Sabtu, 17 Februari 2024

DI RICE TERRACE TEGALALANG

 

Setelah puas di Pura Puseh Batuan Temple,  kami dibawa pula ke Rice Terrace di Tegallalang, terletak di Dusun Ceking, Kecamatan Tegallalang, Kabupaten Gianyar. Datang ke sini membuatkan saya terkenang kembali zaman kecil-kecil dulu di Kedah, di mana lingkungan hidup saya adalah bendang. Tetapi rupa bentuk bendang di Tegallalang agak berbeza kerana bendang di sini berupa teres-teres yang dipotong dari bukit dan diairi untuk tanaman padi. Manakala bendang di Kedah berupa hamparan rata tanah yang diairi untuk tanaman padi.

Di Rice Terrace Tegallalang ini kita dapat berastirahat sembari menikmati kedamaian suasana ikonik Bali, teres sawah padi yang menghijau meliputi lereng bukit dan pohon kelapa melambai-lambai ditiup pawana. Kampung Tegallalang yang terletak di gaung sungai Bukit Ubud terkenal dengan teres sawah padinya. Bendang berteres ini adalah antara pemandangan yang sering dirakamkan gambarnya di Bali. Sedut udara yang segar, renung menembusi kabus yang meliputi gunung dan berteduh di bawah pokok kelapa sambil menikmati suasana kampung bersama anak dan isteri adalah antara aktiviti saya di sini.

Menurut Mas Arif, teres sawah padi ini berusia lebih 2,000 tahun. Para petani menggunakan alatan tangan klasik untuk membentuk teres seperti tangga di lereng gunung ini. Diperkukuhkan oleh tembok penahan, teres ini ialah sistem yang direka untuk memanfaatkan air yang mengalir turun dari puncak gunung. Padi ialah tanaman yang penting di Bali, ia merupakan makanan ruji dan teras upacara keagamaan. Pengurusan dan penanamannya diatur oleh pihak penguasa pusat kampung serta mengikut kalendar agama dan musim.

Kampung Tegallalang menjadi sesak kerana kampung ini digemari ramai. Untuk menyaksikan pemandangan yang indah dan kurang sesak, kita boleh pergi ke sebelah tepi teres tersebut. Kita juga boleh melihat pemandangan yang mengagumkan dari kafe di puncak bukit. Jika bercadang nak bersiar-siar sambil berjalan kaki, pastikan memakai kasut getah kerana ada bahagian jalan yang berair dan berlumpur.

Kampung Tegallalang turut terkenal dengan kesenian dan cenderahati kayu buatan tangan. Terdapat sebilangan peniaga yang menjual kraf tangan di bahu jalan dan kita boleh melihat-lihat barangan tempatan di kampung sekitarnya. Terletak di tengah-tengah Bali, Kampung Tegallalang sejauh 10 minit saja pemanduan dari Ubud.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA