Rabu, 11 April 2012

Fahami Prinsip Penerimaan Dalam Gagasan 1Malaysia

SMAHADZIR

GAGASAN 1Malaysia yang bercambah dari ilham YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Gagasan 1Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, prinsip penerimaan merupakan salah satu dari tiga prinsip teras gagasan 1Malaysia selain dari prinsip kenegaraan dan prinsip keadilan sosial. Prinsip penerimaan bererti walaupun rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai kaum yang mempunyai cara hidup, amalan dan kebudayaan yang berbeza, tetapi kita menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia yang akrab dan bersatu.

Memang tidak dapat dinafikan akan kata-kata YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa gagasan 1Malaysia itu merupakan suatu kesinambungan dari perjalanan sejarah negara sejak kemerdekaan negara 1957. Gagasan 1Malaysia tegak bersandarkan prinsip-prinsip penerimaan, teras Perlembagaan dan Rukun Negara serta keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip itu hendaklah dihayati dan difahami sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dalam usaha merealisasikan cita-cita murni perpaduan.

Dalam ertikata yang lain, rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan nasional harus memangkas sebarang tunas kesuburan pohon perkauman dan menjauhi sebarang ancaman yang boleh merosakkan tonggak-tonggak kenegaraan. Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira ras, budaya, agama dan kepercayaan perlu berpegang teguh dan sedia mempertahankannya tanpa sebarang kompromi.

Prinsip penerimaan yang harus segenap lapisan masyarakat Malaysia hayati dan fahami ialah mengenai perbuatan, sikap, anggapan dan pandangan terhadap hakikat sesuatu kebenaran fakta, misalnya hakikat sejarah Malaysia dan sifat kepelbagaian yang ada. Prinsip penerimaan itu ditandai oleh suatu perlakuan yang positif, menerima sesuatu kebenaran dengan hati yang tulus, ikhlas dan terbuka. Jangan ada sebarang rasa tidak puas hati terhadap apa juga yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan tercatat dalam Rukun Negara. Persetujuan bersama antara para pemimpin silam harus diakuri tanpa sebarang kompromi demi perpaduan dan kesejahteraan bersama.

Lantaran itu, impian untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar bersatu padu hanya boleh dicapai sekiranya rakyat mengamalkan nilai yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia. Nilai itu jika dikaitkan dengan pemikiran rakyat untuk berubah dari satu paradigma dengan pradigma asas ialah sikap bertolak ansur, saling hormat menghormati antara satu sama lain, akur dengan apa yang telah dipersetujui bersama. Dalam gagasan 1Malaysia, bertoleransi hanya permulaan, paradigma selepas itu ialah berubah dari bertoleransi kepada penerimaan sepenuhnya. Hakikat ini harus difahami oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan.

Dengan lain perkataan, apabila kita ikhlas menerima perbezaan dalam masyarakat kita, tulus menerima kepelbagaian sebagai sesuatu yang unik, sesungguhnya ini adalah sesuatu yang memberi kekuatan kepada kita dan bukan sebaliknya. Menurut YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, “Jika kepelbagaian diterima sepenuhnya di kalangan masyarakat sebagai satu sumber kekuatan dan sesuatu yang unik, barulah ‘kita bergerak dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain’. Dan apabila kita bergerak dari paradigma bertoleransi kepada penerimaan sepenuhnya, terdapat satu kemuncak muktamad iaitu meraikan kepelbagaian kita. Apabila kita meraikan kepelbagaian kita barulah ia bermakna kita telah mencapai destinasi akhir Bangsa Malaysia 1Malaysia, dan barulah kita akan berfikir dan kita akan bertindak sebagai 1Rakyat, 1Negara dan 1 Impian.”

Sebenarnya, jika kita selak kembali catatan sejarah negara kita Malaysia, nilai penerimaan ini sudah lama kita praktikkan antara rakyat Malaysia pelbagai kaum. Kita mengambil contoh tentang Kontrak Sosial, di mana masyarakat Melayu, Cina dan India sudah pun bersetuju dan berjanji dengan menerima beberapa perkara untuk bersatu. Bagi masyarakat Melayu, mereka sudah bersetuju untuk menerima masyarakat Cina dan India untuk menjadi warganegara Malaysia.

Manakala bagi masyarakat Cina dan India mereka telah bersetuju untuk menerima dan mengakui tentang perkara Hak Keistimewaan Melayu, Kedudukan Raja-Raja dan Sultan, Islam sebagai agama persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Inilah hakikat yang kita tidak dapat menafikannya di mana nilai penerimaan ini sudah lama dilaksanakan di di negara kita.

Sejarah juga telah mencatatkan bahawa sejak ribuan tahun negara kita Malaysia adalah sebahagian daripada sejarah Asia Tenggara, sebelum kedatangan pengaruh asing atau setelah dijarah pemerintahan kolonial. Jika negara Indonesia dengan pengaruh Belanda, maka negara kita Malaysia pula dengan penjajah Inggeris. Hakikat bahawa kolonial itu bukan sahaja membawa pengaruh ke atas sistem pemerintahan atau kehidupan ekonomi kerana memenuhi revolusi industri abad ke-19 di barat, bahkan mendatangkan pengaruh budaya baru melalui sistem pendidikan adalah sesuatu yang jelas. Kedatangan orang Cina dan India secara besar-besaran dua abad lalu tidak sama konteksnya dengan hubungan antara empayar pada abad ke-15.

Menurut Dato’ A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), rantau ini sejak zaman berzaman mewarisi tradisi kesultanan dan institusi Raja-raja Melayu. Kecemerlangan kerajaan-kerajaan awal Melayu dari sejak awal Masehi itu diakuri timur dan barat. Dunia Melayu adalah milik azali umat Melayu dan bangsa serumpunnya di serata gugusan kepulauan. Konsep ibu pertiwi atau tanah air (motherland atau paterland) terletak di situ.

Seterusnya jelas beliau lagi, fenomena terkemudian boleh dianalogikan sebagai sebuah rumah besar yang menerima kedatangan ‘tetamu’ yang kini telah memilih hidup bermastautin dan menjadi rakyat di rantau ini. Di negara kita Malaysia, penerimaan rakyat asalnya yakni bangsa serumpun Melayu terjelma melalui sikap meraikan, menyediakan peluang dan tapak kehidupan untuk ‘rakan-rakan’ baru tadi. Jika realiti ini difahami, dihayati dan diakuri, maka rakyat akan lebih memahami makna ‘orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa’. Justeru akurilah hakikat hahawa tanggapan dan penerimaan tidak akan menjadi mudah, jika rakyat menolak hakikat sejarah.

Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat asal Malaysia sudah lama sedia dan sanggup berkongsi kuasa politik, ekonomi dan sama-sama membina kesejahteraan sosial. Selama ini negara kita Malaysia sangat menghormati kepelbagaian dan perbezaan rakyatnya. Selain daripada mementingkan kedudukan bangsa serumpun Melayu atau peribumi secara adil sesuai dengan aspirasi Perlembagaan, Malaysia tidak meminggirkan rakyatnya dari keturunan Cina, India dan lain-lain lagi seperti Serani, Benggali, Portugis dan sebagainya. Kini mereka sudah berstatus warganegara Malaysia. Dasar-dasar negara digubal untuk kepentingan semua kaum tidak kira bangsa, keturunan, budaya dan agama demi mencapai matlamat perpaduan. Kendati begitu, kita harus secara rasional menerima hakikat bahawa golongan manakah yang berada di lembah kemiskinan dan kedaifan sejak sebelum dan selepas merdeka!

Lihat pula secara sedar bagaimana status ekonomi, pendidikan, taraf kesihatan, prasarana luar bandar? Majoriti penduduk luar bandar itu terdiri daripada masyarakat Melayu dan suku bangsa serumpunnya seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Rungus, Melanau, Orang Sungai, Dayak, Bajau, Melanau, Negrito, Mahmeri, Semang, Senoi, Jakun, Sakai, Kenyah, dan puluhan yang lain di Sabah dan Sarawak. Jadi, formula tertentu perlu digarap bagaimana sewajarnya membina ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ tadi.

Kepelbagaian itu sewajarnya berada di dalam penerimaan segenap lapisan rakyat. Di negara kita Malaysia, masyarakat berketurunan Cina, India, Portugis, Baba, Benggali, Serani dan lain-lain lagi mempunyai ciri budaya, bahasa, adat resam, agama, kepercayaan, dan warisan seni masing-masing. Nilai-nilai hidup yang terbaik bersifat universal perlu dipupuk menjadi nilai-nilai nasional. Penerimaan apa yang terbaik daripada bangsa induk Melayu dan suku bangsa serumpunnya dan menyaring nilai-nilai budaya positif masyarakat Cina, India, Portugis, Baba, Benggali, Serani dan lain-lain lagi itu boleh dilakukan untuk tujuan perkongsian nilai-nilai bersama.

Malahan sebahagian unsur-unsur warisan budaya masyarakat Cina, India, Portugis, Baba, Benggali, Serani dan lain-lain lagi itu sudah terserap ke dalam kebudayaan nasional di bidang bahasa, pakaian, perhiasan, makanan, kesenian dan sebagainya. Amalan asal bersumberkan kaum dan sukuan itu, suatu waktu dalam proses masa akan mengambil tempatnya yang baru pula. Contoh amalan 1Malaysia sudah lama dipraktikkan di Sabah malah menjadi budaya harian masyarakat di Negeri Di Bawah Bayu tersebut.

Persoalannya sekarang ialah bagaimanakah setiap individu masyarakat yang pelbagai ras, budaya dan kepercayaan ini dapat saling mengenali, memahami lalu menerima antara satu sama lain? Contoh terdekat yang boleh kita ambil ialah dalam aspek kontrak sosial. Kita boleh kaitkan kontrak sosial dengan nilai penerimaan yang dicadangkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dari segi sosial. Pendidikan yang utamanya, di mana semua rakyat perlu menerima dengan kuota yang diberikan kepada orang Melayu, contohnya kuota untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Matrikulasi dan universiti-universiti awam. Begitu juga dengan kuota untuk biasiswa-biasiswa kerajaan, seperti biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan menetapkan kuota Melayu dengan nisbah kaum lain ialah 55%:45%, dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) khas untuk Melayu dan Bumiputera.

Seterusnya dengan penerimaan agama Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia, semua kaum perlu menerima hakikat ini memandangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, malahan bangsa-bangsa lain juga boleh mengamalkan agama masing-masing di negara ini. Amat penting bagi semua rakyat Malaysia untuk memahami nilai penerimaan dalam perkara sosial ini.

Sementara dalam aspek ekonomi pula nilai penerimaan ini amat penting juga untuk kita memahami supaya kita dapat menerimanya dengan hati yang tulus. Dengan mengambil contoh dari pembahagian Amanah Saham Malaysia (ASM), di mana kerajaan telah menetapkan bahawa pembahagian saham antara kaum dengan nilai-nilai yang tertentu berdasarkan taburan penduduk di Malaysia iaitu Melayu 55%, Cina 25%, India 7%, dan lain-lain kaum Bumiputera 12%.

Jika kita lihat dari taburan penduduk di negara kita, majoritinya adalah bangsa Melayu. Maka kita dapat lihat, walaupun dari segi angka yang diterapkan dalam gagasan 1Malaysia untuk masyarakat Melayu adalah tertinggi berbanding kaum lain, tetapi masyarakat Melayu sebenarnya memang berhak mendapat bahagian yang tertinggi. Maka semua kaum di Malaysia ini perlu menerima hakikat ini dengan hati yang ikhlas dan berlapang dada. Justeru, kita dapat lihat di sini nilai penerimaan amat penting dalam menjayakan gagasan 1Malaysia ini.

Seterusnya mari kita lihat dari segi politik pula. Nilai penerimaan sudah lama dilakukan dalam kerajaan Barisan Nasional, di mana pembahagian kerusi-kerusi Parlimen mengikut perjanjian yang telah dimetrai dalam perlembagaan Barisan Nasional. Kita boleh lihat bilangan dan peratus kerusi parlimen yang dimenangi oleh Bumiputera dan bukan Bumiputera serta bilangan dan peratus Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam kabinet Kerajaan Malaysia.

Bilangan kerusi Bumiputera dalam Parlimen ialah 83.57% sementara bilangan Bumiputera dalam kabinet ialah 69.57%. Manakala bilangan kerusi bukan Bumiputera dalam Parlimen ialah 16.43% dan bilangan bukan Bumiputera dalam kabinet ialah 30.43%. Justeru, jika kita kaji statistik ini, jelas menunjukkan bahawa dalam kerajaan Barisan Nasional, nilai penerimaan sudah pun dilakukan. Kita dapat lihat bahawa jumlah kerusi yang dimenangi oleh kaum bukan Bumiputera adalah sedikit iatiu 16.43% sahaja, tetapi disebabkan nilai penerimaan oleh ahli Parlimen Bumiputera dalam kerajaan Barisan Nasional, jumlah bilangan ahli Parlimen bukan Bumiputera yang memegang portfolio Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet adalah tinggi iaitu sebanyak 30.43% berbanding jumlah yang dimenangi dalam kerusi Parlimen.

Sejarah juga telah mencatatkan bahawa di dalam Islam kepelbagaian itu sudah menjadi fitrah kehidupan. Ia adalah anugerah Allah s.w.t. Justeru itulah agaknya, umat Islam tahu menilai dan meraikan kepelbagaian. Justeru, prinsip penerimaan dalam gagasan 1Malaysia sesungguhnya tidak lari dari ketentuan Islam.

Pendekatan 1Malaysia jika benar-benar dihayati dan difahami dengan mendalam pasti akan memperkukuhkan konsep perpaduan dan kesatuan negara. Gagasan 1Malaysia bolehlah diibaratkan sebatang sungai yang lebar dan panjang, maka akan ada pertemuan alirannya, beza anak sungai dengan sungai induk yang arusnya mengalir sehingga ke muara. Gagasan 1Malaysia bukannya retorik politik atau agenda politik, tetapi cita-cita kenegaraan untuk kemajuan dan kesejahteraan semua rakyat yang bergelar warganegara Malaysia. Jadi, janganlah jadikan ia diterjemah dalam konteks yang bersimpang-siur dan mengelirukan. Berpegang teguhlah kepada sistem pemerintahan yang satu, dan dipayungi rimbun Perlembagaan yang satu. Bukankah negara kita Malaysia ini tidak lahir dari sesuatu yang vakum, ada kesepakatan asal berlandaskan kontrak sosial?

Setiap perkara sudah termaktub dan terkanun dalam Perlembagaan. Maknanya prinsip penerimaan akan sebuah Perlembagaan menunjukkan hakikat kehidupan kita berbangsa dan bernegara. Itu adalah prinsip yang utama. Parti-parti politik mana pun yang menguasai pemerintahan, keluhuran Perlembagaan wajib dijunjung. Setiap individu rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan budaya perlu memahami hakikat ini dengan benar dan tanpa sebarang kompromi.

Konsep dan falsafah gagasan 1Malaysia dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dan penerapan nilai-nilai murni itu bukannya sukar untuk difahami. Jadi, prinsip penerimaan itu tidak boleh lari dari undang-undang tertinggi negara yakni Perlembagaan Persekutuan dan pada masa yang sama dengan penuh rasa kecintaan terhadap negara, patriotisme, kesetiaan politik dan keikhlasan, rakyat Malaysia akan mempertahankan negara sendiri sebagai sebuah negara bangsa, bukannya ‘kaki di sini, akal di sana’.

Kesimpulannya, semua rakyat Malaysia yang bergelar warganegara Malaysia tanpa mengira fahaman dan ideologi politik harus sama-sama berganding mahu memantapkan barisan memperkukuhkan tunjang perpaduan sebagaimana yang dihasratkan oleh gagasan 1Malaysia. Dalam aspek politik, gagasan 1Malaysia ini perlu tulus dan mencakupi pelbagai fahaman politik negara. Semua pihak tanpa mengira fahaman dan ideologi politik bukan sahaja perlu bersama dalam menjayakan gagasan ini malahan perlu mengetepikan perbezaan mereka. Perkara ini kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara yang harus didahulukan sebelum kepentingan politik mengambil tempat. Semua pihak perlu bersifat glokal bagi mencari usaha ke arah pembangunan modal insan yang jitu dan mapan serta mampu bersaing dengan arus permodenan dunia. Persaingan politik perlu diketepikan dan pembentukkan sahsiah yang baik merupakan contoh yang berguna kepada masyarakat. Sikap suka menjatuhkan pula amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang lebih bersifat menggalakkan dan mendukung usaha ke arah pembentukkan Bangsa Malaysia.

Rujukan:

Ibrahim Ali. (2009). “1Malaysia: Perspektif Generasi Kemerdekaan”. Kertas kerja dibentangkan pada Seminar Kebangsaan 1Malaysia, yang diselenggarakan oleh Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM (Universiti Sains Malaysia) di Putrajaya pada 11 Ogos.

Islar, Mine. (2007). The Current Nation Building Process in Malaysia: A Critical Look at the English-Medium of Instruction Policy. UK: Lund University, Center of East and Southeast Asian Studies Master Programme in Asian Studies East and Southeast Asia Track.

Jurij Hj. Jalaludin. (1991). Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Arena Ilmu Sdn. Bhd.

Kamarulzaman Askandar. (2004). The Making of Ethnic & Religious Conflicts in Southeast Asia: Cases and Resolutions. Yogyakarta, Indonesia: Center for Security and Peace Studies, Universitas Gadjah Mada.

Kamarulzaman Askandar. (2007). Promoting the “Peace Dream”: Creating & Supporting the Dream Keepers in Southern Thailand. Pulau Pinang, Malaysia: USM [Universiti Sains Malaysia].

Mansor Mohd Noor [ed]. (2005). Integrasi Etnik di Institut Pengajian Tinggi Awam. Pulau Pinang: Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara.

Mohammad Redzuan Othman. (2006). Sejarah Pembinaan Negara Bangsa: Siri Khas Sastera dan Sains Sosial. Kuala Lumpur: Penerbit UM [Universiti Malaya].

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd Rahman, Mohd Samsudin & Kamaruzaman Yusoff [eds]. (1998).

Prosiding Kongres Sejarah Malaysia II: Sejarah dan Proses Pemantapan Sejarah Bangsa. Kuala Lumpur: PSM [Persatuan Sejarah Malaysia].

PPM [Pejabat Perdana Menteri]. (2009). Booklet 1Malaysia. Putrajaya, Malaysia: Pejabat Perdana Menteri.

Rita Sim. (2010). What it Takes to Make 1Malaysia a Success. Putra Jaya, Malaysia: PPM [Pejabat Perdana Menteri].

Shamsul Amri Baharuddin. (1990). Masyarakat Malaysia yang Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA