Isnin, 24 Disember 2012

Pertandingan Menulis Esei Seni Kraf Malaysia 2012


Memenangi hadiah pertama dalam Pertandingan Menulis Esei Seni Kraf Malaysia 2012


Bersama isteri bergambar di Kraftangan Malaysia Jalan Conlay pada 21 Disember 2012



Hadiah Pertandingan Menulis Esei Seni Kraf Malaysia 2012 di sampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan, Dato Seri Kamarudin Siarah

Berikut adalah esei yang mendapat tempat pertama tersebut:


Keunggulan Kraf Malaysia Menjana Ekonomi
Dan Menjadi Lambang Budaya

HASIL kraf tangan selalunya membawa kepentingan kebudayaan atau keagamaan. Manakala keluaran kraf tangan ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional. Kraf tangan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan. Kraf tangan juga termasuk semua barangan seni yang menjadi tarikan masyarakat atau mempunyai tarikan unsur tradisional yang menunjukkan proses pembentukan. Pembentukan yang dimaksudkan di sini ialah pembentukan dengan menggunakan kemahiran tangan dan boleh juga meliputi penggunaan mesin atau alat-alat yang ada.
Menurut Ismail Ibrahim (2007), seni kraf mempunyai aturan dalam penghasilannya. Pengamal kraf disebut tukang, bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki sejak turun-temurun. Penghayatan seni kraf mengambil kira aspek berikut; pertama adalah pengetahuan dan pengalaman tukang dan kedua, kemahiran tukang dalam mengaplikasikan teknik penghasilannya.
Justeru, kraf wajar mencagunkan keindahan, kehalusan dan keaslian yang tersembunyi malah motif-motif disampaikan adalah satu cerminan terhadap nilai kepercayaan dan adat budaya masyarakat juga lambang budaya bangsa mereka. Kraf tangan mempunyai tiga ciri utama iaitu hasil keluaran, kepercayaan budaya dan agama serta keperluan tradisional. Ketig-tiga ciri ini digabungjalinkan untuk mewujudkan satu nilai estetika tersendiri yang amat tinggi harganya.

Dimensi Baru Budaya Kraf

Sejarah telah mencatatkan bahawa pelbagai seni kraf tradisional giat berkembang mulai abad kesembilan belas terutamanya di negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak. Pada zaman ini, tukang-tukang kraf bekerja dan tinggal dalam pekarangan istana atau kediaman orang-orang besar. Mereka mahir dalam bidang tenunan, pertukangan emas, perak dan ukiran kayu.
Sayangnya, ketinggian mutu dan kehalusan seni kraf mereka bukan untuk dipamerkan ketika itu sehinggalah negara mengalami perubahan politik dalam separuh pertama abad kedua puluh. Hasil kraf yang diimport semakin mudah diperolehi menyebabkan meningkatnya persaingan. Ditambah dengan berkurangnya naungan pihak istana, tukang kraf tiada pilihan melainkan bekerja sendiri. Sehinggalah lahirnya kesedaran bahawa budaya kraf perlu dipelihara, usaha memperkenalkan dimensi baru dalam berkraf telah digiatkan.
            Kraf dihasilkan dari alam semula jadi yang terhampar luas di sekeliling kehidupan masyarakat. Rakyat Malaysia bertuah kerana negara kita memiliki hasil alam yang dapat menyumbang kepada pendapatan dan ekonomi masyarakat tempatan. Bidang hasil rimba seperti bahan dari kayu, buluh, rotan, ribu-ribu, mengkuang, pandan, bemban, tempurung kelapa dan daun serdang gigih diusahakan oleh usahawan kraf tempatan untuk produk kraf tangan. Produk-produk ini mempunyai pasaran yang luas pada masa kini sama ada untuk pasaran tempatan mahupun pasaran antarabangsa.

Kraf Sebagai Penjana Ekonomi

Di Kampung Sungai Odak, Cameron Highlands, terdapat seorang penduduk yang menjadikan hasil kraf tangan sebagai sumber pendapatan menyara penghidupan keluarganya. Lioh A/L Panjang menggunakan kreativitinya dalam menghasilkan kraf tangan dengan menggunakan bahan dari hutan iaitu buluh. Pokok buluh yang telah ditebang akan dilukis dan diukir menggunakan kreativiti beliau sendiri lalu terhasillah tabung buluh, bakul, bekas pensel dan pelbagai lagi. Menariknya di sini, kemahiran yang beliau miliki datang dari diri beliau sendiri dan faktor alam semula jadi. Bukan itu sahaja, beliau juga tidak pernah menghadiri mana-mana kelas kraf tangan anjuran Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).
Hasil kreativiti beliau telah dijual di bengkel kraf tangan yang terletak di simpang masuk ke Kampung Sungai Odak dan juga di Cameron Highlands. Produk kraf tangan ini lazimnya dijual dengan harga sekitar RM4.00 hingga RM20.00. Selain menghasilkan kraf tangan yang diperbuat daripada buluh, beliau juga membuat lukisan yang berkonsepkan kehidupan Orang Asli. Menurut beliau, kehidupan Orang Asli adalah sesuatu yang membanggakan beliau, unik dan menjadi lambang budaya bangsanya sejak turun temurun. Bagi beliau, budaya milik Orang Asli itu perlu dipaparkan dalam media lukisan untuk tatapan masyarakat dari kaum lain kerana tidak semua orang tahu tentang kehidupan sebenar Orang Asli. Dengan menghasilkan lukisan berkenaan, beliau harap ramai orang akan mengenali kehidupan Orang Asli secara tidak langsung.
Manakala seorang lagi petugas Atendan Perpustakaan Desa Tiang @ Teng Bukap, iaitu Limis Jingut juga telah menjadikan kraf sebagai penyumbang pendapatan sampingan atau penjana ekonomi kepada keluarganya. Beliau menghasilkan kraf tangan yang cukup unik dan menarik berasaskan surat khabar lama. Dari helaian bahan bacaan terbabit, beliau mampu menghasilkan bakul-bakul unik dalam tempoh masa dua hingga tiga jam. Ketika ditanya mengenai minatnya itu, anak jati Kampung Sira Tiang Bukap itu berkata, membuat bakul kertas tidaklah sesukar mana, ia perlu sedikit ketelitian dan kesabaran. Menurutnya, dia tidak pernah menghadiri mana-mana kursus kraf tangan sebelum ini sebaliknya ilmu itu hanya diperolehnya melalui salah seorang kenalan.
Selain helaian surat khabar katanya, lidi penyapu, gunting, gam dan barangan terpakai seperti tin ataupun bekas-bekas kecil (untuk dijadikan acuan) juga diperlukan sebelum proses menganyam dimulakan. Mula-mula setiap helai surat khabar dipotong empat mengikut jumlah yang diperlukan. Langkah seterusnya, lidi diletakkan di atas keratan surat khabar terbabit kemudian digulung kemas dan digam. Buat semula langkah yang sama sehingga jumlah gulungan kertas mencukupi untuk menghasilkan saiz bakul yang dikehendaki. Setelah semuanya siap, lidi yang terdapat di dalam gulungan perlu ditanggalkan bagi memudahkan kertas dibentuk. Untuk membuat permukaan bakul, gulungan kertas perlu dianyam secara bersilang dan diletakkan di bawah acuan yang digunakan. Gulungan-gulungan yang terlebih daripada acuan kemudiannya dibengkokkan ke atas untuk dijadikan tiang dinding bakul.
Gulungan kertas yang masih ada kemudiannya disusun rapat secara berselang sehinggalah saiz yang dikehendaki mencukupi, kemudian dimatikan dengan cara menyelit hujung gulungan pada celah-celah anyaman. Untuk membuat gagang pula, kertas surat khabar akan digulung kemas bersama dawai mengikut saiz yang bersesuaian. Menurut Limis Jingut, bakul yang telah siap perlu diwarna menggunakan cat minyak (biasanya warna coklat) agar strukturnya menjadi keras. Selain dijadikan hiasan atau untuk membawa benda-benda ringan, bakul yang berasaskan bahan terpakai ini kata beliau lazimnya digunakan oleh anak-anak kecil di majlis-majlis perkahwinan (flower girls).
Sementara itu Roselind Ulau Ngau yang merupakan salah seorang penduduk yang tinggal berhampiran Pekan Kecil Tiang Bukap berketurunan Bidayuh pula giat dengan usahanya dalam pembuatan kraf yang berasaskan manik yang dipanggil ‘Belanyat’ sejak lebih 10 tahun yang lalu. Kraf tangan yang berasaskan manik ini sering dipakai oleh wanita Bidayuh sebagai salah satu daripada aksesori pakaian tradisional mereka. Roselind Ulau Ngau mula membuat Belanyat sejak remaja lagi ketika masih menuntut di salah sebuah sekolah menengah di Miri, Sarawak.
‘Belanyat’ kecil mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan, manakala yang besar pula memakan masa selama sebulan. Setelah siap, Belanyat kecil akan dijual dengan harga RM190.00 manakala yang besar pula berharga RM900.00. Beliau sering mendapat tempahan daripada pemilik-pemilik kedai kraf tangan di Kuching. Dalam tempoh sebulan, beliau boleh menjual lima Belanyat kecil dan dua Belanyat besar. Untuk menghasilkan Belayat, beliau akan membeli manik-manik yang berharga RM40 hingga RM60 sebakul mengikut saiz tempahan. Hasil daripada titik peluh Roselind, beliau mampu meraih keuntungan sebanyak RM3,000 sebulan. Wanita gigih ini memberitahu, pendapatan yang diperoleh sudah cukup untuk menampung perbelanjaan keluarganya.
Di pasaran global juga kraf dari negara kita boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa. Hakikat ini telah dibuktikan oleh seorang pereka bentuk Malaysia yang berpangkalan di Paris apabila batik rekaannya dipakai oleh menteri wanita Perancis. Pereka bentuk dari Muar yang bernama Ng Swee Kuang itu telah mengeluarkan jenama Paris ‘Ornel’ Soie’ berasa sangat teruja apabila Menteri Ekonomi, Industri dan Kerjaraya Perancis Christine Lagarde dengan begitu megah sekali memakai pakaian batik rekaannya di majlis persidangan APEC di Singapura dan semasa menemui para pembesar asing di Paris.
Ng Swee Kuang yang tinggal di Paris sejak lebih 20 tahun, mempunyai sebuah butik di jalan utama di ibu negara Perancis itu dan rekaannya telah dijual di seluruh dunia di dalam segmen mewah Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun. Bakat dan kemahirannya mengendalikan pelbagai jenis bahan mendapat sanjungan Presiden Nasional Persatuan Ahli Kraftangan Terbaik Perancis, Olga Saurat.
Kes-kes yang dipaparkan di atas adalah empat dari ribuan kes yang menjadi bukti bahawa kraf mampu memberikan pendapatan atau penjana ekonomi kepada sesiapa saja yang mengusahakannya. Jika dilakukan secara kecil-kecilan, pendapatannya tentunya kecil tetapi jika dilakukan secara besar-besaran tentulah pulangannya juga akan menjadi besar. Realitinya, industri kraf telah berupaya menjadi penjana ekonomi sekali gus menampung keperluan pekerjaan bagi masyarakat. Statistik menunjukkan bahawa bidang kraf tekstil dan pelbagai cabangnya menyumbang kepada pendapatan tertinggi setiap tahun, diikuti oleh kraf hasil rimba, logam, tanah dan aneka kraf.

Peluang Menjana Ekonomi

Apa yang penting ialah masyarakat perlu rajin mencari peluang untuk menjana ekonomi dan pendapatan. Rezeki dari rimba yang melimpah-ruah di depan mata jika tidak digarap dengan sempurna tidak ada maknanya. Ia perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguhnya agar menjadi suatu produk berupa kraf tangan yang boleh dipasarkan kepada orang ramai. Kemahiran dan ketekunan serta kesabaran luar biasa diperlukan bagi menghasilkan kraf buatan tangan yang bermutu hingga menjadi sumber pendapatan bagi menyara hidup.
Di samping itu, pada zaman mutakhir ini, seni reka kraf juga perlu disuntik elemen inovasi, moden, bernilai komersial dan mampu diterima di pasaran global. Contohnya, batik yang dulunya sekadar kain basahan semata-mata kini perlu dihasilkan secara komersial dengan seni dinamik untuk kelengkapan rumah, hiasan dinding, beg adangan, pemegang periuk dan lain-lain lagi. Hasil kraf yang kegunaannya hanya terbatas sebagai keperluan seharian seperti tempurung, bemban, tembikar, buluh, rotan, ribu-ribu, mengkuang, pandan dan sebagainya perlu diberi nafas baru.
Usaha meningkatkan nilai warisan perlu dijalankan menerusi daya cipta karya seni yang indah dan bermutu agar terjalin kesinambungan budaya kraf masa lalu. Semuanya ini perlu direalisasikan kerana industri kraf sekarang sudah berdiri sebagai salah satu industri sebenar, berdaya maju, mantap, padu dan berdiri teguh di pasaran tempatan dan antarabangsa. Jadi ia perlu disarati ciri-ciri kecantikan, mutu dan etnik tersendiri memandangkan hasil kraf adalah lambang jiwa sesebuah negara, mencerminkan suatu cara hidup dan ciri-ciri abadi masyarakatnya.
Dalam aspek penghasilan kraf sebagai penjana ekonomi pula, kita dapati, usaha pengisian serta peluang di sebalik ‘pelan tranformasi ekonomi’ yang dilaung-laungkan kerajaan diumpamakan seperti berada di halaman rumah setiap rakyat yang hanya menunggu waktu sahaja untuk direbut. Ini kerana kerajaan sudah menggariskan pelbagai perancangan serta peluang yang hanya bergantung kepada sikap dan minat rakyat untuk menyertainya secara gigih bagi meraih pendapatan lumayan.
Dalam bidang kraf contohnya, banyak projek kraf yang telah dibangunkan oleh kerajaan dalam hasrat mengembangkan punca pendapatan atau sebagai penjana ekonomi kepada masyarakat. Antara projek yang telah dibangunkan ialah tenunan di daerah Pekan, Pahang, batik di Kota Bharu, Kelantan, hasil rimba atau ukiran kayu di Temerloh, Pahang, kraf buluh dan bemban di Serian, Sarawak dan lain-lain lagi. Seramai 691 usahawan kraf telah berjaya dibangunkan melalui projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan ia juga memberi peluang pekerjaan kepada 3,165 orang. Untuk satu daerah, biasanya ada tiga hingga lima pengusaha. Kerajaan melalui organisasi yang telah dipertanggungjawabkan iaitu Kraftangan Malaysia dari semasa ke semasa sentiasa mencari usahawan yang berpotensi untuk dimajukan secara lebih bersistematik.

Kraf Lambang Budaya Negara

Sesungguhnya negara kita kaya dengan identiti seni dan warisan yang unik, malah jelas dalam mengetengahkan hasil kerja tangan rakyatnya. Kraf tangan pula adalah satu kesenian warisan turun-temurun yang sehingga hari ini masih dilakukan dan menjadi sumber pendapatan sesetengah penduduk di negara kita. Kraf tangan dilihat sebagai satu simbol atau identiti negara Malaysia pada pandangan negara luar kerana memiliki unsur-unsur tradisional dan keunikan estetika seni yang mencerminkan rakyat Malaysia sendiri. Ini bermakna kraf telah menjadi lambang budaya negara kerana nilai dan imej penciptaannya terselit unsur-unsur budaya sesuatu kaum yang menghasilkannya.
Kalau kita kembali kepada sejarah, kita dapati bahawa di negara kita, hasil kraf tangan telah bermula sejak zaman berzaman dan diperturunkan kepada generasi ke generasi dan menjadi satu kemahiran sesuatu kaum atau bangsa. Kajian menunjukkan bahawa kegiatan pengeluaran barangan kraf tangan ini dahulu berkaitan dengan kepercayaan agama, tradisi sesuatu puak atau kaum. Pada kebiasaannya, kegiatan-kegiatan seperti ini tidak mementingkan soal ekonomi atau harga kepada hasil tersebut sebaliknya lebih mementingkan aspek kepuasan kepada penciptanya dan juga keindahan kepada produk yang dihasilkan.
Namun kini, produk kraf telah dikomersialkan sehingga ke pasaran dunia dan rata-rata pengusahanya menikmati hasil pulangan yang membanggakan. Ada pengusaha kraf yang bergelar jutawan dan mampu pula menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain. Ini membuktikan bahawa industri kraf tidak lagi berlegar di sekitar kampung sahaja tetapi telah tersebar ke serata pelosok dunia sehingga mampu pula memberi sumbangan ekonomi yang membanggakan kepada penggiatnya.
Manakala sebagai usaha untuk memelihara ketinggian mutu seni kraf negara supaya ia kekal menjadi lambang budaya dan jati diri rakyat, satu skim yang diberi nama Adiguru Kraf telah dimulakan pada tahun 1986. Skim ini antara inisiatif Kraftangan Malaysia di bawah Program Pemuliharaan Kraf untuk memastikan warisan seni kraf turun temurun ini dapat dikekal dan dilestarikan. Adiguru Kraf ialah seseorang, baik lelaki atau perempuan yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai tokoh atau master craftsman.
Mereka yang dipilih perlu memenuhi beberapa kriteria sebelum dinobatkan sebagai Adiguru Kraf. Antaranya mempunyai pengetahuan serta kemahiran tinggi dalam bidang kraf, ahli atau pakar dalam seni kemahiran ketukangan, penciptaan, penggubahan produk dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa Malaysia. Kriteria lain ialah seseorang itu perlu memainkan peranan penting dalam usaha memulih dan memelihara seni kraf warisan dan mempunyai daya kreatif dan inovasi yang tinggi dalam memaju dan meningkatkan kualiti produk kraf yang diusahakan. Setakat ini, seramai 24 orang pengusaha kraf telah dipilih untuk Skim Adiguru Kraf. Di bawah program ini juga, tokoh kraf ini boleh melatih dan memindahkan pengetahuannya kepada anak-anak muda yang berlatih dengannya.

Karyawan Kraf Dan Intensif Kerajaan

Yang jelasnya, dewasa ini tidak dapat dinafikan bahawa hasil kraf telah mampu menjana ekonomi dan menjulang pendapatan masyarakat. Produk-produk kraf yang mendapat pasaran telah memberi pulangan hasil termasuk pendapatan yang lebih tinggi kepada individu yang terlibat. Usaha ini juga telah menghasilkan kelompok karyawan kraf negara yang mampu mengeksport produk ke pasaran negara-negara ASEAN dan dunia keseluruhannya. Seterusnya produk-produk yang berjati diri Malaysia ini telah menjadi lambang budaya negara di mata dunia.
Di negara kita, kerajaan telah menyediakan pelbagai strategi penambahbaikan struktur penjanaan ekonomi rakyat seperti di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Hari ini Pelan Tranformasi Ekonomi yang menyediakan pelbagai ruang, telah digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan pastinya mampu merubah kehidupan seluruh rakyat termasuk di luar bandar. Dalam soal ini, industri kraf merupakan salah satu sumber penting dalam pertumbuhan ekonomi masyarakat sasaran. Kita dapati pengusaha-pengusaha kraf telah mampu mengubah corak hidup mereka yang dulunya miskin tetapi kini sudah ada yang hidup mewah hasil dari kraf yang mereka usahakan.
Dewasa ini seni kraf bukan sahaja warisan yang dipelihara kerana nilai estetikanya tetapi telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan sosio ekonomi usahawan industri tersebut. Bermula hanya sebagai industri desa, seni kemahiran tradisi ini banyak menggunakan hasil alam termasuk rotan di samping seramik, tekstil (songket dan batik) dan logam seperti tembaga dan sebagainya, kini industri ini telah menjengah pasaran global dan menjulang nama Malaysia di mata dunia antarabangsa.
Industri kraf telah diberi pelbagai intensif oleh kerajaan dalam usaha mengembangkannya ke pasaran dunia sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi bukan saja pengusahanya tetapi juga ekonomi negara. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pengusaha kraf negara dijaga seperti ‘menatang minyak yang penuh’. Pelbagai bantuan dihulurkan kepada pengusaha kraf bagi memastikan minat serta kemahiran mereka tidak ‘luntur dek hujan dan tidak lekang dek panas’. Bentuk bantuan bagaimanapun berbeza mengikut saiz perusahaan kraf dan bantuan untuk pengusaha kecil lazimnya ialah dari segi menyediakan bengkel, rekaan dan promosi. Bagi pengusaha besar pula, bantuan lebih difokuskan kepada aspek pemasaran termasuk penyertaan dalam program promosi kerana pihak berkenaan tidak mempunyai masalah dalam kemampuan pengeluaran.

Sumbangan Industri Kraf

Sumbangan industri kraf amat besar kepada negara. Selain dari kejayaannya menambah pendapatan dan peluang pekerjaaan kepada rakyat Malaysia juga telah berjaya meningkatkan perkembangan industri pelancongan. Ramai pelancong yang datang ke negara ini terpikat kepada hasil seni kraf lalu menjadikannya sebagai bahan yang mesti dibawa pulang ke negara mereka sebagai cenderamata atau kenangan. Ada juga pelancong menjadikan kraf kita sebagai bahan koleksi peribadi.
Berdasarkan statistik Kajian Industri Kraf 2007, jualan kraf tangan bagi kategori hutan mencecah RM58.9 juta manakala yang berasaskan bukan hutan pula RM10.9 juta. Kini terdapat 50 pengusaha barangan kraf yang telah membuka kilang sendiri yang menyediakan barangan kraf dengan peralatan yang canggih dan barangan kraf yang dihasilkan turut diedar di dalam dan luar negara dan ia agak memberangsangkan dari jumlah pendapatan pada tahun 2007.  
Barangan kraf tangan juga telah memberi banyak sumbangan dari segi jumlah pelancong yang datang ke dalam negara kita. Industri pelancongan dan industri kraf tangan adalah saling berhubungan dan saling memerlukan antara satu sama lain. Barangan kraf tangan yang dieksport ke luar negara contohnya ke negara Eropah telah menyebabkan nama Malaysia dikenali dan mendorong para pelancong datang ke negara kita untuk melihat sendiri produk tersebut dihasilkan.
Kraf tangan yang berasaskan hutan merupakan sesuatu yang berpotensi tinggi dalam menjana pendapatan pengusaha. Terdapat 6,200 pengusaha industri kraf di seluruh negara dan 60 peratus adalah pengusaha berasaskan industri rimba. Pulangan yang lumayan sebagai pengusaha berasaskan rimba ini menyebabkan ramai pengusaha kraf tangan lebih gemar untuk menceburi bidang berasaskan hutan berbanding dengan batik dan tenunan iaitu dianggarkan 40 peratus pengusaha barangan kraf tangan di Malaysia menjalankannya. Secara keseluruhannya, terdapat kira-kira RM73 juta disumbangkan oleh industri kraf tangan kepada Malaysia bagi pasaran domestik dalam tempoh sembilan bulan tahun 2010.
Malah jumlah pendapatan ini bertambah dari tahun ke tahun sehinggakan kita menyaksikan penganjuran berprestij Hari Kraf Kebangsaan kali ke sembilan pada tahun 2011 dengan memilih ‘Kraf Menjana Ekonomi’ sebagai tema. Tema dipilih selaras dengan peranan industri kraf yang menjadi salah satu daripada sumber pendapatan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Kesimpulan

Keunggulan kraf Malaysia bukan saja telah menjulang nama negara di mata dunia dan menjadi lambang budaya bangsa tetapi juga telah menjadi salah satu elemen penjana ekonomi yang kukuh dewasa ini. Kini industri kraf telah berdaya maju setanding dengan lain-lain industri. Usaha-usaha bersifat komersial di samping pengekalan aktiviti pembangunan sosio-ekonomi sering dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab demi kesejahteraan hidup masyarakat penggiat kraf. Segala penghasilan produk kraf merupakan salah satu daripada usaha ke arah memenuhi kehendak pasaran import selain mengutamakan nilai-nilai seni budaya tempatan yang seterusnya menyumbang ke arah pembentukan jatidiri budaya bangsa dan negara. Kraf tangan adalah suatu warisan peninggalan nenek moyang kita yang perlu diteruskan dari satu generasi ke generasi lain agar tidak pupus ditelan zaman yang serba ‘plastik’ dan canggih ini.





Isnin, 10 Disember 2012

Lim Swee Tin Pernah Ditawarkan Ke SMSAH


SMAHADZIR

Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1969, dengan mendapat Pangkat Satu. Lim Swee Tin kemudian mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah (SMSAH). Walau bagaimanapun, disebabkan kesempitan kewangan, beliau memohon bertukar ke Sekolah Menengah Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan. Beliau hanya sempat beberapa bulan sahaja di sekolah ini kerana terpaksa berhenti disebabkan masalah yang sama.


Penulis bersama Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin di Bilik Mesyuarat Dato' Sagor, Kompleks Sejarah Pasir Salak, Perak

Saya mengenali Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin agak rapat sejak dilantik sebagai Ketua Fasilitator Program Penghayatan Sastera Budaya (PPSB) anjuran PLKN, Jabatan Latihan Khidmat Negara dan DBP. DBP sering mengadakan majlis pemantapan kepada semua fasilitator dan di sinilah bermulanya hubungan akrab saya dengan beliau. Lim Swee Tin memang seorang penyair yang mudah mesra lagi molek pekertinya terutama dalam melantunkan bahasa Melayu ke telinga pendengar.

Saya akui Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin merupakan deklamator yang hebat. Gaya deklamasi beliau menggambarkan pengalaman beliau hampir empat dekad sebagai penyair dan deklamator puisi adalah hasil seorang insan yang benar-benar mencintai dan menjiwai puisi. Mendengar dan menghayati album deklamasi dan lagu puisi Mencari Indah karya Lim Swee Tin ini sudah cukup memberi kesan yang mendalam bahawa Lim seorang penyair yang serius menekuni bidang yang amat dicintainya.

Setakat ini belum ditemui penyair yang menekankan album deklamasi puisi secara perseorangan. Sebanyak 16 puisi yang dipilih oleh Lim daripada buku kumpulan puisi Mencari Indah (2009) merupakan puisi-puisi terbaik beliau. Malah 25 buah puisi yang terkandung di dalam buku Mencari Indah adalah puisi-puisi terbaik beliau yang sarat dengan mesej dan begitu menyentuh perasaan ketika menghayati bait-bait perkataan dengan intonasi yang cukup hebat.

Kehebatan Lim Swee Tin mendeklamasi puisi diakui oleh Arbak Othman yang menyatakan bahawa cara beliau meletakkan suaranya mengikut rentak yang betul pada kata-kata yang memerlukan kesan penerimaan yang bersentuh rasa dan minda. Kadang-kadang ada gegaran yang memacu kata-kata untuk dapat segera menghantar maksud tertentu ke sudut hati dan perasaan pendengar.

Justeru, album deklamasi puisi ini menepati kenyataan Arbak Othman bahawa puisi-puisi Lim Swee Tin mampu menggugah perasaan dan minda orang yang mendengar dan menghayatinya. Nyatalah album deklamasi dan lagu puisi Mencari Indah ini cukup lengkap dan sempurna sebagai bahan rujuk untuk peminat-peminat puisi mempelajari bagaimana menjadi seorang deklamator yang baik. Album ini juga cukup berguna bagi membantu guru-guru Komsas mempraktikkan seni mendeklamasi puisi di dalam kelas.

Kelainan di dalam album deklamasi puisi ini ialah Lim Swee Tin turut menyanyikan sendiri dua buah puisinya iaitu Mencari Indah dan Kita Masih Punyai Malam Untuk Bermimpi. Melodi kedua-dua puisi ini telah digubah oleh Iedet. Setelah didengar beberapa kali, nyata melodi lagu ini sedap didengar dengan kekuatan baik-baik puisi yang puitis. Usaha Lim Swee Tin menyanyikan lagu daripada puisinya sendiri haruslah dipuji. Mungkin dengan cara ini, beliau dapat menghayati puisi yang dihasilkannya.

Namun begitu, alangkah eloknya jika kedua-dua puisi yang dilagukan oleh Lim Swee Tin itu dinyanyikan oleh penyanyi profesional. Nama-nama penyanyi seperti, Zubir Ali, Ramli Sarip, Suhaimi Mior Hassan dan Waheeda adalah penyanyi lagu puisi yang sudah tentu akan menjadikan melodi dan puisi tersebut lebih kuat dan puitis didengar. Secara tidak langsung juga lagu-lagu ini sudah pasti cepat sampai kepada pendengar kerana populariti penyanyi tersebut. Dan berkemungkinan juga lagu-lagu ini boleh meletup di hati pendengar.
Tetapi suara Lim Swee Tin lebih sesuai sebagai deklamator dan bukannya sebagai penyanyi. Ini diakui oleh Prof. Rahman Shaari yang menyatakan bahawa deklamasi Lim Swee Tin jelas kerana dia membawa makna yang ketara. Gayanya sejauh ini ialah gaya pendidikan, yang bererti Lim Swee Tin tidak akan berpuas hati jika pengajaran yang terkandung dalam puisinya tidak dihadam oleh penonton.

Selain itu, terkesan juga usaha Lim Swee Tin untuk menimbulkan ‘senyuman’ apabila tiba pada kata-kata yang menandakan kemesraan. Perubahan mimik daripada wajah masam ke wajah manis dan sebaliknya, secara terancang ini, agak jarang-jarang kita temukan dalam deklamasi orang lain. Lim Swee Tin juga tidak lokek untuk bersuara nyaring pada tempat-tempat yang memerlukan kenyaringan. Gaya mesra Lim Swee Tin memberikan peluang untuk dia menyebarkan suaranya kepada hadirin. Jika dia mempunyai peminat, itulah hasil kejayaannya menyebarkan suara yang terbina gaya mesra penonton.

Bagi saya, Lim Swee Tin adalah seorang penyair dan deklamator yang mempunyai aura dalam kesusasteraan Melayu. Usaha beliau merakamkan deklamasi puisi merupakan satu yang baik dan terpuji kerana mengangkat martabat dan memperkayakan khazanah sastera.

Lim Swee Tin merupakan penerima S.E.A Write Award 2000 (penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh Kerajaan Diraja Thailand. Selain sering muncul di kaca televisyen mendeklamasikan puisi, penyair Lim Swee Tin turut giat memberi ceramah penulisan kreatif di dalam dan luar negara. Beliau pernah diundang mendeklamasikan sajak di Singapura, Indonesia, Thailand, Taiwan dan United Kingdom. Beliau kini Pensyarah Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dilahirkan di Bachok Kelantan pada 26 September 1952. Dalam bidang penulisan, Lim Swee Tin cenderung menulis puisi. Karya awalnya terbit pada tahun 1973. Beliau juga menghasilkan cerpen, novel dan tulisan-tulisan bercorak kesusasteraan. Pada tahun 1990, beliau mewakili negara pada acara Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur. Pada tahun yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka memilih beliau bagi program Penataran Karya Sastera selama hampir sebulan di Jakarta, Indonesia.

Antara karya yang telah diterbitkan ialah ‘Eva’ (1981), ‘Akrab’ (1985), ‘Menyusur Musim’ (1991), ‘Seorang Anak Kecil dan Sajak-sajak Lain/A Child and Other Poems (puisi dwibahasa, 1993), ‘Masih’ (1997), ‘Sebuah Fragmen Cinta’ (1998) dan ‘Nyanyian Sepi’ (puisi dwibahasa, 2000).

Lim Swee Tin pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83, 1986/87, 1988/89, Hadiah Penghargaan Anugerah Puisi Putra 2, 1983 melalui antologi ‘Akrab’. Hadiah kedua Peraduan menulis Cerpen dan Puisi 100 Tahun Kuala Lumpur, Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank, Hadiah Cerpen DBP-Maybank dan banyak lagi.

Puisi beliau yang berjudul ‘Ketika Kami Bercerita Tentangnya’ telah dipilih sebagai teks puisi di dalam antologi ‘Anak Bumi Tercinta’ yang merupakan antologi Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu bagi Tingkatan 3.

Sejak kecil beliau membesar di kalangan masyarakat Melayu. Dengan itu, tidak menghairankan jika beliau dan keluarganya amat fasih berbahasa Melayu. Dengan kefasihan bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu mendorong beliau menulis dan mencipta karya terutama puisi dalam bahasa ini. Ternyata, usahanya berhasil sehingga beliau dikenali sebagai penulis bukan Melayu yang cukup menonjol dan mendapat tempat di akhbar dan majalah, malah sering pula memenangi hadiah-hadiah penulisan.

Lim Swee Tin sebenarnya berdarah campuran. Bapanya, Lim Swee Poh, suku Hokkien berasal dari Chou An, Fujien, China, manakala ibunya Khe Utt Eh Di berketurunan Thai yang sudah menetap sejak beberapa generasi di Bachok, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Tawang, Bachok, kemudian apabila keluarganya berpindah ke Machang, Kelantan, Lim Swee Tin belajar pula di Sekolah Kebangsaan Machang, sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan, dan Sekolah Menengah Hamzah, Machang, Kelantan sehingga Tingkatan Lima.

Lim Swee Tin menjawat jawatan Guru Sandaran di Sekolah Kebangsaan Kampung Pek, Machang selama setahun setengah sehingga beliau ditawarkan ke Maktab Perguruan Persekutuan, Bukit Gelugur, Pulau Pinang mulai tahun 1972 dengan mengambil kursus Pengajian Bahasa Melayu dan Matematik Moden. Beliau lulus pada tahun 1973, dan mula bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan sehingga tahun 1978.

Lim Swee Tin kemudian berpindah ke Sekolah Menengah Hamzah, alma matternya sehingga tahun 1988. Pada tahun 1988, Lim Swee Tin mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Pertanian Malaysia, Serdang kemudian dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan mengambil kursus Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama, dan minor Kesusasteraan Melayu. Lim Swee Tin memperoleh ijazah Bacelor Pendidikan pada tahun 1992. Lim Swee Tin ditugaskan berkhidmat di Sekolah Tinggi Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin, juga di Negeri Sembilan sehingga tahun 1996. Mulai tahun 1997, Lim Swee Tin meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana, dan memperoleh M.A-nya pada tahun 1999.

Lim Swee Tin mula berjinak-jinak dengan bidang penulisan sejak berada di sekolah rendah lagi. Ketika itu, beliau sudah mula belajar mencoret-coret pantun dan syair. Walau bagaimanapun, cubaan beliau menghasilkan sajak tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan sehinggalah tahun 1968 dan 1969 apabila beliau berada di sekolah menengah. Di sekolah menengah, Lim Swee Tin mengambil mata pelajaran kesusasteraan Melayu. Antara teks kajian pada masa itu ialah antologi Gelombang (Usman Awang) dan Nyanyi Sunyi (Amir Hamzah).

Melalui kajian ke atas kedua-dua teks puisi ini, Lim Swee Tin beroleh keyakinan untuk menghasilkan sajak-sajak. Salah sebuah karyanya yang paling awal dan sempurna dihasilkan berjudul ‘Terima Kasih’. Sajak yang dicatatkan pada kulit novel Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad) ini walau bagaimanapun tidak dapat dikesan lagi.

Bermula dari ini, Lim Swee Tin mula berkarya dengan bersungguh-sungguh. Semasa di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Lim Swee Tin secara kebetulan dilantik sebagai Sidang Editor jurnal Persatuan Bahasa Melayu, Kredit Gelugur. Kesempatan ini digunakan beliau untuk menyiarkan beberapa buah sajaknya sendiri. Karya-karya inilah kemudiannya memberinya keyakinan untuk mengirim sejumlah sembilan buah sajak ke Mingguan Malaysia pada tahun 1973.

Salah sebuah sajak beliau ‘Seorang Anak Kecil’ termuat pada 14 Oktober 1973. Sebuah lagi tersiar pula dalam Utusan Zaman kira-kira sebulan kemudian. Tersiarnya karya-karya ini sudah cukup memberinya keyakinan dan kekuatan untuk terus menapak di persada kesusasteraan Melayu, khususnya di pertengahan dekad 1970-an.

Semasa di maktab ini juga, Lim Swee Tin berpeluang membaca banyak buku kesusasteraan pelbagai genre terutamanya dari Indonesia selain jurnal Dewan Sastera (yang mula diterbitkan 15 Januari 1971). Lim Swee Tin pengunjung setia perpustakaan di maktabnya, dan pembaca Dewan Sastera yang cukup tekun. Menurut Lim Swee Tin, pembacaan buku-buku dalam bahasa Indonesia memberinya kekuatan dari segi penguasaan bahasa yang amat besar.

Perkara lain yang mendorong Lim Swee Tin terus mencipta karya ialah faktor alam sekitar seperti penghidupannya yang dikelilingi cara hidup dan budaya masyarakat Melayu, khususnya di Kelantan. Alam semula jadi di Kuala Krai, Kelantan dan berbagai-bagai cabang kesenian rakyat yang digemarinya (secara kebetulan keluarga Lim Swee Tin sebelah ibunya merupakan penggiat Menora dan Wayang Gedek sejak turun temurun). Tugasnya sebagai guru bahasa Melayu di sekolah turut mendekatkan beliau dengan pembacaan yang berterusan dan beliau terus menghasilkan karya-karya kreatif.

Bakat Lim Swee Tin lebih terserlah dalam genre sajak walaupun beliau turut menghasilkan cerpen dan esei kesusasteraan. Berkat usaha gigihnya, Panel Hadiah Sastera 1976 berpendapat bahawa Lim Swee Tin telah menunjukkan harapan besar sebagai penulis bukan Melayu dalam perkembangan sastera nasional kerana beliau bukan sahaja telah dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik tetapi telah berjaya mengangkat bahasa itu menjadi bahasa puisi.

Karya-karyanya sudah mendapat tempat di Berita Minggu, Jurnal PERISA, Jurnal Malay Literature, Utusan Zaman, Mingguan Timur, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Sastera dan puluhan media penyiaran tanah air. Selain itu, puisi-puisinya diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina dan Thai.

Karya Lim Swee Tin yang pertama tersiar di media, sebuah cerpen berjudul ‘Malam Pertama’ tersiar dalam majalah Jejaka tahun 1971. Tetapi, Lim Swee Tin merasakan jiwa dan bakatnya lebih terjurus ke arah genre sajak. Bagi Lim Swee Tin, genre ini boleh menjadi alat komunikasi, iaitu apabila sesebuah karya dihasilkan, pengalaman dan pemikiran penulis dapat dikongsi dan dihayati bersama-sama khalayak.

Berasaskan pegangan inilah Lim Swee Tin begitu serius dalam mencipta sajak dan keseriusannya tidak sia-sia. Setakat ini, Lim Swee Tin telah memenangi sejumlah 20 hadiah penulisan. Antaranya, Sayembara Cerpen ESSO-GAPENA 111 dan V1 pada tahun 1982 dan 1985 melalui cerpen-cerpen berjudul ‘Tapah’ dan ‘Gok’. Beliau memenangi Hadiah Penghargaan Anugerah Puisiputra 11 pada tahun 1983 melalui antologi ‘Akrab’ yang memuatkan 50 buah puisi. Lim juga beberapa kali memenangi Hadiah Sastera Utusan – Publik Bank (1986, 1989, 1990, 1992, 1994, 1999), Hadiah Sastera Malaysia 1982-83 melalui sajak ‘Berjalan-jalan Di Sini’, 1986-87 melalui sajak ‘Sejarah’, dan 1988-89 melalui sajak ‘Sewaktu Melintasi Kundasang’.

Beliau memenangi Hadiah Cerpen Maybank – DBP ke-111 melalui cerpen ‘Cahaya Lain Di Wajah’ dan ke-IV melalui cerpen ‘Setelah Kabus Dini Hari’. Pada tahun 1990, Lim Swee Tin memenangi Hadiah Kedua Peraduan Mengarang Cerpen dan Puisi sempena 100 Tahun Kuala Lumpur melalui naskhah puisi ‘Kuala Lumpur: Kota Sarang Labah-Labah’. Beliau juga memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO – GAPENA tahun 1989, Hadiah Puisi Bosnia – PENA, Berita Harian, Utusan Melayu pada tahun 1994, dan Formula Malaysia kategori cerpen, 2000, melalui cerpen ‘dR’.

Lim Swee Tin berumahtangga pada tahun 1977. Isteri beliau, Selina S.F. Lee, seorang guru juga merupakan penyair dan cerpenis yang kerap menyumbangkan karya-karya di media-media tanah air. Mereka kini dikurniai tiga orang anak, seorang lelaki dan dua orang perempuan.

Lim Swee Tin pernah aktif dalam Persatuan Penulis-Penulis Kelantan (PPK). Selepas PPK menjadi tuan rumah Hari Puisi Nasional di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1981, Lim Swee Tin mengambil alih jawatan Setiausaha 1 selama tiga penggal berturut-turut. Sepanjang memegang jawatan tersebut, Lim Swee Tin banyak memainkan peranan mengendalikan bengkel dan mengadakan pelbagai rancangan pembangunan untuk melahirkan penulis-penulis pelapis di negeri kelahirannya itu.

Pada tahun 1990, Lim Swee Tin terpilih mewakili negara dalam acara Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur, acara dwitahunan yang menghimpunkan penyair-penyair terkemuka dunia. Pada tahun yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka memilih beliau untuk Program Penataran Karya Sastera selama 26 hari di Indonesia. Antara aktiviti beliau ialah menemui pengarang-pengarang ternama mutakhir Indonesia selain berdiskusi dengan tokoh-tokoh bahasa dan kesusasteraan Indonesia. Beliau juga berkesempatan mengikuti HISKI 111 di Malang, Indonesia.

Pada tahun 1994 – 1997 Lim Swee Tin merupakan Pengelola Ruangan Sastera dan Budaya akhbar Mingguan Watan. Selain itu, Lim Swee Tin kerap diundang membentangkan kertas kerja. Antaranya sempena Bulan Bahasa Melayu Singapura 1996, 1997,1998 dan 1999, Hari Sastera Malaysia, Hari Puisi Nasional dan Pertemuan Sasterawan Nusantara X/Perhimpunan Sasterawan Malaysia 1 di Johor Bahru, 1999 di samping mengelolakan majlis-majlis kesusasteraan serta acara-acara baca puisi; antaranya pada Kongres Bahasa Melayu Sedunia 1995, dan lain-lain lagi. Beliau mengendalikan Minggu Penulis Remaja (Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah) dari tahun 1996 hingga 1999, yang banyak membantu mengukuhkan kedudukannya sebagai penulis tanah air. Lim Swee Tin juga Pengadil GAPENA bagi acara Sayembara Puisi Kebangsaan dari tahun 1995 hingga sekarang.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan, Lim Swee Tin telah menerbitkan sejumlah sepuluh buah antologi puisi persendirian, empat daripadanya merupakan puisi remaja, lima buah novel remaja, lima buah buku kreatif umum, dan lebih enam puluh buah antologi bersama. Beliau juga menyelenggarakan sebuah antologi puisi penulis bukan Melayu.

Kejayaan cemerlang Lim Swee Tin dalam bidang penulisannya juga membawanya ke simposium The Search for a New World Culture for the 21st Century: Asian Literary Perspective di Washington D.C, Amerika Syarikat, dan bersempena dengan Persidangan ASEM ke-2 di London April tahun 1998, Lim Swee Tin diundang mewakili Malaysia pada acara Baca Puisi Four Leading Poets from South East Asia bertempat di Royal Festival Hall, London di samping penyair dari Indonesia, Thailand dan Filipina.

Ahad, 9 Disember 2012

Pendukung Dan Pengamal LGBT Islam: Jangan Jahil Hukum Agama


Dalam khazanah fiqh Islam, perbuatan homoseksual (gay dan lesbian) sering disebut sebagai al-faahisyah (dosa besar) yang sangat menjijikkan dan bertentangan dengan fitrah serta tabiat manusia. Oleh kerana itu para ulama sangat mengutuk, mengecam dan mengharamkannya.

Kalau ditelusuri secara gramatikal (bahasa) tidak ada perbezaan penggunaan kata antara homoseksual gay dan lesbian. Dalam bahasa Arab kedua-duanya dinamakan al-liwath. Pelakunya dinamakan al-luthiy. Namun Imam al-Mawardi membezakannya. Beliau menyebut homoseksual sesama lelaki dengan liwat dan lesbian dengan sihaq atau musaahaqah. (Lihat: al-Hawi al-Kabir karya al-Mawardi,  j.13, h. 474-475)

Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan bahawa penetapan hukum haramnya perbuatan homoseksual adalah ijma’ (kesepakatan) ulama, berdasarkan nas-nas Al-Quran dan al-Hadis. (al-Mughni, j.10, h. 155). Imam al-Mawardi berkata, ’Penetapan hukum haramnya perbuatan homoseksual menjadi ijma’ dan itu diperkuatkan oleh nas-nas Al-Quran dan al-Hadis.’ (Kitab al-Hawi al-Kabir, j.13, h. 475)

Mereka dalam hal ini berbeza pendapat mengenai jenis dan bentuk hukuman yang dikenakan kepada pelakunya. Ia timbul kerana perbezaan dalam menginterpretasi dalil-dalil yang bersumber dari Al-Quran, al-Hadis dan athar. Ayat-ayat di dalam surah al-A’raf: 80-84 dan Hud: 77-83 secara jelas mengandungi kutukan dan larangan Allah s.w.t terhadap pelaku perbuatan homoseksual. Ia juga diperkuatkan oleh hadis-hadis berikut:

Hadis riwayat Ibn Abbas: 
’Sesiapa sahaja yang engkau dapati mengerjakan perbuatan homoseksual maka bunuhlah kedua pelakunya’. (riwayat Abu Dawud 4/158, Ibn Majah 2/856, al-Tirmizi 4/57 dan al-Daruquthni 3/124)

Hadis Jabir: 
’Sesungguhnya yang paling aku takuti (menimpa) umatku adalah perbuatan kaum Luth.’ (riwayat Ibnu Majah: 2563, 1457. Al-Tirmizi berkata: Hadis ini hasan gharib, al-Hakim pula berkata, hadis ini sahih isnadnya)

Hadis Ibn Abbas: 
’Allah melaknat sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (beliau mengulanginya sebanyak tiga kali)’. (riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra IV/322 No. 7337)

Perbezaan athar (sama ada dengan kata atau perbuatan) para sahabat adalah dalam menentukan jenis hukuman yang dikenakan kepada pelaku. Antara perbezaannya adalah; membakarnya dengan api, menindihnya dengan dinding, dijatuhkan dari tempat yang tinggi sambil melemparnya dengan batu dan ditahan di tempat yang paling busuk sampai mati.

Para ulama fiqh setelah bersepakat tentang haramnya perbuatan homoseksual (gay dan lesbian), mereka berbeza pendapat mengenai hukuman yang selayaknya dijatuhkan kepada pelaku. Perbezaan bersangkutan dengan dua keadaan;

  • Pertama: perbezaan sahabat dalam menentukan jenis hukuman, sebagaimana tersebut di atas.

  • Kedua: perbezaan ulama dalam mengkategorikan perbuatan tersebut, apakah dikategorikan zina atau tidak? Perbezaan itu memberi implikasi terhadap kadar atau jenis hukuman yang dikenakan. 

Imam Abu Hanifah (mazhab Hanafi) berpendapat: perbuatan homoseksual tidak dikategorikan sebagai zina dengan alasan:

  • Pertama: kerana tidak adanya unsur (kriteria) kesamaan antara keduanya. Unsur mempersia-siakan anak dan ketidakjelasan nasab (keturunan) tidak didapati dalam perbuatan homoseksual.

  • Kedua: perbezaan jenis hukuman yang dilakukan oleh para sahabat (sebagaimana di atas). Berdasarkan kedua alasan ini, Abu Hanifah berpendapat bahawa hukuman terhadap pelaku homoseksual adalah ta’zir (diserahkan kepada penguasa atau pemerintah). (al-Hidayah Syarhul Bidayah 7/194-196, Fathul Qadir, j.11, h. 445-449 dan al-Mabsuth, j.11, h. 78-81)

Menurut Muhammad Ibn al-Hasan al-Syaibani dan Abu Yusuf (murid Abu Hanifah): perbuatan homoseksual dikategorikan sebagai zina, dengan alasan adanya beberapa unsur kesamaan antara keduanya seperti:

  • Pertama, syahwat pelaku disalurkan.
  • Kedua, tercapainya kenikmatan (kerana zakar dimasukkan ke lubang dubur).
  • Ketiga, tidak diharuskan dalam Islam.
  • Keempat, menumpahkan (mempersia-siakan) air mani.

Berdasarkan alasan-alasan tersebut, Muhammad Ibn al-Hasan dan Abu Yusuf berpendapat bahawa hukuman terhadap pelaku homoseksual sama seperti hukuman yang dikenakan kepada penzina, iaitu: kalau pelakunya muhshan (sudah menikah), maka dihukum rejam (dilempari dengan batu sampai mati), kalau ghair muhshan (bujang), maka dihukum sebat dan diasingkan selama satu tahun. (al-Hidayah Syarhul Bidayah 7/194-196, Fathul Qadir j. 11, h. 445-449 dan al-Mabsuth, j.11, h. 78-81)

Menurut Imam Malik, perbuatan homoseksual dikategorikan zina dan hukuman yang setimpal untuk pelakunya adalah direjam, sama ada pelakunya muhshan (sudah menikah) atau ghair muhshan (bujang). Beliau sependapat dengan Ishaq bin Rahawaih dan al-Sya’bi. (Minahul Jalil, j. 19 h. 422-423)

Menurut Imam Syafi’i, perbuatan homoseksual merupakan hubungan seksual terlarang dalam Islam. Hukuman untuk pelakunya: kalau pelakunya muhshan (sudah menikah), maka dihukum rejam. Kalau ghair muhshan (bujang), maka dihukum sebat 100 kali dan diasingkan selama satu tahun. Hal tersebut sama dengan pendapat Sa’id bin al-Musayyib, Atha’ bin Abi Rabah, al-Nakha’i, al-Hasan dan Qatadah. (al-Majmu’j. 20, h. 22-24 dan al-Hawi al-Kabir, j. 13, h. 474-477)

Menurut Imam Hanbali, perbuatan homoseksual dikategorikan zina. Mengenai jenis hukuman yang dikenakan kepada pelakunya beliau mempunyai dua riwayat (pendapat):

Pertama, dihukum sama seperti penzina, kalau pelakunya muhshan (sudah menikah) maka dihukum rejam, jika pelakunya ghair muhshan (bujang), maka dihukum sebat 100 kali dan diasingkan selama satu tahun. (pendapat inilah yang paling kuat).
Kedua, dibunuh dengan direjam, sama ada itu muhshan atau ghair muhshan. (al-Furu’, j. 11 h. 145-147, al-Mughni, j. 10, h. 155-157 dan al-Inshaf j. 10, h. 178)

Sebagaimana disebutkan di atas bahawa di antara landasan hukum yang mengharamkan perbuatan homoseksual dan lesbian adalah ijma’. Ijma’ merupakan kesepakatan para mujtahid (ahli ijtihad) setelah wafatnya Rasulullah s.a.w terhadap sesuatu isu hukum dalam sesuatu masa. Jadi yang menentukan sesuatu hukum sudah menjadi ijma’ atau belum adalah para mujtahid (ahli ijtihad) yang berkepakaran dalam bidangnya, bukannya orang-orang sembarangan yang tidak diketahui keilmuannya.

Haramnya homoseksual (gay dan lesbian) ini, sudah menjadi ijma’ (kesepakatan) ulama Islam. Ertinya, tiada seorang di kalangan mereka yang berselisih pendapat. Oleh itu, mustahil kita akan temui mana-mana ulama yang berpendapat tentang kehalalannya. Ia sudah menjadi ketentuan hukum sejak zaman Nabi, para sahabat dan seterusnya sampai ke hari kiamat. Justeru, ia tidak boleh dirungkai lagi dengan apa juga alasan dengan sekadar justifikasi rasional atas nama perjuangan hak asasi manusia yang batil. 

Insaflah wahai pengamal dan pendukung kumpulan ini yang beragama Islam!

Wallahu a’lam.

Berhati-hati Dengan Penulis Lesbian Penyokong Homoseks


SMAHADZIR

Sewaktu puteri ke 4 saya membeli dan membawa pulang buku yang berjudul The Enchantress Of Florence tulisan Salman Rushdie, saya jadi terfikir betapa generasi remaja sekarang kurang peka dengan penulis-penulis ‘sampah’ yang dikutuk seluruh dunia Islam kerana menghina Junjungan Besar kita Rasulullah s.a.w. Walaupun The Enchantress Of Florence tidak menghina Islam dan Salman Rushdie dikatakan penulis yang kaya dengan diksi dan personafikasi yang menarik namun karyanya The Satanic Verses yang menghina Islam tidak boleh diterima oleh fikiran yang waras. Lantaran The Satanic Verses, saya terus menolak beliau kendati beliau seorang penulis yang hebat. Begitu juga dengan Irshad Manji, rakan baik Salman Rushdie yang dikatakan ‘hebat’ itu.


Irshad Manji (kiri) bersama idolanya Salman Rushdi penulis novel haram ‘The Satanic Verses’

Baru-baru ini Irshad Manji dalam rangka lawatan ke Indonesia dan Malaysia untuk mempromosikan ‘buku sampah’ terbarunya yang diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu berjudul Allah, Liberty And Love: Satu Keberanian Mendamaikan Iman Dan Kebebasan, telah menjadi satu tajuk yang hangat di dada media negara kita. Namun yang hairannya, ramai remaja termasuk orang-orang tertentu yang menerima penulis Irshad Manji ini sebagai ‘hebat’ dan diterima pula karyanya di tengah masyarakat kita. Selain itu beliau juga telah dijemput oleh sebuah universiti untuk berbicara dalam sebuah forum ilmiah.

Dalam kerangka worldview Islam, sangat mudah bagi seorang Muslim untuk memahami dan menangani kes Irshad Manji. Irshad Manji adalah lesbian, dan dia begitu bangga dalam mempromosikan kelesbiannya. Beliau juga sangat bersahabat bahkan menyokong pandangan dan sikap Salman Rushdie, seorang yang sangat biadab dalam melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w.


Buku Irshad Manji yang berjudul Allah, Liberty And Love: Satu Keberanian Mendamaikan Iman Dan Kebebasan

Dengan logik sederhana sekali, kita boleh mengatakan bahawa mengundang seorang lesbian seperti Irshad Manji untuk berbicara di universiti atau lain-lain forum ilmiah adalah sangat dangkal dan tidak intelek. Kecuali, jika Irshad Manji berceramah di komuniti lesbian dan rumah-rumah pelacuran. Mengapa? Di dalam Islam, orang yang melakukan dosa, tetapi mengakui perbuatannya dosa, masih jauh lebih baik daripada seorang yang menghalalkan, apatah lagi bangga dengan perbuatan dosanya.

Seorang pelacur atau perasuah masih terbuka pintu taubat baginya jika dia sedar bahawa yang dia lakukan adalah salah dan dia mahu bertaubat secara bersungguh-sungguh. Tetapi, ini berbeza sama sekali dengan pelacur atau perasuah yang berbangga dengan tindakannya; atas dasar kononnya dia telah menyenangkan dan membantu orang lain. 

Dengan kebanggaan sebagai lesbian, Irshad Manji sebenarnya sama kedudukannya dengan penzina. Bahkan, lebih dari itu, dia bangga berbuat zina. Dalam buku terbaru yang dipromosikan kali ini, dia banyak mengungkapkan kebanggaannya sebagai seorang lesbian. Dia juga tak malu mengatakan siapa pasangan hidupnya (entah sebagai suami atau isteri). Bahkan, kata-kata yang digunakan beliau dalam pelbagai bahagian buku ini sangat lucah, jauh dari nuansa akademik.

Di dalam buku ini, misalnya, Irshad Manji menulis, bahawa dia menerima satu soalan daripada seorang yang tak menyebutkan namanya (tanpa nama): ‘Mantan-saudari se-Islam, Irshad: Apa agama pasangan lesbian anda? Yahudi?’

Irshad Manji menjawab: ‘Aku bertemu pasanganku di gereja Anglikan, ketika menghadiri upacara ritual sebagai sebahagian daripada kajianku untuk program TV baru. Berkaitan pertanyaanmu, aku meminta dia berterus terang mengenai agamanya. Aku menuntut kebenaran. Jawapan dia, ‘Panggil saja aku Shlomo.’ Aku masih menyesuaikan diri.’

Ada lagi soalan seorang yang ditulis identitinya oleh Irshad Manji sebagai ‘Mo’. Orang ini bertanya: ‘Kami pasti menendang pantatmu ke neraka, biar kamu merasakan api neraka membakarmu hidup-hidup. Kau memang sepalsu neraka, jangan muncul lagi dengan buku-buku bodohmu tentang Islam. (Mo). Jawab Irshad Manji: ‘Biar aku betulkan, Mo. Aku ini sepalsu ‘neraka,’ tapi pantatku harus ditendang ‘ke neraka’ - yang menurut penjelasanmu, adalah tujuan yang ‘palsu’? Mahu cuba lagi?’

Melalui pelbagai bahagian dalam buku ini, Irshad Manji sangat jelas mempromosikan gagasan lesbiannya. Misalnya, pandangannya tentang pemahaman terhadap kisah kaum Luth dalam Al-Quran, dia menulis: ‘Nah sekali lagi, patahkan keyakinan dengan ayat-ayat Al-Quran sederhana yang mendorongmu untuk tidak terlalu berlebihan dengan ayat-ayat yang tersirat. Kisah Nabi Luth dalam Islam tergolong dalam perkara yang tersirat. Kau merasa yakin kalau surah ini mengenai homoseksual, tapi mungkin saja mengenai lelaki ‘lurus’ dirogol oleh lelaki ‘lurus’ lain sebagai gambaran atas kekuasaan dan kawalan. Tuhan menghukum kaum Nabi Luth kerana memotong jalur perdagangan, mengumpul kekayaan, dan berlaku tidak hormat terhadap orang luar. Perkosaan antara lelaki boleh jadi merupakan dosa sengaja (the sin of choice) untuk menimbulkan ketakutan di kalangan pengembara. Aku tidak tahu apakah aku benar. Namun demikian, menurut Al-Quran, kau pun tidak boleh pasti sama ada kau benar. Nah, kalau kau masih beria-ia untuk mengutuk homoseksual, bukankah kau justeru yang mempunyai agenda gay? Dan sementara kau begitu, kau tidak menjawab soalan awalku: ‘Ada apa dengan hatimu yang sesat?’

Sukar dinafikan, membaca buku Irshad Manji yang terbaru ini, juga buku sebelumnya, memang jauh dari kesan dan bahasa akademik. Apakah ini ada kaitan dengan keadaan kejiwaan seorang lesbian yang banyak mengalami penderitaan semasa kecilnya?

Wallahua’lam. Yang jelas, seorang beridentiti ‘SR’ menulis surat kepada Irshad Manji - yang juga dimuatkan di dalam buku Irshad Manji sendiri: ‘Hello Cik Irshad sang Lesbian Feminis Liberal. Aku seorang Muslim moderat yang berpendidikan, dan aku rasa kamu ini berkhayal demi kemasyhuran dan ketamakan. Nah, ini judul yang bagus dan boleh kamu pertimbangkan untuk buku-bukumu selanjutnya: ‘Bagaimana aku boleh memperbodohkan Barat agar berfikir homoseksualiti diterima dalam Islam.’ Satu lagi, ‘Bagaimana menjual dirimu pada syaitan.’

Membaca buku Irshad Manji, juga sikap dan akhlaknya, nampaknya diperlukan pendekatan - bukan hanya analisis kritis atas isi bukunya tetapi juga pendekatan mental dan jiwa atau psikologi! Akhirnya kita berdoa agar tidak ada ORANG MALAYSIA YANG BODOH DAN TERIKUT-IKUT UNTUK MEMPROMOSI DAN MENJUAL ‘BUKU SAMPAH’ IRSHAD MANJI INI. Kita juga berdoa agar TIADA ORANG MALAYSIA YANG MENYOKONG LESBIAN DAN HOMOSEKSUAL SEPERTI YANG DIPERJUANGKAN LGBT.


Isnin, 19 November 2012

PERCUTIAN DI GOLD COAST SEPANG: MEWAH DAN EKSKLUSIF

SMAHADZIR

Dalam negara kita sendiri masih banyak lagi tempat menarik yang boleh kita lawati dalam usaha kita untuk mendamaikan perasaan bersama sanak-saudara atau ahli keluarga. Negara kita kaya dengan tempat-tempat rekreasi keluarga dan serasa penulis masih belum kita terokai sepenuhnya. Sekitar 50 km dari tempat kediaman penulis iaitu Banting, Selangor terdapat sebuah pantai peranginan yang menarik lagi tersohor sejak sekian lama iaitu Pantai Bagan Lalang, Sepang.


                              Perkhidmatan buggy disediakan kepada para penyewa

Sekitar 10 tahun lalu, tarikan utama Pantai Bagan Lalang ini ialah sekadar keindahan biasa pantai yang juga merupakan antara pantai tercantik di negeri Selangor selain dari Pantai Morib. Pengunjung waktu itu hanya teruja dengan kedamaian pemandangan laut ketika senja di pantai ini. Selain itu, pengunjung juga dapat melihat anak-anak ketam merangkak di persisiran pantai. Paling penting, pengunjung dapat melarikan diri dari hiruk-pikuk kota dan menikmati sepenuhnya percutian mendamaikan di pantai ini bersama keluarga dan insan tersayang.


                                    Penulis bersama isteri di hadapan buggy


Selain itu, pengunjung juga datang ke pantai ini untuk memancing, kelong atau menaiki bot di tengah laut. Mereka menyewa atau menumpang nelayan yang ingin ke laut. Ini semua bergantung kepada permintaan pengunjung tersebut. Ada di antara pengunjung yang gemar mengutip kepah dan pepahat ketika air surut serta ada juga yang berkelah di tepi pantai. Pengunjung yang menggemari makanan laut dan ikan bakar segar yang enak, banyak medan selera tersedia di kawasan persisiran pantai.




             Antara villa penginapan atas laut yang terdapat di Sepang Gold Coast

Itu sekitar 10 tahun yang lalu. Semuanya tidak berubah sehingga kini malah kepelbagaian bentuk rekreasi untuk keluarga semakin bertambah. Kini para pengunjung boleh menikmati pelbagai bentuk kedamaian dan ketenangan dengan wujudnya prasarana moden yang telah diusahakan oleh pihak berwajib. Kalau dulu kurangnya tempat berehat, tandas awam, kedai makan, surau dan sebagainya tetapi kini itu semua tidak menjadi masalah lagi. Para pengunjung boleh menikmati semua prasarana tersebut dengan mudah kerana pihak pentadbir telah menyediakannya di pantai peranginan ini.


                             Spa atas laut yang terdapat di Sepang Gold Coast

Realitinya, Pantai Bagan Lalang kini semakin bertaraf moden apabila lahirnya Sepang Gold Coast yang bertaraf antarabangsa ala-ala resort palma selepas Dubai. Ini adalah calet terapung yang eksklusif dan memperlihatkan ciri-ciri rekabentuk Malaysia yang tersendiri. Pembangunan syurga pesisir pantai terpanjang di Asia ini meliputi kawasan muara Sepang Kecil dan Sepang Besar serta Pantai Bagan Lalang - Tanjung Rhu. Sepang Gold Coast juga menjanjikan sesuatu yang sangat unik dan istimewa merangkumi rumah kelab, kolam mandi, bilik mesyuarat, kedai, pusat perniagaan, restoran, pusat rekreasi, pusat kesihatan, spa dan gimnasium serta tempat penginapan yang menakjubkan di tengah laut Selat Melaka.



Penulis terlalu akrab dengan Pantai Bagan Lalang ini. Sekitar 10 tahun yang lalu, penulis sering ke sini terutama tatkala ingin lari dari kesibukan dan kerenyahan hidup. Kalau dulu serasa dipeluk segar dengan kepurbaannya tetapi kini sudah meriah dengan kemodenannya. Begitulah Pantai Bagan Lalang.


Ini berikutan keindahan semula jadi pantainya yang turut mendorong kewujudan calet dan resort bagai ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Bukan itu sahaja, keenakan ikan bakar di sini juga turut mendorong dan menarik perhatian pengunjung-pengunjung luar untuk menikmati kelazatannya. Sambil menikmati kelazatan hidangan makanan laut, pengunjung juga berpeluang merasai kedinginan dan kesegaran bayu laut pada waktu malam. 


Sementelahan pula, sebagaimana yang penulis telah sebutkan tadi iaitu di sini telah dibina sebuah resort terapung berbentuk pohon palma yang dikenali sebagai Sepang Gold Coast. Justeru, kewujudan resort tersebut bukan sahaja telah menggamit ramai pengunjung asing, malah resort di Pantai Bagan Lalang ini juga telah menjadi antara pusat pelancongan yang popular di Malaysia.


Kebetulan penulis telah diberi kesempatan dan rezeki oleh Allah s.w.t membuat sedikit pelaburan di Sepang Gold Coast ini dengan membeli sebuah unit resort lalu diiktiraf sebagai ahli kepada Iconic Vacation Club yang bertaraf antarabangsa. Jadi dapatlah penulis dan keluarga bercuti di resort ini secara percuma.


Pada tanggal 17 November 2012 penulis sekeluarga pun bercuti di sini dengan menginap di dua buah bilik jenis Canary Palm Villa yang berkeluasan 883 kaki persegi dengan kadar sewaan RM2,400.00 semalam bagi setiap bilik. Memang berbaloi kerana eksklusif dan bertaraf antarabangsa bilik-bilik yang ada di Sepang Gold Coast ini. Apabila menginap di sini kita akan disajikan dengan pemandangan luar yang mendamaikan perasaan. Laut yang terbentang, sesekali mengocak ketenangan resort yang berdiri tegak di dalam air begitu menyemarakkan ketenangan. Serasa hidup bagai diapung kemewahan yang melimpah. 


                    Antara pemandangan yang terdapat di Sepang Gold Coast

Dari tempat letak kereta, penulis dan keluarga dijemput oleh kakitangan Sepang Gold Coast dengan buggy dan dihantar sehingga ke bilik penginapan. Jika sebagai pelawat biasa anda tidak mungkin dapat naik buggy ini apa lagi untuk meronda sekitar kawasan Sepang Gold Coast. Ini kerana kawasan Sepang Gold Coast agak eksklusif dan hanya untuk ahli yang ada membeli unit di sini saja. Justeru jika anda ingin menikmati suasana yang indah di sini, penulis syorkan belilah satu unit dan anda akan menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan di sini.

Terdapat tiga jenis villa yang disediakan di sini iaitu Travelers Palm Villa, Canary Palm Villa dan Ivory Palm Villa. Travelers Palm Villa berkeluasan 570 kaki persegi dengan kadar sewaan RM1,200.00 semalam, Canary Palm Villa dengan keluasan 883 kaki persegi dengan kadar sewaan RM2,400.00 semalam manakala Ivory Palm Villa pula berkeluasan 1,345 kaki persegi dengan kadar sewaan RM5,000.00 semalam. Kadar sewaan untuk semua jenis villa ini hanya untuk tahun 2012 sahaja. Untuk tahun 2013 dan seterusnya mungkin berubah. Menurut kajian, kadar sewaannya pasti melambung tinggi dari tahun ke tahun kerana pihak pentadbiran Sepang Gold Coast sedang dalam rancangan untuk membina lagi resort yang hampir sama bersebelahan dengan resort ini dan dijangkakan harga unitnya akan mencecah jutaan ringgit pada masa akan datang. 


               Pemandangan dari bilik penginapan Travelers Palm Villa Sepang Gold Coast

Justeru penulis mencadangkan agar para pembaca artikel ini boleh membuat tempahan untuk memiliki seunit atau dua unit resort di Sepang Gold Coast ini sebagai pelaburan masa depan. 


Sepang Gold Coast menyediakan pelbagai prasarana mewah dan eksklusif untuk para pengunjungnya. Untuk sesiapa yang kuat makan boleh menjamu selera di Bila-Bila Restoren, Hai Sang Lou Poolside Bar, Buloh Bar, Perahu Restoren, Stimnot Restoren, Sepoi Sepoi Cafe dan di Selat Bar. Manakala kemudahan-kemudahan rekreasi lain adalah seperti bicycle tour, gym, kolam mandi, smiley beach sports and activities seperti sailing, kayak, stand up paddle, windsurfing, cart sailing, speed sail, bocce ball, beach football, beach volleyball, sepak takraw, stretching, ping pong, darts dan lain-lain lagi. Disediakan juga yoga, power walk, kids club dan pelbagai entertaiment. Pendek kata, pengunjung atau ahli Iconic Vacation Club tak akan merasa rugi jika bertandang ke sini.


                       Pemandangan vila-vila penginapan di Sepang Gold Coast

Bagi penulis, membuat pelaburan dengan membeli unit resort di Sepang Gold Coast ini bakal memberi pulangan yang baik. Dalam masa 20 tahun setiap individu yang menjadi ahli Iconic Vacation Club bukan saja boleh menyewa di hotel-hotel bertaraf lima bintang di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia termasuk di Kota Mekah. Antara hotel bertaraf mewah di seluruh dunia ialah The Pines Resort New Zealand, Streamside Vail-Cedar, USA, Risata Bali Resort, Indonesia, Wyndham Grand Desert, Las Vegas dan di lebih 4,000 getways dan lebih 100 buah negara termasuk Australia dan Pasific Selatan, Asia, Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan dan Afrika.


                                  Villa Travelers Palm Villa Sepang Gold Coast

Setiap ahli diberi 7 hari percuma untuk menginap di mana-mana hotel yang berada di bawah Iconic Vacation Club di seluruh dunia dan sekiranya jumlah 7 hari tersebut telah habis, anda boleh menyewanya dengan harga yang murah berbanding kadar sewa bukan ahli. Ini merupakan antara kelebihan menjadi ahli Iconic Vacation Club. Dan yang lebih menakjubkan lagi ialah harga sewaan hotel bertaraf lima bintang di seluruh dunia adalah harga sekarang iaitu tahun 2012 selama 20 tahun akan datang.



                                   Villa Canary Palm  di Sepang Gold Coast

Dari maklumat yang penulis dapat, kawasan rekreasi Sepang Gold Coast ini sedang diperbesarkan lagi. Khabarnya, melalui plan rancangan yang dipaparkan di majalah IVC Buletin yang dikirimkan kepada penulis selaku ahli Iconic Vacation Club, bagi merangsang industri pelancongan negara, Sepang Goldcoast Sdn. Bhd telah merancang menambah lebih banyak kemudahan berkaitan pelancongan melalui Program ‘Malaysia, Rumah Keduaku’. Sepang Goldcoast bersama Sepang Bay Sdn. Bhd telah diberi kepercayaan membangunkan satu jalur kawasan perdana berhadapan laut sepanjang 22 kilometer dari Bagan Lalang sehingga ke Tanjung Sepat. 

Projek yang diilhamkan oleh Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Sepang Goldcoast itu melibatkan perancangan pembinaan satu terminal kapal persiaran, satu taman tema air, hotel tiga dan empat bintang, cawangan jualan langsung dari kilang serta rumah peranginan bagi para pesara di bahagian barat daya Selangor. Cadangan itu akan dikemukakan bagi mendapat kelulusan pihak berkuasa sebaik semua butirannya dimuktamadkan.


Selepas berjaya menyiapkan pembangunan fasa pertama yang terdiri daripada 392 villa peranginan dan spa mewah di Golden Palm Tree, pelaksanaan di bawah fasa kedua dan ketiga pembangunan Sepang Goldcoast akan dijalankan. Sebagai permulaan, Sepang Goldcoast dijangka melancarkan rumah-rumah peranginan bagi para pesara pada awal tahun 2013 yang akan menggabungkannya dengan persekitaran semula jadi bersebelahan hutan bakau. Pihak Sepang Goldcoast percaya kemudahan dan aktiviti tersebut akan menarik lebih ramai pelancong ke kawasan berkenaan dan ia telah dibuktikan melalui pembukaan Golden Palm Tree Resort & Spa sebelum ini.



                     Penulis mengambil kesempatan bergambar bersama isteri dan dua orang 
                                               anak di Sepang Gold Coast

Sepang Goldcoast akan turut menjemput para pelabur lain untuk mengambil bahagian di dalam pembangunan hab pelancongan di situ secara perkongsian menang-menang seperti pembinaan hotel-hotel termampu didiami kerana mahu lebih ramai rakyat dapat menikmati keindahan jalur pantai Selangor. Sepang Goldcoast juga akan turut mencadangkan pembinaan lebuh raya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sepang Goldcoast yang sekali gus mengurangkan masa perjalanan daripada kira-kira 30 minit kepada 15 minit. 



       Bersarapan pagi di Sepang Gold Coast, pelbagai menu Barat dan Asia disediakan

Seingat penulis, suatu ketika dulu Bagan Lalang merupakan sebuah pantai perangin di negeri Selangor yang kurang dikenali tetapi kini banyak pembangunan telah dijalankan oleh kerajaan negeri Selangor bagi mempromosikan Pantai Bagan Lalang sebagai sebuah pantai peranginan yang terkenal di Selangor. Pantai Bagan Lalang ini lokasinya berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan hanya sejam perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur melalui PLUS Higway menuju arah ke KLIA.




 
 









LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA