Ahad, 5 Februari 2012

Catatan Mengenai Sejarah Melayu

DUNIA Melayu begitu kompleks. Sempadan-sempadannya tidak dapat ditakrif dengan jelas sekali. Demikian dicatat antara lainnya dalam sebuah terbitan mengenai sejarah orang Melayu Singapura selama kira-kira 150 tahun. Lalu disebut mengenai orang-orang Minangkabau, Mandaleng, Kerinci, Aceh, Palembang, Jambi di Sumatera dari Riau. Sulawesi, Bawean dan Banjar dari Kalimantan. Juga dicatat perihal Orang Laut yang dikatakan melaksanakan peranan penting dalam kenaikan dan kejatuhan negeri-negeri Gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Dari kalangan mereka muncul kemudiannya Orang Suku Gelam, Orang Kallang dan Orang Seletar di Singapura.

Terbitan berkenaan berjudul Malays or Muslims in Singapore 1918-1965 (Pelanduk Publications) hasil dorongan dari Association of Muslim Professionals (AMP) Singapura. Ia mengandungi makalah-makalah oleh pelbagai penulis, termasuk dari Universiti Singapura dan Universiti Tekonologi Nanyang. Mengisi kata-kata pendahuluan ialah Profesor Wang Gungwu dan Profesor Khoo Kay Kim.

Antara tajuk pelbagai makalah pula: Kenapa Tengku Hussein menandatangani Perjanjian 1819 dengan Stamford Raffles? Soldadu Melayu di Singapura 1910-1942. Kegiatan-kegiatan politik Melayu Singapura 1945-1959 dan dari kerajaan sendiri hingga kemerdekaan: UMNO dan Politik Melayu di Singapura 1959-1965.

Profesor Khoo Kay Kim memberi penjelasan mengenai nama ‘British Malaya’ (Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura) yang diguna pada masa lampau. Juga dijelaskan mengenai takrif ‘Melayu’ yang digunakan oleh pihak Inggeris manakala meluluskan Malay Land Reservation Act pada tahun 1913. Paling penting ialah Melayu bermakna beragama Islam. Dua lagi syarat ialah berbahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu.

Keturunan India Islam yang berkahwin dengan wanita Melayu dipanggil Jawi peranakan atau ringkasnya Jawi Pekan. Istilah ‘Jawi’ digunakan oleh orang-orang Arab pada masa dulu mengenai orang Melayu. Antara lain-lain catatan menyebutkan:

  1. Presiden Pertama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan di Ipoh pada tahun 1945 ialah Mokhtharuddin Lasso, seorang komunis dari Sumatera.
  2. Singapura menjadi pusat kegiatan-kegiatan sastera dan kewartawanan Melayu. Ia juga menjadi pusat industri filem Melayu.

Menarik perhatian ialah makalah oleh Elina Abdullah mengenai penghijrahan bebas pelbagai golongan etnik Gugusan Kepulauan Melayu selama beberapa abad. Lalu disebut betapa perkataan ‘Malay’ digunakan oleh orang-orang Eropah mulai abad ke-16.

Dari segi politik Orang Laut memainkan peranan penting kerana kehandalan mereka mengharungi lautan dan ketangkasan sebagai pejuang. Ertinya jika seseorang raja memperoleh sokongan taat setia Orang Laut, maka mereka akan mempertahankan kawasan-kawasan dagangan raja berkenaan. Ini berlaku sejak empayar Srivijaya.

Dicatat selanjutnya ialah penghijrahan Melayu dari Riau. Dari Semenanjung Tanah Melayu termasuk kedatangan orang-orang Melayu Melaka walaupun cuba dihalang oleh pihak Belanda. Juga kedatangan orang-orang Bugis selepas tahun 1819 dan orang Jawa. Dicatatkan juga kedatangan peniaga-peniaga dari Kelantan, Pahang, Terengganu, Brunei, Sulewasi dan Riau. Di samping itu ialah peniaga-peniaga Arab dan India.

Mengenai orang-orang Bugis diceritakan antara yang dibawa oleh mereka mulai abad ke-16 ialah hamba abdi. ‘Pada abad ke-17 dan berikutnya, orang-orang Bugis menjual orang-orang yang mereka tawan dalam serbuan demi serbuan di Pulau Sunda, Mindanao, Sulu dan Broneo untuk bekerja di ladang-ladang di Malaya, Sumatera dan Jawa. Penjualan hamba abdi itu begitu menguntungkan hingga orang Bugis sendiri ditawan dan dijual sebagai hamba abdi. Lelaki, wanita dan kanak-kanak tiba di Singapura dengan kapal.

Demikian kisah orang-orang Bugis menjual hamba abdi. Peniaga-peniaga Arab pula melaksanakan peranan penting sejak abad ke-14. Majoriti ialah dari Handhramout. Peniaga Arab di Singapura menguasai urusan menunaikan haji.

Turut mendapat perhatian ialah kemunculan bangsawan yang melahirkan pelakon-pelakon lelaki dan wanita di Singapura dan di Tanah Melayu kemudiannya di Indonesia. Lantas bagi kali pertama alat-alat muzik Barat seperti piano, biola, dan gendang menjadi alat-alat hiburan. Antara tuan-tuan punya bangsawan ialah Arab Peranakan, China, Filipina, Ceylon dan Serani. Turut mengambil sebahagian dalam pementasan bangsawan ialah ahli-ahli muzik Filipina.

Selanjutnya dicatatkan pengalaman Dato’ Onn, pelopor nasionalisme Melayu ‘yang berlindung di Singapura pada tahun 1927 setelah dibuang negeri dari Johor oleh Sultan Johor kerana pelbagai kritikannya. Beliau meneruskan kritikan mengenai pelbagai aspek raja-raja Melayu dan golongan aristokrat dalam akhbar Warta Malaya. Akhbar tersebut dibiayai ialah Syed Hussein Alsagoff dan keluarganya di Singapura. Mereka kemudian membiayai akhbar Lembaga Melayu pada tahun 1934.

Demikian antara sedikit catatan sejarah dalam Malays or Muslims in Singapore 1819-1965 yang dapat dikongsi bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA