Ahad, 28 November 2021

pantun: (45 rangkap)
NEGERI SELANGOR MAJU BERBUDAYA
 
Kebarung basah dijemur puteri,
Istana bahari tepian sumur;
Dengarlah kisah hamba berperi,
Sebuah negeri maju dan makmur.
 
Pohon bintangor pinggiran paya,
Tempat bermadah pujangga berhelah;
Negeri Selangor maju berbudaya,
Terkenal sudah sembilan daerah.
 
Besi karat bersepuh gangsa,
Dibuat baju pahlawan Persia;
Terletak di barat Banjaran Titiwangsa,
Negeri termaju dalam Malaysia.
 
Ikan temoleh berat timbangan,
Keli bersengat di dalam balang;
Diairi oleh empat lembangan,
Sungai Langat dan Sungai Klang.
 
Pokok bongor akar terbenam,
Dibebat rotan anak petani;
Sungai Selangor dan Sungai Bernam,
Lembangan selatan negeri ini.
 
Malinja ditanam padi berhuma,
Rancak nian benih ditabur;
Sabak Bernam daerah pertama,
Tanah pertanian makmur dan subur.
 
Rajin bersenam tempawan puteri,
Di sumur segar bersintok mandi;
Sahabat Berenam legenda berperi,
Di kubur keramat tempat semadi.
 
Sulur keladi dan cabai rawit,
Subur sama tepian jerami;
Nyiur, padi dan kelapa sawit,
Tanaman utama sumber ekonomi.
 
Tumbuh subur pohon bongor,
Berbunga indah tepian puri;
Daerah mashyur Hulu Selangor,
Ampang Pecah sejarah berperi.
 
Akar bintangor dalam ke dasar,
Naung saga longgok jerami;
Hulu Selangor daerah terbesar,
Projek mega pemacu ekonomi.
 
Burung pegar memakan padi,
Di dalam tajau tersimpan keri;
Daerah segar alam semulajadi,
Kawasan hijau kehidupan lestari,
 
Pokok bongor tepian telaga,
Ditakek parang berbentuk pusar;
Kuala Selangor daerah ketiga,
Tanjung Karang mukim terbesar.
 
Bayu berhembus segar terasa,
Tepian rawa itik berlari;
Tarian dabus kesenian bangsa,
Budaya Jawa warisan lestari.
 
Batang bintangor ditarah-tarah,
Bakar jerami panggang haruan;
Kuala Selangor Indah Bersejarah,
Slogan resmi penjana kemajuan.
 
Masak gula inti ketupat,
Sajian bermusim bersama jiran;
Gombak pula daerah keempat,
Lima mukim kawasan pentadbiran.
 
Gagak melanda rebah punggur,
Ganas bertempur mengundang kesal;
Daerah termuda negeri Selangor,
Kuala Lumpur tempat berasal.
 
Terkumpul di arkib ruang biara,
Semua koleksi agama disanjung;
Batu Caves dan Zoo Negara,
Dua lokasi ramai pengunjung.
 
Bunga delima madu sialang,
Pinggiran telaga berair tohor;
Daerah kelima ialah Klang,
Bandar Diraja sudah tersohor.
 
Pokok saga pokok bintangor,
Subur keladi tumbuh berdiri;
Bandar ketiga terbesar di Selangor,
Pernah menjadi ibu negeri.
 
Hujan membasah rumpunan bayam,
Dipagar batu dikawal selia;
Istana Alam Shah tempat semayam,
Duli Tuanku Yang Maha Mulia.
 
Pokok pala subur ditanam,
Benih terpilih dari kuala;
Petaling pula daerah keenam,
Lombong bijih petempatan bermula.
 
Memasang tanju di naung bintangor,
Pencerah sajian untuk tetamu;
Daerah termaju Negeri Selangor,
Pusat pengajian pelbagai ilmu.
 
Dihulur salam hati tertarik,
Pedagang jauhari batu delima;
Shah Alam Bandaraya Anggerik,
Ibu negeri Selangor ternama.
 
Nasi lengat musim tengkujuh,
Penganan dikacau di atas bara;
Hulu Langat daerah ketujuh,
Kaya menghijau nyaman sejahtera.
 
Panglima bercakak di naung rambai,
Sembari berbalah makan ketupat;
Sungai Congkak dan Sungai Gabai,
Tempat berkelah warga setempat.
 
Ayat dikarang berjela panjang,
Untuk pesanan si gadis ayu;
Sudah terkenal Sate Kajang,
Simbol makanan tradisi Melayu.
 
Ikan selangat di atas papan,
Dijemur kering di luar bangsal;
Kuala Langat daerah kelapan,
Bandar Temasya tapak berasal.
 
Sungguh tenang waktu maghrib,
Azan beralun jemaah menunggu;
Pantai Kelanang dan Pantai Morib,
Ramai pengunjung setiap minggu.
 
Hinggap mari burung tekukur,
Merdu suaranya tiap ketika;
Mah Meri etnik tersohor,
Budaya bangsanya kaya estetika.
 
Dahan lekir pucuk berhimpang,
Pokok tualang tingginya sama;
Daerah terakhir ialah Sepang,
Bagan Lalang pantai ternama.
 
Gadis megah indah kurnia,
Molek berhemah laksana ratu;
Sudah gah seantero dunia,
Tuan rumah Formula Satu.
 
Tidur baring si anak lanang,
Turun menjala di angin semilir;
Tarian Piring masyarakat Minang,
Seni bermula di Jenderam Hilir.
 
Jangan dimakan putik mengkudu,
Buah gedangsa gugur di taman;
Selangor tegakkan warisan Melayu,
Kejora bangsa zaman berzaman.
 
Subur lalang di tanah rata,
Hinggap di dahan burung pekaka;
Mantap cemerlang budaya kita,
Nadi keutuhan Selangor merdeka.
 
Pohon sena di tanah lanar,
Akar keduduk disayat-sayat;
Budaya laksana jamung bersinar,
Memandu hidup sepanjang hayat.
 
Bunga semambu gerbak setanggi,
Di atap genting hinggap sang helang;
Budaya Melayu martabatnya tinggi,
Aset terpenting Selangor gemilang.
 
Hinggap kelkatu di dahan senduduk,
Kemboja subur tepian pangkalan;
Budaya Melayu penyuluh hidup,
Laksana obor penerang jalan.
 
Pohon pauh pinggiran paya,
Istana kayu ukiran di tangga;
Pancang teguh pilar budaya,
Warisan Melayu khazanah berharga.
 
Logam gangsa dibuat acuan,
Buatan tangan berhias tiara;
Warisan bangsa katalis penyatuan,
Di bawah naungan wawasan negara.
 
Bunga sendalu hiasan nyonya,
Teruna bersila riang bersenda;
Warisan Selangor tinggi nilainya,
Maruah bangsa murup di persada.
 
Akar kayu dibuat tongkat,
Batang pelam keras bersaka;
Warisan Melayu kejora hikmat,
Citra keunggulan bangsa merdeka.
 
Burung gagak terbang bergaya,
Mentari jingga berbaur gangsa;
Budaya tonggak negara berjaya,
Penyatu warga sepanjang masa.
 
Anak gahara bergurau senda,
Lenggok mendayu tarian randai;
Biar prahara datang melanda,
Warisan Melayu tidak digadai.
 
Ukiran kayu dijaga selia,
Batang punggur reput di bawah;
Warisan Melayu di persada mulia,
Negeri Selangor penjana maruah.
 
Sungguh santun gadis Sekincan,
Mesra menegur berbaju kebaya;
Begitulah pantun hamba paparkan,
Peri Selangor Maju Berbudaya.
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
@Hakcipta terpelihara

1 ulasan:

  1. Hai semua,
    Saya akan memberitahu anda rahsia menjadi kaya dalam pelaburan bitcoin “orang yang bijak sepatutnya mempunyai wang di dalam kepala mereka, tetapi tidak di dalam hati.. Setiap hari adalah hari keputusan baru. Pilihan anda untuk menjadi kaya atau miskin & terus bergelut, mula membuat dana yang lebih besar dalam masa 72 jam dengan peniaga yang sah & pro seperti saya, Pelan pelaburan dibuka sekarang dengan pelaburan minimum $200 anda boleh memperoleh $2000 dalam 72 jam.

    Labur $200 mendapat $2,000
    Labur $500 mendapat $5,000
    Labur $700 mendapat $7,000
    Labur $1,000 mendapat $10,000
    Labur $2,000 mendapat $20,000
    Labur $5,000 mendapat $50,000
    Labur $7,000 mendapat $70,000

    Jangan lepaskan peluang yang jelas ini untuk mencapai kebebasan kewangan anda, mereka yang belum bersedia untuk melabur sekarang belum bersedia untuk bersara awal, jangan bergantung pada satu sumber pendapatan, biar kami berdagang untuk anda hari ini dan mula membuat keuntungan untuk anda. Sila hubungi kami Melalui WhatsApp: +1(252)285-2093 E-mel : andersoncarlassettrade@gmail.com

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA