SETIAP tahun ini
umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul, hari memperingati kelahiran junjungan
besar Nabi Muhammad SAW. Sekali lagi, meriahlah seluruh surau dan masjid dengan
sambutan yang pelbagai termasuk ceramah, forum dan perarakan. Sambutan ini
bukan sekadar untuk mengingati keputeraan baginda semata-mata sebaliknya apa
yang lebih penting ialah mengingatkan kembali umat Islam kepada ajaran
Rasulullah dan perjuangannya. Pada masa yang sama berusaha mengikuti segala
akhlak dan ajaran Nabi Muhammad SAW.
Secara ringkas,
seperti yang kita tahu, banyak sifat dan akhlak Nabi Muhammad SAW yang boleh
dipelajari termasuk tawaduk, pemalu, siddiq
(benar), amanah (boleh dipercayai), tabligh, fatanah,
tabah, syukur, pemaaf, bertakwa, beristiqamah, ikhlas, khusyuk, zuhud (hidup
soleh tidak dikuasai kemewahan dan keseronokan dunia), lemah lembut dan
bijaksana. Sebagai pemimpin, baginda sangat menekankan aspek integriti seperti
amanah, bertanggungjawab, telus dan jujur.
Baginda mampu
menyusun strategi, berani, tegas dan berprinsip. Sebenarnya bukan sekadar
pemimpin negeri atau negara sahaja yang perlu mencontohi sifat-sifat Rasulullah
SAW ini, sebaliknya mereka yang memimpin keluarga (ibu bapa), syarikat,
persatuan dan sebagainya perlu menerapkan nilai-nilai ini dalam diri mereka.
Malangnya kebanyakan umat Islam di dunia termasuk di peringkat pemimpin sudah
melupakan sifat-sifat ini. Akhirnya mereka terjebak ke dalam kancah kekalutan,
perpecahan, peperangan dan kecelaruan.
Hakikatnya,
dunia hari ini mengagumi keperibadian baginda. Michael H. Hart di dalam
bukunya The 100: A Ranking of the
Most Influential Persons in History meletakkan Rasulullah SAW sebagai
insan paling berpengaruh di dunia dalam kalangan 100 orang manusia paling
berpengaruh di dalam sejarah dunia. Begitulah kehebatan Nabi Muhammad SAW.
Baginda memiliki akhlak yang sangat mulia terhadap sesama manusia tanpa mengira
status sosial, warna kulit dan bangsa. Baginda berbuat baik termasuk kepada
orang jahat atau musuh.
Seperti kita
tahu, Nabi Muhammad SAW memiliki akhlak dan sifat-sifat sangat mulia yang boleh
dicontohi khususnya empat sifat iaitu siddiq,
amanah, tabligh dan fatanah. Siddiq yang membawa maksud benar merupakan sifat pertama yang wajib
dimiliki para Nabi dan Rasul bagi membawa wahyu dan agamanya. Rasulullah SAW
bukan hanya bercakap benar malah perbuatannya juga benar. Maknanya tidak
bersifat pembohong, penipu dan sebagainya.
Sifat kedua yang
perlu diberi perhatian adalah amanah yang membawa maksud boleh dipercayai. Jika
sesuatu urusan diserahkan kepadanya, nescaya orang percaya bahawa urusan itu
akan dilaksanakan sebaik mungkin. Oleh kerana itulah penduduk Mekah memberi
gelaran kepada Nabi Muhammad SAW dengan gelaran Al-Amin yang
bermaksud ‘boleh dipercayai.’ Apa pun yang baginda ucapkan, dipercayai dan
diyakini penduduk kerana baginda terkenal sebagai seorang yang tidak pernah
berdusta. Baginda tidak mengkhianati amanah yang diberi terhadapnya.
Ketika Nabi
Muhammad SAW ditawarkan kerajaan, harta dan wanita oleh kaum Quraisy agar baginda
meninggalkan tugas menyebarkan agama Islam, baginda menjawab: ‘Demi Allah,
seandainya mereka dapat meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan
kiriku agar aku meninggalkan tugas suciku, maka aku tidak akan meninggalkannya
sampai Allah memenangkan (Islam) atau aku hancur kerananya.’ Baginda juga tidak
gentar dengan ugutan bunuh terhadapnya.
Sifat ketiga
yang perlu diberi perhatian ialah tabligh yang bermaksud
menyampaikan. Segala firman Allah SWT disampaikan oleh baginda tanpa ada yang
disembunyikan walaupun ia menyinggung diri baginda sendiri.
Sifat keempat
adalah fatanah yang
bermaksud bijaksana. Dalam menyampaikan ayat Al-Quran dan menjelaskan kepada
kaumnya, ia memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa. Baginda SAW harus mampu
berdebat dengan orang kafir dengan sebaik-baiknya supaya mereka dapat memahami
firman-firman Allah SWT.
Begitulah
sifat-sifat mulia yang ada pada Nabi Muhammad SAW. Adakah dalam menjalani
kehidupan seharian pada hari ini, kita memiliki sifat-sifat ini? Di tahap mana
manusia dalam dunia hari ini mampu mengikut sifat-sifat ini? Berapa ramai yang
jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sesama umat?
Dalam suasana
politik hari ini, ada dalam kalangan kita yang mengakui sebagai umat Islam yang
tidak bersifat siddiq sama ada
pertuturan, tindakan atau perbuatan, tidak amanah, tidak menyampaikan dan tidak
bijaksana. Ada pemimpin yang hanya pandai berkata-kata. Berjanji tetapi tidak
mampu menunaikannya. Mereka memungkiri janji yang dibuat sama ada secara
bertulis atau lisan. Bak kata orang, cakap tidak serupa bikin atau bikin tidak
serupa cakap. Kita boleh melihat contoh di depan mata, siapakah yang mampu mengotakan
apa yang dikata atau apabila berjanji ditepati.
Dalam menghadapi
isu kalimah Allah juga, kita dapat melihat siapakah yang bercakap benar dan
siapa pula sanggup ‘menipu diri sendiri.’ Ada yang tidak berani bercakap
mengenai kebenaran kerana kepentingan politik atau kemaruk kuasa. Mereka
sanggup membiarkan orang lain merobek maruah umat Islam, melukakan hati umat
Islam dan memecahbelahkan perpaduan umat. Begitulah yang terjadi. Kita semakin
kehilangan sifat-sifat yang ada pada Muhammad SAW. Wahai Rasulullah, seperti
sabdamu, apakah umat Islam kini umpama buih di lautan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan