Rabu, 23 Mac 2011

Akad Nikah Dalam Masjid

Adakah benar akad nikah di masjid menyimpang daripada ajaran Islam dan menyamai perkahwinan penganut Kristian di gereja? Inilah persoalan yang perlu kita ladeni dan hayati dengan penuh ketenangan, tidak emosional dan bersangka baik. Masalah khilafiyah ini perlu ditandatangani dengan penuh kesedaran bahawa sebarang perselisihan atau percanggahan pendapat ulama adalah suatu rahmat. Kita harus akur bahawa setiap ulama yang mewakili zaman masing-masing cuba meletakkan hukum-hakam selari dengan kehendak Islam yang sebenar, sejajar tuntutan zaman dan keadaan. Itu adalah tanggungjawabnya namun setiap pendapat walaupun dari seorang yang bergelar ulama masih boleh disanggah. Pendapat ulama tidak bersikap kebal sehingga tidak boleh disanggah atau dibantah.

Dalam kertas kerja bertajuk ‘Kedudukan Mazhab Shafie Dalam Fatwa Masa Kini di Malaysia’, Dr Saupi Man dan Dr Mek Wok Mahmud menulis bahawa apabila fatwa bersifat ijtihadi, maka sudah tentu hasil ijtihad yang terikat dengan zaman, tempat dan keadaan itu tidak akan kekal buat selamanya. Maka, hukum turut berubah sebagaimana diungkapkan ulama usul. Berdasarkan kepada syariat Islam yang bersifat syumul dan murunah (fleksibel) serta sesuai pada setiap zaman dan tempat. Maka, percanggahan pendapat ulama mazhab adalah suatu rahmat. Setiap ulama yang mewakili mazhab masing-masing cuba meletakkan hukum-hakam selari dengan kehendak Islam yang sebenar, sejajar tuntutan zaman dan keadaan.

Suatu ketika dulu di kalangan ulama mujtahidin berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak. Juga pendapat Ibn Munzir bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim. Namun semuanya diperselisihkan oleh al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai perkara ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir.

Sejarah telah mencatatkan bahawa pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah s.a.w berpunca dari kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini. Kesanggupan seorang lelaki yang turut berada dalam masjid untuk mengahwini wanita itu menyebabkan Rasulullah s.a.w melakukan akad nikah dalam masjid. Ini adalah kes akad nikah dalam masjid yang dilakukan Baginda Rasulullah s.a.w dan memberi gambaran kepada kita bahawa akad nikah di masjid tidak diharamkan oleh baginda Junjungan.

Menurut sesetengah ulama, hukum menikah di masjid ialah SUNAT manakala sesetengah ulama pula berkata hukumnya ialah HARUS. Sesiapa yang mengatakan bahawa nikah di masjid itu ialah wajib, nyata dia salah. Sesiapa yang mengatakan nikah di masjid adalah bid’ah atau menyimpang daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w maka orang ini tidak mahu mengendahkan pendapat-pendapat ulama muktabar yang mengatakan sunat atau harus nikah di masjid kerana berdalil dengan hadis Tirmizi yang bertaraf hasan.

Tidak boleh menjadikan dalil bahawa nikah di masjid menyimpang daripada agama kerana disebabkan orang Kristian turut melakukannya. Masih banyak lagi amalan-amalan lain yang kita amalkan turut diamalkan oleh penganut Kristian. Contohnya, sembahyang di gereja. Apakah kita tidak boleh sembahyang di masjid kerana penganut Kristian juga sembahyang di gereja?

Nikah dalam masjid hukumnya HARUS di sisi ulama mazhab Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki. Antara ulama-ulama muktabar yang mengharuskan dan tidak melarang nikah di masjid ialah Imam Nawawi, Imam Ghazali, Imam Rafi’I, Ibnu Qayyim, Syeikh Ibn Hajar, Syeikh Hasanain Makluf, Syeikh Ali Jadul Haq dan Syeikh Farid Wajdi (ketiga-tiganya adalah bekas mufti Negeri Mesir). Syeikh Uthaimin sendiri ada berkata tidak salah nikah di masjid dan jangan dikata ianya adalah amalan orang Kristian.

Kesimpulannya, tiada salahnya menikah di masjid selagi mana menjaga adab-adab dan tata susila berada di dalamnya. Melarang nikah di masjid adalah bercanggah dengan pendapat ulama-ulama muktabar. Untuk penjelasan yang lebih lanjut marilah kita kembali merujuk kepada para fuqaha kita untuk mengetahui sebenar-benarnya hukum mengadakan akad nikah dalam masjid. Antara kitab fiqh Mazhab Syafiei yang boleh kita rujuk ialah kitab karya Sidi Abu Bakar ad-Dimyathi iaitu ‘Hasyiah I`aanathuth Thaalibin’ jilid 3 halaman 315:

... iaitu dan DISUNNATKAN agar akad nikah itu dilakukan dalam masjid. Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam ‘Tuhfah’ menyatakan: Ini adalah kerana ada suruhan (baca: anjuran) dengannya sebagaimana khabar yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani. Iaitu ‘Hebahkanlah pernikahan ini, laksanakan ia di masjid-masjid, palulah kompang-kompang dan seseorang daripada kamu buatkanlah kenduri walaupun hanya dengan seekor kambing...’

Selain Imam ath-Thabrani, Imam at-Tirmidzi turut meriwayatkan dalam ‘Sunan at-Tirmidzi’ juzuk 2 halaman 247 sebagai berikut:

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah menyatakan bahawa Junjungan Nabi s.a.w bersabda: ‘Hebahkanlah akan pernikahan ini, laksanakanlah ia di masjid-masjid dan palulah untuknya kompang-kompang.’

Imam at-Tirmidzi menilai hadis ini sebagai hasan gharib, di mana seorang rawinya yang bernama ‘Isa bin Maimun dipandang sebagai seorang yang dhaif. Sungguhpun begitu, beliau meriwayatkannya daripada Ibnu Abu Najiih seorang yang tsiqah. Hadis yang diriwayat oleh Imam ath-Thabrani tersebut dahulu juga tidak lepas dari perselisihan muhadditsin. Sebahagian muhadditsin seperti al-Hafiz as-Sakhawi dan al-Ajluni menilainya sebagai hasan, manakala sebahagian lain menilainya sebagai dhaif. Oleh itu pihak yang menghukumkan sunat berakad nikad di masjid mempunyai sandaran antaranya hadis-hadis tersebut, dan tidak mustahil ada sandaran-sandaran lain yang tidak kita ketahui kerana kecetekan ilmu kita.

Mengenai hukumnya dalam mazhab-mazhab lain, maka tersebut dalam Mawsu`ah al-Fiqhiyyah’ sebagai berikut:


Bahawa adalah pernikahan tersebut diakadkan dalam masjid. Ulama al-Hanafiyyah dan asy-Syafi`iyyah menghukumkan MANDUB untuk melaksanakan akad pernikahan dalam masjid, kerana hadis: ‘Hebahkanlah akan pernikahan ini, laksanakanlah ia di masjid-masjid dan palulah untuknya kompang-kompang.’ Ulama al-Malikiyyah menghukumkannya sebagai JAIZ.

Begitulah hukumnya melangsungkan upacara akad nikah dalam masjid. Maka tuduhan bahawa ianya menyimpang daripada amalan Rasulullah s.a.w adalah suatu yang tidak benar dan menyanggahi para ulama muktabar yang menghukumnya sebagai sunat atau setidak-tidaknya harus. Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan upacara pernikahan di masjid, sayugia diberikan perhatian yang sungguh-sungguh agar kesucian dan kehormatan masjid tidak dicemari.

Mudah-mudahan Allah s.w.t sentiasa memberikan taufik dan hidayah-Nya bagi kita semua sebagaimana para ulama kita terdahulu. Wallahhualam.

Antara Pendapat Dan Fatwa

Kita sering berdepan dengan kekeliruan dan salah faham untuk memahami makna pendapat orang bijak pandai dalam agama dengan fatwa di dalam kehidupan kita. Pendapat boleh dibantah walaupun dari seorang yang bergelar ulama. Perbezaan pendapat dan khilaf adalah lumrah di dalam agama Islam dan kehidupan manusia dan perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang baik bagi ummah. Persoalan akad nikah di masjid adalah persoalan khilafiyah. Justeru ianya boleh diperselisihkan, dibantah dan disanggah asalkan ada dalil-dalil yang sahih, yang boleh dijadikan sandaran hujah.

Dalam kertas kerja bertajuk ‘Kedudukan Mazhab Shafie Dalam Fatwa Masa Kini di Malaysia’, Dr Saupi Man dan Dr Mek Wok Mahmud menulis bahawa apabila fatwa bersifat ijtihadi, maka sudah tentu hasil ijtihad yang terikat dengan zaman, tempat dan keadaan itu tidak akan kekal buat selamanya. Maka, hukum turut berubah sebagaimana diungkapkan ulama usul. Berdasarkan kepada syariat Islam yang bersifat syumul dan murunah (fleksibel) serta sesuai pada setiap zaman dan tempat maka, percanggahan pendapat ulama mazhab adalah suatu rahmat. Setiap ulama yang mewakili mazhab masing-masing cuba meletakkan hukum-hakam selari dengan kehendak Islam yang sebenar, sejajar tuntutan zaman dan keadaan.

Suatu ketika dulu di kalangan ulama mujtahidin berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak. Juga pendapat Ibn Munzir bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim. Namun semuanya diperselisihkan oleh al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai perkara ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir.

Sesungguhnya perintah menjauhi taqlid buta amat jelas disebut oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan.’ (surah Al-Isra: 36).

Pengertian taqlid daripada sudut bahasa Arab bermaksud menggantung sesuatu di leher. Ini bermakna orang yang bertaqlid itu tidak ubah seperti haiwan yang diikat lehernya dan mengikuti ke mana sahaja dirinya dibawa oleh tuannya. (Lihat: Lisanul Arab Jilid 1 ms. 469 cetakan Darul Hadis, Kaherah dan rujuk juga Al-Misbahul Munir Jilid 2, ms. 704)

Dari sudut takrifan fuqaha, taqlid bermaksud: ‘Menerima perkataan atau pendapat seseorang tanpa berdasarkan hujah.’ (Sila lihat takrifan yang diberikan oleh Imam As-Syi’razi dalam Syarah Al-Luma’ Jilid 2, ms. 1005 dan At-Tahmid, Jilid 4, ms. 395)

Adapun tindakan para ulama dan orang ramai yang beragama dengan bersumber dan berhujah kepada dalil daripada Al-Quran dan Hadis atau sekurang-kurangnya mengikuti pendapat ulama dengan mengetahui sumber dan dalil yang digunakan di dalam fatwa ulama tersebut maka hal ini tidaklah dinamakan sebagai taqlid buta yang dicela atau disebut taqlid tanpa hujah kerana Al-Quran dan Sunnah itu sendiri adalah hujah. Begitu juga jika kita mengikuti pendapat imam, ulama yang bersumberkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah serta mengetahui hujah yang digunakan oleh para ulama itu maka tindakan ini juga ialah hujah.

Berkata Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah di dalam kitabnya I’lamul Muwa’qi’ien bahawa adalah soal jawab agama itu terdiri daripada empat perkara iaitu yang pertama orang bertanya tentang hukum hakam sesuatu masalah agama lalu dijawab bahawa hukumnya harus, halal, haram dan seumpamanya dan yang keduanya ialah orang bertanya berkenaan dalil-dalil hukum kemudian yang ketiga pertanyaan berkenaan wajhul dalalah (bentuk-bentuk hukum yang terbina daripada dalil) dan kaedah yang digunakan dalam menghasilkan hukum. Manakala pertanyaan yang seterusnya iaitu yang ke empat ialah berkaitan jawapan balas kepada hujah-hujah yang menyelisihinya. (Lihat: Ilamul Muwa’qi’ien Jil. 4, ms. 413)

Nasihat yang paling penting buat kita di dalam mengambil nasihat dan pendapat agama daripada para ulama, ustaz dan alim agama ialah orang ramai harus bersedia menerima dan menghormati konsep ilmu dengan bersikap berlapang dada terhadap perselisihan dan perbezaan pendapat di dalam masalah agama.

Para ulama salaf dan golongan umat Islam yang bertakwa dan soleh zaman dahulu pun tidak dapat mengelakkan diri daripada berselisih pendapat. Para sahabat sendiri berbeza pendapat mengenai siapakah calon khalifah yang lebih sesuai selepas Utsman r.a dan para imam mujtahid yang agung seperti Imam Malik dan As-Syafi’ie serta Ahmad bin Hambal pun berbeza pendapat dan mazhab sekalipun mereka mempunyai hubungan guru dan murid antara satu sama lain. Oleh itu kita harus menyedari bahawa khilaf dan perbezaan pendapat ialah sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh kerana perbezaan waktu, situasi, tempat tinggal, zaman dan kehidupan tanpa dimasukkan persoalan taraf kefahaman, ilmu dan kebijaksanaan manusia yang berbeza-beza antara satu sama lain.

Memilih Pendapat Yang Berdalilkan Al-Quran Dan As-Sunnah

Kata Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah, setiap mufti yang ditanyakan masalah agama harus menyediakan dalil dan hujah di atas fatwa mereka. Maksudnya masalah-masalah agama itu wajib dijawab dengan berdalilkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w supaya ianya dapat difahami oleh kita yang bertanya akan sebab hukumnya itu menjadi haram, harus, makruh atau wajib.

Inilah sifat Al-Quran dan As-Sunnah di dalam member fatwa kepada manusia. Misalnya apabila Allah s.w.t berfirman dalam Al-Quran: ‘Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: ‘Haid itu adalah suatu kotoran’. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.’ (surah Al-Baqarah: 222)

Allah s.w.t menyatakan hukum dan di dalam masa yang sama menjelaskan sebab-sebab pengharaman dan punca hukum itu dijatuhkan. Hal ini mengajarkan kepada kita bahawa kita yang bertanya masalah agama perlu tahu sebab-sebab hukum dan dalilnya.

Al-Imam Ibn’ Hazm Al-Andalusi di dalam kitabnya Al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam menyebutkan: ‘Kami tidaklah mengingkari fatwa yang diberikan oleh para ulama kepada kami yang jahil dan mahu meminta fatwa akan tetapi yang kami mengingkari ialah penetapan fatwa atau pendapat agama tanpa bukti hujah yang mendukunginya, tanpa rujukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah kerana yang sedemikian itu boleh menimbulkan kemungkinan kepada berlakunya pendapat yang silap. Bayangkanlah jika di zaman Rasulullah s.a.w sahaja sudah wujud orang yang memberi fatwa yang salah maka sudah pasti pada zaman selepas kewafatan baginda akan boleh berlaku lebih banyak kesilapan dalam perkara yang lebih meluas. Oleh yang demikian maka kita perlulah menghindari fatwa yang dikeluarkan oleh mufti (pemberi fatwa) yang tidak menyandarkannya kepada dalil Al-Quran, As-Sunnah serta Ijmak ulama.’ (Sila lihat di dalam kitab Al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam, jld. 6, ms. 1076)

Bertanya Masalah Agama Kepada Ramai Alim Atau Ustaz

Mempelbagaikan sumber rujukan atau guru merupakan amalan yang terpuji. Ini disebabkan dalam pelbagai cerita mengenai kisah ketelitian para ulama salaf terdahulu terhadap ilmu dan tidak menerima ilmu dari sebarangan orang dengan mudah seperti apa yang diriwayatkan oleh Imam Abi Hatim r.a mengenai kisah Imam Yahya ibn Main yang datang kepada Musa ibn Ismail untuk mendengar sebuah hadis maka berkatalah Musa, ‘Apakah engkau belum mendengar hadis ini daripada sesiapa?’ Lalu dijawab oleh Yahya ibn Main bahawa aku telah mendengar hadis ini daripada tujuh belas orang dan engkaulah yang ke lapan belas. Lalu ditanya untuk apakah engkau menyusahkan diri membuat sedemikian dengan mendengar hadis yang sama dari guru yang berbeza? Lalu berkatalah Yahya ibn Main, ‘Sesungguhnya jika Hammad ibn Sulaiman itu tersilap dalam hadisnya maka aku dapat membezakan kesilapannya itu dengan mendengar hadisnya dari pelbagai jalan dan guru (perawi), kerana jika silapnya itu pada Hammad maka akan didapati dengan semua guru (perawi) menyebut kesilapannya dan jika silap itu bukan dari Hammad maka pasti akan kelihatan dengan guru yang silap akan dapat didedahkan oleh kesepakatan guru yang ramai.’ (Lihat Al-Majruhin oleh Ibn Hibban Jilid 1, ms. 32)

Hendaklah kita membiasakan sikap suka merujuk kepada ramai ustaz dan ahli agama dalam masalah-masalah atau persoalan hukum hakam agama moga-moga ianya lebih membantu kita di dalam mendapatkan kebenaran dan kebaikan. Bagaimana jika ustaz-ustaz memberikan hukum dan jawapan yang berbeza? Apakah yang harus dibuat? Jawapannya tidak susah, pertamanya kita harus sentiasa ingat bahawa perbezaan pendapat dan khilaf ialah lumrah di dalam agama Islam dan kehidupan manusia.

Maka apabila berdepan dengan keadaan sedemikian hendaklah kita memilih pendapat agama yang paling banyak dalil-dalil dan mempunyai sandaran ayat-ayat Al-Quran dan As-Sunnah dan mampu menjelaskan kepada kita sebab-sebab dan kenapa hukum tersebut dijatuhkan. Mufti, ustaz dan ahli agama yang memberikan jawapan harus dapat menjelaskan kepada kita kenapakah hukum itu sedemikian, nasihat dan jawapan yang diberikan itu ialah seperti itu dan ini dengan menyertakan dalil, alasan dan sebab-sebab yang mampu difahami oleh manusia.

Harus diingat, Islam ialah agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada kita iaitu manusia dan sudah semestinya syariah ini dapat difahami dan mampu diterima oleh akal dan fikiran lurus manusia. Allah s.w.t berfirman: ‘Dan mereka berkata: ‘Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia?’ (surah Al-Furqan: 7)

Allah s.w.t menjelaskan bahawa rasul itu diturunkan kepada manusia daripada kalangan manusia itu sendiri supaya dia dapat menyampaikan Islam dan membimbing manusia dengan kemampuan dan tahap manusia itu sendiri. Itulah maksudnya rasul-rasul itu ialah manusia biasa yang memakan makanan dan berjalan di pasar seperti orang ramai yang lain hanya sahaja mereka mendapat wahyu dan pertunjuk dari langit.

Ambil pendapat yang paling diyakini dapat membawa kepada keredhaan Allah s.w.t. Kaedah lain di dalam memilih pendapat agama apabila berdepan dengan banyak khilaf dan perselisihan pendapat ialah memilih pendapat dan hukum yang membuatkan kita yakin dan tenang dengannya. Ini disebabkan Allah s.w.t memberikan ketenangan hanya kepada mereka yang benar di atas jalan-Nya dan ketenangan itu merupakan isyarat jelas bahawa tepat atau tidaknya sesuatu hukum atau pendapat agama tersebut. Nabi s.a.w diriwayatkan pernah bersabda: ‘Ketenangan itu daripada Allah.’ (riwayat Tirmidzi)

Pilihlah pendapat yang membawa ketenangan dan melapangkan dada serta bukannya pendapat yang menyebabkan huru-hara dan gundah-gulana atau meresahkan fikiran dan hati. Ini boleh dilihat dengan keadaan seorang yang bertanya tentang apakah hukumnya mengambil wuduk dengan hanya sekali basuh atau sapuan? Jawapannya adalah sah, ini kerana di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibn Abbas r.a menyebutkan bahawa Nabi s.a.w pernah berwuduk hanya dengan sekali basuhan.’ (hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi). Tetapi dalam hadis yang lain Nabi s.a.w diriwayatkan pernah berwuduk dengan membasuh anggota wuduknya sebanyak 2 kali dan ada yang menyebut 3 kali.

Maksudnya baginda sendiri membasuh anggota wuduk tidak seragam, ada kalanya sekali basuhan, ada kalanya dua kali dan ada tiga kali. Oleh itu basuhlah anggota wuduk kita mengikut keperluan sehingga mendatangkan yakin dan ketenangan bahawa ianya sudah suci dan bersih.

Daripada An-Nawwas ibn Sam’aan r.a, Rasullullah s.a.w bersabda: ‘Kebajikan itu ialah kebaikan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang meresahkan dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya’. (Hadis riwayat Muslim)

Jangan memilih hukum dan pendapat agama semata-mata kerana ianya mudah tetapi kemudian menyusahkan kita pada masa depan atau kerana ianya senang dilakukan tetapi kemudian membawa keresahan jiwa dan perasaan ragu-ragu. Dalamilah ilmu dan binalah keyakinan dan keteguhan hati daripada godaan syaitan yang suka menanam keraguan kepada kita.

Hendaklah kita mengelakkan diri daripada mengikuti hawa nafsu, memilih pendapat yang menjerumuskan kita ke lembah syubhat atau membawa kepada ragu-ragu dan keresahan jiwa. Ini boleh dilihat berlaku kepada orang ramai yang suka mengambil apa yang mudah tetapi kemudian berasa susah dan resah apabila masalah yang diharapkan hilang masih datang tidak berhenti-henti.

Wabisoh ibn Ma’bad r.a meriwayatkan bahawa ‘Aku telah menemui Rasulullah s.a.w lalu baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebaikan? Aku pun menjawab: ‘Ya.’ Baginda pun bersabda lagi: ‘Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang menyebabkan diri dan hati kamu merasa tenang tenteram terhadapnya dan dosa itu ialah suatu perkara yang membawa resah dan gelisah dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu.’ (Hadis riwayat Ahmad dan Ad-Darimi)

Hukum hakam agama ada kalanya berubah-ubah mengikut keadaan, perihal individu dan berbeza di antara satu sama lain mengikut keperluan. Oleh itu janganlah bersikap suka memaksa dan mengharapkan orang lain turut sama berpendapat atau mengamalkan hukum yang kita pilih. Jangan bergaduh dan memberi ruang kepada syaitan untuk menyesatkan anak Adam dan memecah belah kesatuan umat Islam.

Jangan Membangkang Orang Lain Yang Tidak Sependapat

Jauhilah ta’asub dan keras kepala dengan pendapat sendiri dan hanya menyangka kita yang benar dan betul. Terbukalah kepada teguran dan kritikan dan sentiasa berusaha memperbaiki diri. Ingatlah hukum yang pernah kita amalkan atau terima daripada mufti pada hari ini boleh jadi akan berubah pada masa akan datang dan tidak sesuai lagi diamalkan pada masa depan. Terbukalah untuk pembaikan dan bersedia menerima ilmu baru.

Allah s.w.t berfirman: ‘Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-Mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan-Mu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.’ (surah An-Nahl: 125)

Setiap orang tidak sama keperluan, situasi dan menghadapi masalah yang berbeza. Justeru jangan difikir semua orang harus sama dan mesti mengikuti kita. Boleh jadi kita di pihak yang benar tetapi kesabaran dan waktu yang lama diperlukan untuk menyampaikan kebenaran kerana itulah dakwah Nabi s.a.w tidak berjalan dalam satu malam.

Para ulama terdahulu seperti Al-Imam Ibn Abdil Bar r.a di dalam kitabnya menyebutkan bahawa: ‘Tidaklah akan pernah bahagia orang yang berdebat kecuali jika diikuti oleh orang ramai dan kamu tidak akan mendapati orang yang suka berdebat ini melainkan di dalam hatinya terdapat penyakit.’ (Lihat: Jami Bayan Al-Ilm)

Bahkan Allah s.w.t menyebut di dalam Al-Quran: ‘Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: ‘Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri.’ (surah Al-Ankabut: 46)

Bagaimanakah sikapnya berdebat sesama Islam dan saling menyalahkan antara satu sama lain itu boleh dianggap sebagai perbuatan sunnah? Sedangkan jika berselisih dan berdebat dengan ahli kitab itu pun disuruh dilakukan dengan penuh kebaikan dan hikmah maka sekiranya sesama Islam maka kita sepatutnya harus lebih baik dan lebih bersopan.

Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Aku menjamin untuk kalian sebuah istana yang terdapat di tepi syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar, aku menjamin untuk kalian dengan sebuah istana yang terdapat di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta meskipun dia hanya bergurau, dan aku menjamin untuk kalian dengan sebuah istana di syurga yang tertinggi bagi orang yang memperbaiki akhlaknya.’ (Hadis riwayat Abu Daud)

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ‘Orang yang diredhai oleh Allah dan mereka itu selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.’ (surah Al-Anbiya: 28)

Allah s.w.t berfirman lagi: ‘Sesungguhnya orang-orang (yang beriman itu ialah) yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka.’ (surah Al-Mukminun: 58)

Ahad, 20 Mac 2011

Salah Faham Maksud Dan Salah Guna Nama Ijmak

Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservatif agama itu sendiri. Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah ‘tidak laku’ atau menghadapi ‘tarikh luput’ di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai.


Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu Al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas. Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan. Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluarkan serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama.


Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini.


Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi ‘ijmak ulamak’. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama. Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas Al-Quran dan Hadis, al-Ijma’. Kesan, membawa kepada kekufuran.


Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut ‘kita tidak boleh berpandukan Al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama’. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya, ‘Pendapat ulama-ulama kita la..’. Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama.


Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijma’ atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijma’ yang sebenar?


Takrif bagi perkataan al-Ijma’ ini di sisi majoriti ulama ialah ‘Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak’. (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr).


Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa. Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman. Maksudnya, para mujtahidin tanpa mengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak. Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.


Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr ‘Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah).


Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa ‘arus perdana’ atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.


Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya. Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira.


Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid. Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut: ‘Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas Al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijma’ yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin.’ (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).


Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian. Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak. Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir.


Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja.


Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily: ‘Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijma’ (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak.


Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: ‘Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! Bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul Fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?!’


‘Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu.’ (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).


Maka jika kita memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti kita menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, kita berhak memilihnya dengan adil dan faham. Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!

Bezakanlah Antara Berpolitik Berdasarkan Islam Dengan Mempolitikkan Islam

ISLAM sebagai prinsip bererti kita meletakkan Islam sebagai pegangan dan panduan. Kita akan melihat salah atau benar sesuatu berdasarkan kepada prinsip Islam. Kita akan menilai dengan adil setiap perkara dengan timbangan Islam sekalipun jika keputusannya itu tidak berpihak kepada kita, kita tetap akan akur. Inilah yang diarahkan oleh Al-Quran dalam surah al-Nisa 135: (maksudnya) ‘Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu...’

Dalam surah al-Maidah ayat 8 pula Allah s.w.t menegaskan: (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan’.

Sementara menjadikan Islam sebagai alat atau umpan adalah mempergunakan Islam sebagai bahan untuk sesuatu tujuan, padahal tujuan tersebut hanya bersifat puak atau peribadi, bukan untuk kepentingan Islam yang hakiki. Nas-nas agama akan ditafsirkan atau disalahgunakan supaya sesuatu pandangan sekalipun tidak tepat, dapat dibela atau dijustifikasikan. Atau agama digunakan agar orang ramai tertarik dan percaya kepadanya sekalipun hakikat agama bukan sedemikian rupa. Inilah yang ditempelak oleh Allah s.w.t dalam surah al-Nahl, ayat 116-117: (maksudnya) ‘Dan janganlah kamu berkata dengan apa yang disifatkan oleh lidah kamu: ‘Ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. (Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (di dunia), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya’.

Malang sekali dalam sejarah umat Islam, kecenderungan menggunakan agama sebagai modal begitu banyak dan berterusan. Kesannya amat bahaya dan mendalam. Bukan sedikit darah dan nyawa yang ditumpahkan kerananya. Umpamanya, Mazhab Syiah dan Khawarij tidak wujud pada zaman Abu Bakar, Umar dan Uthman. Apabila berlaku krisis politik pada zaman Ali disebabkan isu yang berlarutan dari penghujung pemerintahan Saidina Uthman maka lahirlah kedua aliran ini. Bermula daripada isu-isu politik yang dibangkitkan dari zaman Uthman, merebak menjadi sentimen agama.

Sehingga Syiah terbentuk dengan segala doktrin yang tersendiri; daripada isu Uthman berkembang membentuk prinsip-prinsip kepercayaan mengenai Ahlul Bait yang tersendiri. Penindasan yang dialami oleh aliran Syi’ah di bawah kuasa-kuasa politik Bani Umayyah, juga ‘Abbasiyyah menyebabkan berbagai akidah dan dalil baru muncul dalam aliran berkenaan.

Maka disebabkan sejarah politik yang panjang, menjelmalah Syiah dalam wajahnya yang kita lihat pada hari ini. Padahal ia bermula daripada isu yang boleh diselesaikan. Demikian Khawarij, bermula isu tidak puas hati dengan pendirian Ali dalam menghadapi Mu’awiyah, maka terbentuklah Khawarij dari ‘parti politik’, menjadi aliran agama yang mengkafirkan Ali, Uthman, Mu’awiyah dan sesiapa sahaja yang tidak menyertai mereka.

Bagi menjustifikasikan pengkafiran itu, maka satu kaedah yang amat bahaya telah dijadikan pegangan iaitu setiap pelaku maksiat menjadi kafir. Ali dan Mu’awiyyah, bahkan Uthman dianggap tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka semua kafir. Slogan mereka: ‘Tiada hukum melainkan hukum Allah’. Kata Saidina Ali mengenai slogan mereka: ‘Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil’. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah). Tumpah darah yang banyak telah berlaku antara tentera Ali dan Khawarij.

Inilah bahayanya menjadikan agama sebagai modal politik atau apa sahaja. Ia boleh berlarutan terutama di kalangan mereka yang jahil sehingga tidak dapat membezakan antara isu politik semata dan isu agama yang sebenar. Jika ia isu politik semata, Islam menyerahkan kepada kebijaksanaan manusia akan menentu keputusan yang memberikan kemaslahatan untuk umat. Jika ia benar-benar isu akidah dan hukum, hendaklah penentu benar dan salahnya adalah Al-Quran dan Sunnah bukan pandangan politik kepuakan. Sebab itu kita wajib membezakan antara berpolitik berdasarkan prinsip Islam, dengan mempolitikkan Islam.

Berpolitik berdasarkan Islam akan membebaskan seseorang dari daerah taksub, hukuman membabi-buta, kepuakan dan permusuhan yang melampaui batas dan segala akhlak yang jelek. Hanya yang menjadi teras adalah prinsip Islam. Rela membelakangkan parti atau puak, asalkan prinsip terbela. Sementara mempolitikkan Islam bererti menggunakan nas-nas Islam untuk menjustifikasikan tindakan-tindakan politik.

Kita akan lihat dalam ‘wayang politik’ sikap mempolitikkan agama akan menyebabkan mereka terbabit hilang pendirian, berubah-ubah prinsip dan etika. Namun yang pasti nas-nas agama akan terus digunakan walaupun akan menyebabkan berlaku kontradiksi yang jelas dalam pegangan mereka.

Dalam sepanjang sejarah, menjadikan agama sebagai modal politik telah dilakukan oleh pihak pemerintah dan pihak yang menentang pemerintah. Dalil-dalil agama pada bukan tempatnya akan digunakan oleh kedua belah pihak bagi mengekalkan pengikut yang mempunyai sentimen agama. Bahkan dalam sejarah, antara sebab kemunculan hadis-hadis palsu adalah politik. Maka muncul hadis palsu yang menyokong Syiah, menyokong Muawiyah, menyokong ‘Abbasiyyah dan seumpamanya. Golongan yang menggunakan agama yang ‘lahapkan habuan dan pangkat’ ada di mana-mana.

Mereka ini bersedia untuk mendendangkan dalil bagi menghiburkan slogan atau tindakan pemerintah. Sebagai tindak balas, golongan agama yang menentang pemerintah juga akan melagukan nas-nas agama bagi menghalalkan tindakan mereka menentang sesuatu pemerintahan. Hilanglah fungsi agama; daripada ia agama hidayah yang membimbing manusia bertukar menjadi alat yang membolehkan manusia pijak di atasnya untuk sampai ke matlamat mereka.

Berpolitik berdasarkan agama memang tanggungjawab kita. Namun kita wajar berhati-hati, jika terleka kita akan tergelincir menjadi mempolitikkan agama. Seperti berniaga berdasarkan prinsip Islam memang diperintahkan. Namun berhati-hati, jangan sampai memperniagakan Islam. Justeru itu, bezakanlah antara menjadikan Islam sebagai prinsip, dengan menjadikan Islam sebagai alat. Bezakanlah antara berpolitik berdasarkan Islam dengan mempolitikkan Islam.

Suka Mengkafir Dan Menyesatkan Orang Lain Bukan Akhlak Muslim

SUKA mengkafir dan menyesatkan orang lain bukan akhlak muslim. Ahlul Sunnah wal Jamaah berpegang kepada asas tidak mengkafirkan individu Muslim lain melainkan terdapat bukti yang yakin tanpa syak dan tidak keuzuran lagi yang boleh diberikan kepadanya. Sabda Nabi s.a.w: ‘Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh).’ (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sikap suka menuduh orang lain kafir atau sesat sewenang-wenangnya merupakan penyakit jiwa yang terpendam dalam dada si penuduh yang berpunca daripada keegoan, sikap pantang berbeza pendapat, suka monopoli kuasa dan suka menyalahgunakan agama. Lebih bahaya daripada itu, sikap suka mengkafir ini akan membawa kepada perbalahan yang meruncing dalam masyarakat Islam, bahkan sering membawa kepada tumpah darah yang banyak terjadi dalam sejarah umat ini.

Kebelakangan ini kita dapati ada pihak yang tidak menerima beberapa pandangan pembaharuan atau tajdid dalam masyarakat kita. Tidak dapat menerima itu tidak menjadi masalah, kerana memang adat kehidupan untuk manusia berbeza pendapat. Tetapi apabila mereka yang enggan menerima pandangan yang dianggap berbeza dengan tradisi yang mereka pertahankan itu mula menggunakan pendekatan kafir mengkafir dan sesat menyesat, ini amatlah berbahaya.

Antara aliran yang terkenal suka mengkafirkan orang lain ialah aliran Ahbash. Ahbash adalah aliran atau puak yang berpusat di Lebanon yang diasaskan oleh seorang lelaki Habsyi atau Afrika yang dikenali dengan nama Abdullah al-Harari. Mereka mendakwa sebagai Ahlul Sunnah Wal Jamaah sejati dan sesiapa yang berbeza pendapat dengan mereka menjadi sesat atau kafir. Dr. Yusuf al-Qaradawi mengulas tentang puak ini dengan katanya: ‘Semenjak beberapa tahun yang lalu aku ada mendengar tentang satu jemaah yang zahir di Lebanon, ia menimbulkan masalah kepada umat Islam di sana dengan pendapat-pendapat yang pelik, menyeleweng dan pandangan yang berbahaya dalam persoalan akidah, fekah dan akhlak dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dalam kalangan umat Islam hari ini atau yang terdahulu.

Mereka mengkafirkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa yang mengikut dua tokoh ini seperti tokoh tajdid tauhid di al-Jazirah al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Demikian juga mereka mengkafirkan ramai daripada ulama semasa seperti al-’Allamah al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz, pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya. Golongan Ahbash yang pelampau dan menyeleweng ini mendakwa mereka adalah dari mazhab al-Imam Abu al-Hasan al-’Asy’ariy segi akidah, mazhab al-Imam al-Syafie segi fikah dan mengikut Tarikat al-Rifa’iyyah dalam berakhlak. Akan tetapi hakikatnya mereka amat jauh dari manhaj kesemua para imam itu sama ada dalam pemikiran, adab dan akhlak.

Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lebanon, dinamakan sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah dan pemegang bendera mereka adalah seorang lelaki dari Habsyah (Ethiopia) berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya ini adalah dakwah yang baru, yang hasrat utamanya ialah memecah belahkan kesatuan umat Islam, mengkucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan agama ini. (Dr Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Muasarah 3/685-686, Dar al-Qalam).

Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menyebut: ‘Termasuk perkara yang pelik, mereka golongan Ahbash ini mentohmah aku ini wahabi dan taksub dengan para imam Wahabi, seringkali aku apabila bercakap mengambil daripada Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim dan madrasah mereka berdua, mereka (Ahbash) menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim ini menyalahi ijma’ dalam persoalan ini dan itu..’

Timbalan Presiden The European Council for Fatwa and Research (ECFR), al-Syeikh Faisal Maulawi menyebut: ‘al-Ahbash atau (Jam’iyyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah) mereka adalah anak-anak murid al-Syeikh Abdullah al-Harari. Mereka memiliki jalan tersendiri dalam perkara akidah yang menjadikan mereka mengkafirkan umat Islam dan para ulamanya hanya kerana sebab-sebab yang remeh temeh. Sama halnya, mereka memiliki jalan tersendiri dalam perkara fikah yang berbeza dengan kebanyakan para ulama hari ini. Perbincangan dengan mereka tidak mendatangkan faedah, kerana mereka tidak akan menerima melainkan pandangan-pandangan syeikh mereka. Jika kamu (orang yang meminta fatwa) menjauhi masjid-masjid mereka (golongan Ahbash), itulah yang lebih utama bagi mengelak berlakunya perbalahan yang tidak berfaedah’.

Kementerian Wakaf Mesir, Bahagian Dakwah pula membuat kenyataan berikut: ‘Maka untuk pertama kalinya muncul seorang lelaki yang pelik dari Habsyah, pelik dari segi pemikiran dan metod yang diikutinya dalam menyebarkan fitnah di kalangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Pertama kali juga tersebarnya kalimah takfir (pengkafiran) melalui lisan sebahagian mereka. Juga pertama kalinya terjadi masalah kekeluargaan lalu anak-anak mengkafirkan ayah-ayah mereka dan berlakunya persengketaan dan perpecahan antara ayah dengan anak-anak.

Pertama kalinya muncul mereka yang melampau ke atas ulama besar Ahlul Sunah wal Jamaah yang beramal dan berjuang di atas agama dengan cara yang dipenuhi dengan hasad dengki dan menghukum para ulama sebagai kafir. Sesungguhnya al-Habasyi (pengasas Ahbash) mengkafirkan ulama besar seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Sayyid Qutb, Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, Muhammad al-Ghazali dan Sayyid Sabiq. Di antara ulama Lebanon yang mereka kafirkan ialah Hassan Khalid, Subhi Salih, dan Faisal Maulawi dan banyak lagi yang mereka kafirkan dari ulama-ulama Al-Azhar al-Syarif’.

Antara perkara menakutkan yang digunakan oleh puak Ahbash ini, selain dari maki-hamun, cerca, fitnah dan serangan peribadi, mereka juga menggunakan pendekatan menghalalkan darah orang yang mereka musuhi. Sebab itu di Lebanon, sebelum ini mereka begitu bermaharajalela sehinggalah mereka dikaitkan dengan pembunuhan Presiden Rafiq Hariri. Ini apabila Ulil Amri yang dirasakan sudah tidak dapat bekerjasama dengan mereka. Sebelum itu mereka juga mengkafirkan bekas Mufti Lebanon Hasan Khalid dan membunuhnya. Mereka menulis di dinding-dinding di Lebanon: ‘Katakan tidak kepada Hassan Khalid yang kafir’.

Menjadi tabiat puak Ahbash ini suka memfitnah mengada-adakan cerita bohong dan mempersendakan gambar dan mengubah fakta. The Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA) menyebut bagaimana pengasas mereka Abdullah Harari berpakat menghasut pihak berkuasa Habsyah sehingga menyebabkan pengetua Pusat Tahfiz Al-Quran di sana dipenjarakan selama 23 tahun. Pendekatan menggunakan pihak berkuasa dan mendampingi pemerintah dengan menyebarkan racun fitnah, cerca, mengkafir merupakan jalan yang dipilih oleh Ahbash di negara-negara yang mereka cuba bertapak.

Akhbar al-Watan ketika melaporkan kematian pengasas Ahbash itu menyebut: ‘Kelmarin (2/9/2008) Abdullah al-Harari, Pengasas dan Mursyid kerohanian bagi gerakan al-Ahbash telah meninggal dunia di Lebanon ketika umurnya 98 tahun. Al-Harari (Abdullah al-Harari) dilahirkan di Harara pada tahun 1910, seterusnya berpindah-randah di beberapa negara Arab sebelum menetap di Lebanon pada tahun 1950, beliau sering mengkafirkan para ulama umat Islam.’ (Akhbar al-Watan: Rabu 3 Ramadan 1429, bersamaan 3 September 2008, bil. 2896 tahun kelapan).

Syurga Neraka Bukan Manusia Yang Tentukan

UNTUK membuat penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil bukanlah mudah. Dalam kehidupan ini ramai orang selalu membuat kesimpulan daripada penampilan atau faktor luaran yang mereka lihat semata. Penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil berbeza dengan sangkaan baik. Umpamanya, apabila kita melihat mereka yang kuat bersolat, atau berpuasa maka sudah pasti kita wajar bersangka baik terhadapnya.

Namun dalam masa yang sama kita tidak akan membuat kesimpulan bahawa dia adalah pasti ahli syurga, atau pasti orang yang kuat berpegang dengan agama, atau seorang yang soleh. Ini kerana solat dan puasa memanglah amalan yang baik dalam Islam, tetapi Islam bukan sahaja berkaitan soal solat dan puasa, sebaliknya Islam merangkumi pelbagai sudut kehidupan. Jika dia kuat solat dan puasa, tetapi dalam masa yang sama kuat memaki dan mencerca orang, atau menderhakai ibubapanya, atau tidak amanah, atau menzalimi orang lain dan seumpamanya, maka dia bukannya orang yang soleh dalam ertikata sebenar dalam Islam.

Tidakkah kita selalu membaca hadis: ‘Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? Jawab mereka: ‘Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta’. Sabda baginda: ‘Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka.’ (Riwayat Muslim).

Dalam hadis lain Nabi s.a.w menceritakan tentang akhir zaman ada para pembaca Al-Quran kerana hendak dapat untung. Ini dapat kita lihat dalam negara kita mereka yang memakai ‘pakaian agama’ dan mengutip wang daripada orang ramai kononnya kerana hendak membuat penghantaran pahala kepada si mati. Mereka membuat untung yang besar saban tahun atas nama Al-Quran dan orang menganggap mereka melakukan kebaikan sedangkan Nabi s.a.w menyindir perbuatan ini dengan sabdanya: ‘Bacalah Al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca Al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia.’ (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam sejarah ramai mereka yang menampil watak ‘agama’ tetapi sebenarnya penjenayah agama. Antara yang terkenal ialah Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam yang mencipta hadis-hadis dusta kononnya kerana ingin mendapat pahala dengan diadakan hadis-hadis fadilat itu dan ini khususnya tentang surah-surah Al-Quran. Dia digelar Nuh al-Jami’ bermaksud Nuh yang menghimpunkan. Ini kerana dia menghimpunkan ilmu daripada berbagai tokoh-tokoh besar. Namun al-Hafiz Ibn Hibban menyatakan: ‘dia menghimpunkan segalanya, kecuali cakap benar’. (lihat: al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, 185, Beirut: Dar al-Fikr).

Pada zahirnya, dia tokoh agamawan namun pada hakikatnya dia sebenarnya pendusta agama. Bukan sedikit orang yang sepertinya dalam sejarah pengumpulan hadis. Kata seorang tokoh pengkaji hadis, Dr. Hammam Sa’id: ‘Telah zahir golongan ahli ibadat, zuhud dan nussak (penumpu penuh ibadah). Kejahilan dan kebodohan mereka telah membawa mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam fadhilat-fadhilat amal, fadhilat surah-surah Al-Quran dan solat-solat sunat, untuk menggalakkan orang ramai beramal. Seperti juga mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam menakutkan orang ramai terhadap maksiat. Mereka menyangka mereka telah membela Islam. Golongan yang jahil ini tidak tahu bahawa pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w boleh menurunkan mereka ke dalam tingkatan-tingkatan yang paling bawah dalam neraka jahannam’ (Hammam ‘Abd al-Rahim Sa’id, Al-Tamhid fi ‘Ulum al-Hadith, m.s. 140, Jordan: Dar al-Furqan).

Ini kerana tindakan mereka telah menipu atas nama Nabi s.a.w dan merubah wajah asal agama. Jika dilihat atau dinilai pada zahir ibadah dan pakaian mereka, tentu kita menyangka mereka golongan yang soleh, tetapi di sisi agama mereka adalah para pendusta yang termasuk dalam sabda Nabi s.a.w: ‘Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam sejarah pertelingkahan umat Islam kelompok yang paling kuat dan awal menggunakan isu agama untuk mengkafirkan orang Islam yang lain ialah puak Khawarij. Kelompok ini Nabi s.a.w sifatkan seperti berikut: ‘Seseorang kamu akan merasa lekeh solatnya dibandingkan solat mereka, merasa lekeh puasanya dibandingkan puasa mereka. Mereka membaca Al-Quran, namun Al-Quran itu tidak melebih halkum mereka. Mereka tersasar keluar dari agama seperti anak panah tersasar dari sasarannya...’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Inilah Khawarij yang kelihatan hebat dalam ibadah dan pidato agama mereka dengan menggunakan nas-nas Al-Quran. Mereka mengkafirkan orang Islam yang melakukan maksiat, juga mengkafirkan orang Islam yang tidak mengikut kumpulan mereka. Puak Khawarij ini mengangkat slogan: ‘Tidak ada hukum melainkan hukum Allah’. Slogan yang kelihatannya berteraskan Al-Quran, tetapi dengan tujuan yang buruk. Kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada mereka: ‘Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil’. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Dengan slogan Al-Quran: ‘Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka itu orang-orang yang kafir.’ (Surah al-Maidah, ayat 44), maka mereka melancarkan kempen mengkafirkan dan memerangi orang Islam. Atas andaian yang tipis maka dengan mudah seseorang dijatuhkan hukuman murtad dan kafir. Hasilnya, pertumpahan yang dahsyat berlaku pada zaman pemerintahan Saidiyyida Ali bin Abi Talib. Selepas zaman Ali pun, pemikiran Khawarij meresap ke dalam berbagai kumpulan dan organisasi. Hasilnya, kita mendengar isu kafir mengkafir muncul di pelbagai zaman dan tempat di seluruh pelosok dunia Islam termasuk di negara kita Malaysia.

Pada zahirnya puak ini berwajah agama, namun pada hakikatnya Nabi s.a.w menyebut tentang mereka: ‘Mereka itu berucap dengan ucapan sebaik-baik makhluk. Mereka tersasar keluar dari Islam seperti anak panah tersasar dari sasarannya. Iman mereka tidak melebihi halkum mereka. Di mana sahaja kamu temui mereka maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya membunuh mereka itu ada pahala pada Hari Kiamat.’ (Riwayat al-Bukhari).

Demikian getirnya kelompok ini. Sekalipun dengan ungkapan dan nas agama di mulut mereka, namun Nabi s.a.w memerintahkan agar pemerintah Islam membunuh mereka kerana mereka mengkafirkan bahkan sesetengah kelompok mereka seperti al-Azraqiyah membunuh orang Islam, anak kecil dan wanita yang tidak mengikut kumpulan atau jemaah mereka.

Dengan ini menyedarkan kita semua, di samping kita bersangka baik kepada golongan yang menzahirkan ciri-ciri agama, kita sayangkan mereka dan menghormati mereka, namun kita juga mestilah berhati-hati dengan tindakan setiap individu dan kumpulan. Janganlah penampilan zahir menyebabkan kita membuta mata atau memandulkan akal daripada membuat penilaian yang matang dan seimbang. Apa yang baik kita kata baik, apa yang salah tetap dinilai salah tanpa mengira dari mana dan siapa kesalahan itu datang. Namun jika golongan tertentu menzahirkan ciri-ciri agama dan memegang prinsip agama dalam seluruh perjalanan mereka, maka merekalah golongan yang kita cinta dan kita bela dengan sepenuhnya.

Sabtu, 26 Februari 2011

Makna Merdeka Menurut Islam

SMAHADZIR

SUDAH lebih 50 tahun negara kita merdeka dari tangan penjajah. Apakah kita faham makna merdeka yang sebenarnya? Yang jelasnya, memang benar sudah 50 tahun negara kita merdeka tetapi minda segelintir warga negara kita masih menyimpang daripada makna merdeka atau kebebasan yang sebenarnya. Erti kemerdekaan sememangnya berbeza antara generasi dahulu yang memperjuangkan kemerdekaan dengan air mata dan darah. Hal ini kerana bagi mereka, kemerdekaan adalah sesuatu yang tidak ternilai manakala bagi generasi muda pula, 31 Ogos hanya sekadar cuti umum.

Generasi yang merdeka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa dan kepentingan masyarakat keseluruhannya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangnya. Tiada yang ditakuti kecuali Allah s.w.t dan segala tindakannya berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Ada juga manusia, bangsa atau umat meskipun lahirnya mereka sudah mencapai kemerdekaan selama ratusan tahun, tetapi jiwa mereka dijajah hawa nafsu jahat. Yang menjadi tuhan mereka hanya nafsu dan apa yang dilakukan mereka membawa bencana kepada seluruh umat manusia.

Menyoroti ayat ke-23 daripada surah al-Jatsiyah, Allah s.w.t berfirman, bermaksud: ‘Adakah engkau lihat orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi tuhannya dan Allah menyesatkan dia kerana mengetahui (kejahatan hatinya) dan menutup pendengaran dan mata hatinya serta mengadakan penutupan terhadap pemandangannya. Maka siapakah yang akan menunjukkannya sesudah Allah? Tidakkah kamu menerima peringatan?’

Pendekatan digunakan oleh Islam adalah memerdekakan rohaniah manusia terlebih dulu sebelum membebaskan aspek jasmaninya. Malah, kedua-duanya penting bagi memperoleh kemerdekaan. Golongan penjajah pada masa kini tidak lagi datang menaiki kapal dan menggunakan senjata seperti masa dulu, sebaliknya berupaya menjajah umat Islam menerusi talian kuprum, fiber optik dan satelit serta menggunakan kuasa kewangan dan media.

Dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan, ia menjadi semakin mudah untuk mereka melebarkan pengaruh dan mengawal aspek politik, ekonomi dan sistem sosial milik kita. Sesetengah negara masih bergantung kepada negara yang menjajah mereka dalam banyak sektor seperti perdagangan, pendidikan dan ketenteraan. Malah, perkara terburuk adalah penjajahan masih berlaku terhadap minda penduduk negara tersebut.

Pada bulan kemerdekaan, pelbagai program telah diadakan bagi mengisi bulan penuh makna ini. Mengibarkan bendera hinggalah ke perarakan, kemeriahannya jelas dirasakan. Namun, apakah sambutan kemerdekaan ini cukup sekadar berpesta sebegini? Apakah erti kemerdekaan ini benar-benar sudah dihayati?

Erti kemerdekaan bagi golongan yang pernah dijajah amatlah tinggi. Menggenggam kemerdekaan ibarat bulan jatuh ke riba. Jerit-perih pemimpin terdahulu mencapai kemerdekaan sangat dihargai. Kepayahan YM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, berulang-alik ke London, merundingkan kemerdekaan akhirnya terbalas dengan jaminan kemerdekaan oleh Kerajaan British. Bukan Tunku sahaja, tetapi di belakang beliau, beratus-ratus orang yang lain harus mendapat pujian di atas usaha membebaskan Tanah Melayu dari belenggu penjajahan.

Sayangnya kini, erti kemerdekaan sebenar kian luput. Bukan sahaja golongan ‘muda’ tidak jelas kefahaman mereka tentang erti kemerdekaan tetapi terdapat juga golongan ‘tua’ yang seakan lupa apakah makna kemerdekaan sebenar. Kemewahan dan kesenangan yang diperoleh kini melekakan kita akan hakikat kemerdekaan yang kita kecapi. Tanyalah kepada golongan muda kini, apakah makna kemerdekaan kepada mereka. Pasti jawapannya longgar dan hanya sekadar meniru apa orang lain kata. Ini membuktikan bahawa penghayatan kemerdekaan masa kini hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Erti kemerdekaan kini tentulah tidak sama dengan zaman penjajahan dahulu. Ketika itu, kemerdekaan bermaksud membebaskan diri dari penjajahan. Apa yang mereka tuntut adalah agar Tanah Melayu diperintah oleh orang Melayu sendiri. Menyedari hakikat bahawa Tanah Melayu bukan sekadar dihuni oleh orang Melayu maka satu kerjasama antara orang Melayu, Cina dan India diadakan. Perjuangan sebagai satu pakatan ini lebih kukuh dan pastinya suara mereka lebih lantang dan berani.

Di dalam dunia serba moden kini, erti kemerdekaan pastinya berbeza. Jika dahulu mereka inginkan kebebasan, tetapi kini, tugas kita adalah untuk mengisi kemerdekaan tersebut. Pengisian secara fizikal memang telah berjaya dilakukan. Apa yang tidak ada di tanah air kita kini? Hampir semua yang dimiliki oleh bangsa maju telah ada di negara kita. Walaupun mungkin berbeza kualiti dan kuantitinya, namun kita sudah pun memiliki kemudahan setanding negara maju. Malahan, kita berpeluang pula untuk pergi ke negara-negara tersebut, melihat dan mempelajari teknologi mereka untuk diaplikasikan di negara ini.

Oleh itu, pengisian fizikal bukan lagi satu persoalan penting. Apa yang lebih penting adalah pengisian kerohanian di dalam kemerdekaan sebagai asas kemajuan negara. Asas ini kian pudar dan luntur dari hari ke hari. Usaha pengukuhan asas ini memang ada tetapi usaha itu agak longgar dan tidak konsisten. Sering orang berkata bahawa ‘bangunan semakin tinggi tetapi nilai diri semakin rendah.’ Lihat sahaja di sekeliling kita. Di mana-mana sahaja sampah dibuang merata-rata, golongan muda tidak menghormati golongan tua, dinding bangunan diconteng dengan kata-kata nista dan bermacam lagi.

Banyak lagi perbuatan negatif yang telah dilakukan oleh warga negara kita yang sudah 50 tahun merdeka ini. Ini termasuklah anak-anak yang didera keluarga sendiri, kes ketagihan dadah dan AIDS yang semakin meningkat, pembunuhan berlaku hampir setiap minit, gejala rasuah dan beribu-ribu masalah yang tidak terdaya dipaparkan di sini. Apakah ini merdeka namanya? Jika inilah habuan yang diperoleh dari kemerdekaan yang ingin dicapai oleh pemimpin terdahulu, pasti pemimpin-pemimpin itu akan berasa begitu sedih. Mungkin inilah harga yang perlu dibayar dari pembangunan yang kita inginkan.

Saya percaya bahawa satu masyarakat timur yang kaya dengan nilai-nilainya pasti dapat membangun mengikut acuannya yang tersendiri. Oleh itu, eloklah kita berfikir sejenak dan menilai diri kembali. Tanyakan kepada diri sendiri, adakah kebebasan yang aku peroleh ini sudah diisi dengan sebaik mungkin? Jika jawapannya tidak, maka mulalah memperbaiki diri. Pertama sekali, syukurilah nikmat kebebasan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Di dalam ayat 7, surah Ibrahim, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, ‘Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.’

Kemerdekaan merupakan satu nikmat dan anugerah Allah s.w.t yang paling berharga, malahan bukan semua orang dapat memilikinya. Oleh itu, kemerdekaan sentiasa ditagih. Jadi, syukurilah nikmat kebebasan yang kita miliki ini.

Perkara kedua adalah untuk mengisi kemerdekaan. Kebebasan yang diperoleh ini perlulah diisi dengan input-input yang akan membina insan merdeka bukan sahaja fizikalnya tetapi yang lebih penting adalah merdeka mindanya. Perkara yang paling utama adalah menjadikan rakyat Malaysia sebagai individu-individu mulia yang berpegang kuat kepada nilai hidupnya. Hasrat ini boleh dicapai dengan menekankan kepada aspek pendidikan insan yang berterusan.

Kemerdekaan yang kita peroleh ini sebenarnya membuka ruang yang seluas-luasnya untuk pengembangan ilmu di dalam pelbagai bidang. Ilmu yang dipelajari juga boleh digunakan untuk membina kekuatan ekonomi sesebuah negara. Pada masa kini, jika sesebuah negara itu lemah ekonominya, maka negara tersebut bakal menjadi mangsa penjajahan yang paling rapuh.

Lihat sahaja kepada negara-negara Islam di dunia kini. Akibat kedudukan ekonomi mereka yang lemah, mereka begitu mudah dikotak-katikkan dan suara mereka diabaikan. Inilah penjajahan bentuk baru dalam dunia yang serba mencabar ini. Selain ekonomi, kepintaran dalam bidang sains dan teknologi juga perlu dikuasai. Kemahiran yang tinggi dalam bidang ini merupakan satu senjata penting bagi menjamin kedaulatan sesebuah negara.

Akhir sekali, fahamilah erti kemerdekaan yang sebenarnya. Hayatilah perjuangan pemimpin lalu dan dengan itu kita akan dapat mengecap kenikmatan kemerdekaan yang kita miliki ini. Di samping itu, binalah perwatakan diri yang mulia sebagai salah seorang rakyat di sebuah negara merdeka. Kemerdekaan ini kemerdekaan kita, jangan sampai dirampas lagi. Tidak dapat dinafikan, setiap makhIuk di alam ini memerlukan kemerdekaan atau kebebasan. Kemerdekaan atau kebebasan memberi erti yang amat bermakna bagi kehidupan. Detik pertama kelahiran seorang bayi ke dunia ditandai dengan tangisan seolah-olah membayangkan pekikan kebebasan dari kandungan ibu selama lebih sembilan bulan.

Memang fitrah kejadian memberikan manusia erti kemerdekaan. Tetapi kemampuan manusia menghubungkan faktor diri dengan faktor alamiah adalah terbatas terutama yang berkaitan dengan alam ghaib. Upaya penerokaan akal dan pancaindera manusia terhadap perkara-perkara dan benda-benda yang wujud adalah terbatas. Oleh itu, manusia memerlukan petunjuk dari sumber Yang Maha Perkasa. Hanya dengan petunjuk Allah s.w.t manusia mampu memahami erti diri, erti kehidupan, erti kebebasan dan juga erti kemerdekaan dalam maksud yang sebenarnya. Sebab itu konsep hamba dan khalifah memberikan asas taklif atau tanggungjawab. Melaksanakan taklif memerlukan pedoman dan pertunjuk.

Di dalam Al-Quran Allah s.w.t memberikan batasan tentang halal haram, dosa pahala dan baik buruk sesuatu. Sekiranya pedoman ini dijadikan amalan, jiwa merdeka akan sentiasa subur dan selari dengan fitrah insan. Yang menyebabkan makna kemerdekaan dikaburi ialah tingkah laku manusia yang melampaui batas. Al-Quran memberikan asas tentang ‘perbuatan tangan-tangan manusia yang menyebabkan kerosakan pada alam ini.’ Manusia yang hidup melalui pedoman Al-Quran cenderung melakukan sesuatu mengikut keredhaan Allah s.w.t. Inilah asas yang meletakkan manusia terus berada dalam fitrah dan merdeka.

Memahami konsep Islam tidak sekadar dihubungkan dengan ajaran agama itu sendiri. Islam sebagai deen adalah sesuatu yang hidup bagi sepanjang zaman seperti juga jaminan Allah s.w.t tentang Al-Quran yang akan terus dipelihara sehingga akhir zaman. Aspek lain mengenai Islam ialah penganutnya. Apakah penganut Islam hari ini mewakili zaman atau sedang terpinggir oleh arus perubahan? Kekuatan ajaran itu berada pada umatnya. Sekiranya ajaran Islam itu dihayati sesuai dengan zaman yang pantas berubah, umat Islam tentu berada dalam satu tahap yang dihormati seperti yang pernah berlaku suatu ketika dulu di puncak suatu tamadun yang amat menyumbang kepada Barat dan Timur.

Oleh itu, memperkasa umat dengan menggilap dan menghayati nilai-nilai yang Qurani bakal memerdekakan jiwa penganutnya daripada belenggu kejumudan, kebekuan kreativiti, kehampaan intelek dan kecelaruan budaya. Penjajahan pemikiran al-ghozwul fikr yang menimpa umat Islam sejak kejatuhannya ratusan tahun yang lalu memerlukan cara dan pendekatan untuk membebaskannya. Walaupun Malaysia secara politik dan pentadbirannya bebas daripada kuasa penjajah, namun masih diancam penjajahan bentuk baru seperti hegemoni sistem komunikasi dan telekomunikasi serta penjajahan kebudayaan.

Kagum terhadap Barat dan negara-negara bekas penjajah, sindrom kebergantungan kepada Barat dan model kemajuannya sering menjadi ukurtara atau benchmarking untuk kita berstatus maju atau berimej global. Keadaan seperti ini harus diatasi supaya jiwa merdeka harus mampu memberikan cita rasa yang lebih kental dan bermakna supaya jati diri dapat diperkukuhkan, harga diri dapat dipertahankan dan hala tuju pembangunan menepati falsafah Wawasan 2020 iaitu pembangunan yang mapan dan seimbang.

Tidak dapat dinafikan, merdeka memang mempunyai beberapa pengertian. Mengikut Kamus Dewan (hlm 883), merdeka bermakna bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain, lepas daripada (tebusan, tuntutan, berdiri sendiri, tidak bergantung kepada orang lain). Al-Quran juga mengaitkan kemerdekaan dengan konsep istiqlal dan al-Hurriyyah. Istiqlal membawa makna kemerdekaan, berdaulat, mengangkat, meninggi, menjayakan dan meneruskan sesuatu. Manakala al-Hurriyyah bermaksud kebebasan iaitu bebas daripada nafsu yang jahat.

Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nasr bermaksud; ‘Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Ia sangat-sangat menerima taubat.’ (Surah an-Nasr: 1-4)

Definisi dan maksud Al-Quran di atas memberikan kita makna kemerdekaan dan kebebasan dalam ertikata yang luas. Kemerdekaan tidak sekadar pembebasan diri daripada belenggu penjajahan secara fizikal tetapi mengangkat diri sebagai manusia atau umat yang bermaruah dan ada harga diri. Kemerdekaan Mekah daripada belenggu jahiliyyah adalah lambang kemerdekaan antara yang hak dengan yang batil, antara jahiliyyah dengan fitrah, antara asas syirik kepada asas tauhid. Titik-tolak kemerdekaan Mekah memberi kesan yang amat bermakna kepada umat manusia.

Oleh itu, kemerdekaan dalam fahaman Islam memberikan fokus kepada kemerdekaan akidah kerana menghayati akidah tauhid memberikan tunjangan tentang hubungan manusia dengan Pencipta dan hubungan manusia sesama manusia. Hubungan manusia dengan Allah s.w.t adalah sumber kemerdekaan yang sebenar dan hubungan manusia sesama manusia meletakkan hak individu, keluarga, masyarakat dan negara berada dalam kedudukan yang baik dan menyumbang. Sumber kemerdekaan dengan Allah s.w.t ialah keimanan dan ketakwaan yang meletakkan manusia dalam batas hamba dan khalifah. Hak individu dalam konteks Islam meletakkan asas kebebasan bersuara, beraktiviti dan bermasyarakat, asal saja ia tidak melanggar hak orang lain.

Hak keluarga ialah tanggungjawab ibu bapa memerdekakan anak-anaknya daripada kejahilan dan menjadikan diri sebagai contoh atau qudwah supaya anak-anak menjadi orang yang cemerlang dan mampu menyumbang. Hak masyarakat ialah bagaimana potensi dan kelebihan yang ada pada seseorang tidak saja menjadi miliknya tetapi juga menjadi milik masyarakat. Hak negara ialah bagaimana kehadiran kita sebagai warganya menuntut sumbangan dan pengorbanan dalam apa bentuk yang terizin dan termampu supaya kecintaan kepada Allah s.w.t memberikan kita hikmah cintakan negara.

Mekah memberikan makna yang amat istimewa bagi perjuangan Rasulullah s.a.w untuk mengembalikan manusia kepada fitrah. Kemerdekaan Mekah terkandung risalah nubuwwoh yang amat tinggi iaitu pembebasan manusia dari belenggu syirik. Terbebasnya manusia daripada belenggu syirik ini menjadikan asas akidah berada pada tempatnya yang sebenar dan membentuk tosawwur yang menjalin ikatan antara hamba dan Khaliq, keimanan terhadap Pencipta dan meyakini tentang keperkasaan-Nya, surah al-Ikhlas dari ayat 1 hingga 4 memberikan asas yang kukuh tentang aspek ketuhanan yang Maha Esa; ‘Katakanlah, Dia-lah Allah Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yong bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak, tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya.’

Implikasi surah ini membentuk suatu pandangan semesta tentang kekuasaan Allah s.w.t. la suatu tosawwur yang membentuk asas wehdah dan kesatuan yang amat nyata. Tidak wujud penyekutuan atau menyamakan secara setara antara status Pencipta dan yang dicipta. Bila semuanya kembali kepada Yang Satu, ia memberikan makna yang besar tentang maksud kehambaan yang tinggi. Asas wehdah ini menjadi perkara yang amat pokok dan utama dalam memahami kemerdekaan diri.

Asas ini akan memberi arah yang jelas terhadap aspek kepercayaan, pemikiran, ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, kebudayaan, kemasyarakatan, pembangunan, kemajuan sistem dan juga negara. Asas ini juga boleh memberikan dokongan yang kukuh terhadap erti jati diri, fahaman patriotik dan proses bina negara. Tanpa asas wehdah manusia akan cenderung kembali kepada fahaman qaumiah sempit dan konsep rahmah alamiah sukar untuk berkembang kerana sifat kejadian, potensi yang dimiliki, kelainan yang wujud, persamaan yang ada tidak dapat terbentuk atas asas litaarrafu.

Asas wehdah ini juga akan memberikan tunjangan terhadap faktor rohaniah yang terpancar dalam amal soleh. Memperkasa faktor duniawi yang memberikan natijah ukhrawi. Melihat faktor benda sebagai sumber yang perlu diuruskan dengan amanah. Benda ialah alat bukannya matlamat. Melihat faktor rahmah dan nikmah sebagai sumber daripada Allah s.w.t yang perlu ditadbir urus secara adl wal ihsan. Akhirnya menjadikan kita sebagai umat contoh, umat yang memiliki daya kesatuan yang tinggi (ummatan waahidah), umat terbaik (khaira ummah) dan umat pertengahan (ummatan wasatan) yang memiliki kemampuan memimpin dunia dan memimpin umat manusia.

Atas landasan inilah Shakib Arsalan dalam kitabnya yang berjudul Mengapa Umat Islam Terkebelakang Berbanding Bangsa Lain, menekankan kepentingan kerohanian dalam memurnikan jiwa daripada perkara yang merosakkan, mengisi jiwa kepada perkara-perkara yang baik seperti keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t, membebaskan jiwa daripada rasa perhambaan dan takut kepada sesama manusia; dan memerdekakan diri daripada menjadi hamba kepada nilai dan budaya masyarakat yang merosakkan seperti fahaman kebendaan dan tipu daya dunia.

Fahaman kehambaan di sini tidak harus dilihat dalam pengertian yang sempit. Kehambaan di sisi Allah s.w.t dalam erti kata yang luas memancarkan jiwa merdeka yang tinggi atas kepatuhan, ketaatan, ketundukan dan keakuran terhadap perkara-perkara yang benar dan hak. Mengakui wujudnya Allah s.w.t melalui tanda-tanda kebesaran-Nya, mengakui kebesaran Allah s.w.t dengan dan nikmah-Nya yang melimpah ruah-rahmah, mengakui keperkasaan Allah s.w.t yang memberikan kudrat dan takdir-Nya terhadap kehidupan manusia dan alam ini menyebabkan manusia memiliki sifat patuh, taat, tunduk dan akur. Apa pun sistem yang ingin berjalan dan memberi manfaat yang tinggi, ia mestilah berjalan atas patuh, taat, tunduk dan akur.

Bintang-bintang, sistem solar, kosmos dan galaksi tidak akan bergerak secara tertib dan teratur melainkan atas landasan sunnah-Nya dan semua itu bergerak atas asas patuh, taat, tunduk dan akur. Kalau tidak, perlanggaran dan kesesakan akan berlaku. la tidak berlaku kerana sifat Allah s.w.t itu sendiri Maha Berkuasa dan Maha Perkasa terhadap ciptaan-Nya.

Hal yang sama juga perlu ada kepada manusia supaya asas patuh, taat, tunduk dan akur menjadi sumber amalan bagi menundukkan sifat takabur, sombong, angkuh dan ujub yang menyebabkan manusia terbelenggu dengan nafs al-amarah yang bersifat haiwani. Inilah yang menyebabkan berlakunya konflik, persengketaan, permusuhan, peperangan, kesombongan terhadap kuasa dan pangkat, takabur terhadap ilmu dan kepandaian, angkuh terhadap harta dan kesenangan, ujub terhadap kekayaan dan kemewahan hingga dirinya jadi terbelenggu.

Faktor rohaniah harus menjadi landasan membebaskan manusia daripada belenggu yang membelit hati lantaran nafs al-amarah yang jelik. Kekuatan rohaniah yang terpancar dalam bentuk amal Islami bukannya terbatas dalam ritual ke dalam diri (tazkiyah an-nafs) semata-mata, tetapi ia hendaklah terucap dalam kata-kata yang santun dan mendidik, terlihat dalam amal dan perbuatan yang baik dan dirinya mampu menjadi contoh ikutan orang lain. Asas kemerdekaan diri secara rohaniah dan amal ialah pertautan yang tinggi dengan Allah s.w.t yang dilakukan dengan ibadah dan amal soleh yang ikhlas dan telus supaya kesan kebaikannya dapat dirasakan oleh yang lain.

Cabaran utama yang sering dihadapi oleh manusia ialah cabaran hawa nafsu. Nafsu adalah sesuatu yang fitrah bagi manusia, asasnya diibaratkan sebagai kuda liar. Kuda liar kalau tidak dilatih atau dijinakkan akan menyebabkan ia tidak boleh dikawal. Nafsu juga sedemikian, sekiranya tidak dilatih dan dijinakkan secara fitrah dengan amalan rohaniah yang baik ia boleh membina nafs al-amarah bi-suk iaitu nafsu jelik yang membawa pekerti buruk. Ibarat kuda liar yang dilatih untuk berlari dengan baik, dijinakkan dengan belaian dan urutan yang manja menyebabkan ketaatan kepada tuan atau penunggangnya tinggi. Apa saja yang diperintahkan oleh tuannya akan diikuti dengan baik dan menjadikan kuda itu sebagai kuda yang taat dan patuh.

Nafsu manusia juga memerlukan pendekatan yang sedemikian supaya memiliki jiwa hamba yang tinggi. Jiwa hamba yang tinggi akan berupaya mengawal dan menjinakkan nafsu serakah yang jelik seperti firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 14-15 yang bermaksud: ‘Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak, kuda pemeliharaan yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). Katakanlah wahai Muhamad: Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu apa yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan atau isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula keredhaan daripada Allah s.w.t. Dan (ingatlah), Allah s.w.t sentiasa melihat akan hamba-hamba-Nya.’

Selain itu akal adalah anugerah Allah s.w.t yang amat bernilai kerana ia membezakan antara haiwan dengan manusia. Allah s.w.t kurniakan akal untuk membolehkan manusia mengingat, berfikir dan memberikan daya taakulan. AI-Quran menghubungkan akal dengan konsep ulul albab supaya tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t itu diteliti dan dikaji dan menghubungkannya dengan Pencipta. Alam ini tidak terjadi dengan sendiri. Manusia pun tidak terjadi dengan sendiri (by nature).

Sesetengah orang di Barat membuat tanggapan bahawa alam dan manusia ini terjadi secara kebetulan (by accident). Menghubungkan kejadian dengan agama dianggap sebagai suatu dogma. Asas inilah yang menjadikan ilmu orang-orang Barat bersifat rasional dan empirikal semata-mata. Segala sesuatu diukur dan diambil kesimpulan hanya dirujuk dengan upaya akal saja. Persoalan dalam Al-Quran, ‘Apakah kamu tidak berfikir’ yang merujuk kepada orang-orang yang berakal tentang ketakjuban kejadian-Nya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ‘Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu, Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.’ (surah al-Baqarah: 164)

Ayat di atas membawa mesej saintifik. Sains dalam tradisi orang Barat hanya menyangkut tentang kajian mengenai benda dan fenomena. Sains dalam tradisi Islam tidak saja mengkaji tentang benda dan fenomena tetapi hal-hal di sebalik benda dan fenomena iaitu pertanda-pertanda kewujudan dan keperkasaan Allah s.w.t. Manusia yang diciptakan mengatur sistem lebuh raya yang canggih tetapi perlanggaran dan kesesakan tetap berlaku. Allah s.w.t jadikan planet dan sistemnya berputar dan beredar secara teratur dan tertib tentunya membayangkan ada kuasa yang Maha Bijaksana menentukan perjalanan atas sunnah-Nya.

Tidak mungkin planet dan sistemnya bergerak sendiri seperti tidak mungkin kereta berjalan sendiri, kapalterbang terbang sendiri. Akal yang berfikir tentunya memberikan taakulan bahawa sesuatu yang bergerak ada penggeraknya dan sesuatu yang terjadi ada penjadinya. Asas inilah yang menjadikan kebebasan pemikiran wujud dalam keadaannya yang fitrah.

AI-Quran juga memberikan asas tentang perlunya pengembangan pemikiran menerusi anjuran ‘Apakah kamu tidak merenung’ iaitu tidakkah manusia berfikir secara kreatif, reflektif, lateral, kritikal, strategik dan sebagainya. Kemahiran berfikir ini amat penting supaya perspektif tentang sesuatu dilihat secara menyeluruh dan komprehensif. Sesuatu kejadian baik langit dan bumi, manusia dan haiwan, air dan tumbuh-tumbuhan mempunyai kaitan antara satu dengan lain. la ibarat suatu sistem kosmos yang memiliki kesalingan dan memiliki hikmah di sebalik kejadiannya. Pengembangan pemikiran secara fitrah menyebabkan manusia menjadi tahu dan berilmu. Ilmu tanpa suluh Al-Quran tidak memberikan jalan berfikir yang terang benderang. AI-Quran sebagai sumber hikmah dipandu oleh jiwa tafakur membolehkan manusia tahu tentang letak dirinya sebagai hamba dan khalifah dan hubungannya dengan Pencipta untuk memahami maksud faktor-faktor yang nyata dan ghaib yang terdapat dalam alam dan kehidupan ini.

Al-Quran juga menganjurkan supaya tradisi tadabbur dikembangkan. Jiwa tadabbur adalah amat penting bagi memerdekakan pemikiran manusia. Rasa ingin tahu, keupayaan menyelidik dan mengkaji memberi ruang kepada manusia mendapatkan data dan maklumat, fakta dan ilmu supaya daripadanya menjadikan manusia lebih dekat dengan Allah s.w.t dan menjadikanya yakin terhadap kebesaran-Nya berasaskan pertanda-pertanda jelas dan meyakinkan.

Kecemerlangan ilmuan dan ulama silam berasaskan integrasi fikir dan zikir. Tradisi fikir dan zikir menemukan Ibn Nafiz pakar dalam bidang ilmu ‘Mengurus Diri’ iaitu keahlian dalam bahasa Arab dan Syariah. Dalam masa yang sama juga mempunyai kepakaran dalam ilmu ‘Mengurus Sistem’ iaitu pakar dalam bidang perubatan yang berkaitan dengan ilmu perputaran darah (blood circulation) - tradisi ini juga menampilkan tokoh ilmuan seperti Ibn Sina yang hafaz Al-Quran di awal umur, menguasai pelbagai bahasa, menekuni bidang ilmu muzik, pakar dalam bidang astronomi atau astrofizik, mahir dalam bidang falsafah, hebat dalam ilmu matematik dan tersohor dalam ilmu perubatan.

Hal yang sama juga berlaku kepada al-Hawarizmi, pakar dalam bidang matematik, al-Zahrawi pakar dalam ilmu bedah, al-Batani pakar dalam ilmu astrofizik, Ibn Haitam dalam bidang optik, Abbas ibn Firnas dalam bidang enjin terbang dan ramai lagi yang melakukan tradisi tadabbur tanpa memutuskan diri dengan Allah s.w.t. Inilah asas kemerdekaan berfikir yang wujud dalam zaman kegemilangan tamadun yang telah memimpin tamadun umat manusia.

Akal manusia juga dibantu oleh pancaindera. Apa yang ditatap, dibaca, ditulis, ditonton, disaksi dan diperhatikan memberi asas terhadap akal dan kecerdasannya. Apa yang didengar, dihidu, dirasa dan disentuh juga merupakan landasan menghubungkan diri dengan lingkungan luar diri dan persekitaran boleh menyumbang kepada kemakrufan dan faktor sekitar juga boleh menyumbang kepada kemungkaran.

Keinsafan bahawa Allah Maha Melihat dan Allah Maha Mengetahui menjadi pedoman bagi manusia menyuburkan jalan berfikir dan perkembangan pancainderanya supaya yang dilihat, didengar, dihidu, dirasa dan disentuh adalah sesuatu yang baik dan menyumbang kepada kebaikan dan kesejahteraan diri dan juga perlakuannya.

Oleh itu, pemikiran yang merdeka adalah pemikiran yang terpedoman. Manusia yang fitrah tidak boleh lepas bebas dalam berfikir tanpa adanya pancang ataupun panduan yang membolehkan manusia insaf bahawa sebagai hamba dan khalifah, ia tertakluk kepada ketentuan Allah s.w.t. Meskipun jalan ikhtiar terbuka untuk manusia, namun faktor naluri dan nafsu-nafsi semata-mata tidak memadai untuk membimbing manusia ke jalan yang betul melainkan kesuburan pemikirannya dibentuk oleh keimanan dan ketakwaan.

Keimanan dan ketakwaan adalah batasan yang membimbing manusia tentang kebebasan berfikir. Keimanan menghubungkan manusia dengan faktor ghaibiyyat di mana manusia tidak hanya mengembangkan pemikirannya terhadap apa yang dilihat dan bersifat benda tetapi juga percaya apa yang tidak dilihat seperti Allah s.w.t dan malaikat kerana terdapat tanda-tanda yang nyata tentang kejadian dan kebesaran-Nya yang di luar kemampuan akal manusia untuk memberikan rasionalnya.

Ketakwaan menghubungkan manusia dengan faktor insaf-ketuhanan (God-conciousness) yang tinggi. Keyakinan manusia kepada Allah s.w.t Yang Maha Perkasa dan Maha Mengetahui membentuk manusia supaya berlaku amanah, jujur, adil, tulus, telus dan lain-lain kerana ketakwaan meyakinkan manusia bahawa dalam melakukan sesuatu yang sifatnya ibadah, walaupun bila melakukannya kita tidak melihat Allah s.w.t, tetapi kita yakin Allah s.w.t melihat kita. Asas inilah yang mempedoman manusia untuk sentiasa berada dalam keadaan fitrah bila melakukan sesuatu.

Orang-orang mukmin dan muttaqin tidak akan terbelenggu oleh sifat pecah amanah atau tidak amanah, kezaliman, penipuan, pura-pura, melakukan eksploitasi atau perkara-perkara seumpamanya kerana ia menjadikan manusia tidak merdeka dan terbelenggu. Melakukan sesuatu dengan amanah, bercakap sesuatu yang benar, menyampaikan sesuatu dengan jujur, bersikap adil terhadap orang lain, telus dan tulus bila berurusan adalah gambaran orang yang berjiwa merdeka kerana ia menghubungkan dirinya dengan yang Maha Mengetahui iaitu Allah s.w.t. Dalam melakukan sesuatu ia tidak berselindung atau menyatakan sesuatu di luar kebenaran kerana sekiranya ia berbuat demikian meskipun manusia tidak tahu tetapi Allah s.w.t mengetahuinya. Inilah jiwa merdeka yang amat agung yang dimiliki oleh manusia mukmin.

Asas ini sangat penting kerana maksud kebebasan berfikir ialah pertautan akal dengan naql iaitu wahyu. Wahyu memberikan pertunjuk manusia supaya pedoman yang diberi menyebabkan manusia terus berada dalam keadaan fitrah dan tidak melampaui batas. Batasan yang memisahkan yang baik dengan yang buruk, maaruf dan mungkar, hak dan batil, adil dan zalim adalah persimpangan yang boleh membawa manusia kepada belenggu dan boleh memimpin manusia ke arah kebaikan. Sekiranya manusia memilih jalan yang baik, kemerdekaan yang sebenarnya dirasai tetapi sekiranya manusia memilih jalan yang batil maka manusia tidak memilik dan hidupnya dibelenggu.

Antara asas-asas terpenting untuk jiwa merdeka ialah hikmah. Hikmah adalah bahasa agama tentang kearifan alias kebijaksanaan, kebajikan yang tersimpan dalam diri manusia, sebagai pantulan dari sifat Tuhan yang Maha Bijaksana. Kearifan selalu melekat dengan orang-orang yang berilmu, ilmunya melebur dalam kesedaran dan keinsafan nurani yang jernih. Ia muncul dalam penampilan ulil albab, manusia yang seimbang, rohani dan jasmani. Manusia tawaduk, yang selalu sedar akan kelemahannya

Pada saat rakyat seluruh negara menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50, ada segelintir warga yang masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan jiwa generasi merdeka. Lahir pasca merdeka terutama menyebabkan mereka hanya mendengar kisah kemerdekaan daripada generasi emas atau berusaha memahaminya menerusi rakaman yang masih tersimpan.

Sesungguhnya tidak. Mengapa? Kerana erti sebenar jiwa merdeka lebih daripada itu! Mengetahui makna sebenar jiwa merdeka serta batasnya, dan memahami nilainya yang sebenar boleh memberikan kita kesedaran betapa penting dan berharganya aset ini. Kefahaman ini memandu kita dengan jelas dan selamat agar tidak melangkaui sempadan kemerdekaan yang telah diberikan kepada kita. Dalam konteks ini, jiwa generasi yang merdeka dapat difahami berdasarkan lima asas penting, pertama, jiwa generasi yang merdeka kenal jati dirinya.

Jiwa generasi yang merdeka memahami dari mana dirinya datang, mengapa dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali. Kefahaman ini bukan sekadar maklumat pengetahuan yang dihafal daripada buku, tetapi dihayati dan dijelmakan dalam kehidupan seharian. Contoh generasi yang berjiwa merdeka sangat jelas pada zaman Rasulullah s.a.w. Generasi insan seperti Ali bin Abi Talib serta Aisyah binti Abu Bakar faham mereka diciptakan Allah dan akan kembali semula kepada-Nya. Mereka juga mengerti dengan sebenar-benarnya hidup di dunia yang singkat ini harus digunakan untuk menjadi hamba yang taat kepada Allah dan berusaha mengembalikan dunia dalam ketaatan kepada hakimiyah Allah.

Generasi berjiwa merdeka juga tidak pernah ketinggalan daripada memahami sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya. Mereka berusaha menekuni iktibar daripada kegemilangan dan keruntuhan tamadun manusia sepanjang sejarah. Mereka memahami bahawa sepanjang sejarah manusia, kebenaran tidak akan pernah lapuk ditelan zaman. Kebenaran akan tetap menang dan menyerlah! Dengan kefahaman inilah, mereka benar-benar kenal siapa diri dan betapa tingginya nilai diri mereka apabila menjadi generasi berusaha memenuhi tujuan hidup.

Kedua, berbekalkan kefahaman jati diri sebenar, jiwa generasi merdeka akan memperoleh lebih kekuatan daripada kemerdekaannya kerana dia memahami dirinya hanya perlu tunduk kepada Penciptanya. Dasar hidupnya adalah dua kalimah syahadah yang difahami implikasinya dengan sepenuh jiwanya. Tuntutan kalimah syahadah akan memberikan lonjakan hebat yang mampu menolak segala kesetiaan dan ketaatan kepada selain dari-Nya. Walaupun 50 tahun Malaysia merdeka, warganya terutama generasi muda yang telah menemui kemerdekaan jiwa mampu membawa dirinya keluar daripada belenggu ketaatan kepada makhluk menuju kesetiaan hanya kepada Pencipta. Hidup dan matinya, seluruhnya diasaskan secara jelas kepada paksi ini. Seluruh denyutan nadi dan degup jantungnya berlaku dengan kesedaran bahawa inilah erti kemerdekaan sebenar!

Ketiga, jiwa merdeka juga yakin dengan kewujudan dan kebenaran hari pembalasan. Generasi berjiwa merdeka memahami bahawa kematian itu pasti. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian dan hanya Allah yang mengetahui bilakah ajal setiap makhluk-Nya. Firman Allah: ‘Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh....’ (surah An-Nisa’: 78).

Bertitik tolak daripada kepercayaan yang kuat inilah, generasi berjiwa merdeka sentiasa memperhatikan tingkah lakunya agar menjadi modal paling strategik untuk manfaat kehidupan selepas mati. Jika terjatuh dalam lubang kealpaan dan kelalaian, generasi berjiwa merdeka akan bangkit kembali menebus kesalahannya dan tidak akan mengulanginya.

Keempat, kesannya, lahir generasi merdeka yang sentiasa berlumba-lumba untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna. Tidak ada satu detik pun yang akan diizin untuk dibazirkan ke jalan tidak berguna. Begitulah hebatnya jiwa generasi yang merdeka. Mereka menyedari bahawa hidup di dunia ini hanya sekali, maka sebaik-baiknya mereka harus hidup dengan penuh erti. Apabila dipanggil kembali, generasi berjiwa merdeka tersenyum bangga membawa bekal bersinar untuk dipersembahkan kepada Tuhannya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ‘Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.’ (surah Al-Fajr: 27-30).

Mereka puas kerana memanfaatkan anugerah kehidupan di dunia sebagai manusia yang menjalankan amanahnya, bukan robot yang sekadar mengulangi rutin kehidupannya tanpa mengetahui tujuan hidupnya.

Generasi berjiwa merdeka sedar dan faham bahawa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran bukanlah tujuan akhir hidupnya. Mereka tidak terperangkap dalam kerugian menagih seluruh masa mereka hanya untuk mengisi maklumat di minda dan mendapatkan makanan untuk survival fizikal. Mereka tidak akan membiarkan hati kecut dan gersang kerana perangkap ini. Mereka tidak akan tertekan dengan himpitan beban pelajaran, tetapi rasa bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk memajukan diri dan masyarakat.

Kelima, jiwa generasi merdeka adalah jiwa yang sentiasa memperjuangkan kebenaran. Kisah interaksi manusia dan kebenaran sepanjang sejarah membentangkan kepada kita pelbagai jenis episod. Ada yang untung dan ada rugi. Generasi berjiwa merdeka termasuk dalam golongan mereka yang untung. Mengapa? Kerana jiwa merdeka sentiasa mencari kebenaran, tidak menolaknya, berusaha memperjuangkannya dan menyokongnya dengan sepenuh jiwa dan sepanjang hayatnya. Hidup dan mati dengan asas kebenaran itu adalah tanggungjawab. Ia bukan pilihan, tapi ia anugerah. Yang pentingnya merdeka pada jiwa dan bukan hanya pada fizikal.

Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam terasa sangat masin? Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin mati. Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk dipengaruhi tetapi jiwa mati mudah sekali terjebak dengan apa juga anasir buruk yang datang kepadanya.

Kesimpulannya, kita harus memahami makna merdeka yang sebenarnya dan seterusnya mengisi makna kemerdekaan negara dengan akhlak terpuji, bukan merosakkan erti kemerdekaan itu sendiri.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA