Selasa, 27 Disember 2011

Kenangan Indah Di Cameron Highlands

SMAHADZIR

Satu tabiat saya apabila pergi ke sesuatu tempat ialah membuat catatan perjalanan. Mungkin kerana minat terhadap penulisan membuatkan tangan saya berasa kekok untuk diam. Justeru saya akan menulis apa saja yang terlintas di kepala setelah melihat apa yang ada di depan mata saya. Sekiranya saya rasa perlu, saya akan cuba untuk mendapatkan maklumat tentang tempat tersebut dari sumber-sumber yang sah.

Bersarapan pagi di Cameron Valeys Tea Plantations

Pada tanggal 12-14 Disember 2011, saya sekeluarga diberi kesempatan oleh Allah s.w.t menjejak bumi Cameron Highlands dalam usaha untuk melarikan diri dari kesibukan tugas dan berehat bersama anak-anak. Sebelum ini saya memang selalu di Cameron Highlands memberi ceramah kepada pelbagai agensi kerajaan dan organisasi NGO dalam aspek penulisan berita, rencana dan juga pengucapan awam. Jadi, tentunya suasananya agak berbeza bila bersama keluarga.

Ladang teh Cameron Valeys Tea Plantations

Sebagaimana yang kita semua ketahui, Cameron Highlands atau disebut juga sebagai Tanah Tinggi Cameron merupakan sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal di Semenanjung Malaysia. Menurut catatan sejarah yang berjaya saya selongkar, Cameron Highlands mendapat namanya setelah seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron menemuinya pada tahun 1885 ketika sedang membuat tinjauan pemetaan.

Bergambar di Cameron Valeys Tea Plantations

Cameron Highlands terletak di barat daya negeri Pahang, sebuah negeri yang kaya dengan khazanah hutan semulajadinya. Cameron Highlands terletak setinggi 1, 829 meter dari aras laut dan mempunyai suhu antara 100c hingga 200c. Keindahan Cameron Highlands pastinya akan memukau hati sesiapa sahaja yang berkunjung ke sana. Kebetulan sewaktu saya sekeluarga tiba di Cameron Highlands, hujan sentiasa saja merengek dari pagi sepanjang perjalanan dari Banting, Selangor membuatkan suasana di sini amat sejuk sekali. Tetapi inilah suasana yang didambakan kerana sifatnya yang kontra dengan suasana di Banting.

Bergambar di sebuah ladang bunga-bungaan

Saya sekeluarga bergerak ke sini dari Tapah, Perak dan memilih jalan pulang melalui Simpang Pulai, Ipoh. Dari Kampung Raja kita boleh pergi ke Gua Musang di Kelantan. Dari Tapah, kita akan temui air terjun Lata Iskandar yang begitu mempersonakan. Sewaktu di sini saya teringat kampung halaman saya di Kampung Bukit Hijau, Baling yang mana lata atau air terjunnya juga begitu mengagumkan. Namun begitu, jalan dari Tapah ini berbengkang-bengkok atau berliku-liku membuatkan anak-anak pening dan termuntah. Juga sepanjang perjalanan banyak tanah runtuh yang agak membahayakan terutama jika bergerak pada waktu malam dan jika hujan lebat. Walaupun begitu, hati rasa terhibur juga melihat masyarakat orang Asli yang rajin berniaga di sepanjang tepian jalan. Pelbagai hasil hutan didagangkan untuk para pelancong seperti buah petai, madu lebah, pokok-pokok hiasan dan sebagainya.

Percutian begini boleh merehatkan minda dari memikirkan soal tugasan yang menjadi rutin harian

Sebetulnya saya memilih Cameron Highlands untuk berehat bersama keluarga kerana secara keseluruhan tempat ini merupakan kawasan tanah tinggi yang paling menarik di Malaysia. Keindahan di Blue Valley Tea Estate, Gunung Brinchang, Tringkap dan petempatan Orang Asli Sungai Ruil cukup memukau. Ladang yang menghijau dan indah di sini diusahakan oleh Sungai Palas Boh Tea Plantation. Lain-lain tarikan ialah Wild Orchid Farm, Green Farm, Rose Valley Village, Butterfly Farm, Butterfly Garden, Kea Farm, Pasar Sayur, Uncle Sam Farm, Cactus Point, Tokong Sam Poh , Cactus Valley, Strawberry Farm, rumah rehat dan padang golf.

Bergambar di ladang kaktus

Di puncaknya terletak Balai Polis Cameron Highlands dan Balai Bomba Cameron Highlands. Di hadapan balai polis ini ada pasar malam yang boleh dikunjungi untuk membeli apa saja seperti pakaian, makanan dan juga cenderamata untuk dibawa pulang. Di sini juga terletaknya Gunung Beremban, Gunung Jasar, Gunung Perdah dan Air Terjun Robinson. Lain-lain lokasi ialah Ringlet, Kampung Lembah Bertam dan Stesen Janakuasa Elektrik Cameron Highlands yang berfungsi sebagai pembekal elektrik.

Pelbagai spesies kaktus boleh dilihat dan dinikmati keindahan kewujudannya

Selain menjadi sebuah pusat peranginan, Cameron Highlands juga terkenal dengan pengeluaran hasil tanaman seperti teh, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang bermutu tinggi dan ada yang jarang didapati di tempat lain. Ini kerana keadaan cuaca yang sejuk dan segar amat sesuai untuk tanaman-tanaman tertentu sahaja contohnya daun teh, bunga-bunga seperti bunga teluki dan buah strawberi. Tumbuhan iklim hawa sederhana juga boleh ditanam di kawasan ini.


Di sebuah ladang strawberi milik bumiputera

Di sini juga terdapat sebuah petempatan orang Melayu yang pertama di Cameron Highlands, iaitu Kampung Taman Sedia yang merupakan sebuah kampung yang terletak di lembah antara Tanah Rata dan Brinchang. Di sini menawarkan pakej penginapan ‘homestay’ untuk para pengunjung. Dan jalan di Gunung Brincang merupakan jalan raya yang tertinggi di Malaysia.

Di hadapan kaunter ladang strawberi yang lazimnya menjadi tempat makan dan minum para pelancong diserikan juga oleh pelbagai tanaman bunga-bungaan hiasan

Daerah Cameron Highlands terdiri daripada sembilan pekan dan kampung iaitu Ringlet, Lembah Bertam, Tanah Rata, Brinchang, Kea Farm, Tringkap, Kuala Terla, Kampung Raja dan Blue Valley. Tempat-tempat yang boleh dikunjungi ialah seperti Cactus Point yang letaknya cuma 500 meter dari Kea Farm, Ladang Teh BOH, Bharat Tea, Sungai Palas Boh, Blue Valley Tea, kebun-kebun sayur yang terdapat di kebanyakan kampung seperti Kea Farm, Tringkap dan Kuala Terla. Kita juga boleh mengunjungi Rose Centre, Rose Valley, ladang strawberi, taman rama-rama, Tokong Sam Poh di Brinchang dan pelbagai tempat lagi yang boleh meninggalkan kenangan yang indah kepada para pengunjung.

Buah strawberi

Untuk tempat penginapan, Cameron Highlands menawarkan banyak tempat yang selesa dan mengikut kemampuan seperti Bala’s Chalet, Heritage Hotel, Century Pines Resort, Equtorial Hill Resort, Rosa Pasadena, Casa De La Rosa, De La Ferns, The Smoke House, The Lake House, Iris House, Star Regency, Rainbow Hotel, Shahzan Inn, Strawbery Park Resort, Cameron Highlands Resort (sebelumnya Merlin Inn Resort), Hillsview Hotel, Kavy Hotel (Budget Hotel), Sri Pahang House, Ye Olde Smokehouse, Shal’s Apartment, Parit Falls, New Garden Inn, Tanah Rata, Father’s Guest House, Heritage Hotel, The Cool Point Hotel, Lakehouse House, Kalai Villa Apartment (Tanah Rata) dan pelbagai lagi.

Bila sudah datang ke mari, apa lagi yang boleh diabadikan sebagai kenangan kalau tidak bergambar di tempat-tempat yang telah dikunjungi

Untuk percutian ini saya memilih De Cassa Della Jarzmin Apartement yang terletak di pekan Tanah Rata, sekitar 6 km dari Brinchang. Harganya tidak terlalu mahal iaitu RM200 untuk semalam tetapi sungguh selesa dan bertaraf tiga bintang. Cameron Highlands mempunyai 2 kawasan utama iaitu Brinchang dan Tanah Rata. Tanah Rata lebih kepada pusat pentadbiran daerah manakala Brinchang pula tempat peranginan. Walau bagaimanapun, Brichang dan Tanah Rata tidaklah terlalu jauh dan terpulanglah kepada pengunjung untuk memilih tempat untuk menginap di sini.

Di hadapan papan tanda YZ Agro Farm

Walaupun ada yang mengatakan di Cameron Highlands hanyalah tempat yang sejuk dan tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini, namun bagi saya sebagai seorang penulis, tempat beginilah yang boleh membuakkan ilham penulisan. Selain dari catatan perjalanan, cerpen dan puisi juga boleh digarap di sini. Banyak idea yang menerpa ke dalam benak tatkala melihat keindahan alam di sini. Bagi saya, sepanjang perjalanan dari Tapah, ilham dan idea sudah mulai cagun dan mengasak pintu minda. Saya sekadar menjerukkannya terlebih dahulu dan bercadang untuk menjalinanyamkannya ke atas kertas sebaik pulang dari bercuti nanti.

Di ruang tamu bilik penginapan - De Cassa Della Jarzmin Apartement, Tanah Rata

Percayalah, semakin banyak kita berjalan di muka bumi Allah s.w.t. yang luas ini, semakin banyak yang kita dapat pelajari. Syaratnya, niatkan kerana Allah untuk mendapat redha-Nya. Berlibur tiada salahnya kerana berlibur itu akan menambah pengalaman dan maklumat. Terima kasih kepada anak-anak dan isteri kerana memilih Cameron Highlands sebagai lokasi percutian dalam negara sendiri untuk kali ini. Insya-Allah, jika hayat masih ada, lain kali kita akan bercuti lagi.

1 ulasan:

  1. bercuti ke CH, singgah di Galeri BiGDee House of Magic Potions Taman Royal Lily, Tanah Rata. satu-satunya galeri nano microfungus aromaterapi di dunia!

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA