Khamis, 28 Julai 2011

Ketibaan Ramadhan dan Kenaikan Harga Gula

SMAHADZIR


SELAMAT berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat! Dengan datangnya bulan Ramadhan ini maka kuranglah kita makan. Sesungguhnya bulan Ramadhan boleh mengurangkan serangan pelbagai penyakit berbahaya seperti jantung, stroke, obesiti, darah tinggi dan sebagainya. Begitulah antara kebaikan yang boleh dipetik dari bulan Ramadhan.


Sekarang ini harga barangan dapur begitu tinggi. Bagi sesetengah orang, isu kenaikan harga barangan ini tidak begitu dipedulikan sangat kerana barangan yang harganya naik tersebut boleh gantikan dengan alternatif lain. Contohnya, kalau tak mahu menggunakan lebuhraya, boleh gunakan jalan kampung yang tak perlu bayar tol. Kalau tak mahu makan ‘cucoq kodok’ yang dibuat dari tepung, boleh makan ubi kayu rebus.


Baru-baru ini harga gula naik lagi, jadi RM2.30 sekilogram. Kenaikan ini tentunya disambut gembira oleh ‘pelabur politik’ yang sentiasa mencari modal untuk menghentam kerajaan. Mereka peduli apa dengan alasan yang diberi. Bagi mereka, alasan itu hanya ‘gula-gula’ menyedapkan hati. Mereka sinis dengan alasan bahawa harga di Malaysia masih rendah berbanding Indonesia RM3.80 sekilogram, Singapura RM3.61, Thailand RM2.31 dan Filipina RM4.50. Mereka tidak peduli bahawa kerajaan masih menanggung subsidi RM283.4 juta setahun walaupun kenaikan itu menjimatkan RM116.6 juta. Subsidi ini pula dinikmati oleh semua orang tak kira fahaman politik. Begitu juga dengan berjuta pendatang asing sama ada secara izin atau tanpa izin - dari ASEAN, Asia atau Afrika turut menikmati subsidi ini.


Kadang-kadang kita seperti diperbodohkan oleh golongan tertentu. Kononnya harga barang naik disebabkan oleh kerajaan yang memerintah. Tidak terfikirkan oleh kita betapa apabila sesuatu penawaran lebih tinggi dari penghasilan maka harga akan mencanak naik. Tidak terfikirkan oleh kita betapa lahan penghasilan produk sudah semakin berkurangan sedangkan permintaan semakin tinggi dengan bertambahnya populasi dari hari ke hari. Kalau kita lihat negara kita sendiri sudah cukup untuk kita rasional dalam berfikir. Sekitar tahun 70-an dulu, rakyat Malaysia sekitar 14 juta saja tapi sekarang dah hampir 24 juta. Kalau tahun 70-an dulu harga tepung hanya 20 sen sekilo tapi sekarang dah jadi RM1.40 sekilo. Kalau tahun 70-an dulu banyak sawah padi yang terbentang di depan mata kita tapi sekarang di atas sawah padi tersebut dah berdiri rumah-rumah kediaman. Begitu juga dengan ladang getah dan kelapa sawit. Kalau dulu boleh dilihat sepanjang jalan tapi kini sudah diganti dengan rumah-rumah kediaman manusia. Ini bermakna lahan penghasilan produk makanan telah berkurangan sedangkan permintaan terhadap produk tersebut semakin bertambah. Logiklah harga produk tersebut akan melambung kerana kadar permintaan yang terlalu tinggi.


Kita harus sedar bahawa tiba suatu ketika soal kediaman harus diutamakan kepada penduduk kerana mereka memerlukan tempat tinggal. Makanan akan dicari selepas tempat tinggal diperolehi. Begitulah tabiat manusia, di mana-mana saja. Tidak dinafikan semakin ‘tua’ dunia ini semakin tinggi kos kehidupan. Jarang sekali harga barang turun. Kebelakangan ini hujan pula dah jarang turun. Disangka panas hingga ke petang rupanya hingga ke tengah malam. Ditambah pula dengan suhu panas politik ciptaan manusia yang rakuskan kuasa dan kedudukan sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat dan cita-cita mereka tercapai.


Suatu ketika dulu penulis pernah menulis mengenai harga ‘racun pembawa penyakit diabetes’. Ia mengenai kenaikan harga gula dan rokok. Kalau kita masih ingat, sekitar Januari 2010, harga sekotak rokok 20 batang ialah RM6.40 manakala harga gula naik 20 sen menjadi RM1.65 sekilogram. Itu harga pada Januari 2010. Kini sekotak rokok 20 batang mencecah RM10 hingga RM10.70. Rokok dan gula adalah ‘adik beradik kembar’ yang menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik. Mungkin ada yang marah-marah jika kita diminta bersyukur dengan kenaikan harga ini kerana ada hikmahnya.


Pelbagai cara sudah dilakukan khususnya oleh Kementerian Kesihatan untuk mendidik rakyat supaya menjauhi tabiat merokok dan mengurangkan penggunaan gula. Kempen yang dianjurkan termasuk mempamerkan iklan ‘Tak Nak’ yang merujuk kepada katakan tidak kepada rokok. Mungkin orang lebih gemar melihat iklan ‘Hapuskan ISA’ daripada menghayati kata-kata yang dipamerkan oleh Kementerian Kesihatan. Kadangkala manusia lebih suka kepada keuntungan jangka pendek daripada jangka panjang. Bagi mereka, yang utama ialah mengurangkan harga gula sementara soal kos kesihatan di tempat kedua. Mereka lupa bahawa kos mengubat penyakit akibat gula dan rokok lebih tinggi daripada harga sekilogram gula atau sekotak rokok.


Ramai yang tidak sedar pelbagai bahan kimia dan toksik yang ada pada rokok akan bertukar menjadi ‘racun’. Kajian menunjukkan bahawa dalam rokok ada gas beracun pada ekzos kereta, racun rumpai, peluntur cat, pembersih lantai, racun semut putih, gas beracun, minyak pemetik api, minyak roket, racun gegat, sebatian organik yang mudah terbakar, bahan bateri kereta, racun serangga dan macam-macam lagi. Begitu juga dengan pelbagai penyakit yang disebabkan oleh rokok. Semua orang tahu mengenainya tetapi tidak ramai yang peduli. Lihatlah sejauh mana kesannya amaran imej ngeri pada kotak rokok. Banyak larangan merokok wujud di sana sini tetapi adakah perokok peduli?


Apabila pemimpin yang menjadi idola bercakap mengenai rokok, mungkin ramai yang tidak ambil pusing. Contohnya kuliah Jumaat oleh Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mana satu yang menarik perhatian sama ada kenyataan berkaitan perokok atau pelaku video seks? Kata Nik Aziz seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar: “Orang yang terbabit dalam komplot video berkenaan akan teruk nanti, selagi tak jilat kaki Anwar atas dunia ni, tak boleh masuk syurga dan ini sudah sah (tak masuk syurga). Hanya Allah saja yang dapat mengampunkan dosa mereka.”


(Nota: Diharapkan kenyataan ini tidak terpakai kepada kes video seks sahaja tetapi kes lain yang pernah mendapat perhatian orang PAS. Begitu juga dengan tuduhan terhadap pemimpin BN termasuk Dr. Mahathir Mohamad pada masa lalu).


Perokok tentunya tidak tertarik dengan kenyataan Nik Aziz mengenai umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman melalui jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu. Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah). Maka mereka yang melakukan perbuatan (merokok) itu dianggap lebih hina daripada lembu.


Setakat ini, undang-undang berkaitan larangan merokok sekadar hiasan. Lebih mendukacitakan, papan kenyataan berkaitan larangan merokok pun dirosakkan. Kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati. Sama seperti kesan merokok, gula juga membawa pelbagai penyakit. Ada yang kata lebih 60 dan ada yang percaya lebih 136 jenis penyakit.


Semua orang sedar penyakit angkara gula tetapi sekali lagi lebih ramai yang lupa penyakit ketika memesan teh tarik atau minuman bergula yang lain. Biar berapa harganya, teh tarik terus jadi pilihan. Ketika ini lebih ramai yang ‘bising’ mendengar harga gula naik kerana mereka bimbang minuman dan makanan juga melambung harganya. Justeru eloklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan lebih tegas.


Diharapkan, menteri berkenaan, Ismail Sabri Yaakob bertegas dengan kenyataannya bahawa peniaga yang didapati menaikkan harga minuman dan makanan berikutan kenaikan harga gula akan berhadapan hukuman keras termasuk penjara seperti diperuntukkan di bawah Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010. Akhirnya, bagi orang Islam, renungilah firman Allah s.w.t ini yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah 2:195).


Selamat menyambut Ramadhan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA