Isnin, 18 Mac 2013

Beban Pengusaha, Peniaga Jangan Digalas Pengguna


SEJAK awal lagi sudah timbul kekeliruan mengenai tarikh sebenar pembukaan Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS). Satu pihak kata mulai 1 Januari manakala pihak lain pula mengumumkannya pada 2 Februari.

Kemudian kecoh pula mengenai ruang niaga yang kadar sewanya terlalu mahal. Kemudian ada lagi beberapa isu lain yang melibatkan pengusaha bas dan penduduk sekitarnya. Keengganan pengusaha bas memasuki terminal itu membuatkan Halimah Mohamed Sadique yang mengetuai Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) naik berang dan memberi kata dua. Mujurlah isu ini selesai, jika tidak meranalah pengguna bas ekspres ke selatan. Jelaslah TBS-BTS yang begitu indah dilihat pada waktu malam dari Lebuh Raya Sungai Besi tidak seindah cerita di dalamnya. Begitu jugalah ‘keindahan serta keselesaan’ yang ada di terminal itu perlu ‘dibayar’ dengan harga yang mahal.

Dalam menghadapi isu ini yang boleh dianggap sebagai isu rakyat, tidak perlulah mana-mana pihak menggertak satu sama lain. Memang mudah untuk ‘mengugut’ itu dan ini tetapi apakah kesudahannya? Masing-masing mempunyai alasan dan pandangan tersendiri mengenai TBS-BTS ini. Maka dalam menyelesaikan kemelut ini, semua pihak perlu mewujudkan suasana menang-menang.

Tidak mudah untuk menyelesaikan isu berkaitan pengangkutan awam kerana ia melibatkan banyak pihak. Harus diingat pengangkutan awam biasanya digunakan oleh mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Golongan inilah yang memerlukan pembelaan sewajarnya daripada kerajaan lebih-lebih lagi selepas kewujudan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Apabila ia melibatkan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, maka ‘semua kos’ juga perlu rendah dan sederhana. Ini termasuk tambang, makanan dan minuman serta kemudahan lain. Semuanya biar murah seperti AirAsia menawarkan tambang murah supaya ‘semua orang boleh terbang.’ Tetapi bagaimana harga murah boleh ditawarkan atau dikekalkan jika pelbagai kos naik disebabkan faktor-faktor lain?

Memang rakyat mengalu-ngalukan kemudahan yang lebih selesa untuk mereka. Sudah berapa lama pengguna tidak selesa dengan Puduraya atau di Hentian Bas Sementara Bukit Jalil.

Seperti yang pernah diselak di ruangan ini tidak lama dulu, banyak perhentian bas tidak selesa dengan persekitaran yang kotor, jalan berlubang serta berbau asap. Tetapi Selak tertarik dengan kemunculan Melaka Sentral yang menjadi hab pengangkutan awam. Bangunannya ringkas tetapi menarik. Tidaklah secanggih TBS-BTS. Tetapi kali pertama menjejak kaki di Melaka Sentral yang berhawa dingin itu seolah-olah berada dalam kemudahan di lapangan terbang. Melaka Sentral cetusan Ketua Menteri, Ali Rustam telah mewujudkan persekitaran yang selesa serta peluang perniagaan kepada seberapa banyak peniaga terutama orang Melayu.

Sebagai pengguna, mereka tidak memerlukan sesuatu yang begitu canggih bertaraf lapangan terbang. Sementara mereka menunggu ketibaan bas, cukuplah disediakan tempat menunggu yang selesa, surau untuk solat, tandas awam, kedai makan yang menawarkan harga berpatutan serta dapat menjenguk dan membeli sedikit barang di kedai-kedai yang menawarkan harga sepatutnya. Suasana sebegini ada di Melaka Sentral.

Bagaimanapun jika kerajaan mahu mewujudkan suasana yang lebih canggih, bertaraf antarabangsa memang dialu-alukan. Maka pembinaan TBS-BTS yang bernilai RM570 juta itu amat bermakna kepada rakyat. Kedudukannya pula dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan seperti komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Express Rail Link (ERL). Dua stesen minyak dan gas juga ada berhampiran di situ. Tetapi akibat terlalu canggih, maka ada kos yang terpaksa dibayar oleh pengguna iaitu pengusaha bas, peniaga/penyewa lot perniagaan dan penumpang bas.

Ketika ini difahamkan hanya enam daripada 51 pengusaha bas ekspres laluan selatan telah beroperasi di situ. Sementara yang lain dijangka berpindah dari Bukit Jalil menjelang 2 Februari ini.

Adalah diharapkan, segala permasalahan yang berlaku sebelum ini seperti caj bagi setiap bas ekspres keluar masuk ke terminal itu tidak akan menjejaskan operasi.

Lebih penting, kita tidak mahu caj yang dikenakan terhadap pengusaha bas terpaksa digalas oleh penumpang. Apakah akan ada tambahan caj tambang untuk menampung kos pengusaha? Begitu juga dengan kadar sewa gerai atau ruang perniagaan. Isu ini masih belum selesai. Diharapkan masalah ini juga dapat diberi perhatian serius. Harus diingat, pengguna terminal ini bukanlah penumpang yang akan menaiki pesawat. Mereka kebanyakannya adalah yang berpendapatan rendah dan sederhana yang memerlukan pengangkutan yang murah. Maka janganlah ‘membebankan’ mereka dengan harga barangan termasuk makanan dan minuman yang setaraf dengan gerai-gerai di KLIA, KL Sentral atau KLCC. Di Puduraya, harga sebotol air minuman (bukan air galian) yang boleh dijual 60 sen dijual sehingga RM1. Inikan pula di TBS-BTS. Kita tidak mahu pengguna terus merungut dengan harga makanan/minuman yang mahal di terminal itu.

Dan lebih penting janganlah beban yang ditanggung oleh pengusaha bas dan peniaga terpaksa dikongsi bersama oleh pengguna.

Terminal itu mungkin akan menjadi ‘gajah putih’ sekiranya ia tidak melibatkan campur tangan pihak kerajaan. Pengusaha bas, peniaga dan penumpang (golongan 3P) tidak ada pilihan - terpaksa juga ke TBS-BTS atas ‘keputusan’ kerajaan. Maka simpatilah kepada golongan 3P ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA