PELBAGAI buku mengenai Islam oleh penulis-penulis Barat terbit dewasa ini. Masalahnya ialah yang menulis itu bukan Islam dan timbul tanda tanya betapa sahihnya aspek-aspek Islam yang dihuraikan. Antara yang terkenal ialah Profesor Bernard Lewis yang dianggap sebagai pakar Asia Barat. Menurut Wikipedia, beliau kerap diminta memberi nasihat oleh pihak-pihak atasan yang menentukan dasar kerajaan, termasuk pentadbiran Presiden George Bush dahulu.
Lalu disebut mengenai tiga buah buku yang ditulis olehnya selepas peristiwa 11 September: What Went Wrong? The Crisis of Islam dan Islam: The religion and the people.
Profesor Bernard Lewis ini berketurunan Yahudi yang lahir di London. Semasa Perang Dunia Kedua beliau berkhidmat dalam Angkatan Tentera British, termasuk pasukan perisik. Beliau melanjutkan pelajaran di Amerika dan menjadi warga Amerika sejak 1982.
Pernah dicatatkan debat antara beliau dengan sarjana Edward Said, keturunan Palestin yang mengajar di Universiti Columbia, New York. Debat berkisar pendirian Profesor Bernard Lewis sebagai ‘orientalis’’ Barat di dunia Arab. Tetapi Said dalam satu temuramah dengan akhbar Al-Ahram memberitahu: ‘Bernard Lewis tidak pernah pun menjejakkan kakinya di Asia Barat dan dunia Arab selama 40 tahun. Beliau tidak tahu apa jua pun mengenai dunia Arab.’
Sebaliknya pula ahli sejarah Amerika, Joel Beinin menganggap Profesor Bernard Lewis ini sebagai penyokong utama Zionis. Juga disebut kenyataan bekas Naib Presiden Amerika, Dick Cheney: ‘Pada abad baru ini, kearifannya diselami oleh penentu dasar kerajaan, para diplomat, sarjana-sarjana lain dan pihak media berita.’
Profesor Bernard Lewis ini juga dianggap tokoh pertama yang melahirkan istilah ‘fundamentalisme Islam’ di Amerika dan mendorong seorang lagi sarjana Amerika, Samuel Huntington menulis mengenai pertembungan antara pelbagai agama, termasuk antara Islam dan Kristian.
Profesor Bernard Lewis berhujah bahawa Asia Barat kini keciciran dan ia berlaku akibat budaya dan agama yang dianuti. Dalam bukunya Muslim Discovery of Europe, beliau menyatakan pendapat bahawa masyarakat Islam tidak boleh bersaing dengan dunia Barat dan ‘kejayaan Perang Sabil dahulu adalah kerana kelemahan pihak Islam.’
Tetapi tidak pula disebut betapa Saladin atau Salehuddin Al-Ayyubi (1137-1193), panglima tentera Islam akhirnya menawan Baitulmuqaddis setelah menewaskan pihak lawan. Salehuddin Al-Ayyubi juga telah mengalahkan Perang Sabil kali ketiga yang diketuai oleh King Richard dari England pada tahun 1190-1192.
Dalam salah satu bukunya mengenai agama Islam Profesor Bernard Lewis menulis: ‘Mereka yang kafir, hamba abdi dan kaum wanita berada pada peringkat rendah daripada pihak-pihak lain, demikian menurut Islam’.
Satu lagi perbicaraan mengenai aspek-aspek prasangka buruk adalah sikap Ezra Pound (1885-1972), pujangga Amerika yang anti-Yahudi. Sebagai contoh adalah sajaknya yang berjudul The Cantos. Karya tersebut memberi gambaran buruk sekali mengenai budaya dan bangsa Yahudi.
Menurut laporan, beliau cuba menyekat Amerika menyertai Perang Dunia Kedua dan memerangi Nazi Jerman yang dituduh membunuh enam juta orang Yahudi. Dari tahun 1940 hingga 1942, Ezra Pound berucap melalui radio dari bandar Rome menyebelahi diktator Itali, Mussolini.
Seperti dicatatkan kemudiannya: ‘Beliau berkali-kali membuat kenyataan ketika berjuta-juta orang Yahudi sedang dibunuh oleh pihak Nazi, bagaimanakah karya sajaknya itu boleh dianggap sebagai karya agung?
Ezra Pound didakwa sebagai penderhaka kemudiannya oleh kerajaan Amerika ketika menetap di Rome. Beliau ditangkap pada tahun 1945 dan ditahan di pusat tahanan selama enam bulan. Selama 25 hari beliau dikurung dalam sangkar besi dan hampir gila. Beliau meninggal dunia pada tahun 1972.
Seperti dilaporkan akhbar Inggeris, Ezra Pound ‘was sane and unashamed Fascist to last’ setelah tiga tahun lamanya membuat kenyataan melalui radio menyokong rejim Fasis di Itali dan rejim Nazi Jerman, keduanya pemerintahan diktator yang zalim dan kejam.
Ternyata bahawa sarjana, penulis ulung atau cerdik pandai juga tidak terlepas daripada cengkaman prejudis terhadap pihak-pihak lain. Jadi, kita orang Islam kena berhati-hati apabila membaca karya-karya yang ditulis oleh orang bukan Islam yang selalunya penuh dengan prejudis terhadap Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan