Sabtu, 31 Mac 2012

Catatan Perjalanan - Kota Kinabalu - Keningau – Sipitang: Satu Memorabilia

SMAHADZIR

Tanggal 24 Mac 2012 saya datang ke Kota Kinabalu, Sabah selama seminggu untuk memberi ceramah kepada para peserta kursus anjuran ASFON Multimedia. Tiga tajuk ceramah telah disediakan untuk saya dan tempat penginapan serta berlangsungnya tugasan ialah Hotel Tang Dinasty, yang terletak di kawasan strategik pusat perniagaan Kota Kinabalu.

Suasana di Lapangan Terbang Kota Kinabalu

Hari pertama tiba di Kota Kinabalu dengan penerbangan Air Asia sedikit meletihkan namun tatkala melihat kereta sewa yang sudah menunggu di hadapan Lapangan Terbang Kota Kinabalu sedikit menceriakan. Kami terus ke sebuah restoran makanan Islam di Putatan untuk menjamu selera sebelum bergerak ke Keningau, Beaufort dan Sipitang.

Hotel Tang Dinasty tempat di mana saya dan rakan-rakan bermalam dan melaksanakan tugasan memberi ceramah anjuran Asfon Multimedia

Sebelum menyelongkar isi alam sepanjang perjalanan ke Keningau, sedikit maklumat tentang Kota Kinabalu dirasakan wajar dipaparkan. Nama Kota Kinabalu diambil sempena nama gunung yang tertinggi di Sabah dan juga tertinggi di Asia Tenggara, iaitu Gunung Kinabalu. Kota Kinabalu terletak di Bahagian Pantai Barat Sabah, ia merupakan pusat perdagangan, pentadbiran, peranginan, pendidikan dan perindustrian yang utama di negeri Sabah. Bandar ini mencapai taraf bandar raya pada 2 Februari 2000. Kota Kinabalu berada pada latitud 5.983° dan longitud 116.067°. Sehingga banci pada tahun 2000, jumlah penduduknya ialah 354,153 orang, dengan populasi metropolitan seramai 900,000 orang.


Ruang lobi dan meja resepsi tetamu hotel

Sepanjang pemerhatian saya semasa berada di Kota Kinabalu, ramai warganya terdiri dari pelbagai bangsa termasuk warga Filipina yang mencari rezeki di sini. Khabarnya ada yang masuk ke sini secara halal malah ada yang secara tidak sah. Pekerjaan yang mereka lakukan pun begitu juga, ada yang halal dan ada yang tidak sah sama ada di segi undang-undang negara mahupun agama.

Ruang bilik tidur hotel

Menurut catatan sejarah, semasa pemerintahan British di negeri Sabah (dikenali sebagai British North Borneo pada waktu itu), pusat pemerintahannya Pulau Gaya. Satu peristiwa kebakaran telah melanda Pulau Gaya dan pihak British terpaksa mengalihkan pusat pemerintahan ke sebuah perkampungan nelayan di persisiran Pantai Barat Sabah yang dipanggil Api-Api. Petempatan tersebut bertukar nama kepada Jesselton sempena memperingati Sir Charles Jessel. Apabila Sandakan, yang pada waktu itu merupakan ibu negeri British North Borneo, musnah teruk dalam Perang Dunia Kedua, pentadbiran British telah dipindahkan ke Jesselton.

Para peserta yang terlibat dengan kursus anjuran Asfon Multimedia

Jesselton kemudiannya bertukar nama kepada Kota Kinabalu pada tahun 1967, iaitu 4 tahun selepas Sabah menyertai gagasan Malaysia yang baru. Bandar raya ini telah melihat perkembangan yang pesat sekali pada tahun 1970-an dan 1990-an. Beberapa pekan yang baru telah muncul akibat daripada pembukaan paya bakau dan hutan belantara.

Suasana di LCCT dengan kapalterbang Air Asia sedang menunggu para penumpang untuk ke Kota Kinabalu

Kota Kinabalu diisytiharkan menjadi bandar raya Malaysia yang pertama di alaf baru pada 2 Februari 2000. Datuk Ghani Rashid adalah Datuk Bandar Kota Kinabalu yang pertama. Datuk Iliyas Ibrahim dilantik sebagai Datuk Bandar kedua pada 2 Februari 2006, sempena ulangtahun keenam pengisytiharan bandar raya ini, dan masih memegang jawatan tersebut sehingga digantikan dengan Datuk Abidin Mangikir sebagai datuk bandar ketiga.

Suasana di ruang berlepas LCCT

Antara tempat-tempat menarik yang sempat saya tandangi di sekitar Kota Kinabalu ialah Pasar Tamu Dongonggon (pasar mingguan), Menara Tun Mustapha (menempatkan jabatan-jabatan kerajaan negeri Sabah), Muzium Negeri Sabah, Masjid Negeri Sabah, Pantai Tanjung Aru, Karambunai Resort, Sutera Harbour Resort, Padang Merdeka Kota Kinabalu, Menara Jam Atkinson, Taman Zoologi, Muzium Tamadun Islam dan Tinggalan Rumah Besar Kinarut.

Saya berehat kerana terlalu penat di ruang lobi Hotel Tang Dinasty, maklumkan usia dah tua... kalau remaja dulu taklah sepenat begini...

Memang mendamaikan perasaan bila dapat menyelusuri jalan-jalan berliku dari Kota Kinabalu ke Sipitang melalui Keningau dan beberapa buah kampung etnik minoriti Sabah. Keindahan alam semulajadi yang sentiasa menemani perjalanan begitu memukau, indah sehingga sukar untuk dilakarkan dengan kata-kata. Apatah lagi setiap detik perjalanan itu penulis ditemani oleh tiga orang rakan dari Semenanjung.

Sewaktu memberi ceramah di Bilik Seminar Manukan, Hotel Tang Dinasty

Sebenarnya penulis sengaja mengajak rakan-rakan ke Keningau dan Sipitang semata-mata untuk menggarap keindahan alam semulajadi yang menghijau sepanjang jalan. Kami melalui jalan raya berliku dan berbukit-bukau dari Kota Kinabalu menuju ke pantai barat melalui Papar, Kimanis, Bongawan, Membakut, Beaufort hinggalah ke Sipitang.

Salah seorang peserta sedang menerima sijil penyertaan kursus

Sebenarnya saya ada mencadangkan kepada rakan pemandu supaya meneruskan perjalanan melewati Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu hinggalah ke Kudat, Kundasang, Ranau, Telupid, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau namun masa tidak mengizinkan. Sudah lama penulis berhasrat hendak ke Kuala Penyu dan Menumbok tetapi mungkin pada kesempatan yang lain hasrat tersebut akan tercapai!

Salah satu pojok di pekan Keningau

Paling penting perjalanan kali ini penulis dapat melihat keindahan bumi Sabah di samping mengaut pelbagai pengajaran, ikhtibar, kematangan dan kedewasaan. Sabah memang indah, begitu banyak tarikan yang wajar dikunjungi. Keningau dan Sipitang khususnya merupakan dua tempat yang tenang dan mendamaikan perasaan.

Jalan Kimanis-Keningau dari dalam kenderaan yang sempat diambil

Sepanjang perjalanan dari Kota Kinabalu kelihatan pemandangan belantara hijau yang memukau cantiknya. Ditambah lagi suhu yang segar, benar-benar mewujudkan persekitaran yang nyaman. Di pekan Keningau terdapat beberapa deretan kedai para peniaga. Selain itu terdapat juga penduduk tempatan yang menjual produk makanan seperti jeruk buah bambangan, tuhau dan beberapa jenis beras tempatan. Terdapat juga rokok-rokok seludup yang dijual oleh pendatang Filipina.

Ini pula merupakan jalan Keningau-Tambunan. Keindahan alam semulajadi yang menghijau sepanjang kiri dan kanan perjalanan memang mengasyikkan – damai dan tenang serta segar...

Keningau adalah sebuah daerah yang terletak di kawasan pedalaman Sabah, dan terbesar di Bahagian Pedalaman. Daerah Keningau boleh dihubungi menggunakan jalan darat dari Kota Kinabalu melalui Tambunan atau melalui Kimanis di mana masing-masing mempunyai jarak sekitar 128 kilometer yang mengambil masa kira-kira 2.5 jam perjalanan. Selain pengangkutan darat, terdapat juga perkhidmatan pengangkutan udara di Keningau. Bagaimanapun Lapangan Terbang Keningau hanya sesuai untuk kegunaan kapal terbang jenis foker sahaja.

Suasana masyarakat yang terdapat di pekan Keningau

Menurut catatan sejarah yang penulis perolehi, daerah Keningau pada suatu masa dahulu terkenal dengan pokok kayu manis atau lebih dikenali sebagai pokok koningau oleh penduduk tempatan. Mengikut istilah botani, kayu manis disebut dengan nama Cinnamomun burmannii dan tergolong dalam keluarga Lauraceae. Kayu koningau ini memang terkenal di kalangan penduduk tempatan sebagai bahan rempah dalam masakan sehingga mendapat jolokan Raja Rempah Ratus. Kemasyhurannya telah menarik perhatian ramai saudagar asing untuk memperdagangkannya di pasaran antarabangsa.

Perjalanan ke Sipitang. Sebuah papan tanda Kg Lubang Buaya yang terpacak di tepian jalan sedikit menggerunkan hati penulis kerana mengenangkan Sabah memang terkenal dengan kisah-kisah buaya membaham manusia. Pastinya di kampung ini banyak terdapat buaya...

Permintaan ramai yang tinggi terhadap kayu manis menyebabkan daerah ini begitu terkenal di mata saudagar-saudagar tempatan dan asing. Mereka inilah yang memberi gelaran Kampung Keningau pada daerah ini sempena nama pokok kayu koningau yang memudahkan mereka mengenali kawasan sumber utama kayu manis. Nama Keningau terus masyhur dan terkenal serta kekal sehingga ke hari ini sebagai sebuah daerah yang tertua dan terbesar di Bahagian Pedalaman.

Ucapan Selamat Datang Ke Pekan Sipitang menyambut kedatangan kami dari Keningau

Di Keningau terdapat sebuah objek wisata yang wajar dilawati iaitu Batu Sumpah. Batu Sumpah ini telah didirikan pada tahun 60-an atas perjanjian di antara Parti Pasok Momogun yang diketuai oleh mendiang Datuk G. S. Sundang @ Datuk Gunsanad Samson Sundang dan mendiang OKK Sodomon Bin Gunsanad dengan Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk menghormati hak kebebasan beragama, adat istiadat anak rakyat negeri Sabah oleh Kerajaan Malaysia dan rakyat negeri Sabah, penduduk bahagian pedalaman atas (Keningau) bersumpah taat setia kepada Kerajaan Malaysia. Batu Sumpah tersebut kini diletakkan di pekarangan Bangunan Urusetia Keningau.

Suasana alam semulajadi tepian pantai yang terdapat di bahagian belakang motel penginapan kami di Sipitang

Gunung-gunung yang terdapat di daerah Keningau antaranya ialah Gunung Pisagan, Gunung Paling-paling, Gunung Sigapon, Gunung Lingan, Gunung Rinangisan, Gunung Kauran dan Gunung Tinutudan. Manakala kampung yang terdapat di daerah ini antaranya ialah Kampung Kepayan Baru, Kampung Pantai Baru, Kampung Ambual, Kampung Dongiluang, Kampung Bunga Raya, Kampung Tonobon Baru, Kampung Bayangan, Kampung Tudan Baru, Kampung Baginda, Kampung Merapok, Kampung Panui, Kampung Merasak, Kampung Sodomon, Kampung Luanti, Kampung Magatang, Kampung Penagatan, Kampung Menawo dan Kampung Bomboy.

Lagi suasana alam semulajadi tepian pantai yang terdapat di bahagian belakang motel penginapan kami di Sipitang. Ketika ini waktu pagi sebelum kami berlepas ke Beaufort. Penulis sempat mengambil gambar ini sebagai kenang-kenangan sebelum meninggalkan motel penginapan

Dari Keningau kami terus ke Sipitang. Sipitang juga merupakan pekan, daerah dan juga kawasan parlimen yang terletak di Bahagian Pedalaman, Sabah. Jumlah penduduk di daerah Sipitang dianggarkan seramai 12,076 pada tahun 1980, 24,349 pada tahun 1991 dan meningkat kepada 56,634 pada tahun 2010 . Sipitang adalah pekan negeri Sabah yang paling dekat dengan sempadan Sabah-Sarawak. Pekan Sipitang terletak sejauh 44 kilometer ke selatan Beaufort, dan 145 kilometer ke selatan Kota Kinabalu.

Pandangan hadapan motel tempat kami menginap di Sipitang. Terletak di tepian pantai, harganya amat murah, hanya RM 80.00 semalam, biliknya luas dan selesa.

Menurut catatan sejarah yang sempat saya telusuri, sebelum tahun 1884, Sipitang adalah di bawah naungan Kesultanan Brunei. Pada 5 November 1884, Sultan Brunei menyerahkan kawasan jajahannya dari Sipitang ke Kuala Penyu kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Penyerahan ini berikutan daripada sogokan yang diberikan oleh Gabenor SBBU, William Treacher, kepada pihak Sultan.

Di pinggir motel terdapat sebuah kawasan perniagaan yang kebanyakan peniaganya orang Filipina beragama Islam. Saya sempat bergambar di tepian sebuah menara yang khabarnya digunakan untuk panduan sampan-sampan dan perahu nelayan yang pergi ke laut.

Pada 7 September 1901 pula, Sultan Brunei menyerahkan kawasan dari Sungai Sipitang sehingga ke Sungai Trusan kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Sehubungan itu, SBBU memperoleh kawasan Mengalong dan Merantaman di Sipitang pada 12 September 1901. Pemberian ini diperoleh daripada geran yang diberikan oleh Pangiran Tengah Damit ibni al-Marhum Pangiran Anak Bongsu. Kawasan-kawasan tersebut diperoleh secara berasingan kerana kawasan sebegitu adalah hak milik persendirian pangeran-pangeran (putera-putera) melalui hak tulen mereka, maka tidak terletak di bawah kuasa Sultan.

Menara yang digunakan untuk panduan sampan-sampan dan perahu nelayan yang pergi ke laut. Mungkin juga sebagai mercutanda tempat ini.

Sungai Sipitang menandakan sempadan British Borneo Utara dan Kesultanan Brunei sehingga tahun 1900. Pada tahun 1901, iaitu setelah Syarikat Berpiagam Borneo Utara memperoleh tanah dari Sungai Sipitang ke Sungai Trusan, pejabat pentadbiran ditubuhkan di Sipitang dan kawasan tersebut diletakkan di bawah nama Province Clarke. Daerah ini dinamakan sempena nama Sir Andrew Clarke. Matlamat penubuhan pejabat adalah untuk mengembangkan kawasan jajahan SBBU. Walau bagaimanapun, keadaan politik pada tahun-tahun berikutnya menyebabkan Syarikat Berpiagam Borneo Utara menjual kembali beberapa kawasan berdekatan dengan Sungai Trusan, dan sempadan Borneo utara menyusut ke Mengalong (Sindumin).

Sebuah restoran yang terdapat di tepian motel penginapan kami. Pemiliknya orang Filipina beragama Islam. Hanya restoran ini saja yang wujud di depan mata kami. Jadi terpaksalah kami bersarapan di sini meskipun selera penulis langsung tak terbuka di sini.... tak sedap... roti canainya keras, kuah dalnya entah apa-apa rasa...

Kegiatan ekonomi utama di daerah Sipitang ialah kegiatan pembalakan. Sebuah kilang kertas dan pulpa dibina pada tahun 1987 di Sipitang dan dikendalikan oleh Sabah Forest Industries. Pada amnya, kegiatan pembalakan tidak menguntungkan orang-orang tempatan secara langsung, kerana kebanyakan mereka hanyalah terlibat dalam kegiatan perladangan dan perikanan kecil-kecilan.

Kenangan terakhir sebelum meninggalkan motel penginapan penulis abadikan dalam gambar ini

Sipitang menjadi sebahagian daripada wilayah Sabah pada tahun 1901. Sebelumnya, Sipitang merupakan sebuah wilayah bebas yang menjadi ancaman kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara British kerana ia menjadi tempat perlindungan penjenayah melakukan penyeludupan senjata dan peluru.

Di satu tempat menuju ke Beafort penulis sempat merakamkan keindahan tempat ini. Tempatnya masih lagi di daerah Sipitang

Kerajaan Negeri Sabah telah memperoleh daerah Sipitang pada awal abad ke-20. Dalam usahanya untuk menetapkan sempadan negeri Sabah, kerajaan berpendapat bahawa sempadan negeri di bahagian selatan Pulau Borneo harus diperluaskan agar dapat menjadikan wilayah-wilayah seperti Mengalong, Merapok dan Lawas sebahagian dari negeri Sabah. Tetapi perbelanjaan yang tinggi untuk memperolehi kawasan-kawasan tersebut dan kesukaran untuk menembusinya telah menyebabkan sempadan negeri ditetapkan di sepanjang pinggir Sungai Mengalong sahaja.

Salah seorang peserta kursus sedang menerima sijil penyertaan dari penulis pada hari akhir kursus

Setelah sempadan ditetapkan, kerajaan telah memulakan pentadbiran daerah Sipitang yang digabungkan dengan Mempakul untuk menjadi kawasan pentadbiran Wilayah Clarke atau Province Clarke. Pentadbirannya terletak di bawah kuasa Pegawai Daerah di Beaufort. Mempakul kemudiannya dipisahkan daripada Sipitang dan kedua-dua stesen pentadbiran ini masing-masing dinamakan Wilayah Dent (Province Dent) dan Wilayah Clarke (Province Clarke)

Dari bilik penginapan di Hotel Tang Dinasty dapat dilihat suasana pusat membeli belah di sisinya

Pada tahun 1938, sebuah pelan pembangunan Pekan Sipitang telah dirancang oleh kerajaan. Pelan ini melibatkan penyediaan tanah untuk pembinaan 18 lot kedai, rumah-rumah kediaman dan tanah simpan untuk kegunaan kerajaan. Malangnya, Perang Dunia Kedua telah meletus dan perlaksanaan pelan ini terpaksa diketepikan sehingga keadaan ekonomi pulih.

Hotel Tang Dinasty dilihat dari jalan raya

Selepas perang, pembangunan mula dilaksanakan pada lewat tahun 1949 dan didapati bahawa permintaan terhadap lot-lot kedai di Sipitang amat rendah sehingga tahun 1952. Ketika itu, hanya lapan lot sahaja yang telah disewa. Sungguhpun demikian, kerajaan bercadang untuk memperluaskan lagi kawasan Pekan Sipitang kerana pada masa itu, terdapat cadangan untuk melaksanakan skim hidro elektrik Sipitang.

Lagi salah seorang peserta kursus dari Sabah sedang menerima sijil penyertaan dari penulis pada hari akhir kursus

Daerah Sipitang merangkumi kawasan yang agak luas yang sebahagian besarnya terletak di kawasan yang sukar ditembusi. Walaupun sebilangan besar penduduknya tinggal di kawasan berdekatan pantai dan di persekitaran Sungai Mengalong tetapi kepentingan terhadap penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman tidak dilupakan.

Suasana bilik penginapan Hotel Tang Dinasty yang selesa

Oleh yang demikian, kerajaan penjajah telah berusaha untuk menggalakkan penduduk-penduduk di kawasan pedalaman agar berpindah ke kawasan yang lebih mudah untuk dihubungi supaya mereka dapat merasai kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan. Pada tahun 1953, hasil daripada galakan dan seruan yang disampaikan oleh pihak kerajaan, seramai 53 buah keluarga telah berpindah daripada kawasan terpencil ke kawasan penempatan semula.

Hotel Tang Dinasty

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, pentadbiran daerah Sipitang dikendalikan oleh seorang Penolong Pegawai Daerah di bawah kuasa Pejabat Daerah Beaufort. Majlis daerahnya telah ditubuhkan pada 1 Januari 1955. Pada awalnya Penolong Pegawai Daerah hanya mempunyai seorang kakitangan bagi membantu tugas-tugas am. Namun pada tahun 1963, bilangan kakitangan mulai ditambah bagi membantu mengendalikan tugas dan tanggungjawab yang semakin bertambah.

Hotel Tang Dinasty menyediakan air minuman dan juga akhbar setiap hari untuk para pelanggannya

Kini selepas melalui beberapa fasa pembangunan dan pemodenan, daerah Sipitang boleh berbangga atas segala usaha yang telah diberikan oleh pelbagai pihak. Antara perubahan yang paling ketara ialah penyediaan jalan raya yang baik dan kemudahan pengangkutan awam yang selesa. Selain itu, beberapa kemudahan awam seperti kesihatan dan keselamatan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar semata-mata bahkan turut terdapat di kawasan pedalaman.

Ruang makan di Hotel Tang Dinasty

Di bawah pentadbiran negeri Sabah, daerah Sipitang kini telah berkeluasan 2,732.49 kilometer persegi atau 273,249.69 hektar. Sipitang mempunyai kawasan hutan simpan yang besar iaitu 73.6 kilometer persegi. Pekan Sipitang yang berkeluasan 303.3 hektar merupakan pusat pentadbiran daerah ini. Pekan Mesapol merupakan pekan yang kedua terbesar dengan keluasan 134.7 hektar disusuli pekan Sindumin yang berkeluasan 5.2 hektar.

Salah seorang peserta kursus dari Jabatan Kewangan, Putrajaya sedang menerima sijil penyertaan dari penulis pada hari akhir kursus

Kedudukan deerah Sipitang agak strategik kerana terletak bersempadan dengan daerah Beaufort di utara, daerah Tenom di timur dan negeri Sarawak serta Kalimantan Indonesia di bahagian selatan. Lokasi daerah ini juga agak baik kerana di bahagian baratnya berjiran dengan Wilayah Persekutuan Labuan dan negara Brunei Darulsalam.

Ais Asia di Lapangan Terbang di Terminal 2 Kota Kinabalu

Oleh kerana hampir jam 8.30 malam baru kami tiba di Sipitang, jadi kami terpaksa tidur di sini sebelum esok memulakan perjalanan pulang semula ke Kota Kinabalu kerana urusan tugasan ceramah di Hotel Tang Dinasty. Di sini kami memilih sebuah motel tepian pantai yang boleh dikatakan selesa juga untuk merehatkan badan dan melelapkan mata.

Lagi salah seorang peserta kursus dari Jabatan Kewangan, Putrajaya sedang menerima sijil penyertaan dari penulis pada hari akhir kursus

Esok pagi sebaik selesai solat subuh dan bersarapan pagi di sebuah restoran tepian pantai Sipitang, kami meneruskan perjalanan ke Beaufort. Beaufort bererti kota yang indah dalam bahasa Perancis silam, ia merupakan bandar dan daerah di Sabah di kepulauan Borneo. Penduduknya dianggarkan sekitar 61,698 pada 2000. Ia merupakan bandar provincial sekitar 90 kilometer selatan Kota Kinabalu, dengan rumah kedai dibina tinggi dari jalan bagi mengelakkan banjir berkala dari Sungai Padas. Pada asalnya ditubuhkan bagi membantu kemajuan ekonomi dalaman Sabah, kemakmuran awalnya berkait rapat dengan penanaman getah. Semasa Perang Dunia Kedua, ia merupakan tepak pertempuran antara tentera Jepun dan Australia. Kemakmurannya kini bergantung kepada industri kelapa sawit.

Ruang kursus di Hotel Tang Dinasty

Beaufort merupakan perhentian kereta api Borneo Utara yang dikendalikan oleh Sutera Harbour Resort. Stesen kereta api di Beaufort bertarikh 1905. Khidmat harian biasa dikendali oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah. Beaufort biasanya dilawati oleh tetamu bagi berakit air putih melalui Jeram Padas di Sungai Padas berhampiran yang dinilai sungai Grade 2 hingga 3.

Salah seorang petugas di ruang makan di Hotel Tang Dinasty

Pasar terbuka, yang dikenali sebagai tamu diadakan setiap minggu pada petang Jumaat sehingga petang Sabtu. Keluaran tempatan seperti buah segar, sayuran, daging segar, dan ayam hidup dijual di situ. Hari ia diadakan berbeza dari daerah ke daerah yang lain. Beaufort juga terkenal di Sabah bagi hidangan Cina yang dikenali sebagai mee Beaufort, hidangan mee dihidang kering atau berkuah. Beaufort juga merupakan bandar berkembar kepada Beaufort, Carolina Utara.

Salah seorang peserta kursus dari Institut Latihan Perindustrian (ILP), Labuan sedang menerima sijil penyertaan dari penulis pada hari akhir kursus

Kami tiba semula di Kota Kinabalu sekitar jam 11.30 pagi dan berehat sebentar di ruang lobi Hotel Tang Dinasty sebelum dibenarkan membawa bagasi ke dalam bilik.

4 ulasan:

  1. wah wah wah..bukan main panjang ayah buat karangan..ahahahahah..nanti datang lagi yah..kitorang bawa ayah pergi Menumbok-Kuala Penyu =)

    BalasPadam
  2. Terasa bangga saat nama Keningau menjadi askara yang menghiasi nukilan saudara. Sesungguhnya kota Keningau yang nun jauh di tengah hutan belantara menyimpan seribu satu rahsiah dan cerita yang cukup indah untuk diceritakan. Walaupun jauh diperuk hutan namun kota kecil itulah yang menjadi saksi hayat dari merah bayi hingga umur menggenapi 20 tahun bernafas di dunia yang fana ini. Kota kecil itulah desaku tempatku mengabadikan kehidupanku. Walaupun pada saat ini kaki berpijak di negeri Tok Janggut namun akan kugagahi demi ilmu sebagai bekalan dihari yang akan datang.

    BalasPadam
  3. Penulisan yang sangat indah. Jom datang Sabah lagi kita bawa awak lawat Pantai Timur dan Puncak Borneo pulak...
    http://rineyramley.blogspot.com/2011/12/trip-to-pantai-timur-pulau-mabul-i.html
    http://rineyramley.blogspot.com/2012/09/sebuah-perjalanan-ke-puncak-borneo.html

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA