Ahad, 22 Mei 2011

Buku Tentang Peristiwa 13 Mei

SMAHADZIR

1. Buku ‘13 Mei Sebelum Dan Selepas’

Buat pertama kali saya baru sahaja selesai membaca buku ’13 Mei Sebelum Dan Selepas’ yang dikarang oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri kita yang pertama walaupun buku tersebut telah lama ada dalam koleksi saya. Bagi saya, setiap tahun bulan Mei pasti bertandang dan saya yakin rakyat Malaysia terutamanya yang lahir sekitar tahun 1957-1962 tentu tidak dapat melupakan satu kisah hitam yang melanda negara pada 13 Mei 1969. Satu tarikh kepada episod hitam yang sentiasa segar dalam ingatan kita. Inilah buku yang menyatakan pandangan Tunku Abdul Rahman terhadap apa yang berlaku. Buku yang juga menyatakan perasaan kecewanya terhadap kejadian tersebut. Kekecewaannya pada gerakan komunis, parti pembangkang yakni GERAKAN, DAP dan PAS serta tidak kurang pada golongan ‘pelampau’ atau ‘ultra’ yang wujud di negara ini.

Buku ini ditulis oleh Tunku berasaskan pengalamannya yang lama sebelum dan semasa menjadi Perdana Menteri serta bersandarkan sumber sahih yang telah diberikan oleh Polis Diraja Malaysia. Keadaan ini berbeza dengan buku yang diterbitkan sebelum ini yang menyandarkan penulisannya semata-mata kepada sumber diplomat dan wartawan asing yang kesahihan sumbernya adalah diragui.

Mei 13 Sa-Belum Dan Sa-Lepas

Dalam bab pertama Tunku menekankan bahawa buku ini merupakan ikhtiar beliau untuk membuka mata ‘pendudok2 negeri ini (Malaysia) kapada hakikat2 yang sa-benar, dan membuka segala kepalsuan dan perbuatan2 tipu helah, supaya dengan itu timbullah kesedaran bagaimana kita semua dapat memainkan peranan masing2 dengan sa-baik2nya untok masa hadapan negara kita’. Buku ini ditulis hasil renungan Tunku ‘sa-lama sa-puloh hari dan sa-puloh malam’ sewaktu menerima rawatan dan pembedahan mata di Hospital Universiti, Kuala Lumpur yang bermula 6hb Jun 1969. Buku ini siap diterbitkan pada September 1969 dalam 3 edisi - Inggeris, Rumi dan Jawi.

Menarik sekali untuk difikirkan apabila Tunku memulakan buku ini dengan satu puisi oleh John Donne yang berjudul For Whom the Bell Tolls. Terjemahannya lebih kurang seperti berikut:

Tiada manusia ibarat pulau, terpencil sendirian; Sa-tiap orang sa-chebis dari Benua, sa-bahagian dari keselurohan. Kematian sesiapa pun memperkechil harga diriku, kerana aku sa-bahagian dari kemanusiaan; dan kerana itu janganlah bertanya untok siapa locheng kematian berbunyi; locheng kematian itu berbunyi untok-mu.

Buku ini adalah hasil renungan Tunku tentang peristiwa 13 Mei. Beliau terpanggil untuk menulis buku ini bagi menjelaskan ‘hal-hal sebenar yang telah berlaku menurut pandangan saya, sekalipun ia amat dahsyat’. Dalam penelitiannya, Tunku merumuskan bahawa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 itu adalah angkara golongan pelampau dan golongan komunis. Kedua-dua golongan ini, tegas Tunku, sejak sebelum merdeka lagi berusaha untuk mencetuskan kekacauan dalam negara. Golongan ini telah terlibat dalam mencetuskan ketegangan dalam peristiwa hartal (1967), hukuman gantung (1968) dan pemulauan pilihan raya (1969), perarakan mayat pada 9 Mei dan perarakan kemenangan oleh parti-parti pembangkang pada 12 Mei 1969. Akibat provokasi golongan ini ketegangan kaum terjadi dan rusuhan kaum berlaku.


13 Mei Sebelum Dan Selepas

Pada bulan April 1969, seorang petugas pilihanraya UMNO, Encik Kassim Bin Omar telah dibunuh dengan kejam oleh pemuda-pemuda Parti Buruh. Mayatnya diconteng dengan cat merah dan ditulis ‘Jangan Mengundi Dalam Pihanraya’. Hal ini menunjukkan pengaruh komunis dan sikap mengagung-agungkan Mao Tze Tung. Namun disebabkan takutkan tindak balas orang Melayu, gangguan PRU dan rusuhan kaum berlaku, berita pembunuhan yang kejam ini telah ditutup selepas kerajaan telah meminta pihak keluarga dan pemimpin Melayu bersabar.

Rupanya, bukan sekarang sahaja orang Melayu terpaksa bersabar atas tindakan orang lain, tetapi sejak dari dahulu lagi. Itulah jasa dan pengorbanan orang-orang lama terhadap negara. Berkorban hingga terkorban.

Pada 4 Mei 1969, ketika tiga orang mata-mata telah melakukan rondaan di Kepong, pinggir bandar Kuala Lumpur, mereka mendapati terdapat sekumpulan pemuda Cina yang menconteng jalan dengan cat-cat merah. Kumpulan mata-mata tersebut telah dicabar dan dibaling dengan kayu api, ketul-ketul besi dan besi-besi tajam. Kemudian pemuda-pemuda Cina tersebut telah melarikan ke sebuah pasar lama. Rupa-rupanya kumpulan pemuda-meuda Cina tersebut telah bersedia dengan segala kemungkinan. Satu pergaduhan telah berlaku, ekoran daripada itu satu tembakan telah dilepaskan oleh seorang mata-mata untuk mempertahankan dirinya. Akibatnya seorang pemuda Cina yang berumur 24 tahun bernama Lim Soo Seng telah cedera dan dikejarkan ke hospital, namun kemudiannya mati selepas itu.


Tunku Abdul Rahman

Lebih memburukkan lagi keadaan ialah apabila mereka yang ingin mengambil kesempatan telah mendesak pihak polis agar satu perarakkan mayat diadakan pada 10 Mei 1969, iaitu pada tarikh hari pengundian. Namun mereka hanya dibenarkan berarak pada 9 Mei 1969, mengikut jalan yang telah ditetapkan dengan seramai 1000 orang sahaja. Akibat campur tangan anasir-anasir jahat daripada komunis dan Parti Buruh, perarakkan itu telah melibatkan seramai lebih kurang 10,000 orang. Mengikut pegawai-pegawai polis yang hadir, keranda mayat telah diisikan dengan senjata dan mayat lelaki tersebut telah diletakkan di luar. Sambil berarak mereka telah menghina kerajaan, orang Melayu dan memuji Mao Tze Tung. Inilah detik-detik yang dapat saya ringkaskan sebelum negara dibakar.

Tunku Abdul Rahman telah menerima cabaran yang hebat, bukan senang hendak menjadi pemimpin. Seperti kata Tunku, “Memang mudah menabur janji yang kosong daripada menunaikannya.” Kisah Tunku Abdul Rahman difitnah bahawa beliau bukan Islam sebaliknya Siam banyak melukakan hati beliau. Bahkan atas jasa beliaulah lahirnya Tilawah Antarabangsa, Masjid Negara, Persidangan Islam Antarabangsa yang pertama kalinya menyatukan negara Islam di seluruh dunia dan lain-lain lagi.

Kisah yang menjadi duri dalam daging iaitu kisah surat terbuka Dr Mahathir kepada Tunku juga banyak menghiris kalbu Tunku. Di dalam surat yang ditulis oleh Dr. Mahathir ada juga benarnya, namun akibat daripada perbuatannya itu, Dr. Mahathir telah dipecat daripada UMNO. Dan ketika saya membaca buku ini juga saya dapati bahawa ada tindakan yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman betul dan ada yang dirasakan kurang tepat. Pada pandangan saya begitulah... apabila menjadi seorang pemimpin, setiap tindakan akan wujud serba tidak kena pada pandangan orang lain. Bukan semua yang dibuat oleh seorang pemimpin, disukai oleh orang ramai. Ada saja orang yang tidak suka. Hendak memenuhi kehendak semua orang memang sukar. Ada saja orang yang akan membangkang, memanipulasi, menjadikan isu terutama golongan yang berkepentingan dalam politik.

Antara korban tragedi 13 Mei 1969

Kemuncak peristiwa 13 Mei berdasarkan statistik diberikan Tunku dalam buku ini selepas tiga bulan dua hari dari tarikh 13 Mei ialah 184 orang telah terbunuh, 356 orang luka, 753 kejadian membakar bangunan dan 211 kenderaan dibakar. Kita berdoa agar peristiwa hitam sebegini tidak akan lagi berulang di negara kita. Hanya 14 tahun selepas merdeka, negara Malaysia dilanda krisis perkauman maha hebat yang pernah disaksikan.

Dakwaan kononnya rusuhan kaum dirancang oleh ‘kapitalis Melayu’ adalah tidak benar sama sekali. Dalam buku ’13 Mei Sebelum Dan Selepas’ Tunku tidak pernah menganggap peristiwa itu sebagai satu rampasan kuasa. Memang benar Tunku mengakui bahawa akibat peristiwa berdarah itu ada segelintir ahli UMNO yang beliau labelkan sebagai ‘pelampau’ ataupun ‘bijak pandai’ yang tidak menyenangi beliau kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi perasaan tidak puas hati bukan menjadi penyebab kepada berlakunyal rusuhan. Hal ini telah diperjelaskan oleh Tunku dalam Bab 15 bertajuk ‘Sepucuk Surat’ dan Bab 16 bertajuk ‘Perebutan Kuasa dalam UMNO’.

Buku ‘13 Mei Sebelum Dan Selepas’ ini wajar dibaca oleh generasi sekarang, dan untuk itu baiklah dicetak semula dalam edisi baru, boleh saja dijadikan Edisi 54 Tahun Merdeka supaya menjadi renungan. Goerge Santanaya kata sejarah akan berulang jika kita lupa sejarah. Saya yakin itu. Tapi saya juga percaya bahawa kuasa untuk mengubah sejarah yang bakal berulang juga ada dalam tangan kita sendiri; berkat usaha, doa dan tawakkal.

Perarakan meraikan kemenangan dalam pilihanraya oleh DAP

2. Buku ‘13 Mei 1969 Di Kuala Lumpur’

Manakala di pesta buku baru-baru ini saya berkesempatan membaca sebuah lagi buku yang berkaitan dengan peristiwa 13 Mei iaitu buku yang berjudul ‘13 Mei 1969 Di Kuala Lumpur’. Buku tersebut memaparkan kewujudan masyarakat majmuk dan hubungan kaum sejak kedatangan imigran ke negeri-negeri Melayu dan campur tangan British sehingga berlaku peristiwa 13 Mei 1969. Tahun 1960-an adalah era rusuhan kaum kerana sebelum tragedi 13 Mei 1969 yang dianggap sebagai kemuncak, turut berlaku beberapa rusuhan lain di Bukit Mertajam, Seberang Perai pada tahun 1964, Kuala Lumpur pada tahun 1965 dan Pulau Pinang pada tahun 1967.

Buku ini cuba menghubungkaitkan beberapa isu nasional yang dikatakan menjadi pemangkin kepada tercetusnya peristiwa 13 Mei. Rusuhan yang bermula di Setapak dan kemudiannya merebak ke pusat bandar Kuala Lumpur, Kampung Baru, Pudu dan Kampung Pandan telah menyebabkan 196 orang terkorban dan 149 orang cedera.

Antara isu-isu berkenaan adalah dasar-dasar yang diamalkan oleh British dan layanan tentera Bintang Tiga (komunis) terhadap orang Melayu selepas era pendudukan Jepun. Ia juga membabitkan dasar hak istimewa orang Melayu di negara ini yang dipertikaikan oleh kaum Cina, iaitu yang berkaitan dengan Perkara 152 dan 153 dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bagi Malaysia.

Faktor pemangkin lain adalah berkaitan ketidakadilan dalam pendidikan dan perkhidmatan awam terhadap orang bukan Melayu. Ia juga melihat hubungan kaum antara orang Melayu dengan orang Cina yang sentiasa tegang pada akhir tahun 1960-an, serta melihat bagaimana konflik politik, sosial dan ekonomi mendorong kepada tercetusnya peristiwa tersebut.

Buku ini penting sebagai suatu usaha untuk memaparkan sejarah tanah air dengan lebih jelas kerana sejarah hitam itu kerap dilihat dari sudut yang emosional. Dalam usaha untuk mendapatkan gambaran tepat tentang apa yang sebenarnya berlaku, penulis buku tersebut telah melakukan wawancara dengan penduduk kaum Melayu, Cina dan India di Kuala Lumpur yang terlibat secara langsung dengan tragedi berkenaan. Ia turut membincangkan peranan media massa dalam merangsang ketegangan kaum antara orang Melayu dan orang Cina.

Buku berkenaan turut memuatkan gambar-gambar tragedi terbabit yang sebelum ini pernah disiarkan dalam buku tulisan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertajuk ‘Mei 13 Sa-Belum dan Sa-Lepas’. Semoga peristiwa ini menjadi iktibar, teladan dan pengajaran kepada kita semua. Jangan biarkan sebarang bentuk rasa tidak puas hati, isu agama, isu bahasa dan lain-lain lagi isu sensitif dimanipulasikan untuk kepentingan tertentu sehingga tercetus semula konflik antara kaum di negara kita.

Kita harus insaf bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat kita lupakan buat selama-lamanya. Kerana kejadian itu menunjukkan kepada kita tentang bahaya-bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai atau cuai. Kita seharusnya bangga dengan apa yang telah kita capai. Dengan semangat perpaduan dan keharmonian serta kerjasama dan rasa muhibah, maka kita telah mengatasi segala kesulitan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran yang tidak ada tolok bandingnya. Oleh itu, amatlah mustahak bagi kita semua untuk cuba sedaya upaya hidup bersama-sama dan cuba memahami antara satu sama lain dengan semangat persefahaman, hormat-menghormati agar kita dapat memelihara keharmonian dan keamanan.

Rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang terburuk dialami oleh Malaysia. Peristiwa itu hampir-hampir memusnahkan negara ini. Alhamdulillah, dengan kebijaksanaan pemimpin dan semangat setia kawan rakyat, bencana itu telah dapat ditangani dan negara kembali pulih seperti sediakala. Banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada bencana itu. Antara yang terpenting ialah peri mustahaknya memperkukuhkan perasaan muhibah dan ikatan perpaduan antara kaum demi kestabilan politik dan keselamatan Malaysia yang berbilang kaum ini.

Penerbitan buku ini adalah tepat pada waktunya memandangkan pada akhir-akhir ini terdapat usaha oleh pihak-pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan fakta dan menimbulkan kekeliruan tentang peristiwa berdarah 13 Mei itu. Beberapa bulan sebelum Pesta Buku berlangsung, sebuah buku yang memperkatakan tentang peristiwa 13 Mei juga telah diterbitkan. Namun pendekatan yang digunakan jelas menolak bingkai kepercayaan lama bahawa kekacauan 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan dalam sosioekonomi kaum di negara ini, sebaliknya penulis buku tersebut mengemukakan tesis baharu iaitu kapitalis Melayu yang diketuai Tun Abdul Razak yang cuba untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman menjadi punca utama kepada tercetusnya peristiwa itu.

Walaupun sukar untuk mencari motif sebenar penulis buku itu membangkitkan sejarah berdarah 13 Mei, namun trend semasa menunjukkan wujud usaha untuk memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin negara, khususnya Tun Abdul Razak, Datuk Harun, Tun Mohammad Ghazali Shafie dan lain-lain, termasuk juga anggota-anggota keselamatan. Pandangan serong tersebut jelas sekali bersifat prejudis dan olahan perbincangannya, kiranya dibiar tidak dijawab, ditakuti akan dianggap sebagai satu dokumen yang sah untuk melegitimasikan dakwaan bahawa peristiwa 13 Mei itu adalah dirancang oleh ‘kapitalis Melayu’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA