Rabu, 11 April 2012

Makna Merdeka Menurut Islam

SMAHADZIR

SUDAH lebih 50 tahun negara kita merdeka dari tangan penjajah. Apakah kita faham makna merdeka yang sebenarnya? Yang jelasnya, memang benar sudah 50 tahun negara kita merdeka tetapi minda segelintir warga negara kita masih menyimpang daripada makna merdeka atau kebebasan yang sebenarnya. Erti kemerdekaan sememangnya berbeza antara generasi dahulu yang memperjuangkan kemerdekaan dengan air mata dan darah. Hal ini kerana bagi mereka, kemerdekaan adalah sesuatu yang tidak ternilai manakala bagi generasi muda pula, 31 Ogos hanya sekadar cuti umum.

Generasi yang merdeka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa dan kepentingan masyarakat keseluruhannya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangnya. Tiada yang ditakuti kecuali Allah s.w.t dan segala tindakannya berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Ada juga manusia, bangsa atau umat meskipun lahirnya mereka sudah mencapai kemerdekaan selama ratusan tahun, tetapi jiwa mereka dijajah hawa nafsu jahat. Yang menjadi tuhan mereka hanya nafsu dan apa yang dilakukan mereka membawa bencana kepada seluruh umat manusia.

Menyoroti ayat ke-23 daripada surah al-Jatsiyah, Allah s.w.t berfirman, bermaksud: ‘Adakah engkau lihat orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi tuhannya dan Allah menyesatkan dia kerana mengetahui (kejahatan hatinya) dan menutup pendengaran dan mata hatinya serta mengadakan penutupan terhadap pemandangannya. Maka siapakah yang akan menunjukkannya sesudah Allah? Tidakkah kamu menerima peringatan?’

Pendekatan digunakan oleh Islam adalah memerdekakan rohaniah manusia terlebih dulu sebelum membebaskan aspek jasmaninya. Malah, kedua-duanya penting bagi memperoleh kemerdekaan. Golongan penjajah pada masa kini tidak lagi datang menaiki kapal dan menggunakan senjata seperti masa dulu, sebaliknya berupaya menjajah umat Islam menerusi talian kuprum, fiber optik dan satelit serta menggunakan kuasa kewangan dan media.

Dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan, ia menjadi semakin mudah untuk mereka melebarkan pengaruh dan mengawal aspek politik, ekonomi dan sistem sosial milik kita. Sesetengah negara masih bergantung kepada negara yang menjajah mereka dalam banyak sektor seperti perdagangan, pendidikan dan ketenteraan. Malah, perkara terburuk adalah penjajahan masih berlaku terhadap minda penduduk negara tersebut.

Pada bulan kemerdekaan, pelbagai program telah diadakan bagi mengisi bulan penuh makna ini. Mengibarkan bendera hinggalah ke perarakan, kemeriahannya jelas dirasakan. Namun, apakah sambutan kemerdekaan ini cukup sekadar berpesta sebegini? Apakah erti kemerdekaan ini benar-benar sudah dihayati?

Erti kemerdekaan bagi golongan yang pernah dijajah amatlah tinggi. Menggenggam kemerdekaan ibarat bulan jatuh ke riba. Jerit-perih pemimpin terdahulu mencapai kemerdekaan sangat dihargai. Kepayahan YM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, berulang-alik ke London, merundingkan kemerdekaan akhirnya terbalas dengan jaminan kemerdekaan oleh Kerajaan British. Bukan Tunku sahaja, tetapi di belakang beliau, beratus-ratus orang yang lain harus mendapat pujian di atas usaha membebaskan Tanah Melayu dari belenggu penjajahan.

Sayangnya kini, erti kemerdekaan sebenar kian luput. Bukan sahaja golongan ‘muda’ tidak jelas kefahaman mereka tentang erti kemerdekaan tetapi terdapat juga golongan ‘tua’ yang seakan lupa apakah makna kemerdekaan sebenar. Kemewahan dan kesenangan yang diperoleh kini melekakan kita akan hakikat kemerdekaan yang kita kecapi. Tanyalah kepada golongan muda kini, apakah makna kemerdekaan kepada mereka. Pasti jawapannya longgar dan hanya sekadar meniru apa orang lain kata. Ini membuktikan bahawa penghayatan kemerdekaan masa kini hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Erti kemerdekaan kini tentulah tidak sama dengan zaman penjajahan dahulu. Ketika itu, kemerdekaan bermaksud membebaskan diri dari penjajahan. Apa yang mereka tuntut adalah agar Tanah Melayu diperintah oleh orang Melayu sendiri. Menyedari hakikat bahawa Tanah Melayu bukan sekadar dihuni oleh orang Melayu maka satu kerjasama antara orang Melayu, Cina dan India diadakan. Perjuangan sebagai satu pakatan ini lebih kukuh dan pastinya suara mereka lebih lantang dan berani.

Di dalam dunia serba moden kini, erti kemerdekaan pastinya berbeza. Jika dahulu mereka inginkan kebebasan, tetapi kini, tugas kita adalah untuk mengisi kemerdekaan tersebut. Pengisian secara fizikal memang telah berjaya dilakukan. Apa yang tidak ada di tanah air kita kini? Hampir semua yang dimiliki oleh bangsa maju telah ada di negara kita. Walaupun mungkin berbeza kualiti dan kuantitinya, namun kita sudah pun memiliki kemudahan setanding negara maju. Malahan, kita berpeluang pula untuk pergi ke negara-negara tersebut, melihat dan mempelajari teknologi mereka untuk diaplikasikan di negara ini.

Oleh itu, pengisian fizikal bukan lagi satu persoalan penting. Apa yang lebih penting adalah pengisian kerohanian di dalam kemerdekaan sebagai asas kemajuan negara. Asas ini kian pudar dan luntur dari hari ke hari. Usaha pengukuhan asas ini memang ada tetapi usaha itu agak longgar dan tidak konsisten. Sering orang berkata bahawa ‘bangunan semakin tinggi tetapi nilai diri semakin rendah.’ Lihat sahaja di sekeliling kita. Di mana-mana sahaja sampah dibuang merata-rata, golongan muda tidak menghormati golongan tua, dinding bangunan diconteng dengan kata-kata nista dan bermacam lagi.

Banyak lagi perbuatan negatif yang telah dilakukan oleh warga negara kita yang sudah 50 tahun merdeka ini. Ini termasuklah anak-anak yang didera keluarga sendiri, kes ketagihan dadah dan AIDS yang semakin meningkat, pembunuhan berlaku hampir setiap minit, gejala rasuah dan beribu-ribu masalah yang tidak terdaya dipaparkan di sini. Apakah ini merdeka namanya? Jika inilah habuan yang diperoleh dari kemerdekaan yang ingin dicapai oleh pemimpin terdahulu, pasti pemimpin-pemimpin itu akan berasa begitu sedih. Mungkin inilah harga yang perlu dibayar dari pembangunan yang kita inginkan.

Saya percaya bahawa satu masyarakat timur yang kaya dengan nilai-nilainya pasti dapat membangun mengikut acuannya yang tersendiri. Oleh itu, eloklah kita berfikir sejenak dan menilai diri kembali. Tanyakan kepada diri sendiri, adakah kebebasan yang aku peroleh ini sudah diisi dengan sebaik mungkin? Jika jawapannya tidak, maka mulalah memperbaiki diri. Pertama sekali, syukurilah nikmat kebebasan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Di dalam ayat 7, surah Ibrahim, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, ‘Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.’

Kemerdekaan merupakan satu nikmat dan anugerah Allah s.w.t yang paling berharga, malahan bukan semua orang dapat memilikinya. Oleh itu, kemerdekaan sentiasa ditagih. Jadi, syukurilah nikmat kebebasan yang kita miliki ini.

Perkara kedua adalah untuk mengisi kemerdekaan. Kebebasan yang diperoleh ini perlulah diisi dengan input-input yang akan membina insan merdeka bukan sahaja fizikalnya tetapi yang lebih penting adalah merdeka mindanya. Perkara yang paling utama adalah menjadikan rakyat Malaysia sebagai individu-individu mulia yang berpegang kuat kepada nilai hidupnya. Hasrat ini boleh dicapai dengan menekankan kepada aspek pendidikan insan yang berterusan.

Kemerdekaan yang kita peroleh ini sebenarnya membuka ruang yang seluas-luasnya untuk pengembangan ilmu di dalam pelbagai bidang. Ilmu yang dipelajari juga boleh digunakan untuk membina kekuatan ekonomi sesebuah negara. Pada masa kini, jika sesebuah negara itu lemah ekonominya, maka negara tersebut bakal menjadi mangsa penjajahan yang paling rapuh.

Lihat sahaja kepada negara-negara Islam di dunia kini. Akibat kedudukan ekonomi mereka yang lemah, mereka begitu mudah dikotak-katikkan dan suara mereka diabaikan. Inilah penjajahan bentuk baru dalam dunia yang serba mencabar ini. Selain ekonomi, kepintaran dalam bidang sains dan teknologi juga perlu dikuasai. Kemahiran yang tinggi dalam bidang ini merupakan satu senjata penting bagi menjamin kedaulatan sesebuah negara.

Akhir sekali, fahamilah erti kemerdekaan yang sebenarnya. Hayatilah perjuangan pemimpin lalu dan dengan itu kita akan dapat mengecap kenikmatan kemerdekaan yang kita miliki ini. Di samping itu, binalah perwatakan diri yang mulia sebagai salah seorang rakyat di sebuah negara merdeka. Kemerdekaan ini kemerdekaan kita, jangan sampai dirampas lagi. Tidak dapat dinafikan, setiap makhIuk di alam ini memerlukan kemerdekaan atau kebebasan. Kemerdekaan atau kebebasan memberi erti yang amat bermakna bagi kehidupan. Detik pertama kelahiran seorang bayi ke dunia ditandai dengan tangisan seolah-olah membayangkan pekikan kebebasan dari kandungan ibu selama lebih sembilan bulan.

Memang fitrah kejadian memberikan manusia erti kemerdekaan. Tetapi kemampuan manusia menghubungkan faktor diri dengan faktor alamiah adalah terbatas terutama yang berkaitan dengan alam ghaib. Upaya penerokaan akal dan pancaindera manusia terhadap perkara-perkara dan benda-benda yang wujud adalah terbatas. Oleh itu, manusia memerlukan petunjuk dari sumber Yang Maha Perkasa. Hanya dengan petunjuk Allah s.w.t manusia mampu memahami erti diri, erti kehidupan, erti kebebasan dan juga erti kemerdekaan dalam maksud yang sebenarnya. Sebab itu konsep hamba dan khalifah memberikan asas taklif atau tanggungjawab. Melaksanakan taklif memerlukan pedoman dan pertunjuk.

Di dalam Al-Quran Allah s.w.t memberikan batasan tentang halal haram, dosa pahala dan baik buruk sesuatu. Sekiranya pedoman ini dijadikan amalan, jiwa merdeka akan sentiasa subur dan selari dengan fitrah insan. Yang menyebabkan makna kemerdekaan dikaburi ialah tingkah laku manusia yang melampaui batas. Al-Quran memberikan asas tentang ‘perbuatan tangan-tangan manusia yang menyebabkan kerosakan pada alam ini.’ Manusia yang hidup melalui pedoman Al-Quran cenderung melakukan sesuatu mengikut keredhaan Allah s.w.t. Inilah asas yang meletakkan manusia terus berada dalam fitrah dan merdeka.

Memahami konsep Islam tidak sekadar dihubungkan dengan ajaran agama itu sendiri. Islam sebagai deen adalah sesuatu yang hidup bagi sepanjang zaman seperti juga jaminan Allah s.w.t tentang Al-Quran yang akan terus dipelihara sehingga akhir zaman. Aspek lain mengenai Islam ialah penganutnya. Apakah penganut Islam hari ini mewakili zaman atau sedang terpinggir oleh arus perubahan? Kekuatan ajaran itu berada pada umatnya. Sekiranya ajaran Islam itu dihayati sesuai dengan zaman yang pantas berubah, umat Islam tentu berada dalam satu tahap yang dihormati seperti yang pernah berlaku suatu ketika dulu di puncak suatu tamadun yang amat menyumbang kepada Barat dan Timur.

Oleh itu, memperkasa umat dengan menggilap dan menghayati nilai-nilai yang Qurani bakal memerdekakan jiwa penganutnya daripada belenggu kejumudan, kebekuan kreativiti, kehampaan intelek dan kecelaruan budaya. Penjajahan pemikiran al-ghozwul fikr yang menimpa umat Islam sejak kejatuhannya ratusan tahun yang lalu memerlukan cara dan pendekatan untuk membebaskannya. Walaupun Malaysia secara politik dan pentadbirannya bebas daripada kuasa penjajah, namun masih diancam penjajahan bentuk baru seperti hegemoni sistem komunikasi dan telekomunikasi serta penjajahan kebudayaan.

Kagum terhadap Barat dan negara-negara bekas penjajah, sindrom kebergantungan kepada Barat dan model kemajuannya sering menjadi ukurtara atau benchmarking untuk kita berstatus maju atau berimej global. Keadaan seperti ini harus diatasi supaya jiwa merdeka harus mampu memberikan cita rasa yang lebih kental dan bermakna supaya jati diri dapat diperkukuhkan, harga diri dapat dipertahankan dan hala tuju pembangunan menepati falsafah Wawasan 2020 iaitu pembangunan yang mapan dan seimbang.

Tidak dapat dinafikan, merdeka memang mempunyai beberapa pengertian. Mengikut Kamus Dewan (hlm 883), merdeka bermakna bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain, lepas daripada (tebusan, tuntutan, berdiri sendiri, tidak bergantung kepada orang lain). Al-Quran juga mengaitkan kemerdekaan dengan konsep istiqlal dan al-Hurriyyah. Istiqlal membawa makna kemerdekaan, berdaulat, mengangkat, meninggi, menjayakan dan meneruskan sesuatu. Manakala al-Hurriyyah bermaksud kebebasan iaitu bebas daripada nafsu yang jahat.

Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nasr bermaksud; ‘Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Ia sangat-sangat menerima taubat.’ (Surah an-Nasr: 1-4)

Definisi dan maksud Al-Quran di atas memberikan kita makna kemerdekaan dan kebebasan dalam ertikata yang luas. Kemerdekaan tidak sekadar pembebasan diri daripada belenggu penjajahan secara fizikal tetapi mengangkat diri sebagai manusia atau umat yang bermaruah dan ada harga diri. Kemerdekaan Mekah daripada belenggu jahiliyyah adalah lambang kemerdekaan antara yang hak dengan yang batil, antara jahiliyyah dengan fitrah, antara asas syirik kepada asas tauhid. Titik-tolak kemerdekaan Mekah memberi kesan yang amat bermakna kepada umat manusia.

Oleh itu, kemerdekaan dalam fahaman Islam memberikan fokus kepada kemerdekaan akidah kerana menghayati akidah tauhid memberikan tunjangan tentang hubungan manusia dengan Pencipta dan hubungan manusia sesama manusia. Hubungan manusia dengan Allah s.w.t adalah sumber kemerdekaan yang sebenar dan hubungan manusia sesama manusia meletakkan hak individu, keluarga, masyarakat dan negara berada dalam kedudukan yang baik dan menyumbang. Sumber kemerdekaan dengan Allah s.w.t ialah keimanan dan ketakwaan yang meletakkan manusia dalam batas hamba dan khalifah. Hak individu dalam konteks Islam meletakkan asas kebebasan bersuara, beraktiviti dan bermasyarakat, asal saja ia tidak melanggar hak orang lain.

Hak keluarga ialah tanggungjawab ibu bapa memerdekakan anak-anaknya daripada kejahilan dan menjadikan diri sebagai contoh atau qudwah supaya anak-anak menjadi orang yang cemerlang dan mampu menyumbang. Hak masyarakat ialah bagaimana potensi dan kelebihan yang ada pada seseorang tidak saja menjadi miliknya tetapi juga menjadi milik masyarakat. Hak negara ialah bagaimana kehadiran kita sebagai warganya menuntut sumbangan dan pengorbanan dalam apa bentuk yang terizin dan termampu supaya kecintaan kepada Allah s.w.t memberikan kita hikmah cintakan negara.

Mekah memberikan makna yang amat istimewa bagi perjuangan Rasulullah s.a.w untuk mengembalikan manusia kepada fitrah. Kemerdekaan Mekah terkandung risalah nubuwwoh yang amat tinggi iaitu pembebasan manusia dari belenggu syirik. Terbebasnya manusia daripada belenggu syirik ini menjadikan asas akidah berada pada tempatnya yang sebenar dan membentuk tosawwur yang menjalin ikatan antara hamba dan Khaliq, keimanan terhadap Pencipta dan meyakini tentang keperkasaan-Nya, surah al-Ikhlas dari ayat 1 hingga 4 memberikan asas yang kukuh tentang aspek ketuhanan yang Maha Esa; ‘Katakanlah, Dia-lah Allah Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yong bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak, tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya.’

Implikasi surah ini membentuk suatu pandangan semesta tentang kekuasaan Allah s.w.t. la suatu tosawwur yang membentuk asas wehdah dan kesatuan yang amat nyata. Tidak wujud penyekutuan atau menyamakan secara setara antara status Pencipta dan yang dicipta. Bila semuanya kembali kepada Yang Satu, ia memberikan makna yang besar tentang maksud kehambaan yang tinggi. Asas wehdah ini menjadi perkara yang amat pokok dan utama dalam memahami kemerdekaan diri.

Asas ini akan memberi arah yang jelas terhadap aspek kepercayaan, pemikiran, ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, kebudayaan, kemasyarakatan, pembangunan, kemajuan sistem dan juga negara. Asas ini juga boleh memberikan dokongan yang kukuh terhadap erti jati diri, fahaman patriotik dan proses bina negara. Tanpa asas wehdah manusia akan cenderung kembali kepada fahaman qaumiah sempit dan konsep rahmah alamiah sukar untuk berkembang kerana sifat kejadian, potensi yang dimiliki, kelainan yang wujud, persamaan yang ada tidak dapat terbentuk atas asas litaarrafu.

Asas wehdah ini juga akan memberikan tunjangan terhadap faktor rohaniah yang terpancar dalam amal soleh. Memperkasa faktor duniawi yang memberikan natijah ukhrawi. Melihat faktor benda sebagai sumber yang perlu diuruskan dengan amanah. Benda ialah alat bukannya matlamat. Melihat faktor rahmah dan nikmah sebagai sumber daripada Allah s.w.t yang perlu ditadbir urus secara adl wal ihsan. Akhirnya menjadikan kita sebagai umat contoh, umat yang memiliki daya kesatuan yang tinggi (ummatan waahidah), umat terbaik (khaira ummah) dan umat pertengahan (ummatan wasatan) yang memiliki kemampuan memimpin dunia dan memimpin umat manusia.

Atas landasan inilah Shakib Arsalan dalam kitabnya yang berjudul Mengapa Umat Islam Terkebelakang Berbanding Bangsa Lain, menekankan kepentingan kerohanian dalam memurnikan jiwa daripada perkara yang merosakkan, mengisi jiwa kepada perkara-perkara yang baik seperti keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t, membebaskan jiwa daripada rasa perhambaan dan takut kepada sesama manusia; dan memerdekakan diri daripada menjadi hamba kepada nilai dan budaya masyarakat yang merosakkan seperti fahaman kebendaan dan tipu daya dunia.

Fahaman kehambaan di sini tidak harus dilihat dalam pengertian yang sempit. Kehambaan di sisi Allah s.w.t dalam erti kata yang luas memancarkan jiwa merdeka yang tinggi atas kepatuhan, ketaatan, ketundukan dan keakuran terhadap perkara-perkara yang benar dan hak. Mengakui wujudnya Allah s.w.t melalui tanda-tanda kebesaran-Nya, mengakui kebesaran Allah s.w.t dengan dan nikmah-Nya yang melimpah ruah-rahmah, mengakui keperkasaan Allah s.w.t yang memberikan kudrat dan takdir-Nya terhadap kehidupan manusia dan alam ini menyebabkan manusia memiliki sifat patuh, taat, tunduk dan akur. Apa pun sistem yang ingin berjalan dan memberi manfaat yang tinggi, ia mestilah berjalan atas patuh, taat, tunduk dan akur.

Bintang-bintang, sistem solar, kosmos dan galaksi tidak akan bergerak secara tertib dan teratur melainkan atas landasan sunnah-Nya dan semua itu bergerak atas asas patuh, taat, tunduk dan akur. Kalau tidak, perlanggaran dan kesesakan akan berlaku. la tidak berlaku kerana sifat Allah s.w.t itu sendiri Maha Berkuasa dan Maha Perkasa terhadap ciptaan-Nya.

Hal yang sama juga perlu ada kepada manusia supaya asas patuh, taat, tunduk dan akur menjadi sumber amalan bagi menundukkan sifat takabur, sombong, angkuh dan ujub yang menyebabkan manusia terbelenggu dengan nafs al-amarah yang bersifat haiwani. Inilah yang menyebabkan berlakunya konflik, persengketaan, permusuhan, peperangan, kesombongan terhadap kuasa dan pangkat, takabur terhadap ilmu dan kepandaian, angkuh terhadap harta dan kesenangan, ujub terhadap kekayaan dan kemewahan hingga dirinya jadi terbelenggu.

Faktor rohaniah harus menjadi landasan membebaskan manusia daripada belenggu yang membelit hati lantaran nafs al-amarah yang jelik. Kekuatan rohaniah yang terpancar dalam bentuk amal Islami bukannya terbatas dalam ritual ke dalam diri (tazkiyah an-nafs) semata-mata, tetapi ia hendaklah terucap dalam kata-kata yang santun dan mendidik, terlihat dalam amal dan perbuatan yang baik dan dirinya mampu menjadi contoh ikutan orang lain. Asas kemerdekaan diri secara rohaniah dan amal ialah pertautan yang tinggi dengan Allah s.w.t yang dilakukan dengan ibadah dan amal soleh yang ikhlas dan telus supaya kesan kebaikannya dapat dirasakan oleh yang lain.

Cabaran utama yang sering dihadapi oleh manusia ialah cabaran hawa nafsu. Nafsu adalah sesuatu yang fitrah bagi manusia, asasnya diibaratkan sebagai kuda liar. Kuda liar kalau tidak dilatih atau dijinakkan akan menyebabkan ia tidak boleh dikawal. Nafsu juga sedemikian, sekiranya tidak dilatih dan dijinakkan secara fitrah dengan amalan rohaniah yang baik ia boleh membina nafs al-amarah bi-suk iaitu nafsu jelik yang membawa pekerti buruk. Ibarat kuda liar yang dilatih untuk berlari dengan baik, dijinakkan dengan belaian dan urutan yang manja menyebabkan ketaatan kepada tuan atau penunggangnya tinggi. Apa saja yang diperintahkan oleh tuannya akan diikuti dengan baik dan menjadikan kuda itu sebagai kuda yang taat dan patuh.

Nafsu manusia juga memerlukan pendekatan yang sedemikian supaya memiliki jiwa hamba yang tinggi. Jiwa hamba yang tinggi akan berupaya mengawal dan menjinakkan nafsu serakah yang jelik seperti firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 14-15 yang bermaksud: ‘Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak, kuda pemeliharaan yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). Katakanlah wahai Muhamad: Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu apa yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan atau isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula keredhaan daripada Allah s.w.t. Dan (ingatlah), Allah s.w.t sentiasa melihat akan hamba-hamba-Nya.’

Selain itu akal adalah anugerah Allah s.w.t yang amat bernilai kerana ia membezakan antara haiwan dengan manusia. Allah s.w.t kurniakan akal untuk membolehkan manusia mengingat, berfikir dan memberikan daya taakulan. AI-Quran menghubungkan akal dengan konsep ulul albab supaya tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t itu diteliti dan dikaji dan menghubungkannya dengan Pencipta. Alam ini tidak terjadi dengan sendiri. Manusia pun tidak terjadi dengan sendiri (by nature).

Sesetengah orang di Barat membuat tanggapan bahawa alam dan manusia ini terjadi secara kebetulan (by accident). Menghubungkan kejadian dengan agama dianggap sebagai suatu dogma. Asas inilah yang menjadikan ilmu orang-orang Barat bersifat rasional dan empirikal semata-mata. Segala sesuatu diukur dan diambil kesimpulan hanya dirujuk dengan upaya akal saja. Persoalan dalam Al-Quran, ‘Apakah kamu tidak berfikir’ yang merujuk kepada orang-orang yang berakal tentang ketakjuban kejadian-Nya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ‘Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu, Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.’ (surah al-Baqarah: 164)

Ayat di atas membawa mesej saintifik. Sains dalam tradisi orang Barat hanya menyangkut tentang kajian mengenai benda dan fenomena. Sains dalam tradisi Islam tidak saja mengkaji tentang benda dan fenomena tetapi hal-hal di sebalik benda dan fenomena iaitu pertanda-pertanda kewujudan dan keperkasaan Allah s.w.t. Manusia yang diciptakan mengatur sistem lebuh raya yang canggih tetapi perlanggaran dan kesesakan tetap berlaku. Allah s.w.t jadikan planet dan sistemnya berputar dan beredar secara teratur dan tertib tentunya membayangkan ada kuasa yang Maha Bijaksana menentukan perjalanan atas sunnah-Nya.

Tidak mungkin planet dan sistemnya bergerak sendiri seperti tidak mungkin kereta berjalan sendiri, kapalterbang terbang sendiri. Akal yang berfikir tentunya memberikan taakulan bahawa sesuatu yang bergerak ada penggeraknya dan sesuatu yang terjadi ada penjadinya. Asas inilah yang menjadikan kebebasan pemikiran wujud dalam keadaannya yang fitrah.

AI-Quran juga memberikan asas tentang perlunya pengembangan pemikiran menerusi anjuran ‘Apakah kamu tidak merenung’ iaitu tidakkah manusia berfikir secara kreatif, reflektif, lateral, kritikal, strategik dan sebagainya. Kemahiran berfikir ini amat penting supaya perspektif tentang sesuatu dilihat secara menyeluruh dan komprehensif. Sesuatu kejadian baik langit dan bumi, manusia dan haiwan, air dan tumbuh-tumbuhan mempunyai kaitan antara satu dengan lain. la ibarat suatu sistem kosmos yang memiliki kesalingan dan memiliki hikmah di sebalik kejadiannya. Pengembangan pemikiran secara fitrah menyebabkan manusia menjadi tahu dan berilmu. Ilmu tanpa suluh Al-Quran tidak memberikan jalan berfikir yang terang benderang. AI-Quran sebagai sumber hikmah dipandu oleh jiwa tafakur membolehkan manusia tahu tentang letak dirinya sebagai hamba dan khalifah dan hubungannya dengan Pencipta untuk memahami maksud faktor-faktor yang nyata dan ghaib yang terdapat dalam alam dan kehidupan ini.

Al-Quran juga menganjurkan supaya tradisi tadabbur dikembangkan. Jiwa tadabbur adalah amat penting bagi memerdekakan pemikiran manusia. Rasa ingin tahu, keupayaan menyelidik dan mengkaji memberi ruang kepada manusia mendapatkan data dan maklumat, fakta dan ilmu supaya daripadanya menjadikan manusia lebih dekat dengan Allah s.w.t dan menjadikanya yakin terhadap kebesaran-Nya berasaskan pertanda-pertanda jelas dan meyakinkan.

Kecemerlangan ilmuan dan ulama silam berasaskan integrasi fikir dan zikir. Tradisi fikir dan zikir menemukan Ibn Nafiz pakar dalam bidang ilmu ‘Mengurus Diri’ iaitu keahlian dalam bahasa Arab dan Syariah. Dalam masa yang sama juga mempunyai kepakaran dalam ilmu ‘Mengurus Sistem’ iaitu pakar dalam bidang perubatan yang berkaitan dengan ilmu perputaran darah (blood circulation) - tradisi ini juga menampilkan tokoh ilmuan seperti Ibn Sina yang hafaz Al-Quran di awal umur, menguasai pelbagai bahasa, menekuni bidang ilmu muzik, pakar dalam bidang astronomi atau astrofizik, mahir dalam bidang falsafah, hebat dalam ilmu matematik dan tersohor dalam ilmu perubatan.

Hal yang sama juga berlaku kepada al-Hawarizmi, pakar dalam bidang matematik, al-Zahrawi pakar dalam ilmu bedah, al-Batani pakar dalam ilmu astrofizik, Ibn Haitam dalam bidang optik, Abbas ibn Firnas dalam bidang enjin terbang dan ramai lagi yang melakukan tradisi tadabbur tanpa memutuskan diri dengan Allah s.w.t. Inilah asas kemerdekaan berfikir yang wujud dalam zaman kegemilangan tamadun yang telah memimpin tamadun umat manusia.

Akal manusia juga dibantu oleh pancaindera. Apa yang ditatap, dibaca, ditulis, ditonton, disaksi dan diperhatikan memberi asas terhadap akal dan kecerdasannya. Apa yang didengar, dihidu, dirasa dan disentuh juga merupakan landasan menghubungkan diri dengan lingkungan luar diri dan persekitaran boleh menyumbang kepada kemakrufan dan faktor sekitar juga boleh menyumbang kepada kemungkaran.

Keinsafan bahawa Allah Maha Melihat dan Allah Maha Mengetahui menjadi pedoman bagi manusia menyuburkan jalan berfikir dan perkembangan pancainderanya supaya yang dilihat, didengar, dihidu, dirasa dan disentuh adalah sesuatu yang baik dan menyumbang kepada kebaikan dan kesejahteraan diri dan juga perlakuannya.

Oleh itu, pemikiran yang merdeka adalah pemikiran yang terpedoman. Manusia yang fitrah tidak boleh lepas bebas dalam berfikir tanpa adanya pancang ataupun panduan yang membolehkan manusia insaf bahawa sebagai hamba dan khalifah, ia tertakluk kepada ketentuan Allah s.w.t. Meskipun jalan ikhtiar terbuka untuk manusia, namun faktor naluri dan nafsu-nafsi semata-mata tidak memadai untuk membimbing manusia ke jalan yang betul melainkan kesuburan pemikirannya dibentuk oleh keimanan dan ketakwaan.

Keimanan dan ketakwaan adalah batasan yang membimbing manusia tentang kebebasan berfikir. Keimanan menghubungkan manusia dengan faktor ghaibiyyat di mana manusia tidak hanya mengembangkan pemikirannya terhadap apa yang dilihat dan bersifat benda tetapi juga percaya apa yang tidak dilihat seperti Allah s.w.t dan malaikat kerana terdapat tanda-tanda yang nyata tentang kejadian dan kebesaran-Nya yang di luar kemampuan akal manusia untuk memberikan rasionalnya.

Ketakwaan menghubungkan manusia dengan faktor insaf-ketuhanan (God-conciousness) yang tinggi. Keyakinan manusia kepada Allah s.w.t Yang Maha Perkasa dan Maha Mengetahui membentuk manusia supaya berlaku amanah, jujur, adil, tulus, telus dan lain-lain kerana ketakwaan meyakinkan manusia bahawa dalam melakukan sesuatu yang sifatnya ibadah, walaupun bila melakukannya kita tidak melihat Allah s.w.t, tetapi kita yakin Allah s.w.t melihat kita. Asas inilah yang mempedoman manusia untuk sentiasa berada dalam keadaan fitrah bila melakukan sesuatu.

Orang-orang mukmin dan muttaqin tidak akan terbelenggu oleh sifat pecah amanah atau tidak amanah, kezaliman, penipuan, pura-pura, melakukan eksploitasi atau perkara-perkara seumpamanya kerana ia menjadikan manusia tidak merdeka dan terbelenggu. Melakukan sesuatu dengan amanah, bercakap sesuatu yang benar, menyampaikan sesuatu dengan jujur, bersikap adil terhadap orang lain, telus dan tulus bila berurusan adalah gambaran orang yang berjiwa merdeka kerana ia menghubungkan dirinya dengan yang Maha Mengetahui iaitu Allah s.w.t. Dalam melakukan sesuatu ia tidak berselindung atau menyatakan sesuatu di luar kebenaran kerana sekiranya ia berbuat demikian meskipun manusia tidak tahu tetapi Allah s.w.t mengetahuinya. Inilah jiwa merdeka yang amat agung yang dimiliki oleh manusia mukmin.

Asas ini sangat penting kerana maksud kebebasan berfikir ialah pertautan akal dengan naql iaitu wahyu. Wahyu memberikan pertunjuk manusia supaya pedoman yang diberi menyebabkan manusia terus berada dalam keadaan fitrah dan tidak melampaui batas. Batasan yang memisahkan yang baik dengan yang buruk, maaruf dan mungkar, hak dan batil, adil dan zalim adalah persimpangan yang boleh membawa manusia kepada belenggu dan boleh memimpin manusia ke arah kebaikan. Sekiranya manusia memilih jalan yang baik, kemerdekaan yang sebenarnya dirasai tetapi sekiranya manusia memilih jalan yang batil maka manusia tidak memilik dan hidupnya dibelenggu.

Antara asas-asas terpenting untuk jiwa merdeka ialah hikmah. Hikmah adalah bahasa agama tentang kearifan alias kebijaksanaan, kebajikan yang tersimpan dalam diri manusia, sebagai pantulan dari sifat Tuhan yang Maha Bijaksana. Kearifan selalu melekat dengan orang-orang yang berilmu, ilmunya melebur dalam kesedaran dan keinsafan nurani yang jernih. Ia muncul dalam penampilan ulil albab, manusia yang seimbang, rohani dan jasmani. Manusia tawaduk, yang selalu sedar akan kelemahannya

Pada saat rakyat seluruh negara menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50, ada segelintir warga yang masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan jiwa generasi merdeka. Lahir pasca merdeka terutama menyebabkan mereka hanya mendengar kisah kemerdekaan daripada generasi emas atau berusaha memahaminya menerusi rakaman yang masih tersimpan.

Sesungguhnya tidak. Mengapa? Kerana erti sebenar jiwa merdeka lebih daripada itu! Mengetahui makna sebenar jiwa merdeka serta batasnya, dan memahami nilainya yang sebenar boleh memberikan kita kesedaran betapa penting dan berharganya aset ini. Kefahaman ini memandu kita dengan jelas dan selamat agar tidak melangkaui sempadan kemerdekaan yang telah diberikan kepada kita. Dalam konteks ini, jiwa generasi yang merdeka dapat difahami berdasarkan lima asas penting, pertama, jiwa generasi yang merdeka kenal jati dirinya.

Jiwa generasi yang merdeka memahami dari mana dirinya datang, mengapa dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali. Kefahaman ini bukan sekadar maklumat pengetahuan yang dihafal daripada buku, tetapi dihayati dan dijelmakan dalam kehidupan seharian. Contoh generasi yang berjiwa merdeka sangat jelas pada zaman Rasulullah s.a.w. Generasi insan seperti Ali bin Abi Talib serta Aisyah binti Abu Bakar faham mereka diciptakan Allah dan akan kembali semula kepada-Nya. Mereka juga mengerti dengan sebenar-benarnya hidup di dunia yang singkat ini harus digunakan untuk menjadi hamba yang taat kepada Allah dan berusaha mengembalikan dunia dalam ketaatan kepada hakimiyah Allah.

Generasi berjiwa merdeka juga tidak pernah ketinggalan daripada memahami sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya. Mereka berusaha menekuni iktibar daripada kegemilangan dan keruntuhan tamadun manusia sepanjang sejarah. Mereka memahami bahawa sepanjang sejarah manusia, kebenaran tidak akan pernah lapuk ditelan zaman. Kebenaran akan tetap menang dan menyerlah! Dengan kefahaman inilah, mereka benar-benar kenal siapa diri dan betapa tingginya nilai diri mereka apabila menjadi generasi berusaha memenuhi tujuan hidup.

Kedua, berbekalkan kefahaman jati diri sebenar, jiwa generasi merdeka akan memperoleh lebih kekuatan daripada kemerdekaannya kerana dia memahami dirinya hanya perlu tunduk kepada Penciptanya. Dasar hidupnya adalah dua kalimah syahadah yang difahami implikasinya dengan sepenuh jiwanya. Tuntutan kalimah syahadah akan memberikan lonjakan hebat yang mampu menolak segala kesetiaan dan ketaatan kepada selain dari-Nya. Walaupun 50 tahun Malaysia merdeka, warganya terutama generasi muda yang telah menemui kemerdekaan jiwa mampu membawa dirinya keluar daripada belenggu ketaatan kepada makhluk menuju kesetiaan hanya kepada Pencipta. Hidup dan matinya, seluruhnya diasaskan secara jelas kepada paksi ini. Seluruh denyutan nadi dan degup jantungnya berlaku dengan kesedaran bahawa inilah erti kemerdekaan sebenar!

Ketiga, jiwa merdeka juga yakin dengan kewujudan dan kebenaran hari pembalasan. Generasi berjiwa merdeka memahami bahawa kematian itu pasti. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian dan hanya Allah yang mengetahui bilakah ajal setiap makhluk-Nya. Firman Allah: ‘Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh....’ (surah An-Nisa’: 78).

Bertitik tolak daripada kepercayaan yang kuat inilah, generasi berjiwa merdeka sentiasa memperhatikan tingkah lakunya agar menjadi modal paling strategik untuk manfaat kehidupan selepas mati. Jika terjatuh dalam lubang kealpaan dan kelalaian, generasi berjiwa merdeka akan bangkit kembali menebus kesalahannya dan tidak akan mengulanginya.

Keempat, kesannya, lahir generasi merdeka yang sentiasa berlumba-lumba untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna. Tidak ada satu detik pun yang akan diizin untuk dibazirkan ke jalan tidak berguna. Begitulah hebatnya jiwa generasi yang merdeka. Mereka menyedari bahawa hidup di dunia ini hanya sekali, maka sebaik-baiknya mereka harus hidup dengan penuh erti. Apabila dipanggil kembali, generasi berjiwa merdeka tersenyum bangga membawa bekal bersinar untuk dipersembahkan kepada Tuhannya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ‘Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.’ (surah Al-Fajr: 27-30).

Mereka puas kerana memanfaatkan anugerah kehidupan di dunia sebagai manusia yang menjalankan amanahnya, bukan robot yang sekadar mengulangi rutin kehidupannya tanpa mengetahui tujuan hidupnya.

Generasi berjiwa merdeka sedar dan faham bahawa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran bukanlah tujuan akhir hidupnya. Mereka tidak terperangkap dalam kerugian menagih seluruh masa mereka hanya untuk mengisi maklumat di minda dan mendapatkan makanan untuk survival fizikal. Mereka tidak akan membiarkan hati kecut dan gersang kerana perangkap ini. Mereka tidak akan tertekan dengan himpitan beban pelajaran, tetapi rasa bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk memajukan diri dan masyarakat.

Kelima, jiwa generasi merdeka adalah jiwa yang sentiasa memperjuangkan kebenaran. Kisah interaksi manusia dan kebenaran sepanjang sejarah membentangkan kepada kita pelbagai jenis episod. Ada yang untung dan ada rugi. Generasi berjiwa merdeka termasuk dalam golongan mereka yang untung. Mengapa? Kerana jiwa merdeka sentiasa mencari kebenaran, tidak menolaknya, berusaha memperjuangkannya dan menyokongnya dengan sepenuh jiwa dan sepanjang hayatnya. Hidup dan mati dengan asas kebenaran itu adalah tanggungjawab. Ia bukan pilihan, tapi ia anugerah. Yang pentingnya merdeka pada jiwa dan bukan hanya pada fizikal.

Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam terasa sangat masin? Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin mati. Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk dipengaruhi tetapi jiwa mati mudah sekali terjebak dengan apa juga anasir buruk yang datang kepadanya.

Kesimpulannya, kita harus memahami makna merdeka yang sebenarnya dan seterusnya mengisi makna kemerdekaan negara dengan akhlak terpuji, bukan merosakkan erti kemerdekaan itu sendiri.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA