ISLAM sebagai prinsip bererti kita meletakkan Islam sebagai pegangan dan panduan. Kita akan melihat salah atau benar sesuatu berdasarkan kepada prinsip Islam. Kita akan menilai dengan adil setiap perkara dengan timbangan Islam sekalipun jika keputusannya itu tidak berpihak kepada kita, kita tetap akan akur. Inilah yang diarahkan oleh Al-Quran dalam surah al-Nisa 135: (maksudnya) ‘Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu...’
Dalam surah al-Maidah ayat 8 pula Allah s.w.t menegaskan: (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan’.
Sementara menjadikan Islam sebagai alat atau umpan adalah mempergunakan Islam sebagai bahan untuk sesuatu tujuan, padahal tujuan tersebut hanya bersifat puak atau peribadi, bukan untuk kepentingan Islam yang hakiki. Nas-nas agama akan ditafsirkan atau disalahgunakan supaya sesuatu pandangan sekalipun tidak tepat, dapat dibela atau dijustifikasikan. Atau agama digunakan agar orang ramai tertarik dan percaya kepadanya sekalipun hakikat agama bukan sedemikian rupa. Inilah yang ditempelak oleh Allah s.w.t dalam surah al-Nahl, ayat 116-117: (maksudnya) ‘Dan janganlah kamu berkata dengan apa yang disifatkan oleh lidah kamu: ‘Ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. (Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (di dunia), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya’.
Malang sekali dalam sejarah umat Islam, kecenderungan menggunakan agama sebagai modal begitu banyak dan berterusan. Kesannya amat bahaya dan mendalam. Bukan sedikit darah dan nyawa yang ditumpahkan kerananya. Umpamanya, Mazhab Syiah dan Khawarij tidak wujud pada zaman Abu Bakar, Umar dan Uthman. Apabila berlaku krisis politik pada zaman Ali disebabkan isu yang berlarutan dari penghujung pemerintahan Saidina Uthman maka lahirlah kedua aliran ini. Bermula daripada isu-isu politik yang dibangkitkan dari zaman Uthman, merebak menjadi sentimen agama.
Sehingga Syiah terbentuk dengan segala doktrin yang tersendiri; daripada isu Uthman berkembang membentuk prinsip-prinsip kepercayaan mengenai Ahlul Bait yang tersendiri. Penindasan yang dialami oleh aliran Syi’ah di bawah kuasa-kuasa politik Bani Umayyah, juga ‘Abbasiyyah menyebabkan berbagai akidah dan dalil baru muncul dalam aliran berkenaan.
Maka disebabkan sejarah politik yang panjang, menjelmalah Syiah dalam wajahnya yang kita lihat pada hari ini. Padahal ia bermula daripada isu yang boleh diselesaikan. Demikian Khawarij, bermula isu tidak puas hati dengan pendirian Ali dalam menghadapi Mu’awiyah, maka terbentuklah Khawarij dari ‘parti politik’, menjadi aliran agama yang mengkafirkan Ali, Uthman, Mu’awiyah dan sesiapa sahaja yang tidak menyertai mereka.
Bagi menjustifikasikan pengkafiran itu, maka satu kaedah yang amat bahaya telah dijadikan pegangan iaitu setiap pelaku maksiat menjadi kafir. Ali dan Mu’awiyyah, bahkan Uthman dianggap tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka semua kafir. Slogan mereka: ‘Tiada hukum melainkan hukum Allah’. Kata Saidina Ali mengenai slogan mereka: ‘Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil’. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah). Tumpah darah yang banyak telah berlaku antara tentera Ali dan Khawarij.
Inilah bahayanya menjadikan agama sebagai modal politik atau apa sahaja. Ia boleh berlarutan terutama di kalangan mereka yang jahil sehingga tidak dapat membezakan antara isu politik semata dan isu agama yang sebenar. Jika ia isu politik semata, Islam menyerahkan kepada kebijaksanaan manusia akan menentu keputusan yang memberikan kemaslahatan untuk umat. Jika ia benar-benar isu akidah dan hukum, hendaklah penentu benar dan salahnya adalah Al-Quran dan Sunnah bukan pandangan politik kepuakan. Sebab itu kita wajib membezakan antara berpolitik berdasarkan prinsip Islam, dengan mempolitikkan Islam.
Berpolitik berdasarkan Islam akan membebaskan seseorang dari daerah taksub, hukuman membabi-buta, kepuakan dan permusuhan yang melampaui batas dan segala akhlak yang jelek. Hanya yang menjadi teras adalah prinsip Islam. Rela membelakangkan parti atau puak, asalkan prinsip terbela. Sementara mempolitikkan Islam bererti menggunakan nas-nas Islam untuk menjustifikasikan tindakan-tindakan politik.
Kita akan lihat dalam ‘wayang politik’ sikap mempolitikkan agama akan menyebabkan mereka terbabit hilang pendirian, berubah-ubah prinsip dan etika. Namun yang pasti nas-nas agama akan terus digunakan walaupun akan menyebabkan berlaku kontradiksi yang jelas dalam pegangan mereka.
Dalam sepanjang sejarah, menjadikan agama sebagai modal politik telah dilakukan oleh pihak pemerintah dan pihak yang menentang pemerintah. Dalil-dalil agama pada bukan tempatnya akan digunakan oleh kedua belah pihak bagi mengekalkan pengikut yang mempunyai sentimen agama. Bahkan dalam sejarah, antara sebab kemunculan hadis-hadis palsu adalah politik. Maka muncul hadis palsu yang menyokong Syiah, menyokong Muawiyah, menyokong ‘Abbasiyyah dan seumpamanya. Golongan yang menggunakan agama yang ‘lahapkan habuan dan pangkat’ ada di mana-mana.
Mereka ini bersedia untuk mendendangkan dalil bagi menghiburkan slogan atau tindakan pemerintah. Sebagai tindak balas, golongan agama yang menentang pemerintah juga akan melagukan nas-nas agama bagi menghalalkan tindakan mereka menentang sesuatu pemerintahan. Hilanglah fungsi agama; daripada ia agama hidayah yang membimbing manusia bertukar menjadi alat yang membolehkan manusia pijak di atasnya untuk sampai ke matlamat mereka.
Berpolitik berdasarkan agama memang tanggungjawab kita. Namun kita wajar berhati-hati, jika terleka kita akan tergelincir menjadi mempolitikkan agama. Seperti berniaga berdasarkan prinsip Islam memang diperintahkan. Namun berhati-hati, jangan sampai memperniagakan Islam. Justeru itu, bezakanlah antara menjadikan Islam sebagai prinsip, dengan menjadikan Islam sebagai alat. Bezakanlah antara berpolitik berdasarkan Islam dengan mempolitikkan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan