Rabu, 3 Januari 2024

SAINS DAN TEKNOLOGI NUKLEAR UNTUK MASA HADAPAN

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Sains dan teknologi nuklear telah membawa perubahan besar dengan penemuan kaedah baru yang membabitkan sektor utama khususnya perubatan, pertanian, penyelidikan, dan yang terbaru arkeologi. Negara kita berada dalam era bioteknologi yang pesat. Biotek dapat dicantumkan dengan medik iaitu perubatan menjadi biotekmedik. Tiga disiplin ilmu digabungkan menjadi satu. Justeru, kepentingan sains dan teknologi nuklear dalam pembangunan negara memang tidak dinafikan yang sekali gus dapat mempertingkatkan kualiti dan nilai hidup masyarakat.

Berdasarkan kajian Unit Perancang Ekonomi, Malaysia meneroka tenaga nuklear disebabkan import arang batu dan gas asli cecair, yang bermakna jaminan bekalan adalah tidak begitu pelbagai. Mempelbagaikan sumber tenaga adalah antara dasar untuk menjamin bekalan tenaga di Malaysia dan itulah sebabnya negara mahu memasukkan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga.

Malaysia sedang meneroka pilihan menggunakan tenaga nuklear di bawah Program Transformasi Ekonomi bagi memenuhi permintaan masa depan dan mempelbagaikan campuran tenaga untuk negara. Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Kuasa Nuklear telah ditubuhkan pada Jun 2009 dengan diterajui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi merancang dan menyelaras usaha persediaan ke arah mengguna tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik. Jawatankuasa itu mengkaji kemungkinan menghasilkan unit berkembar loji kuasa nuklear dengan kapasiti dua gigawatt, dengan unit pertama mula beroperasi menjelang 2021.

Malaysia mengalami transformasi yang luar biasa dan akan menjadi antara 20 negara teratas di bawah Pelan Transformasi Nasional 2050, yang tidak mungkin dicapai tanpa wawasan hebat, termasuk mengenai tenaga. Malah tenaga juga diiktiraf dalam agenda pembangunan global baharu sebagai pemangkin penting dalam tujuh Matlamat Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang bertujuan untuk mendapat akses kepada tenaga berpatutan, boleh dipercayai, mampan dan moden untuk semua.

Masanya sudah tiba bagi negara kita menimbang dengan serius kemungkinan beralih kepada teknologi nuklear sebagai sumber tenaga alternatif yang lebih murah, bersih dan berpanjangan. Bahkan, kita tidak mempunyai banyak pilihan memandangkan sumber asli seperti minyak dan gas semakin berkurangan.

Pergantungan kepada arang batu untuk penjanaan elektrik pula lama kelamaan akan membawa padah akibat bekalan arang batu jangka panjang yang tidak menentu serta harga yang akan terus melambung.

Selain itu, usaha ke arah memperkenalkan tenaga daripada solar dan angin tidak berkesan kerana mempunyai keupayaan yang terhad. Kita mungkin masih mempunyai lebihan tenaga elektrik buat masa ini, tetapi keadaan tersebut tidak akan berpanjangan akibat keperluan yang semakin meningkat selaras dengan kepesatan pembangunan negara serta pertumbuhan penduduk.

Oleh itu kerajaan menimbang memperkenalkan tenaga nuklear secepat mungkin memandangkan itulah jalan yang paling baik untuk masa depan negara lebih-lebih lagi kini lebih banyak negara yang bercadang beralih kepada tenaga nuklear untuk menjana tenaga elektrik.

Jika jiran-jiran terdekat seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam sanggup berubah mengikut keadaan dan keperluan semasa, adalah amat memalukan jika kita tidak sanggup ataupun tidak bersedia berbuat demikian.

Kemalangan di Three Mile Island, Amerika Syarikat dan Chernobyl, Ukraine yang melibatkan reaktor nuklear masing-masing berlaku lebih 30 dan 20 tahun dahulu dan selepas itu langkah-langkah keselamatan yang lebih baik telah diambil. Selain itu, kecanggihan teknologi juga membuatkan penjanaan tenaga nuklear menjadi lebih efisyen dan selamat. Kejadian di Three Mile Island pada tahun 1979 tidak mengakibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan atau kecacatan kepada para pekerja mahupun penduduk berdekatan, sementara kemalangan di Chernobyl, Ukraine yang ketika itu sebahagian daripada Kesatuan Soviet, mengakibat 47 kematian melibatkan ahli bomba dan operator jana kuasa (32 maut serta-merta) akibat terdedah kepada radiasi.

Namun, dunia telah belajar daripada kesilapan lalu dan bersedia mengorak langkah untuk bersama-sama memastikan semua negara dapat menjana tenaga nuklear yang lebih murah, bersih dan selamat. Memang sesuatu yang baru tidak mudah terus diterima rakyat lebih-lebih lagi tenaga atom yang sering kali dikaitkan dengan kemudaratan dan perkara yang negatif.

Namun kerajaan tidak harus tunduk begitu sahaja bahkan harus memastikan ia dapat dilaksanakan jika itu adalah yang terbaik untuk rakyat dan masa depan negara bagi jangka masa panjang.

Pada zaman moden ini, kemajuan sains membolehkan manusia memanfaatkan kelebihan tenaga nuklear. Teknologi nuklear ini memainkan peranan penting untuk mempercepatkan proses pembangunan negara Malaysia. Amerika Syarikat, Rusia dan Perancis giat menjalankan kajian dan penyelidikan untuk memperoleh manfaat optimum dari teknologi nuklear ini. Secara keseluruhannya, penggunaan tenaga nuklear banyak membantu manusia dalam pelbagai bidang.

Bidang Pertanian

Sains dan teknologi nuklear untuk masa hadapan amat perlu terutamanya dalam bidang pertanian terutama dalam aspek menghasilkan baka tumbuh-tumbuhan yang baik dan bermutu seperti kaedah pembiakan baka mutasi aruhan, membasmi serangga perosak tanaman seperti kumbang, belalang dan lain-lain lagi. Bagi mengawal bilangan serangga perosak, tisu serangga diubah dengan menggunakan teknologi nuklear supaya mandul dan tidak dapat membiak. Selain itu, penggunaan teknik isotop radioaktif dan sinaran pengionan seperti sinaran gamma dan sinaran-x juga telah berjaya meningkatkan hasil pengeluaran pertanian dan juga ternakan.

Bidang Perindustrian dan Pembuatan

Sains dan teknologi nuklear juga perlu dalam bidang perindustrian dan pembuatan. Teknik-teknik ujian tanpa musnah tolok nukleoni dan teknik penyurih sangat berpotensi menyelesaikan masalah di loji-loji kejuruteraan. Contohnya, Naterium-24 dapat digunakan untuk mengesan rekahan dalam tuangan logam. Percampuran bahan radioaktif ke dalam sistem paip yang mengalirkan petroleum atau air membolehkan kadar aliran dan kebocoran bawah tanah dapat dikesan. Teknik-teknik nuklear juga membolehkan produk yang dihasilkan berkualiti dan selamat untuk digunakan.

Bidang Pendidikan

Selain itu, sains dan teknologi nuklear juga perlu dalam bidang pendidikan. Disiplin sains dan teknologi seperti kimia, genetik, fizik, biologi, bio-kimia, kejuruteraan dan sebagainya amat bergantung kepada teknologi nuklear. Semua penyelidikan dan pembangunan bidang-bidang ini memerlukan teknologi nuklear.

Bidang Perubatan

Tidak ketinggalan juga dalam bidang perubatan. Sinar gamma daripada tenaga nuklear digunakan untuk merawat penyakit kanser. Contohnya, radioisotop digunakan sebagai alat diagnostik di hospital untuk mengesan dan menentukan penyakit kanser. Radioisotop Iodin-131 dicipta untuk membantu para doktor untuk memastikan sama ada kelenjar tiroid berfungsi dengan normal atau tidak. Sinar gamma dari Cobalt-60 digunakan untuk mensteril bahan-bahan perubatan. Sinaran ultra digunakan dalam pengesanan bayi dalam kandungan ibu. Jadi, teknologi nuklear ini dapat membantu mencegah pelbagai jenis penyakit dan menyelamatkan nyawa manusia. Perkara ini dapat meningkatkan lagi taraf kesihaan masyarakat.

Tenaga Alternatif yang Baik

Selain itu tenaga nuklear juga merupakan tenaga alternatif yang baik. Bekalan petroleum akan kehabisan pada masa yang akan datang. Harga petroleum akan meningkat tinggi. Dari segi kos seunit, tenaga nuklear lebih murah berbanding dengan petroleum. Penghasilan tenaga nuklear juga tidak memerlukan kawasan yang luas. Sebagai contohnya, negara maju seperti Perancis, 90% bekalan elektriknya dihasilkan melalui jana kuasa nuklear. Jepun yang maju dalam industri berat tidak mempunyai tenaga asli. Mereka bergantung pada tenaga nuklear untuk pembangunan negara.

Oleh kerana bahan api nuklear mengandungi tenaga yang banyak berbanding dengan bahan api bagi sumber tenaga lain, penggunaan tenaga nuklear mampu mempertingkatan keselamatan perbekalan tenaga negara untuk tempoh jangka panjang. Sebarang risiko terputusnya bekalan bahan api nuklear akan mudah ditangani dengan menyimpan stok bahan api nuklear untuk beberapa tahun, kerana sesebuah loji jana kuasa nuklear berkeupayaan 1,000 MWe hanya memerlukan 100 tan metrik uranium untuk mula beroperasi, dan daripada jumlah ini, cuma 30 tan metrik uranium yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik sepanjang sesuatu  tahun.

Dengan kelebihan dari segi tenaga spesifiknya ini, penggunaan sumber tenaga nuklear tidak melibatkan jumlah kuantiti bahan api nuklear yang tinggi. Oleh itu, stok bahan api nuklear untuk menampung operasi sesebuah loji jana kuasa nuklear selama dua hingga tujuh tahun dapat disimpan di dalam negara dengan mudah. Dengan stok ini, jika bekalan bahan api nuklear terputus sementara (supply short-fall) atas sebab-sebab tertentu, operasi loji jana kuasa nuklear berkenaan tidak akan terjejas.

Dengan stok bahan api ini, keselamatan perbekalan tenaga negara tentunya akan lebih terjamin, terutama dalam keadaan pengurangan (depletion) sumber tenaga yang lain, khususnya simpanan atau rizab minyak mentah dan gas asli, di dalam negara, sesuai dengan Objektif Perbekalan di bawah Dasar Tenaga Negara.

Tiada Penghasilan Gas Rumah Hijau

Proses tindakbalas nuklear juga tidak melibatkan penghasilan sebarang gas rumah hijau, kecuali proses-proses perlombongan dan penyediaan bahan api nuklear, pembinaan loji nuklear dan pengurusan sisa nuklear. Walau bagaimanapun, keseluruhan rantaian pengeluaran kuasa nuklear (nuclear power production chain) adalah jauh lebih rendah berbanding pengeluaran kuasa elektrik daripada sumber bahan api fosil terutama arang batu dan gas asli, dan adalah hampir sama berbanding dengan pengeluaran kuasa elektrik daripada sumber tenaga  boleh diperbaharui.

Keseluruhan rantaian bagi penjanaan kuasa nuklear daripada perlombongan uranium sehingga kepada pelupusan sisa nuklear, termasuk pembinaan loji jana kuasa nuklear serta kemudahan berkaitan, hanya menghasilkan di antara 1 hingga 6 gram karbon bagi setiap kilowatt-jam elektrik yang dijana oleh sesebuah loji janakuasa nuklear. Kadar ini adalah hampir sama dengan peralatan berasaskan kepada pengalaman yang dipelajari daripada kemalangan loji nuklear di Three Mile Island.

Kos yang Kompetitif

Pada dasarnya, projek tenaga nuklear bukan bertujuan untuk menampung kenaikan harga minyak dan gas yang bertambah mahal tetapi sebagai alternatif kepada penjanaan sumber tenaga elektrik dengan kos yang kompetitif. Ini adalah bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber minyak dan gas untuk penjanaan tenaga elektrik. Namun, yang lebih penting ialah sumber tenaga nuklear mampu: 

  1. Menjamin keselamatan perbekalan tenaga negara kerana semua jenis bahan api nuklear, iaitu uranium, thorium atau plutonium, mengandungi tenaga spesifik (specific energy) yang tinggi.
  2. Keselamatan perbekalan tenaga negara tentunya akan lebih terjamin, terutama dalam keadaan pengurangan (depletion) sumber tenaga yang lain di dalam negara, terutama simpanan atau rizab minyak mentah dan gas  asli negara.
  3. Dari segi perlindungan alam sekitar, kadar penghasilan gas rumah hijau atau karbon (carbon burden) yang jauh lebih rendah bagi setiap unit kuasa elektrik yang dijana, berbanding dengan sumber tenaga lain.

Kesimpulan

Pada zaman moden ini, pembangunan negara amat bergantung kepada perkembangan sains dan teknologi nuklear. Apa yang penting ialah teknologi nuklear ini tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

PENGGUNAAN PLASTIK SECARA BIJAK

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

DI SEKITAR kita terdapat banyak benda yang dibuat daripada plastik. Bermula dari barang mainan kanak-kanak sehinggalah kepada barang-barang yang digunakan di rumah seperti beg plastik, botol air, bekas sampah, tikar plastik, baldi, penceduk air, dan lain-lain lagi. Yang paling banyak sekali kita guna dan buang ialah beg palstik. Menurut kajian, sehelai beg plastik yang kita buang boleh berada di tapak pelupusan untuk beribu-ribu tahun dan memerlukan 100 hingga 500 tahun untuk lupus jika ditanam dan jika dibakar ia memberikan impak negatif yang lebih besar kepada alam sekeliling termasuk manusia.

Satu perangkaan mengatakan bahawa secara purata di Malaysia, seorang individu menggunakan hampir lapan beg plastik seminggu dan ada di antara mereka membuang beg plastik berkenaan selepas hanya dipakai sekali sahaja. Tidak ramai yang menyedari kenapa bahan ringan, tidak mudah pecah, dan murah ini menjadi ancaman kepada alam sekitar jika kita jarang meneliti jurnal dan majalah saintifik.

Apakah yang membahayakan tentang plastik? Plastik merupakan bahan yang merangkumi produk polimer sintetik atau semi-sintetik dan terbentuk daripada kondensasi organik atau penambahan polimer dan boleh juga terdiri daripada bahan lain. Selain itu, plastik juga diperbuat dari satu sumber yang amat berharga iaitu petroleum. Jika lebih banyak plastik kita gunakan hari ini, berkuranglah bekalan petroleum kita pada masa hadapan.

Bahan-bahan plastik tidak mudah dilupus dan dihapuskan dari muka bumi. Sekiranya dibakar, ia akan membebaskan karsinogen, satu bahan penyebab kanser. Sekiranya ditanam, bahan toksin di dalamnya boleh menyerap ke dalam tanah dan memasuki sumber air kita dan juga menyebabkan tanah tidak sesuai dijadikan kawasan pertanian. Binatang yang menyangka bahawa bahan plastik itu adalah makanan dan menghadamnya boleh mati apabila termakan bahan tersebut.

Satu kajian lagi menunjukkan bahawa plastik mengandungi satu bahan yang dikenali sebagai sebatian organik Bis (2-ethylhexyl) phthalate atau lebih dikenali sebagai DEHP atau phthalates yang disebut THA-lates iaitu satu bahan yang akan membuatkan bahan plastik menjadi lembut dan mudah lentur. Penyelidik di Universiti Harvard pada tahun 2002 berjaya membuat penemuan baru mengenai kesan kimia phthalates yang mampu merosakkan DNA sperma manusia. Walaupun pengeluar mengatakan dos phthalates yang digunakan mematuhi syarat standard pengeluaran, namun dalam tempoh yang panjang, pengguna sebenarnya terdedah secara berterusan kepada kimia ini yang mampu memudaratkan nyawa manusia.

Justeru itu, kita harus bijak menggunakan bahan yang diperbuat dari plastik seperti beg, botol dan sebagainya agar tidak mencemarkan alam sekitar kita. Antara tindakan yang boleh kita lakukan dalam penggunaan plastik secara bijak ialah membawa beg atau bekas seperti raga atau bakul rotan dari rumah ketika pergi membeli barangan di pasar atau pasar raya. Dengan cara ini kita telah mengurangkan penggunaan beg plastik yang dibekalkan oleh penjual. Botol plastik air mineral boleh digunakan semula untuk membawa air ke sekolah atau ke pejabat. Sekiranya beg plastik atau bekas-bekas plastik ini tidak boleh digunakan lagi, hantarlah ke pusat-pusat kitar semua. Jangan dibuang sesuka hati kerana kesannya kepada alam sekitar amat buruk.

Kita harus sedar bahawa dewasa ini kekerapan kita menggunakan beg-beg plastik untuk mengisi barang semakin bertambah. Begitu juga dengan bekas-bekas plastik yang lain seperti botol air mineral, plastik pembungkus ais krim, roti, sayur, buah dan sebagainya. Jikalau beberapa dekad dahulu, kertas atau surat khabar lama digunakan untuk membungkus barang keperluan harian di kedai-kedai runcit atau pasar, kini ia telah digantikan hampir sepenuhnya oleh plastik. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa statistik rakyat Malaysia membuang plastik yang sebenarnya boleh dikitar semula bernilai kira-kira RM163 juta. Dalam erti kata lain, masyarakat Malaysia masih kurang peka terhadap keadaan alam sekeliling yang semakin merosot tanpa mengambil pendekatan yang serius serta memandang mudah masalah ini.

Kajian di beberapa buah negara menunjukkan bahawa pengguna lazimnya malas membawa beg sendiri ketika membeli-belah. Justeru itu mereka lebih cenderung menerima beg plastik yang diberi oleh penjual. Sebenarnya penjual boleh menggalakkan pengguna menggunakan beg kain ketika membeli-belah dengan menyediakan beg tersebut dengan mengenakan bayaran atau meminta pengguna menggunakan semula beg plastik.

Membawa beg sendiri apabila membeli-belah juga memberikan banyak kelebihan sebenarnya dan barangan kecil yang dibeli tidak perlu dibungkus menggunakan beg plastik. Kita juga digalakkan membawa bekas sendiri apabila hendak membeli makanan yang biasanya dibungkus. Terdapat juga pasar raya hyper merekacipta beg plastik yang akan terlerai sendiri dalam masa beberapa bulan dan ia mengurangkan masalah sampah.

Antara manfaat yang bakal kita perolehi dengan membawa beg sendiri dari rumah ialah, kita mudah membawa barang sama ada kecil mahupun besar dan tidak mudah tercicir semasa membeli-belah. Kita juga tidak perlu menghabiskan masa membuka bungkusan satu persatu dan sampah juga berkurangan kerana biasanya plastik bersaiz kecil tidak digunakan semula. Membungkus makanan dalam bekas yang kita bawa lebih terjamin dari aspek kebersihan kerana kita sendiri yang mencuci malah masa membeli juga dapat dijimatkan.

Plastik memerlukan lebih daripada program kitar semula yang biasa dan teknologi yang digunakan haruslah berkesan untuk menyelesaikan isu ini. Masalah yang kita hadapi sehingga sekarang ialah kita masih belum mampu menetapkan peraturan yang ketat dan konsisten seperti yang diamalkan oleh beberapa buah negara Eropah yang mewajibkan pengguna membawa beg sendiri yang dikenali sebagai Green Bag sebagai ganti beg plastik ketika membeli-belah. 

Sebagai contoh, Australia Selatan telah melarang penggunaan beg plastik untuk mengisi barangan yang dibeli. Larangan ini telah mengurangkan jumlah sampah di tapak pelupusan, di jalan, di taman dan aliran air. Pengguna akan diberi beg kompos selain beg yang boleh digunakan semula dengan mengenakan sedikit bayaran. Pembeli juga perlu menyediakan green bags atau membayar sehingga A25 sen di kedai utama untuk beg tersebut. Larangan ini berjaya mengurangkan 400 juta beg plastik daripada sampah di Selatan Australia setiap tahun.

Tuntasnya, pihak yang bertanggungjawab telah bersinergi bagai aur dengan tebing berhempas pulas menghasilkan satu tenaga yang efisien merealisasikan program-program supaya mengecapi aspirasi menangani kemelut ini. Sebagai contoh apabila kita pergi ke pasar raya lazimnya, kita akan dikenakan bayaran sebanyak RM0.20 bagi setiap beg plastik yang disediakan. Pernahkah kita terfikir apakah yang akan terjadi sekiranya bilangan bahan buangan yang sinonim dengan plastik ini semakin meningkat dengan optimum di muka bumi ini?

Kesimpulannya, tidak perlulah kita bersikap evasif kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Apa juga keputusan, berada di tangan kita sendiri. Kitalah yang berkuasa untuk mencaturkan kelestarian alam ini. Sebagai pengguna yang bijak, marilah kita sama-sama mengorak langkah menggunakan plastik seoptimum mungkin bagi mengurangkan penggunaan apa juga bahan yang diperbuat dari plastik mulai saat ini. Semailah amalan murni ini kepada generasi muda agar mereka menjadi generasi yang peka dengan kelestarian alam.

JAMINAN SUMBER TENAGA UNTUK MASA DEPAN

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

TENAGA merupakan elemen penting dalam memacu perkembangan ekonomi sesebuah negara. Tenaga juga bukan sahaja diperlukan untuk tumbesaran dan pergerakan malah meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuk aplikasi sistem yang canggih, perindustrian, pengangkutan, pertanian, pencahayaan dan sebagainya.

Sukar dibayangkan sekiranya negara kita tidak mempunyai bekalan tenaga elektrik atau kehabisan bekalan gas, diesel atau petrol. Mungkin sukar untuk kita ke sesuatu tempat tanpa kenderaan. Suri rumah atau pengusaha restoran mungkin tidak dapat menyediakan juadah kerana ketiadaan gas memasak. Jalan raya juga mungkin kacau-bilau akibat lampu isyarat yang tidak berfungsi. Lampu jalan yang tidak berfungsi menambah lagi kegelapan malam. Mereka yang bekerja di bangunan tinggi juga tentu kepenatan menaiki tangga akibat lif yang tidak berfungsi lantaran ketiadaan elektrik. Justeru, tanpa tenaga, tidak dapat dibayangkan bagaimana kehidupan di dunia kini.

Malaysia dikurniakan sumber-sumber tenaga semula jadi seperti minyak dan gas asli, tetapi tidak terkecuali daripada berhadapan dengan situasi kepupusan sekiranya sumber-sumber tersebut tidak diuruskan dengan baik. Sumber-sumber semula jadi tersebut dijangkakan semakin menyusut dan peningkatan kebergantungan kepadanya secara berterusan memerlukan negara mengimportnya dari luar negara.

Kebanyakan sumber penjanaan elektrik di Malaysia berasaskan kepada sumber-sumber bahan api fosil. Contohnya di Sabah, penjanaan elektrik menggunakan 50.1% bahan api gas, 40.5% berasaskan diesel dan medium fuel oil, 6.5% daripada sumber hidro dan selebihnya dari sumber tenaga boleh diperbaharui. Kebergantungan yang besar kepada bahan api fosil dengan sumbernya diimport akan memberikan satu cabaran kepada jaminan keselamatan tenaga. Oleh itu, langkah-langkah sewajarnya telah dirangka dalam memastikan negara dapat menghadapi pasaran tenaga yang semakin kompetitif pada masa hadapan dengan memastikan energy security sentiasa berterusan.

Di samping energy security yang merupakan agenda utama Kerajaan dalam memastikan pembekalan elektrik negara yang mapan, aspek alam sekitar juga telah diberi penekanan serius. Sektor industri dan penjanaan elektrik mewakili sekitar dua pertiga daripada global energy-related carbon dioxide (CO2) emission dan memainkan peranan penting dalam menangani isu perubahan iklim ekoran daripada fenomena pemanasan global. Fenomena ini adalah satu keadaan di mana alam sekitar mengalami peningkatan suhu tinggi berbanding suhu normal. Peningkatan suhu ini kemudiannya boleh menyebabkan berlakunya pelbagai kesan buruk seperti banjir, kemarau, krisis makanan dan sebagainya.

Pelbagai dasar telah digubal oleh Kerajaan dalam memastikan kemapanan sektor pembekalan elektrik negara termasuklah di Sabah dan Sarawak. Antara aspek penting dititikberatkan adalah kecekapan tenaga yang mana telah ditekankan sejak pengenalan Dasar Tenaga Negara 1979 lagi. Dasar ini telah menggariskan tiga objektif utama yang mana salah satu daripadanya adalah untuk mempromosikan penggunaan tenaga dengan cekap serta mengelakkan pembaziran dan penggunaan tenaga tidak produktif. Objektif dasar ini bertujuan untuk membantu usaha ke arah memastikan sumber-sumber tenaga dipelihara dan diuruskan dengan baik untuk kemapanan masa hadapan. Secara tidak langsung, akan dapat membantu memastikan jaminan energy security yang berterusan di Malaysia serta menyumbang kepada usaha menangani fenomena pemanasan global.

Kerajaan juga telah menggubal Pelan Induk Kecekapan Tenaga Negara. Pelan induk ini menjadi pemangkin kepada penggunaan tenaga dengan cekap di Malaysia, dan menghasilkan impak lebih besar. Beberapa inisiatif kecekapan tenaga telah dikenal pasti dan digariskan di bawah pelan induk ini yang merangkumi sektor industri, bangunan, komersial dan domestik. Pelan induk tersebut juga telah dinilai oleh pakar-pakar kecekapan tenaga daripada negara-negara Asia Pacific Economic Cooperation (APEC) dan pandangan yang positif telah diterima daripada mereka. Dengan adanya pelan induk tersebut, pelaksanaan kecekapan tenaga di Malaysia dapat ditingkatkan dan ditambah baik ke arah membantu penggunaan dan pengurusan sumber tenaga secara cekap dan mapan setanding dengan negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan sebagainya.

Penggunaan lampu kebiasaannya akan menyumbang kepada 10% atau kurang bagi keseluruhan jumlah bil elektrik. Kos ini boleh dikurangkan dengan penggunaan lampu cekap tenaga dan dianggarkan pengguna-pengguna akan dapat menjimatkan sebanyak RM336 juta setahun dalam penggunaan elektrik negara. Terdapat beberapa jenis lampu cekap tenaga yang boleh digunakan, antaranya ialah lampu Compact Flourescent Light (CFL), lampu flourescent tube T5, lampu Light Emitting Diode (LED) dan sebagainya. Lampu Compact Flourescent Light (CFL) umpamanya, menggunakan hanya 20% tenaga elektrik bagi menghasilkan pencahayaan yang sepadan. Selain itu, jangka hayatnya juga adalah lapan kali lebih lama daripada lampu mentol biasa.

Selain daripada penggunaan lampu, kecekapan peralatan elektrik lain yang digunakan di rumah seperti peti sejuk, penyaman udara, televisyen, kipas, mesin basuh, pemanas air dan sebagainya juga boleh membantu penjimatan dalam bil elektrik bulanan. Pihak Suruhanjaya Tenaga telah membangunkan sistem penarafan atau rating system untuk peralatan elektrik di Malaysia bagi membantu pengguna membuat pemilihan peralatan elektrik yang sesuai di rumah. Di bawah sistem pelabelan ini, sesuatu peralatan elektrik akan diuji berpandukan Minimum Energy Performance Standard (MEPS) untuk menentukan penggunaan elektriknya sebelum ia dikategorikan sebagai peralatan elektrik bertaraf 1, 2, 3, 4 atau 5 bintang. Sehingga kini, empat peralatan elektrik yang biasa digunakan di rumah telah dilabelkan iaitu peti sejuk, penyaman udara, televisyen dan kipas.

Aspek kecekapan tenaga turut didokong dalam National Key Economic Areas (NKEA) melalui Entry Point Project 9 (EPP9) iaitu meningkatkan kecekapan tenaga. Di bawah EPP9 tersebut, strategi untuk meningkatkan kecekapan tenaga telah dilaksanakan yang antaranya melibatkan pelaksanaan Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency atau dikenali sebagai Program SAVE. Program SAVE ini telah dilancarkan pada 7 Julai 2011 merupakan satu program khas kerajaan dengan mensasarkan penjimatan tenaga bagi tempoh jangka masa singkat dan panjang. Pada peringkat awal, program SAVE telah melibatkan pelaksanaan inisiatif new appliances yang memperkenalkan prinsip pemberian rebat kepada pengguna untuk pembelian peralatan elektrik cekap tenaga bertaraf lima bintang iaitu peti sejuk dan penghawa dingin bagi sektor domestik serta chillers untuk sektor komersial.

Sesungguhnya, Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha untuk mencari dan menjana tenaga diperbaharui sebagai bekalan tenaga untuk masa depan khususnya untuk kehidupan sejahtera generasi akan datang. Antara usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan ialah dengan menubuhkan Pusat Tenaga Malaysia (PTM) pada 1998 untuk mengkoordinasi dan mengurus program kajian dan pembangunan mengenai tenaga dan mempromosikan penggunaan tenaga diperbaharui di Malaysia.

Tidak dapat dinafikan, Malaysia bergantung kepada tenaga untuk pembangunan dan perkembangan ekonominya. Walaupun Malaysia mengeluarkan petroleum sendiri untuk kegunaan tempatan tetapi dalam jangka masa panjang, bahan mentah di perut bumi ini akan kehabisan. Justeru kerajaan telah membangunkan sendiri tenaga yang diperbaharui untuk memastikan bekalan tenaga ini dapat dipertahankan dan seterusnya negara dapat terus membangunkan ekonominya.

Tenaga diperbaharui berbeza dengan bahan api fosil kerana bekalan tenaga ini akan kekal untuk selama-lamanya. Umumnya, tenaga diperbaharui boleh dijana daripada beberapa sumber seperti tenaga geoterma, tenaga ombak, tenaga suria, tenaga hidro, tenaga nuklear, tenaga angin, tenaga biogas, tenaga biomass dan tenaga biojisim.

Tenaga suria diperolehi melalui pancaran cahaya matahari. Malaysia berpotensi untuk projek menjana tenaga suria kerana menerima pancaran cahaya matahari selama enam jam sehari dan tenaga ini adalah percuma serta menyeluruh. Tenaga suria banyak digunakan di kawasan pedalaman untuk mendapatkan bekalan elektrik dengan menggunakan panel Solar PV. Penduduk di kawasan pedalaman Sarawak dapat menikmati bekalan elektrik dengan adanya kemudahan solar.

Selain itu, tenaga suria ini juga membekalkan tenaga untuk alat perhubungan telefon awam seperti di Pulau Aman dan kawasan pedalaman Sawarak. Tenaga ini juga digunakan dalam bidang pertanian iaitu untuk mengasingkan kepingan getah. Di kawasan bandar, penggunaan alat pemanas solar popular di rumah serta di hotel. Di Malaysia, projek menjana tenaga suria telah dibina di Teluk Apan di Pulau Langkawi dan Kampung Hulu Tembeling di Pahang.

Selain tenaga suria, tenaga hidro juga adalah tenaga yang amat penting sebagai salah satu sumber tenaga diperbaharui. Tenaga hidro digunakan sebagai bekalan air, kawalan banjir, pengairan dan tujuan rekreasi. Malaysia adalah negara yang berpotensi untuk menjana tenaga hidro. Melalui tenaga hidro inilah terjadinya hidroelektrik. Bekalan elektrik di negara banyak bergantung kepada tenaga hidro. Antara tempat penjanaan kuasa hidroelektrik ialah di Empangan Chenderoh dan Empangan Bakun. Kuasa hidroelektrik ini sesuai digunakan kerana mudah diperbaharui, tidak habis, murah dan bersih serta tidak mencemarkan alam sekitar.

Selain tenaga suria, ombak juga merupakan salah satu sumber tenaga alternatif yang boleh dibangunkan untuk penjanaan tenaga elektrik. Kita bersyukur kerana hampir keseluruhan negeri di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak dikelilingi oleh laut. Negara maju seperti Portugal telah lama memajukan tenaga ombak untuk bekalan elektrik mereka. Tenaga ombak boleh digunakan untuk penduduk-penduduk yang tinggal di pesisir pantai dan juga untuk operasi pelabuhan-pelabuhan di dalam negara.

Tenaga geoterma pula dihasilkan oleh aktiviti magma dalam perut bumi. Jika tenaga ombak terhasil daripada peredaran bumi yang menghasilkan air pasang surut, tenaga nuklear pula dihasilkan daripada pembelahan nukleus unsur-unsur tidak stabil bahan radioaktif. Ada ura-ura mengatakan bahawa Malaysia juga berhasrat untuk memajukan tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik. Sehingga kini ia masih di peringkat perbincangan dan keputusannya belum diumumkan lagi oleh kerajaan. Banyak isu keselamatan dan pandangan pakar perlu diambil kira sebelum memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik. Namun begitu teknologi sinaran nuklear telah banyak dimajukan untuk kegunaan dalam bidang perubatan dan pertanian yang sedang giat dijalankan oleh Agensi Nuklear Malaysia.

Manakala tenaga biomass diperolehi daripada hampas kelapa sawit. Sisa pertanian itu menghasilkan biogas seperti metana sebagai bahan pembakar untuk tujuan memasak. Tenaga ini sesuai digunakan kerana terdapat banyak ladang kelapa sawit di Malaysia dan menghasilkan 8.5 juta tan sisa buangan buah kelapa sawit yang dapat menghasilkan dua juta tan minyak (metana). Secara tidak langsung, ia telah menyumbangkan enam peratus keperluan bekalan tenaga negara. Penggunaan tenaga biomass ini semakin meluas digunakan di seluruh negara kerana ia menjimatkan sumber tenaga dan murah.

Malaysia juga mengambil inisiatif dalam mempelbagaikan sumber tenaga dengan menggunakan tenaga angin sebagai sumber tenaga diperbaharui. Angin telah digunakan sebagai sumber kuasa berjuta-juta tahun dulu. Kincir angin telah dibina di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak pada Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995). Kincir angin ini telah membekalkan kapasiti 150 kiloWatt (KW).

Satu lagi sumber tenaga yang diperbaharui ialah tenaga biogas dan tenaga biojisim. Tenaga suria hidrokarbon yang boleh diperbaharui disimpan dalam bentuk biojisim dan juga biogas. Biojisim yang terdapat dalam tumbuhan dianggap sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui kerana tumbuhan boleh ditanam berulangkali. Biogas pula terhasil daripada bahan organik yang ditindakbalaskan oleh mikroorganisma tanpa kehadiran oksigen atau udara yang menghasilkan gas metana dan karbon dioksida. Gas metana merupakan bahan bakar paling baik dan tidak mencemarkan alam, tetapi sekiranya dilepaskan ke udara boleh mengakibatkan kesan rumah hijau.

Sementara biodiesel adalah sejenis bahan api yang boleh diperbaharui sama ada dalam bentuk cecair atau gas yang diperolehi dari biomass (bakteria, tumbuhan atau haiwan). Paling utama, ia boleh diperbaharui dan diperolehi dengan cepat, tidak seperti bahan api fosil, yang juga datang dari bahan biologi, tetapi mengambil berjuta-juta tahun untuk membentuk. Biodiesel terutamanya merujuk kepada bahan api diesel yang berasaskan minyak tumbuhan atau lemak haiwan.

Biodiesel biasanya dihasilkan melalui tindak balas kimia lipid dan dihasilkan dari minyak tumbuhan atau lemak haiwan, Biodiesel boleh digunakan sendirian, atau dicampur dengan petrodiesel. Ini dapat mengurangkan kegunaan bahan api fosil yang semakin berkurangan. Biodiesel bertujuan untuk digunakan dalam enjin diesel piawaian dan dengan itu berbeza dari minyak sayuran langsung yang digunakan sebagai bahan api enjin diesel diubah suai.

Tenaga adalah istilah yang sedang hangat dibicarakan pada masa kini iaitu selepas internet, bioteknologi dan nanoteknologi. Bak kata Geoffrey Carr, seorang kolumnis majalah The Economist ‘masa hadapan bergantung kepada kuasa dan tenaga’. Tenaga sangat diperlukan dalam semua aktiviti manusia. Oleh yang demikian tenaga amat diperlukan terutama dalam proses pembangunan sesebuah negara. Lebih pesat pembangunan yang dijalankan, lebih banyak tenaga yang perlu dihasilkan untuk memenuhi pembangunan tersebut.

Masa hadapan dalam menghadapi krisis tenaga kesan dari kenaikan harga minyak dan kos penggunaan tenaga elektrik yang tinggi ialah penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui. Negara kita Malaysia telahpun bergerak ke hadapan dengan pelbagai usaha ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui demi kelangsungan pembangunan negara dan juga kesejahteraan hidup generasi akan datang. Kerajaan juga telah melaksanakan satu sistem pengurusan sumber berkesan bagi menjamin bekalan dan penggunaan tenaga berterusan bagi kegunaan manusia pada masa depan.

Malaysia merupakan negara yang kaya dengan kepelbagaian sumber asli, yang menjadi asas penting dalam penghasilan tenaga. Selaras matlamat Dasar Tenaga Negara untuk membekalkan Malaysia dengan tenaga mencukupi, terjamin dan murah, kerajaan telah bergerak pantas dalam usaha menangani fenomena kenaikan harga bahan api dan krisis tenaga yang berterusan dengan melihat potensi tenaga alternatif.

 

CUACA PELIK DUNIA TIDAK MENANTU

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SEJARAH dunia beberapa tahun kebelakangan ini telah mencatatkan satu perkembangan yang pelik. Pelik dengan bahang panas melampau di Amerika Syarikat dan Eropah tetapi keadaan sebaliknya di negara panas, Afrika Selatan yang dilitupi salji. Tidak ketinggalan beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas, termasuk berstatus taufan raksasa menggegarkan China ketika banjir terus menelan korbannya dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India.

Keadaan cuaca tidak menentu itu menyaksikan beratus-ratus kematian dalam sekelip mata manakala lebih sejuta lain hilang tempat tinggal. Nilai kerugian akibat kehilangan jiwa dan kemusnahan harta benda mencecah berbilion dolar. Inilah senario terkini keadaan cuaca dunia yang lebih banyak pelik daripada kebiasaannya. Catatan rekod daripada panas dan sejuk melampau selain rentetan satu demi satu taufan ganas yang seakan tidak memberi ruang bagi negara mangsa untuk bernafas.

Keadaan diburukkan lagi dengan ancaman gempa bumi kian kerap dengan catatan skala Richter lebih daripada sederhana sehingga menyebabkan amaran ombak besar atau tsunami yang amat asing bagi rantau Asia Pasifik, kini berlaku hampir setiap bulan. Pendek kata, bukan saja perkembangan politik dunia diselubungi pelbagai kekacauan, tetapi rekod alam sekitar juga tidak terkecuali kelam-kabutnya sebagaimana yang ketara di beberapa negara.

Namun, antara contoh ketara adalah membabitkan kejutan perbezaan cuaca ketara benua Eropah dan Amerika dengan Afrika. Apa tidaknya, Eropah dan Amerika yang lebih diketahui menikmati cuaca sejuk sebaliknya diselubungi panas melampau dengan paparan rakyatnya kepanasan terpampang di kebanyakan media utama dunia baru-baru ini. Keadaan sebaliknya berlaku di bahagian selatan dua benua itu apabila Afrika Selatan yang sudah sinonim dengan cuaca panas, sebaliknya menyaksikan kehadiran salji buat kali pertama sejak 1981.

Cuaca sejuk melampau di kawasan termasuk bandar Soweto, selatan Johannesburg dan kawasan penempatan eksklusif di Sandton mencatatkan suhu sehingga 1 darjah Celsius. "Salji yang turun itu menjadi satu fenomena unik bagi kami kerana ia jarang berlaku di negara ini. Cuaca sejuk memang berlaku tetapi tidaklah sehingga menurunkan salji," kata Kevin Rae, Timbalan Pengurus Jabatan Kaji Cuaca Afrika Selatan di Pretoria yang dipetik media tempatan. Ketika penduduk Afrika Selatan memakai baju sejuk dengan anak kecilnya riang bermain salji, warga Amerika dan Eropah lebih selesa berpakaian tipis dan merendamkan kaki di air pancut akibat cuaca panas melampau. Kajian terbaru membuktikan pembentukan awan jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya menyebabkan beberapa habitat hidupan liar kekeringan dan menjejaskan perubahan flora dan fauna.

Antara tahun 2000-2005, di Amerika, korban cuaca panas itu mencecah lebih 200 orang termasuk 164 orang di California dan selebihnya dilaporkan di New York dan Chicago. Keadaan itu menyebabkan berlakunya kejadian bekalan elektrik terputus. Di Eropah pula sekurang-kurangnya 29 orang maut di Paris akibat panas melampau. Namun fenomena sepanjang Julai 2005 masih terkawal dan tidak seburuk kejadian pada tahun 2003 apabila sekurang-kurangnya 15,000 maut di Perancis dan 20,000 lain di Itali akibat cuaca panas yang keterlaluan.

Pada tahun 2005, musim taufan Atlantik paling aktif dengan rekod 26 ribut dan 14 puting beliung yang tujuh daripadanya mencecah Kategori 3 ke atas. Buat kali pertama, taufan ganas Katrina, Rita dan Wilma terbentuk dalam satu musim. Bumi semakin panas keadaan tahun 2006 menyamai tahun 1998 sebagai tempoh paling panas. Kemarau dan panas kering menyebabkan musim kebakaran hutan yang memusnahkan lebih 8.5 juta ekar kawasan dunia yang jauh mengatasi fenomena sama pada tahun 2000.

Ramai kalangan saintis mengaitkan keadaan pelik itu sebagai kesan pemanasan global - satu keadaan yang dijangka berlarutan akibat pencemaran gas rumah hijau hasil pembakaran bahan fosil yang terperangkap dalam atmosfera. Biarpun sukar membuktikannya, seperti diakui Asher Timms, pegawai Pusat Penyelidikan Perubahan Cuaca Tyndall di Britain, corak cuaca bumi kini berubah. Akibatnya paras air laut semakin meningkat yang berkait rapat dengan salji yang semakin berkurangan atau cair di kebanyakan kawasan pergunungan serta bungkah ais Greenland yang mencair. Ini menyebabkan air laut semakin panas dan menyebabkan taufan makin ganas berlaku dengan kerap.

Malah antara bukti taufan yang mengganas adalah di China yang menyaksikan kemusnahan akibat serangan tiga taufan dalam tempoh sebulan. Dimulai taufan Bilis, Prapiroon dan terbaru taufan raksasa Saomai dengan angin selaju 216 kilometer sejam. Serangan taufan itu menyaksikan banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan hampir 1,000 orang terbunuh termasuk 600 akibat taufan Bilis saja. Keadaan banjir itu turut meragut nyawa di ceruk lain dunia seperti di Korea Utara, India dan di Habsyah. Malah di Habsyah selain 254 kematian, seramai 250 orang masih hilang sehingga hari ini.

Apa yang pasti, keadaan cuaca yang tidak menentu itu diperakui sejak beberapa tahun lalu yang membawa kepada penubuhan satu agensi khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Intergovernmental Panel non Climate Change (Panel Perubahan Cuaca) pada tahun 1988. Fenomena pelik cuaca ini dikatakan akibat dari pemanasan global.

Istilah pemanasan global atau global warming dikaitkan dengan kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang mengganggu keseimbangan sistem-sistem bumi khususnya sistem atmosfera. Daripada sudut imbangan haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya ketidakseimbangan dalam bajet haba. Input haba yang diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding dengan outputnya.

Oleh sebab itulah berlakunya kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau makro. Menurut Professor James.G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat: ‘Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah celcius pada setiap lima tahun bermula tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah celcius.’

          Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui Kesan Rumah Hijau dan juga Penipisan Lapisan Ozon. Walaupun terdapat punca-punca semulajadi tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Antaranya ialah aktiviti perindustrian, penyahutanan untuk pelbagai tujuan, pembebasan cloroflorokarbon (CFC), punca kenderaan, pembakaran terbuka dan yang paling dashyat adalah melalui ujian nuklear. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas karbon dioksida.

Menurut Anthony Milne dalam bukunya Our Drowing World, Population, Pollutions and Future Weather, bab 5 – The Green House Effect: ‘Bahan-bahan pencemar terutamanya karbon dioksida dan metana membentuk satu kubah atau lapisan yang menyelimuti ruang atmosfera. Lapisan ini bertindak membenarkan bahangan matahari menembusinya tetapi memerangkap bahangan bumi daripada keluar.’

Justeru itu tenaga matahari akan berkitar di dalam ruang atmosfera bumi yang sama dan bumi dipaksa menerima lebihan tenaga haba. Dianggarkan sejak revolusi industri di Eropah sebanyak 400, 000 billion tan karbon dioksida telah dibebaskan ke atmosfera dan pada masa kini sahaja hampir 5.5 billion tan molekul karbon dioksida dilepaskan ke atmosfera pada setiap tahun. (Anthony Milne, Ibid; m.s. 64 –65).

Penipisan lapisan ozon pula berlaku di ruang statosfera. Ozon sebenarnya terdiri daripada tiga molekul oksigen yang terikat di antara satu sama lain secara ikatan kovalen. Lapisan ozon mempunyai fungsi yang penting untuk menapis, menyerap, menyerak dan memantul sinar lembayung matahari daripada terus terpancar ke bumi. Ozon akan menipis apabila CFC dan gas HALON yang dibebaskan oleh manusia melalui aktiviti industri menyerang dan memutuskan ikatan kovalen tiga atom oksigen tersebut.

Lebih dahsyat daripada itu lapisan ozon juga bocor dan berlubang akibat ujian peluru berpandu manusia. Terbentuknya banyak lubang ozon di benua Antartika menjadi bukti kegilaan manusia. Apabila ozon menipis dan berlubang maka sinar UV yang membawa bahangan dan tenaga matahari terpaksa diterima dengan banyak oleh bumi. Kesannya suhu dunia akan meningkat.

          Kesan daripada pemanasan global ini cukup banyak misalnya ia boleh mencairkan litupan ais di kutub atau kawasan pergunungan tinggi, membanjiri laut seterusnya meningkatkan kadar hakisan ombak yang akan menyempitkan lagi saiz pantai sesebuah negara. Selain itu risiko penenggelamkan kawasan daratan yang rendah juga boleh berlaku akibat kenaikan aras laut. Di kawasan sub gurun pula boleh menggalakkan proses pengurunan. Kawasan gurun semakin lama semakin membesar menghala ke pinggirnya.

Di samping itu suhu dunia yang panas juga boleh memangkinkan kejadian El-Nino apabila suhu laut dan arus lautan turut menjadi panas lalu mengubah sistem cuaca dunia, memanjangkan tempoh musim kemarau atau panas, kejadian jerebu, kekurangan air dan lain-lain lagi yang memudaratkan manusia. Akibat yang paling menakutkan ialah kepupusan flora dan fauna.

          Flora dan fauna merupakan elemen yang banyak membantu kehidupan manusia. Flora sendiri adalah penyumbang oksigen terulung di alam maya ini manakala fauna pula adalah agen pembiakan flora. Sekiranya kedua-kedua elemen ini tidak wujud, maka kehidupan manusia juga akan lenyap.

          Suhu yang terlalu panas akibat dari pemanasan global boleh menyebabkan hutan dan kepelbagaian biologinya (biodiversiti) diancam kepupusan. Hutan sememangnya kaya dengan kepelbagaian spesies. Misalnya Hutan Hujan Amazon yang luasnya 0.5 billion hektar mempunyai berjuta spesies haiwan dan tumbuhan. Bagi satu hektar hutan Amazon terdapat 750 jenis spesies haiwan, dan 1,500 jenis spesies tumbuhan.

Kesan yang paling membimbangkan akibat pemanasan global ialah terhadap kepelbagaian biologi. Spesies fauna dan flora diancam kepupusan sehingga kita tidak sempat menjalankan pemuliharaan. Dijangkakan menjelang tahun 2010 lebih daripada 2 juta spesies haiwan dan serangga akan lenyap dari muka bumi ini dan tidak dapat dijangkakan berapa banyak lagi spesies yang akan lenyap apabila kita melangkah masuk ke alaf akan datang nanti.

Selain daripada spesies dan genetik fauna (haiwan) serta flora (tumbuhan) musnah akibat pemanasan global, elemen-elemen biodiversiti yang lain juga turut musnah. Pertamanya ialah habitat (tempat tinggal). Hutan menjadi habitat utama untuk haiwan membentuk lingkungan dan meneruskan generasinya. Apabila habitat musnah, haiwan juga akan turut musnah atau berlakunya penghijrahan spesies untuk mencari habitat yang baru yang terpaksa pula menghadapi persaingan. Kedua, kemusnahan ekosistem terutamanya rantaian makanan. Apabila tumbuhan dieksploitasi, ia gagal menjalankan fungsinya sebagai pengeluar makanan kepada masyarakat pengguna hutan termasuk kita manusia. Justeru pengguna primer (herbivor), sekunder (karnivor) dan tertiar (omnivor) turut kehilangan sumber-sumber makanannya.

          Selain daripada kemusnahan kepelbagaian biologi, pemanasan global juga dikenalpasti akan mengubah cuaca dunia. Hal ini dipersetujui bersama oleh 142 buah negara yang menghadiri Sidang Puncak Bumi di Rio De Janerio, Brazil pada tahun 1992. Dalam konvensyen Perubahan Cuaca Dunia, kata sepakat telah dicapai berhubung dengan peranan hutan dalam mengimbangi lebihan karbon dioksida di atmosfera. Hutan sememangnya berupaya menyerap dan menyimpan karbon dioksida serta dalam masa yang sama membebaskan oksigen. Misalnya Hutan Amazon menghasilkan kira-kira 20% daripada bekalan oksigen dunia. Oleh itu fungsi menyimpan karbon dan membebaskan oksigen ini sekaligus dapat mengurangkan kesan rumah hijau.

Hutanlah sebenarnya yang bertindak sebagai stok atau penyimpan karbon dioksida terbesar di dunia. Apabila hutan musnah, perlepasan karbon dioksida akan terus berlaku yang boleh menyumbangkan kepada pemanasan global yang semakin dahsyat.

Kesimpulannya, pemanasan global boleh memberi kesan yang amat membimbangkan kepada flora dan fauna. Flora dan fauna boleh luput dari pandangan dan secara tidak langsung akan menyebabkan nafas hidup kita juga akan tersekat.

TEPIAN AKAL LUBUK PEMBACAAN

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

TABIAT membaca merupakan satu amalan yang baik untuk mendedahkan diri seseorang kepada ilmu pengetahuan dan sesuatu peristiwa. Tidak ramai mahu menerima fakta bahawa membaca itu boleh membina minda berilmu, saling tidak tumpah seperti peranan makanan untuk menghasilkan tubuh badan yang sihat. Samalah seperti pembacaan yang menjadi ‘makanan’ untuk menjadi katalis kepada minda seseorang.

Lord Bacon, ahli falsafah Inggeris ada berkata bahawa membaca akan menjadikan seseorang itu berisi. Maksudnya membaca ialah suatu aktiviti yang akan membangunkan intelek, membentuk pemikiran kreatif, kritis, proaktif, inovatif dan dinamis seterusnya boleh mengubah seseorang itu menjadi progresif. Masyarakat Jepun umpamanya, cemerlang dalam membangunkan negaranya dalam masa yang singkat setelah kemusnahan Nagasaki dan Hiroshima berkat suka membaca dan menimba ilmu.

Perubahan yang terdapat dalam diri masyarakat Jepun akibat pembacaan sudah cukup untuk membuktikan bahawa membaca itu boleh menjadi katalis minda seseorang khususnya pelajar. Pelajar sebenarnya mampu membentuk minda mereka menjadi insan yang lebih progresif melalui pembacaan.

Statistik terbaharu melalui NOP World Culture Score Index menunjukkan bahawa· India merupakan negara yang paling banyak menghabiskan masa dengan membaca, iaitu melebihi 10 jam seminggu. Diikuti dengan Thailand dan China yang rata-ratanya membaca selama 8 hingga 9 jam seminggu. Realiti yang agak menyedihkan ialah Malaysia tidak termasuk dalam senarai NOP World Culture Score Index, atau lebih tepatnya budaya membaca di Malaysia tidak melebihi 3 jam seminggu.

Menurut kajian Pasukan Analisis Picodi.com sebuah agensi kepenggunaan yang menjalankan kajian mengenai minat membaca dan membeli buku dalam kalangan rakyat Malaysia mendapati bahawa 76 peratus atau 18 juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas boleh diklasifikasikan sebagai sasaran pembaca buku yang berdaya beli.

Sebaliknya 22 peratus (5.5 juta) pada kumpulan usia sama, menyatakan langsung tidak berminat dengan buku dan bahan bacaan. Angka 5.5 juta ini ialah purata responden yang dikaji dan menyatakan jawapan: ‘Tidak membeli walaupun sebuah buku sepanjang 2018.’
 
Katalis Minda
 
Membaca boleh menjadi katalis kepada minda kerana membaca ialah kaedah mencari, memiliki dan mengembangkan ilmu dalam diri seseorang. Budaya membaca dan budaya ilmu yang seiring akan memajukan seseorang individu. Perkara ini boleh menjadi katalis kepada minda kerana individu yang minat membaca akan memperoleh ilmu pengetahuan dan berupaya untuk maju dan cemerlang. Namun begitu, antara masalah untuk membaca ialah kerana:
 
  1. Belum wujud budaya membaca dalam masyarakat kita dan penumpuan lebih kepada budaya chatting dan lepak.
  1. Pengaruh kuat media elektronik atas budaya ingin membaca yang telah mengalih perhatian daripada membaca kepada ingin menonton.
  1. Sikap kebanyakkan masyarakat Malaysia sangat berkira jika hendak membeli bahan bacaan, tetapi tidak pula begitu semasa membeli bahan-bahan mewah.
  1. Membaca dianggap sebagai suatu proses yang terlalu intelektual khusus untuk satu golongan tertentu sahaja dan bukan untuk semua golongan.
  1. Mudah terpengaruh dengan rakan sebaya yang sentiasa membuang masa dengan berbual-bual kosong serta lain-lain aktiviti yang tidak bermanfaat.
  1. Kurangnya perpustakaan awam yang mudah dikunjungi.
  1. Harga buku yang mahal serta tidak meminati bahan bacaan yang serius.
  1. Cabaran era ICT mendedahkan ahli masyarakat terutama golongan remaja ke arah menonton televisyen, pergi ke supermarket, menggunakan telefon bimbit, menunggang motosikal serta melepak bersama-sama rakan-rakan.
Merdeka Minda
 
Kecemerlangan melalui membaca akan menjadikan seseorang itu merdeka mindanya. Sejarah Islam ada mencatatkan sikap orang Arab ketika berbicara tentang buku. Mereka menganggap amalan membaca seumpama sedang berbicara dengan seorang yang amat setia dan jujur, atau sedang berbual dengan sekumpulan ulama dan orang pintar. Pemikir tersohor, Descartes pula menekankan bahawa membaca buku bermutu itu ibarat berdialog dengan orang-orang hebat atau pemikir-pemikir besar.

Membaca akan membawa kita banyak berfikir dan apabila kita banyak berfikir minda kita dapat menerawang jauh dan membawa kita jauh dari kepompong malas dan mandom. Perkara ini bersesuaian sekali dengan minda individu terbabit yang semangatnya seringkali dibelenggu oleh sifat malas. Melalui pembacaan, seseorang itu sudah tentu akan dapat memecahkan ruang dan skop sempit yang memenjarakan mindanya selama ini.

Apabila minda telah merdeka, seseorang itu akan dapat menjana idea dengan berimaginasi untuk membina keupayaan sebenar dalam dirinya. Pada masa ini pembacaan akan dapat mengasah-tajamkan bakat dan potensi diri yang ada pada diri seseorang itu. Mereka akan lahir sebagai individu yang cemerlang. 

Ahli-ahli sains Barat yang mencipta telefon, kapal terbang, kapal angkasa atau kapal selam mengakseskan bakat dan potensi diri mereka melalui pembacaan. Melalui pembacaan inilah idea-idea di minda mereka mula tercetus untuk menghasilkan perkakasan dan alatan yang mampu menakluk dunia sehingga kini. Misalnya, tokoh Microsoft iaitu Bill Gates memanfaatkan ilmu yang diperolehinya melalui pembacaan untuk menjana pemikirannya sehingga lahirlah sebuah perisian komputer yang berjaya menakluk dunia dan masih digunakan sehingga ke hari ini.

Perkara ini sepatutnya diteladani oleh masyarakat kita terutamanya golongn pelajar kerana melalui pembacaan, akan lahir idea-idea kontemporari yang sekali gus menjadikan minda lebih kreatif, kritis, dan inovatif. Membaca juga akan menjadikan seseorang itu berfikiran global. Melalui pembacaan, seseorang itu akan dapat mengumpulkan pengalaman walaupun tidak mengalami sendiri sesuatu perkara atau peristiwa.

Membaca pengalaman dan perjalanan hidup orang lain, seperti juga kita yang mengalami dan menjalani sesuatu peristiwa tersebut. Hal ini secara langsung dapat mematangkan seseorang itu dengan lebih cepat. Mereka bakal menjadi seseorang yang lebih memahami permasalahan dan menyelesaikan masalah dengan lebih cepat. Mereka dengan lebih mudah akan melahirkan suatu tindakan dan idea yang bernas tanpa bersikap terburu-buru dalam sesuatu tindakan. 

Betapa hebatnya pengaruh pembacaan itu sehingga Voltaire menegaskan bahawa pembacaan buku mampu membakar semangat sesuatu bangsa dan mengubah dunia. Semuanya diasaskan oleh pembacaan. Golongan pelajar akan mampu berfikiran global sekiranya mempunyai minat terhadap amalan membaca.
 
Banyak Manfaat
 
Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni, dalam bukunya yang berjudul La Tahzan telah mengungkapkan tentang banyaknya manfaat membaca, antaranya ialah:
 
  1. Membaca menghilangkan kecemasan dan kegundahan.
  1. Ketika sibuk membaca, seseorang itu akan terhalang terjerumus ke dalam kawah kebodohan.
  1. Kebiasaan membaca membuatkan seseorang itu terlalu sibuk untuk berhubungan dengan orang-orang yang malas dan tidak mahu bekerja.
  1. Dengan sering membaca, seseorang itu boleh mengembangkan keluwesan dan kefasihan dalam bertutur kata.
  1. Membaca membantu mengembangkan pemikiran dan menjernihkan cara berfikir.
  1. Membaca meningkatkan pengetahuan seseorang dan meningkatkan memori dan pemahaman.
  1. Dengan membaca, seseorang itu mengambil manfaat dari pengalaman orang lain: kearifan orang bijaksana dan pemahaman para sarjana.
  1. Dengan sering membaca, seseorang itu akan mengembangkan kemampuannya; baik untuk mendapat dan memproses ilmu pengetahuan mahupun untuk mempelajari berbagai disiplin ilmu dan aplikasinya dalam hidup.
  1. Membaca membantu seseorang itu untuk menyegarkan pemikirannya dari keruwetan dan menyelamatkan waktunya agar tidak sia-sia.
  1. Dengan sering membaca, seseorang itu boleh menguasai banyak perbendaharaan kata dan mempelajari berbagai jenis dan model kalimat; lebih lanjut lagi ia boleh meningkatkan kemampuannya untuk menyerap konsep dan untuk memahami apa yang tertulis di antara baris demi baris (memahami apa yang tersirat).
Membaca adalah perilaku positif. Perilaku yang harus dimulai dengan pembiasaan (conditioning) sebelum akhirnya mendarah-daging dalam keseharian kita. Ketika aktiviti membaca sudah menjadi kebiasaan, maka aktiviti membaca tersebut akan terus kita lakukan tanpa perlu dipaksa.

Kita mungkin merasa malas untuk menyelak lembaran demi lembaran buku. Entah sebab apa, kita seperti tidak memiliki semangat untuk melahap bahan-bahan bacaan. Kerap kali kita membaca hanya sekilas lalu alias tidak merampungkan bacaan sehingga selesai.

Apakah membaca harus berupa buku? Membaca tidak harus berupa buku. Banyak bahan bacaan yang boleh kita baca, misalnya surat khabar. Membaca surat khabar juga penting bagi kita kerana kita boleh terus mengikuti perkembangan-perkembangan aktual, baik dari dalam negeri mahupun dari luar negeri.

Ramai orang pintar dan cerdas disebabkan rajin membaca. Membaca juga boleh membuatkan orang lebih dewasa. Dewasa di sini ertinya memiliki pola fikir yang tidak lagi keanak-anakkan. Dengan membaca, seseorang itu boleh memandang setiap permasalahan hidup bukan sebagai beban, namun cabaran yang harus diselesaikan. Permasalahan dalam kehidupan tidak dipandang hanya dari satu sisi, tetapi dari berbagai aspek. Orang yang memandang permasalahan hidup dari berbagai aspek biasanya lebih bijaksana dan arif dalam menjalani kehidupan. 
Membaca dapat membantu mengembangkan pemikiran dan menjernihkan cara berfikir. Membaca juga dapat meningkatkan pengetahuan seseorang dan meningkatkan memori dan pemahaman. Dan dengan sering membaca, seseorang itu dapat mengembangkan kemampuannya; baik untuk mendapat dan memproses ilmu pengetahuan mahupun untuk mempelajari berbagai disiplin ilmu dan mengaplikasikannya dalam hidup.
 
Lebih Berakal
 
Ray Bradbury pernah menyebut: “Tidak perlu menghancurkan buku untuk meruntuhkan peradaban, sebaliknya hanya perlu memastikan orang berhenti membaca, runtuhlah segala-galanya.” Buya Hamka pula pernah berpesan: “Membaca buku-buku yang baik bererti memberi makanan rohani yang baik.” Manakala ahli falsafah tersohor, Rene Descartes pernah menyatakan: “Membaca buku yang hebat ibarat mengadakan dialog dengan para cendekiawan yang cemerlang daripada masa lampau. Pemikiran mereka terus hidup dan berpengaruh sehingga kini. Penulis menuangkan gagasan mereka yang terbaik semata-mata.” 
Hakikatnya, tepian akal itu lubuknya ialah pembacaan. Pembacaan akan menjadikan kita lebih berakal dan akal itu membolehkan kita berfikir serta meluaskan horizon ilmu. Apabila semua ini bergabung, akan lahirlah masyarakat yang cemerlang dalam segala aspek tidak kira aspek sahsiah, akademik, dan kokurikulum. Mereka akan menjadi manusia yang cemerlang dan dapat memajukan negaranya dari masa ke semasa.

Namun, tradisi membaca dan mendapatkan ilmu dalam kalangan masyarakat pada hari ini masih begitu jauh daripada hidup. Oleh itu, perkara ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak. Hal ini kerana membaca itu penting untuk melahirkan masyarakat khususnya generasi belia yang mampu membangun dan memajukan negaranya sendiri agar negara kita Malaysia boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

TABIAT SUKA MEMBACA

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

 

SAYA selalu menyebutkan bahawa berdasarkan nilai, industri buku negara kita sebenarnya lebih kecil daripada industri ayam pedaging (broiler chicken). Hari ini nilai industri buku negara dikatakan RM1.5 bilion setahun tetapi angka itu banyak dipertikaikan oleh mereka yang terbabit dalam industri sendiri. Apa yang kita tahu industri ayam pedaging melebihi RM2 bilion di negara ini. Tambahan pula industri buku di negara ini banyak tertumpu pada buku yang berkaitan dengan sekolah. Hanya 30 peratus jumlah penerbitan buku di negara ini buku bacaan umum.


Dalam setahun, Malaysia menerbitkan paling banyak 6,500 judul baru oleh lebih 200 penerbit yang dikatakan aktif. China menerbitkan 180,000 judul buku baru setahun, United Kingdom (UK), 160,000 judul, Amerika Syarikat (AS) 60,000 dan Korea Selatan 40,000. Sasaran kita, berdasarkan jumlah penduduk sepatutnya 12,000 judul buku setahun.


Penerbit negara ini yang mensasarkan buku untuk umum biasanya memberikan perhatian pada novel ringan atau buku agama. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selain diberikan amanah menerbitkan buku teks sekolah, mengeluarkan juga lebih 300 judul buku umum pelbagai disiplin. Moral ceritanya, bilangan buku untuk negara ini tidak mencukupi dan sasaran untuk memastikan lebih banyak buku dalam kategori buku umum belum dicapai.


Industri buku adalah industri berbilion ringgit di dunia. Hari ini di dunia, sebuah buku baru terbit setiap 30 saat. Lebih 50 juta judul buku terbit sejak terciptanya mesin Gutenberg yang memungkinkan percetakan meluas pada pertengahan abad ke-15. Buku tidak mati kerana televisyen atau internet. Malah pada 1950-an apabila televisyen mula membuat impaknya, dalam setahun 250,000 judul buku baru terbit di dunia. Pada 2000, sejuta judul buku baru diterbitkan. Hari ini tahun 2017 jumlah itu sudah pasti bertambah.

Ramai orang meramalkan teknologi komunikasi maklumat (ICT) akan membunuh buku. Memang kesan internet cukup luar biasa. Hari ini ada lebih 203 juta pengguna internet di AS dan 100 juta di China. Di seluruh dunia, pengguna internet akan mencecah setengah bilion manusia atau seorang bagi setiap 12 orang. Sasaran untuk menangani jurang digital oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ialah 25 pengguna internet bagi 100 penduduk.

Kita hanya mencapai tujuh orang bagi setiap 100 orang masa kini. Kesan internet tidak boleh dipandang ringan. Generasi muda tidak mengenal medium lain. Mereka menghabiskan banyak waktu melayari internet. Malah oleh kerana internet, sungai maklumat yang mengalir deras dan tanpa dasar, pelbagai bahan boleh diperoleh melaluinya tanpa perlu ke perpustakaan atau membuka buku.

Hari ini, internet menjadi sumber rujukan utama bagi 80 peratus pelajar di negara maju. Bukan itu saja, internet menjanjikan perpustakaan digital yang luar biasa kandungannya. Internet juga menjadi wahana pendemokrasian ilmu dengan cara yang cukup luar biasa. Bayangkan Wikipedia, iaitu ensiklopedia melalui talian – gesit, percuma dan terbuka.

Apakah buku dalam bentuk tradisionalnya akan pupus? Apakah buku akan hilang pengaruhnya sebagai sumber ilmu?

Sekiranya dilihat daripada kejayaan siri buku Harry Potter oleh penulis JK Rowling, buku nampaknya masih ada tempatnya di dunia. Sejak munculnya Harry Potter and the Philosopher’s Stone pada 1997, sebanyak 365 juta buku dalam siri itu daripada enam judul terjual di seluruh dunia. Pada hari pertama buku ketujuh yang diberi nama Harry Potter and the Deathly Hallows dijual, pembeli merebut 10 juta naskhah buku tersebut. Buku itu membantu meningkatkan sehingga 25 peratus jualan buku kanak-kanak di UK dan AS.

Tetapi tidak semua penulis bernasib baik seperti Rowling. Tidak semua penerbit mempunyai penulis seperti itu. Setiap penerbit berharap satu daripada 100 judul yang diterbitkannya menjadi buku laris. Di negara ini, sebuah novel yang serius sekiranya dicetak 2,000 naskhah mengambil masa lima tahun untuk menghabiskan stoknya.


Memang terlalu awal untuk mengisytiharkan ‘kematian’ buku, tetapi ada petanda bahawa pilihan baru dalam talian akan menjadi cabaran hebat bagi buku. Secara jujurnya, ramai penerbit akhbar gelisah dengan saingan TV24, akhbar melalui talian dan pengaruh berita ringkas melalui SMS. Malah, hampir setiap akhbar arus perdana mempunyai versi taliannya.


Dalam filem Minority Report, pelakon Tom Cruise hanya perlu menyentuh skrin untuk memilih bahan berita yang diperlukannya. Hari ini iLiad eReader memungkinkan hal itu. Akhbar boleh dibaca bukan saja dalam bentuk PDA tetapi melalui ‘tablet’ atau papan elektronik mudah alih.


Mengambil kira waktu membaca yang semakin kurang dan asakan teknologi yang semakin hebat, nasib buku dalam bentuk tradisionalnya kini tercabar. Malah, minat terhadap buku dalam bentuk asalnya menandakan sikap baru pengguna industri ilmu. Hal ini mungkin dikesan oleh penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kebelakangan ini. Mereka mendapati lebih 90 peratus pengunjung ke pesta itu adalah orang Melayu.


Siapa pun yang mengikuti pesta atau pameran ICT akan sedar bahawa lebih 80 peratus pengunjungnya kaum Cina. Apakah ada peringatan tertentu dalam konteks ini? Bahawa orang Cina memula langkah ke hadapan menyesuaikan diri mereka dengan teknologi terbaru sedangkan orang Melayu masih berpegang pada tradisi menimba ilmu cara lama? Atau sememangnya orang Melayu liat menerima perubahan?


Dalam taklimatnya kepada media, Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Datuk Noh Omar memohon perhatian media berbahasa Mandarin dan Tamil agar turut memberikan perhatian pada PBAKL yang sering berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Harapan itu nampaknya menggambarkan hasrat penganjur agar PBAKL mendapat perhatian kaum lain juga.


PBAKL sudah banyak kali diadakan. Tidak dapat dinafikan ia menjadi sebahagian daripada kalendar kegiatan perbukuan rantau ini. Berdasarkan jumlah pengunjung, Datuk Noh Omar pernah memaklumkan bahawa pada 2007, 1.2 juta orang mengunjunginya. Sasaran setiap tahun selepas 2007 ialah melebihi 1.5 juta pengunjung dan pada PBAKL tahun 2017 diharapkan pengunjungnya melebihi 2 juta orang.


Pada pandangan saya, nampaknya MBKM dan semua yang terbabit dalam industri buku di negara ini harus berfikir di luar kotak. Industri buku berada di persimpangan. Usaha menyemarakkannya tidak harus dilakukan hanya dengan pesta buku, kempen membaca atau insentif kepada penerbit. Apa yang penting ialah memahami perubahan senario industri ilmu semasa serta tabiat baru pembaca. Hari ini orang masih membaca, cuma mediumnya berbeza. Suatu waktu dulu, pembaca akhbar menghabiskan purata 3 jam 14 minit sehari, hari ini jumlah itu tinggal 20 minit saja.


Generasi muda bukan tidak membaca tetapi mereka ‘membaca’ di layar komputer. Teknologi baru mengubah cara manusia berkomunikasi, berinteraksi malah berkerajaan. Dunia ilmu tidak terkecuali. Hari ini ada penerbit yang memanfaatkan teknologi terbaru untuk memberikan alternatif pada dunia buku. Novel SMS misalnya popular di Jepun masa ini.


Dunia bergerak pantas. Industri buku harus bergerak sederap dengan perubahan teknologi. Selalunya kelompok tradisionalis dalam industri buku leka dengan kegemilangan silam, enggan membuat anjakan dan selesa dengan kaedah yang sedia ada. Industri buku memerlukan pemikiran baru dan dilihat dari kanta baru. Moga-moga pesta buku atau PBAKL yang diadakan setiap tahun akan menjadi katalis penting mengorak langkah pada era kegemilangan baru industri buku negara. Jikalau tidak industri itu akan ditinggalkan zaman.

Memupuk Minat Membaca Masyarakat

Masyarakat negara ini belum boleh dianggap masyarakat pembaca. Amalan itu belum menjadi budaya kita, tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh melakukan perubahan seiring kemajuan negara dan peningkatan ilmu. Jika ada usaha bersungguh-sungguh ke arah itu mungkin pada suatu hari nanti kita juga akan berubah dan menjadi seperti masyarakat Barat dan Jepun yang memperoleh keseronokan tersendiri daripada membaca.


Secara umumnya, masyarakat kita lebih suka duduk bersembang atau menonton televisyen tanpa menyedari bahawa perlakuan sedemikian hanya membuang masa dan tidak membawa manfaat kecuali segelintir orang yang sudah mulai berjinak dengan buku.


Justeru, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sering menggesa supaya rakyat menerapkan sikap gemar membaca kerana tabiat suka membaca ini boleh menjadikan Malaysia sebagai ‘negara pembaca’ yang setaraf dengan penduduk di negara maju. Harus dijadikan isyarat bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi membaiki keadaan ini.


Banyak ilmu, maklumat dan pengetahuan boleh digarap daripada buku, walaupun ada sesetengah buku mungkin tidak sesuai dibaca atau tidak mengandungi kandungan yang berfaedah. Namun secara amnya, setiap buku mengandungi maklumat tertentu yang boleh kita petik sebagai pengajaran atau teladan dalam kehidupan.


Ada juga yang boleh kita gunakan sebagai panduan bagi memperbaiki kefahaman bahasa kita, tidak kira apa saja bahasa yang kita kehendaki, terutama bahasa Inggeris. Membaca juga mempunyai motifnya tersendiri. Ada orang membaca kerana ingin mendapat fakta bagi pembelajaran, ada sekadar membaca untuk menghilangkan rasa bosan dan banyak lagi alasannya.


Apa saja motifnya, ia adalah satu lagi langkah ke depan bagi kita untuk menjadi masyarakat pembaca. Jika orang sering menjelajah akan mendapat ilmu yang luas, begitu jugalah orang yang banyak membaca akan menjadi insan yang sarat dengan ilmu di dada. Generasi muda juga kini terdedah kepada pelbagai penulisan kreatif seperti novel remaja yang laris dijual. Novel berbau cinta ini menjadi sebahagian daripada ‘budaya pop’ banyak memaparkan kisah percintaan, pengembaraan dan misteri.


Menjadi harapan kita agar masyarakat kita tidak berterusan menggemari novel cinta dan cerita pelik semata-mata agar kita dapat membebaskan diri daripada dibelenggu bahan bacaan seumpama. Elok juga kita cuba meninjau bahan bacaan lain yang banyak mengandungi maklumat boleh dimanfaatkan. Adalah wajar kita memperluaskan skop bacaan kepada bahan lebih serius dan berunsur ilmu pengetahuan dan kurangkan tumpuan pada cerita gosip dan sastera picisan.


Setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri dan tidak kira apa bidang kita minati, terus saja mencari dan membaca kerana jika kita sentiasa menangguhkannya, akhirnya kita tidak akan dapat menghabiskan satu buku pun dalam setahun. Menurut satu kaji selidik, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun secara purata. Angka ini tidak begitu memberangsangkan dan sebagai negara yang serba moden dan mempunyai prasarana canggih, kita mampu mengubahnya.


Apapun, membaca boleh mengubah cara pemikiran pembaca dan seorang penulis yang berjaya mampu mempengaruhi pembacanya. Mungkin sesuai dengan ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara tahun ini, elok juga kita cuba melakukan sesuatu yang positif dengan menjadi masyarakat pembaca. Kita boleh memulakannya dengan menyingkap semula susur galur sejarah tanah air.


Bahan bacaan mengenai perjuangan rakyat kita dulu sejak zaman pramerdeka sehinggalah zaman pengisian kemerdekaan boleh didapati dengan mudah di perpustakaan dan ada lagi yang baru diterbitkan, contohnya ‘The Reluctant Politician’ mengenai kehidupan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.


Adalah lebih baik jika kita boleh melangkah ke depan dan menjadikan novel bahasa Inggeris sebagai sebahagian daripada bahan bacaan kita setiap hari. Di samping dapat membaiki kemampuan kita untuk berbahasa Inggeris, kita juga akan mempunyai lebih banyak pilihan buku dari seluruh dunia. Sekiranya benar-benar minat membaca, kita akan berasa sungguh bertuah dapat membaca begitu banyak bahan yang diterbitkan dari negara lain.


Apapun, kita seharusnya mengalu-alukan langkah kerajaan menerusi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Pelajaran kerana memainkan peranan lebih aktif dalam mempromosi kegiatan membaca dan sastera dalam kalangan masyarakat. Kegiatan membaca juga boleh dipertingkatkan menerusi penubuhan kelab bacaan di sekolah dan pada peringkat masyarakat setempat. Dato’ Seri Najib pernah menggariskan tiga pendekatan lain dalam meningkatkan pembangunan bidang sastera pada peringkat nasional dan negeri iaitu seperti menubuhkan perkampungan buku, pasar buku, rangkaian, usaha sama, pertubuhan kesusasteraan, perpustakaan dan memperbanyakkan penerbitan.


Langkah kerajaan atau agensinya untuk mengiktiraf dan memperkenalkan penulis tempatan menerusi pemberian anugerah, pelancaran terbitan buku baru dan lain-lain adalah antara langkah proaktif yang boleh mendorong lebih ramai anggota masyarakat untuk mencintai buku. Media massa juga boleh membantu mempopularkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat dengan menjalankan pelbagai kegiatan termasuk menambah lagi pertandingan menulis novel.


Ruangan khas bagi ulasan buku baru yang kini sudah diwujudkan kebanyakan akhbar arus perdana seharusnya diperluaskan meliputi akhbar lain yang belum mempunyai ruangan berkenaan.


Inisiatif stesen televisyen tertentu untuk mengulas buku baru di pasaran dalam rancangan ‘talk show’ pada waktu pagi juga dialu-alukan. Dengan kemunculan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kita juga boleh memuat-turunkan koleksi buku atau sinopsis mengenai topik tertentu daripada internet, di samping membeli atau membuat pesanan buku melalui online atau membaca saja buku berkenaan menerusi kemudahan e-buku.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA