Aku Meradang Melihat Bangsaku
Aku meradang melihat bangsaku,
bangsaku ini mengaku beradab,
tapi sering biadab menyebar asap,
asap begitu membumbung tapi di mana bara api,
tak disangka tersimpan di dalam hati,
sesak paru-paru penduduk seperti dicekak,
seringkali tertelan sendiri gumpalan kahak di hujung tekak,
mulut pengap, nafas tak sedap, berkecap seperti melahap.
Aku meradang melihat bangsaku,
bangsaku ini mengaku bersatu,
tapi sering berseteru menebar debu,
debu begitu menggunung tapi di mana angin berarak,
tak disangka terhembus di dalam benak,
pedih mata penduduk seperti dicucuk,
seringkali tergenang sendiri aliran air mata di pelupuk,
hidung mampat, hingus membatu, bernafas seperti membeku.
Aku meradang melihat bangsaku,
bangsaku ini mengaku berhemah,
tapi sering beraksi melempar fitnah,
fitnah begitu menumpuk tapi di mana benarnya,
tak disangka terganjal di dalam akal,
sakit tenggorokan penduduk seperti dikelar,
seringkali tersedak sendiri getaran suara di leher,
kerongkongan gosong, batuk mengejan,
berbicara seperti mengigau.
SMAHADZIR
Pekan, Pahang
Oktober 2010
Menulislah Anakku
Setelah hujan reda,
bersama titis-titis air,
yang jatuh dari dedaunan,
tulislah tentang aku,
yang berdiri mematung di jujuhan hujan,
bukan kerana cerita atau khayalan seketika,
engkau menuliskan tentang aku,
tentang ayahmu seorang pengarang,
yang bernama manusia.
Menulislah anakku,
kerana penamu tergerak,
oleh dalamnya persentuhan kemanusiaan,
dirimu menemuiku dengan kecintaan dan rasa sayang.
Anakku,
menulislah dengan tulus,
kerana sekali tinta tertumpah,
akan membawa sejuta makna untuk dunia,
menulislah untuk menciptakan dunia yang indah dan beradab,
untuk manusia menyemaikan benih-benih persaudaraan yang tulus.
SMAHADZIR
Shah Alam 2010
Pagi Dan Harapan
Jeritanmu dari kejauhan yang memanggil namaku,
menggigilkan daun telingaku,
seketika aku mendengarnya terdiam tak berdaya,
aku telah terpesona oleh suaramu,
sekali lagi jeritanku menggema di lorong-lorong udara rongga dadaku,
ada gemuruh ketika pagi datang,
menjanjikan harapan demi harapan.
Sesak nafasku tertindih oleh sejuta keragu-raguan,
meski senyum dan tawa menyongsong datangnya pagi,
bayanganmu menyelinap di angan tanpa mengetuk pintu hati,
pagi dan jeritanmu kini menjadi harapan hidupku,
rautmu selalu berkelebat laksana kilat,
dekat di pelupuk mataku,
seperti senja menyepuh bias lembayung,
menjadikan mataku tak mampu,
walau hanya untuk berkedip.
SMAHADZIR
Shah Alam, Selangor
Januari 2010
Tentang Asamu
Ceritakan padaku tentang pedihnya,
sebuah kehilangan yang terbang,
di atas awan senja merah saga,
dan menyiksakan ngilu menikam di dada,
dalam derap waktu yang bergegas,
agar segera dapat kubaluri hatimu,
dengan sejuk bening embun dan tulus cinta.
Ceritakan padaku tentang perihnya,
sebuah pengorbanan yang membakar habis,
segenap asamu dan meninggalkan sepotong lara,
mengendap di dasar kalbu,
agar kubuatkan untukmu rumah,
di atas awan biru tepat di puncak larik pelangi,
yang akan kubina dari setiap desir angin rindu,
khayalan merangkai impian bersama,
dari bilik hatiku yang senantiasa percaya,
kebahagiaan kita adalah kenistaan yang terlerai.
SMAHADZIR
Ipoh, Perak
Februari 2010
Batu Menangis
Batu itu berwarna putih,
terungkap sebaris nama,
dahulunya megah,
berkiblatkan pangkat dan kuasa,
namun, batu itu menangis,
dirinya terasa usang,
susuk tubuh longlai berlalu,
enggan singgah menyapa,
enggan mengusap pundaknya,
tiada alunan fatihah bergema.
Batu itu terus menangis,
tanahnya kontang,
lalang saling meninggi,
menelan kewujudannya,
nama yang terpalit dijamah usia,
hilang sudah segalanya.
Batu itu tetap menangis,
diratapi nasib penghuni,
dipandangnya ke bawah,
sekujur insan terpalit seribu luka,
jawapan setiap angkara.
Batu itu berhenti menangis.
SMAHADZIR
Klang, Selangor
Mac 2010
Suatu Ketika Nanti
Perpisahan akan terjadi,
rindu akan dirantai,
kasih akan dipasung,
cinta akan dibelenggu,
hitamnya besi pengikat,
menjunam tujuh lapis bumi,
bersauh di tujuh lapis langit.
Hati yang mengaum akan dihambat,
kemegahan kalimah yang agung,
jiwa yang celaru akan disiram,
dengan jernih airmata taubat,
tubuh yang malas akan digerakkan,
dengan hentaman rotan nasuha,
diri akan berlabuh di atas sejadah merah.
SMAHADZIR
Sg. Petani, Kedah
April 2010
Kunci Syurga
Isteri yang kucintai,
pernikahan kita satu anugerah Ilahi,
hadiah terindah maharnya suci,
kau calon soleh yang kuimpi.
Lelaki soleh di hati ini,
bertakhta megah di singgahsana nurani,
melaksanakan amanah seikhlas hati,
menggenggam mutiara cinta yang murni.
Kau kucintai,
pimpinlah aku menuju jannah,
jalan dakwah ini kita menikah,
berpimpin redha tawajuh melangkah,
membina sabar diterjah mehnah.
SMAHADZIR
Kuala Kangsar, Perak
Mei 2010
Indahnya Sunyi Dan Sepi
Kiblat kita satu,
arahnya juga satu,
caranya cuma satu,
dan Tuhan kita tetap satu,
ayuh, tinggalkan semua,
itu cuma dunia yang palsu,
yang lebih baik menanti di sana.
Apa perlu aku rasai?
mengapa harus aku tempuhi?
telah aku cuba hindari,
namun tetap didatangi,
keluh kesah menyinggahi,
agar dapat dijauhi,
namun telah disurati,
agar tabah menghadapi,
walau beribu alasan dihidangi,
tetap tidak akan dapat dijauhi.
Semakin pantas berlari,
semakin ia menghampiri,
apa yang ditakuti,
tetap jua mendatangi,
setelah aku halusi,
setelah aku fahami,
mengapa ini yang terjadi,
aku mengerti ada hikmah yang menanti,
akhirnya takut menjadi berani,
dari lari terpaku terpatri,
menjadikan diri merintih menangisi,
kerana aku perlu nikmati,
betapa indahnya sunyi dan sepi.
SMAHADZIR
Muar, Johor
Jun 2010
Makna Sebuah Pinjaman
Seringkali kita berkata,
ketika semua orang memuji ‘milikku’,
bahawa sesungguhnya ini hanyalah pinjaman,
bahawa rumahku, kenderaanku hanyalah pinjaman dari-Nya,
bahawa hartaku hanyalah pinjaman dari-Nya,
bahawa anak-anakku hanyalah pinjaman dari-Nya,
tetapi mengapa kita tak pernah bertanya,
mengapa Dia meminjamkan pada kita,
untuk apa Dia meminjamkan ini pada kita,
dan kalau bukan milik kita,
apa yang harus kita lakukan untuk milik-Nya itu,
adakah aku memiliki hak atas sesuatu yang bukan milikku?
mengapa hatiku sangat terasa berat,
ketika pinjaman-Nya itu diminta kembali oleh-Nya?
Ketika diminta kembali,
kusebut itu sebagai musibah,
kusebut itu sebagai ujian,
kusebut itu sebagai petaka,
kusebut itu sebagai panggilan,
kusebut apa saja untuk melukiskan bahawa itu adalah derita,
ketika aku berdoa,
kuminta pinjaman yang seiring dengan hawa nafsuku,
aku ingin lebih banyak harta,
ingin lebih banyak kesenangan dari ketenangan,
lebih banyak populariti daripada rendah diri,
kutolak sakit dan kutolak kemiskinan,
seolah-olah semua ’derita’ adalah hukuman bagiku,
seolah-olah keadilan dan kasih-Nya harus berjalan seperti;
‘aku rajin beribadah,
maka selayaknyalah derita menjauh dariku,
dan nikmat dunia kerap menghampiriku’,
kuperlakukan Dia seolah-olah bahan dagangan dan bukan kekasih,
kuminta Dia membalas ’perlakuan baikku’,
dan menolak keputusan-Nya yang tak sesuai dengan keinginanku,
ya Tuhan, padahal tiap hari kuucapkan,
hidup dan matiku hanya untuk beribadah,
dan ibadahku hanya untk-Mu,
namun pahala kujadikan perantara,
walhal jika diukur jarak antara aku dengan-Mu,
jauh tidak berantara, dekat tidak bersentuh,
ketika langit dan bumi bersatu,
bencana dan keuntungan sama saja.
SMAHADZIR
Pendang, Kedah
Julai 2010
Pendekar Sakti
Pendekar sakti;
bukanlah dia yang sanggup mengalahkan ratusan orang musuhnya,
tapi adalah dia yang sanggup mengalahkan dirinya sendiri.
Pendekar sakti;
bukanlah dia yang mampu melihat musuhnya di seberang lautan,
tapi adalah dia yang mampu melihat dirinya sendiri.
SMAHADZIR
Kulai, Johor
Ogos 2010
Pasti Ada Perpisahan
Sahabat,
dulu kau dan aku sering bersama,
namun hanya disebabkan satu perkara,
kau pergi meninggalkan diriku.
Sahabat,
andai aku ada waktu,
ingin sekali aku bertanya padamu,
mengapa kau tinggalkan aku,
sedangkan aku amat mengasihimu,
aku sedar wahai sahabat,
diriku banyak melukakanmu,
namun sedarkah dikau,
mencari seorang sahabat,
bagaikan mencari sebutir mutiara putih.
Namun sahabat,
aku tidak akan menyalahkan dirimu,
kerana perpisahan ini pasti akan wujud,
walaupun tidak diminta,
kerana setiap pertemuan,
pasti akan adanya perpisahan.
SMAHADZIR
Bandar Hilir, Melaka
September 2010
Dongeng Pelanduk Dan Buaya
Kita tidak pernah merancang untuk mengekalkan kenangan,
dengan menjadi pelanduk dan buaya,
dalam dongeng kanak-kanak silam,
kerana pelanduk kini tak lagi cerdik,
buaya-buaya memangsanya di pusat membeli belah,
di kafe, di hotel, di mana-mana saja.
“Pada suatu hari, ada seekor pelanduk,”
di sampingnya engkau melata, menjilati telinganya,
dengan bibir yang liar, sepanas nafas para pemogok,
sementara jemarimu menari di antara irama salsa,
wangi bulgari, piala anggur, dan sepotong brownis.
“Kita ciptakan makhluk baru, berasaskan pelanduk dan buaya,”
janjimu mengusung semangat orasi di hadapan rakyat jelata,
seperti semilir AC yang memelihara mimpi agar tetap jaga,
di sudut ruang,
sepasang patung barbie demikian gemerisik tawanya.
Kita tidak pernah merancang untuk mengekalkan kenangan,
bukankah kanak-kanak lebih mengabadikan donald duck?
“buaya tidak ingin kehilangan pelanduk,” katamu berulang-ulang,
juga ketika mencumbu pelanduk-pelanduk lain yang tak lagi cerdik,
kerana selamanya engkau tidak akan pernah bermetamorfosis,
meskipun ketika memakai topeng pelanduk jantan sekalipun.
SMAHADZIR
Padang Besar, Perlis
Januari 2000
Mengutip Kata
Memasuki lif, keraguanku menggumpal:
sungguhkah kata itu yang kau temui?
Terusung ke tingkat sembilan belas,
tak kurasakan getar,
tapi di hati,
ada siluet gempa yang nyaris pecah,
segala ketenteraman begitu jauh dari jangkauan,
para pemberi petitih,
entah di mana ia dakap hangatnya.
Aku membaca angka-angka setiap tingkat,
dengan hati yang aneh,
dan sembilan kepala yang menyesaki lift menterjemahkannya,
dengan tubuh mengarca.
Pagi ini segalanya memang kelihatan berbeza dan asing,
keluar dari lif,
gigil telah merambati ulu hati,
sungguhkah kata itu yang kau temui?
SMAHADZIR
Kodiang, Kedah
Februari 2000
Aku Rumahmu
Aku adalah bumi,
aku seronok kamu mampu bersama aku,
aku tidak pernah mengganggu kamu,
aku memberimu tempat untuk tinggal,
aku peduli akan kamu,
aku tidak meminta imbalan,
aku memberikan semua yang kamu mahu,
kamu merosakkan aku,
kamu terus merosakkan aku,
kamu tidak menjaga aku,
kamu tidak pedulikan aku,
aku terluka parah,
aku semakin tua,
aku sedih harus meninggalkan kamu,
aku hanya mampu berharap kepada kamu,
hanya kamu yang mampu menyelamatkan aku.
SMAHADZIR
Persiaran Gurney, Pulau Pinang
Mac 2000
Hujanmu, Hujanku
Anak katak di pinggir kali,
hampir mati bosan menunggu hujan,
melompat-lompat di atas batu sungai yang mulai kering,
memanggil teman-temannya yang sembunyi di bawah bebatuan,
“Ayuh, bermain,” serunya,
“Tidak, terlalu panas,” tolak mereka.
Isteri nelayan bercekak pinggang di depan rumahnya,
peluh menitis di tepi lekuk bibir yang tersungging,
ikan-ikan tangkapan suaminya mulai kering,
esok akan berganti ringgit berlembar-lembar,
“Ayuh, nak. Bantu ibu mengumpulkan,” perintahnya lembut,
“Ya, bu. Kalau sudah ada wang,
anakanda boleh minta beli baju sekolah yang baru?” pintanya,
matanya polos.
Pemandu harap-harap cemas di belakang stereng,
titis-titis air dari langit mulai gencar berjatuhan,
genangan mulai melebar di kota besar yang dilaluinya,
orang ramai berlarian berteduh dan menggigil.
Seorang kakak mengganding tangan adiknya,
di bawah payung mereka bernyanyi:
‘tik-tik-tik bunyi hujan’
tawa jernih menggema seiring percikan air di kaki mereka,
sejenak setelah rinainya berhenti,
sang mentari pun menggeliat dari balik awan,
“lihat, dik. Itu namanya bianglala,”
telunjuknya mengarah ke lengkung bias warna-warni,
“wah, indah sekali ya, kak. Seronok ya, boleh melihatnya!”
genggamannya semakin erat.
bagaimana dengan hujanmu?
aku tahu hujanku!
SMAHADZIR
Kampar, Perak
April 2000
Kupu-kupu Kesiangan
Jangan tanya alasanku,
kerana aku tak punya,
pada siapa kesetiaan kusematkan?
pada dia?
pada kau?
pada cinta?
mungkin ya, kerana kata orang,
kesetiaan bergandingan dengan cinta.
Kupu-kupu itu terbang tinggi dalam perutku,
kupu-kupu kesiangan yang terlambat datang tanpa izin,
kepak sayapnya lembut membius,
antara sedar dan tiada,
kepak ke bawah,
pengkhianat nakal,
kepak ke atas,
jujur pada diri,
terus begitu.
“Usir saja!”
“Jangan, sayapnya indah sekali.”
“Tetapi tipis dan tajam, lihat ada luka, sepertinya itu dosa,”
“Aku baru tahu merah dosa itu manis.”
jangan tanya mana kekuatanku,
kerana aku tak punya,
aku tak tahu hingga bila,
kupu-kupu kesiangan itu akan tinggal,
mungkin sebentar saja,
mungkin sayapnya akan berubah warna,
mungkin kepaknya bertambah dahsyat,
mana aku tahu,
yang aku mahu,
jika memang titisan merah itu luka,
biar aku saja yang punya,
jangan dia,
jangan juga kau.
SMAHADZIR
Sabak Bernam, Selangor
Mei 2000
Dia Dan Senja
Petang itu ketika angin beranjak pergi,
dan dingin menandai malam tiba,
aku menemui dia kesepian.
Aku ingin sekali menjadi,
satu-satunya teman untuknya,
tapi kulihat dia tidak menyukainya,
dia mencintai kesendiriannya,
dia mencintai kekosongan itu,
lalu ketika akhirnya aku hampir menyerah,
dia memberiku senyuman di senja petang itu.
Sebuah kata tidak akan sanggup,
merangkainya untuk kami,
hanya sebentuk hati yang terpaut rasa,
yang kusimpan rapi untuknya,
yang mungkin mampu menjelaskan bahawa,
“aku mencintainya.”
SMAHADZIR
Bandar Hilir, Melaka
Jun 2000
Kita Dan Dia
Ternyata,
sampai suatu ketika,
kita akhirnya seakan ingin memaafkan,
segala kekejaman,
meski dia enggan memohon maaf,
mengaku segala khilaf.
Bukan kita mudah lupa,
atau kabur dalam menilik neraca,
hanya kita ingin meraih peluang,
menggapai mutiara kebenaran,
meskipun nantinya,
kita terpaksa beriringan,
dan berpimpin tangan,
dengan sang petualang.
Kita dan dia,
bertolak dari pelabuhan berbeza,
dengan hasrat berbeza,
namun kini bukanlah ketika,
untuk kita,
mengkaramkan bahteranya.
SMAHADZIR
Tangkak, Johor
Julai 2000
Lelaki Dan Penyesalan Membusuk
Ini tentang rasa cinta,
tentang kepatuhan,
tentang kebosanan,
tatkala aku panggil kamu sayang,
antara senyap malam,
aku perlu berselimut kehangatan,
tatkala aku panggil kamu bodoh,
antara deretan siang,
sewaktu keringatmu membuat lapar ususku,
dalam putaran jam yang tak terhitung,
aku rasakan,
ada senyuman di antara kebencianmu,
yang mengumbar hambar,
selalu bertanya dan selalu tak terjawab.
Ini tentang rasa cinta,
tentang kepatuhan,
tentang kebosanan,
maaf isteriku,
masihkah engkau bertahan mendampingiku.
SMAHADZIR
Muar, Johor
Ogos 2000
Dalam Rengkuhan Bumi
Bumi tersedar dari tidur sementara,
hari ini sebelum waktu zuhur tiba ia akan mendapatkan makanan,
sambil membayangkan,
perutnya bergemerincing seperti gelang sepuhan,
sungguh lazat seperti dahulu,
bumi menepuk-nepuk ususnya,
agar sisa-sisa kelmarin dapat tergelungsur,
menggelungsur keluar bersama cacing dan belatung yang berpesta.
Udara masih pagi,
dan kabus masih menyelimuti kesenyapan,
kesenyapan merengkuh kegalauan,
kegalauan merambah hati-hati yang dirundung rasa tak menentu,
sebab hari ini,
antara duka yang meratap,
antara suka yang berpesta,
dan antara muslihat yang menjilat saling terpaku,
menanti, menanti demi detik-detik prosesi.
Hari ini,
dua kuintal melati masih tak semerbak harumnya,
terkalahkan oleh aroma airmata yang menjuntai ke dalam tanah,
bumi tersentak,
mengharap makanan tak kunjung datang,
melainkan airmata yang mengalir deras ke kerongkong bumi,
bumi bertanya dalam kebisuan,
kenapa bukan tubuh lazat yang datang.
Sewaktu suria melenggang tepat di tengah,
sekeping mutiara berbalut kain putih mulai merambah ke liang bumi,
diiringi airmata yang menjuntai ke paru-paru tanah,
dan antara duka yang meratap,
antara suka yang berpesta,
dan antara muslihat yang menjilat saling terharu.
Bumi mulai bingung,
bukannya khabar telah membisik,
bahawa dia akan mendapatkan kekenyangan,
kenapa mutiara yang berbalut kafan yang dikirim?
kenapa airmata seluruh alam yang diminum?
kenapa?
Di antara kebingungan,
bumi tetap mampu menerima,
menerimanya sebagai teman yang tertidur panjang,
amat panjang untuk dikenang.
Sedangkan,
antara duka yang meratap,
antara suka yang berpesta,
dan antara muslihat yang menjilat,
saling terlupa dalam sekejap.
(selamat jalan sahabat-sahabatku yang telah pergi)
SMAHADZIR
Sg Petani, Kedah
September 2000
Dialog Taman Hati
(Sewaktu hatiku dipenuhi pelukan rumput kepada embun)
Bunga Kertas: Huuaapp, Selamat pagi, Matahari!
Matahari: Pagi, Manis, nyenyak tidurmu?
Bunga Kertas: Ya, begitulah. Eh, tidak. Kerana aku mimpi buruk! Hii, seram!
Rumput: Mimpi apakah, Kertas? Semalam kau berisik sekali. Jeritmu, oh tidak! Begitu terus.
Bunga Kertas: Ya, iyalah. Berbayang tidak. Embun menghilang dari muka bumi pagi hari!
Rumput: Apa?! Celaka! Oh, tidak!
Matahari: (terkekek perlahan)
Bunga Kertas: Tenang, tenang, Rumput. Itu cuma mimpi.
Embun: Selamat pagi semua (suaranya bening, tubuhnya berhias bianglala warna sinar matahari)
Bunga Kertas: Oh, itu dia! (lega, sekaligus mengagumi si Embun yang terus mengaplikasi dirinya)
Rumput: Oh, syukurlah.
Matahari: Hai, Cantik! (sinarnya menghangat)
Bunga Kertas: Aku tambah cantik, ya? Lihat, gaunku bertabur Embun.
Matahari: (tersenyum)
Bunga Kertas: Ayuh, Matahari, sinari lebih banyak lagi. Sebelah sini. Biar lebih berkilau.
Rumput: Jangan serakah, Kertas. Nanti Embun cepat hilang.
Bunga Kertas: Iya, kenapa kamu harus cepat-cepat berlalu, wahai Embun?
Embun: Kerana memang aku tinggal sebentar saja. Tugasku membuka hari menemani Matahari pagi.
Rumput: (menatap sayang) Kamu cantik sekali, Embun. Aku menanti kehadiranmu bagai candu.
Bunga Kertas: (terbatuk) Ehem, maaf.
Embun: (tersipu malu)
Rumput: (masih menatap sayang) Tahukah kamu, kehadiranmu memberiku segar.
Embun: (masih tersipu malu)
Rumput: Kau memantikkan pijar harap tiap malamku untuk menanti pagi. Kerana aku dapat memelukmu.
Embun: (semakin tersipu malu)
Rumput: Setiap pagi aku dapat memelukmu seperti ini.
Embun: (semakin cemerlang kerana sipu)
Bunga Kertas: Ehem! (terbatuk, cemberut)
Matahari: (berkedip, Angin lewat mengganding Awan, membuatkan Matahari terping-pinga kerana tertutup)
Bunga Kertas: Hei, Awan! Jangan lama-lama di depan matahari! Kilau embunnya hilang!
Rumput: (jerit juga) Wahai, Angin. Jangan berhembus. Beri aku waktu lebih lama bersama cintaku!
Bunga Kertas: (tambah cemberut)
Rumput/Embun: (berpelukan dalam diam)
Matahari: (berhenti merenung, Awan sudah pergi berlari bersama Angin) Maaf, Embun. Maaf,
Rumput/Embun: (sedih)
Matahari: Sudah waktunya engkau pergi, Manis.
Rumput/Embun: (menatap lekat, enggan melepaskan, saling memejamkan mata, merasakan detik-detik perpisahan)
Rumput: Sampai besok pagi, Embun. Aku merindukan kau selalu!
Embun: (hanya tersenyum dalam baur sedih dan pasrah)
Semesta: (hening sementara seolah-olah menghormati pemergian Embun)
Sewaktu menghilang Embun menitikkan airmata,
namun biasnya tersamar di pendar jutaan cahaya Matahari,
kudratnya adalah keterikatan dengan alam,
yang telah menggariskannya,
dapat bertemu Rumput, kekasihnya,
hanya sewaktu fajar terbangun.
Namun waktu itulah ia hidup,
bahagia, bernafas, dan menjadi bermakna,
kilau, bias, dan cemerlangnya ,
menghiasi semesta,
kendati hanya sejenak, meski kemudian terlupa,
ia akan tetap ada.
Senantiasa hadir di geliat jingga langit pagi,
untuk menerima hadiah pelukan sang Rumput.
Rumput menangis pada sewaktu Embun menguap menghilang,
namun basahnya abadi,
tersamar kelembaban udara,
pemergian meninggalkan,
helai-helai kesejukan,
yang akan selalu dinantikan setiap waktu.
Rumput menggigil melalui malam,
melantunkan nyanyian kerinduan menunggu pagi,
- masa di mana Embun, kekasihnya,
datang, bertaut, dan bercumbu tatkala fajar hingga pagi.
Untuk itulah Rumput bertahan hidup,
bahagia,
bernafas,
dan menjadi bermakna.
SMAHADZIR
Baling, Kedah
Oktober 2000
Cemburu
Mengertilah, sayangku,
rasa ini membakar kerongkongku,
meradang panas mencekat nafas,
berdentum-dentum di kepala,
membuatku terhuyung-hayang.
Segenap cinta sekujur jiwa,
melahirkan apa yang kurasa,
tatkala aku harus hadapi,
hatimu tak sepenuhnya untukku,
ketika kedua puluh jari-jariku,
terasa beku dan membiru,
sewaktu kau berlari,
seraya memeluk keping-keping,
hatimu untuknya.
Tahukah, jatung hatiku,
aku harus memeluk tajamnya kenyataan,
menelan tanpa mengunyah duri-duri keadaan,
melatih hatiku dengan gada dan palu,
hingga desir-desirnya terbiasa,
sewaktu kau bersamanya,
ada ataupun tidak maklumat darimu,
terucap ataupun tidak berita janjimu padanya.
Mengertilah, kasihku,
cinta ini sudah jadi milikmu,
tak mampu kubunuh demi untuk binasakan,
rasa kronis berkarat ini,
sama seperti kau tak mampu hapuskan dia,
dari semat baldu hatimu.
Lihatlah, empunya jiwaku,
aku tetap berdiri tegak di sini,
menantimu juga berlari untukku,
membasuh memar hatiku,
dengan sentuhan hangat cintamu.
SMAHADZIR
Sitiawan, Perak
November 2000
Rela
Biar kuringkaskan saja,
memang sudah tak terbahagi,
carik hati berbatik biru,
dengan tebaran perak,
di setiap lekuknya,
tolong jaga dan beri bingkai,
sebab hanya kaulah yang mampu,
boleh kau gantung,
di dinding kesukaanmu,
lalu kau tatap lekat-lekat,
boleh juga kau simpan,
di dalam almari berpintu,
yang mampu kau buka tatkala sendiri,
lalu kau tatap lekat-lekat,
mampu pula kau peluk sambil lelap,
ia tak akan keberatan kau mendengkur,
setelah semuanya damai dalam dakapan,
dan lekat dalam tatap,
sekali lagi,
carik hati berbatik biru,
dengan tebaran perak,
di setiap lekuknya,
ini adalah milikmu,
tolong jaga dan beri bingkai,
dan jika tiba waktu tak mahu lagi,
enggan kau tatap lekat lagi,
kumohon letakkan saja,
di tempat kali pertama,
kau mengambilnya,
lalu tinggalkanlah,
biarkan ia tak lagi bertuan,
tak apa,
aku rela.
SMAHADZIR
Pulau Pangkor
Disember 2000
Di Tengah Pelayaran
Kutatap paras lelapmu, nakhodaku!
diiringi ayunan lembut bahtera kita,
kuhitung larik nafasmu satu-satu,
maafkan aku,
tak selalu di sampingmu untuk membaca angin,
kerana memang angin tak datang berhembus,
maafkan aku,
yang dalam diam dan sembunyi,
pergi loncat dengan sekoci tinggalkanmu,
untuk bermain dan berenang dengan makhluk laut,
lalu kembali setelah kering rambutku,
maafkan aku,
kerana euforia dan gegak gempita cinta,
sewaktu putuskan berlayar bersamamu,
kini tanggal terlepas dari dadaku,
kutatap lagi helai-helai bulu matamu yang mengatup,
pilu sedu-sedanku dalam pagutan sepi,
di bawah langit tanpa bintang utara,
terumbang-ambing gelombang lara,
sukmaku menjerit parau,
‘maafkan aku! (atas matinya rasa)’
SMAHADZIR
Ulu Yam, Selangor
Januari 2001
Kau Begitu Bermakna
Kumohon, bersabarlah,
pada gerah sengat,
yang bakar gelisahmu,
atau pada hujung beku yang menggigit sanubarimu,
akan bukit cinta kita,
yang meranggas kerananya,
tunggulah,
gerimis akan turun membasahi,
atau titik embun satu-satu akan melumuri dahagamu,
meski harus menunggu kerontang berlalu,
kutahu kau akan setia,
mengharungi angkara itu buatku,
lewati kesakitan dengan tulusmu,
bersabarlah,
mohonku dengan kedua lututku,
kau begitu bermakna buatku.
SMAHADZIR
PPANP, Ipoh
Februari 2001
Terima Kasih Untuk Kemerdekaan
Betapa mulia dan agung,
kasihmu untuk ibu pertiwi,
penguasa keji dari negeri ini,
ibu pertiwi hanya menangis,
airmatanya berlinang,
menyaksikan derita anak-anaknya,
membela negaraku,
mempertahankan Malaysiaku,
dari tangan musuh,
peluh keringat membasahi raga,
bahkan darahmu,
kau tumpahkan,
ibu pertiwi kembali menangis,
kerana engkau aku di sini,
berpijak tenteram di tanah Malaysiaku,
terima kasih pahlawan,
jasamu akan selalu abadi,
oh, sang penguasa alam semesta,
usailah sudah pertumpahan darah,
di tanah Malaysiaku.
SMAHADZIR
Guar Kepayang, Kedah
Mac 2001
Dalam Ribuan Gempa
Di antara tabir tebing kelam,
dan ceruk jurang malam,
kubayangkan,
lekuk liuk tubuhmu yang sintal,
wajahmu yang gumpal,
serta hitam legam rambutmu yang mengurai,
bagai pilar-pilar penyangga menara.
Kesunyianku berdamai,
dengan seluruh luka dan lidah-lidah halilintar,
berdentam-dentam di penjuru mega,
berjuntaian bagai janggut-janggut kilat,
menjelma isyarat-isyarat tajam,
yang membakar awan,
dan seluruh gugusan cakerawala,
kenangan dan harapanku menjemput,
segenap ratap, juga harum aroma,
nafasmu yang swarga.
Ketika bias binar bulan pucat,
membentur dinding dan sekalian tembok-tembok plaza,
berusaha menginsafi muram,
tapi selalu gagal meramalkan wajah malammu yang lindap,
lumut, akar dan rerumputan,
menyerap tuba keterasinganku yang pekat,
melesakkannya ke dalam farji bumi yang adas,
lantas mendetakkannya kembali,
sebagai ribuan gempa,
di mana pelir penguk langit memancut memuntahkan sperma,
juga maki darahku yang laknat.
Aku ingin sekali memberinya nama,
dengan seluruh hasrat,
dan kesendirianku yang bejat,
memeluk gerak gerah kesyahwatanmu yang giras,
membiarkan seluruh maut bertandak,
bertayub dengan kafan dan seluruh kematian,
hingga mataku buta dan mayatku remuk berciciran.
SMAHADZIR
Pendang, Kedah
April 2001
Seperti Percikan Gerimis
Seperti percikan-percikan gerimis yang berkilau pada daun,
tombak-tombak musim melesatkan keperihanku,
anak-anak kunang berpendar dan melepaskan waktu,
butir-butir embun menyusut di dasar jejakku,
akar-akar menyerap setiap buluh kelabu,
rumput-rumput memeluh di sepanjang langkahku.
Tapi seperti keheningan yang menjelma,
menara setelah jalan yang meliuk itu,
semuanya kelihatan begitu berkilau dan runtuh,
seperti ingin menopang angin,
aku catat semuanya dalam sajak-sajak bening,
udara penuh kebisuan dan warna cuaca yang dingin,
seluruh kesunyian tegak dan menjelma retakan-retakan dinding,
lantas mencari aroma mayatku yang sedih,
kini segalanya telah saling berhadapan dalam senyap yang nyaring,
meski patung-patung telah terbakar.
Dan pada kuburan,
kesepianku yang asin seribu cahaya telah diterjunkan di sana.
SMAHADZIR
Kota Bukit, Kedah
Mei 2001
Jalan Untuk Kembali
Aku berjalan ke arah matahari,
arak-arakan rerama bagai larungan sampan di atas sungai,
batu-bata yang merah dari puing-puing bekas masjid,
kulihat bangkai-bangkai awan,
seperti lembaran-lembaran langit yang dilimpahi arwah,
dan warna gerimis yang padam.
Tapi selalu gagal membaca aroma tanah,
seperti letak semangatmu yang tegak,
bagai pilar-pilar bara dalam kobaran api,
atau pelukan sungai yang membawamu pada gerhana,
ada darah, bunyi-bunyi senapang seperti ledakan,
pada ambal yang payah.
Dalam kegelapan yang mengubah dunia,
jadi maut dan cahaya,
jadi ciciran hingus,
dari para pejalan yang kehilangan rumah dan peta-peta:
oh engkaukah suara,
gumpal-gumpal tubuh yang melukis tahun,
dalam impian lazuardi dan sperma,
dengan cuaca-cuaca yang tercekik dan tertahan,
pada laju taufan dan ombak,
seperti rasa sedih,
atau bahasa-bahasa kangkung yang menjadi isyarat lain bagi perdu:
semacam impian atau fikiran-fikiran yang beracun,
barangkali mataku terlampau cemburu pada sesuatu yang tak ada,
dan lewat letupan-letupan sayap yang menghisap kupu-kupu,
dan seratus kunang,
seperti seratus kata sunyi yang terbakar kelamin,
atau aku yang terus berjalan ke arah matahari,
meski harapan hanyalah manik-manik yang menutup musim,
dan menjadi sebuah kerabunan bagi hening:
padang, di mana Jibrail dan Mikail,
bertukar tangkap dalam sepi,
ketika salji mencair,
dan seluruh bumi terangkat,
seperti bayang-bayang orang suci,
sebelum engkau tersedar dan aku menemui jalan untuk kembali.
SMAHADZIR
Gurun, Kedah
Jun 2001
Di Matamu Yang Bening
Pada matamu yang bening,
tahajud daun-daun,
kuinsafi dalam luka dan batu-batu,
bunyi-bunyi guruh meluap dan membutakan diamku,
bau-bau hujan seperti berahi-berahi musim,
yang menggeram dengan kapak dan sekalian palu,
dan ketika kilatan-kilatan petir memecut,
membakar langit dan pohon-pohon randu,
seperti radang kesunyian yang melesatkan bara,
dan tombak-tombak unggun,
ribuan anggur kureguk,
lewat geliat gelubat kabus yang memeriahkan sedu,
seperti peronda-peronda kota,
yang selalu bertanggungjawab,
pada setiap hening dan lelehan-lelehan salji,
dari setiap sakit yang tak tersembuhkan,
atau kudeta-kudeta panjang yang bergerak lambat,
seperti kristal nafasmu.
Tapi belati-belati rindu,
adalah genangan-genangan darah yang mengombak pada bibirmu,
memerah seperti gincu, meledak seperti ratusan peluru,
akar-akar membasah, tapi waktu seperti kemaluan,
bumi yang rapuh.
Kini, aku pun mencapai,
kebeningan kelabu dan jejak-jejak kaktus merancak,
menusuk kakiku,
kubiarkan setiap pesta angin,
mengajarku bercakap dengan ratusan bangkai atau patung,
patung batu, mengajakku senggama di samping ambalmu,
mengikhlaskan seratus pembunuhan seperti permainan marak,
dari cahaya dan kepompong-kepompong embun:
tempat di mana sajak-sajak bermula dan para pejalan,
menyaksikan bendera-bendera dikibarkan seperti gelombang rambutmu.
SMAHADZIR
Guar Cempedak, Kedah
Julai 2001
Mengukur Langit
Kuukur langit,
malaikat-malaikat merintih,
dalam tidur yang sepi,
bulan terbakar,
dan sajak-sajak lahir dari kebencian matahari.
Aku tarik segenap luka,
dan bau busuk orang mati,
nafasku jadi buruk,
dan dipenuhi niat jahat yang suci,
aku ubah bumi jadi puing-puing,
bersekutu dengan iblis,
atau bayang-bayang hantu di malam hari,
aku langkahi jurang-jurang kegelapan,
yang ditorehkan burung-burung hering,
menatap kekuasaan dengan mata,
yang bengis.
Kubiarkan,
lumpur-lumpur melompat dan banjir,
yang tak terbendung lagi.
Menyeret kereta-kereta,
dengan darah dan seratus keringat musim:
oh betapa khidmat kelicikan mengubah hari,
jadi sungai-sungai sampah yang pesing,
ada bangkai-bangkai tikus,
dan para pengemis yang memberi makan,
kucing-kucing kurus.
Seolah-olah membuka-buka mimpi,
menggempal tanah dengan seribu,
kebosanan yang keji,
ketika gelap sedemikian ghaib,
dan bunyi hujan menjelma pesta,
dari seribu kematian yang picik,
aku berpegang teguh pada angin,
mencari-cari maut pada segenap ranjang yang sedih,
dan dalam segenap hasrat yang paling jijik,
berlingkaran seperti seekor cacing,
menghisap puting-puting hanyir,
dari pelacur-pelacur tua yang bunting.
SMAHADZIR
Alor Setar, Kedah
Ogos 2001
Bayang-bayang Kabus
Aku tak lagi berhadapan,
dengan harapan, kiranya menjelma,
kesenyapan yang dibawa jarak,
dan kematian serupa kerikil dan jalan,
jalan raya, hatiku pun penuh pengemis,
dan para pengamen,
membingkai kemiskinan,
menyimpan kebencian pada kereta-kereta yang berjalan,
aku pulung segenap ganja,
dan bangkai-bangkai lelaki tanpa kepala,
memberitahu, bagaimana maut bergerak,
mengayun-ayunkan kapak dan parang-parang juga,
aku sedar jika segala peristiwa,
telah menjelma hantu,
dan burung-burung yang melintasi selokan,
menemui bulan, juga gerhana penuh darah,
berserakan.
Segenap gagasan jadi berledakan di kemaluanku,
menyaksikan gedung-gedung,
tumbuh dan dibakar penduduk, di matamu,
menggali-gali kubur,
menjilat-jilat gemuruh yang melumuri badai,
dan ratusan geluduk,
semacam retakan-retakan batu yang terlempar ke arahmu,
neraka datang bersamaku,
berputar-putar, mencumbu pelacur-pelacur tua,
yang mesum,
seolah-olah bercumbuan,
menciptakan bayang-bayang kabus dari kutu-kutu,
rambutmu yang harum,
mengenyot jejari tangan mulus,
memilin pipi yang lunak,
paras yang manis: di mana maling-maling ayam digantung,
diarak sepanjang kampungmu,
sepanjang kampungku.
SMAHADZIR
Jeniang, Kedah
September 2001
Taubat Burung-burung
Kuikuti seribu laku,
yang menjelma pertaubatan burung-burung,
kebisuan merupa retakan tanah,
yang mengekal pada batu,
kerinduan adalah bahasa lain,
yang menjelma bentuk-bentuk guratan pada perdu,
bayang-bayangku jatuh,
melindap dan beku,
tak ada cahaya,
bahkan kegelapan menjelma suara-suara ghaib,
yang diluncurkan kabus,
keperihan,
gerimis yang pemurah mengelus leherku,
lalu lidahnya yang hangat mencercap jasadku,
seperti orang-orang yang berciuman di sebalik gerumbul,
kesunyian merayapi makamku,
oh betapa kegamangan telah menjadi,
begitu mengerikan serupa,
gerak tanganmu.
Tidurlah bersama burung-burung,
sebab setelah aroma angin yang senyap itu,
seribu musim telah berlalu.
Seperti perahu-perahu,
dengan warna malam di lingkaran lehermu,
kegalauan yang pemurah membunuh mayatku.
SMAHADZIR
Kuala Ketil, Kedah
Oktober 2001
Fragmentasi
Lewat keheningan yang tak dibasuh syurga,
kuurai seribu zikir dan kata-kata,
yang tak diinginkan Tuhan.
Kegelapan menjelma,
guntur yang meledak di utara,
lalu dari reruntuhan gedung-gedung dan menara,
seperti tarian-tarian lelawa,
tapi kesunyian alangkah mengerikannya,
kerinduan-kerinduanku tak ubahnya,
patung-patung retak di taman-taman.
Harapan-harapanku serupa terowongan,
terowongan pengap dengan seribu pengemis,
yang tertidur di dadanya,
seperti persetubuhan antara musim dan derita,
dengan anak-anak kunang yang melingkarinya,
tapi, kesunyian alangkah mengerikannya,
seperti daun-daun yang runtuh,
dan dikuyupkan hujan,
aku adalah seribu tahun dalam penampakan,
bening yang merindukan isak.
Di antara barisan-barisan lumut yang ditumbuhi,
dinding-dinding rengat,
menjelma sajak,
sajak lindap yang membekap dan begitu bebal,
tapi kesunyian alangkah mengerikannya,
dikekalkan dari timbunan mayat,
dan hanyir darah.
Demikianlah,
kuamini diriku, begitu perih,
dan terlunta,
dan pada seribu ledakan taufan,
menjeritkan seluruh persalinan gagak-gagak.
Seperti keriuhan para perusuh atau kota yang dibalur bara,
dengan matanya yang bulat bejat,
tapi kesunyian alangkah mengerikannya.
SMAHADZIR
Padang Lembu, Kedah
November 2001
Cinta Semua Waktu
Wajah telaga tidak pernah berdusta,
ia bergetar sewaktu udara halus menyapu mukanya,
ia beriak sewaktu angin lincah mengajaknya menari,
ia tak menghindar dari undangan alam tempatnya menghampar,
menghadap awan yang menunggu sabar,
awal hari datang untuk keduanya bersentuhan.
Wajah telaga tidak pernah menyangkal,
ia membeku sewaktu langit memecah menjadi jutaan kristal putih,
ia mencair sewaktu matahari kembali di angkasa tanpa serpih,
ia tak bersembunyi dari perubahan dan gejolak hati,
menanti awan yang berubah tak pasti,
hingga pagi datang dan keduanya pulang pada kejujuran.
Izinkan wajahku menjadi wajah telaga,
merona sewaktu disulut cinta,
menangis sewaktu batin kehilangan kata,
memerah sewaktu dihinggapi amarah,
menggurat sewaktu digores waktu,
izinkan wajahku bersuara apa adanya,
bagai telaga yang tak menolak lumut juga lumpur,
namun tetap indah dalam teguh dan ikhlasnya,
kepada udara, kepada suria, kepada alam raya,
menanti engkau yang melayang mencari makna hingga awal hari datang,
lalu kau luruh menjadi embun yang mengucupi halus wajahku,
sewaktu engkau mencair menjadi aku dan aku hidup oleh sentuhanmu,
bersua tanpa balutan apa-apa.
Tatkala semua cuma cinta,
cinta semua waktu,
dan bukan lagi waktu demi waktu.
SMAHADZIR
Kulim, Kedah
Disember 2001
Barangkali Cinta
Barangkali cinta,
jika darahku mendesirkan gelombang,
yang tertangkap oleh darahmu,
dan engkau beriak kerananya,
darahku dan darahmu,
terkunci dalam nadi yang berbeza,
namun berpadu dalam badai yang sama.
Barangkali cinta,
jika nafasmu merambatkan udara,
yang menjalar ke paru-paruku,
dan aku terbakar kerananya,
nafasmu dan nafasku,
bangkit dari rongga dada yang berbeza,
namun lebur dalam bara yang satu.
Barangkali cinta,
jika hujung jemariku menghantar pesanm,
yang menyebar ke seluruh sel kulitmu,
dan engkau memahamiku seketika,
kulitmu dan kulitku,
membalut dua tubuh yang berbeza,
namun berbagi bahasa yang serupa.
Barangkali cinta,
jika tatap matamu membuka pintu,
menuju jiwa dan aku dapati rumah yang kucari,
matamu dan mataku,
tersimpan dalam kelopak yang terpisah,
namun bertemu dalam setapak yang searah.
Barangkali cinta,
kerana darahku,
nafasku,
kulitku,
dan tatapan mataku,
kehilangan semua makna dan gunanya,
jika tak ada engkau di seberang sana.
Barangkali cinta,
kerana darahmu,
nafasmu,
kulitmu,
dan tatapan matamu,
kehilangan semua perjalanan dan tujuan,
jika tak ada aku di seberang sini.
Pastilah cinta,
yang punya cukup daya,
hasrat,
kelihaian,
kecerdasan,
dan kebijaksanaan untuk menghadirkan,
engkau,
aku,
ruang,
waktu,
dan menjambatani semuanya,
demi memahami dirinya sendiri.
SMAHADZIR
Lumut, Perak
Januari 2002
Peperangan, Sayang Dan Logika
Ketika rasa sayang menyiksa,
atasilah dengan rasa benci,
maka rasa itu akan terbunuh,
walaupun setitik demi setitik,
Tuhan yang mengizinkan,
kebencian itu tumbuh,
Dia yang menanam,
maka, Dia juga yang memulihkan,
tidak selamanya benci itu jahat,
kerana kadang-kadang benci itu berlogika,
logika yang melawan perasaan sayang,
sayang yang tak berwujud,
hanya ada dalam anganan semu,
bak angin yang sedang bercerita,
bahkan janin seonggok daging pun tahu,
itu hanya dusta,
ketika itulah sang Khalik memulai,
sebuah hati yang remuk,
dibersihkan dan dibalut,
untuk membuka peluang,
cinta yang sesungguhnya.
SMAHADZIR
Sungai Siput, Perak
Februari 2002
Kerapuhanmu, Jagat Raya Dan Bintang
Seringkah kau bersedih waktu gelap?
namun, langit mengerti kalbu hatimu,
ia juga menangis ketika kau termenung,
maka seberkas bintang dilahirkannya,
makin lama makin tak terhitung,
lalu kau tersenyum memandang mereka bersinar,
seakan-akan mereka sedang tertawa menghiburmu,
hirisan duka dalam hati sedikit sirna,
namun rasa syukur sirna perlahan,
kau menginginkan kecantikannya,
bintang yang kelihatan bahagia,
polesan luar begitu sempurna,
tidak seperti kau yang selalu rapuh,
apakah tidak ada dalam benakmu?
langit jagat saja mampu tergores luka,
apalagi, hanya setitik bintang?
tampilan luar mampu menipu,
tersenyum ke sana ke mari,
tapi terisak dalam hati
ada racun di dalam yang tak kunjung terusir,
hanya dirimu, langit dan bintang yang tahu,
peribadi yang pernah menghias hatimu belum tentu peka,
mungkin ia yang menjadi racun itu,
perasaanmu tak pernah ia selami,
kerana parasmu yang tegar.
SMAHADZIR
Sitiawan, Perak
Mac 2002
Keanehan Sekarang
Dahulu,
aku hidup dalam zon normal,
hidupku realistik,
meskipun begitu,
banyak mimpi yang ingin kugapai,
bagai menggenggam pasir di pantai,
sebesar gumpalan tangan,
tak mampu tergenggam semua,
kerana sedikit demi sedikit akan jatuh juga,
bahkan terbawa arus laut,
semua itu mampu kuatasi dengan fikiran,
hampir tak pernah gunakan hati,
bercawan-cawan anggur saja tak mampu memabukkan aku,
kupasang tembok gagah yang menggambarkan jatidiri,
momen di mana aku mengenal cinta,
aku mengganti semua mimpi hanya dengan satu mimpi,
hidupku menjadi idealis,
perasaan, hati dan intuisi menjadi santapanku,
namun semuanya berubah,
satu-satunya mimpi itu ternyata tak sama dengan garis tanganku,
aku salah bermimpi,
semuanya hanyut terbawa arus pantai,
optimisme berubah menjadi pesimisme,
aku tak kenal lagi diriku,
di manakah aku yang dahulu?
SMAHADZIR
Bagon Datoh, Perak
April 2002
Percakapan Di Sebuah Jambatan
Berdua kami melintasi jambatan sejarah,
tahun-tahun yang berhiaskan putih harapan dan merah darah,
dan aku bertanya: apakah yang sanggup mengubah luka menjadi pualam,
yang membekukan airmata menjadi kristal garam?
sahabatku berkata: waktu!
hanya waktu yang mampu.
Kulihat di kiri-kananku; pohon memudar, bangunan kaca meruncing,
tahun-tahun yang berlumur peluh dan banjir rencana,
dan aku bertanya: apakah lelah kami cukup terbayar oleh petua dan janji?
apakah kemajuan sama dengan kebajikan?
sahabatku berkata: hati!
hanya hati yang tahu,
kadang-kadang jambatan ini bergegar dan bergoncang,
tahun-tahun yang terasa garang dan panas mengerontang,
dan aku bertanya: mungkinkah kami tersesat dan hilang arah?
mampukah tempat berpijak ini goyah dan lantas punah?
sahabatku berkata: doa!
hanya doa yang kuasa.
Jambatan ini panjang kami lalui sudah,
tiada hujung yang kutangkap,
tiada awal yang kukenal,
dan aku bertanya: akankah kami bertahan?
sebagai nusantara, sebagai bangsa, sebagai manusia?
sahabatku berkata: fahami lautan tempat jambatan ini terbentang,
kenali kekuatan waktu,
dalami pengetahuan hati,
selami kekalnya doa.
Kabus menyapu jambatan dan sahabatku menghilang,
meninggalkan gugusan pulau tak berjudul dan samudera tak bernama,
namun di sini aku menguntai waktu,
memerah hati, dan meratapkan doa,
demi jambatan ini sebahagian kami mati,
sebahagian kami bertahan hidup,
dan aku bertanya: inikah kedaulatan yang sesungguhnya?
sewaktu manusia bersatu dengan apa yang mengelilinginya,
samudera waktu, hati, dan doa,
ia pun merdeka,
sebuah bangsa pun merdeka,
nusantara pun layak ada.
SMAHADZIR
Telok Intan, Perak
Mei 2002
Ingatan Tentang Sahabat Lama
Dalam tanah yang mereka sebut keabadian,
aku bersemayam bersama ingatan tentang sahabat lama,
kudakap dan kuucap nama mereka satu demi satu,
sebelum lautan cahaya melarutkan kita dan waktu,
walau tiada aksara di sana,
walau tiada wujud yang serupa,
tanpa pernah tertukar aku menemuimu semua,
sebagaimana sahabat semua menemuiku,
empat, lima, dan enam,
berapa pun ramainya kita berkumpul,
perlahan-lahan lebur menjadi tunggal,
dua, satu, dan kosong,
bersama kita lenyap menjadi tiada.
Dalam tanah yang mereka sebut kehidupan,
aku dan sahabat menangis dan meregang di antara ruang,
aku dan sahabat tersesat dalam belantara nama dan rupa,
masihkah kau mengenali aku?
masihkah aku mengenalimu?
jiwa kita tertawa dan berkata:
berjuta kelahiran dan kematian telah kita dayakan,
berjuta kata dan sabda telah kita ucapkan,
berjuta wadah dan kaedah telah kita mainkan,
hanya untuk tahu tiada kasih selain cinta,
dan tiada jalinan selain persahabatan,
meski tak terkira banyaknya nama dicipta,
meski tak terhingga rasa menjadi pembeza,
aku akan menemui sahabat semua,
sebagaimana sahabat semua menemuiku,
sahabat, jika kita berpecah raga,
satu, jika kita memadu raga,
tiada, jika hanya jiwa.
Inilah kenangan yang kucuri simpan,
sewaktu aku bersemayam dalam tanah yang mereka sebut keabadian.
Inilah kenangan yang kusisipkan di sela-sela mentari dan bulan,
yang kelak mereka bisikkan sewaktu kucari sahabat,
dalam belantara yang dinamakan kehidupan.
Ingatan pertama dan terakhir,
yang mengikuti sewaktu aku lahir,
yang bersembunyi hingga sahabat semua hadir,
yang menemani sewaktu udara usai mengalir.
Cinta dan sahabat,
sahabat dan cinta,
itulah jiwa yang terpecah dengan sederhana.
Sisanya fana.
SMAHADZIR
Kuala Selangor
Jun 2002
Muntahan Cinta
Tubuhku hancur sewaktu ingat cinta,
jiwaku tergoncang sewaktu mendengarnya,
hanya rohku yang masih sempurna,
ketika merasakannya,
kufikir cinta itu manis,
laksana kembang gula,
yang dijilat anak kecil,
ternyata tidak selamanya,
awalnya iya,
serasa berada di rumah cokelat dalam syurga,
ternyata benar apa kata orang,
terlalu banyak madu itu tidak baik!
aku membantah sampai suara hatiku pecah,
kini aku jelak sendiri,
muntahan madu itu kini ada di pangkuanku,
membersihkannya saja sudah menguras,
separuh asmara,
separuh nafas,
bahkan separuh kebahagiaan,
aku tidak percaya lagi akan cinta,
entah sampai bila aku menutup diri,
sampai tubuh retak kembali ke bentuk semulakah?
atau sampai goncangan itu hilang?
hanya Tuhan yang tahu,
mana cinta manis yang tidak akan membuat isi perutku keluar sia-sia.
SMAHADZIR
Bukit Melawati, Selangor
Julai 2002
Bahasa Kasih Dalam Kata-kata
Aku menatap langit pada malam yang berbeza,
namun ia tetap membisu,
kupandang jua jantung hatinya,
bintang-bintang bertebaran,
yang menyinari gelap dan sunyinya malam,
masih tetap dalam keadaan yang sama,
mungkin hanya kedudukannya saja yang berubah,
semuanya tetap membisu,
begitu mahalkah engkau?
wahai kata-kata?
memangnya apa yang harus kukorbankan?
untuk mendapatkan bahasa kasih darimu,
kutunggu terus sampai mata ini memerah,
namun satu abjad pun tak kunjung cagun,
malahan hanya kata sia-sia dan cacian,
dari makhluk ciptaan-Nya,
membuat hati robek seketika,
jika dibalut pun masih tetap kelihatan bekasnya,
kekosongannya pun tak terisikan,
langit yang sama terus kukagumi,
bintang-bintang yang sama terus kuikuti gerakannya,
namun tak ada yang menyayangi hatiku yang lirih,
dari tadi hening, bisu,
aku terdiam merenung
aku tidak tahu bagaimana berkata-kata,
kerana tidak ada yang mengajar kasih itu,
kasih yang mengatakan lewat hati yang murni,
‘aku sayang kamu!’
SMAHADZIR
Tg. Karang, Selangor
Ogos 2002
Merahnya Hati
Hati itu tidak selamanya manis,
kerana ada bahagian dari organ tubuhnya,
begitu sensitif,
tersenyum dan tertawa,
bila ada wangi-wangian dan madu,
menangis penuh ratapan,
walaupun hanya menyelurit permukaan luarnya saja,
hatimu adalah mutlak milikmu,
kau bebas membahagi-bahagikan kepingannya,
kau jual hanya dengan bayaran sekeping siling juga boleh,
bahkan tanpa pengorbanan apa pun juga boleh,
namun sayangnya,
kepingan-kepingan hatimu bukanlah sebongkah air batu,
yang mampu dipermainkan begitu saja,
hingga meleleh bahkan merahnya hilang,
kelihatan seperti mati tak bernyawa,
kepingan hatimu bukan barang murahan,
layaknya bahan makanan murah yang dijual di pinggir jalan,
jangan membahagi-bahagikan kepingan hatimu sembarangan,
kepada setiap tangkai bunga yang berdatangan,
tetapi berikan kepingan hatimu secara utuh,
kepada satu tangkai bunga yang terbaik.
SMAHADZIR
Kapar, Selangor
September 2002
Pantulan Dusta Sahabat
Sahabat itu,
seharusnya kelihatan seperti kaca,
ketika aku melihatnya,
ia akan menyerupai bentukku.
Aku senang,
maka ia akan tertawa,
aku sedih,
maka ia akan menangis,
aku menangis,
maka ia akan menghapus airmataku,
aku terluka dan memborok,
maka ia akan membersihkan,
dan membalut lukaku,
lalu, ia senantiasa merawat lukaku,
menjaganya agar tak membekas.
Begitu juga sebaliknya,
namun, itu semua tidak pernah terjadi,
aku tidak pernah tahu ia sedang apa?
apakah senang, sedih, berairmata, atau terluka dan memborok,
bibir dan lidah selalu tertutup rapat,
seakan membisu jika melihat wajahku di kaca,
ia juga tidak tahu aku sedang apa?
ketika melihatnya, aku berbuat hal yang sama,
kaca itu semakin bingung akan jatidirinya,
bayangan yang dimunculkan tak pernah sama.
SMAHADZIR
Kelang, Selangor
Oktober 2002
Sebuah Penantian
Sebuah penantian,
bak drama judi muzikal,
sewaktu melodi dimainkan,
dadu cinta dijatuhkan,
angka penantian pun cagun,
hanya tinggal diletakkan,
abad, tahun, windu, hari, bahkan, detik,
bergantung pada keputusan.
Hati beku tersegel tembok berkarat,
tak satu cinta mampu menembusinya,
membuat objek yang ditunggu,
terbang tinggi melayang,
namun, apa jadinya,
jika masa penantian,
belum genap seumur dadu?
Terlalu banyak madu sundal,
menggoyahkan hati subjek penunggu,
nazar manis pun bagai angin lalu,
muzik cinta pun dipaksa berhenti,
membuatkan kedudukan terbang menjadi terjun bebas,
terbentur sakit tak terkira,
hati yang tadinya beku,
pecah keras memekakkan telinga.
Anjing jalanan lebih setia,
bahkan, jagung menunggu setia,
sampai musim panen tiba,
bagi mereka itu yang namanya cinta,
tapi, nyatanya roboh di meja judi,
itu bukan cinta namanya.
SMAHADZIR
Shah Alam, Selangor
November 2002
Kasih
Kasih,
adakah secercah harapan,
yang kau titipkan untukku,
adakah sekeping hati,
yang mampu aku singgahi,
adakah segenggam mimpi,
yang mampu kau simpan untukku,
agar kepingan ini mampu bersatu kembali,
setelah hancur berkeping-keping.
Kasih,
hidup terasa hampa tanpamu,
raga ini terasa hancur,
bagai puing-puing monumen lama,
yang berserakan tanpa sentuhanmu.
Kasih,
setiap orang selalu memanggil namamu,
setiap orang selalu memerlukanmu,
setiap orang berusaha menggapaimu.
Kasih,
mengapa ada saja,
yang selalu mengganggumu,
mengapa ada saja,
yang selalu mempermainkanmu,
merayumu, membuaimu,
kemudian mencampakkanmu.
Kasih,
engkau terlalu indah untuk disakiti,
engkau terlalu berharga untuk dipermainkan,
engkau terlalu sempurna untuk dicampakkan.
Kasih,
jadilah engkau bak mutiara di lautan,
yang selalu bersinar,
memancarkan cahayanya yang berkilauan,
menerangi,
kendati engkau,
yang berada dalam lumpur,
paling dalam sekalipun.
SMAHADZIR
Batang Kali, Selangor
Disember 2002
Langit
Wahai langit,
tanyakan pada-Nya,
mengapa Dia menciptakan sekeping hati ini,
begitu rapuh dan mudah terluka,
sewaktu dihadapkan dengan duri-duri cinta,
begitu kuat dan kukuh,
sewaktu berselimut cinta dan asa.
Mengapa Dia menciptakan,
rasa sayang dan rindu,
di dalam hati ini,
mengisi kekosongan di dalamnya,
menyisakan kegelisahan,
akan sosok sang kekasih,
menimbulkan segudang soal,
menghimpun berjuta asa,
memberikan semangat,
juga meninggalkan kepedihan,
yang tak terkira.
Mengapa Dia menciptakan,
kegelisahan dalam relung jiwa,
menghimpit bayangan,
menyesakkan dada,
tak berdaya melawan gejolak yang menerpa.
Wahai ilalang,
pernahkah kau merasakan,
rasa yang begitu menyiksa ini,
mengapa kau hanya diam,
katakan padaku,
sebuah kata yang mampu meredam gejolak hati ini,
sesuatu yang diperlukan raga ini,
sebagai pengubat untuk rasa sakit,
yang tak terkendali.
Desiran angin membuat berisik dirimu,
seolah-olah ada sesuatu yang kau ucapkan padaku,
aku tak tahu apa maksudmu,
hanya menduga.
Bisikanmu mengatakan,
ada seseorang di sebalik bukit sana,
menunggumu dengan setia,
menghargai apa makna cinta.
SMAHADZIR
Skudai, Johor
Januari 2003
Sekeping Hati
Sekeping hati ini,
terlalu sukar untuk diatur dan ditata,
rasa yang ada di hati,
kenapa tak mampu mampu mentadbir keadaan.
Apa yang terjadi padaku,
ada apa dengan hati ini,
ia bergemuruh,
berkata dan aku sendiri,
tak tahu apa maksudnya,
katakan padaku,
apa yang terjadi padamu,
isyarat apa yang kau bisikkan untukku,
penuh kebimbangan dan rasa ingin tahu,
apakah terlalu awal untuk mengetahui semuanya,
tanyakan padanya,
ke mana hati ini akan dibawa,
agar tatanannya tidak rosak dan pecah,
kerana ia begitu rapuh,
sekeping hati yang terluka,
sangat sukar untuk mencari penawarnya.
SMAHADZIR
Kolej Matrikulasi Londang, Melaka
Februari 2003
Aku Adalah Aku
Aku adalah aku,
dengan segala yang ada pada diriku,
kehidupanku juga masa depanku,
tak pernah aku tahu,
bagaimana dan untuk siapa diriku,
tapi aku tak ingin menyerah,
menjalani hidup yang sukar dan penuh dengan masalah,
walaupun cuba menjauh dengan nama itu,
tapi tetap saja dia datang menghampiri,
segala sesuatu yang terjadi,
kujadikan sebagai pengubat diri,
dan pengalaman hidup yang sangat bermakna,
hidup penuh dengan warna,
kadang-kadang hitam, putih juga kebiruan,
menandakan setiap insan selalu diberikan cubaan,
dengan kesedihan, kesenangan juga kehampaan,
tapi hidup tetap berjalan,
tak pernah sekalipun kulihat dia berhenti,
beristirehat walaupun untuk sejenak,
roda-roda kehidupan itu tak pernah rosak ataupun bocor,
dengan semua arena jalan yang dilangkahinya,
kecuali jika telah tiba waktunya,
tapi aku juga tak pernah tahu bila masa itu terjadi,
sejauh mana aku melangkah,
seterjal apa jalan yang aku tempuhi selama ini,
aku tahu diriku sudah mulai melemah,
letih untuk berjalan,
segala kesalahan yang kekhilafan,
bak sebuah noda dalam kertas putih,
membuatku semakin tersedar,
bahawa aku masih jauh dari-Nya,
kertas putih itu telah tercampur,
dengan goresan pena berbagai warna,
pertanda telah banyak yang telah aku lalui,
cuba menghapusnya kembali,
menjadi kertas yang putih bersih,
mohon maaf atas semua kesalahan,
dari segala penderitaan,
agar kelak kehidupan ini menjadi lebih indah dari yang aku bayangkan.
SMAHADZIR
Hotel Naza, Melaka
Mac 2003
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
10 tahun yang lalu
