SMAHADZIR
Sejarah telah mencatatkan bahawa air telah lama digunakan untuk pembangunan. Ini terbukti dengan wujudnya tamadun-tamadun silam di sekitar sungai yang menjadikan tanah tersebut subur dan dibangunkan. Sebagai contoh, tamadun Mesir di sepanjang Sungai Nil, tamadun China purba di Sungai Kuning dan tidak kurang juga penempatan awal di Tanah Melayu adalah di tepi sungai dan di persisiran pantai.
Namun begitu, dewasa ini kesedaran masyarakat tentang pengurusan air amat membimbangkan. Di samping gagal menguruskan air dengan baik, pelbagai kegiatan yang telah mencemarkan kualiti air juga telah dilakukan oleh masyarakat. Sumbangan besar air terhadap produktiviti ekonomi dan kehidupan harian jarang dihargai walaupun semua kegiatan sosial dan ekonomi bergantung sepenuhnya kepada bekalan dan kualiti air. Antara kegiatan yang telah dikenalpasti mencemarkan kualiti air ialah aktiviti dalam bidang pertanian yang menggunakan racun dan baja kimia, aktiviti dalam sektor penternakan yang menyalirkan najis haiwan ke sungai, aktiviti dalam perindustrian yang melepaskan influen atau sisa kilang, aktiviti dalam sektor pelancongan yang melepaskan sisa kumbahan, aktiviti dalam sektor pengangkutan yang menyebabkan tumpahan minyak dari kapal tangki, aktiviti pembandaran yang menyebabkan peningkatan pembuangan sisa domestik, aktiviti dalam pembangunan yang melibatkan sumber tenaga seperti pembinaan awal empangan hidroelektrik, aktiviti perkembangan sektor perlombongan yang menyebabkan sisa perlombongan dan lain-lain lagi.
Masyarakat harus sedar bahawa sebagai sumber yang sangat bermanfaat, air boleh digunakan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan. Bagi memenuhi keperluan harian, air digunakan sebagai minuman, mencuci, mandi dan keperluan-keperluan lain seperti membersihkan halaman, persekitaran dan menyuburkan tanaman-tanaman. Usaha memanfaatkan air seumpama ini sudah tentunya dapat meningkatkan taraf kehidupan yang sihat sejahtera dan mengelakkan dari segala kekotoran, pencemaran dan penyakit.
Dalam melaksanakan projek-projek pembangunan, air sangat diperlukan di sektor-sektor pertanian, perikanan, perkilangan dan industri-industri lain. Air juga boleh dijadikan sumber ekonomi seperti menjadikannya sebagai minuman yang dibotolkan atau ditinkan, tambahan kepada jus buah-buahan, pencair, pewarna atau sebagai bahan untuk dibuat kajian saintifik. Malah air juga berguna bagi bahan-bahan konkrit untuk membina rumah dan bangunan.
Dari pelbagai sumber air yang ada di muka bumi ini, air sungai dan laut telah menjadi penyumbang rezeki dan makanan laut yang banyak dan beraneka kepada makhluk bernyawa di muka bumi ini termasuk manusia. Sebagai sumber asli yang meliputi persekitaran, air juga digunakan bagi pengaliran di saluran pembentung-pembentung dan parit-parit serta kawasan tertentu untuk mengelak banjir. Di empangan-empangan air, air juga terus dipelihara dari segi kebersihan, kesihatan dan keselamatannya supaya boleh digunakan. Sebagai air bersih yang terjamin, air digunakan dalam pelbagai cara seperti sebagai pencuci dan membersihkan produk-produk dan hasil-hasil perindustrian dan perusahaan.
Sebagai sumber yang dapat menambah keindahan tempat-tempat rekreasi dan tarikan pelancong, air memainkan peranan penting bagi sesebuah tasik, air terjun atau pantai. Memajukan tempat-tempat seumpama ini bukan saja dapat mengekalkan keindahan alam sekitar yang ada, malah dapat dinikmati bagi memenuhi keperluan dan pembangunan sosio-ekonomi.
Namun begitu, dengan pertambahan penduduk serta kegiatan ekonomi, banyak negara termasuk negara kita akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air atau menghadapi pembangunan ekonomi yang sudah hampir batasannya. Permintaan bekalan air semakin bertambah sejak 10 tahun yang lalu dengan kadar 70% - 80% diperlukan untuk penyaliran, kurang daripada 20% untuk perindustrian dan 6% untuk kegunaan domestik. Satu pengurusan menyeluruh bagi air sebagai satu sumber terhad dan terancam dan persepaduan di antara rancangan sektor air dengan program dalam rangka dasar sosial dan ekonomi nasional adalah amat penting.
Hakikatnya, kehidupan manusia yang semakin memerlukan sumber alam telah menjejaskan kualiti air di sesebuah lembangan saliran. Sering didapati kualiti air di sesebuah sungai terjejas kerana mempunyai nilai bio oksygen demand yang tinggi. Kegiatan perindustrian kimia sering membebaskan bahan bertoksid seperti magnesium dan plumbum dan bahan kimia ke dalam air sungai. Kualiti air dari segi kejernihan juga sering terjejas akibat kegiatan perlombongan, pembinaan, pertanian dan pembalakan. Kegiatan tersebut telah melonggarkan lapisan tanah-tanih dan menghasilkan banyak sedimen. Air akan menjadi semakin keruh.
Ekologi akuatik dalam air sungai juga turut terjejas dan musnah. Pencemaran air yang disebabkan oleh pelbagai kegiatan manusia telah membebaskan pelbagai jenis bahan kimia yang telah mengubah isi kandungan kimia, nilai pH dan suhu air. Perubahan yang melampau boleh membunuh hidupan akuatik, flora dan fauna kerana habitatnya telah terjejas.
Kualiti air sungai juga terjejas dari segi warna dan bau. Pelbagai bahan buangan dari kilang memproses hasil keluaran pertanian (bahan kimia), industri makanan dan minuman (bahan pengawit dan perasa), kegiatan domestik (sampah-sarap), kegiatan penternakan (bahan kimia dan hormone) dan pertanian (racun makhluk perosak dan baja kimia) telah menjejaskan warna dan bau air. Air bertukar menjadi warna hitam, berbau dan bertoksik serta tidak sesuai untuk sebarang kegunaan manusia.
Kehadiran kandungan bakteria yang semakin banyak dalam air sungai juga turut menjejaskan kualiti air. Kegiatan penternakan ayam itik dan khinzir serta pembentungan najis yang tidak terkawal dari kawasan petempatan dan perhotelan sering mencemari air sungai dengan pelbagai jenis bakteria seperti escherichia coli, dan taun. Air sungai seperti ini sangat berbahaya untuk kegunaan manusia.
Sesungguhnya, pembangunan jangka panjang bagi air memerlukan pengurusan sumber yang menyeluruh. Masalah besar yang memberi kesan terhadap kualiti air timbul mengikut kepentingan bagi keadaan yang berbeza iaitu dari kumbahan domestik yang tidak terolah dengan sempurna, pelepasan effluen dari industri, kehilangan dan kerosakan kawasan tadahan, penempatan kawasan perindustrian yang tidak dibuat dengan betul, kehilangan hutan, pertanian pindah yang tidak terkawal dan amalan pertanian yang buruk. Ini menyebabkan nutrien dan racun serangga melarut resap. Ekosistem akuatik terganggu dan sumber kehidupan air terancam. Di dalam keadaan tertentu, ekosistem akuatik juga mendapat kesan dari projek pembangunan pertanian sumber air seperti empangan, lencongan sungai, skim pemasangan dan penyaliran air.
Hakisan, pemendapan, kehilangan hutan dan penggunaan telah menyebabkan peningkatan susutan tanah dan menyebabkan kesan buruk terhadap ekosistem. Banyak dari masalah ini timbul dari model pembangunan yang merosakkan alam sekitar dan kurangnya kesedaran orang ramai terhadap pemuliharaan air. Kesan yang boleh diukur ialah kesan ekologi dan kesihatan manusia. Kaedah pencegahan amat perlu bagi mengelakkan kos yang tinggi berikutan langkah bagi membaikpulih sumber air yang rosak, mengolah dan membangunkan bekalan air baru.
Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi mengatasi kemerosotan kualiti sumber air ialah penguatkuasaan undang-undang pengawasan atau pemantauan yang teliti serta tindakan tegas termasuk denda dan kompaun, menarik balik lesen operasi dan penjara ke atas mana-mana pihak yang dikenalpasti mencemarkan sumber-sumber air sama ada dari pekilang, penternak, pemilik kapal, orang perseorangan dan sebagainya.
Langkah lain ialah mengawalselia aktiviti pembalakan dan penyahutanan terutamanya di kawasan rizab sungai, kawasan tadahan atau hutan simpan dan sebagainya bagi menjamin sumber air sungai sentiasa bersih dan berterusan. Misalnya kawasan 10 km dari tebing sungai merupakan kawasan rizab atau kawasan penampan yang tidak boleh diusik untuk pembalakan dan penyahutanan.
Selain itu merawat air yang tercemar khususnya akibat sisa kilang dan air kumbahan juga mesti dilaksanakan. Di samping memperbanyakkan loji rawatan air. Menyediakan perangkap sampah yang berkesan untuk membersihkan sungai dari pencemaran sampah-sarap dan melicinkan kadar alirannya. Meningkatkan R&D dan teknologi ke arah yang tidak mencemarkan alam sekitar khususnya sumber air.
Kerajaan juga harus meningkatkan kerjasama serantau bagi mengawal pencemaran laut melalui rondaan bersama, perkongsian teknologi dan kos pemuliharaan atau pembersihan air laut yang tercemar. Termasuk juga melaksanakan kempen dan pendidikan alam sekitar - menyedarkan masyarakat tentang pentingnya air bersih dan menjadi sumber air sebagai penerus kehidupan.
Di samping itu terdapat juga beberapa langkah yang boleh dibuat bagi menyepadukan elemen kualiti air ke dalam pemuliharaan sumber air, antaranya ialah penyelenggaraan persepaduan ekosistem, mengikut prinsip-prinsip pemuliharaan bagi pengekalan ekosistem akuatik termasuk sumber kehidupan dan memelihara ekosistem dengan berkesan dari sebarang bentuk susutan; pemeliharaan kesihatan orang awam, iaitu satu tugas yang memerlukan bukan hanya membekalkan bekalan air minuman yang selamat tetapi juga pengawalan vektor penyakit di dalam alam persekitaran akuatik; pembangunan sumber manusia yang menjadi kunci kepada peningkatan keupayaan dan satu keperluan awal bagi melaksanakan pengurusan kualiti air dan lain-lain lagi.
Alam ini bukan kita warisi daripada nenek moyang tetapi ianya kita pinjam daripada anak-anak masa depan. Masyarakat harus sedar bahawa sungai yang bersih boleh menyumbang ke arah kegiatan ekonomi, aktiviti riadah, industri pelancongan dan keharmonian alam sekitar. Persekitaran sungai yang kemas dan cantik boleh mewujudkan kawasan riadah yang sihat dan menarik. Program pengindahan sungai perlu digandingkan dengan pelaksanaan landskap yang indah dan bersesuaian dengan unsur alam dan tradisi setempat supaya suasana yang tercipta menjadi serasi dan mesra dengan alam persekitaran. Dengan itu kawasan berkenaan akan menjadi tumpuan dan kebanggaan penduduk setempat dan terus dipelihara untuk keperluan bersama.
Bekalan air bersih dan selamat amat penting kepada semua aktiviti kehidupan manusia. Menurut kajian, sebanyak 80% dari semua penyakit dan lebih dari satu pertiga kematian di dunia ini disebabkan oleh pengambilan air tercemar.
Dengan kesedaran bahawa air merupakan sumber yang sangat sensitif kepada pencemaran, maka wajar bagi kita mengambil inisiatif yang perlu bagi menangani sebarang permasalahan yang dihadapi. Salah satu daripada strategi penting bagi memastikan sumber air dijaga oleh semua pihak ialah dengan meningkatkan kesedaran dan kecintaan masyarakaat negara ini terhadap alam sekitar.
Dengan pelbagai usaha yang dijalankan seperti kempen ‘cintai sungai kita’, dan usaha-usaha menerusi media cetak dan elektronik, kita semua perlu disedarkan tentang hubungan akrab antara manusia, alam sekitar dan juga Allah s.w.t. Walaupun keadaan pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar terutamanya sumber air yang unggul masih belum tercapai, namun kita tidak boleh berputus asa daripada terus berusaha. Insaflah bahawa nasib generasi akan datang terletak di tangan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan