Rabu, 27 April 2011

Jom Kita Tengok Orang Kampung

SMAHADZIR

BEBERAPA minggu lalu saya berada di Kampung Bukit Hijau, Baling, Kedah. Kampung saya sebuah desa pingitan yang jauh dari proses modenisasi kota, sungguh mengasyikkan dan menginsafkan. Berada di sini boleh melupakan sejenak hal ehwal di bandar dan pelbagai prasarana mewah yang terdapat di bandar. Kehidupan orang kampung berjalan seperti biasa. Jarang-jarang yang bercakap soal politik perkauman. Tiada yang bercakap yang bukan-bukan. Adalah seorang dua yang bercakap soal politik. Itu tak betul, ini tak betul, itu tak Islam, ini kafir, itu fitnah, ini zalim dan sebagainya.


Penoreh getah


Yang ramai bercakap soal harga getah yang melambung menyebabkan orang-orang kampung yang ada pokok getah tersengih sakan sepanjang hari. Kalau dulu asyik makan ikan keli masak kari dengan timun huma, sekarang ni sudah rajin makan McDonald atau KFC terutama bila keluar ke Sungai Petani. Yang bercakap soal siput gondang emas yang semakin mengganas di sawah-sawah padi pun ramai juga. Soal ikan sepat ronggeng, ikan haruan, ikan karen dan ikan puyu yang tak lagi wujud dalam bendang-bendang di kampung saya. Sehinggalah kepada soal elaun bilal masjid yang belum dibayar kerajaan negeri berbulan-bulan.


Marilah kita tengok-tengok dan insafi kehidupan orang kampung kita yang amat dicintai. Kehidupan orang yang masih lagi menjadi majoriti negara ini. Orang Melayu kampung yang masih kais pagi makan pagi dan masih mengharapkan belas ihsan bumi tercinta ini untuk mengeluarkan hasil terbaik. Hidup mereka bukan macam rakan kita di bandar dan pekan yang kemewahannya melimpah-ruah.


Petani baru pulang dari bendang membawa jerami


Rata-rata rakan-rakan kita khususnya yang berbangsa Cina yang berniaga di bandar-bandar seolah-olah lupa di mana bumi mereka berpijak. Mereka hidup dikelilingi wang ringgit dan kemewahan. Siang malam mesti cari wang. Sebaliknya, kehidupan orang kampung bersama Melayu amat-amat sederhana. Mereka cukup menghargai langit yang mereka junjung ini. Soal kulat di batang getah, soal hutan Bukit Hijau yang dipokah kerajaan negeri, soal hutan yang selama ini menjadi tempat untuk mencari rezeki seperti petai, genuak, keranji, rotan dan sebagainya juga soal siput gondang emas harus difikirkan. Siput itu tidak membawa untung sesen pun walaupun namanya emas. Ia memakan umbut-umbut padi, sehingga menjahanamkan tanaman tersebut. Itu yang harus difikirkan.


Namun, walaupun itu masalahnya, kehidupan harus diteruskan. Satu transformasi minda harus diterapkan ke dalam fikiran mereka. Cara mereka harus diubah. Kehidupan mereka harus ditingkatkan. Kita tiada pilihan selain menjaga baik-baik spesies majoriti negara ini. Perancangan harus difikirkan untuk masa depan mereka dan generasi mereka akan datang. Orang kampung tidak mengerti apa itu konsep 1Malaysia, apa itu NKRA, tidak faham apa itu negara Islam, tidak pernah sedar yang suatu hari nanti bangsa Melayu akan merempat di tanah air sendiri dan juga tidak pernah ambil tahu apa yang akan berlaku jika parlimen tidak lagi dikuasai oleh orang Melayu kerana mereka hanya dikelilingi oleh orang-orang dan corak kehidupan mereka sahaja.


Penanam sayur secara tradisional


Mungkin disebabkan itulah mereka susah. Tapi itu bukan alasannya untuk memencilkan mereka, jika rakan-rakan bangsa lain tidak mahu membantu, maka kerajaan yang masih dinaungi oleh bangsa majoriti itulah yang harus membantu. Bantulah bangsa Melayu ini. Mereka amat-amat memerlukan bantuan.


Satu mekanisme yang lebih mantap diperlukan bagi menjana bangsa ini dan orang-orang ini. Jangan ditumpukan sangat kepada kemewahan rakan-rakan kita di bandar-bandar yang wang mereka telah memenuhi akaun-akaun di bank. Hidup orang-orang kita di kampung-kampung harus diperkemaskan. Orang bendang, penoreh getah, nelayan, petani jangan dibiarkan terus menerus hidup seperti satu dua dekad dulu. Hidup mereka harus meningkat dan dipertingkatkan. Jika mereka tidak boleh membangun sendiri, mereka harus dibantu.


Menanam padi di bendang


Walaupun ada bantuan yang diberikan, ia harus diselaraskan dengan baik. Kakitangan kerajaan yang membantu mereka harus mempunyai sentimen kecintaan kepada bangsa, daripada sekadar makan gaji semata-mata. Semua pihak harus memainkan peranan. Satu sistem yang lebih moden harus diterapkan dalam pengurusan masyarakat desa dan kampung. Kita tidak mahu lagi melihat hidup mereka hari ini dan 20 tahun dulu, masih seperti itu. Infrastuktur kemudahan asas, kesihatan, kebersihan, pendidikan dan keagamaan harus dipertingkatkan.


Membajak bendang

Ambillah contoh sistem di Jepun atau Korea dalam menangani dan memajukan kehidupan di kampung dan desa. Program agensi masuk kampung harus diperhebatkan. Pertingkatkan program pertukaran teknikal mengenai pembangunan desa dengan pihak Jepun dan Korea itu misalnya ke dalam sistem perkampungan kita. Jika program-program ini banyak dikendalikan sekitar 70-an dulu, mengapa sudah terhenti sekarang? Apakah negara kita sudah maju dan tidak memerlukan lagi program seumpama itu? Biar sukarelawan mereka tinggal selama mana yang mereka mahu, supaya satu kajian ke arah penambahbaikan dapat dijalankan.

Menoreh getah secara pawah


Usaha membuka minda kepada teknologi dan pengetahuan harus ditingkatkan. Universiti dan pusat-pusat pengajian harus memainkan peranan. Bawa masuklah program-program magang ke desa-desa. Biar para pelajar itu bergaul dengan orang-orang kampung. Lakukan kajian terhadap kehidupan desa. Inap bersama-sama mereka. Selami perasaan mereka dan kehidupan mereka sebenar.


Sayangilah orang kampung dan desa. Taburkan lebih banyak peruntukan kepada mereka. Mereka merupakan majoriti penentu kepada kesinambungan masa depan negara ini. Mereka harus dipeduli dan diendahkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA