Ahad, 25 September 2011

Dasar Bahasa Kebangsaan Bukan Untuk Dicabar

USAHA memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sering menerima banyak tentangan dan dicabar oleh golongan tertentu. Yang terkini ialah isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dibangkitkan semula oleh Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE). Kumpulan yang diketuai oleh Datin Noor Azimah Abdul Rahim giat berusaha mengembalikan semula dasar PPSMI yang sekali gus menolak dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang telah diterima pakai kini.

Tanggapan yang bahasa Melayu itu kecil dan mundur perlu dibuang: Prof. Dr. Teo Kok Seong.


Menyedari adanya cubaan untuk menjatuhkan dasar (MBMMBI), satu pertemuan dinamai ‘Mengatur Langkah Masa Depan Bahasa Melayu’ telah diadakan di Bilik Sanggar Za’ba, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 31 Mei 2011. Pertemuan tersebut dihadiri oleh Sasterawan Negara (SN) Prof. Dr. Muhamad Haji Salleh, SN Datuk Dr. A. Samad Said, SN Datuk Dr. Anwar Ridhwan, serta pejuang bahasa dan pakar linguistik, Prof. Emeritus Abdullah Hassan dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), dan Prof. Dr. Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Encik Mohd. Salleh Rahamad dan Setiausaha PENA, SM Zakir turut hadir dalam pertemuan tersebut.


Ketua Pengarah DBP, Dato’ Haji Termuzi mempengerusikan sesi dialog. Di sebelah kanan beliau, Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhamad Haji Salleh.


‘Kemegahan dan kejatuhan bahasa kebangsaan sesebuah negara itu adalah di bawah tanggungjawab pemerintah sepenuhnya. Pemerintah sahaja yang boleh memanipulasikan bahasa kebangsaan untuk tujuan nasionalisme atau pembinaan jati diri rakyat’, tegas Prof. Dr. Teo Kok Seong.


Masyarakat perlu akur pada kedudukan bahasa Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 sebagai bahasa kebangsaan yang mesti dipraktikkan dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara. Justeru, pemerintah perlu tegas seiring dengan perlembagaan agar pelaksanaannya benar-benar tercapai, tambahnya lagi.


Menurut Prof. Dr. Teo lagi, tanggapan bahawa bahasa Melayu itu kecil dan mundur juga perlu dibuang. Universiti di luar negara telah menjadikan bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada subjek pembelajaran mereka. Bahasa Melayu sebenarnya satu bahasa yang besar. Oleh itu, tiada sebab untuk masyarakat mencalarkan bahasa sendiri sedangkan orang luar berusaha mempelajari bahasa kita.


Presiden PENA, Encik Mohd. Salleh Rahamad melaporkan bahawa minit pengajaran subjek bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan dipendekkan daripada 360 minit kepada 300 minit. Beliau mempersoalkan kerelevanan tindakan tersebut, sedangkan sudah diwartakan dalam Perlembagaan bahawa bahasa Melayu adalah asas kepada sistem pendidikan mahupun pentadbiran.


Bahasa Melayu akan mati jika sering ditindas. Semua pihak perlu bersama-sama bergerak bagi meneruskan usaha memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu. Media cetak seperti surat khabar terutamanya perlu berada dalam kelompok ini untuk bersama-sama menegakkan keagungan bahasa kebangsaan, bukan sewenang-sewenangnya menyiarkan artikel yang menghentam dasar MBMMBI seperti yang sering terpapar dalam akhbar berbahasa Inggeris. Hasilnya masyarakat memandang rendah terhadap bahasa sendiri kerana surat khabar merupakan medium utama dalam penyampaian maklumat terus kepada masyarakat.


Pelbagai usaha telah dirangka bagi menangani isu ini sama ada dengan mengambil langkah jangka pendek mahupun jangka panjang. Namun, persoalannya adakah kerajaan meluhurkan bahasa kebangsaan seperti yang digariskan dalam Perlembagaan?


Pertemuan ini telah membawa kepada resolusi, iaitu mengatur pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dengan pejuang dan tokoh bahasa, golongan profesional, dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengemukakan memorandum memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu.


Ketua Pengarah DBP, Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz turut menegaskan bahawa pertemuan ini kelak penting bagi memastikan bahasa Melayu tidak terpinggir atau dianaktirikan dan keagungan bahasa Melayu tidak akan terus dipersoalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA