-kata baginda ketika melancarkan percubaan akhir pada hari ke 53 kepungan untuk menawan Constantinople ialah: ‘Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, ikutilah aku.’


Menurut riwayat, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat rawatib dan solat tahajud sejak baligh lagi. Demikianlah contoh kepemimpinan pendakwah negara di mana kekuatan rohani tidak dapat dipisahkan dalam diri mereka sebagai pemimpin. Corak tingkah laku golongan belia masa kini adalah cerminan masa depan sesebuah negara. Oleh itu, demi membentuk akhlak mulia golongan belia, tugas dakwah membimbing mereka perlu dilaksanakan dengan hikmah.


Jangan dibiarkan api mendekati minyak kerana ia akan menyemarakkan lagi api. Begitu juga penyebaran budaya yang menyemarakkan gelojak nafsu lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan dan teknologi mudah diakses. Ingatlah dan insaflah, hawa nafsu dan syahwat adalah ujian yang besar untuk manusia, lebih-lebih lagi golongan remaja dan belia. Jika punca dan tempat menaikkan nafsu tidak dibendung atau ditutup, maka selagi itulah gejala keruntuhan akhlak dan moral akan terus berleluasa.


Pembabitan dengan aktiviti penagihan dadah, berzina, pembuangan bayi, minum arak dan gejala sosial lainnya berpunca daripada kegagalan mengawal gelora syahwat dan hawa nafsu yang boleh menjatuhkan kualiti akhlak manusia setaraf binatang. Firman Allah s.w.t bermaksud: ‘Kami ceritakan kepadamu hal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk Dan Kami kuatkan hati mereka, semasa mereka bangun lalu berkata: Tuhan kami ialah tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak akan menyembah Tuhan yang lain selain-Nya; jika tidak bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran.’ (Surah al-Kahfi: 13-14)


Oleh itu, golongan belia perlu memastikan kehidupan di dunia ini mendapat perlindungan Allah s.w.t kerana antara tujuh golongan dilindungi Allah di akhirat ialah pemuda yang hidup beribadah kepada Allah. Semoga generasi belia negara sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah s.w.t seterusnya berjaya memainkan peranannya memacu pembangunan negara bangsa yang maju dan dihormati lagi dikasihi Allah.

Apabila kita mengikuti kisah-kisah tokoh belia seperti Usamah bin Zaid, Imam Asy-Syafi’e, Abdullah bin Abbas, Muhammad Al-Fatih, kita harus merasa malu kerana ramai di antara kita pada usia muda tahun masih lagi dalam kejahilan, tidak usah memikir masalah umat, nasib diri sendiri pun tidak boleh ditangani. Belia hari ini, bukan hanya tidak berkeyakinan untuk memimpin masyarakat tetapi memimpin hidup sendiri pun tidak tahu.

Ramai di antara kita adalah pemuda. Bahkan ramai di antara kita yang beruntung kerana diberi nikmat pendidikan yang lebih tinggi dan nikmat harta yang lebih melimpah. Masih tidak terlambat untuk kita membina satu wawasan dan berusaha keras bagi mencipta sejarah yang tersendiri dan meninggalkan sesuatu bagi umat ini. Sesuatu yang bukan hanya dilihat sebagai legacy tetapi juga sebagai amal jariah yang akan menjadi saham yang berterusan hingga hari kiamat untuk kita di akhirat, sejajar dengan sabda Rasulullah s.a.w, yang bermaksud: “Jika mati anak Adam, maka terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)

Namun, kita tidak akan dapat mencipta sejarah dan meninggalkan legacy, sekiranya:

  1. Berjiwa kecil yakni tiada keyakinan pada diri sendiri, tidak mampu mengurus diri sendiri, tiada semangat ‘yakin boleh’, tidak berani mencuba.
  2. Berakal kecil yakni sibuk dengan perkara remeh, sibuk dengan masalah dari melihat peluang, tidak mampu mengekalkan idealisme yang wajar, tiada wawasan dalam hidup, pesimis.
  3. Beramal kecil yakni tiada kesungguhan dalam perjuangan, mudah putus asa, lokek dalam pengorbanan, berpuas hati dengan apa yang ada, mediocre dalam semua perkara.

Kita jangan bernostalgia dengan pencapaian umat yang lalu, kecuali sebagai dorongan untuk berlumba mencipta sesuatu bagi umat hari ini dan akan datang. Agar kita terus dikenang, agar doa umat akan terus melimpahi kita, pada ketika kita bersemadi di liang lahad sendirian.

Perlulah kita ingat bahawa Allah s.w.t tidak akan menyoal kita akan sumbangan mereka yang terdahulu, tetapi kita hanya akan ditanya mengenai sumbangan kita sendiri. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: “Mereka itu adalah umat yang telah lalu. Bagi mereka apa yang telah mereka lakukan dan bagi kamu apa yang kamu lakukan dan kamu tidak akan ditanya apa mereka (yang terdahulu) lakukan.” (surah Al-Baqarah : 141)

Selagi kita masih hidup, sejarah umat ini berada dalam diri kita dan di tangan kita. Ini bermaksud nasib sesuatu bangsa akan bergantung pada apakah bentuk wawasan yang ada di minda belia mereka. Pencapaian wawasan berkenaan pula bergantung pada usaha keras mereka.

Oleh itu, adalah penting untuk para belia mempunyai wawasan. Wawasan ini haruslah sebuah wawasan yang besar bagi dirinya dan masyarakatnya. Islam menuntut setiap muslim untuk menjadi seorang yang soleh (baik) dan juga musleh (mampu membaiki orang lain). Maka generasi belia terutama yang beragama Islam dituntut untuk berwawasan yang bukan hanya berkaitan bagi dirinya sendiri seperti keinginan untuk menjadi doktor atau ahli perniagaan yang berjaya tetapi juga mempunyai wawasan yang berkaitan bagi kesolehan, pembangunan dan kemajuan masyarakatnya. Mempunyai wawasan bagi hari muka adalah dianjurkan oleh Islam.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah pada Allah dan hendaklah setiap jiwa itu melihat apa yang akan ia kemukakan untuk hari esok, dan bertakwalah pada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (surah Al-Hasyr :18)

Ayat ini menganjurkan umat agar sentiasa melihat ke hadapan dan merancang untuk hari muka, ertinya membina wawasan untuk hari muka dan berusaha untuk mencapainya. Belia yang tidak mempunyai wawasan ialah belia yang potensinya akan terbazir. Belia sedemikian akan terumbang-ambing hidupnya tanpa tujuan dan perancangan. Dalam banyak keadaan belia seperti ini hanya akan memenuhkan hidupnya dengan hiburan dan permainan semata-mata kerana dipengaruhi oleh hedonism Barat. Kegagalan akan bersama belia seperti ini sebagaimana ungkapan kata berikut, “One who fails to plan, plans to fail.”

Masyarakat yang mempunyai belia seperti ini ialah masyarakat yang pasti akan menuju pada kehancuran. Sedangkan belia yang hanya berwawasan bagi manfaat dirinya dan hidupnya hanya dipenuhi dengan sesuatu bagi memenuhi keinginan peribadi semata-mata, ialah belia yang mementingkan dirinya sendiri.

Maka jadilah belia yang berwawasan. Apa juga wawasan yang tinggi, besar dan bermanfaat adalah sesuatu yang digalakkan. Namun wawasan berkenaan mestilah dipandu oleh prinsip-prinsip berikut:

  1. Ia adalah wawasan dalam rangka ibadah pada Allah s.w.t sejajar dengan firman-Nya yang bemaksud: “Dan Aku tidak jadikan Jin dan manusia kecuali untuk beribadah pada-Ku.” (surah Az-Zariyat : 56)
  2. Sesuatu itu hanya akan menjadi ibadah apabila dilakukan dengan hati yang ikhlas kerana Allah s.w.t dan mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh-Nya, iaitu sejajar dengan Islam. Ini sejajar dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.” (surah Ali-Imran : 19)
  3. “Dan barangsiapa mencari Islam sebagai agama (cara hidup), maka tidak aklan diterima darinya dan dia di akhirat dari golongan yang rugi.” (Ali-Imran : 85). Ia adalah wawasan yang merealisasikan peranan sebagai khalifah di muka bumi. Allah s.w.t mencipta manusia sebagai khalifah. Firman-Nya yang bermaksud: “Apabila Tuhan kau berkata pada malaikat, bahawa Aku akan mencipa di bumi ini seorang khalifah.” (surah Al-Baqarah : 30)

Peranan utama khalifah di muka bumi ialah untuk memakmurkan bumi ini dengan aturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t yang terkandung dalam ajaran Islam. Dalam kata-kata yang ringkas, wawasan seorang belia haruslah merangkumi dua aspek iaitu untuk menegakkan agama dan memakmurkan dunia. Bukan salah satu darinya.

Bagi generasi belia terutama yang beragama Islam, wawasan sedemikian adalah satu kewajiban agama. Pengabaian terhadapnya merupakan pengabaian terhadap perintah Allah s.w.t. Sesiapa yang melakukannya dicela dan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t. Namun wawasan sahaja tidak mencukupi. Wawasan berkenaan haruslah didokong oleh keperibadian yang baik. Hanya belia yang berperibadi yang sesuai sahaja akan benar-benar mampu menjayakan wawasan yang berteraskan prinsip di atas.

Dalam mendokong satu wawasan yang murni, belia Islam haruslah memastikan bahawa ia memiliki ciri-ciri asas iaitu akidah yang murni dari penyelewengan, ibadah yang benar dan bersih khurafat dan akhlak yang mulia. Ciri-ciri asas ini, didokong pula oleh ciri-ciri tambahan seperti:

Ciri Pertama:

Sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan diri dalam semua bidang dan berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi. Ciri ini diasaskan kepada sabda Rasulullah s.a.w: “Manusia yang bijak ialah manusia yang sentiasa menghisab dirinya dan berusaha untuk hari matinya. Manusia yang lemah ialah manusia yang sentiasa mengikut nafsunya dan sentiasa berangan-angan terhadap Allah s.w.t.”

Ciri Kedua:

Komited pada usaha untuk membangun masyarakat. Ciri ini diasaskan kepada dalil berikut: “Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari munkar dan merekalah orang-orang yang berjaya.” (surah Ali Imran : 104)

Ciri Ketiga:

Mampu untuk bekerja secara kolektif dan berorganisasi. Ciri ini diasaskan kepada dalil berikut: “Sesungguhnya Allah sukakan orang-orang yang berjuang di jalan-Nya dalam barisan seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh.” (surah As-Saf : 4)

Ciri Keempat:

Sedia memimpin. Ciri ini didasarkan dari dalil berikut: “Tuhan kami kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan zuriat-zuriat yang menjadi cahaya mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” (surah al-Furqan : 73)

Pengajaran dari ayat ini ialah Allah menggalakkan umat Islam membina sifat dan kemampuan kepimpinan yang dimanifestasikan dari amalan berdoa. Walaupun Islam tidak menggalakkan umat Islam menuntut jawatan kepimpinan tetapi ia tidak menghalang mereka dari membina kemampuan kepimpinan dalam diri mereka berdasarkan ayat ini.

Ciri Kelima:

Kompeten dengan keperluan semasa. Ciri ini didasarkan pada sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang pakar.” (Muslim)

Ciri Keenam:

Berminda luas dan berfikiran global dan universal. Ciri ini didasarkan pada dalil berikut: “Dan tidak kami utus kamu (Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam.” (surah Al-Anbiya’ : 107)

Islam adalah agama yang universal, diturunkan untuk seluruh umat manusia bukan hanya kepada bangsa Arab, Melayu atau umat Islam sahaja.

Seterusnya Rasulullah s.a.w pernah menasihatkan kita dalam sabdanya yang bermaksudnya: ‘Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanfaat kepada orang lain.’ (Riwayat Al-Tabarani)

Hadis ini menjelaskan bahawa manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidup menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Generasi belia yang beginilah yang menjadi cita-cita negara kita untuk membentuk warga yang kreatif, pencetus dan pembina tamadun yang dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.


Justeru, golongan belia harus memastikan kehidupan mereka di dunia ini mendapat perlindungan Allah s.w.t. Ini selaras dengan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bermaksud: ‘Bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah s.w.t pada hari akhirat iaitu:


1. Pemimpin yang adil

2. Pemuda yang hidup dalam beribadah kepada Allah s.w.t

3. Orang yang mengingati Allah s.w.t ketika bersendirian lalu menitis airmatanya

4. Orang yang hatinya bergantung kepada masjid

5. Orang yang saling berkasih sayang kerana Allah s.w.t semata-mata

6. Lelaki yang digoda oleh perempuan yang cantik tetapi mengatakan aku takut kepada Allah s.w.t

7. Orang bersedekah dan memyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dibuat oleh tangan kanan.


Lantaran itu, sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan generasi belia negara kita sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah s.w.t dan seterusnya menjadi generasi belia pencipta sejarah, berjaya memainkan peranannya yang sebenar dalam memacu pembangunan negara bangsa yang maju dan dihormati lagi dikasihi Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Kahfi ayat 10, bermaksudnya: “(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA