Rabu, 11 April 2012

Gejala Merempit Mengundang Padah Di Jalan Raya

SMAHADZIR

Sering dilaporkan dalam pelbagai media massa bahawa gejala ’Mat Rempit’ adalah menyebabkan pelbagai kemalangan yang membabitkan nyawa berlaku di jalan raya. Sejak kebelakangan ini pula, kegiatan ‘Mat Rempit’ semakin menjadi-jadi terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Kegiatan ‘Mat Rempit’ ini bukan sahaja telah mengundang pelbagai musibah kepada diri pelakunya, malah membahayakan orang lain.

Walaupun pihak polis sentiasa bertindak tegas, namun aksi berani mati golongan ‘Mat Rempit’ dan aktiviti tersebut tidak pernah berkurangan. Keberanian mereka memperagakan pelbagai gaya sewaktu menunggang motosikal seolah-olah mencabar undang-undang negara dan tidak prihatin langsung kepada nyawa sendiri dan orang lain yang menjadi pengguna jalan raya.

‘Mat Rempit’ dalam konteks masyarakat sekarang merujuk kepada sekumpu-lan pelumba haram yang menjadikan jalan raya sebagai gelanggang untuk menunjukkan kehebatan dan kemahiran menunggang motosikal. Kegiatan yang dilakukan oleh mereka adalah salah di sisi undang-undang negara dan boleh mendatangkan maut jika tersalah langkah.

Kesan utama yang bakal ditanggung oleh ‘Mat Rempit’ ialah kemalangan jalan raya. Perlakuan dan cara pengendalian motosikal yang tidak berhati-hati bakal mengundang padah bukan saja kepada mereka, malah orang awam dan pengguna jalan raya yang lain. Aksi lagak ngeri yang dipamerkan sering menjadi punca kemalangan jalan raya. Lebih malang, kemalangan tersebut sering menjadi penyebab kematian kepada kedua-dua belah pihak.

Menurut kajian, rata-rata mereka yang terlibat dalam gejala ’Mat Rempit’ ini terdiri daripada golongan remaja yang berumur antara 16 hingga 25 tahun. Terdapat juga antara mereka yang masih di bawah umur serta tidak memiliki lesen motosikal yang sah.

Kegiatan ‘Mat Rempit’ yang bermaharajalela di jalan-jalan bandar jelas mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam. Dengan deruan bunyi kuat motosikal yang telah diubahsuai, suasana malam yang damai menjadi amat membingitkan telinga warga kota. Bagi warga kota yang mempunyai anak kecil atau bayi, maka sudah pasti yang membingitkan ini mengganggu anak-anak kecil tersebut.

Selain itu, tingkah laku dan bunyi motosikal yang bising ini sudah tentu memberikan gambaran buruk kepada pelancong asing terhadap negara. Tindakan mereka yang mencabar kesabaran dan kewibawaan pihak polis ini juga menjadi asas kepada pengembangan gejala keruntuhan akhlak dan perlakuan jenayah. Di sinilah berkembangnya gejala ‘Minah Bohsia’.

Lebih teruk lagi apabila ada dalam kalangan gadis remaja ini dijadikan ‘habuan’ kepada pemenang dalam sesuatu perlumbaan haram. Selain itu, gejala minum minuman haram turut berleluasa. Ini bermakna, golongan ini bukan sahaja tidak tahu menghormati undang-undang negara tetapi mereka juga tidak takut lagi kepada undang-undang agama.

Secara tuntasnya, kegiatan perlumbaan haram yang sering dikaitkan dengan ‘Mat Rempit’ ini harus dibanteras dengan segera. Ini adalah kerana gejala ini sudah menjadi semakin tidak terkawal dan mendatangkan pelbagai musibah.

Antara sebab golongan ini merempit ialah ingin memenuhi keperluan naluri yang ketagih kepada desakan adrenalin. Ketagihan ini dikatakan jauh lebih kompleks berbanding ketagihan dadah kerana individu yang terbabit akan cenderung untuk melakukan perkara yang lebih berisiko. Contohnya, mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk menunjukkan aksi-aksi berbahaya seperti mencangkung di atas motosikal, tidur di atas motosikal dan menunggang motosikal ala ‘superman’. Mereka juga melakukannya hanya untuk keseronokan dan menunjukkan kejantanan mereka. Ketika ini mereka berasa mereka adalah seorang juara yang hebat dan tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pun.

Kajian juga mendapati golongan ini kurang mendapat didikan agama dan kasih sayang. Dikatakan bahawa ibu bapa kini asyik membanting tulang empat kerat dalam mencari nafkah atau kemewahan hidup. Mereka alpa akan tanggungjawab hakiki mereka. Mereka lupa bahawa pada peringkat umur antara 16 hingga 25 tahun, anak-anak perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Peringkat umur antara 16 hingga 25 tahun ini dikatakan peringkat yang kritikal kerana mereka masih tercari-cari identiti diri yang menyebabkan mereka sering terkeliru dalam menentukan hala tuju hidup yang sebenarnya. Mereka juga kekurangan belaian dan kasih sayang. Hala tuju hidup mereka akan tersasar kerana mereka tidak beroleh bimbingan daripada keluarga. Justeru mereka mencari keseronokan bersama dengan kawan-kawan dengan merempit pada waktu malam. Anak-anak yang kedangkalan kasih sayang daripada ibu bapa akan mendorong mereka terbabit dalam sebarang gejala negatif termasuklah gejala ‘Mat Rempit’.

Kata orang tua-tua, malang tidak berbau tetapi sebenarnya pelumba-pelumba haram ini sengaja menempah maut, ibarat tak ada beban batu digalas. Mereka sanggup menerima apa sahaja risiko. Mereka yang terbabit dalam nahas kemalangan ini ada yang terkorban atau cedera parah dan kemudian menjadi cacat atau lumpuh seumur hidup. Akibatnya boleh menghancurkan masa depan mereka sendiri dan menyusahkan ibu bapa atau penjaga mereka.

Selain itu mereka turut memperjudikan nyawa orang awam yang tidak berdosa termasuklah anggota polis yang bertugas membuat sekatan jalan raya dirempuh sehingga cedera parah dan ada yang meninggal dunia.

Kerajaan amat prihatin dalam menangani gejala ini. Kementerian Belia dan Sukan misalnya telah melancarkan Program Sukan Malam di mana golongan remaja dapat memanfaatkan masa malam mereka dengan kegiatan sukan lasak yang digemari seperti go-kart dan perlumbaan motor di litar yang sah. Juga mengadakan kempen katakan ‘Tak Nak Kepada Lumba Haram’. Kempen yang murni ini perlu disokong oleh semua pihak termasuklah para remaja yang terlibat dengan gejala ’Mat Rempit’. Mereka perlu tampil ke depan bersama-sama berjuang untuk menyedarkan rakan-rakan mereka yang suka merempit di jalan raya.

Ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak-anak mereka, di samping mengesan sebarang perubahan tingkah laku yang wujud sekiranya anak-anak mereka terbabit dalam sebarang gejala negatif. Harus diinsafi bahawa anak-anak ibarat rebung yang masih boleh dilenturkan. Jikalau sudah menjadi buluh tentulah sukar untuk dilenturkan, malah mungkin akan patah. Didikan agama dan moral perlu disemai dalam diri anak-anak sejak kecil lagi supaya dapat menjadi benteng yang kukuh untuk menghadapi sebarang cabaran dan godaan dalam hidup.

Kesimpulannya, gejala merempit telah mengundang pelbagai padah di jalan raya. Lantaran itu, marilah kita buang sikap apati dan enau dalam belukar yang hanya ingin melepaskan pucuk masing-masing. Jadilah diri anda pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kerana di tangan andalah letaknya masa depan negara tercinta ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA