Jumaat, 18 Oktober 2013

Nabi Sulaiman Dengan Jin Ifrit

SMAHADZIR

PADA masa pemerintahan Nabi Allah s.w.t. Sulaiman, semua binatang, syaitan dan jin adalah di bawah kekuasaan pemerintahan kerajaan Nabi Sulaiman. Kisah ini adalah di antara kisah-kisah yang terjadi semasa pemerintahan Nabi Allah s.w.t. Sulaiman.

Oleh kerana baginda amat dihormati, ramailah manusia, binatang dan jin ingin berbakti kepada baginda. Pada suatu hari Jin Ifrit telah keluar daripada bandar Baitulmaqdis kerana ingin mencari sebiji mutiara yang sangat cantik untuk dihadiahkan kepada Nabi Sulaiman supaya dia mendapat pujian daripada Nabi Sulaiman dan sekaligus ingin membuktikan kepada jin dan syaitan yang lain bahawa dialah jin yang paling disayangi oleh Nabi Sulaiman.

Secara senyap-senyap Jin Ifrit keluar supaya tidak diketahui oleh makhluk yang lain. Setelah sampai di Laut Merah Jin Ifrit menyelam di dasar lautan untuk mencari mutiara tersebut. Setelah puas menyelam, mutiara tersebut tidak juga dijumpai oleh Jin Ifrit sehingga sampai ke suatu tempat yang berbatu, ternampak olehnya kilauan dari celah-celah batu tersebut.

Setelah diamatinya ternyata kilauan tersebut adalah mutiara yang sangat cantik yang dicari-carinya. Jin Ifrit terus mangambil mutiara tersebut dan berenang sehingga sampai ke tepi pantai.

Semasa perjalanan pulang, Jin Ifrit tidak mengetahui bahawa dia telah diekori oleh jin lain yang bernama Bota. Bota terus mengejar Jin Ifrit dan memintas lalu merampas mutira tersebut. Jin Ifrit sangat marah lalu mengejar Bota. Oleh kerana Bota lari dengan pantas ke arah selatan menyebabkan Jin Ifrit tidak dapat mengejarnya lagi.

Jin Ifrit sangat takut kalau-kalau diketahui oleh Raja Jin bahawa mutiara tersebut telah hilang. Tidak lama kemudian Jin Ifrit mendengan suara memanggilnya. Ifrit mengenali suara tersebut adalah suara Raja Jin. Dengan segera Ifrit pergi mengadap Raja Jin. Raja Jin bertanya kepada Ifrit, “Mana mutiara tersebut?”

Ifrit menjawab, “Mutiara tersebut telah dirampas oleh Bota,”

Raja Jin mengambil keputusan untuk mempersempahkan kes tersebut kepada Nabi Sulaiman. Satelah tiba di hadapan Nabi Sulaiman, baginda bertanya kepada Raja Jin, “Apakah kesalahan Ifrit?”

Raja jin menjawab, “Ifrit telah menghilangkan sebiji mutiara yang sangat cantik,”

Nabi Sulaiman berkata kepada Ifrit, “Adakah kamu telah menyembunyikan mutiara tersebut?”

Ifrit menafikannya dan menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Nabi Sulaiman berkata, “Aku akan panggil semua jin dan syaitan untuk diperiksa,”

“Sementera itu kamu akan dipenjarakan terlebih dahulu sehingga kamu dibuktikan tidak bersalah,” kata Nabi Sulaiman.

Salah seorang yang mendengar perbicaraan tersebut ialah Perdana Menterinya yang bernama Asif. Beliau adalah seorang yang bijak dan tahu bahawa Bota adalah salah seorang hamba kepada orang lain. Beliau berkata kepada Nabi Sulaiman, “Allah s.w.t. menjadikan peristiwa sebagai pembuka jalan kepada Nabi Sulaiman supaya pergi ke selatan untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t. seperti baginda janjikan dahulu,”

“Mungkin Raja tersebut masih menyembah berhala,” sambung Perdana Menteri.

Nabi Sulaiman menerima kata-kata tersebut lalu baginda berangkat ke Baitulmaqdis untuk beribadah dan bersyukur kepada Allah s.w.t. ke atas nikmat-Nya. 

Wahsyi Menebus Dosa


SMAHADZIR

WAHSYI BIN HARB, terkenal dalam sejarah sebagai seorang hamba kulit hitam yang telah membunuh dengan kejam Saiyidina Hamzah r.a., bapa saudara Rasulullah s.a.w.

Ketika terjadinya Perang Uhud, Hindun telah menawarkan kepada Wahsyi agar membunuh Saiyidina Hamzah r.a. dan sebagai ganjarannya dia akan dimerdekakan. Wahsyi yang memang menunggu-nunggu peluang keemasan itu telah menerima tawaran tersebut. Wahsyi segera berangkat ke medan Uhud secara sembunyi-sembunyi dan mencari-cari Saiyidina Hamzah.

Akhirnya dia mengenal pasti orang yang dicari iaitu Saiyidina Hamzah r.a. bapa saudara kepada Rasulullah s.a.w. Wahsyi mula mencari tempat yang paling strategi iaitu dengan berlindung di sebalik batu. Beliau menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Setelah cukup yakin, beliau pun melemparkan lembingnya tanpa disedari oleh Saiyidina Hamzah r.a. dan lembing itu tepat mengenai sasarannya.Saiyidina Hamzah rebah ke bumi lalu syahid.

Wahsyi segera memberitahu tuannya, lalu datanglah Hindun mendapatkan jasad Saiyidina Hamzah yang sudah tidak bernyawa itu. Dibelahnya dada Saiyidina Hamzah r.a. dengan kejam dan tanpa belas kasihan terus dikeluarkan jantungnya. Kemudian dengan rakus sekali dia mengunyah jantung Saiyidina Hamzah r.a. kerana hendak memakannya, tetapi dia tidak mampu menelannya. Setelah hatinya puas, Hindun pun meninggalkan mayat bapa saudara Rasulullah s.a.w. itu.

Setelah peperangan tamat, kesemua para syuhada dikumpulkan untuk dikebumikan. Rasulullah s.a.w. terasa amat hiba dan sedih apabila melihat mayat bapa saudaranya itu diperlakukan sedemikian rupa. Rasulullah s.a.w. menanggung kedukaan yang sangat hebat yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata.

Ketika hari pembukaan (futuh) Mekah, Rasulullah s.a.w. telah mengutus seseorang kepada Wahsyi untuk menyerunya kepada Islam. Akhirnya Wahsyi memeluk Islam, lalu dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. bertanya, “Kamukah yang bernama Wahsyi?”

“Ya,” jawab Wahsyi.

“Kamukah yang telah membunuh bapa saudaraku Hamzah?” tanya Rasulullah s.a.w.

“Benar,” jawab Wahsyi.

“Ceritakan kepadaku bagaimana kamu melakukan pembunuhan itu,” pinta Rasulullah s.a.w.

Wahsyi pun menceritakan satu persatu apa yang telah dilakukan kepada bapa saudara Nabi itu, bagaimana tubuh bapa saudara baginda dilapah dengan kejam oleh Hindun dan dimakan hati dan jantungnya.

Selesai sahaja bercerita, Rasulullah s.a.w. yang dalam keadaan teramat sedih berkata kepadanya: “Pergilah kamu dari sini. Jangan engkau muncul lagi di hadapan mataku.”

Hancur luluh hati Wahsyi mendengar kata-kata yang keluar dari mulut baginda. Namun dia akur dan insaf bahawa perbuatannya dahulu telah menyakiti hati ‘orang Tuhan’ iaitu Rasulullah s.a.w. Walaupun dosanya telah diampunkan lantaran memeluk Islam, tetapi atas kasih sayang Rasulullah s.a.w., dia dilarang menampilkan diri di hadapan baginda, takut-takut perasaan Rasulullah s.a.w. tercacat apabila terpandang wajahnya. Mencacatkan hati orang Tuhan sangat besar akibatnya kerana itu bererti mencacatkan ‘hati’ Tuhan. Orang yang cacat dengan Tuhan tidak akan selamat di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.

Lalu Wahsyi yang sedar akan kedudukannya, redha menerima ketentuan itu. Dia memperbaiki dirinya dan meningkatkan ketakwaannya kepada Tuhan. Sewaktu-waktu menghadiri majlis baginda, Wahsyi mengintai-ngintai dari jauh untuk melihat wajah Rasulullah s.a.w. Semakin hari hatinya semakin cinta dengan Nabi s.a.w. Dan semakin hari hatinya juga semakin rasa berdosa terhadap baginda atas perbuatannya dahulu. Lalu timbul azam di hatinya untuk menebus kembali dosa-dosanya itu dengan melakukan sesuatu yang akan menggembirakan baginda.

Wahsyi bertekad dan berazam tidak akan pulang lagi ke Kota Mekah demi untuk merebut cinta kekasih Allah s.w.t. iaitu Muhammad s.a.w. Beliau benar-benar ingin menebus kesalahannya dengan menyebarkan Islam. Keazaman Wahsyi itu telah dibuktikannya dengan menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk berdakwah mengajak seramai mungkin manusia kepada Islam, hingga akhirnya beliau mati di luar Jazirah Arab. 

Matlamat Seorang Hamba

SMAHADZIR


“MATLAMAT orang-orang muqarrobin ialah Allah s.w.t. Mereka memburu Allah s.w.t. Dapat Allah s.w.t. dapat semuanya. Hilang Allah s.w.t. hilanglah semuanya. Allah s.w.t. sumber keselamatan bahkan Allah s.w.t. itu segala-galanya. Mereka menagih cinta dan kasih sayang Tuhan. Mereka sangat takut dan bimbang kalau tersisih dari cinta dan rahmat Tuhan.”

Sudah menjadi tabiat hamba sukakan nikmat dan bencikan kesusahan. Manusia akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan nikmat dan akan juga berusaha sedaya upaya untuk mengelak dari kesusahan. Manusia suka pada yang baik dan benci pada yang buruk. Manusia sukakan berita gembira dan takutkan ancaman seksa. Dalam mendidik manusia, Allah s.w.t. ambil kira perkara ini.

Sebab itu dalam kita berdakwah, kita disyaratkan supaya menyampaikan tabsyir (berita gembira) dan tanzir (berita buruk). Ini perlu supaya manusia terdorong untuk membuat kebajikan dan akan takut untuk membuat kemungkaran. Ini sudah cukup untuk mengawal orang-orang yang beriman supaya mereka berbakti kepada Allah s.w.t. dan menjauhi larangan-Nya.

Di dalam Al-Quran sendiri penuh dengan tabsyir dan tanzir.allah janjikan pahala bagi orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh. Allah s.w.t. ancam orang-orang yang ingkar dan derhaka dengan dosa. Allah s.w.t. janjikan orang-orang yang taat dengan Syurga dan segala macam keindahan dan nikmat-Nya. Dan Allah s.w.t. ancam orang-orang yang ingkar dengan Neraka dan segala macam seksaan-Nya. Bagi orang-orang soleh, mereka sangat cintakan Syurga dan sangat takutkan Neraka. Perasaan cintakan Syurga ini mendorong mereka untuk berbuat sebanyak-banyak ibadah dan kebajikan. Perasaan takutkan Nereka pula mengawal dan menghindarkan mereka daripada berbuat maksiat dan kemungkaran.

Namun demikian, keadaan seperti ini tidak berlaku kepada orang-orang muqarrobin (orang-orang yang hampir dengan Tuhan). Orang-orang muqorrobin tidak mengaitkan ibadah dan amal kebajikan mereka dengan pahala atau Syurga. Mereka juga tidak mengelakkan diri dari membuat maksiat dan kemungkaran atau dasar takutkan dosa dan Neraka. Dalam apa yang mereka lakukan dan usahakan, ia bersabit terus dengan Allah s.w.t.

Pendorong bagi mereka beribadah dan membuat sebanyak-banyak kebajikan dan penghalang yang menghindar mereka dari terlibat dengan maksiat dan kemungkaran ialah semata-mata cinta dan takut mereka kepada Allah s.w.t. itu sendiri. Soal pahala dan dosa dan soal Syurga dan Neraka tidak terlintas di dalam fikiran dan hati mereka.

Matlamat orang-orang muqarrobin ialah Allah s.w.t. Mereka memburu Allah s.w.t. Mereka mahu mempunyai dan memiliki Allah s.w.t. Dapat Allah s.w.t. dapat semuanya. Hilang Allah s.w.t. hilanglah semuanya. Allah s.w.t. sumber keselamatan bahkan Allah s.w.t. itu segala-galanya. Mereka menagih cinta dan kasih sayang Tuhan. Mereka sangat takut dan bimbang kalau tersisih atau terpinggir dari cinta dan rahmat Tuhan. Bagi mereka, Syurga dan Neraka itu hanyalah makhluk ciptaan Tuhan seperti mereka juga dan tidak layak dijadikan matlamat.

Orang-orang muqarrobin juga tahu bahawa Syurga itu terlalu mahal untuk dibeli dengan amal ibadat dan pahala. Tidak ada siapa yang dimasukkan ke Syurga kerana pahala dan amalan mereka. Tidak juga Rasulullah s.a.w. sendiri. Manusia dimasukkan ke Syurga semata-mata kerana rahmat Allah s.w.t. Justeru itu sepatutnyalah manusia berusaha untuk mendapatkan cinta dan rahmat Allah s.w.t. kerana inilah jalan keselamatan. Memburu Syurga belum tentu akan menghasilkan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Tanpa rahmat dan kasih sayang Tuhan, apalah ertinya kehidupan dan kewujudan ini. 

Doa Pemuda Soleh

SMAHADZIR

SEORANG pemuda soleh mengunjungi sebuah kedai roti. Dia memerhatikan roti-roti yang disusun berbaris kemas di atas meja. “Berapakah harga sebuku roti itu?” soalnya sambil menunjukkan sebuku roti yang nampak segar seperti lepas dimasak.

“Tidak mahal, hanya satu dirham sahaja,” jawab penjaga gerai itu dengan muka manis.

Pemuda itu menyeluk sakunya untuk mengeluarkan wang. Dahinya tiba-tiba berkerut, tangannya masih di dalam saku tercari-cari. “Ke mana perginya wang aku?” hatinya kecil tertanya-tanya.

“Minta maaf, saya sudah kehilangan kesemua wang saya. Baru sebentar tadi ia masih ada,” jelas pemuda soleh kepada penjaja.

Seorang lelaki yang mengenali peribadi pemuda soleh itu terus berkata,
“Ya Allah, kudungkanlah tangan orang yang mencuri wang pemuda ini.”

Mendengar doa orang itu, pemuda soleh terus berkata, “Wahai Tuhan, jika wang itu diambil kerana desakan hidup untuk memenuhi keperluan, berkatilah dia. Tetapi jika ia diambil kerana tidak takut kepada dosa, moga-moga inilah dosanya yang terakhir.” 

Beriman Kerana Terbela

SMAHADZIR

SEMASA Sultan Salahuddin Al-Ayubi berada di dalam khemahnya, dia terdengar suara wanita yang sedang menangis, lalu ia memerintahkan agar wanita itu dibawa mengadapnya.

“Kenapakah ibu menangis? Apakah musibah yang menimpa diri ibu?” tanya Sultan.

“Wahai sultan, hidupku kini sebatang kara, sedangkan aku sudah tua. Anak lelakiku telah hilang dalam peperangan dengan tenteramu. Aku tidak tahu sama ada dia masih hidup atau sudah mati. Sementara suamiku pula telah menjadi tawanan tuan, padahal dialah yang menyara nafkah hidupku, kata wanita tua itu lagi.”

Sultan Salahuddin lalu memerintahkan supaya dibebaskan suami wanita tersebut dan dicarikan anaknya. Rupa-rupanya anak lelakinya masih hidup dan dia pun dibawa kepada ibunya.

Wanita itu terlalu gembira dan terharu dengan kebaikan ajaran Islam yang ditunjukkan oleh penganutnya, akhirnya kedua-dua suami isteri itu memeluk Islam di tangan Sultan Salahuddin. 

Anak Islam Generasi Pertama

SMAHADZIR

ANAK-ANAK orang mukmin sedang asyik bermain di pinggir kota Madinah. Tiba-tiba suasana gempar seketika. Anak-anak tadi bertempiaran lari menyembunyikan diri. Mengapa?

Rupa-rupanya mereka melihat Saiyidina Umar ibnu Khattab sedang berjalan melalui tempat mereka bermain. Anak-anak kecil itu gerun dengan sikap tegas yang ada dalam jiwa Umar. Namun ada seorang budak yang tidak ikut lari, malah terus bermain seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Saiyidina Umar lalu bertanya, “Mengapa engkau tidak lari bersama kawan-kawanmu?”

Anak itu menjawab dengan berani, “Saya tidak berbuat kesalahan apa-apa, mengapa saya harus takut. Lagipun jalan ini masih luas untuk tuan lalu.”

Saiyidina Umar tersenyum melihat keberanian dan kecerdasan anak tersebut. “Siapa namamu?” tanya Saiyidina Umar.

“Abdullah bin Zubair.”

Abdullah bin Zubair adalah anak Asma binti Abu Bakar. Inilah jiwa kanak-kanak Islam zaman kegemilangan Islam dahulu yang hanya takut kepada Tuhan, bukan pada manusia.

Mudahkan Jangan Sukarkan

SMAHADZIR

SEORANG Badwi telah datang kepada Rasulullah s.a.w. kerana hendak memeluk Islam. Rasulullah s.a.w. saw bertanya kepadanya tentang Allah s.w.t. Lalu Badwi itu menunjukkan tangannya ke langit seolah-olah ia mahu menyatakan kepada Nabi saw bahawa Allah s.w.t. itu adalah Tuhan. pada wajahnya terbayang sifat ketulusan hati yang menyenangkan.

“Dan aku ini siapa?” tanya Rasulullah s.a.w. lagi.

“Tuan adalah Muhammad, Pesuruh Allah s.w.t.,” ujarnya.

Setelah mendapat jawapan yang sederhana itu, Nabi saw lantas tersenyum lalu mengajak Badwi itu duduk dekat baginda. Dengan itu rasmilah Badwi itu sebagai pemeluk Islam.

Demikianlah Nabi s.a.w. telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana menuntun orang kepada Islam mengikut taraf akal seseorang. Yang lebih penting ialah melahirkan pembelaan dan kasih sayang kepada mereka hati tetap teguh dalam Islam. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA