SMAHADZIR
Asal usul Kuala Langat boleh dikaitkan dengan
sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Langat. Dari segi kedudukan Kuala
Langat terletak di kuala sungai tersebut. Menurut sumber lisan ada yang
mengatakan bahawa Langat itu berasal dari perkataan Minangkabau yang membawa
maksud ‘air hangat’.
Menurut sumber tersebut lagi, pada masa dahulu
pedagang-pedagang menggunakan Sungai Langat sebagai jalan perdagangan dan
mereka mendapati air di bahagian kuala sungai tersebut sentiasa hangat. Lama-kelamaan
tempat di persekitarannya disebut Kuala Langat. Satu lagi sumber lisan
menyatakan terdapat banyak ikan selangat di dalam sungai tersebut. Masyarakat
Melayu di sekitar sungai itu dahulu terlibat dengan kegiatan menangkap ikan. Ada
logiknya nama Langat dikaitkan dengan banyaknya ikan selangat yang terdapat di
sungai itu.
Kuala Langat adalah salah satu dari sembilan
daerah di Selangor. Ia bersempadan dengan
daerah Klang dan Sepang. Sebahagian daerah Kuala Langat terletak
di persisiran Selat Melaka. Pembangunan pesat kawasan seperti Putrajaya
dan Lapangan Terbang KLIA telah meletakkan daerah ini kawasan yang strategik
untuk pelaburan. Di samping itu, daerah ini disokong dengan kemudahan
infrastuktur jalan raya yang baik yang menyambungkan ke Pusat
Bandaraya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Bandar DiRaja Klang,
Pelabuhan Klang, Putrajaya dan KLIA.
Daerah Kuala Langat mempunyai keluasan seluas 87,704
hektar. Jumlah penduduk melebihi 200,000 orang dengan majoriti daripada
bangsa Melayu, diikuti oleh Cina dan India serta
sejumlah kecil orang-orang asli. Pada masa ini terdapat sebuah kawasan
perindustrian bertaraf Zon Perdagangan Bebas di Telok Panglima Garang. Di sini
terdapat kilang elektronik dan alat ganti kenderaan. Tanaman utama daerah ini
adalah kelapa sawit. Selain itu, terdapat juga kawasan yang menarik di
sini seperti Bukit Jugra, pantai Morib dan beberapa perkampungan homestay.
Institusi Kesultanan
Institusi kesultanan merupakan satu institusi yang
tertua dalam konteks masyarakat dan kebudayaan Melayu. Institusi ini dapat
dihubungkan dengan sistem politik dan konsep feudalisme Melayu sejak zaman
berzaman lagi. Institusi kesultanan Melayu yang wujud sejak sebelum kemunculan
Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah negara kita mencapai kemerdekaan telah
meliputi konsep serta sistem sosial dan budaya masayarakat Melayu.
Kesultanan adalah lambang penting dan menjadi
identiti Melayu. Institusi raja atau kesultanan sangat penting untuk mewujudkan
satu sistem bermasyarakat dan berkerajaan. Bagaimanapun institusi kesultanan
ini telah mengalami kemerosotan dan kejatuhan setelah kedatangan kuasa penjajah.
Institusi ini terus merosot apabila British mula campurtangan dalam arena
politik di Tanah Melayu.
Kesultanan Selangor
Kesultanan Selangor telah diasaskan oleh Raja Lumu
(putera Yam Tuan Muda Johor Daeng Chelak atau Daeng Pali. Raja Lumu telah
ditabalkan menjadi pemerintah Selangor oleh Sultan Perak, Sultan Mahmud (Raja
Kimas) pada 1766. Raja Lumu telah memakai gelaran Sultan Selehuddin dan
menjadikan Kuala Selangor sebagai pusat pentadbiran. Keturunan baginda
memerintah Selangor hingga ke hari ini.
Kuala Langat merupakan sebuah daerah dalam negeri
Selangor yang pernah menjadi pusat pentadbiran Kesultanan Selangor pada zaman
pemerintahan Sultan Abdul Samad dan Sultan Alaeddin Sulaiman Shah. Baginda
menjadikan Bandar dan Jugra sebagai pusat pentadbirannya. Bandar dan Jugra
merupakan dua buah kampung yang disatukan dan dikenali sebagai Mukim Bandar-Jugra.
Bandar dan Jugra terletak kira-kira 10 km dari pekan Banting.
Asal-Usul Nama Jugra
Bagi masyarakat Melayu, nama sesuatu tempat itu
biasanya dirujuk daripada nama tumbuh-tumbuhan, nama binatang atau sesuatu
peristiwa yang terjadi di tempat tersebut. Menurut ceritanya nama ‘Jugra’ diambil
dari satu peristiwa di mana sekumpulan orang-orang asli dikumpulkan oleh Tok
Batin untuk melakukan sesuatu kerja. Tok Batin itu dianggap sebagai ‘Juru Kerah’.
Juru Kerah bermaksud ‘Ketua’. Dari perkataan ‘Juru Kerah’
maka muncullah nama ‘Jugra’. Tempat yang dinamakan Jugra meliputi kawasan dari
kaki Bukit Jugra, Kampung Sungai Arak bersempadan dengan Kampung Kelanang dan pekan
Codoi. Menurut catatan Tun Seri Lanang (1612) dalam Sejarah Melayu ada menyebut nama Jugra, Jeram dan Selangor yang
telah wujud pada zaman Sultan Mansur Shah Melaka.
Pelabuhan Jugra ini juga pernah disinggahi oleh
Laksama Hang Tuah pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dalam siri
lawatannya ke Siam, India dan Ceylon. Hang Tuah dikatakan telah naik ke daratan
dan menyabung ayam. Bukti kedatangan Hang Tuah ke Jugra dapat dilihat apabila
terdapat kesan tapak kaki beliau di atas batu berhampiran dengan pelabuhan
Jugra yang didapati lekuk dan kesan ini masih dapat dilihat hingga kini.
Sultan Abdul Samad ialah putera Raja Abdullah, cucu
Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 1805 di Kuala Selangor. Baginda bukanlah
putera sultan yang memerintah malah tidak pernah dilantik sebagai Raja Muda. Setelah
berkahwin dengan Raja Atfah (iaitu puteri Sultan Muhammad), baginda telah
dilantik memegang jawatan Tengku Panglima Besar dan berkuasa di kawasan lembah
Sungai Selangor. Setelah kemangkatan Sultan Muhammad (1857), para pembesar
istana, Raja Jumaat dan Raja Atfah telah berpakat dan mengetepikan Raja Mahmud
yang baru berusia 11 tahun telah dilantik sebagai Raja Muda dan menyokong Raja
Abdul Samad sebagai Yang Dipertuan Negeri Selangor (1859).
Keadaan yang begitu meruncing tidak mengizinkan
Sultan Abdul Samad terus bersemayam di Bukit Melawati Kuala Selangor. Baginda bersama
pengikut-pengikutnya yang taat telah berpindah ke Jugra dalam daerah Langat
(Kuala Langat) di suatu tempat yang dikenali dengan nama Bandar Temasya.
Sesampai di Bandar Temasya baginda bersama-sama pengikutnya telah mendirikan
sebuah istana, di samping beberapa buah rumah pengiring-pengiring baginda.
Sultan Abdul Samad memerintahkan pengikutnya membina
keperluan asas seperti jalan darat, pengkalan perahu di Kuala Sungai Langat
serta kawasan pertanian. Setelah dapat mengawal pengeluaran bijih timah, baginda
mula membina istana baru di Jugra pada tahun 1872 yang lebih hampir dengan
pelabuhan Batu Hampar bagi memudahkan pemunggahan bijih. Istana baru yang
dibina oleh Sultan Abdul Samad di Bukit Jugra dinamakan ‘Istana Sedang Masa’.
Istana yang dibina di atas sebidang tanah lapang di
pinggir Bukit Jugra dianggap kedudukannya yang paling baik. Bangunannya
bertiang batu, berdinding dan berlantai papan kukuh. Bangunan ini berbentuk dua
tingkat di bahagian bawahnya setinggi 10 kaki, mempunyai tangga papan tebal,
Atapnya dibuat dari daun nipah. Kini hanya terdapat kesan tapak Istana Sedang
Masa yang menjadi kenangan.
Perdagangan
Kepentingan Sungai Langat memang tidak dapat
dinafikan sebagai laluan utama perdagangan sebagaimana kelaziman dalam
masyarakat Melayu tradisional. Keterangan ini dikemukakan oleh John Anderson umpamanya
menyebutkan bahawa pada tahap awal abad ke-19, penduduk Selangor tertumpu di
kawasan lembah sungai. Bagi Kuala Langat, keadaan ini turut ditandai dengan
wujudnya laluan perdagangan di Sungai Langat sejak abad ke-19 sehingga
timbulnya nama-nama seperti Sungai Lang dan Labohan Dagang.
Mengikut cerita penduduk kampung Permatang Pasir,
pangkalan Batu Hampar di Jugra tempat tumpuan tongkang-tongkang dari hulu
Sungai Langat membawa bijih timah, atap, rotan dan kelapa kering. Barang-barang
tersebut disimpan di dalam gudang yang merupakan pejabat daerah sebelum
kapal-kapal membawanya ke Singapura dan Pulau Pinang.
Campur Tangan British Di Selangor
Peristiwa serangan lanun ke atas kapal dagang milik
British di Sungai Langat pada November 1873 dijadikan alasan oleh British untuk
campur tangan dalam hal-ehwal pentadbiran negeri Selangor. Menurut ceritanya,
Allang atau Tunku Allang ialah nama timang-timangan Raja Yaakub atau Tunku
Yaakub, anak bongsu dan anak emas Sultan Abdul Samad dikatakan terlibat dalam
rompakan tersebut bersama-sama Raja Mahmud dan Raja Bot.
Pada akhir Disember 1873 sebuah lagi kapal dari
Melaka telah diserang tetapi tiada sebarang tindakan diambil. Lanun-lanun
tersebut kemudiannya telah menyerang rumah api di Tanjung Tuan pada awal bulan
Januari 1874. Rumah api itu telah didirikan oleh kerajaan British dengan
kebenaran Sultan Abdul Samad pada 1872. Implikasi daripada peristiwa-peristiwa
itu, Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir Andrew Clarke telah mengadakan
rundingan dengan Sultan Abdul Samad.
Hasil daripada rundingan tersebut, seorang pegawai
British iaitu Frank Swettenham telah ditempatkan bersama 20 orang sepoi untuk
membantu sultan dan para pembesar menguruskan pemerintahan negeri. Menerusi
perjanjian yang dibuat pada Disember 1874, British telah melantik James Guthrie
Davidson sebagai Residen British yang pertama di Selangor dan Frank Swettenham
sebagai Penolong Residen di Kuala Langat. Peristiwa itu meletakkan Selangor negeri
naungan British.
Bagi melicinkan pentadbiran beberapa buah bangunan
penting telah dibina antaranya ialah rumah kediaman pegawai daerah dan balai
polis di sekitar kawasan tersebut. Untuk menjaga keselamatan dan
keamanan sebuah balai polis telah diwujudkan di Bukit Jugra pada tahun
1875 dan kedudukannya berhampiran dengan pelabuhan Jugra. Selain daripada
memudahkan pengawalan lanun, bangunan tersebut juga digunakan sebagai tempat
untuk menyimpan hasil bijih timah milik Sultan Abdul Samad.
Mengikut sistem pemerintahan British setiap daerah
ditadbir oleh seorang pegawai daerah. Rumah pegawai daerah yang pertama telah
dibina di pinggir Bukit Jugra menghadap ke Kuala Sungai Langat dan
kedudukannnya lebih tinggi dari kawasan makam Almarhum Jugra. Apa yang nyata, bangunan
ini dibina di tempat yang menarik dengan udara yang dingin dan menyedarkan. Dari
strukturnya, bangunan tersebut menggambarkan rumah itu jenis kelas atasan bagi
pegawai penjajah Inggeris.
Pegawai daerah pertama yang mentadbir Kuala Langat
tidak dapat dikenal pasti. Namun tiga orang pegawai daerah daripada bangsa
Inggeris sempat menjadi pegawai daerah iaitu Tuan Nomad, Tuan Adam dan
Tuan Clayton. Kini bekas bangunan rumah kediaman pegawai daerah ini hampir
musnah kerana tapak kediaman itu telah dikorek untuk mendapatkan tanah bagi
menimbus kawasan rendah.
Makam Jugra
Bukit Pertama (Bukit Jugra) digelar Bukit Makam
kerana terdapat berpuluh-puluh buah makam. Boleh dikatakan 80% daripada
makam-makam ini adalah makam keluarga diraja Selangor khasnya keluarga Almarhum
Sultan Abdul Samad. Di antara beberap buah makam diraja di sini terdapat makam
Almarhum Sultan Abdul Samad yang telah mangkat pada 6 Februari 1898 (Ahad) jam
10.45 pagi ketika berusia 93 tahun. Baginda juga digelar ‘Marhum Jugra’. Di
samping makam baginda terdapat makam-makam kerabat diraja Selangor seperti makam
Tengku Atfah, makam Tengku Musa Tengku Ibni Shah, makam Tengku Musa Abdullah, makam
Tengku Tahir @ Tengku Kahar, Makam Tengku Arfah, makam Tengku Mahani, makam
Tengku Puteri Aminah, dan makam Tengku Putih. Selain itu terdapat juga makam
isteri baginda, makam Tengku Mahrum. Jauh sedikit daripada makam keluarga
diraja terdapat beberapa buah makam para pengiring dan pengawal peribadi
baginda yang dikenali sebagai ‘Panglima Hitam’.
Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Raja Muda Musa,
cucunda kesayangan Almarhum Sultan Abdul Samad telah diisytiharkan sebagai
Sultan Selangor ke-V di Istana Jugra (Istana Sedang Masa). Majlis perisytiharan
itu telah dihadiri oleh para pembesar negeri dan turut dihadiri oleh William
Hood Treacher, Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Istiadat
pertabalan Tengku Sulaiman sebagai Sultan Selangor ke-V telah diadakan pada
tanggal 22 Oktober 1903 di Istana Mahkota Puri Kelang, dengan gelaran Sultan
Ala’eddin Sulaiman Shah.
Baginda merupakan sultan yang pertama semasa
pertabalan memakai mahkota yang bertatahkan intan berlian. Sebelum ini sultan
yang ditabalkan hanya memakai sejenis songkok cara Bugis yang disebut Songkok
Leleng (Liling). Mahkota Leleng ini diperbuat dari emas yang berasal dari Bugis.
Disebabkan dalam Islam orang lelaki diharamkan memakai barang-barang kemas maka
mahkota ini turut dipecahkan oleh Shahibul Fadzillah Tuan Sheikh Abd Ghani,
seorang ulama Islam dari Sumatera yang menjadi guru kepada Sultan Muhammad
iaitu Sultan Selangor ke-3.
Pada masa Sultan Abdul Samad, baginda hanya memakai
tanjak dari kain sutera dari Bugis sahaja. Apabila pertabalan Sultan Alauddin
Sulaiman Shah ini hendak dilangsungkan, sebuah mahkota telah ditempah daripada
seorang tukang pandai jawa (Encik Hasan dan Encik Mat) dengan harga $ 12,000.00.
Istana Bandar
Istana Temasya dibina oleh Sultan Alauddin Sulaiman
Shah pada tahun 1899 dengan perbelanjaan baginda sendiri di sebuah perkampungan
yang bernama Bandar. Istana ini dibina mengikut senibina Timur Tengah dan
mempunyai 40 buah bilik. Itulah sebabnya istana ini juga dikenali sebagai
Istana 40 Bilik. Pembinaan istana ini sungguh kukuh, di bahagian tengahnya
terdapat 2 tingkat mengandungi 4 bilik utama iaitu bilik peraduan, bilik
mengadap, bilik tetamu dan persemayaman baginda sultan. Bahan binaan di
bahagian atas istana ini diperbuat daripada kayu cengal dan diukir serta
dilorek mengikut corak tertentu oleh tukang yang mahir yang mengambarkan seni
Islam tulen. Dari bahagian tengah bersambung hingga ke pintu besar arah ke
selatan.
Di bahagian mengarah ke utara di adakan beranda
iaitu kawasan lapang tidak beratap dan berdinding dengan kisi-kisi batu sebagi
tempat berehat pada waktu petang atau malam. Tempat ini juga pernah diadakan
jamuan kecil diraja.
Jika dipandang dari arah utara, istana ini mempunyai
tiga bumbung berkembar tetapi jika dilihat dari rusuk istana ini mempunyai
bumbung yang sejajar kecuali di bahagaian hadapannya. Jika ditilik dari
perbuatan dan bentuk bangunan ini ada persamaannya dengan Istana Mahkota Kelang.
Dari seni pahat dan ukirannya mengambarkan seni bina Islam tulen di bahagian
pintu dan tingkap keadaannya melengkung. Di setiap sudut terdapat tiang-tiang
kecil meruncing ke atas di beberapa tempat. Sesekali terbayang juga di hati
kita istana ini mirip bangunan istana Alhambra di Granada, Sepanyol yang pernah
disebut sebagai seni bina Moor (Moorish
architecture).
Selain itu dari kawasan berdinding disediakan pula
sebuah pintu kecemasan menghala ke kawasan tanah lapang bertembok setinggi 2
kaki. Dari kawasan lapang terdapat dua buah pintu untuk keluar. Kemungkinan
pintu ini sebagai persediaan jika berlaku perkara-perkara yang mencemaskan. Susunan
bilik-bilik di dalamnya diatur dengan rapi seolah-olah merupakan petak-petak
bilik pejabat kerajaan mengelilingi sekitar bangunan.
Keadaan istana ini kelihatan masih kukuh tersergam
indah di atas sebidang tanah lapang. Pada 1978 ada ura-ura kerajaan Selangor
akan mengeluarkan suatu peruntukan yang besar untuk memperbaik istana ini
supaya keadaannya terpelihara dan menjadi kesan sejarah lambang kegemilangan
kerajaan Selangor pada zaman silam. Ketika itu boleh dikatakan istana ini
adalah salah sebuah istana yang tercantik, bukan sahaja pada bentuk dan
perhiasannya tetapi juga reka bentuknya. Jika dibandingkan dengan istana Sultan
Deli yang dibina dalam tahun 1898, istana ini adalah lebih indah dan menarik. Istana
Sultan Deli lebih besar dan dibentuk menurut keadaan dan alam Deli, Sumatera
Utara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan