Ahad, 1 Mei 2011

Reunion SMSAH 74-78 di De Palma Hotel Kuala Selangor Satu Memorabilia

Kecangggihan media baru begitu berjasa mempertemukan semula rakan-rakan terpisah sejak lebih 30 tahun dulu dalam satu pertemuan yang akrab dan sarat dengan kerinduan. Begitu yang penulis dapat katakan pada Reunion SMSAH 74-78 yang berlangsung di De Palma Hotel Kuala Selangor pada 30 April 2011 yang baru lalu. Pertemuan yang begitu nostalgik, satu memorabilia yang dapat dikenang sepanjang hayat penulis. Dikhabarkan bahawa De Palma Hotel merupakan antara hotel yang terbaik di Kuala Selangor. Tahniah kepada Puan Norizan Harun dan Saudara Idris Mat Ali yang begitu komited dan bijak kerana memilih hotel ini.

Zamri Hassan, Ramli dan penulis

Penulis pernah ke sini beberapa bulan yang lalu bersama Majlis Kebudayaan Selangor, memenuhi program Kembara Budaya di Bukit Melawati dan Old Dutch Fort. Setahu penulis, di hotel ini terdapat 48 jenis bilik deluxe and superior chalets and junior suites. Seperti lain-lain hotel juga, kemudahan yang terdapat di dalam bilik di sini adalah seperti katil single atau double dengan penghawa dingin dan bilik air, televisyen, telefon IDD, mini fridge, kemudahan membancuh air teh dan kopi.

Rakaman gambar untuk tatapan perpisahan

Menurut kacamata penulis, rancangan Reunion SMSAH 74-78 ini dibuat sudah lama, sekitar Januari 2011, akhirnya menjadi kenyataan juga pada tanggal 30 April 2011. Khabarnya, ramai juga yang memberi jaminan untuk hadir tetapi di saat akhir ada yang menarik diri atas pelbagai sebab tersendiri. Penulis sendiri sebenarnya punya tugasan yang sibuk juga kerana pada sebelah siangnya diminta menyampaikan ceramah budaya di Port Dickson tetapi lantaran terlalu rindu pada rakan-rakan sekolah, dan takut kalau-kalau tak mempunyai kesempatan di lain waktu, penulis gagahkan juga diri untuk hadir. Sebaik tamat ceramah penulis terus bergegas ke Kuala Selangor. Walaupun jalanraya agak sibuk dan macet namun syukur kerana sewaktu penulis tiba, acara belum dimulakan dan rakan-rakan sedang menjamu selera di bilik pertemuan.

Sahabat-sahabat perempuan bersama guru-guru

Aturcara yang bersahaja dipengacarakan oleh Saudara Idris Mat Ali telah menghidupkan suasana ceria. Rakan-rakan dipanggil ke pentas untuk memaparkan pelbagai kisah hidup. Penulis tertarik dengan luahan minda Dr Seri Buana tentang pelbagai informasi kesihatan yang memang tepat dengan usia kami yang rata-rata menjengah ‘senja’ ini kecuali Saudara Mat Rani yang setahun lebih muda. Begitu juga dengan kisah-kisah paparan rakan-rakan lain seperti Tarmizi, Mat Rani, Dr Reduan, Ramli, Zamri Tan, Raja Hamidah, Baynum, dan lain-lain lagi yang penulis tak dapat coretkan di sini, yang telah berjaya mengembalikan semula nostalgia lama sewaktu kami berada di SMSAH sekitar tahun 1974-1978. Ada yang begitu mencuit hati terutama kisah Tarmizi... (budak kecik hensem dan botak)

Agak kelam-kabut sikit waktu nak ambil gambar

Dalam senyum, ketawa dan rasa sebak mengimbau segala memori suka duka, kami juga terhibur dengan suara lemak merdu Noraini dengan lagunya Seri Dewi Malam. Begitu juga dengan Saudara Zack dan Zamri Hassan. Penulis tabik kagum dengan Zack yang memiliki suara yang masih bertenaga walaupun sudah berusia ‘veteran’. Dikhabarkan oleh isteri beliau (Puan Anom), Zack memang suka menyanyi, akan menyanyi jika ada kelapangan. Kadang-kadang dalam tidur pun dia menyanyi. Sebab itulah suaranya masih mantap. Tahniah Zack!!

Semuanya bergaya dan tersenyum. Lebih 30 tahun lalu semua gadis-gadis ni telah menjadi pujaan ramai...

Penulis juga terharu dengan kesudian tiga orang guru yang wajah mereka masih melepa erat dalam nubari penulis – Cikgu Fakhiruddin, Cikgu Abdullah dan Cikgu Sevarani. Walau telah lebih 30 berpisah tetapi wajah mereka masih seperti dulu, tenang, handsome dan ‘nampak garang’. Cikgu Fakhiruddin masih serius seperti dulu. Cikgu Abdullah pula masih ‘garang’ dengan lirikan matanya yang menyeramkan. Manakala Cikgu Sevarani masih lagi suka ‘bertanya’ dan punya ingatan yang masih kuat.

Bagi penulis, dalam keadaan serba ringkas, program Reunion SMSAH 74-78 ini telah berjaya meninggalkan kenangan yang terbaik untuk diri masing-masing. Berpeluang bertemu kembali kawan-kawan lama yang satu ketika dulu bersama-sama mengharungi suka duka hidup di asrama SMSAH. Kini walaupun sudah berkeluarga, ada yang sudah bercucu termasuk penulis sendiri, masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan tersendiri, kenangan ini insya-Allah akan dibawa hingga ke akhir hayat.

Sahabat-sahabat lelaki bersama guru-guru. Tahun 1978, semuanya masih remaja tapi la ni dah hampir 'menapous' malah ada yang dah 'menapous' termasuk penulis. Begitu kata Dr Seri Buana

Hampir 30 tahun terpisah antara satu sama lain, pertemuan yang singkat ini dapat mengubat rindu seketika. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi hadir – Lokman, Bakar, Mat Rani, Dr Seri Buana, Dr Alias, Dr Reduan, Zamri Hassan, Zamri Tan, Ishak Saiman, Suhim Wahab, Bakri Saad, Ramli, Idris, Tarmizi, Zack, Zaini, Baynum, Laila, Norizan, Saadiah, Hapipah, Raja Hamidah, Norhana, Ainon, Yon, Bastiah, Rosnah, Sulha, Noraini, Kanmany, Tabarol, Kamaliah dan semuanya termasuk guru-guru, suami isteri dan anak-anak masing-masing.

Bergambar sambil mengenang kisah lama

Kepada Dr Seri Buana, terima kasih di atas cadangan Reunion SMSAH 74-78 akan datang, yang akan diadakan di Pulau Redang atau Pulau Hentian (maaf, penulis tak berapa pasti). Semoga segala yang dirancang akan menjadi kenyataan, kita akan berjumpa lagi. Itu pun jika hayat masih ada, kudrat masih melepa dalam diri, dan kesempatan masih diberikan Azzawajalla. Sama-samalah kita berdoa agar diberi Allah semuanya semoga hasrat murni kita tercapai dengan jayanya. Insya-Allah!

Antara sahabat yang masih penulis ingat. Hapipah... senyumnya masih belum berubah

Berikut ini adalah sajak yang telah penulis baca pada malam tersebut:

Buat Pertama Kalinya; Catatan Kenangan

(sajak buat sahabat-sahabat SMSAH 74-78 sempena pertemuan di De Palma, Kuala Selangor pada 30 April 2011)

i

Buat pertama kalinya,

selepas lebih 30 tahun berlalu meninggalkan,

kudatangi kehijauan halamanmu SMSAH,

keramahan tidak lagi seperti dulu,

waktu yang sudah berlalu mahal harganya,

untuk menebar jaring keriangan,

untuk menggerbak harum kenangan,

yang pernah mengapung seluruh ruang,

kita bersama berenang di lautan persahabatan,

mengurung kiambang dari menghempas tebing,

sama-sama sengsara dihempap gelombang,

sama-sama gembira menghitung untung,

titis-titis kenangan yang sudah menjadi monumen,

damai SMSAH semakin jauh kita tinggalkan,

di hujung langit yang semakin tinggi,

bulan tidak tergapai lagi,

wasiat para guru tertinggal di ambang waktu,

persahabatan tidak lagi seakrab dulu,

masing-masing bersemadi menggenang airmata,

menyirat jala kenangan di warung usia.

Norhana dan Zamri. Norhana selalu telefon penulis bertanya khabar. Terima kasih Norhana!

Kusinggahi bangunan-bangunan lama SMSAH,

tempat dulu kita pernah bermain mesra,

masih setia menyimpan seribu rahsia,

asrama penginapan yang usang hiruk pikuk suara,

senda gurau dan gelak ketawa,

tiada lagi langkah silat panglima yang setia,

tiada lagi laksamana pagan pengawal samudera,

tiada lagi menteri yang fasih lidah berbicara,

temenggung dan syahbandar entah di mana,

dan tiada lagi bendahara yang gagah perkasa,

semuanya diam tanpa suara.


ii

Buat pertama kalinya,

selepas lebih 30 tahun berlalu meninggalkan,

kusujud syahdu di masjidmu SMSAH,

marmar di dahi tidak lagi sedingin salju,

berdiri di saf ini tidak lagi seriang dulu,

tiada lagi sahabat-sahabat yang melentuk di serambi tepi,

menunggu solat berlalu,

ruang santapan C Moosa pun menjadi merah,

dengan terkaman lapar yang menyimbah,

maka nyaring azan muazin pun hilang di awan tebal,

imarah khutbah tenggelam di ombak gelisah,

mimbar tidak lagi membawa khabar,

serambi masjid tempat kita sering bersama menjadi khali,

tiada lagi suara mengaji,

gejolak resah meladeni semua mimpi.

Laila - sahabat sekelas dengan penulis, masih cantik macam dulu juga

iii

Buat pertama kali,

selepas lebih 30 tahun berlalu meninggalkan,

aku melewati seluruh pojok SMSAH untuk melihat dedaun duka,

yang pernah bertebaran di halamannya,

duka yang sering mengharuk mata fikir,

dengan semarak sedar menghantui padang takdir,

kembaraku mencari arah yang memang sukar ditemui,

begitu parah akal ini walaupun hanya sekadar berperang dengan lautan pilu,

yang berjalan di hujung belantara tafsir,

semakin jauh berkelana dalam kenangan,

lewat padang nestapa dan semarak derita.

Antara sahabat yang hadir - Bakri, Dr Reduan, Dr Alias, Bakar dan Ishak

Ketika kubelah malam dengan ratib,

isaksendu yang menghampiri,

menghulur keyakinan arus menyusur,

adalah ketika mengakrabkan,

aku didakap ketenangan,

aku dipeluk kebahagiaan,

tidak putus memaut pasrah.

Semuanya tersenyum simpul

Tibalah malam-malam putih lagi suci,

mubarak yang menyemarak warak,

rimbun pohon-pohon meneduhi pedoman,

walaupun ada goda menduga keyakinan,

ketika ini akrab-Nya jua,

terasa sasa menyambut imbauan makna,

menggamit makmur takbir, tasbih dan tawakal,

mengharungi samudera kesal.

Dalam sengsaranya,

kuangkat bakat sastera dan bahasa,

memperkasa sahsiah agama dan bangsa,

menyemarak minda oleh tinta,

sungguh utuh dan kental, juang dan jatidiri,

yang tidak pernah betah melangkah,

tidak pernah mengira jarak jejak,

memburu kemanusiaan, berpuncak kebenaran,

meski tidak perkasa di hadapan Yang Maha Perkasa,

namun perkasa dalam lingkaran pengorbanan,

perkasa di serata ceruk,

mengalirkan dakwat seperti gelora laut.

Yon nampak sibuk melayan rakan-rakan

iv

Buat pertama kali,

selepas lebih 30 tahun berlalu meninggalkan,

SMSAH masih berdiri di situ,

di sini aku sering bermimpi tentang sungai kenangan,

yang telah lama dengkil ditimbuni kelodak masa,

hingga pohon-pohon persahabatan di dua tebingnya tak lagi rimbun,

sasa bagai dulu, menyediakan tempat burung-burung mesra bersarang,

kerana di sini mentari lunak membelai bak sutera,

menusuk ke kalbu kita yang terpisah dek kehendak masa,

sedang purnama SMSAH tetap seperti dulu, anggun bak perawan,

sinarnya bak silau mata siluman,

sedia menyihir langkah kaki dan derap rasa.

Namun ingatanku masih lekap di sini, bagai lama dulu,

pada sungai kenangan yang mesra,

pada pohon persahabatan yang sentiasa rimbun,

pada matahari dan purnama SMSAH yang setia,

walau lautan hidup terlalu keras arusnya,

pohon usia semakin terkuras kulitnya,

matahari rindu yang kian nipis cahayanya,

purnama SMSAH yang tak berdaya menguak kenangan silam.

v

Hari ini, buat pertama kali,

selepas lebih 30 tahun berlalu meninggalkan,

aku datang ke sini untuk membuka kembali lembaran kenangan,

yang pernah kita tulis bersama,

di setiap pojok SMSAH.

Kenangan adalah sepadang lalang,

akar dan bunganya menyelinap ke kebun rindu,

kenangan adalah segunung janji,

yang tidak pandai berdusta,

kenangan sentiasa mengajar kita menjadi manusia.

SMAHADZIR

10 Januari 2011







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA