Ahad, 6 Mei 2012

Apakah Mazhab Waraqah Bin Naufal


Sesiapa sahaja masih mengingati sirah Rasullulah s.a.w apabila baginda mendapat wahyu pertama daripada Allah s.w.t melalui perantara malaikat Jibrail a.s di gua Hira’. Peristiwa di mana menyebabkan badan Rasullulah s.a.w yang mulia itu seram sejuk dan gementar seluruh badan apabila pulang ke rumah. Isteri baginda yang penyayang, Siti Khadijah bin Khuwalid menjadi tidak keruan melihat suami kelihatan benar-benar tidak sihat.

Ditanya beliau kepada Rasullulah dengan lemah-lembut dan penuh kasih sayang. Dengan keprihatinan Siti Khadijah pada Rasullulah s.a.w, baginda Rasullulah s.a.w mula menceritakan satu persatu peristiwa yang terjadi pada baginda di Gua Hira’. Baginda menceritakan bagaiman takutnya baginda dipeluk oleh Malaikat Jibrail sambil menyebut iqra’ yang bermaksud ’bacalah’ dengan berulang-ulang kali.

Manusia mana tidak gementar apabila datang makhluk yang tidak pernah dilihat sebelum ini tiba-tiba tampil memeluk badan ketika berada di dalam gua sempit seorang diri. Peristiwa Rasullulah s.a.w ini bagaikan satu beban yang berat kepada Siti Khadijah. Dengan tidak membuang masa, beliau terus menuju ke rumah sepupu tua beliau, Waraqah bin Naufal. Waraqah sememangnya diketahui oleh Siti Khadijah bahawa beliau pakar dalam kitab Taurat dan Injil dan memahami sebenar-benarnya isi kandungan kedua-dua kitab suci itu.

Waraqah mendengar satu persatu cerita daripada sepupu perempuannya itu. Selepas selesai cerita Khadijah itu, Waraqah memastikan dan menjamin kepada Siti Khadijah bahawa Muhammad akan menjadi rasul selaku nabi yang terakhir. Beberapa lama kemudian, Waraqah bin Naufal menemui sendiri Rasullulah s.a.w di Kaabah ketika Rasullulah bertawaf. Dialog antara Rasullulah dan Waraqah menyebabkan Waraqah menangis teresak-esak kerana beliau tahu, Rasullulah bakal diuji dengan dugaan yang maha hebat daripada kaumnya kelak.

Kaum Quraisy Mekah ketika itu sememangnya kaum yang telah disaluti kekafiran yang tebal. Diriwayatkan, sekitar Kaabah terdapat 60 berhala! Dalam perbualan yang menyayatkan hati itu, Waraqah sempat berkata kepada Rasullulah s.a.w: ’Demi Dia Yang memegang hidup Waraqah. Engkau adalah Nabi atas umat ini. Engkau telah menerima Namus Besar (Jibrail a.s) seperti yang pemah disampaikan kepada Musa. Pastilah kau akan didustakan orang, akan disiksa, akan diusir dan akan diperangi. Kalau sampai pada waktu itu aku masih hidup, pasti aku akan membela yang di pihak Allah dengan pembelaan yang sudah diketahuiNya pula.’

Waraqah yang terkenal alim itu mengetahui sebenar-benarnya kedatangan seorang rasul akhir zaman tetapi beliau tidak menyangka beliau sempat melihat dengan mata kepala beliau sendiri seorang rasul yang dijanjikan dalam setiap kitab suci sebelum ini. Malahan beliau teruja kerana yang bakal menjadi rasul itu adalah suami kepada sepupu rapatnya sendiri!

Berkenaan dengan penyataan awal Waraqah kepada Siti Khadijah yang beliau yakin Muhammad adalah seorang Rasul akhir zaman, ramai ulama menyatakan Waraqah telah berpandukan kepada ayat Isaiah 29:11-12 yang berbunyi: ‘For you this whole vision is nothing but words sealed in a scroll. And if you give the scroll to someone who can read, and say to him, ‘Read this, please, ‘ he will answer, ‘I can’t; it is sealed. Or if you give the scroll to someone who cannot read, and say, ‘Read this, please, ‘ he will answer, ‘I don’t know how to read.’

‘Read this, please’ adalah satu ayat suruhan. Ia sama dengan ayat ‘Iqra’ yang disuruh untuk dibaca oleh Jibrail a.s kepada lembaran yang ditunjukkannya. Ini keistimewaan seorang insan yang benar-benar memahami isi kandungan Taurat dan Injil dengan sebenar-benar faham!

Begitulah sedikit sebanyak cerita yang melibatkan Waraqah bin Naufal. Persoalannya sekarang, apakah agama anutan beliau? Sememangnya umum mengetahui agama anutan beliau adalah agama Kristian ataupun agama Nasrani. Tetapi apakah mazhab yang dianuti oleh Waraqah ini? Mazhab Waraqah kelihatan tidak seperti mazhab ’mainstream’ Kristian sekarang iaitu mazhab Katholik yang mana mereka tidak mempercayai akan kedatangan seorang Rasul akhir zaman. Malah mereka menyekutukan Allah s.w.t dengan berkata nabi Isa a.s adalah Anak Tuhan.

Terdapat riwayat menyatakan mazhab anutan Waraqah adalah mazhab Ebionite dan ada pula menyatakan mazhab Arianisme. Malah riwayat yang paling popular adalah beliau bermazhab Nestorian. Akan tetapi tiada riwayat menyatakan mazhab beliau adalah mazhab Katholik. Ini adalah kerana, kepercayaan Waraqah langsung tidak menggambarkan beliau adalah seorang mazhab Katholik. Tambahan pula, pada waktu tersebut, mazhab Katholik hanya ‘laku’ di negara Barat sahaja seperti di wilayah-wilayah taklukan Byzantine. Itu pun di Jerman terutama kaum Goth, Vandal dan Lombard memegang kuat kepercayaan Arianisme!. Di wilayah timur, ketiga-tiga mazhab ini, mazhab Eboinite, mazhab Arianisme dan mazhab Nestorian adalah paling popular dan mempunyai ramai pengikut. Mazhab Nestorian misalnya, telah lama memutuskan hubungan dengan mazhab yang tidak mengEsakan Tuhan seperti mazhab Katholik sehingga Kristian ketika itu terbahagi kepada dua blok iaitu Church of the West (Katholik) dan Church of the East (Nestorian).

Menariknya Ketiga-Tiga Mazhab Ini

Ketiga-tiga mazhab ini langsung tidak mempercayai bahawa Nabi Isa a.s adalah Anak Tuhan. Penganutnya mengutuk sekeras-kerasnya mazhab Katholik kerana menganggap Katholik seumpama agama Pagan atau agama Polystheism yang dianuti oleh orang Yunani dan Roman dahulu-kala.

Umum mengetahui bahawa mazhab Katholik mengamalkan doktrin Triniti iaitu mempercayai Nabi Isa a.s mempunyai tiga sifat, Isa sebagai Anak Tuhan, Roh Kudus dan Bapa (Tuhan). Manakala ketiga-tiga mazhab ini mengamalkan kepercayaan bahawa Nabi Isa a.s adalah hamba Allah yang diutuskan untuk menjadi Rasul-Nya. Penganut Kristian mendakwa bahawa Nabi Isa disalib dan diangkat ke langit 3 hari kemudian.

Mazhab Ebionite

Mazhab ini dianggap mazhab terawal sekali wujud. Kebanyakan penganut mazhab ini adalah orang Yahudi. Mereka percaya bahawa Nabi Isa a.s adalah nabi mereka. Dengan segala mukjizat dan saranan Nabi Isa a.s untuk menyembah Tuhan yang satu menyakinkan mereka bahawa Nabi Isa a.s adalah nabi seterusnya selepas Nabi Malachi a.s. Penganut mazhab ini digelar Nazarenes (merujuk kepada tempat kelahiran Nabi Isa a.s di Nazareth). Orang Arab mengelar mereka Nasrani. Daripada perkataan inilah perkataan Nasrani selalu disebut untuk merujuk kepada semua orang Kristian meskipun mazhab mereka bukannya Ebionite. Ebionite sebenarnya membawa maksud Yang Termiskin. Mereka meminjam perkataan Hebrew iaitu Evionim.

Dipercayai bahawa pengasas Mazhab Ebionite adalah James the Just. Orang Yahudi memanggil James sebagai Yohannes. James yang juga sepupu Nabi Isa a.s adalah seorang pengikut Nabi Yahya a.s sebelum menjadi hawari Nabi Isa a.s.

Mazhab Ebionites mendakwa bahawa Paul yang kemudian mengasaskan ajaran Pauline Christianity adalah guru palsu. Paul didakwa mengajar anak muridnya bahawa Nabi Isa a.s adalah Anak Tuhan. Ini menimbulkan kemarahan mazhab Ebionites. Ajaran Paul ini kemudiannya menular dengan cepatnya sehingga tertubuhnya mazhab baru iaitu Katholik.

Ajaran Ebionites berlandaskan kepada Gospel of Hebrews sebelum dihapuskan oleh musuh mazhab ini pada Persidangan pertama Kristian di Nicea pada 325 Masehi. Gospel dan buku ajaran Ebionites dibakar bersama-sama mazhab yang tidak sealiran dengan Pauline Christianity.

Persidangan di Nicea pada 325 Masehi adalah persidangan pertama agama Kristian. Di sebalik kontroversi mazhab, berlaku juga kontroversi di mana Constantine ragu-ragu untuk memasukkan Book of Revelation ke dalam New Tastament. Meskipun begitu, ajaran Ebionite masih lagi tetap bertahan di timur sehinggalah kelahiran Rasullulah s.a.w pada 512 Masehi.

Mazhab Arianisme

Mazhab ini terbentuk dengan seorang pengasas yang bernama Arius. Arius sezaman dengan Maharaja Costantine I, seorang bermazhab Katholik. Arius adalah paderi di Buchalis, Alexanderia. Beliau juga seorang penceramah agama yang popular. Beliau adalah antara individu yang kuat menentang ajaran Biskop yang bernama Alexander. Beliau merasakan agama Kristian telah dicemari dengan falsafah-falsafah yang salah dan menyesatkan. Beliau mengganggap Nabi Isa a.s adalah seorang Rasul yang diutuskan Allah s.w.t ke dunia dan bukannya seorang Anak Tuhan sebagaimana yang dianggap oleh Biskop Alexander dan pengikutnya.

Biskop Alexander berasa terancam dengan perkembangan Arius dan ajarannya. Beliau terus menemui Maharaja Constantine I untuk menyelesaikan masalah beliau. Akhirnya, Persidangan Nicea pada 325 Masehi menjadi medan perbahasan paderi pro-Arius dan paderi pro-Triniti.

Perdebatan hebat antara Arius dan paderi-paderi menjadi hangat sehingga seorang paderi Katholik terkenal Nicholas of Myra menampar Arian di mukanya. Begitulah hebatnya penangan Arius ketika perdebatan itu berlaku. Nicholas adalah watak asal Santa Claus yang selalu muncul di kaca televisyen apabila menjelang Krismas.

Persidangan berat sebelah itu akhirnya dimenangi oleh Katholik selepas paderi-pederi seramai lebih daripada 300 orang itu dipercayai telah diugut oleh Maharaja Constatine I menyerahkan patisyen menyokong ajaran Katholik dan doktrin Triniti mereka. Hanya 2 orang paderi dari Libya yang tidak menyokong Katholik dan akhirnya dipecat daripada menjadi paderi di kawasan mereka.

Persidangan Nicea pada 325 Masehi itu menjadi titik tolak kepada ajaran Kristian sekarang yang mana telah menolak mazhab selain daripada Katholik. Namun, ajaran Arius tetap tersebar dengan pesat di timur walaupun telah diharamkan. Orang Islam mengganggap ajaran Arius adalah asas daripada ajaran asal Kristian oleh Nabi Isa a.s. Malang bagi Arius, beliau telah meninggal dunia akibat diracun oleh musuh beliau ketika menghadiri persidangan di Constatine’s Forum. Ramai mempercayai beliau diracun oleh Constantine sendiri.

Ironinya, Arius mempunyai terlampau ramai pengikut termasuk anak Constatine sendiri iaitu Constantine II. Malahan, Maharaja Velens dan Eusebius of Nicamedia juga seorang pengikut ajaran Arian. Eusebius adalah tukang baptist Constantine. Constantine dibaptistkan ketika beliau sudah meninggal dunia. Tahap Kristian Constatine masih lagi menjadi persoalan.

Archbishop Dmitri pernah menyatakan bahawa Islam adalah kesinambungan ajaran Arius kerana ajaran Arius mempunyai persamaan yang ketara terutama mengenai Nabi Isa a.s sebagai Rasul Allah dan bukannya Anak Tuhan. Sememangnya, mazhab Arianisme adalah mazhab Kristian tulen selain daripada mazhab Ebionites dan Nestorian. Apa yang menarik lagi tentang mazhab Arianisme adalah Isaac Newton adalah penganut Arianisme secara sembunyi-sembunyi!

Mazhab Nestorian

Mazhab ini dipelopori oleh seorang paderi bernama Nestorius. Beliau hidup sekitar 386-451 Masehi. Beliau adalah paderi di gereja di Constatinople (Istabul sekarang). Dalam ajaran Nestorius, beliau menyatakan bahawa Mariam iaitu Nabi Isa a.s tidak boleh dipanggil Theotokos (ibu Tuhan) tetapi perlu dipanggil Christokos (ibu Christ).

Walau bagaimanapun, mazhab Nestorian berlainan sedikit berbanding mazhab Ebionites dan mazhab Arianisme. Mazhab Nestorian menggangap Nabi Isa mempunyai dua watak iaitu watak manusia biasa dan watak Tuhan. Pandangan Nestorius ini dikecam teruk oleh Cyril, Bishop daripada Alexanderia. Pada persidangan di Ephesus pada 431 Masehi, Nestorius dan pengikutnya dikecam dan dikritik menyebabkan beliau terpaksa dibuang negeri ke biara kecil di gurun Libya.

Sebenarnya, inilah titik tolak pengembangan ajaran Nestorian. Ajaran ini akhirnya berpecah terus daripada ajaran Church of the West yang berpusat di Byzantine ketika itu. Ajaran Nestorian menjadi ajaran persendirian yang digelar Church of the East. Ia tersebar luas sekitar Asia Tengah, Timur Tengah dan kawasan Hijaz. Malahan terdapat sumber menyatakan, Nestorian telah tersebar hingga ke China, Mongolia dan persisir Jepun-Korea.

Kisah Rasullulah s.a.w ketika berumur 12 tahun iaitu ketika baginda mengikut bapa saudara baginda, Abu Talib berniaga di Syam (Syria sekarang). Kabilah Abu Talib telah dipelawa oleh seorang Paderi Nasrani untuk menjamu selera di biara beliau. Paderi tersebut adalah Bahirah. Paderi yang baik hati itu telah memberi nasihat kepada Abu Talib supaya balik segera ke Mekah kerana bimbangkan keselamatan anak saudara beliau iaitu Rasullulah s.a.w kerana beliau telah melihat tanda-tanda kenabian pada anak saudaranya itu. Bahirah menambah, kemungkinan jika diketahui oleh orang Yahudi di Syam, mesti dibunuh Muhammad s.a.w. Dengan perasaan gementar, terus dibawa kabilahnya pulang ke Mekah ketika itu juga. Dipercayai bahawa Bahirah adalah seorang paderi bermazhab Nestorian.

Penutup

Melalui ketiga-tiga mazhab ini, diketahui bahawa Waraqah bin Naufal adalah seorang Nasrani yang tulen. Rasullulah s.a.w melarang sekeras-kerasnya barang siapa yang mengutuk Waraqah bin Naufal kerana terdapat sahabat berselisih faham mengenai Waraqah. Rasullulah s.a.w ketika ditanya oleh sahabat baginda mengenai Waraqah bin Naufal, Rasullulah s.a.w bersabda; ‘Jangan memfitnah Waraqah ibn Naufal kerana aku lihat beliau akan mendapat satu atau dua taman di syurga.’ (Hadis Shahih riwayat Al-Hakim)

Dalam bab mazhab, Waraqah lebih mirip bermazhab Ebionites berbanding dua mazhab lain. Ini melibatkan ciri-ciri percakapan Waraqah bin Naufal kepada Rasulullah s.a.w ketika mula mendapat wahyu dan kepercayaan beliau mengenai kedatangan Rasul akhir zaman.

Waallahulam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA