Isnin, 19 Februari 2018

KENTUT (PANTUN)

pantun:
KENTUT

Cantik kaktus di waktu pagi,
Tumbuh terbantut tanah alkali;
Disebut flatus proses biologi,
Itulah kentut yang kita kenali.

Nira kelapa dibuat todi,
Bawa ke muara airnya surut;
Sebab apa kentut terjadi,
Kerana udara tersekat di perut.

Gadis menyanyi diiring dentum,
Gendang dabus dibungkus jaring;
Kentut berbunyi getaran rektum,
Ada halus ada yang nyaring.

Seluar sontot dipakai ke kota,
Berjalan kaki ke sana sini;
Banyak kentut ialah wanita,
Berbanding lelaki di dunia ini.

Ketupat pulut di dalam daun,
Diri terpencil dek air ketum;
Jika kentut selama tujuh tahun,
Gas terhasil setara bom atom.

Pinggir telaga subur belukar,
Bunga sena dihinggap rerama;
Kentut juga mudah terbakar,
Hidrogen metana penyebab utama.

Kuih bahulu dibawa masuk,
Pokok renik hiasan dalaman;
Orang selalu kentutnya busuk,
Isu kronik dalam penghadaman.

Dara membalut pisang sesisir,
Disimpan terus di dalam baldi;
Menahan kentut penyebab buasir,
Gangguan usus pasti terjadi.

Ikan pelata dipais bungkus,
Dalam jaring tertangkap juga;
Baru bercinta sudah terputus,
Kentut nyaring berbau pula.

Madu kelulut dibawa ke Langkap,
Dari Bandung ke rumah besan;
Kalau kentut kenapa tak cakap,
Menusuk hidung rasa nak pengsan.

Hantaran antik raja sehari,
Molek berbalut di atas lantai;
Sungguh cantik wajahnya puteri,
Tetapi kentut berbau petai.

Buah berangan di Kampung Ruat,
Pokok sawa naung senduduk;
Kentut jangan terlalu kuat,
Nanti mertua tak senang duduk.

Pokok jering berbuah bantut,
Kayu pagar hinggap ketitir;
Berbunyi nyaring hanyalah kentut,
Kuat bergegar kusangka petir.

Batang nyatuh di pinggir kali,
Dibuat rasuk penguat dapur;
Gas kentut banyak sekali,
Berbau busuk kerana sulfur.  

Tepian paya merbok berdekut,
Batang rebung diparut-parut;
Sangat bahaya menahan kentut,
Penyakit kembung menyerang perut.

Hamba sahaya berkain sontot,
Dibiar masuk istana permai;
Ada budaya menyukai kentut,
Lebih busuk disukai ramai.

Pokok jati tumbuh terbantut,
Akar serabut tidak berguna;
Orang mati boleh terkentut,
Otot terkerut di salur cerna.

Pokok terap pokok beringin,
Dibuat papan dikerat-kerat;
Kentut kerap banyak angin,
Kurangkan makan tinggi kabohidrat.

Buah berangan dihurung semut,
Kelapa kipas  tepian rawa;
Kentut jangan dalam selimut,
Sesak nafas pendek nyawa.

Desas-desus orang ceria,
Pandai betul semuanya tahu,
Dalam usus banyak bakteria,
Penyebab kentut pelbagai bau.

Nukilan: 
SMAHADZIR
Banting, Selangor

1 ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA