Sabtu, 18 Jun 2011

Kesenian Sumpit Masyarakat Orang Asli

MENGHASILKAN sumpit buluh bukan sesuatu yang mudah dilakukan kerana ia memerlukan kemahiran tinggi serta membabitkan kerja tangan yang berkualiti bagi mengukir setiap batang sumpit supaya ia kelihatan menarik dan cantik. Masyarakat Orang Asli mempunyai kepakaran dalam menghasilkannya kerana alat itu sudah digunakan sejak zaman nenek moyang mereka lagi malah sumpit banyak kegunaan bagi kaum terbabit untuk memburu haiwan di hutan serta sebagai senjata menjaga keselamatan ahli keluarga.

Orang Asli di Kampung Jedip, di Gua Musang, antara kampung yang terkenal dengan pengeluaran sumpit serta mempunyai dua tenaga mahir dalam membuat peralatan itu bagi dipasarkan di merata tempat. Kemahiran yang ada pada Atan Along, 50, dan Harun Sayang, 40, menjadikan perniagaan mereka yang dikongsi bersama di tepi jalan Gua Musang - Cameron Highlands sebagai tumpuan utama orang ramai terutama pelancong asing. Malah, gerai mereka juga menyediakan tempat untuk orang ramai dan pelancong mencuba sumpit itu sebelum membelinya.

Kemahiran Atan dan Harun menghasilkan sumpit buluh berkualiti adalah diwarisi daripada orang tua mereka sehingga ia menjadi punca pendapatan utama. Bagi menghasilkan sumpit yang berkualiti, ia bergantung kepada buluh tua yang panjang serta lurus supaya tidak mengambil masa lama untuk dibentuk dan perlu dijemur terlebih dulu untuk dikeringkan.

Harun yang ditemui di gerainya berkata, selepas dijemur beberapa jam, proses seterusnya adalah meletakkan buluh itu berhampiran api supaya ia lebih berkilat. ‘Proses ini sebenarnya tidak rumit, tetapi perlu penelitian supaya buluh itu tahan lama dan tidak menjadi rapuh atau dimakan ulat. Hanya selepas itu barulah ia digosok dengan kertas pasir bagi menghalus keseluruhan buluh terbabit. Selepas itu baru diukir dengan pelbagai bunga menggunakan kepakaran yang ada, tetapi perlu ada kesabaran kerana kerja mengukir adalah paling rumit dan jika tidak dihalusi ia boleh menjadi rosak sekali gus hilang tarikan,’ katanya.

Sumpit buluh hasil tangan Orang Asli Kampung Jedip, di Gua Musang, siap untuk dijual. Kemahiran warisan, teknik pembuatan antara kelebihan produk ini

Harun juga berkata, sumpit yang dihasil itu dijual antara RM25 hingga RM70 itu mendapat sambutan terutama pelancong asing. ‘Saya dan Atan mampu menyiapkan antara tiga hingga lima sumpit sehari bergantung kepada corak lukisan dan jika corak lebih kreatif serta menarik mengambil masa sedikit.

Namun, kita mampu memenuhi permintaan pelanggan hingga ada ketikanya ia habis di borong pelancong asing untuk dibawa balik ke negara mereka,’ katanya.

Atan pula berkata, pelancong akan diajar cara menggunakan sumpit di tempat yang disediakan sebelum membelinya supaya mereka mahir sebaik dibawa pulang ke negara mereka. ‘Setiap pelancong yang datang begitu gembira apabila saya mengajar cara menggunakan sumpit dan mereka sebenarnya cepat pandai,’ katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA