Sabtu, 18 Jun 2011

Melihat Khazanah Nabi

SUATU ketika dulu Muzium Negara pernah menganjurkan pameran Khazanah Nabi dan penulis berpeluang melihat rambut baginda, pedang Saidina Ali, baju besi Saidina Abu Bakar, musyaf lama dan pelbagai lagi khazanah yang berharga dipamerkan di sana. Dan selepas mengenali tokoh Islam teragung, junjungan kita Muhammad s.a.w melalui pembacaan dan penceritaan, penulis berasa begitu teruja lagi sekali apabila berpeluang menyaksikan sendiri replika pedang baginda yang dipamerkan di Brunei Darussalam ketika berkunjung ke negara itu suatu ketika dulu.

Sememangnya peluang menyaksikan sendiri kesemua 15 replika dipamerkan, menjadi acara kemuncak pilihan penulis dan dinanti-nantikan dalam keseluruhan siri lawatan empat hari tiga malam ke negara berkenaan. Dibawa khusus daripada Indonesia, kesemua replika pedang berserta capal, busur panah dan tongkat milik Baginda serta sahabatnya itu, dibentuk semula hampir 99 peratus menyamai artifak asal yang kini ditempatkan dan dijaga di Istana Topkapi, Turki. Meskipun sekadar replika, namun bukanlah sesuatu yang mudah untuk menyiapkan kesemua peninggalan Baginda dan sahabatnya itu dan penulis dimaklumkan ia memakan masa sehingga enam bulan untuk disempurnakan.

Pedang Khalid ibni Walid

Lebih menarik lagi, bukan calang orang yang dapat menghasilkan replika itu sebaliknya kesemuanya dihasilkan seorang lelaki warak yang perlu berzikir dan berpuasa selama 40 hari bagi menyiapkannya. Pengarah Piramid Communication, Qalam Gladi M, yang menjadi antara individu bertanggungjawab membawa pameran itu ke Brunei berkata, selain perlu mengikut saiz, berat dan perincian asal artifak asli, masa lama terpaksa diperuntukkan bagi menyiapkan replika itu kerana ia tidak menggunakan bantuan sebarang mesin.

‘Kesemua replika ini disiapkan secara sendirian dan berbekalkan seni tangan seorang lelaki alim Indonesia yang enggan dikenali. Ia bukan proses biasa, sebaliknya individu itu yang mempunyai kemahiran membuat pedang sejak berusia lapan tahun perlu berzikir dan berpuasa selama 40 hari sebelum menyiapkan kesemua replika ini,’ katanya ketika ditemui penulis di Galeri Pameran Islam Sultan Hassanal Bolkiah, Kompleks Darulifta Brunei.

Qalam berkata, kebanyakan umat Islam menganggap peninggalan Baginda ini masih berada sama ada di Kota Makkah atau Madinah, sedangkan ia sudah lama dibawa ke Istana Topkapi oleh Sultan Kesembilan Turki. Lebih penting lagi katanya, masih ramai tidak mengetahui kisah di sebalik pedang dimiliki Rasulullah, termasuk fakta yang ia tidak pernah digunakan bagi membunuh musuhnya. Antaranya termasuk pedang Al-Ma’tsur sepanjang 99 sentimeter (sm) yang diperoleh Rasulullah s.a.w daripada ayahandanya ketika Baginda berusia 15 tahun.

Pedang Rasulullah s.a.w

Dikatakan, Al-Ma’tsur, yang juga pedang utama Rasulullah, tidak pernah dikeluarkan daripada sarungnya sejak kali pertama baginda memilikinya. Ia hanya dibuka di hadapan Bani Hasyim ketika Baginda mahu menikahkan puterinya, Fatimah Az-Zahra. ‘Begitu juga dengan replika busur dan panah yang turut digunakan sebagai senjata di medan perang selain daripada pedang. Di tanah Arab tidak ada buluh dan Rasulullah dipercayai memperolehnya di China atas dasar hubungan Islam yang begitu dekat dengan negara itu. Bukan semua umat Islam berpeluang ke Istana Topkapi, Turki, untuk melihat dengan mata sendiri artifak peninggalan Rasulullah s.a.w serta sahabatnya dan pastinya ia menjadi salah satu peranan Piramid Communication untuk membawa pameran ini kepada umat Islam,’ katanya.

Turut dipamerkan ialah replika tongkat Nabi Musa yang dikatakan ulama sebagai berasal daripada pohon yang terdapat di syurga dan digunakan untuk membelah lautan bagi membolehkan baginda dan pengikutnya melepaskan diri daripada serangan Firaun. Selain daripada itu, pengunjung juga berpeluang melihat pedang paling tua dalam sejarah menegakkan risalah Allah s.w.t ke bumi iaitu Pedang Al-Battar sepanjang 101 sentimeter, Al-Qal’I yang mempunyai mata pedang berbentuk gelombang serta bekas tapak kaki Rasulullah. Sebelum dibawa ke Brunei, kesemua artifak itu sudah terlebih dulu menjelajah 16 bandar di Indonesia sejak September 2009.

Qalam berkata, pihaknya sebelum ini sekadar berhasrat membawa pameran ini menjelajah Indonesia bagi memberi peluang kepada masyarakat di sana untuk melihat sendiri peninggalan Baginda dan sahabatnya. ‘Bagaimanapun, kami kemudian menerima permintaan daripada Mufti Brunei yang mahu pameran ini turut dibawa ke sini. Mungkin selepas ini ia akan dibawa ke negara jiran lain sekiranya wujud permintaan selain mendapat kelulusan daripada kerajaan Turki yang memegang hak artifak asli itu sendiri,’ katanya. Penjelajahan ke baki 14 buah bandar di Indonesia akan diteruskan sebaik selesai pameran tiga minggu di Brunei. ‘Di Indonesia sendiri, lebih 800,000 pengunjung sudah melawat pameran Pedang Nabi dan paling membahagiakan apabila beberapa individu bukan Islam mengucap dua kalimah syahadah selepas mengunjungi pameran ini,’ katanya.

Pameran itu pertama kalinya dibawa ke negara berkenaan bersempena Majlis Pelancaran dan Pameran Pelancongan Islam 2011 turut dihadiri dan disempurnakan Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah. Ia sebahagian pengisian Pameran Pelancongan Islam 2011 yang menyaksikan Brunei Tourism turut memperkenalkan brosur bertemakan ‘Brunei Darussalam: Menelusuri Keindahan Islam’ bagi mempromosi tempat tarikan pelancongan di negara berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA