Rabu, 17 April 2013

Sejarah Kegemilangan Kuala Langat

SMAHADZIR

Asal usul Kuala Langat boleh dikaitkan dengan sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Langat. Dari segi kedudukan Kuala Langat terletak di kuala sungai tersebut. Menurut sumber lisan ada yang mengatakan bahawa Langat itu berasal dari perkataan Minangkabau yang membawa maksud ‘air hangat’.



Menurut sumber tersebut lagi, pada masa dahulu pedagang-pedagang menggunakan Sungai Langat sebagai jalan perdagangan dan mereka mendapati air di bahagian kuala sungai tersebut sentiasa hangat. Lama-kelamaan tempat di persekitarannya disebut Kuala Langat. Satu lagi sumber lisan menyatakan terdapat banyak ikan selangat di dalam sungai tersebut. Masyarakat Melayu di sekitar sungai itu dahulu terlibat dengan kegiatan menangkap ikan. Ada logiknya nama Langat dikaitkan dengan banyaknya ikan selangat yang terdapat di sungai itu.



 Kuala Langat adalah salah satu dari sembilan daerah di Selangor. Ia bersempadan dengan daerah Klang dan Sepang. Sebahagian daerah Kuala Langat terletak di persisiran Selat Melaka. Pembangunan pesat kawasan seperti Putrajaya dan Lapangan Terbang KLIA telah meletakkan daerah ini kawasan yang strategik untuk pelaburan. Di samping itu, daerah ini disokong dengan kemudahan infrastuktur jalan raya yang baik yang menyambungkan ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Bandar DiRaja Klang, Pelabuhan Klang, Putrajaya dan KLIA.



Daerah Kuala Langat mempunyai keluasan seluas 87,704 hektar. Jumlah penduduk melebihi 200,000 orang dengan majoriti daripada bangsa Melayu, diikuti oleh Cina dan India serta sejumlah kecil orang-orang asli. Pada masa ini terdapat sebuah kawasan perindustrian bertaraf Zon Perdagangan Bebas di Telok Panglima Garang. Di sini terdapat kilang elektronik dan alat ganti kenderaan. Tanaman utama daerah ini adalah kelapa sawit. Selain itu, terdapat juga kawasan yang menarik di sini seperti Bukit Jugra, pantai Morib dan beberapa perkampungan homestay.



Institusi Kesultanan

Institusi kesultanan merupakan satu institusi yang tertua dalam konteks masyarakat dan kebudayaan Melayu. Institusi ini dapat dihubungkan dengan sistem politik dan konsep feudalisme Melayu sejak zaman berzaman lagi. Institusi kesultanan Melayu yang wujud sejak sebelum kemunculan Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah negara kita mencapai kemerdekaan telah meliputi konsep serta sistem sosial dan budaya masayarakat Melayu.


Kesultanan adalah lambang penting dan menjadi identiti Melayu. Institusi raja atau kesultanan sangat penting untuk mewujudkan satu sistem bermasyarakat dan berkerajaan. Bagaimanapun institusi kesultanan ini telah mengalami kemerosotan dan kejatuhan setelah kedatangan kuasa penjajah. Institusi ini terus merosot apabila British mula campurtangan dalam arena politik di Tanah Melayu.



Kesultanan Selangor

Kesultanan Selangor telah diasaskan oleh Raja Lumu (putera Yam Tuan Muda Johor Daeng Chelak atau Daeng Pali. Raja Lumu telah ditabalkan menjadi pemerintah Selangor oleh Sultan Perak, Sultan Mahmud (Raja Kimas) pada 1766. Raja Lumu telah memakai gelaran Sultan Selehuddin dan menjadikan Kuala Selangor sebagai pusat pentadbiran. Keturunan baginda memerintah Selangor hingga ke hari ini. 


Kuala Langat merupakan sebuah daerah dalam negeri Selangor yang pernah menjadi pusat pentadbiran Kesultanan Selangor pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad dan Sultan Alaeddin Sulaiman Shah. Baginda menjadikan Bandar dan Jugra sebagai pusat pentadbirannya. Bandar dan Jugra merupakan dua buah kampung yang disatukan dan dikenali sebagai Mukim Bandar-Jugra. Bandar dan Jugra terletak kira-kira 10 km dari pekan Banting.

Asal-Usul Nama Jugra

Bagi masyarakat Melayu, nama sesuatu tempat itu biasanya dirujuk daripada nama tumbuh-tumbuhan, nama binatang atau sesuatu peristiwa yang terjadi di tempat tersebut. Menurut ceritanya nama ‘Jugra’ diambil dari satu peristiwa di mana sekumpulan orang-orang asli dikumpulkan oleh Tok Batin untuk melakukan sesuatu kerja. Tok Batin itu dianggap sebagai ‘Juru Kerah’. 



Juru Kerah bermaksud ‘Ketua’. Dari perkataan ‘Juru Kerah’ maka muncullah nama ‘Jugra’. Tempat yang dinamakan Jugra meliputi kawasan dari kaki Bukit Jugra, Kampung Sungai Arak bersempadan dengan Kampung Kelanang dan pekan Codoi. Menurut catatan Tun Seri Lanang (1612) dalam Sejarah Melayu ada menyebut nama Jugra, Jeram dan Selangor yang telah wujud pada zaman Sultan Mansur Shah Melaka.



Pelabuhan Jugra ini juga pernah disinggahi oleh Laksama Hang Tuah pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dalam siri lawatannya ke Siam, India dan Ceylon. Hang Tuah dikatakan telah naik ke daratan dan menyabung ayam. Bukti kedatangan Hang Tuah ke Jugra dapat dilihat apabila terdapat kesan tapak kaki beliau di atas batu berhampiran dengan pelabuhan Jugra yang didapati lekuk dan kesan ini masih dapat dilihat hingga kini.


 Sultan Abdul Samad ialah putera Raja Abdullah, cucu Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 1805 di Kuala Selangor. Baginda bukanlah putera sultan yang memerintah malah tidak pernah dilantik sebagai Raja Muda. Setelah berkahwin dengan Raja Atfah (iaitu puteri Sultan Muhammad), baginda telah dilantik memegang jawatan Tengku Panglima Besar dan berkuasa di kawasan lembah Sungai Selangor. Setelah kemangkatan Sultan Muhammad (1857), para pembesar istana, Raja Jumaat dan Raja Atfah telah berpakat dan mengetepikan Raja Mahmud yang baru berusia 11 tahun telah dilantik sebagai Raja Muda dan menyokong Raja Abdul Samad sebagai Yang Dipertuan Negeri Selangor (1859).


Keadaan yang begitu meruncing tidak mengizinkan Sultan Abdul Samad terus bersemayam di Bukit Melawati Kuala Selangor. Baginda bersama pengikut-pengikutnya yang taat telah berpindah ke Jugra dalam daerah Langat (Kuala Langat) di suatu tempat yang dikenali dengan nama Bandar Temasya. Sesampai di Bandar Temasya baginda bersama-sama pengikutnya telah mendirikan sebuah istana, di samping beberapa buah rumah pengiring-pengiring baginda.



Sultan Abdul Samad memerintahkan pengikutnya membina keperluan asas seperti jalan darat, pengkalan perahu di Kuala Sungai Langat serta kawasan pertanian. Setelah dapat mengawal pengeluaran bijih timah, baginda mula membina istana baru di Jugra pada tahun 1872 yang lebih hampir dengan pelabuhan Batu Hampar bagi memudahkan pemunggahan bijih. Istana baru yang dibina oleh Sultan Abdul Samad di Bukit Jugra dinamakan ‘Istana Sedang Masa’.




Istana yang dibina di atas sebidang tanah lapang di pinggir Bukit Jugra dianggap kedudukannya yang paling baik. Bangunannya bertiang batu, berdinding dan berlantai papan kukuh. Bangunan ini berbentuk dua tingkat di bahagian bawahnya setinggi 10 kaki, mempunyai tangga papan tebal, Atapnya dibuat dari daun nipah. Kini hanya terdapat kesan tapak Istana Sedang Masa yang menjadi kenangan.




Perdagangan

Kepentingan Sungai Langat memang tidak dapat dinafikan sebagai laluan utama perdagangan sebagaimana kelaziman dalam masyarakat Melayu tradisional. Keterangan ini dikemukakan oleh John Anderson umpamanya menyebutkan bahawa pada tahap awal abad ke-19, penduduk Selangor tertumpu di kawasan lembah sungai. Bagi Kuala Langat, keadaan ini turut ditandai dengan wujudnya laluan perdagangan di Sungai Langat sejak abad ke-19 sehingga timbulnya nama-nama seperti Sungai Lang dan Labohan Dagang.



 Mengikut cerita penduduk kampung Permatang Pasir, pangkalan Batu Hampar di Jugra tempat tumpuan tongkang-tongkang dari hulu Sungai Langat membawa bijih timah, atap, rotan dan kelapa kering. Barang-barang tersebut disimpan di dalam gudang yang merupakan pejabat daerah sebelum kapal-kapal membawanya ke Singapura dan Pulau Pinang.



Campur Tangan British Di Selangor

Peristiwa serangan lanun ke atas kapal dagang milik British di Sungai Langat pada November 1873 dijadikan alasan oleh British untuk campur tangan dalam hal-ehwal pentadbiran negeri Selangor. Menurut ceritanya, Allang atau Tunku Allang ialah nama timang-timangan Raja Yaakub atau Tunku Yaakub, anak bongsu dan anak emas Sultan Abdul Samad dikatakan terlibat dalam rompakan tersebut bersama-sama Raja Mahmud dan Raja Bot.




Pada akhir Disember 1873 sebuah lagi kapal dari Melaka telah diserang tetapi tiada sebarang tindakan diambil. Lanun-lanun tersebut kemudiannya telah menyerang rumah api di Tanjung Tuan pada awal bulan Januari 1874. Rumah api itu telah didirikan oleh kerajaan British dengan kebenaran Sultan Abdul Samad pada 1872. Implikasi daripada peristiwa-peristiwa itu, Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir Andrew Clarke telah mengadakan rundingan dengan Sultan Abdul Samad.




Hasil daripada rundingan tersebut, seorang pegawai British iaitu Frank Swettenham telah ditempatkan bersama 20 orang sepoi untuk membantu sultan dan para pembesar menguruskan pemerintahan negeri. Menerusi perjanjian yang dibuat pada Disember 1874, British telah melantik James Guthrie Davidson sebagai Residen British yang pertama di Selangor dan Frank Swettenham sebagai Penolong Residen di Kuala Langat. Peristiwa itu meletakkan Selangor negeri naungan British.




Bagi melicinkan pentadbiran beberapa buah bangunan penting telah dibina antaranya ialah rumah kediaman pegawai daerah dan balai polis di sekitar kawasan tersebut. Untuk menjaga keselamatan dan keamanan sebuah balai polis telah diwujudkan di Bukit Jugra pada tahun 1875 dan kedudukannya berhampiran dengan pelabuhan Jugra. Selain daripada memudahkan pengawalan lanun, bangunan tersebut juga digunakan sebagai tempat untuk menyimpan hasil bijih timah milik Sultan Abdul Samad.



Mengikut sistem pemerintahan British setiap daerah ditadbir oleh seorang pegawai daerah. Rumah pegawai daerah yang pertama telah dibina di pinggir Bukit Jugra menghadap ke Kuala Sungai Langat dan kedudukannnya lebih tinggi dari kawasan makam Almarhum Jugra. Apa yang nyata, bangunan ini dibina di tempat yang menarik dengan udara yang dingin dan menyedarkan. Dari strukturnya, bangunan tersebut menggambarkan rumah itu jenis kelas atasan bagi pegawai penjajah Inggeris.



Pegawai daerah pertama yang mentadbir Kuala Langat tidak dapat dikenal pasti. Namun tiga orang pegawai daerah daripada bangsa Inggeris sempat menjadi pegawai daerah iaitu Tuan Nomad, Tuan Adam dan Tuan Clayton. Kini bekas bangunan rumah kediaman pegawai daerah ini hampir musnah kerana tapak kediaman itu telah dikorek untuk mendapatkan tanah bagi menimbus kawasan rendah.



Makam Jugra

Bukit Pertama (Bukit Jugra) digelar Bukit Makam kerana terdapat berpuluh-puluh buah makam. Boleh dikatakan 80% daripada makam-makam ini adalah makam keluarga diraja Selangor khasnya keluarga Almarhum Sultan Abdul Samad. Di antara beberap buah makam diraja di sini terdapat makam Almarhum Sultan Abdul Samad yang telah mangkat pada 6 Februari 1898 (Ahad) jam 10.45 pagi ketika berusia 93 tahun. Baginda juga digelar ‘Marhum Jugra’. Di samping makam baginda terdapat makam-makam kerabat diraja Selangor seperti makam Tengku Atfah, makam Tengku Musa Tengku Ibni Shah, makam Tengku Musa Abdullah, makam Tengku Tahir @ Tengku Kahar, Makam Tengku Arfah, makam Tengku Mahani, makam Tengku Puteri Aminah, dan makam Tengku Putih. Selain itu terdapat juga makam isteri baginda, makam Tengku Mahrum. Jauh sedikit daripada makam keluarga diraja terdapat beberapa buah makam para pengiring dan pengawal peribadi baginda yang dikenali sebagai ‘Panglima Hitam’. 



Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Raja Muda Musa, cucunda kesayangan Almarhum Sultan Abdul Samad telah diisytiharkan sebagai Sultan Selangor ke-V di Istana Jugra (Istana Sedang Masa). Majlis perisytiharan itu telah dihadiri oleh para pembesar negeri dan turut dihadiri oleh William Hood Treacher, Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Istiadat pertabalan Tengku Sulaiman sebagai Sultan Selangor ke-V telah diadakan pada tanggal 22 Oktober 1903 di Istana Mahkota Puri Kelang, dengan gelaran Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah.




Baginda merupakan sultan yang pertama semasa pertabalan memakai mahkota yang bertatahkan intan berlian. Sebelum ini sultan yang ditabalkan hanya memakai sejenis songkok cara Bugis yang disebut Songkok Leleng (Liling). Mahkota Leleng ini diperbuat dari emas yang berasal dari Bugis. Disebabkan dalam Islam orang lelaki diharamkan memakai barang-barang kemas maka mahkota ini turut dipecahkan oleh Shahibul Fadzillah Tuan Sheikh Abd Ghani, seorang ulama Islam dari Sumatera yang menjadi guru kepada Sultan Muhammad iaitu Sultan Selangor ke-3.




Pada masa Sultan Abdul Samad, baginda hanya memakai tanjak dari kain sutera dari Bugis sahaja. Apabila pertabalan Sultan Alauddin Sulaiman Shah ini hendak dilangsungkan, sebuah mahkota telah ditempah daripada seorang tukang pandai jawa (Encik Hasan dan Encik Mat) dengan harga $ 12,000.00.




Istana Bandar

Istana Temasya dibina oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada tahun 1899 dengan perbelanjaan baginda sendiri di sebuah perkampungan yang bernama Bandar. Istana ini dibina mengikut senibina Timur Tengah dan mempunyai 40 buah bilik. Itulah sebabnya istana ini juga dikenali sebagai Istana 40 Bilik. Pembinaan istana ini sungguh kukuh, di bahagian tengahnya terdapat 2 tingkat mengandungi 4 bilik utama iaitu bilik peraduan, bilik mengadap, bilik tetamu dan persemayaman baginda sultan. Bahan binaan di bahagian atas istana ini diperbuat daripada kayu cengal dan diukir serta dilorek mengikut corak tertentu oleh tukang yang mahir yang mengambarkan seni Islam tulen. Dari bahagian tengah bersambung hingga ke pintu besar arah ke selatan.

Di bahagian mengarah ke utara di adakan beranda iaitu kawasan lapang tidak beratap dan berdinding dengan kisi-kisi batu sebagi tempat berehat pada waktu petang atau malam. Tempat ini juga pernah diadakan jamuan kecil diraja.

Jika dipandang dari arah utara, istana ini mempunyai tiga bumbung berkembar tetapi jika dilihat dari rusuk istana ini mempunyai bumbung yang sejajar kecuali di bahagaian hadapannya. Jika ditilik dari perbuatan dan bentuk bangunan ini ada persamaannya dengan Istana Mahkota Kelang. Dari seni pahat dan ukirannya mengambarkan seni bina Islam tulen di bahagian pintu dan tingkap keadaannya melengkung. Di setiap sudut terdapat tiang-tiang kecil meruncing ke atas di beberapa tempat. Sesekali terbayang juga di hati kita istana ini mirip bangunan istana Alhambra di Granada, Sepanyol yang pernah disebut sebagai seni bina Moor (Moorish architecture).

Selain itu dari kawasan berdinding disediakan pula sebuah pintu kecemasan menghala ke kawasan tanah lapang bertembok setinggi 2 kaki. Dari kawasan lapang terdapat dua buah pintu untuk keluar. Kemungkinan pintu ini sebagai persediaan jika berlaku perkara-perkara yang mencemaskan. Susunan bilik-bilik di dalamnya diatur dengan rapi seolah-olah merupakan petak-petak bilik pejabat kerajaan mengelilingi sekitar bangunan.

Keadaan istana ini kelihatan masih kukuh tersergam indah di atas sebidang tanah lapang. Pada 1978 ada ura-ura kerajaan Selangor akan mengeluarkan suatu peruntukan yang besar untuk memperbaik istana ini supaya keadaannya terpelihara dan menjadi kesan sejarah lambang kegemilangan kerajaan Selangor pada zaman silam. Ketika itu boleh dikatakan istana ini adalah salah sebuah istana yang tercantik, bukan sahaja pada bentuk dan perhiasannya tetapi juga reka bentuknya. Jika dibandingkan dengan istana Sultan Deli yang dibina dalam tahun 1898, istana ini adalah lebih indah dan menarik. Istana Sultan Deli lebih besar dan dibentuk menurut keadaan dan alam Deli, Sumatera Utara. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA