REPUBLIK Arab Syria terletak di barat daya Timur Tengah, juga digelar gedung khazanah dunia berpaksikan sejarah tamadun manusia yang penuh dengan pelbagai keunikan. Walaupun Syria kini menuju arus pemodenan, kesan sejarah menjadikan negara ini antara lokasi pelancongan sukar ditandingi, malah tidak keterlaluan untuk Syria mendabik dada atas kelebihan yang ada. Kelebihan negara ini adalah kerana lokasinya di laluan pertemuan dunia, sekali gus menjadi titik pertemuan kalangan pedagang Laluan Sutera dari timur ke pasaran Mediterranean melalui Asia Tengah.
Selain dari sutera, Syria juga terkenal dengan tenunan permaidani
Sutera adalah bahan amat bernilai dan sering digunakan golongan diraja, bangsawan serta pegawai tinggi kerajaan. Penemuan arkeologi menunjukkan bahawa sutera menjadi bahan mewah yang sangat dihargai dan sudah wujud sebelum adanya Laluan Sutera yang dipelopori pedagang China pada abad kedua. Kajian arkeologi juga menemui aktiviti penenunan sutera Syria sebenarnya sudah pun bermula di kota lama Palmyra di tengah Syria pada abad pertama lagi.
Antara identiti yang terkenal di Syria ialah kereta kuda pembawa minyak
Bagaimanapun, China mendominasi pasaran sutera mewah dan mengeksport kain berkualiti tinggi ke Eropah dan negara di timur. Selepas Perang Salib, teknik pengeluaran sutera mula tersebar di Eropah Barat hingga peralatan tenun mereka juga dikatakan jauh lebih unggul ketika itu. Hasil aktiviti perdagangan di laluan yang boleh dianggap ‘lubuk emas’ itu, terbinalah jalinan perniagaan yang turut memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi, komoditi dan pembangunan di sesuatu tempat, malah kerana aktiviti itu jugalah, wujud kubu pertahanan, penyebaran pelbagai agama dan percambahan pelbagai budaya.
Tidak berapa lama dulu, penulis telah berpeluang ke negara berkenaan apabila dipilih menyertai program anjuran Kementerian Pelancongan Syria bagi memperkenalkan produk budaya dan pelancongan negara itu kepada rakyat Malaysia. Tuah bertambah apabila bertemu dengan sebuah keluarga yang begitu lama mengusahakan perniagaan sutera, lantas mengukuhkan keyakinan penulis terhadap kesan kehadiran pedagang sutera di Syria.
Sebuah kedai menjual kain sutera
Keluarga Yousef Mouhamad Hasan, 73, dikenal pasti pewaris tertua yang masih menjalankan perniagaan sutera di republik terbabit. Walaupun sudah dimamah usia, Yousef tewas kepada minat mendalam terhadap sutera yang mendorongnya untuk meneruskan perniagaan turun temurun keluarganya itu sambil bertemankan peralatan mesin kayu dianggarkan berusia ratusan tahun untuk menghasilkan sutera. Sambil dibantu isteri, Bahyjeh Talamoon 68, pasangan suami isteri ini kelihatan amat berbangga apabila usaha mereka turut mendapat perhatian pelancong asing. Ia tidak menghairankan kerana sutera dihasilkan keluarga ini amat bermutu dan tidak putus-putus ditempah pelanggan.
Anak pasangan berkenaan, Jalal Hassan, 25, ketika ditemui, menjelaskan cara bagaimana sutera dihasilkan, bermula dari ulat yang kemudian menjadi pelindung pupa yang terhasil daripada serat dikeluarkan larva ketika membentuk kepompong. ‘Bagi menghasilkan 25 gelung benang sutera sehari, kami memerlukan kira-kira 10 kilogram serat, tetapi segala penat lelah ini berbaloi kerana harga produk sutera yang begitu tinggi. Sifat sutera yang begitu lembut menjadikan harganya mahal, tetapi bagi sesiapa yang menggunakannya, ia adalah lambang kemegahan,’ katanya.
Yousef Mouhamad Hasan, 73, dikenal pasti pewaris tertua yang masih menjalankan perniagaan sutera di republik ini. Walaupun sudah dimamah usia, Yousef tewas kepada minat mendalam terhadap sutera yang mendorongnya untuk meneruskan perniagaan turun temurun keluarganya itu sambil bertemankan peralatan mesin kayu dianggarkan berusia ratusan tahun untuk menghasilkan sutera
Keluarga penghasil sutera di negara ini biasanya membela ulat sutera sendiri pada musim bunga dan menenun pada musim panas dan tetap bersemangat untuk memastikan tradisi sejak berkurun lamanya itu berterusan serta kekal sehingga keturunan berikutnya. Walaupun pengusaha sutera di Syria dilaporkan semakin berkurangan dengan puncanya dikatakan akibat arus pemodenan yang menyebabkan kos kehidupan meningkat sehingga memaksa petani mengalih tumpuan menanam pokok buah-buahan atau zaitun, masih ada yang tetap bersemangat untuk menghasilkan sutera.
Di sebuah pasar di Aleppo terdapat pelbagai barangan dijual untuk para pelancong
Pelanggan sasaran adalah pelancong asing yang mencari bahan seperti selendang sutera berkualiti tinggi yang rata-rata dijual pada harga daripada 3,000 hingga 8,000 pound Syria (RM22 hingga RM53 sehelai) dengan promosi biasanya hanya disampaikan daripada seorang pelanggan kepada pelanggan yang lain. Dilaporkan, pengeluaran kepompong sutera di Syria meningkat daripada 2.6 tan pada 2009 kepada 3.1 tan tahun ini hasil skim galakan yang diperkenalkan kerajaan republik terbabit. Kini, Syria adalah satu-satunya negara di benua Arab yang melaksanakan semua peringkat penghasilan sutera.
Citadel of Aleppo, sebuah istana purba di bandar Aleppo. Ia kini dianggap antara istana tertua dan terbesar di dunia. Kewujudan monumen arkeologi ini diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1986. Struktur kubu Aleppo yang terhasil daripada batuan kapur yang terletak di puncak bukit adalah lambang dalam sejarah kegemilangan tentera Islam. Di bahagian utama benteng ini terdapat ruang takhta dan bilik mandi, selain sebuah masjid kecil dikenali sebagai Masjid Ibrahim yang dibina di menara tinggi.
Kesan Sejarah Di Aleppo
Kembara penulis ke Syria dari Kuala Lumpur melangkau jarak 7,544 kilometer semata-mata untuk mengimbau sejarah laluan pedagang purba melalui program Festival Laluan Sutera 2010 yang dianjurkan Kementerian Pelancongan Syria, suatu ketika dulu. Menurut cendekiawan sejarah, Laluan Sutera adalah saluran penting pertukaran budaya, komersial dan teknologi antara peniaga, tentera, perantau dan penduduk dari China, India, Tibet, Parsi dan negara Mediterranean selama hampir 3,000 tahun. Nama laluan itu jolokan daripada hasil sutera yang diperdagangkan pengembara dari China ke Syria bermula pada zaman Dinasti Han (206-220 Masehi).
Salah sebuah kedai menjual pelbagai barangan keperluan penduduk
Sempena festival berkenaan, penulis bersama pengkaji budaya dan petugas media lain dari seluruh dunia turut melawat beberapa lokasi pelancongan menarik di Syria. Rakan media dari Kyodo News, Tsuchiya Takeshi, nyata begitu kagum dengan tarikan Syria yang disifatkannya sangat kaya dengan tamadun yang lahir hasil gabungan timur dan barat. Sungguh mengagumkan melihat runtuhan bandar lama yang menggambarkan gabungan budaya benua timur, barat, utara dan selatan. Saya percaya Syria mampu bangkit menjadi antara negara tumpuan industri pelancongan di peringkat antarabangsa.
Destinasi pertama dikunjungi ialah Citadel of Aleppo, sebuah istana purba di bandar Aleppo. Ia kini dianggap antara istana tertua dan terbesar di dunia. Kewujudan monumen arkeologi ini diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1986. Struktur kubu Aleppo yang terhasil daripada batuan kapur yang terletak di puncak bukit adalah lambang dalam sejarah kegemilangan tentera Islam. Di bahagian utama benteng ini terdapat ruang takhta dan bilik mandi, selain sebuah masjid kecil dikenali sebagai Masjid Ibrahim yang dibina di menara tinggi.
Masjid Al-Rahman di Aleppo, Syria
Lokasi seterusnya, Pasar Purba dan Khan Alshouna. Pasar lama ini terletak ke arah pintu masuk Citadel of Aleppo manakala Khan merujuk kediaman atau tempat rehat peniaga yang kini berubah menjadi pusat kraftangan dan lokasi utama perniagaan di Aleppo. Kawasan seluas tujuh kilometer persegi ini menempatkan 39 gerai yang penuh dengan hasil perdagangan untuk dijual. Apa yang menarik, pelancong akan melalui laluan sepanjang 10 kilometer merentasi jalan sempit, tetapi berbaloi berkunjung ke sini kerana boleh membeli-belah pelbagai barangan, termasuk cenderahati untuk dibawa pulang.
Merajut sutera di Syria. Sutera merupakan bahan amat bernilai dan sering digunakan golongan diraja, bangsawan serta pegawai tinggi kerajaan. Penemuan arkeologi menunjukkan bahawa sutera menjadi bahan mewah yang sangat dihargai dan sudah wujud sebelum adanya Laluan Sutera yang dipelopori pedagang China pada abad kedua. Kajian arkeologi juga menemui aktiviti penenunan sutera Syria sebenarnya sudah pun bermula di kota lama Palmyra di tengah Syria pada abad pertama lagi.
Ada kedai menjual rempah ratus, sabun, pakaian dan tudung dengan peniaga sentiasa melemparkan senyuman menanti pembeli. Bangunan pasar lama ini yang dijaga rapi dan dinaik taraf seiring dunia moden, mempunyai pintu masuk melengkung tinggi yang diperbuat daripada kayu besar serta diperkuatkan dengan logam dan tembaga. Kami kemudian ke Kimar, Brad (St Maroon) dan Ein Dara. Kawasan St Maroun adalah lokasi keagamaan dan paling penting dalam wilayah Aleppo. Di kawasan runtuhan ini terdapat makam St Maroon, bekas paderi Kristian yang dilahirkan di Syria. Sekeliling makam dikelilingi monumen bukti wujudnya aktiviti keagamaan dan kemusnahan arkeologi. Candi Ein Dara pula adalah kuil yang terletak di barat laut Aleppo, dibina sekitar abad ke-10. Di sini ada dua artifak singa diukir daripada batu kapur, menggambarkan haiwan itu pernah menjadi objek pemujaan atas faktor kekuatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan