Sabtu, 18 Disember 2010

Memahami Ketuanan Melayu

SMAHADZIR

ISU ketuanan Melayu menjadi polemik yang berterusan kini. Penting bagi semua rakyat terutamanya generasi remaja memahami perspektif ketuanan Melayu supaya ia dapat membantu memahami faktor sejarah dan budaya orang Melayu. Ketuanan Melayu adalah suatu slogan politik yang terkait dengan sejarah dan budaya Melayu di Tanah Melayu. Daripada sudut sejarah, umum mengetahui bahawa sama ada perkataan ‘Malaya’ atau ‘Tanah Melayu’ atau ‘Malaysia’ itu sendiri berurutan dengan akar kata Melayu atau Malay. Kenyataan sejarah tidak pernah berdusta. Apa yang tertulis dalam buku sejarah terhadap Tanah Melayu asalnya adalah milik orang-orang Melayu. Perkembangan sejarah selepasnya menjadikan Tanah Melayu atau Malaya atau Malaysia milik pelbagai kaum.


Secara budaya, Tanah Melayu diduduki oleh orang-orang berbudaya Melayu seperti mana orang-orang Cina yang menamakan diri mereka Baba dan Nyonya melakukan asimilasi terhadap budaya Melayu. Menariknya mereka tidak dipaksa untuk memeluk agama Islam, walaupun budaya Melayu terkait dengan agama Islam. Budaya Melayu amat terkait rapat dengan ajaran Islam. Budaya Melayu sifatnya dinamik, ia boleh menampung pengaruh budaya lain asal sahaja tidak mencacatkan kemelayuannya.


Budaya Melayu sifatnya dinamik, ia boleh menampung pengaruh budaya lain asal sahaja tidak mencacatkan kemelayuannya. - Gambar hiasan


Sebab itu pada asasnya kebudayaan kebangsaan ditakrifkan sebagai kebudayaan Melayu di mana teras kebudayaan itu adalah Islam dan boleh diserapi budaya-budaya lain yang didapati sesuai. Dinamiknya sejarah Melayu dan Malaysia ialah kerana ia tidak statik dengan perkembangan politik semasa.


Sebelum merdeka apabila disebut Tanah Melayu sememangnya adalah milik orang-orang Melayu. Jika ditanya siapakah yang memiliki Tanah Melayu ini maka bukti sejarah dan kenyataan budaya akan menyatakan ia adalah milik orang-orang Melayu. Yang paling asas dalam fakta sejarah ini ialah Tanah Melayu dan negeri-negeri Melayu diperintah di bawah kerajaan Melayu.


Dunia Melayu adalah luas, tidak sahaja merangkum Tanah Melayu tetapi juga di luar Tanah Melayu. Akibat perkembangan politik, faktor sejarah berubah. Walaupun ia berubah fakta sejarah tidak boleh dibohongi seperti juga orang tidak boleh membohongi bahawa Tanah Besar China adalah milik orang-orang Cina. Seperti juga Tanah Besar India adalah milik orang-orang India. Kalau adapun kelompok minoriti yang datang dan tinggal menjadi warganegara berkenaan, ketuanan bangsa-bangsa tetap milik bangsanya asalnya.


Sokongan jawatankuasa perlembagaan membuat perakuan untuk memberi status kewarganegaraan kepada sebahagian besar orang Cina dan sebahagian orang India untuk menjadi warga Tanah Melayu sebagai syarat kemerdekaan. Ini diterima oleh rombongan kemerdekaan ke London dan juga menjadi sebahagian daripada peruntukan perlembagaan bagi negara Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaya dan Malaysia. Oleh itu faktor politik menyebabkan demografi atau kependudukan orang Tanah Melayu mengalami perubahan. Perubahan itu diterima sebagai sesuatu yang selari dengan perlembagaan dan undang-undang.


Bagaimanapun, secara psikologi orang Melayu tetap merasakan bahawa negara ini milik mereka, dan tidak pula menjadi masalah dalam proses masa dan perubahan orang-orang bukan Melayu merasakan Malaysia miliknya. Justeru, maksud ketuanan Melayu itu sifatnya lebih bersifat sejarah atau historical dan mempunyai elemen-elemen psikologi (psychological).


Dalam tradisi Islam, menyebut nama bangsa tidaklah salah kerana ia sudah ada dalam Al-Quran (surah al-Hujurat: 13) tetapi bangsa-bangsa ini perlu melalui proses lita’arafu atau saling mengenali antara satu sama lain. Kekuatan budaya Islam yang ada pada orang Melayu boleh dipelajari. Kekuatan dan tamadun orang bukan Melayu boleh juga diambil dan ia boleh melahirkan satu sinergi yang lebih kuat dan kukuh. Asas ini patut disuburkan dalam sistem pendidikan negara, kegiatan ekonomi dan muafakat politik. Ini supaya akhirnya etika yang baik dengan nilai-nilai murni menjadi rujukan utama dalam proses memperkasa Malaysia sebagai sebuah negara maju dan aman damai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA