Khamis, 17 Oktober 2013

Anak Membangkang Perintah Ayah

SMAHADZIR


KETIKA Rasulullah s.a.w. memanggil kaum Muslimin yang mampu berperang untuk terjun ke gelanggang perang Badar, terjadi dialog menarik antara Saad bin Khaitsamah dengan ayahnya yakni Khaitsamah. Dalam masa-masa itu panggilan seperti itu tidak terlalu menghairankan. Kaum Muslimin sudah tidak merasa asing bila dipanggil untuk membela agama Allah s.w.t. dan jihad fisabilillah. Sebab itu Khaitsamah berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, aku akan keluar untuk berperang dan kau tinggal di rumah menjaga wanita dan anakanak,”

“Wahai ayahku, Demi Allah... janganlah berbuat seperti itu, kerana keinginanku untuk memerangi mereka lebih besar daripada keinginanmu. Engkau telah berkepentingan untuk tinggal di rumah, maka izinkanlah aku keluar dan tinggallah engkau di sini, wahai ayahku,”

Khaitsamah marah dan berkata kepada anaknya, “Kau membangkang dan tidak mentaati perintahku,” 

Saad menjawab, “Allah s.w.t. mewajibkan aku berjihad dan Rasulullah s.a.w. memanggilku untuk berangkat berperang. Sedangkan engkau meminta sesuatu yang lain padaku, sehingga bagaimana engkau rela melihat aku taat padamu tetapi aku menentang Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w,”

Maka Khaitsamah berkata, “Wahai anakku, apabila ada antara kita harus ada yang berangkat satu orang baik kau mahupun aku, maka dahulukan aku untuk berangkat,”

Saad menjawab, “Demi Allah. wahai ayahku, kalau bukan masalah syurga, maka aku akan mendahulukanmu,”

Khaitsamah tidak rela kecuali melalui undian antara dia dan anaknya sehingga terasa lebih adil. Hasil undian menunjukkan bahawa Saadlah yang harus turun ke medan perang. Dia pun turun ke medan Badar dan mati syahid.

Setelah itu Khaitsamah berangkat menuju medan pertempuran. Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak mengizinkannya. Hanya sahaja Rasulullah s.a.w. akhirnya mengizinkannya setelah Khaitsamah berkata sambil menangis, “Wahai Rasulullah s.a.w., aku sekali terjun dalam perang Badar. Lantaran inginnya aku harus mengadakan undian dengan anakku. Tetapi itu dimenangkannya sehingga dia yang mendapat mati syahid. Kelmarin aku bermimpi di mana di dalamnya anakku itu berkata kepadaku, “Engkau harus menemani kami di syurga, dan aku telah menerima janji Allah s.w.t. Wahai Rasulullah s.a.w., Demi Allah, aku rindu untuk menemaninya di syurga. Usiaku telah lanjut dan aku ingin berjumpa dengan Tuhanku,”

Setelah diizinkan Rasulullah s.a.w., Khaitsamah bertempur hingga mati syahid dan berjumpa dengan anaknya di syurga. 

Sayyidah Nafisah

SMAHADZIR


SAYYIDAH NAFISAH dilahirkan pada tahun 145 Hijrah. Beliau merupakan anak kepada Saiyidina Hassan bin Ali bin Abi Talib, iaitu cicit kepada Nabi s.a.w. Sayyidah Nafisah dinikahkan dengan Mu’tamin bin Ja’far As Siddiq yang juga merupakan keturunan Rasulallah s.a.w. Setelah berkahwin dengan suaminya, beliau telah mengikuti suaminya ke Mesir.

Sayyidah Nafisah adalah seorang yang sangat kuat beribadah kepada Allah s.w.t. Siang hari dia berpuasa sunat sedangkan pada malamnya dia bertahajjud menghidupkan malam dengan berzikir dan membaca Al-Quran. Dia sungguh zuhud dengan kehidupannya. Hatinya langsung tidak terpaut dengan kehidupan dunia yang menipu daya. Jiwanya rindu dengan syurga Allah s.w.t. dan sangat takut dengan syurga Allah s.w.t. Di samping itu Sayyidah Nafisah sangat taatkan suaminya. Beliau sangat mematuhi perintah suami dan melayan suaminya dengan sebaik-baiknya.

Terlalu banyak kisah mengenai kehebatan Sayyidah Nafisah, yang merupakan seorang wali wanita yang dapat menjadi contoh kepada wanita di akhir zaman ini. Di antaranya, semasa di Mesir, jirannya adalah seorang Yahudi. Anak perempan mereka lumpuh. Suatu hari si ibu hendak pergi ke satu tempat, sedangkan suaminya tiada di rumah.

Lalu si ibu mencadangkan agar anaknya itu tinggal sementara waktu di rumah Sayyidah Nafisah. Sianak bersetuju, lalu dihantar ke rumah Sayyidah Nafisah yang sememangnya sangat menghormati tetamu. Anak wanita Yahudi itu diletakkan di satu sudut di rumah Sayyidah Nafisah, dan ketika itu azan pun berkumandang menandakan masuk waktu sembahyang.

Sayyidah Nafisah yang menunggu waktu solat meminta kebenaran tetamunya untuk segera bersolat. Sayyidah Nafisah lalu di hadapan anak wanita Yahudi yang lumpuh itu untuk mengambil wudukknya. Setelah selesai, beliau lalu lagi di hadapan anak wanita Yahudi tersebut dan air wuduk Sayyidah Nafisah jatuh di hadapannya.

Lalu datanglah ilham kepada anak Yahudi yang lumpuh itu untuk menyapu air wuduk Sayyidah Nafisah yang jatuh itu ke kakinya. Dengan izin Allah s.w.t., kakinya yang lumpuh itu bergerak-gerak dan terasa boleh berjalan, sedangkan Sayyidah Nafisah tetap khusyuk mengerjakan solat.

Kemudian, terdengarlah pula ibunya telah balik dan mengetuk pintu, sedangkan sewaktu itu Sayyidah Nafisah masih lagi mengerjakan solat. Anak perempuan Yahudi itu memberanikan diri dengan berdiri dan ternyata dia mampu berdiri setelah menyapukan air wuduk Sayyidah Nafisah yang jatuh di hadapannya. Dia membuka pintu dan memeluk ibunya. Ibunya sangat terkejut, dan bertanya apa yang telah terjadi, anak wanita Yahudi yang lumpuh itu menceritakan segala-galanya. Air wudukk Sayyidah Nafisah yang jatuh di hadapannya itu telah menjadi penawar untuk menyembuhkan sakit lumpuh yang telah dialaminya sekian lama. Menangislah si ibu mendengarkan hal yang sangat ajaib itu.

Lalu dia mendapatkan Sayyidah Nafisah, dan memeluknya seraya berkata: “Aku mengaku bahawa engkau adalah cucu Rasulullah s.a.w. dan datukmu itu adalah Rasul Allah s.w.t. dan Allah s.w.t. adalah Tuhan sekalian alam,” Islamlah perempuan Yahudi tersebut. Melihatkan hal tersebut Sayyidah Nafisah memberitahu itu semua adalah kehendak dan izin Allah s.w.t. semata-mata.

Wanita Yahudi dan anaknya yang telah Islam itu kembali ke rumahnya dan bertemu pula dengan suaminya yang bernama Ayubin Dan dia sangat terkejut melihatkan anaknya telah boleh berjalan. Mendengarkan penjelasan dari isteri dan anaknya, Ayub menadah tangannya lalu berkata:

“Maha suci engkau Ya Allah! Engkau sesatkan orang yang engkau kehendaki dan engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang engkau kehendaki. Demi Allah, benarlah agamamu ini,” 

Sejak itu Ayub dan keluarganya Islam, maka kemudian ramailah orang-orang Yahudi yang menjadi kenalan Ayub pula Islam, setelah mendengar kisah Ayub dan keluarganya.

Demikianlah salah satu dari kisah yang sangat menyentuh perasaan bagaimana dengan air wuduknya sahaja Sayyidah nafisah telah mengislamkan berapa ramai orang. Hal yang demikian adalah dengan kehendak Allah s.w.t. jua. Sayyidah Nafisah adalah seorang yang terkenal zuhud dan mengasihi manusia yang lain. Pernah satu ketika, beliau menerima wang sebanyak 1000 dirham dari raja untuk keperluan dirinya.

Beliau telah membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin sebelum sempat memasuki rumahnya. Wang hadiah dari raja itu sedikit pun tidak diambilnya untuk kepentingan dirinya. Semuanya disedekahkan kepada fakir dan miskin. Demikianlah dermawannya Sayyidah Nafisah terhadap fakir miskin.

Sayyidah Nafisah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 208 hijrah sewaktu sedang membaca Al-Quran dan sedang berpuasa. Beliau telah dikuburkan di dalam kubur yang telah dibinanya sendiri di dalam rumahnya. Kubur yang dibinanya itu adalah untuk beliau sentiasa mengingatkan akan kematian. Sewaktu disembahyangkan sangat ramai orang yang menghadirinya.

Sehingga kini maqamnya diziarahi oleh pengunjung dari seluruh pelusuk dunia. Demikian kehebatan yang Alah anugerahkan kepada Sayyidah Nafisah Al-Hassan yang terkenal dengan kewarakan kepada Allah s.w.t. dan ketaatannya kepada suami. Semoga ianya menjadi contoh buat genarasi wanita akhir zaman ini. 

Rela Dimasukkan Ke Neraka

SMAHADZIR


NABI MUSA A.S suatu hari sedang berjalan-jalan melihat keadaan umatnya. Nabi Musa a.s melihat seseorang sedang beribadah. Umur orang itu lebih dari 500 tahun. Orang itu adalah seorang yang ahli ibadah. Nabi Musa a.s kemudian menyapa dan mendekatinya.

Setelah berbicara sejenak ahli ibadah itu bertanya kepada Nabi Musa a.s, Wahai Musa a.s aku telah beribadah kepada Allah s.w.t. selama 350 tahun tanpa melakukan perbuatan dosa. Di manakah Allah s.w.t. akan meletakkanku di Syurga-Nya? Tolong sampaikan pertanyaanku ini kepada Allah s.w.t. Nabi Musa a.s mengabulkan permintaan orang itu.

Nabi Musa a.s kemudian bermunajat memohon kepada Allah s.w.t. agar Allah s.w.t. memberitahukan kepadanya di mana umatnya ini akan ditempatkan di akhirat kelak. Allah s.w.t. berfirman, “Wahai Musa (a.s) sampaikanlah kepadanya bahawa Aku akan meletakkannya di dasar Neraka-Ku yang paling dalam,” Nabi Musa a.s kemudian mengkhabarkan kepada orang tersebut apa yang telah difirmankan Allah s.w.t. kepadanya. Ahli ibadah itu terkejut.

Dengan perasaan sedih ia beranjak dari hadapan Nabi Musa a.s. Malamnya ahli ibadah itu terus berfikir mengenai keadaan dirinya. Beliau juga mulai terfikir bagaimana dengan keadaan saudara-saudaranya, temannya, dan orang lain yang mereka baru beribadah selama 200 tahun, 300 tahun, dan mereka yang belum beribadah sebanyak dirinya, di mana lagi tempat mereka kelak di akhirat. Keesokan harinya ia menjumpai Nabi Musa a.s kembali.

Beliau kemudian berkata kepada Nabi Musa a.s, “Wahai Musa a.s, aku rela Allah s.w.t. memasukkan aku ke dalam Neraka-Nya, akan tetapi aku meminta satu permohonan. Aku mohon agar setelah tubuhku ini dimasukkan ke dalam Neraka maka jadikanlah tubuhku ini sebesar-besarnya sehingga seluruh pintu Neraka tertutup oleh tubuhku jadi tidak akan ada seorang pun akan masuk ke dalamnya,” Nabi Musa a.s menyampaikan permohonan orang itu kepada Allah s.w.t.

Setelah mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi Musa a.s maka Allah s.w.t. berfirman, “Wahai Musa (a.s) sampaikanlah kepada umatmu itu bahawa sekarang Aku akan menempatkannya di Syurgaku yang paling tinggi.” 

Solat Membersihkan Dosa

SMAHADZIR


DIRIWAYATKAN daripada Hazrat Abu Hurairah r.a katanya, “Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jika sebatang anak sungai mengalir di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu dan dia mandi di dalam sungai itu sebanyak lima kali sehari, pada pendapat kamu masih adakah lagi kekotoran (pada badannya)?

Para sahabat menjawab, “Tidak akan tertinggal sedikit pun kekotoran,”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Maka demikianlah juga solat lima waktu, melalui solat Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa,” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Hazrat Jabir r.a katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Perumpamaan solat lima waktu ialah seperti seseorang yang mandi di sebatang sungai yang dalam yang mengalir di hadapan rumahnya sebanyak lima kali sehari,” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Keterangan

Air yang mengalir adalah suci daripada kekotoran. Lebih dalam air itu maka lebih jernih dan lebih bersih air tersebut. Oleh itu, dalam hadis di atas disebutkan keadaan air sungai yang mengalir dan ke dalaman sungai itu. Jika air yang digunakan untuk mandi itu bersih maka badannya akan menjadi bersih. Demikianlah juga solat yang ditunaikan dengan memelihara adab maka solat itu akan membersihkan dosa. Perkara yang terkandung dalam banyak kedua-dua hadis di atas juga terkandung dalam banyak hadis yang diriwayatkan oleh sahabat yang berlainan dengan lafaz-lafaz yang berbeza.

Diriwayatkan daripada Hazrat Abu Sa’id Al-Khudri r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Solat lima waktu ialah kafarah (penghapus dosa) di antara dua waktu solat,” Yakni dengan berkat solat, semua dosa-dosa kecil yang dilakukan di antara satu solat dengan satu solat yang lain akan terampun. Kemudian Baginda s.a.w. bersabda yang mafhumnya, umpama seseorang yang bekerja di dalam sebuah kilang miliknya. Oleh itu terlekatlah debu dan kekotoran pada badanya.

Di antara kilang dan rumahnya terdapat lima batang sungai. Apabila dia balik ke rumah dari kilangnya, dia akan mandi di setiap batang sungai itu. Begitulah keadaanya dengan solat lima waktu, apabila berlaku kesalahan dan kesilapan di antara dua waktu solat makan melalui doa dan istighfar yang dipohon semasa bersolat, Allah s.w.t. akan mengampuni keseluruhan dosa tersebut.

Tujuan Nabi s.a.w. memberi perumpamaan seperti ini ialah untuk memberi kefahaman tentang satu perkara iaitu Allah s.w.t. meletakkan kekuatan pada solat untuk menghapuskan dosa. Oleh sebab dengan perumpamaan sesuatu perkara boleh difahami dengan lebih jelas maka Baginda s.a.w. telah menjelaskan perkara ini melalui berbagai-bagai perumpamaan.

Sekiranya kita tidak mengambil manfaat daripada rahmat Allah s.w.t., kasih sayang-Nya, kemurahan-Nya, keluasan keampunan-Nya dan limpah kurnia-Nya maka tiada sesiapa yang rugi melainkan diri kita sendiri. Sepatutnya kita dihukum dan menerima akibat yang buruk daripada Tuhan Yang Maha Berkuasa, Raja Yang Maha Adil kerana melanggari perintah-perinta-Nya, melakukan dosa, menyimpang daripada perintah-Nya dan cuai dalam melaksanakan perintah-Nya.

Namun betapa agungnya kemurahan Allah s.w.t. yang masih menunjukkan jalan untuk kita mendapat keampunan-Nya. Jika kita masih tidak mengambil manafaat daripada peluang ini, maka itu adalah di atas kejahilan kita. Allah s.w.t. melalui rahmat-Nya dan kasih sayang-Nya sentiasa memberi peluang untuk menganugerahkan pemberian-Nya.

Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa seseorang yang tidur dengan niat untuk bangun mengerjakan solat tahajud tetapi tidak terjaga maka dia mendapat pahala solat tahajud dengan percuma walaupun pada ketika itu dia dalam keadaan tidur (At-Targhib). Betapa malangnya dan ruginya kita jika tidak merebut pemberian dan kurnian daripada zat Allah s.w.t. yang begitu luas kurnianya.

Diriwayatkan daripada Hazrat Abu Uthman r.a katanya, “Saya bersama Hazrat Salman r.a di bawah sepohon pokok. Beliau memegang sebatang dahan kering dari pokok tersebut, lalu menggoncang-goncangkan dahan tersebut sehingga daun-daun pada dahan itu gugur. Kemudian beliau berkata kepada saya, “Wahai Abu Uthman, mengapa kamu tidak bertanya sebab saya berbuat begini?”

Saya bertanya, “Beritahulah mengapa kamu berbuat begitu?”

Beliau menjawab, “Beginilah yang dilakukan oleh Rasululullah s.a.w. di hadapan saya semasa saya bersama-sama Rasululullah s.a.w. di bawah sepohon pokok. Baginda s.a.w. telah mengambil sebatang dahan kering dari sepohon pokok lalu melakukan sebegini sehingga semua daun gugur.

Kemudian Baginda s.a.w. bertanya kepada saya, “Salman, mengapa kamu tidak bertanya sebab saya buat begini?” 

Sahutku, “Beritahulah mengapa tuan berbuat begitu?” 

Baginda s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya apabila seorang Islam mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian dia menunaikan solat lima waktu maka gugurlah dosa-dosanya seperti gugurnya daun-daun ini,” Kemudian Baginda s.a.w. membaca ayat yang berikut yang ertinya: ‘Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika-ketika yang berhampiran dengannya daripada waktu malam. Sesungguhnya amAl-amal kebaikan itu (terutamanya solat) itu akan menghapuskan dosa. Perintah-perintah Allah s.w.t. yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang yang ingin mendapat peringatan’ (Surah Hud, Ayat 114) (Hadis riwayat Iman Ahmad, Nisai dan Tabarani)

Hazrat Abu Zar r.a berkata, “Suatu ketika Rasululullah s.a.w. keluar pada musim sejuk semasa daun-daun gugur, lantas Baginda s.a.w. memegang dahan dari sebatang pokok maka daun-daun tersebut mulai gugur dengan lebat dari dahan tersebut.

Baginda s.a.w. bersabda, “Wahai Abu Zar,”

Saya menyahut, “Saya ya Rasululullah,”

Kemudian Baginda s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang Islam menunaikan solat untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t., dosanya gugur seperti gugurnya daun-daun ini dari pokok,” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Keterangan

Pada musim sejuk banyak sekali daun yang gugur sehingga kadang-kadang tiada sehelai daun pun yang tertinggal pada sesetengah pohon. Inilah yang merupakan mafhum daripada sabdaan Nabi s.a.w. iaitu solat yang dilaksanakan dengan ikhlas akan menghapuskan semua dosa sehingga tidak ada satu dosa pun yang tertinggal.

Walau bagaimanapun, satu perkara perlu diberi perhatian iaitu rumusan daripada kajian yang mendalam daripada para alim ulama berdasarkan Al-Quran dan hadis menyatakan bahawa hanya dosa kecil sahaja yang akan terampun melalui solat dan amalan-amalan kebaikan yang lain. Dosa besar tidak terampun tanpa bertaubat.

Oleh itu, di samping mengerjakan solat, kita hendaklah juga mengambil berat untuk bertaubat dan beristighfar dan janganlah mencuaikan perkara ini. Lainlah jika Allah s.w.t. mengampun dosa besar seseorang dengan limpah rahmat-Nya.

Diriwayatkan daripada Hazrat ‘Abdullah bin ‘Umar r.a katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Islam dibina atas lima (rukun). Bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah s.w.t. dan Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan,” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keterangan

Kelima-lima perkara di atas merupakan asas Islam yang unggul dan rukun yang penting. Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. mengibaratkan Islam sebagai sebuah khemah yang ditegakkan oleh lima batang tiang. Tiang tengah ialah kalimah syahadah, sementara keempat-empat tiang di empat penjuru khemah itu merupakan empat lagi rukun Islam yang lain. Tanpa tiang tengah khemah tersebut tidak boleh ditegakkan sama sekali.

Jika khemah itu ada tiang tengah dan salah satu daripada empat tiang tadi tidak ada maka khemah itu masih dapat ditegakkan tetapi penjuru yang tiada tiang itu akan cacat dan condong. Setelah mengetahui sabdaan Nabi s.a.w. yang tersebut, kini marilah kita sama-sama menyemak diri kita sejauh manakah teguhnya khemah yang telah kita dirikan itu dan rukun Islam yang manakah telah dapat kita jaga dengan sempurna?

Sebenarnya kelima-lima rukun Islam tersebut amat penting sehingga dijadikan sebagai asas Islam. Sebagai seorang Islam, kita sangat perlu mengambil berat terhadap kesemua rukun Islam itu tetapi amalan yang terpenting sesudah iman ialah solat.

Hazrat ‘Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Amalan manakah yang paling disukai oleh Allah s.w.t.?”

Baginda menjawab, “Solat,”

Saya bertanya lagi, “Selepas solat apa pula?”

Jawab Baginda s.a.w. “Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa,”

Saya bertanya lagi, “Selepas itu apa pula?”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jihad,”

Mulla ‘Ali Qari rah. berkata bahawa hadis ini menjadi dalil bagi pendapat ulama yang menegaskan bahawa solat adalah amalan yang paling afdal selepas iman. Pendapat ulama tersebut dikuatkan lagi dengan sebuah hadis sahih yang berbunyi “Sebaik-baik amalan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. adalah solat,”

Tentang solat yang merupakan amalan paling afdal antara semua ibadat yang lain, diterangkan dengan jelas dalam banyak hadis sahih. Antara hadis tersebut ada yang terkandung dalam kitab ‘Jamiu’ Saghir’ seperti yang diriwayatkan oleh lima orang sahabat iaitu Hazrat Thauban, Hazrat Ibnu ‘Amr r.anhuma, Hazrat Salamah, Hazrat Thauban, Hazrat Abu Umamah dan Hazrat ‘Ubadah r.a.

Diriwayatkan daripada Hazrat Ibnu Mas’ud r.a dan Hazrat Anas r.a bahawa amalan yang terbaik ialah mengerjakan solat tepat pada waktu solat. Diriwayatkan juga daripada Hazrat Ibnu ‘Umar r.anhuma dan Hazrat Ummi Fardah r.anha bahawa amalan yang paling baik ialah solat pada awal waktu. 

Rasulullah Dan Pengemis Yahudi Buta

SMAHADZIR


DI SUDUT pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata, “Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya,”

Setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuap makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah s.a.w. melakukannya hingga menjelang Nabi Muhammad s.a.w. wafat. Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r. ha. Beliau bertanya kepada anaknya, “Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan,”

Aisyah r. ha menjawab pertanyaan ayahnya, “Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja,”

“Apakah itu?” tanya Abu Bakar r.a.setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana,” kata Aisyah r. ha.

Keesokan harinya Abu Bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abu Bakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, “Siapakah kamu?”

Abu Bakar r.a menjawab, “Aku orang yang biasa,”

“Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” jawab si pengemis buta itu. “Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tetapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri,” pengemis itu meneruskan perkataannya.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w. Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar r.a. ia pun menangis dan kemudian berkata, benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikit pun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia... Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan Abu Bakar r.a. 

Watak Akhir Zaman

SMAHADZIR


Kedatangan Imam Mahdi 

Ada disebutkan dalam Atsar, kata-kata sahabat yang menerangkan tanda-tanda sudah dekatnya kemunculan Imam Mahdi. Menurut riwayat apabila sudah dekat kedatangan Imam Mahdi akan banyak terjadi peperangan, banyak bencana dan banyak bala.

Pada masa itu nanti semakin banyak terjadi pembunuhan dan peperangan. Orang mahu berbunuh-bunuhan kerana masalah remeh-temeh. Antara satu kumpulan de-ngan kumpulan lain, begitu juga antara satu negara dengan negara lain berperang kerana masalah kecil. Bencana semakin banyak berlaku, seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, angin puting beliung, banjir dan sebagainya. Begitu juga penyakit, semakin banyak jenis penyakit dan semakin ramai manusia yang berpenyakit.

Menjelang datangnya Imam Mahdi nanti akan muncul api yang besar dari arah Masyriq (tempat terbitnya matahari) dan menerangi seluruh ufuk selama tiga malam. Pada masa itu juga nanti lengkaplah jumlah orang-orang yang mengaku dirinya sebagai nabi berjumlah enam puluh orang. Masa itu akan tenggelam kampung-kampung di negeri Syam. Akan datang angin yang hitam yang menyebabkan manusia ramai yang mati. Sungai Furat di Iraq akan melimpah (banjir) yang menyebabkan kota Kufah tenggelam. Akan terdengar suara seruan dari langit. Suara itu dapat didengar oleh semua manusia yang ada di dunia. Dan yang paling menghairankan lagi, suara itu dapat difahami oleh semua orang.

Orang yang hanya tahu atau faham bahasa Inggeris faham mendengar seruan dari langit itu, begitu juga pengguna bahasa Cina, bahasa India, bahasa Melayu, bahasa Arab dan sebagainya. Mungkin juga panggilan itu dalam bahasa Arab tetapi semua orang mendengar dalam bahasanya sendiri.

Terdengar suara pada tengah malam bulan Ramadan yang menyebabkan semua orang yang tidur terbangun atau terperanjat. Banyak pembunuhan dan banyak peperangan berlaku sehingga darah mengalir di jalan-jalan raya. Orang semkain berani berbuat jahat tidak kira tempat dan waktu.

Pada masa itu nanti yang diangkat menjadi pemimpin pun terdiri dari orang-orang jahat. Pemimpinnya jahat dan orang yang dipimpin pun sama-sama jahat. Dalam hadis dikatakan ramai manusia pada masa itu nanti yang beriman pada waktu petang tetapi esok paginya sudah menjadi kafir. Namun demikian ramai ulama yang mengertikan hadis itu dengan kafir nikmat.

Bukan bererti petang dia masih Islam esok harinya sudah Nasrani atau Yahudi misalnya. Maksud hadis itu menurut ulama menunjukkan banyaknya orang yang kafir nikmat. Apa-apa nikmat dan pemberian Allah s.w.t. tidak disyukuri dan tidak digunakan kepada yang diredai Allah s.w.t.

Menjelang turunnya Imam Mahdi dikatakan pasukan tentera dari Turki akan datang ke jazirah Arab Mereka datang untuk menakluki tanah-tanah jazirah Arab Mereka bunuh pemimpin-pemimpinnya dan mereka kuasai daerahnya.

Dalam keadaan dunia yang buruk dan kacau itu tiba-tiba muncullah Imam Mahdi. Beliau datang untuk meneruskan atau menyambung perjuangan datuknya (Muhammad s.a.w.) untuk mengatasi kekalutan dan kekacauan yang dihadapi umat. Semua makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi merasa gembira dengan kedatangan Imam Mahdi itu. Bukan hanya manusia yang gembira, tetapi juga binatang buas, burung-burung dan makhluk lainnya.

Imam Mahdi itu adalah seorang lelaki yang soleh dari keluarga Rasulullah s.a.w. yang ada ketika itu (pada masa munculnya) nanti. Dia diangkat orang menjadi pemimpin ketika manusia di seluruh dunia nanti sudah begitu buruk keadaannya.

Mereka mengangkat Imam Mahdi menjadi pemimpin ketika itu nanti setelah melihatnya berilmu, berakhlak dan mempunyai banyak kelebihan. Manusia yang ada pada zaman itu nanti mengharap semoga dia dapat mengembalikan dunia kepada kebaikan. Dengan perasaan yang cukup berat, dia (Imam Mahdi) menerimanya. Dia sendiri tidak tahu yang dirinyalah Imam Mahdi yang ditakdirkan Allah s.w.t. untuk diutus ke dunia. Begitu juga manusia sedunia yang telah mengangkatnya menjadi pemimpin dunia, tidak tahu bahawa orang yang mereka angkat itu adalah Imam Mahdi.

Kerana tidak tahu yang dirinya Imam Mahdi dan tidak berapa suka menjadi pemimpin, sudah tentu dia pun tidak ada berkempen mengajak orang untuk mengangkatnya. Setelah dia memimpin dunia dengan baik barulah orang tahu bahawa itu adalah Imam Mahdi. Dia tunjukkan perilaku yang baik, dia ajak manusia mengerjakan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar, kemudian orang pun mengikuti arahannya.

Mengapa manusia yang sudah begitu lama bergelimang dengan dosa mahu diajak kepada kebaikan? Ini tentunya samalah dengan zaman jahiliah dahulu, yang mana keadaan masyarakat sudah begitu buruk, tiba-tiba datang seorang utusan Allah s.w.t. untuk membaiki keadaan dunia, orang pun terus mengikutnya.

Manusia mahu diajak kepada kebaikan tentunya setelah melihat orang yang mengajak itu mempunyai banyak kelebihan, dan yang paling penting orang yang mengajak itu berjuang dengan ikhlas dan sesuai kata-kata dengan perbuatannya. Jadi nanti manusia seluruh dunia mengikut ajarannya kemudian dia pun mengatur dunia dengan baik.

Keadilan dapat ditegakkan seperti zaman Rasulullah s.a.w. dahulu. Kerana keadaan masyarakat sudah baik dan sudah beriman, malapetaka dan musibah berkurangan. Bahkan rahmat Allah s.w.t. pula yang datang dan rezeki melimpah ruah. Setelah dunia aman dan makmur serta melihat pemimpinnya tidak terpedaya oleh kesenangan dunia, tahulah mereka bahawa yang memimpin mereka itu adalah Imam Mahdi.

Kedatangan Dajjal 

Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w. memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w. naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah s.w.t. dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”

Rasulullah s.a.w. berkata lagi: “Demi Allah. aku me-nyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.

Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.

Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?”

Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.”

Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?”

Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”

Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu. Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?”

Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?” 

Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini. Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”

Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya. Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu, nama tempat di negeri Syam.”

Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan maksudkan?”

Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?”

Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”

Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.”

Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?”

Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.”

Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.”

Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”

Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?”

Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?”

Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?”

Mereka ceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya. Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.”

Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”

Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w. menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?”

Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah s.a.w.”

Rasulullah s.a.w. berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w. sambil menunjuk ke arah timur.

Rasulullah s.a.w. telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan. 

Kedatangan Nabi Isa

SMAHADZIR

DIRIWAYATKAN oleh Muslim dari Al-Nawas bin Sam’an bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda tentang Nabi Isa: Beliau akan turun berdekatan dengan menara putih di timur Damsyik, dengan memakai pakaian kuning. Dua telapak tangannya terletak di atas sayap dua malaikat. Apabila dia menundukkan kepalanya menitislah air. Apabila dia mengangkat kepalanya lagi, turunlah daripadanya seperti untaian mutiara.

Berdasarkan hadis ini bererti Nabi Isa akan turun di Syam, bahkan juga di Damsyik, iaitu di sisi menara sebelah timur. Beliau akan turun pada waktu fajar. Ibnu Katsir ada berkata: Sesungguhnya tidak ada di Damsyik menara yang dikenal di sebelah timurnya kecuali yang berada di samping masjid jamik Amawi, iaitu di sebelah timur Damsyik.

Menara tersebut telah diperbaiki pada zaman Ibnu Katsir, iaitu pada tahun 741 hijrah. Pembiayaannya diambil dari harta orang-orang Nasrani yang sebelumnya telah membakar menara masjid tersebut. Besar kemungkinan nanti Nabi Isa akan turun di tempat itu.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Para nabi semuanya bersaudara disebabkan ayah mereka satu dan hanya ibu mereka yang berlainan. Sedangkan agama mereka adalah satu. Dan akulah orang yang paling dekat dengan Isa bin Maryam kerana tidak ada Nabi di antara kami. Sesungguhnya dia akan turun. Apabila dia turun nanti, untuk me-ngenalinya orangnya sedang dan kulitnya putih kemerah-merahan. Dia memakai pakaian yang kuning. Dari kepalanya seperti menitis air walaupun rambut dan kepalanya tidak basah. Dia akan mengajak orang kepada Islam.

Pada zamannya juga nanti dia akan menghancurkan segala agama kecuali Islam. Allah s.w.t. akan membinasakan Dajjal pada zamannya, bahkan di tangannya. Pada zamannya nanti dunia akan aman sehingga harimau dan unta berkawan dengan baik. Begitu juga harimau dengan lembu, serigala dengan kambing. Kanak-kanak akan bermain dengan ular dan ular itu tidak menggigit mereka. Keadaan seperti itu berjalan selama empat puluh tahun. Kemudian Nabi Isa a.s. wafat dan disembahyangkan oleh kaum muslimin.

Muhammad s.a.w. adalah nabi penutup dan tidak akan ada lagi nabi sesudahnya. Turunnya Nabi Isa pada akhir zaman akan menguatkan lagi kebenaran agama Islam. Islam bererti menyerahkan segala urusan bagi Allah s.w.t. yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya, beriman dengan semua Rasul, berserah kepada Allah s.w.t. dan taat dengan sebenar-benar taat. Itu semua sebenarnya sudah dianjurkan oleh agama-agama langit semenjak zaman Nabi Ibrahim, selaku bapa nabi-nabi, sampai kepada Muhammad s.a.w. selaku nabi terakhir.

Isa a.s. adalah nabi dan rasul yang mulia, datang dari sisi Allah s.w.t. Beliau dahulu sudah ada membawa syariat kepada umatnya tiba-tiba beliau diangkat ke langit. Nanti di akhir zaman beliau akan turun lagi dengan izin Allah s.w.t. tetapi bukan membawa agama atau syariat baru. Beliau datang nanti untuk menguatkan agama Islam,

Ummu Syuraik bertanya kepaad Rasulullah s.a.w. tentang hari Dajjal: Ya Rasulullah s.a.w., ke mana orang-orang Arab ketika itu?

Rasulullah s.a.w. menjawab: Jumlah mereka pada waktu itu terlalu sedikit. Mereka lari ke Baitul Maqdis menjumpai Imam mereka, seorang lelaki soleh (Imam Mahdi menurut riwayat itu).

Ketika Imam mereka sudah berdiri di depan untuk mengimami solat Subuh, tiba-tiba datang Nabi Isa. Imam mereka itu mundur untuk memberi peluang kepada Nabi Isa untuk mengimami solat Subuh itu tetapi Isa a.s sambil memegang bahu Imam itu berkata: Teruskanlah, sesungguhnya iqamat dibacakan untuk engkau.

Maka sembahyanglah mereka semua di belakang Imam tadi.

Selesai solat, Isa a.s berkata kepada semua jemaah: Bukakan pintu itu.

Mereka membuka pintu masjid itu, tiba-tiba Dajjal sudah berdiri di situ dan di belakangnya ada 70,000 Yahudi lengkap membawa senjata. Melihat Nabi Isa ada di dalam masjid itu, Dajjal tiba-tiba saja layu atau cair seperti cairnya garam disirami air. Dajjal itu lari terbirit-birit kerana ketakutan. Nabi Isa bersama kaum Muslimin terus saja mengejarnya kemudian menjumpainya di Babu Luddi. Dan di sanalah Nabi Isa membunuh Dajjal itu.

Orang-orang Yahudi pun akan tatkalahkan dan dibinasakan Allah s.w.t. pada waktu itu. Mereka cuba lari dan bersembunyi tetapi semua benda tempat mereka bersembunyi akan pandai bercakap atau bercerita dengan izin Allah s.w.t. Benda-benda dimaksud termasuklah dinding, batu, pokok kayu dan sebagainya. Kalau ada orang Yahudi yang bersembunyi di balik belakang mereka, benda-benda itu akan memberitahukannya. Termasuk juga satu pokok berduri (disebut pokok Yahudi), jika mereka bersembunyi di bawahnya, pokok itu akan berkata: Wahai hamba Allah. yang beriman, di sini ada orang Yahudi, bunuhlah dia.

Kata Rasulullah s.a.w. lagi: Dajjal akan berada di dunia selama empat puluh tahun. Satu tahun lamanya seperti setengah tahun, terkadang seperti satu bulan. Satu bulan seperti satu minggu. Dan pada hari yang terakhir terasa sekejap sahaja. Pagi-pagi kamu berada di pintu masuk kota Madinah (Madinah pada zaman Rasul), sampai kamu di pintu yang lain hari pun masuk waktu malam.

Mendengar yang demikian ada yang bertanya:Bagaimana kami mengerjakan solat dalam waktu yang begitu singkat ya Rasulullah s.a.w.? Rasulullah s.a.w. menjawab: Ukur sajalah jaraknya dan bandingkan dengan waktu yang panjang sekarang ini.

Rasulullah s.a.w. berkata: Isa bin Maryam akan memimpin umatku dengan bijaksana dan adil. Beliau akan menghancurkan salib-salib yang ada di dunia ini dan akan membunuh semua babi. Beliau juga akan menghapuskan cukai. Manusia pada waktu itu tidak perlu membayar cukai, bahkan zakat pun tidak dibayar lagi kerana tidak ada orang yang berhak menerimanya.

Pada hari itu semua makhluk dalam keadaan aman dan tenteram. Tidak ada saling cemburu, dengki, saling memarahi dan mengganggu antara sesama makhluk Allah s.w.t. Sehingga ada anak perempuan yang bermain-main dengan harimau dan harimau itu tidak menerkamnya, begitu juga kambing berkawan dengan serigala.seluruh dunia ketika itu nanti diliputi oleh kedamaian, keamanan dan ketenteraman. Bahkan ketika itu nanti tidak ada pertelingkahan keyakinan dan pendapat. Tidak ada yang disembah selain Allah s.w.t.

Orang Arab ketika itu nanti akan merampas kembali semua miliknya. Bumi mengeluarkan cahayanya, menumbuhkan tanam-tanamannya seperti zaman Nabi Adam. Sehingga manusia akan memetik buah anggur dan delima sehingga mereka kenyang memakannya.

Ibnu Katsir berkata: Abdul Rahman Al-Muharibiy berkata: ebaiknya hadis ini dijadikan untuk mendidik saja. Hadis ini tidak sahih tetapi banyak hadis lain yang hampir sama maksudnya dengannya. Di antaranya ada diriwayatkan oleh Muslim dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kamu akan memerangi orang-orang Yahudi. Kamu akan memerangi mereka habis-habisan sehingga batu tempat mereka bersembunyi pun akan berkata: Wahai orang muslim, di sini ada orang Yahudi, bunuhlah dia.

Menurut riwayat, bumi nanti akan mengeluarkan segala khazanah kekayaannya, iaitu pada zaman Nabi Isa. Pada waktu itu dunia dalam keadaan makmur dan harta melimpah ruah, sehingga tidak ada lagi orang yang berhak menerima zakat.

Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sudah hampir masanya turun kepada kamu Ibnu Maryam menjadi hakim yang adil, yang akan membunuh Dajjal, membunuh babi, menghancurkan salib dan menghapuskan cukai kerana harta ketika itu melimpah ruah. Ketika itu nanti manusia hanya sujud kepada Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam.

Diriwayatkan oleh Ahmad, dari Ibnu Mas’ud, dari Rasulullah s.a.w.: Pada malam aku diisrak mikrajkan, aku telah berjumpa dengan Ibrahim, Musa dan Isa a.s. Mereka membincangkan hari kiamat dengan menanyakan permasalahannya kepada Ibrahim. Tetapi beliau hanya menjawab: Tidak ada pengetahuanku tentang hari kiamat. Cuba kalian tanya kepada Musa. Mereka tanya Nabi Musa tetapi beliau juga hanya menjawab: Aku tidak tahu tentang kiamat. Cuba kalian tanyakan kepada Isa.

Mereka tanyakan kepada Isa kemudian beliau berkata: Sebenarnya tidak ada yang mengetahui masalah ini kecuali Allah s.w.t. Menurut yang dijanjikan Allah s.w.t. kepadaku, Dajjal nanti muncul sedangkan di tanganku ada dua sabit (alat pemotong). Sebaik saja Dajjal itu melihat aku, dia pun hancur seperti hancurnya timah yang terkena panas. Allah s.w.t. akan membinasakannya, begitu juga orang-orang kafir lainnya.sehingga batu dan pokok kayu nanti akan ikut berkata: Wahai orang muslim, di bawahku ada orang kafir bersembunyi, marilah dan bunuhlah dia.

Kata Nabi Isa lagi: Setelah Allah s.w.t. membinasakan mereka, orang-orang muslim pulang ke rumah mereka masing-masing. Dalam keadaan demikian keluar pula Yakjuj dan Makjuj, yakni bertebaran dari segenap penjuru.

Kerana banyaknya Yakjuj dan Makjuj itu, maka semua kampung dan tempat tidak ada yang tidak dipijak oleh mereka. Mereka memakan semua makanan yang ada dan meminum semua air. Setelah habis makanan dan buah-buahan, daun-daunan pun habis mereka makan. Air sungai dan tasik semua habis mereka minum.

Tambah beliau lagi: Orang-orang mukmin ketika itu tidak tahan melihat ulah Yakjuj dan Makjuj itu sehingga mereka memohon kepada Allah s.w.t. supaya dibinasakan binatang itu. Berkat doa mereka itu, Yakjuj dan Makjuj itu mati semua.sekarang timbul masalah yang cukup besar lagi, yakni bangkai Yakjuj dan Makjuj yang bergelimpangan di mana-mana. Di mana-mana seluruh dunia terasa bau bangkai. Akhirnya Allah menurunkan hujan lebat sehingga bangkai-bangkai itu hanyut ke sungai dan kemudian hanyut ke laut.

Diriwayatkan oleh Ismail bin Ishak, Rasulullah s.a.w. bersabda: Belum terjadi kiamat sebelum Isa bin Maryam berjalan di udara untuk mengerjakan haji dan umrah, atau sehinga Allah s.w.t. menghimpunkan haji dan umrah dan menjadikan Ashabul Kahfi sahabatnya. Nabi Isa dan kelompok Ashabul Kahfi akan berjalan untuk mengerjakan haji kerana mereka selama ini belum mati dan belum pernah mengerjakan haji.

Sebelum ini sudah diterangkan riwayat dari Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Nabi Isa a.s akan memimpin dunia nanti selama 40 tahun. Namun demikian disebutkan dalam sahih Muslim, dari Abdullah bin Amr bahawa Nabi Isa akan berada di dunia selama 7 tahun. Pendapat yang lebih kuat ialah yang mengatakan 40 tahun.

Menurut Ibnu Katsir kedua-dua pendapat itu sama-sama benar. Maksudnya kata beliau Nabi Isa diangkat ke langit pada usia 33 tahun, kemudian turun nanti ke dunia selamaa 7 tahun lagi, yakni sebelum beliau diwafatkan Allah s.w.t. Setelah tujuh tahun memimpin dunia, Nabi Isa wafat. Maka umur Nabi Isa secara keseluruhannya 40 tahun. Wallahu A’lam.

Menurut Ibnu Katsir, sesuai dengan yang termaktub dalam hadis sahih, Yakjuj dan Makjuj akan keluar pada zaman Nabi Isa. Kemudian Allah s.w.t. memusnahkannya berkat doa Nabi Isa pada satu malam. Ada juga disebutkan dalam hadis bahawa Nabi Isa akan mengerjakan haji setelah turun nanti. Muhammad bin Ka’ab Al-Quraiziy berkata, Ashabul Kahfi akan menjadi sahabat Nabi Isa nanti dan mereka akan sama-sama mengerjakan haji. Katanya Nabi Isa akan wafat di Madinah. Beliau akan disembahyangkan oleh kaum muslimin dan dimakamkan berdekatan dengan makam Rasulullah s.a.w.

Menurut riwayat, Isa bin Maryam akan dimakamkan bersebelahan dengan kuburan Nabi Muhammad s.a.w., kuburan Abu Bakar dan Umar. Bererti kuburan Nabi Isa merupakan kuburan yang keempat. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA