Babi sering disebut secara sopan oleh orang Melayu dengan bunyi ejaan jawi ‘ba-alif-ba-ya’ atau dengan sebutan ‘ba’ sahaja. Saya tidak pasti mengapa orang Melayu (generasi lama terutama mak-bapa kita dulu) memanggilnya sebegitu, mungkin untuk menjaga hati rakan-rakan lain, atau kerana tidak sampai hati memanggilnya dengan sebutan yang sebenar - babi. Anak saya pernah buat lawak tentang babi. Katanya, anak babi jalan tunduk sebab malu emak bapanya babi. Sekarang orang lebih suka panggil khinzir. Tetapi saya lebih suka panggil babi.
Apa istimewanya haiwan yang bernama babi itu? Mengapa ia begitu penting kepada rakyat Malaysia? Hasil penyelidikan saya mendapati haiwan itu cukup penting dalam industri penternakan di Malaysia. Itu sebabnya banyak negeri tidak berapa peduli apabila bahan buangan daripada ladang-ladang ternakannya mencemarkan pantai-pantai dan sungai-sungai di negara ini. Yang penting industri ini amat menguntungkan. Contohnya, lihat apa yang berlaku kepada Pantai Morib, Banting, Selangor (berdekatan dengan rumah saya). Pantai Morib sudah lama dicemari najis babi yang dialirkan oleh kandang-kandang babi sekitarnya. Jadi, kalau nak bermandi-manda di Pantai Morib, fikirlah dua tiga kali.
Babi atau khinzir
Cuba lihat angka-angka ini. Mengikut perangkaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia melalui laman webnya www.dvs.gov.my - bilangan babi di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) pada tahun 2008 ialah sebanyak 1,733,466 ekor; lebih banyak berbanding kerbau 133,381 ekor, lembu 847,757 ekor, kambing 437,805 ekor dan biri-biri 124,749 ekor. Statistik sembelihan ternakan yang direkodkan oleh jabatan itu pada tahun 2008 pula; babi disembelih sebanyak 1,715,890 ekor, kerbau 11,847 ekor, lembu 102,010 ekor, kambing 15,186 ekor dan biri-biri 4,197 ekor.
Dipendekkan cerita, ekoran betapa pentingnya industri itu, sila baca keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 April 2008 (yang turut dipetik oleh laman web Badan Peguam Malaysiawww.malaysianbar.org.com pada 19 April 2008).
KUALA LUMPUR 18 April - Sekumpulan ahli perniagaan China baru-baru ini telah mengemukakan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport daging babi ke republik tersebut. Ketua Unit Penternakan Babi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Beh Kim Hee berkata, cadangan itu dibuat kerana harga daging babi yang ditawarkan di ladang-ladang negara ini cukup kompetitif, malah antara yang termurah di Asia.
Pantai Morib yang dicemari najis babi dari kandang yang berhampiran
Sehubungan itu, katanya, beberapa syarikat dari China menyatakan minat untuk bekerjasama dengan penternak babi Malaysia bagi menampung permintaan daging babi yang semakin tinggi di negara itu. ‘Beberapa buah syarikat menyatakan minat, tetapi kita tunggu dulu kunjungan wakil syarikat China itu ke Malaysia hujung bulan ini untuk membolehkan perbincangan lanjut. Setakat ini semuanya masih di peringkat awal dan tiada keputusan muktamad diambil,’ kata Kim Hee ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar The Sun pula memetik laporan Nanyang Siang Pau yang melaporkan bahawa Malaysia dalam perancangan mengeksport daging babi ke China buat pertama kalinya. Kim Hee dalam laporan itu berkata, urusan berhubung hal tersebut dilakukan dengan dua buah syarikat dari China selain usaha untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan. Beliau dipetik sebagai berkata, jika Malaysia dapat menjadi pengeksport babi ke China, para penternak akan berpeluang memperoleh pendapatan yang baik termasuk dari segi pertukaran wang asing memandangkan pasaran yang besar di negara itu.
China yang mempunyai penduduk lebih 1.2 bilion dilaporkan berhadapan dengan kekurangan bekalan daging babi berikutan permintaan yang semakin tinggi dalam kalangan penduduknya. Ekoran taraf yang semakin baik, permintaan daging babi di negara berkenaan dilaporkan meningkat hingga China terpaksa mengimport daging babi dari Thailand, tetapi langkah itu juga dikatakan tidak mencukupi.
Pantai Morib menggamit pengunjung dengan keindahannya
Malaysia sebelum ini turut mengeksport daging babi ke Singapura namun ia dihentikan selepas republik itu melarang import daging babi dari Malaysia berikutan penyebaran virus Nipah pada tahun 1998. Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Dr. Ibrahim Che Embong ketika diminta mengulas isu itu berkata, pihaknya belum menerima sebarang permintaan daripada para penternak babi berhubung penternakan besar-besaran untuk eksport ke China. Dari segi dasar, ujarnya, hanya ladang ternakan secara moden yang dibenarkan ditambah manakala soal sama ada boleh atau tidak bilangan babi ditingkatkan terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri.
Mengikut amalan, selaku tuan tanah, negeri yang buat dasar mengenai penternakan babi. Negeri-negeri memang hanya menumpukan untuk menampung keperluan babi dalam negara. Sejak dari tahun 2000, sudah tidak ada eksport babi termasuk ke Singapura. Statistik menunjukkan jumlah babi di Malaysia berjumlah 2.6 juta ekor tetapi babi boleh ditingkatkan pengeluarannya dengan cepat. Haiwan itu boleh beranak tiga kali setahun dan setiap kali beranak, ia boleh melahirkan 11 ekor anak. Mungkin sebab itu para penternak merancang terlebih dahulu dengan syarikat China kerana mereka tahu jumlah babi boleh ditingkatkan dalam masa yang singkat.
Berhati-hati jika nak bermandi-manda di Pantai Morib
Kesimpulan saya ialah: Industri penternakan babi ialah cukup lumayan. Oleh itu timbul persoalan sekarang... apakah ia membabitkan soal budaya atau ia telah menjadi isu komersial yang dikawal oleh kartel yang gagah dan orang politik hanyalah faktor untuk mengapi-apikan sahaja supaya isu itu kelihatan ‘amat penting’.
Kedua, besarnya industri penternakan babi di Malaysia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amat bertoleransi. Siapa kata orang Melayu Malaysia yang beragama Islam menentang penternakan itu? Jika tidak sudah tentulah tidak sebegitu besar industri tersebut. Kerajaan Negeri Selangor sendiri telah memperuntukkan RM 100 juta untuk industri penternakan haiwan ini dengan ladang moden yang sedang dirancangkan. Kalau dulu soal babi diketengahkan sebagai isu agama, kini soal komersial pula yang diagungkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan