Isnin, 24 Disember 2012

Pertandingan Menulis Esei Seni Kraf Malaysia 2012


Memenangi hadiah pertama dalam Pertandingan Menulis Esei Seni Kraf Malaysia 2012


Bersama isteri bergambar di Kraftangan Malaysia Jalan Conlay pada 21 Disember 2012



Hadiah Pertandingan Menulis Esei Seni Kraf Malaysia 2012 di sampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan, Dato Seri Kamarudin Siarah

Berikut adalah esei yang mendapat tempat pertama tersebut:


Keunggulan Kraf Malaysia Menjana Ekonomi
Dan Menjadi Lambang Budaya

HASIL kraf tangan selalunya membawa kepentingan kebudayaan atau keagamaan. Manakala keluaran kraf tangan ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional. Kraf tangan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan. Kraf tangan juga termasuk semua barangan seni yang menjadi tarikan masyarakat atau mempunyai tarikan unsur tradisional yang menunjukkan proses pembentukan. Pembentukan yang dimaksudkan di sini ialah pembentukan dengan menggunakan kemahiran tangan dan boleh juga meliputi penggunaan mesin atau alat-alat yang ada.
Menurut Ismail Ibrahim (2007), seni kraf mempunyai aturan dalam penghasilannya. Pengamal kraf disebut tukang, bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki sejak turun-temurun. Penghayatan seni kraf mengambil kira aspek berikut; pertama adalah pengetahuan dan pengalaman tukang dan kedua, kemahiran tukang dalam mengaplikasikan teknik penghasilannya.
Justeru, kraf wajar mencagunkan keindahan, kehalusan dan keaslian yang tersembunyi malah motif-motif disampaikan adalah satu cerminan terhadap nilai kepercayaan dan adat budaya masyarakat juga lambang budaya bangsa mereka. Kraf tangan mempunyai tiga ciri utama iaitu hasil keluaran, kepercayaan budaya dan agama serta keperluan tradisional. Ketig-tiga ciri ini digabungjalinkan untuk mewujudkan satu nilai estetika tersendiri yang amat tinggi harganya.

Dimensi Baru Budaya Kraf

Sejarah telah mencatatkan bahawa pelbagai seni kraf tradisional giat berkembang mulai abad kesembilan belas terutamanya di negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak. Pada zaman ini, tukang-tukang kraf bekerja dan tinggal dalam pekarangan istana atau kediaman orang-orang besar. Mereka mahir dalam bidang tenunan, pertukangan emas, perak dan ukiran kayu.
Sayangnya, ketinggian mutu dan kehalusan seni kraf mereka bukan untuk dipamerkan ketika itu sehinggalah negara mengalami perubahan politik dalam separuh pertama abad kedua puluh. Hasil kraf yang diimport semakin mudah diperolehi menyebabkan meningkatnya persaingan. Ditambah dengan berkurangnya naungan pihak istana, tukang kraf tiada pilihan melainkan bekerja sendiri. Sehinggalah lahirnya kesedaran bahawa budaya kraf perlu dipelihara, usaha memperkenalkan dimensi baru dalam berkraf telah digiatkan.
            Kraf dihasilkan dari alam semula jadi yang terhampar luas di sekeliling kehidupan masyarakat. Rakyat Malaysia bertuah kerana negara kita memiliki hasil alam yang dapat menyumbang kepada pendapatan dan ekonomi masyarakat tempatan. Bidang hasil rimba seperti bahan dari kayu, buluh, rotan, ribu-ribu, mengkuang, pandan, bemban, tempurung kelapa dan daun serdang gigih diusahakan oleh usahawan kraf tempatan untuk produk kraf tangan. Produk-produk ini mempunyai pasaran yang luas pada masa kini sama ada untuk pasaran tempatan mahupun pasaran antarabangsa.

Kraf Sebagai Penjana Ekonomi

Di Kampung Sungai Odak, Cameron Highlands, terdapat seorang penduduk yang menjadikan hasil kraf tangan sebagai sumber pendapatan menyara penghidupan keluarganya. Lioh A/L Panjang menggunakan kreativitinya dalam menghasilkan kraf tangan dengan menggunakan bahan dari hutan iaitu buluh. Pokok buluh yang telah ditebang akan dilukis dan diukir menggunakan kreativiti beliau sendiri lalu terhasillah tabung buluh, bakul, bekas pensel dan pelbagai lagi. Menariknya di sini, kemahiran yang beliau miliki datang dari diri beliau sendiri dan faktor alam semula jadi. Bukan itu sahaja, beliau juga tidak pernah menghadiri mana-mana kelas kraf tangan anjuran Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).
Hasil kreativiti beliau telah dijual di bengkel kraf tangan yang terletak di simpang masuk ke Kampung Sungai Odak dan juga di Cameron Highlands. Produk kraf tangan ini lazimnya dijual dengan harga sekitar RM4.00 hingga RM20.00. Selain menghasilkan kraf tangan yang diperbuat daripada buluh, beliau juga membuat lukisan yang berkonsepkan kehidupan Orang Asli. Menurut beliau, kehidupan Orang Asli adalah sesuatu yang membanggakan beliau, unik dan menjadi lambang budaya bangsanya sejak turun temurun. Bagi beliau, budaya milik Orang Asli itu perlu dipaparkan dalam media lukisan untuk tatapan masyarakat dari kaum lain kerana tidak semua orang tahu tentang kehidupan sebenar Orang Asli. Dengan menghasilkan lukisan berkenaan, beliau harap ramai orang akan mengenali kehidupan Orang Asli secara tidak langsung.
Manakala seorang lagi petugas Atendan Perpustakaan Desa Tiang @ Teng Bukap, iaitu Limis Jingut juga telah menjadikan kraf sebagai penyumbang pendapatan sampingan atau penjana ekonomi kepada keluarganya. Beliau menghasilkan kraf tangan yang cukup unik dan menarik berasaskan surat khabar lama. Dari helaian bahan bacaan terbabit, beliau mampu menghasilkan bakul-bakul unik dalam tempoh masa dua hingga tiga jam. Ketika ditanya mengenai minatnya itu, anak jati Kampung Sira Tiang Bukap itu berkata, membuat bakul kertas tidaklah sesukar mana, ia perlu sedikit ketelitian dan kesabaran. Menurutnya, dia tidak pernah menghadiri mana-mana kursus kraf tangan sebelum ini sebaliknya ilmu itu hanya diperolehnya melalui salah seorang kenalan.
Selain helaian surat khabar katanya, lidi penyapu, gunting, gam dan barangan terpakai seperti tin ataupun bekas-bekas kecil (untuk dijadikan acuan) juga diperlukan sebelum proses menganyam dimulakan. Mula-mula setiap helai surat khabar dipotong empat mengikut jumlah yang diperlukan. Langkah seterusnya, lidi diletakkan di atas keratan surat khabar terbabit kemudian digulung kemas dan digam. Buat semula langkah yang sama sehingga jumlah gulungan kertas mencukupi untuk menghasilkan saiz bakul yang dikehendaki. Setelah semuanya siap, lidi yang terdapat di dalam gulungan perlu ditanggalkan bagi memudahkan kertas dibentuk. Untuk membuat permukaan bakul, gulungan kertas perlu dianyam secara bersilang dan diletakkan di bawah acuan yang digunakan. Gulungan-gulungan yang terlebih daripada acuan kemudiannya dibengkokkan ke atas untuk dijadikan tiang dinding bakul.
Gulungan kertas yang masih ada kemudiannya disusun rapat secara berselang sehinggalah saiz yang dikehendaki mencukupi, kemudian dimatikan dengan cara menyelit hujung gulungan pada celah-celah anyaman. Untuk membuat gagang pula, kertas surat khabar akan digulung kemas bersama dawai mengikut saiz yang bersesuaian. Menurut Limis Jingut, bakul yang telah siap perlu diwarna menggunakan cat minyak (biasanya warna coklat) agar strukturnya menjadi keras. Selain dijadikan hiasan atau untuk membawa benda-benda ringan, bakul yang berasaskan bahan terpakai ini kata beliau lazimnya digunakan oleh anak-anak kecil di majlis-majlis perkahwinan (flower girls).
Sementara itu Roselind Ulau Ngau yang merupakan salah seorang penduduk yang tinggal berhampiran Pekan Kecil Tiang Bukap berketurunan Bidayuh pula giat dengan usahanya dalam pembuatan kraf yang berasaskan manik yang dipanggil ‘Belanyat’ sejak lebih 10 tahun yang lalu. Kraf tangan yang berasaskan manik ini sering dipakai oleh wanita Bidayuh sebagai salah satu daripada aksesori pakaian tradisional mereka. Roselind Ulau Ngau mula membuat Belanyat sejak remaja lagi ketika masih menuntut di salah sebuah sekolah menengah di Miri, Sarawak.
‘Belanyat’ kecil mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan, manakala yang besar pula memakan masa selama sebulan. Setelah siap, Belanyat kecil akan dijual dengan harga RM190.00 manakala yang besar pula berharga RM900.00. Beliau sering mendapat tempahan daripada pemilik-pemilik kedai kraf tangan di Kuching. Dalam tempoh sebulan, beliau boleh menjual lima Belanyat kecil dan dua Belanyat besar. Untuk menghasilkan Belayat, beliau akan membeli manik-manik yang berharga RM40 hingga RM60 sebakul mengikut saiz tempahan. Hasil daripada titik peluh Roselind, beliau mampu meraih keuntungan sebanyak RM3,000 sebulan. Wanita gigih ini memberitahu, pendapatan yang diperoleh sudah cukup untuk menampung perbelanjaan keluarganya.
Di pasaran global juga kraf dari negara kita boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa. Hakikat ini telah dibuktikan oleh seorang pereka bentuk Malaysia yang berpangkalan di Paris apabila batik rekaannya dipakai oleh menteri wanita Perancis. Pereka bentuk dari Muar yang bernama Ng Swee Kuang itu telah mengeluarkan jenama Paris ‘Ornel’ Soie’ berasa sangat teruja apabila Menteri Ekonomi, Industri dan Kerjaraya Perancis Christine Lagarde dengan begitu megah sekali memakai pakaian batik rekaannya di majlis persidangan APEC di Singapura dan semasa menemui para pembesar asing di Paris.
Ng Swee Kuang yang tinggal di Paris sejak lebih 20 tahun, mempunyai sebuah butik di jalan utama di ibu negara Perancis itu dan rekaannya telah dijual di seluruh dunia di dalam segmen mewah Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun. Bakat dan kemahirannya mengendalikan pelbagai jenis bahan mendapat sanjungan Presiden Nasional Persatuan Ahli Kraftangan Terbaik Perancis, Olga Saurat.
Kes-kes yang dipaparkan di atas adalah empat dari ribuan kes yang menjadi bukti bahawa kraf mampu memberikan pendapatan atau penjana ekonomi kepada sesiapa saja yang mengusahakannya. Jika dilakukan secara kecil-kecilan, pendapatannya tentunya kecil tetapi jika dilakukan secara besar-besaran tentulah pulangannya juga akan menjadi besar. Realitinya, industri kraf telah berupaya menjadi penjana ekonomi sekali gus menampung keperluan pekerjaan bagi masyarakat. Statistik menunjukkan bahawa bidang kraf tekstil dan pelbagai cabangnya menyumbang kepada pendapatan tertinggi setiap tahun, diikuti oleh kraf hasil rimba, logam, tanah dan aneka kraf.

Peluang Menjana Ekonomi

Apa yang penting ialah masyarakat perlu rajin mencari peluang untuk menjana ekonomi dan pendapatan. Rezeki dari rimba yang melimpah-ruah di depan mata jika tidak digarap dengan sempurna tidak ada maknanya. Ia perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguhnya agar menjadi suatu produk berupa kraf tangan yang boleh dipasarkan kepada orang ramai. Kemahiran dan ketekunan serta kesabaran luar biasa diperlukan bagi menghasilkan kraf buatan tangan yang bermutu hingga menjadi sumber pendapatan bagi menyara hidup.
Di samping itu, pada zaman mutakhir ini, seni reka kraf juga perlu disuntik elemen inovasi, moden, bernilai komersial dan mampu diterima di pasaran global. Contohnya, batik yang dulunya sekadar kain basahan semata-mata kini perlu dihasilkan secara komersial dengan seni dinamik untuk kelengkapan rumah, hiasan dinding, beg adangan, pemegang periuk dan lain-lain lagi. Hasil kraf yang kegunaannya hanya terbatas sebagai keperluan seharian seperti tempurung, bemban, tembikar, buluh, rotan, ribu-ribu, mengkuang, pandan dan sebagainya perlu diberi nafas baru.
Usaha meningkatkan nilai warisan perlu dijalankan menerusi daya cipta karya seni yang indah dan bermutu agar terjalin kesinambungan budaya kraf masa lalu. Semuanya ini perlu direalisasikan kerana industri kraf sekarang sudah berdiri sebagai salah satu industri sebenar, berdaya maju, mantap, padu dan berdiri teguh di pasaran tempatan dan antarabangsa. Jadi ia perlu disarati ciri-ciri kecantikan, mutu dan etnik tersendiri memandangkan hasil kraf adalah lambang jiwa sesebuah negara, mencerminkan suatu cara hidup dan ciri-ciri abadi masyarakatnya.
Dalam aspek penghasilan kraf sebagai penjana ekonomi pula, kita dapati, usaha pengisian serta peluang di sebalik ‘pelan tranformasi ekonomi’ yang dilaung-laungkan kerajaan diumpamakan seperti berada di halaman rumah setiap rakyat yang hanya menunggu waktu sahaja untuk direbut. Ini kerana kerajaan sudah menggariskan pelbagai perancangan serta peluang yang hanya bergantung kepada sikap dan minat rakyat untuk menyertainya secara gigih bagi meraih pendapatan lumayan.
Dalam bidang kraf contohnya, banyak projek kraf yang telah dibangunkan oleh kerajaan dalam hasrat mengembangkan punca pendapatan atau sebagai penjana ekonomi kepada masyarakat. Antara projek yang telah dibangunkan ialah tenunan di daerah Pekan, Pahang, batik di Kota Bharu, Kelantan, hasil rimba atau ukiran kayu di Temerloh, Pahang, kraf buluh dan bemban di Serian, Sarawak dan lain-lain lagi. Seramai 691 usahawan kraf telah berjaya dibangunkan melalui projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan ia juga memberi peluang pekerjaan kepada 3,165 orang. Untuk satu daerah, biasanya ada tiga hingga lima pengusaha. Kerajaan melalui organisasi yang telah dipertanggungjawabkan iaitu Kraftangan Malaysia dari semasa ke semasa sentiasa mencari usahawan yang berpotensi untuk dimajukan secara lebih bersistematik.

Kraf Lambang Budaya Negara

Sesungguhnya negara kita kaya dengan identiti seni dan warisan yang unik, malah jelas dalam mengetengahkan hasil kerja tangan rakyatnya. Kraf tangan pula adalah satu kesenian warisan turun-temurun yang sehingga hari ini masih dilakukan dan menjadi sumber pendapatan sesetengah penduduk di negara kita. Kraf tangan dilihat sebagai satu simbol atau identiti negara Malaysia pada pandangan negara luar kerana memiliki unsur-unsur tradisional dan keunikan estetika seni yang mencerminkan rakyat Malaysia sendiri. Ini bermakna kraf telah menjadi lambang budaya negara kerana nilai dan imej penciptaannya terselit unsur-unsur budaya sesuatu kaum yang menghasilkannya.
Kalau kita kembali kepada sejarah, kita dapati bahawa di negara kita, hasil kraf tangan telah bermula sejak zaman berzaman dan diperturunkan kepada generasi ke generasi dan menjadi satu kemahiran sesuatu kaum atau bangsa. Kajian menunjukkan bahawa kegiatan pengeluaran barangan kraf tangan ini dahulu berkaitan dengan kepercayaan agama, tradisi sesuatu puak atau kaum. Pada kebiasaannya, kegiatan-kegiatan seperti ini tidak mementingkan soal ekonomi atau harga kepada hasil tersebut sebaliknya lebih mementingkan aspek kepuasan kepada penciptanya dan juga keindahan kepada produk yang dihasilkan.
Namun kini, produk kraf telah dikomersialkan sehingga ke pasaran dunia dan rata-rata pengusahanya menikmati hasil pulangan yang membanggakan. Ada pengusaha kraf yang bergelar jutawan dan mampu pula menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain. Ini membuktikan bahawa industri kraf tidak lagi berlegar di sekitar kampung sahaja tetapi telah tersebar ke serata pelosok dunia sehingga mampu pula memberi sumbangan ekonomi yang membanggakan kepada penggiatnya.
Manakala sebagai usaha untuk memelihara ketinggian mutu seni kraf negara supaya ia kekal menjadi lambang budaya dan jati diri rakyat, satu skim yang diberi nama Adiguru Kraf telah dimulakan pada tahun 1986. Skim ini antara inisiatif Kraftangan Malaysia di bawah Program Pemuliharaan Kraf untuk memastikan warisan seni kraf turun temurun ini dapat dikekal dan dilestarikan. Adiguru Kraf ialah seseorang, baik lelaki atau perempuan yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai tokoh atau master craftsman.
Mereka yang dipilih perlu memenuhi beberapa kriteria sebelum dinobatkan sebagai Adiguru Kraf. Antaranya mempunyai pengetahuan serta kemahiran tinggi dalam bidang kraf, ahli atau pakar dalam seni kemahiran ketukangan, penciptaan, penggubahan produk dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa Malaysia. Kriteria lain ialah seseorang itu perlu memainkan peranan penting dalam usaha memulih dan memelihara seni kraf warisan dan mempunyai daya kreatif dan inovasi yang tinggi dalam memaju dan meningkatkan kualiti produk kraf yang diusahakan. Setakat ini, seramai 24 orang pengusaha kraf telah dipilih untuk Skim Adiguru Kraf. Di bawah program ini juga, tokoh kraf ini boleh melatih dan memindahkan pengetahuannya kepada anak-anak muda yang berlatih dengannya.

Karyawan Kraf Dan Intensif Kerajaan

Yang jelasnya, dewasa ini tidak dapat dinafikan bahawa hasil kraf telah mampu menjana ekonomi dan menjulang pendapatan masyarakat. Produk-produk kraf yang mendapat pasaran telah memberi pulangan hasil termasuk pendapatan yang lebih tinggi kepada individu yang terlibat. Usaha ini juga telah menghasilkan kelompok karyawan kraf negara yang mampu mengeksport produk ke pasaran negara-negara ASEAN dan dunia keseluruhannya. Seterusnya produk-produk yang berjati diri Malaysia ini telah menjadi lambang budaya negara di mata dunia.
Di negara kita, kerajaan telah menyediakan pelbagai strategi penambahbaikan struktur penjanaan ekonomi rakyat seperti di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Hari ini Pelan Tranformasi Ekonomi yang menyediakan pelbagai ruang, telah digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan pastinya mampu merubah kehidupan seluruh rakyat termasuk di luar bandar. Dalam soal ini, industri kraf merupakan salah satu sumber penting dalam pertumbuhan ekonomi masyarakat sasaran. Kita dapati pengusaha-pengusaha kraf telah mampu mengubah corak hidup mereka yang dulunya miskin tetapi kini sudah ada yang hidup mewah hasil dari kraf yang mereka usahakan.
Dewasa ini seni kraf bukan sahaja warisan yang dipelihara kerana nilai estetikanya tetapi telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan sosio ekonomi usahawan industri tersebut. Bermula hanya sebagai industri desa, seni kemahiran tradisi ini banyak menggunakan hasil alam termasuk rotan di samping seramik, tekstil (songket dan batik) dan logam seperti tembaga dan sebagainya, kini industri ini telah menjengah pasaran global dan menjulang nama Malaysia di mata dunia antarabangsa.
Industri kraf telah diberi pelbagai intensif oleh kerajaan dalam usaha mengembangkannya ke pasaran dunia sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi bukan saja pengusahanya tetapi juga ekonomi negara. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pengusaha kraf negara dijaga seperti ‘menatang minyak yang penuh’. Pelbagai bantuan dihulurkan kepada pengusaha kraf bagi memastikan minat serta kemahiran mereka tidak ‘luntur dek hujan dan tidak lekang dek panas’. Bentuk bantuan bagaimanapun berbeza mengikut saiz perusahaan kraf dan bantuan untuk pengusaha kecil lazimnya ialah dari segi menyediakan bengkel, rekaan dan promosi. Bagi pengusaha besar pula, bantuan lebih difokuskan kepada aspek pemasaran termasuk penyertaan dalam program promosi kerana pihak berkenaan tidak mempunyai masalah dalam kemampuan pengeluaran.

Sumbangan Industri Kraf

Sumbangan industri kraf amat besar kepada negara. Selain dari kejayaannya menambah pendapatan dan peluang pekerjaaan kepada rakyat Malaysia juga telah berjaya meningkatkan perkembangan industri pelancongan. Ramai pelancong yang datang ke negara ini terpikat kepada hasil seni kraf lalu menjadikannya sebagai bahan yang mesti dibawa pulang ke negara mereka sebagai cenderamata atau kenangan. Ada juga pelancong menjadikan kraf kita sebagai bahan koleksi peribadi.
Berdasarkan statistik Kajian Industri Kraf 2007, jualan kraf tangan bagi kategori hutan mencecah RM58.9 juta manakala yang berasaskan bukan hutan pula RM10.9 juta. Kini terdapat 50 pengusaha barangan kraf yang telah membuka kilang sendiri yang menyediakan barangan kraf dengan peralatan yang canggih dan barangan kraf yang dihasilkan turut diedar di dalam dan luar negara dan ia agak memberangsangkan dari jumlah pendapatan pada tahun 2007.  
Barangan kraf tangan juga telah memberi banyak sumbangan dari segi jumlah pelancong yang datang ke dalam negara kita. Industri pelancongan dan industri kraf tangan adalah saling berhubungan dan saling memerlukan antara satu sama lain. Barangan kraf tangan yang dieksport ke luar negara contohnya ke negara Eropah telah menyebabkan nama Malaysia dikenali dan mendorong para pelancong datang ke negara kita untuk melihat sendiri produk tersebut dihasilkan.
Kraf tangan yang berasaskan hutan merupakan sesuatu yang berpotensi tinggi dalam menjana pendapatan pengusaha. Terdapat 6,200 pengusaha industri kraf di seluruh negara dan 60 peratus adalah pengusaha berasaskan industri rimba. Pulangan yang lumayan sebagai pengusaha berasaskan rimba ini menyebabkan ramai pengusaha kraf tangan lebih gemar untuk menceburi bidang berasaskan hutan berbanding dengan batik dan tenunan iaitu dianggarkan 40 peratus pengusaha barangan kraf tangan di Malaysia menjalankannya. Secara keseluruhannya, terdapat kira-kira RM73 juta disumbangkan oleh industri kraf tangan kepada Malaysia bagi pasaran domestik dalam tempoh sembilan bulan tahun 2010.
Malah jumlah pendapatan ini bertambah dari tahun ke tahun sehinggakan kita menyaksikan penganjuran berprestij Hari Kraf Kebangsaan kali ke sembilan pada tahun 2011 dengan memilih ‘Kraf Menjana Ekonomi’ sebagai tema. Tema dipilih selaras dengan peranan industri kraf yang menjadi salah satu daripada sumber pendapatan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Kesimpulan

Keunggulan kraf Malaysia bukan saja telah menjulang nama negara di mata dunia dan menjadi lambang budaya bangsa tetapi juga telah menjadi salah satu elemen penjana ekonomi yang kukuh dewasa ini. Kini industri kraf telah berdaya maju setanding dengan lain-lain industri. Usaha-usaha bersifat komersial di samping pengekalan aktiviti pembangunan sosio-ekonomi sering dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab demi kesejahteraan hidup masyarakat penggiat kraf. Segala penghasilan produk kraf merupakan salah satu daripada usaha ke arah memenuhi kehendak pasaran import selain mengutamakan nilai-nilai seni budaya tempatan yang seterusnya menyumbang ke arah pembentukan jatidiri budaya bangsa dan negara. Kraf tangan adalah suatu warisan peninggalan nenek moyang kita yang perlu diteruskan dari satu generasi ke generasi lain agar tidak pupus ditelan zaman yang serba ‘plastik’ dan canggih ini.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA