Khamis, 22 Disember 2011

Demi Ukhuwah Islamiyyah

SMAHADZIR

Saban hari kita mendengar tentang pembunuhan tragis kaum zionis Israel terhadap penduduk Islam Palestin malah kejadian ini telah berlaku begitu lama sejak tahun 1948 lagi. Pembunuhan kejam ini bagaikan mangli di telinga kita dan terasa tidak ada apa-apa lagi yang mengejutkan malah kita hanya mampu menerimanya dengan pasrah dan sekadar menadah tangan memohon agar Allah s.w.t membalas setiap perbuatan kejam kaum zionis tersebut dengan balasan yang setimpal.


Sesungguhnya pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh Yahudi Israel di Gaza, Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan persaudaraan Islam atau ukhuwwah Islamiyyah kita, bahkan ia mencemar dan mengotori nilai kemanusiaan sejagat.


Di mana Amerika yang kononnya berjuang memerangi pengganas? Pelindung Israel tersebut pantang ada kegiatan yang dianggap ganas yang dilakukan mereka yang mendakwa Muslim terus sahaja dia akan besar-besarkan dan tindakan memeranginya secara membabi buta akan dilancarkannya. Namun setiap kali Israel melakukan keganasan, dialah yang akan mempertahankannya. Memang wajarlah Amerika itu digelar syaitan.


Suatu ketika dulu ketika Gaza diserang dengan kejam oleh Israel, Bush mengistiharkan Hamas itulah pengganas. Malanglah umat Islam jika masih ingin mengharapkan dari Amerika. Demokrasi yang kononnya hendak dijuarai oleh Amerika di dunia Arab hanyalah permainan politik semata-mata. Umpamanya Mesir, sekalipun tampuk kuasa yang ada pada hari ini meminggirkan demokrasi dan mengkhianatinya, namun tampuk tersebut terus dipertahankan oleh Amerika disebabkan berbagai kepentingannya. Antaranya, Mesirlah pada hari ini yang menghalang kemasukan bantuan melalui sempadannya dengan Palestin.


Sukar bagi syaitan berwatak malaikat. Saya tidak pasti dengan lobi Yahudi yang kuat dalam politik Amerika, apakah Obama akan mampu berbuat sesuatu?


Di seluruh dunia, pelbagai demontrasi dan bantahan telah dibuat untuk menyelamatkan rakyat Palestin. Ia melepasi batasan kepuakan atau kepartian yang sempit. Jika sesiapa yang hendak membantah Israel pun masih nak kempen parti, ternyata otaknya sama dengan Israel.


Bagi saya, demonstrasi menentang kekejaman zionis Israel, mempunyai peranannya yang tersendiri. Saya juga mengharapkan umat Islam dan masyarakat dunia akan terus mengadakannya. Ya, bagi umat Islam sepatutnya tugasan kita lebih besar daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita diwajibkan membantu saudara seislam kita yang ditindas atau dikejami dengan harta dan nyawa kita.


Firman Allah s.w.t: “(maksudnya) Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (Surah al-Nisa, ayat 75-76).


Berdasarkan firman Allah s.w.t ini, kata al-Imam al-Jasas (meninggal dunia 370 Hijrah): “Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum Muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum Muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum Muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum Muslimin.” (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).


Namun atas kekangan keadaan yang ada, ramai pemimpin umat Islam yang tunduk kepada kehendak Amerika, lalu mereka menjadi pelindung secara langsung atau tidak langsung kepada Israel. Lihat sahaja Mesir yang sanggup menutup sempadannya sehingga bantuan makanan dan ubatan tidak dapat sampai kepada rakyat Palestin, sehingga rakyat Palestin tidak dapat melepaskan diri dari kekejaman Israel.


Kita umat Islam menjadi umat yang tidak terdaya. Bukan sahaja bertindak, bahkan bersuara pun ramai yang takut. Tidak ramai pemimpin seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad yang lantang dan berani untuk mengkritik dan berusaha membantah Amerika dan Israel. Yang pakai serban dan jubah dan sering bercakap tentang Islam di negara kita pun tak selantang Tun Dr Mahathir mengkritik Israel dan Amerika. Mereka hanya lantang mengkritik pemimpin negara sendiri dengan pelbagai cacian dan makian. Ramai pemimpin negara Islam yang lain pula bergantung rahmat kepada Amerika. Bahkan bukan sedikit yang sedang ‘mengidam kerusi kuasa di Putrajaya’ bertawakal harap bantuan dari dari Amerika.


Maka, ketika ini, sekurang-kurangnya demonstrasi, atau apa sahaja bantahan yang tidak bercanggahan dengan Islam hendaklah dilakukan oleh umat Islam yang tidak berkemampuan. Demikian juga dengan bantuan kewangan. Di Malaysia, sepatutnya mereka yang memegang tampuk-tampuk pentadbiran agama, sama ada yang berada di atas kerusi politik, atau istana perlu menjadi kelompok yang paling lantang membantah dan menghulurkan bantuan.


Saya terharu ketika melihat sekumpulan wanita British di kaca televisyen yang tidak beragama Islam, mengikat serban Palestin di leher mereka dan memberitahu wartawan bahawa mereka telah mengambil cuti seminggu untuk menyertai bantahan terhadap Israel. Mereka mengedarkan risalah tentang kekejaman Israel. Malanglah, jika mereka yang seperti ini membantah Israel, tetapi golongan yang diberikan amanah menjaga agama tenggelam dalam keempukan takhta dan membisu seribu bahasa. Di mana pula Majlis Fatwa Kebangsaan ketika ini? Tidak adakah fatwa tentang apakah kewajipan umat Islam dalam isu Palestin? Setelah keletihan dengan isu yoga dan pengkid, tidakkah mahu difikirkan isu Palestin pula?


Jika tidak, malanglah bagi umat Islam yang terdedah kepada dunia berita dan maklumat, tiba-tiba tidak mengambil endah tentang apa yang berlaku di Palestin dan tanggungjawab Muslim membela saudara-mara kita kaum Muslimin. Sabda Rasulullah s.a.w: ”Bandingan orang-orang Mukmin dalam kasih-sayang, kasihan dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh anggota lain turut berjaga malam dan demam.” (Riwayat Muslim).


Islam bersikap adil. Islam tidak pernah menyatakan bahawa setiap mereka yang tidak menganut Islam itu adalah musuh Islam. Demonstrasi di seluruh dunia pada hari ini turut dilakukan oleh mereka yang bukan Islam. Islam hanya bermusuh dengan mereka yang melancarkan permusuhan dan kezaliman kepada umat Islam. Sama ada permusuhan itu atas kebencian kepada agama ini, atau atas sikap yang ingin menzalimi orang lain.


Kemudian, Islam tidak menerima dan membantah kezaliman di mana sahaja ia dilakukan. Sama ada ke atas Muslim atau bukan Muslim, sama ada kepada insan atau binatang dan alam. Kita membantah kekejaman ke atas saudara seakidah kita di Palestin atas nama Islam dan kemanusiaan. Orang lain membantah atas dasar kemanusiaan. Jika mereka yang bukan Islam dizalimi, kita tetap akan membantah atas dasar Islam dan kemanusiaan. Ini kerana prinsip Islam merangkumi prinsip kemanusiaan sejagat. Namun jika ada yang langsung tidak membantah, maka dia ini bolehlah dikatakan tiada prinsip Islam dan prinsip kemanusiaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA