Sabtu, 23 Oktober 2010

KAEDAH MENULIS PUISI ATAU SAJAK

Saya banyak menerima panggilan telefon dari segelintir sahabat dan juga peminat-peminat saya agar menjelaskan kaedah menulis puisi moden atau sajak dalam facebook ini. Agak lama juga untuk saya menunaikan permintaan itu lantaran beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Antaranya ialah saya telah banyak mengendalikan bengkel penulisan puisi atau sajak ini di pelbagai tempat oleh pelbagai penganjur seperti Perpustakaan Negara, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Jabatan Kebudayaan, Kesenian & Warisan Selangor, Dewan Bahasa & Pustaka, Persatuan Penulis & Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI), Majlis Kebudayaan Negeri Selangor dan pelbagai lagi.

Justeru saya merasakan tidak berapa sesuai untuk diterangkan kaedah penulisan puisi moden atau sajak tersebut di sini. Kendati begitu, tidak sampai hati pula rasanya saya menghampakan sesama insan yang memerlukan ilmu ini dan saya terpanggil untuk berkongsi ilmu penggarapan puisi moden atau sajak ini dan berharap agar apa yang dipaparkan ini dapat dimanfaatkan oleh mereka yang berminat.

Definisi Puisi Moden Atau Sajak

Za’ba mendefinisikan puisi atau karangan berangkap sebagai, ‘khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik hati orang yang mendengarnya. Seterusnya Za’ba mengatakan bahawa karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu.

Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba di atas memperlihatkan dua ciri utama puisi. Pertama, sifat abstraknya seperti kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi. Kedua, sifat konkritnya, struktur dasar yang merangkumi binaan baris dalam rangkap, kedudukan suku kata dalam baris, kedudukan suku kata dalam baris dan susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tema dan kesannya kepada pembaca.

Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba lebih merupakan definisi dari sudut pandangan seorang pengkaji. Definisi puisi yang dikemukakan oleh seorang penyair dan sekali gus sarjana sastera pula, iaitu Muhammad Haji Salleh, puisi ialah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijakan penyair dengan tradisinya. Dalam segala sifat kekentalannya itu, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana.

Daripada penyair Inggeris di Barat pula, Wordsworth, mendefinisikan puisi sebagai pengucapan tentang perasaan ghairah yang imaginatif, biasanya berentak ... curahan perasaan yang kuat secara spontan yang diingatkan kembali dalam suasana yang tenang. S.T. Coleridge, juga seorang penyair Inggeris, mendefinisikan puisi sebagai kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik.

Masih banyak lagi definisi puisi yang dikemukakan oleh pengkaji puisi dan penyair. Namun, daripada sejumlah kecil definisi yang diberikan itu dapat memberikan ciri-ciri puisi yang bermutu tinggi.

Sejarah Awal Puisi Melayu Moden Secara Ringkas

Penulis Melayu yang pertama menulis puisi Melayu moden ialah Omar Mustaffa. Puisinya bertajuk ‘Angan-angan dengan Gurindam’, disiarkan dalam Utusan Melayu pada 18 Januari 1913. Puisi ini dari segi bentuk dan isinya telah jauh menyimpang daripada puisi Melayu tradisional – pantun dan syair terutamanya. Dari segi bentuk, susunan baris, rangkap, dan rima akhirnya tidak terikat lagi dengan bentuk tradisional. Dari segi isinya, mengungkapkan persoalan semasa pada waktu itu, iaitu menyuarakan persoalan ekonomi dan politik.

Sejak tersiarnya puisi yang memperlihatkan pembaharuan atau pemodenan pada bentuk dan isinya, berlaku semacam kekosongan dalam penghasilan puisi moden. Hanya pada awal-awal tahun 1930-an, kegiatan menulis puisi mula kelihatan jelas kembali. Ini berdasarkan puisi ‘O Sariku’, karya Harun Aminurrasyid yang tersiar dalam majalah Pujangga Baru, Bil. 6, Disember 1933. Pada tahun 1934, Pungguk menghasilkan lima buah puisi sekali gus dan disiarkan dalam majalah Guru, Mac 1934. Judul puisi-puisi Pungguk itu ialah, ‘Keluh Kesah’, ‘Selalu Merayu’, ‘Tak Disangka-sangka’, ‘Pujukan Hati’, dan ‘Ibuku’. Dalam kelima-lima buah puisi ini telah ditemui penyimpangan daripada peraturan puisi-puisi Melayu tradisional yang ketat.

Sejak Harun Aminurrasyid dan Pungguk menghasilkan puisi moden, puisi Melayu moden tumbuh dan berkembang dengan pesat sekali. Pelbagai tema dan persoalan yang dikemukakan oleh para penyair yang bersesuaian dengan zaman mereka dan harapan mereka tentang hidup dan kehidupan ini yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia, manusia dengan Pencipta, dan manusia dengan alam. Hal ini akan lebih jelas terlihat apabila alur sejarah pertumbuhan dan perkembangan puisi Melayu moden disusuri.

Persediaan Menulis Puisi

Seseorang yang hendak menulis puisi haruslah pula mempersiapkan dirinya. Dia mestilah banyak membaca puisi, karya ramai penyair. Dengan ini, secara tidak langsung dia mempelajari puisi. Dia juga mestilah banyak membaca bahan bacaan yang lain untuk tujuan memperluaskan kosa kata dan mendapat idea untuk menulis puisi. Dia juga mestilah sering menghasilkan puisi sebagai latihan untuk menimbulkan keterampilan dalam penulisan puisi. Untuk itu, dia juga mestilah memiliki kesabaran dan bersedia untuk menyendiri. Semua ini merupakan sebahagian kecil tuntutan yang diperlukan sebagai persediaan untuk seseorang itu menulis puisi.

Panduan Penulisan Puisi

Puisi yang bermutu ialah puisi yang mempunyai keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya. Keseimbangan inilah yang memberi keindahan bahasa dan keindahan makna pada sesebuah puisi itu. Oleh itu, seseorang yang hendak menulis puisi mestilah mengambil kira aspek keseimbangan ini.

Bentuk luaran ialah ciri-ciri yang membina sesebuah puisi tersebut. Ciri-ciri ini dapat dilihat. Baris, bunyi, pemilihan kata, bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan bahasa, dan tipografi merupakan bentuk luaran puisi.
Struktur dalaman puisi terdiri daripada tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej. Tema ialah idea utama yang hendak disampaikan oleh seseorang penyair dalam sesebuah puisi. Antara tema dalam puisi termasuklah keagamaan, kemanusiaan, dan nasionalisme, ekonomi, dan politik.

Perasaan ialah suasana perasaan penyair yang diikutsertakan dalam puisi dan dapat dihayati oleh pembaca. Perasaan tersebut mungkin simpati, sedih, benci, marah, kasihan, pasrah, dan sebagainya. Nada ialah sikap penyair penyair terhadap pembaca. Sikap penyair mungkin menggurui, mengejek, menasihati, dan menceritakan sesuatu kepada pembaca. Mesej ialah perkara yang mendorong seseorang penyair itu menulis puisi. Mesej tersirat di sebalik tema yang diungkapkan.

Semoga serba sedikit ilmu yang dipaparkan ini dapat dimanfaatkan dan saya berharap kepada sesiapa saja yang berminat dalam bidang puisi moden dapat menghasilkan karya yang baik dan kaya dengan mesej untuk tatapan dan pemikiran masyarakat.

KAEDAH MENULIS CERPEN

Jika anda ingin menjadi seorang penulis cerpen, berikut ini adalah kaedahnya yang dapat saya paparkan secara ringkas. Namun saya rasa ianya padat dari segi isi dan penyampaian kerana bukan mudah untuk mendapatkan panduan menulis cerpen begini kerana kurangnya ruang yang diberikan oleh media dalam soal ini. Kaedah menulis cerpen juga selalunya disampaikan melalui bengkel penulisan yang dianjurkan oleh pelbagai organisasi penulisan dengan bayaran tertentu.

Dewasa ini bengkel penulisan cerpen amat digemari oleh golongan remaja dan boleh dikatakan bengkel-bengkel sebegini mendapat penyertaan yang amat menggalakkan dari golongan tersebut. Genre atau cerpen dalam kesusasteraan Melayu termasuk dalam kategori cereka, merupakan satu bidang yang popular. Terdapat lima genre atau bidang dalam kesusasteraan Melayu moden iaitu cerpen, drama, esei atau kritikan, novel dan puisi.

Cerpen ialah cerita berdasarkan fakta dicampur dengan imaginasi. Manakala sastera pula payah diberikan definisi yang universal, justeru sastera bukan sesuatu yang dijumpai tetapi sebuah nama yang diberikan kepada sesebuah karya tertentu dalam lingkungan budaya tertentu. Bagaimanapun boleh disimpulkan bahawa kesusasteraan ialah ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Di dalamnya ada bahan yang indah, bahasa yang indah dan teknik penceritaan yang indah. Yang indah dalam kesusasteraan juga bukan hanya yang cantik di mata tetapi mempunyai nilai estatika.

Dengan ini cerpen ialah satu gabungan yang tidak seimbang antara pengalaman (realiti atau benar berlaku) dengan rekaan (imaginasi) pengarang. Panjangnya cerpen ialah antara 5,000 hingga 20,000 patah perkataan. Oleh sebab makna dari segi istilah cerpen itu ialah cerita pendek maka ada yang menyebutkan panjang cerpen ialah sehabis meminum secawan kopi atau sehabis menghisap sebatang rokok.

APA YANG MESTI ADA DALAM KARYA SASTERA SEPERTI CERPEN?

Yang Pertama

Intelek iaitu ada sesuatu pemikiran yang tinggi dalam cerpen tersebut. Maknanya dalam karya tersebut ada mesej yang mahu disampaikan kepada pembaca supaya boleh direnung dan difikir oleh pembaca untuk dijadikan panduan, mendapatkan pengetahuan dan pengalaman.

Yang Kedua

Pancaran emosi dalam cerpen tersebut sama ada gembira, sedih, sinis. Maknanya cerpen tersebut memilih persoalan dan stail atau gaya bahasa yang boleh dihayati dengan baik oleh pembacanya dan dapat menimbulkan suatu fikiran khusus serta memberikan kesan pengajaran dan hiburan.

Yang Ketiga

Peristiwa atau persoalan dalam cerpen tersebut dituliskan dengan mata hati dan mata fikir iaitu dengan imaginasi yang mengandungi unsur-unsur pemikiran bukan angan-angan. Ada matlamat dalam penulisan cerpen ini dan biasanya hal-hal yang positif.

Yang Keempat

Sesebuah cerpen ada teknik persembahannya iaitu cara olahannya, susunan peristiwanya dan diksi-diksi yang dipilihnya.

BENTUK CERPEN

Pertama

Mimesis atau peniruan iaitu meniru atau merakamkan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ditambah dengan imaginasi pengarang.

Kedua

Cerpen beralasan iaitu mengadakan satu dasar atau alasan untuk mengubah bentuk biasa seperti menciptakan watak daripada makhluk asing.

Ketiga

Cerpen mimpi iaitu cerita seperti dalam mimpi, dengan sifat luar biasanya, perlambangan tertentu sehingga ada waktunya tidak boleh diterima akal.

TEKNIK PENCERITAAN CERPEN

Boleh dengan dialog untuk menghidupkan pemikiran. Dengan aksi pula cerita bergerak pada dasarnya, dengan perlukisan cerita bergerak dengan latar pilihannya dan pendedahan akan memberikan gambaran atau tema tertentu cerpen.

Ciri-Ciri Khas Cerpen (Cerpen Konvensional)

1. Singkat, padu, intensif (ada perkara yang ditekankan)
2. Ada adengan, watak, gerak.
3. Bahasa tajam dan menarik
4. Interpertasi pengarang kepada kehidupan
5. Dapat menimbulkan satu kesan
6. Menarik perasaan pembaca
7. Penggambaran jelas pada peristiwa yang dipilih
8. Ada cerita atau persoalan utama, watak utama, latar dan suasana

SIFAT-SIFAT PENULIS

Bagaimana Nak Menulis Karya Kreatif?

Penulisan kreatif seperti cerpen ini sebenarnya tidak dapat diajar. Pembimbing tidak dapat memberitahu seseorang bagaimana hendak menulis namun pembimbing dapat menerangkan bagaimana hendak menulis dengan lebih baik.

Yang Penting Penulis:

1. mestilah peka terhadap keadaan manusia dan berusaha memaparkan perasaannya.
2. mestilah cintakan kata-kata supaya frasa yang dicipta akan mengharukan pembaca.
3. mestilah meminati dunia penulisan dan mengasingkan diri dengan tulisan supaya dapat melihat apa yang baik dan yang buruk tentang tulisannya.
4. mestilah ada sikap yang teliti.
5. mestilah menjadikan tulisannya sebagai amalan harian, bukan hasil sekali skala.
6. mestilah menulis kerana mahu menulis bukan kerana sebab yang lain seperti kewangan misalnya.
7. mestilah berani menghadapi cabaran. Menggunakan karya yang ditolak sebagai dorongan untuk menulis dan bukan sebagai tanda dunianya telah kiamat.

Bagaimana Nak Menjadi Penulis?

Bakat

Bakat anugerah Allah yang sukar dilihat. Ada percanggahan pendapat oleh para pengarang mengenai hal ini. Contohnya : SN Keris Mas menyebutkan bakat sangat penting sementara SN A. Samad Said menyatakan bakat kurang penting tetapi usaha dan minat lebih penting.

Minat

Ada keinginan untuk menulis.

Rajin membaca

Hal ini diakui oleh ramai penulis seperti Anwar Ridhwan dan Khadijah Hashim. Pembacaan akan memberi idea untuk menulis persoalan yang lain. Pembacaan akan melibatkan pengamatan dan akan menimbulkan idea pertama.

Ada cita-cita untuk menjadi penulis

1. Hasrat atau harapan akan menjadi pendorong.
2. Rajin menulis

Bahasa Orang Takut

SMAHADZIR

WAKTU keberangkatan kapal terbang yang akan saya tumpangi menuju ke sebuah bandar raya di negara asing, ditunda dua jam. Seorang ibu bertubuh gempal mengomel kerana dia pasti terlambat menghadiri majlis penganugerahan ijazah anaknya di bandar raya yang kami tuju itu.

Seorang lelaki separuh baya yang tidak putus-putus merokok sewaktu menunggu waktu keberangkatan memicit keningnya. “Aduh, jadual yang dah disusun jadi kelam kabut,” katanya separuh mengeluh.

Berbagai suara sebagai reaksi atas kelewatan keberangkatan itu terlontar dari hampir setiap mulut bakal penumpang yang akan berlepas. Saya yang merasa tidak perlu menambah carut-marut kerana ia melangkah ke restoran yang tidak jauh dari ruang menunggu. Beberapa orang bakal penumpang lain juga mula melangkah meninggalkan ruang menunggu tersebut.

Di restoran itu saya hanya memesan secawan kopi dan sepotong croissant . Saya memilih duduk di pojok agar dapat membaca buku yang baru saya beli dengan tenang. Saya tenggelam dalam Sastera Sebagai Seismograf Kehidupan , karya yang ditulis oleh Shahnon Ahmad dalam buku setebal 566 muka surat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.

Belum setengah jam dengan keasyikan membaca buku itu tiba-tiba seseorang menghampiri dan menarik kerusi di hadapan saya. Saya menoleh ke arahnya. Dia menghulurkan tangan sambil menyebut namanya. Saya menyambut huluran tangannya sembari menyebut nama saya. Iskandar Zulkarnain namanya. Dan saya, Yusof Ismail.

“Perjalanan niaga?” Iskandar Zulkarnain bertanya.

"Oh, bukan. Seminar bahasa," jawab saya.

Dia menjawab. Setelah mengeluarkan sebungkus rokok Marlboro dari saku kotnya, dia menawarkan sebatang kepada saya. Saya menolak mesra sambil mengucapkan terima kasih.

“Tuan tahu mengapa tuan yang saya datangi, bukan yang lain-lain itu?” dia bertanya sambil menggerakkan ibu jarinya kepada bakal penumpang lain yang juga ramai di restoran itu.

Saya gesit melihat.

“Kerana itu,” katanya sambil menunjuk ke arah buku tebal yang saya pegang. "Dari tadi saya lihat tuan tekun membaca di balai berlepas itu. Tuan orang yang tahu menghargai waktu dan serius. Maaf, saya mengganggu keasyikan tuan kerana duduk di sini. Silakan terus membaca," katanya sambil membongkok mengeluarkan sebuah majalah Dewan Ekonomi terbitan DBP daripada beg yang dibawanya.

Setelah membolak-balik beberapa halaman majalah tersebut, dia mula membaca dan mula membaca. Saya kembali membaca tulisan Shahnon Ahmad sambil sesekali melirik ke arahnya. Melihat kot yang dipakai dan majalah yang dibacanya, saya merasa lelaki berusia sekitar 48 tahun ini adalah seorang usahawan. Ahli perniagaan biasanya sangat mementingkan penampilan seperti itu di samping hanya tertarik pada majalah ekonomi.

Ketika dia menoleh ke arah saya, kebetulan saya sedang mengangkat cawan kopi. Dengan santun saya mengajaknya minum. Dia baru sedar bahawa dia belum memesan apa-apa. Dengan bahasa isyarat dia memanggil pelayan dan memesan segelas cappucino , yang lima minit kemudian diletakkan oleh pelayan di hadapannya. Dia segera menghirup minuman hangat itu. Selepas itu dia kembali membaca majalahnya. Kalau tadi dia mengatakan bahawa saya sangat menghargai waktu, kini sayapun menganggap begitu tentang dirinya. Dia lebih suka membaca daripada bercakap dengan saya. Dan serius, seperti tadi dia menilai saya.

Adakah hanya kerana persamaan itu dia memilih duduk di sisi saya di restoran ini? Ataukah keasyikan membaca itu hanya pretensi dan merupakan pengantar kepada arah tujuan yang sebenarnya? Saya tidak berani membuat apa-apa kesimpulan.

Satu jam berlalu dan kami belum saling mengenali lebih jauh. Setelah membaca beberapa muka surat karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, saya menutup buku tebal itu dan meletakkannya di atas meja sisi cawan kopi. Pada waktu yang hampir bersamaan dia menutup majalahnya dan memasukkannya kembali ke dalam beg galasnya.

“Shahnon Ahmad,” katanya. "Saya suka juga dia. Sastera pun saya suka, cuma saya lebih banyak membaca buku-buku bercorak ekonomi dan kewangan," katanya bersahaja.

Saya menyambut kata-katanya dengan senyuman. Rupanya dia juga suka membaca karya berunsur sastera. Dugaan saya bahawa dia hanya gemar membaca buku yang ada kaitannya dengan perniagaan sahaja ternyata meleset.

“Ke London?” dia bertanya.

Saya gesit mengangguk.

"Saya harus ke beberapa buah bandar raya. London, Paris, Zurich dan Rome. Sebenarnya saya sudah jemu mundar-mandir bermula, tetapi bos tetap ikut saya,"

'Pasti dia ini orang penting,' ujar saya dalam hati. Paling tidak orang percaya pihak atasan. Berhadapan dengan orang seperti ini saya lebih suka mendengar daripada bercakap.

"Sebagai pengembara yang kerap saya suka menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan yang berbeza. Tapi, baru kali ini jadual keberangkatan tertunda. Saya tidak mahu lagi naik kapal terbang syarikat ini. Buang masa saya saja," katanya melontarkan kekesalannya.

Selepas sekali lagi menghirup cappucino di hadapannya, dia bercerita tentang dirinya tanpa saya minta. Dia bekerja di sebuah bank asing di Kuala Lumpur dengan ibu pejabat di kota London.

Mulanya dia bertugas sebagai ketua jabatan kakitangan, kemudian dipindahkan ke bahagian kredit, dan terakhir memegang jawatan ketua bahagian pertukaran wang asing. Jadi, ketika bertugas di bahagian terakhir inilah dia banyak melancong ke negara asing. Saya percaya saja kerana saya memang tidak tahu apa-apa tentang dunia perbankan.

Pada awalnya dia tidak berminat bekerja di bank tetapi kerana lamarannya ditolak di beberapa tempat akhirnya dia melamar di bank tempatnya bekerja sekarang. Kerana dia lulus temuduga dan bahasa Inggerisnya bagus, dia diterima dengan gaji awal yang lumayan. Kemudian, kerana dia telah akrab dengan dunia perbankan, dia merasa bahagia bekerja di bank asing itu.

Iskandar Zulkarnain yang mempunyai dua orang anak perempuan dan kedua-duanya sedang belajar di sekolah menengah itu tidak sempat mendengar kisahnya kerana ada panggilan dari pembesar suara di restoran agar semua penumpang segera kembali ke balai menunggu kerana kapal terbang akan berlepas sebentar lagi.

 

* * *

 

Setelah beberapa jam terbang, saya terjaga dari tidur. Saya adalah penumpang yang senantiasa tertidur dalam setiap kali perjalanan dengan menggunakan kapal terbang, kendatipun jarak penerbangan pendek.

“Nyenyak betul tidurnya,” suara Iskandar Zulkarnain kedengaran dari kerusi belakang.

Saya segera menoleh ke arahnya.

“Sejak dua jam lalu saya pindah ke kerusi ini,” katanya.

“Maksudnya mahu meneruskan perbualan, eh, ternyata tuan tidur,” katanya lagi sambil tersengih. Dia boleh berpindah tempat seperti itu kerana banyak kerusi penumpang kosong.

Ternyata dia ini benar-benar tidak menghargai waktu, fikir saya. Dalam perjalanan sejauh ini pun dia masih ingin berbual. Dan dia masih duduk di kerusi belakang itu walaupun tahu di sebelah saya ada penumpang lain dan perbualan tidak mungkin boleh dilakukan dengan baik.

Tiba-tiba penumpang di sebelah saya menawarkan diri untuk berpindah ke tempat Iskandar Zulkarnain jika beliau memang ingin berbual dengan saya. Malangnya, tawaran itu diterima oleh Iskandar Zulkarnain. Saya tidak mungkin dapat menyelamatkan diri lagi.

Ketika dia mula bercakap, saya mula menyerang. Ceritanya sampai ke telinga saya antara dengar dengan tidak. Mata saya tiba-tiba terbelalak ketika dia datang ke kerusi belakang di tempatnya duduk tadi ada beberapa orang Arab yang agak mencurigakan.

“Jangan-jangan mereka perampas,” katanya.

Jantung saya gesit berdebar kencang.

“Sebagai seorang anggota keselamatan, sudah tentu tuan tahu bagaimana nak mengatasi keadaan seandainya mereka melakukan rampasan atau bagaimana nak mencegah jangan sampai rampasan itu terjadi,” katanya separuh berbisik.

Saya menatapnya dengan perasaan hairan. anggota keselamatan? Mengapa dia mengatakan saya seorang anggota keselamatan? Adakah kerana ia sentiasa ingin berada di sisi saya sejak di lapangan terbang tadi? Saya kerana tidak percaya kepada pendengaran saya dan sekali gus boleh menerima dugaannya. Namun saya dapat merasakan ini adalah bahasa orang takut.

“Cuba tuan pura-pura ke belakang dan amati mereka, barangkali dugaan saya benar,” ujar Iskandar Zulkarnain membuat saranan.

 “Saya bukan seorang anggota keselamatan,” jawab saya tegas kerana saya bersungguh-sungguh dengan saranannya itu.

"Demi keselamatan semua penumpang, tuan harus berbuat sesuatu. Cubalah ke belakang dan amati mereka," katanya lagi sambil menarik lengan saya.

“Saya bukan anggota keselamatan,” balas saya agak keras.

“Cubalah,” balasnya pula tanpa mempedulikan penjelasan saya.

Entah apa yang mendorong saya, walaupun saya tahu itu adalah bahasa orang yang takut, tiba-tiba sahaja permintaannya saya penuhi. Saya melangkah ke jajaran kerusi belakang sambil berpura-pura ingin ke tandas dan memerhatikan penumpang di setiap kerusi yang saya lewati. Dua orang penumpang berkulit putih kedengaran berdebar sambil berbisik melihat sesuatu di sebuah peta. Kerana jarang kerusi mereka dengan tandas hanya satu meter dan mereka berbahasa Inggeris, saya dapat menangkap sekilas pembicaraan mereka.

Kelewatan kapal terbang, menurut salah seorang daripada mereka, membuatkan mereka tidak mungkin sampai ke bandar raya yang tertera pada peta itu seperti yang telah dirancang. Sedangkan yang seorang lagi dengan yakin mengatakan mereka akan tiba di bandar raya itu walaupun kelajuan kereta yang mereka pandu hanya 50 batu sejam.

Setelah masuk ke tandas sebentar dan keluar, saya melangkah ke kerusi saya dengan perasaan lega. Iskandar Zulkarnain si pengecut itu telah mendramatisasikan keadaan secara berlebihan. Akhirnya, dia sendiri yang ketakutan. Kerana itu, sebaik sahaja saya duduk dia segera menyambut saya dengan pertanyaan beruntun.

"Apa yang harus saya lakukan? Mungkinkah kita mampu menyelamatkan diri? Adakah kita tidak perlu memberitahu juruterbang dengan segera?"

Saya memandang wajahnya yang ketakutan itu dengan tenang. “Jangan bimbang,” jawab saya. “Mereka hanya akan melakukan rampasan kapal terbang dalam penerbangan dari London ke Paris, bukan sekarang.”

Mendengar kata-kata saya dia menarik nafas lega seraya mengelus dadanya. “ Alhamdulillah ,” ucapnya perlahan.

Setelah menyandarkan tubuhnya ke kerusi, mulutnya kumat-kamit berdoa. Baru selepas itu dia memandang saya dengan wajah berseri. “Tuan,” katanya. "Saya dah naik takut mundar-mandir ke negara asing seperti ini bukan kerana jaraknya yang jauh. Tetapi kerana rasa takut yang menyerang saya setiap kali naik kapal terbang. Ketakutan itu terus menghantui saya. Sebab itu, saya selalu mencari rakan berbual dalam penerbangan, tak kira berapa lamanya penerbangan itu. Tadi, sebelum saya berpindah ke kerusi ini, saya berbual dengan penumpang di sebelah saya. Kerana itu dia menunggu saya pergi ke tempat lain, sebab tadi saya harus menunggu saya ke belakang dan rasa takut. Kerana itu saya harus menunggu di belakang saya dan rasa takut. itu semakin menjadi-jadi terutama sewaktu mendengar orang asing itu berbisik-bisik tidak henti-henti membuka beg, mengambil kertas lalu berbisik-bisik lagi.”

“Apa yang tuan takutkan?” saya bertanya.

“Saya takut kalau kapal terbang ini mengalami kemalangan, mendarat secara tergesa-gesa atau dirampas oleh pengganas dan diletupkan. Perasaan itu terus menghantui saya setiap kali naik kapal terbang termasuk sekarang ini.”

Saya terdiam. Lama saya berfikir. Perasaan itu mungkin mula menghantuinya sebaik sahaja dia menginjakkan kaki di lapangan terbang. Kerana itu sejak di sana dia mula mencari rakan untuk membunuh rasa takut itu. Hal yang sama juga mungkin dilakukan sebaik memasuki kapal terbang.

Saya yakin dia sebenarnya tahu bahawa saya bukan seorang anggota keselamatan dan saya yakin dia juga tahu bahawa rampasan akan berlaku antara London dan Paris seperti yang saya katakan tadi hanyalah bohong belaka. Tetapi, itu sudah cukup untuk mententeramkan hatinya.

Saya memandangnya. Dia menyandar sambil menutup mata. Saya tahu dia hanya berpura-pura tidur kerana tangannya memegang lengan kiri saya. Saya turut menutup mata.

Sebelum tertidur saya telah mengambil keputusan. Sewaktu akan berpisah di lapangan terbang London nanti, dia akan saya berikan kad nama saya. Sebenarnya saya juga merupakan seorang pakar motivasi. Dia boleh menemui saya pada waktu saya menyampaikan seminar motivasi petang hari. Sebagai tanda persahabatan, saya akan menyatakannya daripada sebarang bayaran. Berdasarkan pengalaman, saya tidak merasa ragu sedikitpun bahawa pesakit yang saya temui dalam penerbangan ini boleh disembuhkan.


DON MEMBUNUH BAHASA HENING

SMAHADZIR

KENAPA hari melangkah begitu gesit? Tanpa sempat Don menoleh ke belakang. Tanpa sedar hari ini sudah hari Sabtu dan esoknya hari Ahad atau hari minggu. Don kesal benar dengan dua hari tersebut. Kalau mampu meminta daripada Yang Maha Berkuasa, dia ingin supaya hari Sabtu dan Ahad ditiadakan dari laman kalender. Dan semua orang harus bekerja terus menerus seumur hidup tanpa kenal hari Sabtu dan hujung minggu.

            Kebanyakan orang menunggu-nunggu hujung minggu atau hari Sabtu dan Ahad, terutama bagi yang sudah berkeluarga, tetapi tidak bagi Don. Bagi yang sudah berkeluarga, hari Sabtu dan Ahad adalah hari untuk bergembira bersama ahli keluarga, bersama anak-anak dan cucu. Tetapi hujung minggu bagi Don bagaikan neraka, waktu tiada akhir yang mesti dirasa. Pada dua hari yang membosankan itu dia akan berjalan seorang diri di lorong-lorong bandar raya Kuala Lumpur untuk membunuh bahasa hening yang berjalan begitu iseng. Demikian lambatnya hingga dua hari serasa seperti dua tahun yang penuh durjana.

            Pada malam Jumaat Don akan menerima nombor-nombor telefon yang tercatat dalam iPhone-nya. Mencari-cari nama rakan, baru atau lama, yang boleh dihubungi. Selepas itu dia akan sibuk membaca nombor telefon menghubungi mereka seorang demi seorang.

            “Hello,   assalamualaikum  Wan...” 

 Waalaikumsalam , Don! Saya sekarang dah keluar dari Kuala Lumpur… menghala ke Cameron Highlands!” 

“Errr, bila agaknya kamu pulang?”

“Petang Ahad, baliklah!”

Dipandangnya telefon bimbit di tangan dengan perasaan hampa. Dicari-cari pula nombor telefon Dani. Setelah ditemui, rakan lamanya itu segera dihubungi.

            "Hello, Dani? Besok ada hal tak?"

“Aku dah janji nak keluar dengan Milia!”

“Ala… aku cadang nak ajak kamu keluar,”

"Maaflah, Don! Lain kali ye!"

"Baiklah, tidak apa. Err, bila kamu tak ke mana-mana hubungilah aku,"

“Baik Don!”

Lagi sekali Don berasa sungguh kecewa. Firman pula dihubungi.

             Assalamualaikum  Firman! 

 Waalaikumsalam , Don!” 

“Esok ada hal tak?”

"Esok aku nak balik kampung la, Don! Kenapa?"

“Err, tak ada apa-apa…” Don semakin kecewa. Mail pula dihubungi.

            “Errr,   assalamualaikum  Mail!” 

"  Waalaikumsalam , Don! Ada apa telefon aku malam-malam buta ni?" 

“Err, tak ada apa-apa, Mail…”

“Eh, takkan tak ada apa-apa?”

“Errr, sebenarnya aku nak ajak kamu keluar esok!”

“Ala, maaflah Don! Esok aku dah janji nak keluar dengan rakan sekampung? Kami bercadang nak ke Ulu Yam…”

“Kalau begitu, baiklah!!” Don terus kecewa.

            Lama kelamaan dia putus asa dan dihempaskan iPhone-nya ke atas tilam. Semua rakannya, baik lama atau baru, sibuk dengan aktiviti masing-masing.

            Selalu begitu. Dan hujung minggu akan terasa seperti detik-detik darmawisata bagi Don.

            Kalau sudah begitu, lelaki yang hampir beruban di kepala itu akan tersungkur di bilik kecil sewaannya. Bahasa Melayu hening yang mengapung seluruh juzuk. Sembari mendengar muzik sampai kantuk tiba. Sewaktu pagi menjelang dia akan terjaga untuk merayakan hari, mengapa hari ini hari Sabtu dan esok adalah hari minggu?

            Dengan kemalasan yang tiada tara dia melangkah ke bilik mandi. Tidak perlu sarapan sebab seharian bahkan dua hari ini dia ada banyak kesempatan untuk berlapar-lapar kemudian berkenyang-kenyang seorang diri. Satu per satu restoran dan kafe sudah dicuba. Ingin makan apa hujung minggu ini? Juga, pusat membeli belah dan plaza mana lagi yang harus dia kitari? Lorong bandar raya Kuala Lumpur mana lagi yang harus dia susuri? Semua dilakukan hanya untuk membunuh satu benda yang bernama bahasa hening.

 * * *

Don memakai seluar  jeans  paling mahal yang dia ada. Hujung  jeans  itu terlalu panjang dan dia potong dengan gunting secara semberono tanpa dirapikan oleh tukang jahit pandai. Hasilnya, hujung kainnya terburai pembohong. Berbulu-bulu dek benang yang berjurai keluar centang perenang. Dan Don tidak peduli itu semua.    

            Kaki Don terbalut kasut kain hijau lusuh ala pemain bola kampung. Kasut yang selalu menemani tiap hujung minggu dia berjalan pojok-pojok bandar raya Kuala Lumpur. Tapaknya sudah mula tipis tetapi dia suka. Belum berhasrat untuk membeli yang baru. Kasut itu membawanya ke sebuah kedai buku yang baru dibuka. Malah pemiliknya terkejut melihat sepagi ini sudah ada pelanggan tempatan datang.

            Sebenarnya kedai ini sudah puluhan, malah ratusan kali dia singgah. Tiap hujung minggu dia masuk ke kedai buku yang ada di bandar raya Kuala Lumpur ini. Tidak selalu membeli. Hanya membaca berjam-jam sampai kaki pegal seperti mahu patah. Kadang-kadang jurujual perempuan menjeling marah kerana majalah yang dibacanya hampir-hampir berkedut seribu kerana kerap sangat diselak helaian demi helaian.

            Beberapa buku terlaris sudah selesai dibaca hanya bermodalkan 'baca percuma'. Don hanya mahu membeli buku yang sungguh-sungguh baik dan berkualiti untuk dimiliki. Lain tidak. Selalunya buku yang dibelinya adalah buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Baginya buku-buku terbitan DBP itu amat berkualiti dan wajar dibeli serta dijadikan koleksi.

Biasanya setelah berpegal-pegal berdiri di kedai buku dia akan ke kafe atau restoran. Kadang-kadang dari kedai buku di Jalan Tuanku Abdul Rahman dia naik teksi ke Jalan Petaling untuk mencari   chinnese food . Atau sebaliknya, dari Pasar Budaya lelaki itu bersendat-sendat naik kereta api ke Kuala Lumpur City Centre atau KLCC untuk mencari warung masakan Melayu. Gila? Sama sekali tidak. Lebih-lebih lagi apa yang diharap pada hujung minggu daripada seorang lelaki bujang tua itu kalau bukan untuk membuang-buang waktu dengan percuma. Semuanya hanya kerana ingin membunuh bahasa hening yang melingkari hidupnya. 

            Pada waktu yang sama, rakan-rakan Don yang lain sedang menghabiskan waktu bersama keluarga, isteri, kekasih atau sanak-saudara masing-masing. Mereka selayaknya lelaki-lelaki usia tua lain, sudah ada zuriat atau isteri. Mereka akan disibukkan oleh pelbagai aktiviti untuk suami: persatuan suami mithali, memenuhi undangan majlis pernikahan, rekreasi keluarga, dan pelbagai lagi aktiviti yang dapat membunuh bahasa hening seperti yang sering membalut hidup Don. Entah bila Don boleh tenggelam dalam aktiviti semacam itu. Rasanya tidak akan pernah, sebab hingga hari ini lelaki bujang berambut ketak-ketak itu tetap mengutuk hujung minggu seolah-olah kiamat mingguan dalam hidupnya. Hanya kerana bahasa hening yang menjadi gebar tebal menyelimuti sekujur tubuhnya itu.

            Proses pernikahan rakannya satu-satu dia sumpah serapah. Satu pernikahan, bererti satu rakan hilang sudah. Masih ada harapannya pada Hadi dan Zali, rakan seangkatannya yang belum direbut oleh institusi pernikahan. Tetapi Hadi sudah ada tunang dan Zali pula sibuk menjaga anak saudaranya. Walau sama-sama lelaki bujang tua, Zali model lelaki cinta keluarga. Dia lebih suka menghabiskan masa dengan orang tua, anak saudara atau adik beradik daripada kawan seperti Don.

 * * *

Dulu, pernah sekali Don begitu memuja hujung minggu. Tidak pernah wujud bahasa hening dalam kamus hidupnya kerana gadis pujaan hatinya sering menemaninya pada hari Sabtu atau Ahad. Dia selalu disibukkan oleh berbagai acara hura-hura. Minggu ini ke Port Dickson, minggu depan ke Pantai Morib, minggu hadapan lagi ke Genting Highlands. Kadang-kadang ke Bukit Fraser atau ke Pusat Perkelahan Janda Baik. Dia ada gadis yang sedia bersamanya ke majlis-majlis hebat. Naik motor di lereng terjal Genting Highlands, berkelah di Taman Temple, di Tasik Titiwangsa atau di Tasik Putrajaya sembari bersuka ria atau makan angin sejuk di tanah tinggi Cameron Highlands.

            Hujung minggu adalah syurga bagi Don masa lalu. Sebuah momen yang selalu dinanti penuh harap. Suatu kesempatan untuk dia boleh bebas merdeka dari himpitan rutin kerja. Malam minggu tidak pernah dilalui seorang diri di bilik sewaan. Muzik keras bergegaran memekakkan gegendang telinga, gelak tawa dan asap rokok tidak pernah sunyi setiap hujung minggu Don bersama rakan-rakannya.

            Kemudian datanglah masa dewasa itu. Satu-satu rakannya mula sibuk melorek arca hidup sendiri. Dia juga demikian. Masih sempat sekali dua kali dalam sebulan mereka habiskan hujung minggu bersama. Perlahan-lahan kebersamaan itu digerogoti kesibukan peribadi masing-masing. Don sendiri tenggelam dalam kisah kasihnya yang berkali-kali terkandas. Kerana dendam, dia tenggelamkan diri dalam karya seperti seorang penulis cerpen atau novel.

Kian tenggelam dan tenggelam. Tanpa sedar satu-satu rakannya sudah punya dunia sendiri. Don terhenyak sedar bahawa dia tertinggal jauh daripada rakan-rakannya ketika beberapa kali hujung minggu terpaksa dia lalui seorang diri. Gigit jari. Sembari melayan bahasa hening yang khali, yang tidak pernah bersuara apa-apa dengannya.

            Lantas, hujung minggu yang dulunya adalah syurga telah berubah menjadi neraka. Dia selalu menyumpah seranah dua hari penuh jelak tersebut. Dua hari di mana dia harus mendepani simfoni bahasa hening dan harus juga mencari keriangan seorang diri. Dua hari di mana dia akan ditertawakan orang kalau masih cuba masuk pejabat. Dua hari di mana dia membawa kasut lusuhnya ke lorong-lorong bandar raya Kuala Lumpur tidak bertujuan.

* * *

Lelah penat Don rasakan setelah dua hari penuh keliling bandar raya Kuala Lumpur tanpa makna. Sebuah aktiviti menjemukan yang tidak mahu harus dia lakukan daripada terbunuh oleh libasan lading bahasa hening dalam bilik. Gontai langkah Don menuju ke biliknya yang cuma sepetak. Sewaktu lelaki bujang tua seusianya menghabiskan waktu bersama keluarga di hujung minggu, dia harus terima kenyataan bahawa di bilik sewanya itu tiada sesiapa pun datang menyambut kepulangannya. Hanya senyum hambar tuan rumah penuh basa-basi. Juga kerlingan bahasa hening yang sarat sinikal dan kadang-kadang Don berasa seringai bahasa hening itu begitu memualkan.

            Dalam dihenyak dan dilambung ombak keheningan, dia hidupkan radio. Putar   volume  besar-besar sembari melayan muzik  rock  paling keras. Tiga buah buku sudah menanti untuk dibaca. Tetapi hatinya tetap sepi. Bahasa hening tetap berlegar-legar mahu mendakapnya. Dari atas tilam, diangkatnya kepala. Kelihatan kalender meja. Ada harapan ceria menjelang. Ah, esok hari Isnin. Usai sudah penderitaan hujung minggu ini dihenyak, digodam dan dihiris bahasa hening.   


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA