Sabtu, 23 Oktober 2010

KAEDAH MENULIS PUISI ATAU SAJAK

Saya banyak menerima panggilan telefon dari segelintir sahabat dan juga peminat-peminat saya agar menjelaskan kaedah menulis puisi moden atau sajak dalam facebook ini. Agak lama juga untuk saya menunaikan permintaan itu lantaran beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Antaranya ialah saya telah banyak mengendalikan bengkel penulisan puisi atau sajak ini di pelbagai tempat oleh pelbagai penganjur seperti Perpustakaan Negara, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Jabatan Kebudayaan, Kesenian & Warisan Selangor, Dewan Bahasa & Pustaka, Persatuan Penulis & Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI), Majlis Kebudayaan Negeri Selangor dan pelbagai lagi.

Justeru saya merasakan tidak berapa sesuai untuk diterangkan kaedah penulisan puisi moden atau sajak tersebut di sini. Kendati begitu, tidak sampai hati pula rasanya saya menghampakan sesama insan yang memerlukan ilmu ini dan saya terpanggil untuk berkongsi ilmu penggarapan puisi moden atau sajak ini dan berharap agar apa yang dipaparkan ini dapat dimanfaatkan oleh mereka yang berminat.

Definisi Puisi Moden Atau Sajak

Za’ba mendefinisikan puisi atau karangan berangkap sebagai, ‘khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik hati orang yang mendengarnya. Seterusnya Za’ba mengatakan bahawa karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu.

Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba di atas memperlihatkan dua ciri utama puisi. Pertama, sifat abstraknya seperti kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi. Kedua, sifat konkritnya, struktur dasar yang merangkumi binaan baris dalam rangkap, kedudukan suku kata dalam baris, kedudukan suku kata dalam baris dan susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tema dan kesannya kepada pembaca.

Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba lebih merupakan definisi dari sudut pandangan seorang pengkaji. Definisi puisi yang dikemukakan oleh seorang penyair dan sekali gus sarjana sastera pula, iaitu Muhammad Haji Salleh, puisi ialah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijakan penyair dengan tradisinya. Dalam segala sifat kekentalannya itu, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana.

Daripada penyair Inggeris di Barat pula, Wordsworth, mendefinisikan puisi sebagai pengucapan tentang perasaan ghairah yang imaginatif, biasanya berentak ... curahan perasaan yang kuat secara spontan yang diingatkan kembali dalam suasana yang tenang. S.T. Coleridge, juga seorang penyair Inggeris, mendefinisikan puisi sebagai kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik.

Masih banyak lagi definisi puisi yang dikemukakan oleh pengkaji puisi dan penyair. Namun, daripada sejumlah kecil definisi yang diberikan itu dapat memberikan ciri-ciri puisi yang bermutu tinggi.

Sejarah Awal Puisi Melayu Moden Secara Ringkas

Penulis Melayu yang pertama menulis puisi Melayu moden ialah Omar Mustaffa. Puisinya bertajuk ‘Angan-angan dengan Gurindam’, disiarkan dalam Utusan Melayu pada 18 Januari 1913. Puisi ini dari segi bentuk dan isinya telah jauh menyimpang daripada puisi Melayu tradisional – pantun dan syair terutamanya. Dari segi bentuk, susunan baris, rangkap, dan rima akhirnya tidak terikat lagi dengan bentuk tradisional. Dari segi isinya, mengungkapkan persoalan semasa pada waktu itu, iaitu menyuarakan persoalan ekonomi dan politik.

Sejak tersiarnya puisi yang memperlihatkan pembaharuan atau pemodenan pada bentuk dan isinya, berlaku semacam kekosongan dalam penghasilan puisi moden. Hanya pada awal-awal tahun 1930-an, kegiatan menulis puisi mula kelihatan jelas kembali. Ini berdasarkan puisi ‘O Sariku’, karya Harun Aminurrasyid yang tersiar dalam majalah Pujangga Baru, Bil. 6, Disember 1933. Pada tahun 1934, Pungguk menghasilkan lima buah puisi sekali gus dan disiarkan dalam majalah Guru, Mac 1934. Judul puisi-puisi Pungguk itu ialah, ‘Keluh Kesah’, ‘Selalu Merayu’, ‘Tak Disangka-sangka’, ‘Pujukan Hati’, dan ‘Ibuku’. Dalam kelima-lima buah puisi ini telah ditemui penyimpangan daripada peraturan puisi-puisi Melayu tradisional yang ketat.

Sejak Harun Aminurrasyid dan Pungguk menghasilkan puisi moden, puisi Melayu moden tumbuh dan berkembang dengan pesat sekali. Pelbagai tema dan persoalan yang dikemukakan oleh para penyair yang bersesuaian dengan zaman mereka dan harapan mereka tentang hidup dan kehidupan ini yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia, manusia dengan Pencipta, dan manusia dengan alam. Hal ini akan lebih jelas terlihat apabila alur sejarah pertumbuhan dan perkembangan puisi Melayu moden disusuri.

Persediaan Menulis Puisi

Seseorang yang hendak menulis puisi haruslah pula mempersiapkan dirinya. Dia mestilah banyak membaca puisi, karya ramai penyair. Dengan ini, secara tidak langsung dia mempelajari puisi. Dia juga mestilah banyak membaca bahan bacaan yang lain untuk tujuan memperluaskan kosa kata dan mendapat idea untuk menulis puisi. Dia juga mestilah sering menghasilkan puisi sebagai latihan untuk menimbulkan keterampilan dalam penulisan puisi. Untuk itu, dia juga mestilah memiliki kesabaran dan bersedia untuk menyendiri. Semua ini merupakan sebahagian kecil tuntutan yang diperlukan sebagai persediaan untuk seseorang itu menulis puisi.

Panduan Penulisan Puisi

Puisi yang bermutu ialah puisi yang mempunyai keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya. Keseimbangan inilah yang memberi keindahan bahasa dan keindahan makna pada sesebuah puisi itu. Oleh itu, seseorang yang hendak menulis puisi mestilah mengambil kira aspek keseimbangan ini.

Bentuk luaran ialah ciri-ciri yang membina sesebuah puisi tersebut. Ciri-ciri ini dapat dilihat. Baris, bunyi, pemilihan kata, bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan bahasa, dan tipografi merupakan bentuk luaran puisi.
Struktur dalaman puisi terdiri daripada tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej. Tema ialah idea utama yang hendak disampaikan oleh seseorang penyair dalam sesebuah puisi. Antara tema dalam puisi termasuklah keagamaan, kemanusiaan, dan nasionalisme, ekonomi, dan politik.

Perasaan ialah suasana perasaan penyair yang diikutsertakan dalam puisi dan dapat dihayati oleh pembaca. Perasaan tersebut mungkin simpati, sedih, benci, marah, kasihan, pasrah, dan sebagainya. Nada ialah sikap penyair penyair terhadap pembaca. Sikap penyair mungkin menggurui, mengejek, menasihati, dan menceritakan sesuatu kepada pembaca. Mesej ialah perkara yang mendorong seseorang penyair itu menulis puisi. Mesej tersirat di sebalik tema yang diungkapkan.

Semoga serba sedikit ilmu yang dipaparkan ini dapat dimanfaatkan dan saya berharap kepada sesiapa saja yang berminat dalam bidang puisi moden dapat menghasilkan karya yang baik dan kaya dengan mesej untuk tatapan dan pemikiran masyarakat.

2 ulasan:

  1. Salam tuan,
    Sy sempat singgah dan menikmati juadah yang disediakan...terima kasih. Puisi itu santapan hati..betulkan jika saya salah.

    BalasPadam
  2. Saya minta izin utk mengambil maklumat ini ya.terima kasih

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA