Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025
yang baru dipaparkan untuk ulasan orang ramai, mula mendapat pelbagai reaksi.
Ada kupasan yang membina kerana ditafsir secara positif dan rasional. Tidak
kurang juga yang mengkritik dengan penuh emosi, lalu merumuskan sesetengah
aspek pendidikan kita dipolitikkan.
Antaranya ketetapan untuk terus memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ia ditafsirkan bukan saja
langkah ke belakang dalam tindakan untuk mengembangkan sistem pendidikan
negara, lebih malang ditohmahkan sebagai keputusan politik populis. Ia
dipolitikkan untuk meraih sokongan kelompok yang menentang PPSMI, dipercayai
lebih ramai daripada menyokongnya.
Ada juga yang menaruh prasangka keputusan itu strategi bersifat
konspirasi dengan penentang PPSMI. Ada pula mengaitkannya dengan penggunaan
kuasa oleh pemerintah, secara melulu. Sebenarnya keputusan ini dibuat dengan
mengambil kira kepentingan setiap lapisan dan sektor penduduk di negara
ini.
Ketetapan terus mansuh PPSMI adalah keputusan pendidikan murni yang
mengambil kira aspirasi nasional, dalam konteks jati diri kebangsaan. Sudah
tentu, ia bukan tindakan terburu-buru, baik untuk memperoleh dukungan
populisme, atau sebagai rancangan mengkhianati bahasa Inggeris, mahupun selaku
kekuasaan mutlak pemerintahan ala diktator. Ia merupakan teras digubal dan
sistem disusun, yang mengambil kira keadaan dilalui rakyat. Sehubungan ini,
segala kesulitan dirasai, ditempuhi dan ditanggung jutaan penuntut kita akibat
pelaksanaan PPSMI, bukan saja diambil kira.
Lebih penting ia dilupuskan agar mereka bukan saja seronok, tetapi
berjaya memahami hubung kait di antara angka dengan bentuk dalam Matematik
serta pengetahuan sistematik tentang dunia fizikal dalam Sains. Semua ini
disampaikan dan dapat difahami dengan baik melalui bahasa Melayu yang menjadi
bahasa negara kita.
PPSMI dimansuhkan kerana ia tidak dapat diikuti dengan baik oleh
penuntut. Ini dapat dilihat pada pencapaian pada Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pelajar di bandar dan luar
bandar, apatah lagi di pedalaman! Ini membuktikan mereka lebih mudah diajar dan
mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
Laporan Trends In Mathematics Science Study (TIMSS) memperlihatkan
pencapaian penuntut Malaysia untuk Matematik menjunam dari tempat ke-10 pada
2003 ke tempat ke-20 pada 2007. Begitu juga pada pencapaian dalam Sains, yang
memperlihat kemerosotan membimbangkan. Pelbagai kajian ikut memperlihat
kebanyakan penuntut, baik di bandar, mahupun di luar bandar dan pedalaman,
gagal mengikuti proses pengajaran serta pembelajaran untuk dua subjek ini,
dalam bahasa Inggeris.
Tujuan utama pelaksanaan PPSMI untuk menangani masalah kecekapan
berbahasa Inggeris yang rendah dalam kalangan penuntut kita, juga tidak
tercapai. Dua subjek ini tidak sekali-kali merupakan wadah yang baik untuk
pengajaran dan pembelajaran bahasa. Hal ini bertambah buruk jika bahasa itu
adalah bahasa asing lebih-lebih lagi bagi murid sekolah rendah.
Oleh itu, Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris
(MBMMBI) yang menggantikan PPSMI, bukan saja perlu diterima, tetapi disokong
semua pihak. Sudah tentu, ia tidak patut dipersoal, apatah lagi dipertikai,
lebih-lebih lagi oleh orang Melayu yang merupakan penutur jati bahasa Melayu.
Tindakan orang Melayu ini, walaupun segelintir, bukan saja memberi
citra jelik kepada kemampuan bahasa Melayu selaku bahasa ilmu, tetapi turut
menafikan kepentingan bahasa Melayu sebagai tapak pengetahuan dan khazanah
warisan budaya kepada bangsa Melayu dan Malaysia. Ketetapan terus memansuhkan
PPSMI dalam PPPM tidak dibuat atas kepentingan politik pemerintah. Sebaliknya
ia keputusan pendidikan murni yang mengambil kira aspirasi nasional, dalam
konteks jati diri kebangsaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan