Selasa, 25 September 2012





Pertemuan Yang Singkat
(Sempena pertemuan dengan sahabat-sahabat – Hasnan, Zamri Hassan, Norasri, Zamri Ghaffar, Jamil, Abang Nordin, Md Desa suami isteri, Norhana di Baling – 16 September 2012)

Pertemuan yang singkat ini mengingatkan aku, 
pada sebatang mengkirai di hujung padang SMSAH, 
kurus tinggi dan mencanak ke angkasa menampan angin,

ketika ribut besar galak melanda lalu pohon sekitarnya bergoyang kasar, 
pohon mengkirai tetap tegak sabar membelai mesra, 
sinar mentari pagi yang datang menyapa.

Demikianlah sahabat-sahabat itu kurus seperti sebatang mengkirai,
bertahun bermain di tengah padang
tenang dalam senyuman yang agung 
dengan sopan menolak segala prahara 
jiwa mereka didewasakan oleh pengalaman, 
tidak semua orang mencapai kekuatan demikian, 
ketabahan yang unik, mempesonakan,
jangan sedih melihat derita pahitnya, 
yang mahu menjadi manusia berjaya tidak lagi derita terpenjara 
menerima nasihat supaya tabah dan berani, 
dan tahu melenyapkan erti seribu sengsara,
kini mengkirai itu tidak lagi melidi meninggi,
namun gagah berdiri di arena tersendiri.

Pertemuan yang singkat ini merakam sendu dalam aksara asing,
yang hadir dalam setiap aliran kata,
sekali lepas, disapu angin bebas dalam catatan kenangan sementara,
berhembus di lelangit petang bersama sekelebat khayal mengitari ruang hafal, lalu menghantar memori yang direbahkan pawana perbukitan,
mengirimkan pesan semalam pada selimut hari,
bercekokol dalam keabadian reranting sejarah,
dan kita tidak pernah merasai kehadirannya,
melainkan selepas kehilangannya,
kewujudannya di samping kita umpama angin berhembus,
terus dibiarkan berhembus tanpa sedar,
sehingga apabila ia diceritakan semula,
itulah kenangan silam yang pernah terukir antara kita,
mesra dan penuh pesona.

Alangkah sunyi dunia kita tanpa sahabat dan kenangan,
kini kita asyik berfikir tentang sejuta mimpi yang tumbuh rendang,
kita himpunkan angannya menjadi mentari cemerlang,
kita sulam sejuta jiwa yang bergetar dalam riak rasa berbeza,
menjadi sebuah lagu rindu, lirik persahabatan, rentak fikir bersama,
inilah muzik satu hati sejiwa,
berlagu senada menari langkah sekata,
dalam usia senja yang merangkak tiba.

Dalam pertemuan yang singkat ini kita hulurkan jemari hati,
menghantar pesan seloka, mengirim diksi dari masa silam,
mentera dari rumpun kenangan,
air mawar dari sumur persahabatan,
satukan menjadi jamu cinta, 
kita santap dalam usia senja,
di anjung pelbagai bahagia dan derita,
duduk-duduk berlamalah di sini sembari bersembang kisah riang,
menganyam citra pelangi di wajah kita,
kelak kita menjadi lebih faham bahawa persahabatan itu indah,
sebelum kita dijemput ke dunia azali.

SMAHADZIR
19 Sept 2012
BANTING










Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA