Selasa, 26 April 2011

Ekosistem Belum, Banding Memikat Jiwa

Sebuah resort yang terdapat di Tasik Banding


Saya pernah berada di Pulau Banding dan sekitar Hutan Belum. Menghuni di salah sebuah pusat peranginan yang cukup istimewa iaitu Belum Rainforest Resort (BRR). Menulis puisi dalam suasana semula jadi ini amat tenang sekali. Lari dari hiruk-pikuk kota raya - yang tidak pasti bila akan reda keriuhannya.


Sebuah rumah Orang Asli di Kampung Orang Asli Chuweh


Di keliling pulau itu terletak Tasik Banding, yang di dalamnya terdapat beberapa buah pulau yang wujud akibat daripada buatan kejuruteraan manusia. Pulau-pulau itu timbul setelah kawasan seluas sekitar 80 kilometer dipenuhi air akibat pembinaan empangan janakuasa elektrik Temenggor, dalam daerah Gerik. Pembinaan itu diilhamkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak pada 1974, antaranya bertujuan menghalau pengganas komunis yang banyak bersembunyi di hutan itu.

Tasik Banding memberikan pemandangan yang indah dan suasana yang tenang terutama kepada insan-insan yang berjiwa seni

Hasilnya, Banding (puncak tertinggi dalam lembangan Temenggor) bertukar menjadi pulau. Dengan Lebuh Raya Timur-Barat merentasi Pulau Banding, ia menjadi satu-satunya pulau yang dihubungkan dengan dua buah jambatan antara tanah besar Timur-Barat. Hasil idea bijak itu juga, pengganas komunis terpaksa melarikan diri ke selatan Thailand.

Sebuah resort di tepian Tasik Banding

Kini setelah lebih 30 dekad empangan ini terbina, kawasan tasik itu dianggap sebagai kawasan ekosistem rekreasi, ekonomi, budaya yang perlu didedahkan, diterokai, dirasai, dinikmati oleh setiap warga Malaysia. Ketika menyusuri tasiknya dengan bot dipandu pemandu pelancong, pemandangan mata umpama saujana. Kelihatan juga hutan hujan tropika paling tua di dunia, yang kini dipelihara sebagai salah satu khazanah alam negara iaitu Hutan Royal Belum.

Perkhidmatan melawat sekitar tasik dengan menaiki sampan berbumbung

Tidak keterlaluan jika diandaikan taraf tasik itu sama, malah lebih hebat daripada tasik Loch Ness atau Loch Lomond di Scotland - yang pernah saya jelajahi. Pelancongan di Tasik Banding, bagaimanapun harus diperhebatkan - setaraf kemasyhuran loch (istilah orang Scot bererti tasik) yang terdapat di utara United Kingdom itu. Di kedua-dua loch itu, penduduknya rata-rata mendapat faedah akibat limpahan wang pelancong yang datang dari segenap pelosok dunia.

Pemandangan dari jalan raya

Sebuah perkampung masyarakat Orang Asli


Bukan saja resort-resort mewah, rumah-rumah dijadikan inap bed and breakfast (B&B) yang murah. Pelancong yang datang ke situ semata-mata akibat teruja dengan omongan mitos yang mengatakan di Tasik Ness itu ada makhluk raksasa seakan-akan naga. Uniknya dengan Tasik Banding, ia mempunyai harta negara yang tiada tolok-bandingnya dengan mana-mana tempat di dunia, iaitu hutan tertua di dunia. Jika pakar arkeologi Thailand menemui fosil-fosil dinosaur di negara itu, tidak mustahil jika sisa-sisa tulang haiwan itu yang telah pupus kira-kira 150 juta tahun dulu, juga tertanam di Hutan Belum.


Bunga reflesia yang terdapat di Hutan Belum

Ketika sampai di sebuah pulau dekat Temenggor, dikenali sebagai Pulau Batu Putih, pemandu pelancong menerangkan bahawa ia adalah kawasan yang dipercayai pernah menjadi habitat dinosaur. Buktinya tumbuhan zaman jurasik dikenali sebagai pokok paku bogak jelas kelihatan di celah-celah batu kapur pulau itu. ‘Bogak adalah makanan dinosaur’, kata pemandu pelancong tersebut dengan penuh yakin. Saya yang mendengarnya juga terpegun. Walaupun pemandu pelancong itu hanya pemandu bot pelancongan dan bukan saintis atau ahli arkeologi, namun penerangan itu tidak boleh diketepikan. Saintis kitalah yang harus menjalankan lagi penyelidikan ke atas kawasan itu.

Di keliling pulau terletak Tasik Banding, yang di dalamnya terdapat beberapa buah pulau yang wujud akibat daripada buatan kejuruteraan manusia


Tasik Banding dan Hutan Belum terletak di dalam kawasan Banjaran Titiwangsa yang menyusur sehingga ke Thailand. Jika di Thailand, fosil haiwan itu ditemui, tidak mustahil Hutan Belum dan tasik itu juga merupakan habitat pelbagai jenis dinosaur pada masa itu. Ia sama seperti migrasi gajah kita sekarang yang turut memasuki daerah Thailand. Di Hutan Belum juga terdapat bunga rafflesia. Bunga yang terbesar di dunia itu mengambil masa beberapa bulan untuk berkembang dan mati beberapa hari kemudian. Saya berkesempatan melihat kembangan bunga itu setelah mendaki kira-kira 300 meter di salah sebuah kawasan. Saya juga melihat burung enggang (hornbill) berterbangan.


Pemandangan di jeti - membawa para pelancong ke resort yang terdapat di Tasik Banding


Kita juga boleh mempelajari eko-budaya Orang Asli yang cara hidup mereka di Royal Belum masih lagi asli. Mereka amat mesra, walaupun sedikit pemalu. Jika ke Kampung Orang Asli Chuweh, kita boleh inap di rumah yang disediakan dengan harga RM20 semalam. Saya difahamkan kumpulan mubaligh sebuah agama begitu rajin berkunjung ke kampung-kampung mereka untuk berdakwah.


Tasik Banding memberikan keindahan yang tersendiri

Anak-anak kita harus dihantar ke ekosistem Belum-Banding-Temenggor ini untuk mengetahui cara sebenar kehidupan - pokok-pokok hutan yang berusia ratusan tahun serta laluan migrasi rimau, gajah, rusa yang jarang mereka ketahui. Pernahkah kita tahu bahawa gajah mempunyai kawasannya yang tersendiri untuk menjilat garam galian dari tanah? Di sini terdapat lebih 60 kawasan menjilat seumpama itu di sekitar kompleks hutan hujan Belum-Temenggor. Generasi hutan batu wajib menjadikan kawasan Belum ini sebagai summer camp yang sebenar.

Kehijauan air yang terpantul dari belantara tepian tasik menggamit segala ingatan silam ke puncak memori


Malang sekali, ia belum lagi berlaku. Ada antara kita masih memandang jauh ke Barat untuk dijadikan contoh, sedangkan sebenarnya inilah tempatnya. Sepatutnya kita membawa anak-anak orang putih di Barat supaya menjadikan kawasan tasik dan hutan kita itu sebagai kem musim panas mereka. Hutan Belum, Tasik Banding adalah kem alam semula jadi yang wajib bagi setiap kanak-kanak sekolah kunjungi.


Saya mahu melihat anak-anak itu kemudiannya - secara sukarela - menjadi renjer-renjer hutan (atau tukar nama kepada renjer alam) bagi menjaga kawasan itu. Kita harus menerapkan budaya renjer ini yang lengkap dengan uniform menarik dan megah menjalankan tugasnya. Sesungguhnya dalam khazanah alam terbaik dunia yang kita ada ini, masih banyak yang perlu kita lakukan.


Sayang jika kita persiakan khazanah alam itu. Saya mengesyorkan kawasan Tasik Banding, Hutan Belum, Temenggor ditadbir dengan lebih berkesan. Kini Taman Negeri Royal Belum (Hutan Diraja Belum) terletak di bawah Perbadanan Taman-Taman Negeri Perak. Saya mengesyorkan kawasan hutan seluas 117,500 hektar itu serta sekitar kawasan Tasik Banding-Temenggor diletakkan di bawah satu perbadanan yang berasingan dan tersendiri.


Tak kenal maka tak cinta. Jika mahu kenal apa itu kedamaian alam, datanglah ke sini, kata Noraini Ahmad, Pengurus BRR, resort milik penuh Emkay Group. Masyarakat dunia juga harus tahu mengenai hutan hujan tropika yang tertua di dunia ini - bukannya di Brazil, tapi yang ada di Perak, Malaysia ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA