Rabu, 24 Oktober 2012

KPI Merealisasikan Pendidikan Bertaraf Tinggi



PETUNJUK Prestasi Utama (KPI) dalam pentadbiran kerajaan adalah amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan sesuatu organisasi secara objektif, sekali gus membolehkan rakyat menilai perkhidmatan secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif. Di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak, diperkenalkan pula Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang memberi tumpuan kepada enam bidang dengan satu daripadanya ialah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. 

NKRA dijadikan antara teras dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 28 Januari lalu dengan tujuan untuk memperkasakan sistem pencapaian kepada rakyat dan melaksanakan keputusan pantas dan berimpak bagi mencapai Wawasan 2020. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata di bawah NKRA Pendidikan, empat sub NKRA diberi tumpuan Kementerian Pelajaran iaitu Prasekolah, Literasi dan Numerasi (LINUS), Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Tawaran Baru Kepada Pengetua/Guru Besar. 

Bagi Prasekolah, sasaran ialah untuk meningkatkan penyertaan kanak-kanak lima dan enam tahun kepada 72 peratus menjelang 2010 dan 87 peratus menjelang 2012 serta meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah dengan menjadikan prasekolah swasta dan agensi lain sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan. Bagi memastikan sasaran berkenaan dicapai, katanya, kerajaan menetapkan tujuh strategi utama, iaitu; 

  1. Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan; 
  2. Melaksanakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan; 
  3. Menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah Kementerian Pelajaran, Kemas serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN); 
  4. Meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru; 
  5. Menambah prasekolah di kawasan miskin bandar, luar bandar dan pedalaman; 
  6. Meningkatkan perkongsian pintar kerajaan-swasta; dan 
  7. Mewujudkan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan. 

Muhyiddin berkata, sejak NKRA Pendidikan dilancarkan pada Januari 2010, sebanyak 987 prasekolah beroperasi daripada 1,353 prasekolah yang dirancang untuk dibuka. Beliau berkata, Kementerian Pelajaran dan JPNIN masing-masing berjaya membuka 315 dan 50 kelas prasekolah seperti dirancang, manakala Kemas setakat ini memulakan 209 kelas daripada 500 yang disasarkan serta swasta sudah membuka 426 kelas daripada 488 yang dirancang. 

Bagi KEMAS, katanya, masalah utama bagi mencapai sasaran ialah kumpulan guru prasekolah agensi itu sedang mengikuti latihan, tetapi memberi jaminan ia akan diatasi Jun depan. Selain itu, sebanyak empat prasekolah (tambahan) akan dibina di rumah panjang di Sarawak dan empat lagi di Sabah. Muhyiddin berkata, sub NKRA ini memberi tumpuan kepada peluasan sasaran penyertaan prasekolah kepada kanak-kanak lima dan enam tahun serta meningkatkan kualiti pendidikan sedia ada dan penekanan kepada peningkatan penyertaan di kawasan luar bandar serta pedalaman. 

Dalam LINUS pula, katanya, sasaran ialah memastikan setiap kanak-kanak menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas mengikuti tiga tahun pendidikan rendah menjelang 2012. “Kementerian Pelajaran akan mewujudkan jawatan fasilitator LINUS (Fasilinus) pada semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan LINUS serta membantu guru LINUS dalam pengajaran dan pembelajaran,” katanya. 

LINUS ialah program pemulihan direka bentuk untuk memastikan murid menguasai kemahiran asas literasi (Bahasa Malaysia) dan numerasi dan disasar kepada murid bermasalah 3M, iaitu Membaca, Menulis dan Mengira. Sasarannya untuk melihat 90 peratus kanak-kanak menguasai aspek ini pada 2010. 

Bagi SBT, kerajaan akan mewujudkan SBT yang mempunyai etos, karakter dan identiti tersendiri yang kemudian akan melonjakkan kecemerlangan pelajar ke peringkat paling tinggi dengan sasaran 20 SBT menjelang 2010 sebelum meningkat sebanyak 100 SBT pada 2012. 

Muhyiddin berkata, sebanyak 20 SBT diumumkan pada 29 Januari lalu dan daripada jumlah itu, 14 buah adalah sekolah menengah, manakala enam lagi adalah sekolah rendah. 

Mengenai Tawaran Baru kepada Pengetua/Guru Besar (PGB), katanya, ia memperkenalkan penilaian berasaskan pencapaian untuk menilai PGB dengan menawarkan ganjaran menarik kepada mereka yang melepasi sasaran serta membantu PGB yang lemah. 

“Sasaran kerajaan ialah memastikan dua peratus guru mendapat ganjaran pada 2010, seterusnya meningkat kepada empat peratus pada 2012,” katanya. Hasil sub NKRA ini, beliau berkata, semua sekolah rendah disusun (ranking) kepada tujuh kumpulan (band) dengan Band 1 terdiri daripada sekolah cemerlang dan mencapai sasaran, manakala Band 5 hingga Band 7 membabitkan sekolah lemah atau berprestasi rendah. 

Daripada 7,616 sekolah rendah dalam ranking, hanya 718 buah didapati berada dalam Band 5 hingga Band 7, sekali gus mendorong Kementerian Pelajaran membangunkan Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) bagi membantu sekolah terbabit meningkatkan prestasi, manakala ranking sekolah menengah akan diumumkan pada Jun.

Kebebasan Yang Dituntut


APAKAH batas atau had kebebasan? Ini adalah persoalan yang sukar dijawab oleh sesiapa juga. Jika seorang anak menuntut kebebasan, sejauh mana kebebasan yang boleh diberikan oleh ibu bapa yang bertanggungjawab kepada anak mereka. Begitu juga, jika rakyat di sesebuah negara menuntut kebebasan, sejauh mana kerajaan yang bertanggungjawab dan dipilih secara demokrasi boleh memberi kebebasan kepada rakyat mereka. Sama ada suka atau tidak, kebebasan mesti ada had dan batasannya. Sebagai anak atau rakyat, walaupun mereka diberi kebebasan, mereka tidak puas dan tetap mempersoalkan had atau kebebasan yang diberikan kepada mereka. 

Jika tidak, tidak mungkin perumpamaan ‘bagi betis, mahu paha’ wujud dalam budaya masyarakat. Mereka tidak akan puas hati kerana bagi mereka had kebebasan adalah setinggi langit. Mereka boleh melakukan apa saja atas nama kebebasan. Inilah yang sebenarnya berlaku dalam dunia hari ini yang menuntut erti kebebasan. Mereka bukan saja diberi kebebasan tetapi mereka mahukan kebebasan yang liberal, kebebasan tanpa batas. Jika ada lagu yang yang menceritakan perasaan seseorang ‘rindu serindu-rindunya’ kepada seseorang yang lain, begitu jugalah bagi mereka yang menuntut kebebasan politik. 

Mereka menuntut hak ‘bebas sebebas-bebasnya’ untuk memenuhi cita-cita atau nafsu politik mereka. Dari segi definisi, secara amnya, kebebasan menekankan kehendak seseorang bertindak tanpa sekatan atau larangan. Sekali pun mereka sudah mendapat kebebasan pada satu tahap tertentu, mereka akan menuntut ruang yang lebih luas berasaskan hak kebebasan yang liberal. Sudahlah bebas, mereka mahu kebebasan yang lebih longgar. Maknanya, mereka boleh berbuat apa saja, malah sanggup melanggar batasan undang-undang. Mereka mahukan kebebasan yang maksimum. Inilah yang diajar oleh Barat. 

Kebebasan tidak lagi dianggap sebagai kemerdekaan daripada penjajahan tetapi, di dalam sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, ada golongan rakyat yang mahukan kebebasan mutlak. Kebebasan mutlak juga amat sukar ditakrifkan definisinya kerana ada yang mahukan kebebasan semutlak-mutlaknya. 

Kebebasan wajib mempunyai sekatan moral. Tidak ada individu yang boleh melakukan apa saja atas nama kebebasan. Sesebuah negara tidak boleh membenarkan rakyatnya melakukan apa saja sesuka hati kerana dalam mana-mana sistem sekali pun, mereka perlu sedar bahawa pandangan rakyat tidak sekata. Kedua-dua pihak juga menuntut kebebasan. 

Jika penganjur demontrasi di Kuala Lumpur mengatakan mereka bertindak atas nama kebebasan, penganjur demontrasi di depan rumah Menteri Besar Selangor juga boleh mengatakan mereka bertindak atas nama kebebasan. Jika penganjur demontrasi di Dataran Merdeka menganjurkan demontrasi rakyat untuk sesuatu tujuan, orang lain juga mempunyai hak kebebasan untuk melakukan apa saja, termasuk berhimpun di depan rumah penganjur demontrasi tersebut atas nama kebebasan. Ini adalah contoh kecil bahawa jika kita mahukan kebebasan, orang lain juga mahukan kebebasan. Ada orang yang mahukan kebebasan bersuara atau melakukan sesuatu, namun ada juga pihak yang mahukan kebebasan supaya ketenteraman mereka tidak diganggu-gugat. 

Ada yang berpandangan bahawa tanpa kebebasan, akan membentuk sebuah masyarakat yang mundur dan tidak terurus. Tetapi, persoalannya pula apakah hasilnya sebuah masyarakat yang diberi kebebasan sebebas-bebasnya. Perbuatan atau sikap itu, mungkin mewujudkan sebuah masyarakat yang pincang, tidak ada haluan dan merosakkan dari segala sudut. Jika soal agama juga cuba ditafsirkan kepada kebebasan, ia akan menghasilkan sebuah masyarakat yang kalut-sekalut-kalutnya.

Percanggahan Pemikiran Manusia


SETIAP hari berlaku percanggahan pemikiran sesama manusia di seluruh dunia, sebahagian besarnya mengenai persoalan agama, negara dan bangsa. Menonton berita dunia di televisyen atau membaca akhbar, percanggahan pemikiran ini, begitu nyata. Di Barat cara pelaporan beritanya adalah berbeza berbanding di Timur berikutan kecenderungan pemikiran yang berbeza meskipun daripada sumber berita yang sama.

Percanggahan pemikiran juga berkisar kepada persoalan maruah, hak, hidup-mati dan maju-mundur sesuatu bangsa. Fenomena percanggahan pemikiran diwarisi pelbagai golongan manusia ini, jika dianggap penyakit, ia dikategorikan sebagai jenis kronik. Kebanyakan pemikiran manusia yang berbeza dari segi latar belakang ini tidak akan dapat disatukan untuk mencapai kesepakatan tulen – ibarat minyak dan air.

Semua ini juga berpunca daripada perbezaan tamadun dan akar umbi budaya, cara berfikir serta cara hidup, diperkuatkan lagi dengan kepercayaan beragama dan kedudukan sosio-ekonomi, selain pendedahan kepada dunia luar. Tentulah sukar menyamakan pemikiran anak-anak yang bergelumang dengan senjata dan melihat kematian di depan mata hampir setiap hari kerana berjuang bagi membebaskan negaranya dengan pemikiran anak-anak yang dibesarkan dengan permainan video, komputer canggih dan telefon bimbit.

Percanggahan pemikiran sentiasa berlaku di kalangan pemimpin di dalam sesebuah negara dan organisasi atau ketua kerajaan berbeza negara dan agama, sesama golongan intelek, malah sesama rakyat atas isu ideologi dan isu besar dan kecil lain. 

Pertelagahan pemikiran berlaku atas pelbagai faktor termasuk pertikaian atas sesuatu kepentingan, kesan kian ramai manusia berpelajaran atau juga disebabkan kebodohan yang tidak boleh diajar, mungkin disebabkan taksub. Ia berlaku atas kepentingan strategik, isu politik, ekonomi, agama, maruah, soal wilayah/sempadan dan sebagainya. Di Malaysia, percanggahan pemikiran juga wujud berikutan kesan kemasukan budaya luar sama ada dari negara maju atau daripada sistem ortodoks Islam. Tidak kurang juga percanggahan pemikiran berlaku akibat salah faham, kekeliruan tafsiran atau disengajakan. 

Pertelagahan pemikiran berlaku atas pelbagai faktor termasuk pertikaian atas sesuatu kepentingan, kesan kian ramai manusia berpelajaran atau juga disebabkan kebodohan yang tidak boleh diajar, mungkin disebabkan taksub. Ia berlaku atas kepentingan strategik, isu politik, ekonomi, agama, maruah, soal wilayah atau sempadan dan sebagainya.

Di Mekah boleh dikatakan setiap masa menjadi tempat pertembungan pemikiran dan pendapat manusia membabitkan semua golongan umat Islam. Di situ mereka bertemu walau pun dari segi realitinya di kalangan umat Islam sendiri, masing-masing mempunyai pemikiran agama yang belum mampu dirungkai. Cuma, mereka tidak bertelagah secara terbuka, walaupun sesama mereka mempunyai pemikiran berbeza. Ini mungkin disebabkan matlamat mereka berada di Tanah Suci adalah sama iaitu untuk beribadat. Bagi jemaah Malaysia yang menunaikan ibadah haji atau umrah di Mekah, mereka juga mewakili pelbagai kelompok berbeza di segi pemikiran politik.

Apa pun, pembentukan persepsi terhadap sesuatu bangsa yang menganut Islam yang dibentuk di Mekah menerusi pemerhatian sikap, perbuatan dan tingkah laku umat Islam ini, tetap tidak baik untuk Islam. Dalam politik, semua ini adalah ciri-ciri konflik yang lazim dalam sistem demokrasi. Dalam politik juga, konflik adalah percaturan individu atau kumpulan untuk sesuatu tujuan. 

Disebabkan Malaysia diramal mengadakan pilihan raya umum ke-13, konflik menjadi alat politik. Dalam keadaan hari ini, konflik sengaja dicipta untuk menarik perhatian. Biasanya ia menjadi senjata parti pembangkang untuk meraih simpati. Cuma, perkara yang dibangkitkan pembangkang tidak mencapai tahap percanggahan pemikiran. Isu remeh temeh pembangkang berkisar kepada topik menghentam peribadi bukan soal idea.

Setakat ini pembangkang tidak memberi idea kepada idea transformasi yang diutarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Idea transformasi ini jarang disentuh pembangkang atas beberapa alasan. Ia mungkin disebabkan pembangkang tidak dapat mencari kelemahan pendekatan itu, tidak faham terhadap transformasi kerajaan atau sukar mencari alasan untuk menghentam secara intelektual untuk membentuk percanggahan pemikiran.

Terpinggir Sangatkah?


BANYAK isu di Malaysia menjadi isu bermusim. Isu 'mat rempit' atau kini dikenali sebagai 'samseng jalan raya' sudah tidak menjadi bahan perbualan utama, musim isu ini sudah berlalu. Apabila berlaku kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres, isu keselamatan dan kecekapan pemandu bas ekspres akan diperbahaskan setiap hari, termasuk oleh pihak berkuasa yang mengeluarkan pelbagai kenyataan, kemudian semuanya diam. Isu dera pembantu rumah pun sudah reda, begitu juga kes buang bayi. Bagaimanapun satu isu ini tidak pernah mengenal musim ialah politik. 

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kini semakin hangat diperkatakan dan persediaan ke arah itu nampak sangat rancak. Walaupun tarikh sebenar pilihan raya belum diumumkan, tukang ramal sudah membuat telahan masing-masing dan parti politik pula semakin rancak mengadakan ceramah di sana-sini. Bendera parti politik pula ada di merata-rata. Ketika dalam perjalanan ke Kuala Terengganu hujung minggu lalu, puncak pokok kelapa mati dipanah petir menjadi tempat memacakkan bendera parti. Tinggi sungguh, dan mereka yang memacak bendera parti di puncak pokok kelapa itu sangat taksub walaupun yang paling tinggi belum tentu akan menang. 

Isu politik ini akan berterusan selagi pilihan raya belum selesai, tetapi isu politik ini bukannya isu bermusim. Selepas pilihan raya nanti isu politik akan berterusan dan kita semua akan bercakap dan mendengar mengenai politik. Nampaknya benar kata seorang teman: “Politik adalah kegemaran masa lapang rakyat Malaysia!”

Isu politik ini akan berterusan selagi pilihan raya belum selesai, tetapi isu politik ini bukannya isu bermusim. Selepas pilihan raya nanti isu politik akan berterusan dan kita semua akan bercakap dan mendengar mengenai politik. Nampaknya benar kata seorang teman: “Politik adalah kegemaran masa lapang rakyat Malaysia!”

Rasanya sepanjang lima tahun akan datang, selepas PRU-13 nanti, kita akan masih berpolitik dan apa yang berlaku sekarang akan berterusan untuk lima tahun lagi.

Politik bertukar seakan-akan menjadi ‘darah daging’ kita terutama selepas PRU-12 apabila buat kali pertama dalam sejarah negara, parti memerintah Barisan Nasional (BN sebelum ini Perikatan) gagal mengawal majoriti dua pertiga dalam Parlimen. Beberapa negeri pula jatuh ke tangan pembangkang dan menjadi sejarah sangat pahit bagi BN. 

Sejak itu permainan politik Malaysia menjadi sangat ‘tidak terkawal.’ Hampir semua isu dikaitkan dengan politik daripada kes bunuh kepada kes beli kondo; daripada pemberian baucar bantuan murid sekolah kepada bantuan mangsa banjir; daripada bantuan ihsan kepada rakyat Somalia kepada janji mempertahankan keselamatan negara Israel. Hampir tiada isu yang tidak akan dikaitkan dengan politik. Kenyataan oleh parti politik - sama ada mereka menang atau kalah - pada pilihan raya akan datang juga sebenarnya sudah ada. Sama seperti kes mahkamah, jika menang, mahkamah berwibawa, kalau kalah, kerajaan didakwa kawal mahkamah! 

‘Undang-undang dan peraturan’ berpolitik nampaknya sudah tidak ada. Fatwa boleh berubah, hukum boleh bertukar, teras perjuangan parti boleh diketepikan gara-gara permainan politik. Dasar luar negara boleh berubah kerana kita (ahli politik) terlalu berpolitik dan mempolitikkan mengenai apa saja isu. 

Bagi mereka yang bermain politik, walaupun mendapat setengah peluang sekali pun, mereka akan tetap menendang ke pintu gol. Oleh kerana itulah isu kilang Lynas menjadi bertambah panas, tiba-tiba mahu menolak PTPTN selepas memohon dan mengambil wang termasuk untuk membeli telefon bimbit model terbaru, manakala kontrak sosial diketepikan begitu saja.

Bayangkan, ketika Bill Clinton menjadi Presiden, Amerika Syarikat (AS) mengebom Benghazi, Libya, pada zaman George Bush, AS menyerang Iraq dan menjatuhkan Saddam Hussein yang hukuman mati ke atasnya diterima seada-adanya oleh Bush, zaman Barack Obama menyaksikan AS merestui serangan ke atas Libya dan sedang mempersiapkan kemungkinan menyerang Iran. Mereka berpolitik habis-habisan ketika memilih presiden tetapi presiden mana juga yang dipilih, dasar dan prinsip mereka tidak berubah, malah diperkukuhkan. 

Bagaimana politik kita agaknya? Tanda-tanda sudah menunjukkan perubahan akan berlaku kerana ramai ahli politik kita seakan-akan sesumpah yang berubah warna apabila keadaan memerlukan. Mereka melihat khalayak terlebih dulu dan mula menggunakan nada yang mahu didengar oleh khalayak berkenaan. Khalayak berubah dan nada ucapan berubah sama.

Semoga permainan politik kita akan berhemah kerana kita tidak mahu melihat berlaku perubahan semata-mata atas dasar permainan politik. Memang wayang politik ini hebat dipersembahkan misalnya, bantahan terhadap PTPTN dan Bantah Duduk. Permainan politik ini ada di mana-mana saja daripada tadika sehingga di universiti. Hairannya yang ramai mengambil bahagian dalam permainan ini ialah orang Melayu, termasuk pelajar universiti. Terpinggir sangatkah mereka?

Sekatan Amerika Tidak Berjaya ‘Lumpuhkan’ Iran


ANCAMAN sekatan atau ‘sanction’ ke atas mana-mana negara oleh Amerika bukan baru, malah ia usaha terdesak, melampaui kuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diplomasi antarabangsa. Lebih daripada itu, ia perbuatan tidak masuk akal. Tujuan Amerika ialah memaksa sesebuah negara tunduk kepada kehendaknya. 

Dalam usahanya terdahulu, sekatan dikenakan Amerika dan sekutunya ternyata tidak berkesan. Yang berkesan hanyalah sekatan dilakukan oleh negara itu ke atas kerajaan aparteid Afrika Selatan yang menyebabkan negara minoriti kulit putih itu tunduk kepada tindakan negara majoriti sehingga Afrika Selatan bebas dan menjadi negara kulit hitam sehingga kini. 

Sekatan lain berkesan tetapi belum mendatangkan hasil sepenuhnya ialah terhadap Zionis Israel yang dikenakan banyak negara Islam. Ia menyebabkan Israel hidup dalam dunia sempit tanpa mempunyai rakan yang mahu berhubung dengan mereka. Ini menyebabkan ramai rakyatnya tidak dapat bergerak dengan mudah di mana-mana termasuk di Amerika apabila tidak dapat mengaku mereka dari Israel. 

Sebaliknya, sekatan terhadap Iran yang dikenakan sekarang, tidak menyebabkan rakyatnya terhad bergerak dari satu negara ke negara lain. Mereka boleh menjalankan kehidupan seperti biasa dan ini mencemaskan apabila ramai rakyatnya berada di Amerika dan negara Islam lain termasuk Malaysia yang menghasilkan pertembungan sihat. 

Kemenangan filem Iran iaitu A Seperation dalam Malam Anugerah Akademi Februari 2012 lalu menunjukkan sekatan ke atas Iran hanya berlaku di Washington tetapi tidak di Hollywood. Malah, banyak filem dan pengkarya filem Iran disanjung pesta filem di Eropah dan Barat termasuk Amerika. Ini menunjukkan sekatan dikenakan Amerika dan sekutunya ke atas Iran tidak berkesan. Ia membuatkan Amerika dan sekutunya terdesak mengambil tindakan lebih drastik dengan mengenakan sekatan terhadap penjualan minyak ke negara Barat dan sekutunya. 

Ini atas dakwaan Amerika, Iran kini giat berusaha membuat bom nuklear yang mengancam Asia Barat, khususnya kewujudan Israel, dan juga negara di Eropah jika Iran mempunyai peluru berpandu jarak jauh yang boleh sampai ke sana. Ini sebenarnya bukan soalannya. Soalannya ialah, apakah Iran juga tiada cita-cita murni membangunkan negara mereka dengan menggunakan cara dan tindakan yang sekutunya, Israel sudah lama ada, yang mana mereka menggunakannya untuk menggugat ketenteraman dan keselamatan negara berjiran dengannya? 

Malah tanpa memiliki kuasa nuklear, Israel sudah lama dapat dihapuskan dan mereka sendiri sedar tanpa kuasa nuklear yang mereka tidak berani mengaku memiliki, mereka juga tidak berani menjadi angkuh. Kuasa nuklear atau ‘nuclear option’ ini adalah satu-satunya sebab kenapa Israel angkuh dan terus merampas tanah Palestin dan membunuh pemimpin mereka sewenang-wenangnya. Ini ditambah pula sokongan padu Amerika yang tidak mengambil tindakan ke atas Israel. Amerika ada kuasa veto yang mereka gunakan untuk mematikan sebarang ketetapan diluluskan PBB ke atas Israel. Oleh sebab veto dan kuasa nuklear ini, Israel dapat berkembang dan menjadi lebih angkuh. 

Kalau tidak, bagaimanakah sebuah negara yang dianggap sebagai ‘haprak’ dapat bertahan sehingga kini? Israel ‘ditubuhkan’ pada 1948 apabila dunia Islam bergolak dengan pergerakan kemerdekaan masing-masing. Negara Islam tidak bersepakat dan keadaan seperti ini membenarkan Israel wujud. Negara Arab dan Islam ketika itu pada dasarnya tidak mementingkan untuk memiliki kuasa tentera, jauh sekali mahu memiliki kuasa nuklear, maka mereka tertindas dengan tindakan negara kuasa besar lain yang awal lagi tahu kewujudan mereka di dunia ini hanya bergantung kepada kuasa nuklear. 

Justeru, Israel beriya-iya memiliki kuasa nuklear sebaik saja mereka mengukir sebuah negara dari tanah Palestin pada 1948 supaya dapat menjamin keselamatan mereka. Tetapi berapa lama Israel dan penyokong kuatnya, Amerika dan sekutu pro-Zionis di Barat dapat mempertahankan kedudukan ini? 

Sebabnya lambat-laun Iran atau negara Arab dan Islam lain akan turut mahu dan memiliki kuasa nuklear yang mereka guna untuk menjamin kemakmuran negara masing-masing, yang boleh menjana peningkatan ekonomi mereka. Ia bukan kuasa nuklear seperti digunakan Amerika, Israel dan sekutunya yang lebih cenderung menggunakan kuasa ini sebagai senjata, sedangkan negara Arab dan Islam lain termasuk Iran hanya mahu menggunakannya bagi menjamin mereka boleh membangunkan negara masing-masing bagi mengharungi masa depan yang penuh cabaran apabila kuasa fosil atau minyak petrol kering dari negara mereka. 

Dengan mengenakan sekatan terhadap Iran sekarang, Amerika dan sekutunya memastikan Iran tidak menjadi negara maju di Asia Barat dan Teluk, mereka mahu menjamin Iran jadi seperti Afghanistan dan Iraq yang boleh diperkotak-katikkan. Malah dengan kegagalan Amerika dan sekutunya, tindakan mereka terhadap Afghanistan dan Iraq ternyata gagal. 

Kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab mulai 2011 membuktikan kuasa tempikan di jalan itu kadangkala lebih berkesan daripada kuasa veto PBB. Rakyat Amerika dan negara sekutunya juga sedar mengenai perkara ini dan mula bangkit apabila mereka menganjurkan protes dikenali sebagai ‘Occupy Wall Street’ di bandar raya New York yang merebak ke banyak bandar raya dan pekan seluruh Amerika. 

Malah ia juga merebak ke hampir semua negara di Eropah dan Latin Amerika. Kesannya sudah dirasai. Sebabnya juga sudah jelas sekarang, rakyat Amerika dan negara sekutunya juga tidak senang dengan tindakan pemimpin politik negara masing-masing, khususnya di Washington yang ternyata dipengaruhi oleh pelobi Zionis.

Wakil Rakyat ‘Berjiwa Rakyat’


Saya pernah beberapa kali bertemu dan berbual dengan Tan Sri Lee Lam Thye. Beliau merupakan seorang yang tenang dan suka berbual terutama soal-soal yang berbabitkan masyarakat. Saya yakin, tanyalah kepada sesiapa saja dan kaum apa sekali pun, kebanyakannya kenal Tan Sri Lee Lam Thye, walaupun beliau kini bukan lagi wakil rakyat. Bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang itu adalah contoh bekas Yang Berhormat yang begitu popular bukan saja di kalangan pengundi di kawasannya dulu hingga sekarang, tetapi kepada ramai rakyat. Selepas meninggalkan DAP, Lam Thye hingga ke hari ini terus bergiat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan bukan politik (NPO). Beliau dilihat di mana saja dan muncul di media kerana mudah didekati. 

Berkesempatan berbual dengannya, beliau masih bercakap soal rakyat. Beliau bercakap soal kebajikan rakyat, isu gejala dadah, moral dan disiplin remaja, pembelaan terhadap golongan miskin bandar dan topik lain bukan politik yang dilihatnya memerlukan perhatian serius. Jika ada pun disentuh soal politik, Lam Thye hanya ingin tahu bila pilihan raya akan diadakan? 

Memang ada pihak mahukan beliau aktif semula dalam politik, malah menawarkan beliau menjadi calon, tapi baginya, segala-galanya sudah berlalu. Walaupun bukan lagi wakil rakyat, rutin hariannya tetap sibuk seperti mana ketika menjadi wakil rakyat dulu. 

Dulu, ada kalanya seawal jam 4 pagi beliau sudah keluar rumah jika ada orang memanggil apabila berlaku banjir, kebakaran, kecurian atau kemalangan. Hari ini, tugasnya tidaklah seteruk dulu tetapi jika diberitahu, beliau tetap ada bersama. 

Beliau terus menerus menerima undangan untuk hadir ke majlis yang dianjurkan sama ada oleh NGO, kelab, badan sukarela, persatuan penduduk, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan sebagainya. Jika tidak ada temu janji atau majlis yang ditentukan lebih awal, Lam Thye tetap akan hadir walaupun acara yang kecil membabitkan beberapa orang saja. 

Tandatangan beliau masih diminta ramai orang untuk pelbagai tujuan. Walaupun memberitahu mereka yang tandatangannya tidak lagi bernilai, masih ramai mahukan tandatangannya. Mereka yakin tandatangan Lam Thye boleh membantu meringankan urusan mereka. Malah, orang Islam yang ingin bantuan untuk urusan menunaikan haji pun meminta tandatangan beliau. Bagi kebanyakan rakyat, mesti ada sebab mereka selesa berhubung dengan Lam Thye. Jawapan mereka mudah – Lam Thye ialah pemimpin berjiwa rakyat. 

Jika Lam Thye bertanding dalam pilihan raya atas kerusi apa sekali pun, peluang beliau menang adalah sangat besar. Untuk menjadi pemimpin berjiwa rakyat seseorang perlu mengenal pasti dan mendalami masalah rakyat serta sentiasa bersama mereka masa senang atau susah. Walau sekecil mana pun masalah rakyat, perlu cuba dibantu. Bila berbual dengan rakyat, isu perbualan mestilah mengenai rakyat dan bertanya masalah mereka. Jika umat Islam, berjemaah bersama mereka dari satu masjid hingga ke surau yang lain. Dengan bukan Islam, hubungan dengan mereka boleh dilakukan dengan pelbagai cara sesuai untuk mewujudkan kemesraan. 

Untuk menjadi pemimpin berjiwa rakyat tidak perlu wang yang banyak. Mereka perlu sentiasa memberi senyum dan menegur rakyat bila berjumpa. Senyuman tidak perlukan wang dan menegur orang, tidak memerlukan modal. Pemimpin berjiwa rakyat tidak pernah menarik muka masam bila bertemu rakyat dan bila membantu mereka, dilakukan dengan ikhlas. 

Rakyat pun tahu, tidak semua masalah boleh diselesaikan oleh wakil rakyat tetapi mereka mestilah membantu sedaya mungkin dan membuktikan kesungguhan berbuat demikian. Sudah tentulah, mereka perlu berada bersama rakyat ketika senang dan susah, hadir kenduri-kendara atau kematian. 

Inilah antara ramuan paling berkesan yang perlu ada pada setiap pemimpin khasnya wakil rakyat, terutama mereka yang bermastautin bersama rakyat di kawasan masing-masing. Bagi mereka yang mempunyai tugas lebih besar pada peringkat Pusat, tanggungjawab mereka kepada rakyat adalah berbeza.

Jika seseorang pemimpin diiktiraf sebagai pemimpin berjiwa rakyat, disokong pula dengan parti yang mereka wakili mengambil berat soal rakyat, tidak ada sebab mereka boleh tewas dalam pilihan raya. Tidak kira siapa calon yang bertanding sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Melanau, Dayak dan sebagainya serta apa juga bentuk komposisi pengundi di kawasan berkenaan, mereka yang berjiwa rakyat tidak perlu bimbang kerana rakyat akan memilih mereka atas dasar mereka adalah pemimpin berjiwa rakyat. 

Saya yakin, mustahil seseorang wakil rakyat yang sepanjang masa berada dengan rakyat waktu senang dan susah ditolak rakyat begitu saja.

Fahami Tindakan Polis


Dewasa ini ramai sangat warganegara kita yang suka mencaci maki anggota polis. Ada saja benda yang tak kena pada polis. Pelbagai tindakan polis semuanya dipandang salah walaupun kesalahan itu sebenarnya dilakukan oleh mereka yang benar-benar bersalah seperti memandu laju, memotong di garisan berkembar, langgar lampu merah dan sebagainya. Ada juga yang meletakkan kesalahan pihak polis seratus peratus terhadap kes-kes kecurian, pecah rumah, mat rempit, pelacuran, kebanjiran warga asing dan lain-lain lagi... kononnya pihak polis tak menjalankan tugasnya dengan betul. Kononnya juga pihak polis asyik makan tidur saja tanpa melakukan rondaan sehingga berlaku pelbagai kes jenayah di negara kita.

Malah lebih sedih lagi apabila ada anggota polis yang tersalah tembak orang di atas sebab-sebab tertentu, maka pihak polis akan dicerca, dimaki hamun semahu-mahunya. Satu dunia akan dihebahkan berita ini sehingga tuduhan pihak polis zalim dan sebagainya pun bersipongang di mana-mana. Parti-parti yang membenci kerajaan paling banyak menangguk di air keruh, hebat menuduh pihak polis zalim, jahat, celaka dan sebagainya. Suatu ketika dulu pihak polis digelar ‘anjing kerajaan’ dan bertindak ala rejim Israel.

Tetapi apabila ada anggota polis yang mati kerana ditembak oleh penjenayah, dilanggar oleh pemandu yang biadap di jalan raya, dibunuh oleh perompak dan lain-lain lagi, tak ada siapa pun yang melahirkan rasa simpati malah dipedulikan terutama oleh orang yang mengecamnya tadi. Nasib anggota polis seolah-olah sampah yang tidak diperlukan. Mereka seolah-olah cuma diperlukan tatkala jalan raya sesak, mengawal keselamatan dan keamanan sewaktu sesuatu majlis diadakan, mengawal dan meronda di semua kawasan agar keselamatan terjamin – dalam erti kata lain, mereka diperlukan hanya untuk kepentingan masyarakat saja, untuk kepentingan diri mereka sendiri tidak diperlukan.

Memang kita akui, pasukan polis yang berfungsi menguatkuasakan undang-undang tidak boleh tergelincir daripada nilai asas, misi dan matlamatnya untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara. Dalam keadaan apa juga sekali pun ciri berkenaan perlu dipertahankan. Ini adalah cabaran paling besar dihadapi anggota dan pegawai polis zaman ini kerana tugas mereka untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara sering disalahertikan. 

Hari ini tindakan mereka mententeramkan keadaan, contohnya untuk meleraikan perhimpunan ditakrif sebagai berlaku ganas, tidak berperikemanusiaan, melanggar hak asasi dan sebagainya. Suasana ini memaksa anggota dan pegawai polis membezakan garisan sempadan nipis antara dua kumpulan yang ditakrif melanggar undang-undang - penjenayah dan mereka yang berdemonstrasi dengan niat tertentu, walaupun kedua-duanya boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada majoriti rakyat. 

Senario ini tetap berlaku walaupun pasukan polis di negara ini sudah melalui proses kemajuan daripada model kepolisian tradisi kepada model kepolisian masyarakat yang sudah tentunya untuk memastikan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan. 

Masyarakat Malaysia juga sepatutnya berubah daripada terlalu mengharapkan polis mengawal keselamatan kepada bersama-sama membantu polis untuk menjaga keamanan. Oleh itu, sewajarnya masyarakat menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Betul, kerajaan tidak mahu pasukan polis bersikap kasar ketika menghadapi rakyat dalam keadaan apa sekali pun. Ini terbukti daripada penegasan Datuk Seri Najib Razak yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjamin keselamatan awam dan bijak menyeimbangi antara hak asasi individu dengan kepentingan masyarakat. Apa yang dinyatakan Perdana Menteri itu selari dengan nilai utama bidang kepolisian yang menjadi faktor penting rakyat meletakkan harapan tinggi kepada pasukan polis untuk menjaga keselamatan setiap rakyat. 

Masyarakat tidur lena tanpa perlu bimbang terhadap keselamatan negara atau mereka bebas ke mana saja kerana yakin keselamatan mereka terjamin. Masyarakat yang rasional sepatutnya faham misi polis dan yakin anggota dan pasukan polis bersikap adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang asalkan mereka juga akur kepada peraturan dan undang-undang. 

Bagi polis, mereka tahu kunci mencapai matlamat dan memenuhi misi ialah dengan menyempurnakan hasrat Masyarakat. Namun, setiap anggota dan pegawai polis juga ada tanggungjawab mereka terhadap golongan yang cuba menggugat keamanan. Mereka juga menilai tindakan individu dan kumpulan yang relevan atau tidak relevan dengan penguatkuasaan undang-undang. 

Masyarakat perlu faham, di mana-mana negara sekali pun setiap anggota dan pegawai polis dilatih mengenai cara dan taktik penyelesaian masalah ketika menghadapi senario penguatkuasaan undang-undang. Jika ditekan dengan provokasi berterusan hingga menimbulkan ketegangan, penyelesaian perlu dicari. Satu keputusan yang wajar akhirnya terpaksa juga diambil. 

Walaupun sentiasa mengambil tindakan berhemah, pasukan polis juga perlu menilai keadaan semasa yang boleh berubah pada bila-bila masa. Keadaan ini mungkin memaksa pasukan polis mengikut rentak perubahan berkenaan. Dalam keadaan terdesak, macam-macam boleh berlaku. 

Polis bukan saja dilatih menyelesaikan masalah tetapi juga dilatih mempertahan keselamatan diri sendiri. Paling baik. Jauhilah daripada individu atau kumpulan yang boleh mencetuskan ketenteraman awam walau apa pun sekali alasan atau motif sesuatu perhimpunan yang ada kaitannya dengan kepentingan politik. 

Untuk menjamin kesejahteraan, hubungan polis dan masyarakat amat penting dan perlu wujud semua peringkat. Masing-masing perlu memahami hasrat antara satu dengan lain.

Bersatu Pertahan Model Negara Islam


Sejak dekad 80-an Malaysia sentiasa disebut sebagai negara Islam contoh yang bukan sekadar pesat membangun, bahkan memperjuangkan keamanan, keadilan dan kemanusiaan sejagat. Kenyataan Pengerusi Al-Quds International Institution (QII), Sheikh Yusuf al-Qaradawi terhadap Malaysia bukti pandangan jujur ulama tersohor itu terhadap sumbangan negara ini yang sentiasa komited memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin, Bosnia-Herzegovina dan terbaru menjadi watak utama menyelesaikan krisis 40 tahun di selatan Filipina.

Sebagai ulama terbilang yang pandangannya sentiasa dihargai kalangan intelektual dan cendekiawan Islam, al-Qaradawi sentiasa konsisten ketika menyampaikan sesuatu pandangan. Kita akui suratnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah suara ikhlas terhadap dedikasi dan komitmen Malaysia yang menyokong perjuangan di Baitulmaqdis. 

Ketika banyak negara Islam mengabaikan peranan membantu rakan mereka diancam peperangan dan kebuluran, Malaysia tampil dengan misi keamanan dan bantuan di Somalia dan Asia Barat. Sumbangan ini memberi makna betapa Malaysia antara segelintir negara yang sentiasa mengutamakan silaturahim ummah bagi memastikan keamanan sejagat. 

Kita harus akui Malaysia negara Islam contoh yang menjadi tumpuan dunia sejak tiga dekad lalu. Pencapaian ekonomi, kestabilan politik, kebijaksanaan pimpinan negara dan peluang pelaburan menjadikan Malaysia model negara Islam pragmatis yang berjaya mengimbangi kejayaan dunia dan kekuatan kerohanian. Nama baik Malaysia sentiasa disebut kerana komited memperjuangkan isu keamanan di Palestin dan Baitulmaqdis serta peranan aktif menyelesaikan krisis Balkan sehingga mendapat perhatian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Terbaru, hasil usaha tanpa mengenal jemu Malaysia ialah perjanjian damai dimeterai Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi pewujudan wilayah autonomi Bangsamoro di selatan Filipina. 

Kita yakin al-Qaradawi ada alasan kukuh memuji pencapaian Malaysia yang sepatutnya mendapat reaksi baik rakyat dan ulama tempatan. Kejayaan dan nama baik negara adalah gabungan tenaga pemimpin dan rakyat yang sentiasa menghargai keamanan dan kejayaan pelbagai bidang. Sebagai model negara Islam contoh, kita wajar bersatu agar Malaysia terus mempertahankan nilai keamanan sejagat yang menjadi idaman semua pihak. Kejayaan tidak mudah dicapai jika kita sendiri tidak bersatu hati dan mengetepikan perbezaan pendapat bagi masa depan Malaysia.

Kesamarataan Secara Fakta, Bukan Ideal Semata-Mata


Kita harus faham tentang konsep kesamarataan seperti dimaktubkan dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Secara jelas, terdapat pengecualian kepada prinsip kesamarataan itu. Pengecualian kepada prinsip kesamarataan yang secara lahiriah disebut dalam Perkara 8 itu sebenarnya mempunyai semangat dan prinsipnya yang tersendiri secara tersirat. Prinsip yang tersirat dalam peruntukan ini ialah ‘prinsip kesaksamaan’.

Prinsip kesaksamaan ini patut diutamakan daripada prinsip kesamarataan kerana kesaksamaan akan menyelamatkan manusia daripada ditindas. Sebagaimana tujuannya, amat jelas dalam konsep demokrasi bahawa tiada penganiayaan harus berlaku dan dilakukan oleh mana-mana pihak, sama ada yang dilakukan oleh pihak majoriti ke atas pihak minoriti atau sebaliknya.

Perlu juga disebut bahawa, secara tersiratnya, Perkara 8 Perlembagaan berupaya mengawal dan mengimbangi keadaan sosial, mengelak ketegangan agama dan menjaga kemaslahatan rakyat. 

Keseimbangan kedudukan sosial dan ekonomi antara puak atau kaum akan menyumbang kepada kesejahteraan negara. Oleh itu, Perlembagaan, walaupun menjamin kesamarataan, memberi ruang pengecualian kepada kedudukan orang asli contohnya.

Begitu juga keadaannya apabila Perlembagaan membenarkan kedudukan istimewa kepada kaum Melayu yang saya anggap sebagai tindakan persetujuan (affirmative action). Langkah ini memberi ruang kepada keadilan sosial yang juga tujuan atau objektif demokrasi itu sendiri. 

Dalam faham konsep fakta kesamarataan, tindakan persetujuan adalah sebahagian daripada kesamarataan, bahkan konsep dasar yang perlu dalam fakta kesamarataan. Ia bukan satu pengecualian kepada kesamarataan. Oleh itu, keistimewaan Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan itu bukan suatu prinsip yang bercanggah dengan konsep kesamarataan, tetapi ia adalah prinsip yang selaras dan mendasar dalam prinsip demokrasi dan kesamarataan.

Tersurat juga dalam jaminan kesamarataan yang ada dalam Perlembagaan ialah kebebasan diri mengenai undang-undang peribadi. Ruang undang-undang terbuka kepada rakyat untuk mengamalkan undang-undang peribadi serta agama. Perlembagaan memberi ruang kepada rakyat untuk mengamalkan undang-undang peribadinya. 

Secara tersirat, Perlembagaan tidak membenarkan rakyat untuk lari daripada undang-undang peribadinya. Sebagai contoh, seorang yang beragama Islam yang tertakluk kepada undang-undang jenayah Islam atau undang-undang keluarga Islam tidak boleh lari daripada kewajipan mentaati undang-undang diri itu. Secara perundangan adalah menjadi tanggungjawab undang-undang ke atas setiap rakyat untuk mentaati undang-undang diri yang tertakluk ke atasnya.

Apabila Perkara 8 memberi ruang untuk mengehadkan sesuatu jawatan keagamaan kepada penganut agama terbabit, pasti di situ wujud kepentingannya. Secara umum, agama terbentuk atas dua dasar, iaitu, perkara zahir dan juga batin. Sifat kesaksamaan yang mengehadkan jawatan keagamaan kepada penganut agama terbabit sangat besar manfaat kepada agama itu. Hanya penganut agama itu saja yang mempunyai ‘rohani’ kepada agamanya. Walaupun ada yang mencabar, contohnya jawatan peguam syarie di Mahkamah Syariah, adalah jelas bahawa Perlembagaan membenarkan pengecualiannya. 

Polemik sebegini menjadikan kita berbelah-bahagi dalam menghormati kehendak rakyat. Tetapi pengisian dalam Perlembagaan Persekutuan sudah tentu mempunyai semangatnya yang tersirat. Dalam konteks ini, peruntukan Perlembagaan meletakkan agama secara eksklusif kepada penganut agama terbabit. Keadaan ini dianggap dapat menutup ruang polemik lebih besar yang boleh mendatangkan petaka kepada negara.

Oleh itu, seperti juga affirmative action yang saya sebut di atas, ketaatan kepada undang-undang diri adalah sebahagian daripada konsep kesamarataan yang dimaksudkan oleh Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan itu. Begitu juga dengan kepentingan meletakkan agama kepada penganutnya secara eksklusif. 

Jika diperhati secara mendalam, tujuan konsep kesamarataan yang disebut dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan ini bukanlah semata-mata konsep kesamarataan.

Pengiktirafan Dunia Bukti Kejayaan Program Ekonomi


Penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan awam serta kecekapan keseluruhan jentera kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) kini terbukti berhasil. Bank Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah menjalankan perniagaan di dunia. Menurut Laporan Menjalankan Perniagaan 2013, Malaysia meningkat enam anak tangga daripada kedudukan ke-18 pada tahun sebelumnya, sekali gus meletakkan negara pada kedudukan lebih tinggi mengatasi Sweden (ke-13), Taiwan (ke-16), Jerman (ke-20), Jepun (ke-24) dan Switzerland (ke-28).

Di rantau ASEAN pula, Malaysia menduduki tempat kedua selepas Singapura dan di hadapan Thailand, Indonesia, Vietnam, Brunei, Filipina, Kemboja dan Laos. Perkembangan memberangsangkan ini ekoran kejayaan memperbaiki kedudukan daya saing dalam lima bidang perniagaan, iaitu kemudahan bekalan elektrik (daripada kedudukan ke-59 kepada ke-28), pendaftaran hartanah (59 kepada 33), pembayaran cukai (41 kepada 15), perdagangan rentas sempadan (29 kepada 11) dan urusan permit pembinaan (113 kepada 96). Bank Dunia juga memperakui agenda pembaharuan kerajaan yang didorong oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Unit Pengurusan dan Prestasi Pelaksanaan (PEMANDU) membantu perkembangan perniagaan. 

Kejayaan ini membuktikan dasar kerajaan yang mesra pelaburan membolehkan sektor kewangan dan ekonomi berkembang pesat, sekali gus menunjukkan haluan daya saing negara meningkat sejak empat tahun lalu. Malaysia beruntung kerana ditadbir secara cekap dan berhemah sejak 55 tahun lalu yang membantu daya saing negara setaraf pasaran global.

Dengan iklim pelaburan positif dan perkembangan politik yang stabil, Malaysia menjadi tumpuan perniagaan bertaraf dunia. Sejak dekad 80-an, usaha mempelajari rahsia kejayaan ekonomi Asia Timur, khususnya Jepun dan Korea Selatan, di samping menghalusi rahsia pentadbiran dan penyelidikan Barat dan Amerika Syarikat (AS) menjadikan Malaysia sebagai model ekonomi baru di Asia Tenggara. 

Kejayaan industri berat, termasuk menghasilkan kereta nasional membuktikan Malaysia di landasan tepat untuk meneroka pasaran antarabangsa. Kita yakin kejayaan negara adalah hasil sumbangan bersama rakyat dan pemimpin kini dan terdahulu. Bukan mudah Bank Dunia mengiktiraf kejayaan sesebuah negara membangun tanpa alasan kukuh. Malaysia membuktikan dasar properniagaan dan mesra pelaburan berjaya meningkatkan daya saing ketika persekitaran kewangan global yang tidak menentu.

Melahirkan Generasi Bebas Hutang Suatu Perjuangan


Cabaran yang dihadapi oleh lepasan pendidikan tertiari semakin mencabar hari ini. Mereka memerlukan pelbagai kemahiran bagi mendepani kerencaman keperluan pasaran pekerjaan. Tidak cukup dengan segulung ijazah atau diploma mereka perlu terus belajar bagi memastikan diri sentiasa kompeten dengan cabaran semasa.

Isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dibangkitkan tidak lama dulu masih segar di ingatan kita. Selain sikap yang liat untuk membayar semula pinjaman, kekangan kewangan yang dirasai semakin mencekik dan menyesakkan dada juga harus diakui. Peningkatan kos hidup terutama di bandar merupakan realiti yang benar-benar berlaku. 

Rungutan mengenai harga rumah yang semakin tinggi merupakan petanda bahawa lepasan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) kita semakin hilang keupayaan membeli. Harga rumah yang mencecah jutaan ringgit hari ini seolah-olah memberi makna mereka hanya layak untuk tinggal di pinggir bandar atau dengan kata lain mereka kini ‘dihalau’ keluar dari bandar dengan cara terhormat. Jika mereka ingin juga tinggal di bandar maka mereka hanya layak untuk tinggal di rumah yang sempit dengan kemudahan yang amat minimum sekali.

Kini trend berhutang untuk berkahwin sudah menjadi lumrah kehidupan generasi muda hari ini. Trend ini sudah semestinya terkait rapat dengan peningkatan kos majlis perkahwinan ditambah dengan hantaran yang semakin tinggi. Situasi sebegini jika dibiarkan menular semahunya akan menjadi barah yang mampu membunuh pembentukan generasi yang beridealisme tinggi. Dengan tekanan hidup yang sebegini maka lahirlah generasi muda yang penakut kerana hidup mereka dikuasai oleh hutang. 

Kita telah didedahkan dengan peningkatan peratusan kelompok eksekutif muda yang tergolong dalam golongan muflis kerana terjerat dengan kemudahan kad kredit dan pinjaman peribadi. Ini merupakan ancaman kepada integriti golongan muda yang akan mewarisi kepimpinan negara ini. Inilah juga antara punca berleluasanya gejala rasuah. Apabila kehidupan semakin terhimpit dan terdesak maka pertimbangan kita akan menjadi semakin serabut dan bercelaru. 

Situasi ini juga menjadi ancaman kepada keutuhan rumah tangga. Rutin ibu bapa yang semakin sibuk mencari wang untuk menampung kos sara hidup menyebabkan anak-anak semakin terbiar dan berlakulah gejala sosial yang semakin menakutkan.

Bilakah ‘putaran maut’ ini dapat kita putuskan? Melahirkan masyarakat bebas hutang adalah satu perjuangan memerdekakan kemanusiaan itu sendiri. Rasulullah s.a.w juga menganjurkan satu doa yang masyhur yang meminta perlindungan daripada Allah s.w.t daripada bebanan hutang dan ‘wa qahri rijal’ yang bermaksud dari dikuasai oleh lelaki atau orang lain, yang dalam konteks ini adalah orang yang memberi hutang. Inilah maksud pembebasan atau kemerdekaan diri yang mesti dinikmati oleh semua manusia.

Jika dilihat dari sudut sebuah negara, kemerdekaan dan kedaulatan kerajaan boleh diragut dan dirampas kerana hutang yang tidak mampu dilunaskan. Inilah perkara yang amat kita bimbangkan.

Langkah sebuah syarikat pengeluar kereta yang membenarkan pelajar tahun akhir IPT untuk memiliki kereta adalah amat dikesalkan. Ia umpama menambahkan lagi satu jerat atau meningkatkan lagi jerutan di leher bakal graduan. Kita yakin langkah ini semata-mata didorong oleh saingan untuk menguasai pasaran kereta domestik menerusi pembukaan segmen baru pelanggan. Pelajar perlu mencari wang bagi membayar hutang kereta sedangkan mereka masih lagi belum mempunyai pekerjaan.

Kita tidak mahu persaingan perniagaan membunuh dan melemahkan generasi terpelajar kita ke kancah hutang yang memeritkan. Cuba bayangkan jika syarikat kereta lain juga turut sama bersaing mendapatkan pelanggan baru dengan memberi tawaran yang kompetitif bagi menakluki poket mahasiswa yang masih kosong dan akhirnya semakin bertambahlah golongan ‘eksekutif muflis’ di negara kita. 

Mansuh PPSMI Keputusan Pendidikan Murni


Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang baru dipaparkan untuk ulasan orang ramai, mula mendapat pelbagai reaksi. Ada kupasan yang membina kerana ditafsir secara positif dan rasional. Tidak kurang juga yang mengkritik dengan penuh emosi, lalu merumuskan sesetengah aspek pendidikan kita dipolitikkan.

Antaranya ketetapan untuk terus memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ia ditafsirkan bukan saja langkah ke belakang dalam tindakan untuk mengembangkan sistem pendidikan negara, lebih malang ditohmahkan sebagai keputusan politik populis. Ia dipolitikkan untuk meraih sokongan kelompok yang menentang PPSMI, dipercayai lebih ramai daripada menyokongnya. 

Ada juga yang menaruh prasangka keputusan itu strategi bersifat konspirasi dengan penentang PPSMI. Ada pula mengaitkannya dengan penggunaan kuasa oleh pemerintah, secara melulu. Sebenarnya keputusan ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan setiap lapisan dan sektor penduduk di negara ini. 

Ketetapan terus mansuh PPSMI adalah keputusan pendidikan murni yang mengambil kira aspirasi nasional, dalam konteks jati diri kebangsaan. Sudah tentu, ia bukan tindakan terburu-buru, baik untuk memperoleh dukungan populisme, atau sebagai rancangan mengkhianati bahasa Inggeris, mahupun selaku kekuasaan mutlak pemerintahan ala diktator. Ia merupakan teras digubal dan sistem disusun, yang mengambil kira keadaan dilalui rakyat. Sehubungan ini, segala kesulitan dirasai, ditempuhi dan ditanggung jutaan penuntut kita akibat pelaksanaan PPSMI, bukan saja diambil kira.

Lebih penting ia dilupuskan agar mereka bukan saja seronok, tetapi berjaya memahami hubung kait di antara angka dengan bentuk dalam Matematik serta pengetahuan sistematik tentang dunia fizikal dalam Sains. Semua ini disampaikan dan dapat difahami dengan baik melalui bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara kita. 

PPSMI dimansuhkan kerana ia tidak dapat diikuti dengan baik oleh penuntut. Ini dapat dilihat pada pencapaian pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pelajar di bandar dan luar bandar, apatah lagi di pedalaman! Ini membuktikan mereka lebih mudah diajar dan mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

Laporan Trends In Mathematics Science Study (TIMSS) memperlihatkan pencapaian penuntut Malaysia untuk Matematik menjunam dari tempat ke-10 pada 2003 ke tempat ke-20 pada 2007. Begitu juga pada pencapaian dalam Sains, yang memperlihat kemerosotan membimbangkan. Pelbagai kajian ikut memperlihat kebanyakan penuntut, baik di bandar, mahupun di luar bandar dan pedalaman, gagal mengikuti proses pengajaran serta pembelajaran untuk dua subjek ini, dalam bahasa Inggeris. 
Tujuan utama pelaksanaan PPSMI untuk menangani masalah kecekapan berbahasa Inggeris yang rendah dalam kalangan penuntut kita, juga tidak tercapai. Dua subjek ini tidak sekali-kali merupakan wadah yang baik untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa. Hal ini bertambah buruk jika bahasa itu adalah bahasa asing lebih-lebih lagi bagi murid sekolah rendah.

Oleh itu, Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menggantikan PPSMI, bukan saja perlu diterima, tetapi disokong semua pihak. Sudah tentu, ia tidak patut dipersoal, apatah lagi dipertikai, lebih-lebih lagi oleh orang Melayu yang merupakan penutur jati bahasa Melayu.

Tindakan orang Melayu ini, walaupun segelintir, bukan saja memberi citra jelik kepada kemampuan bahasa Melayu selaku bahasa ilmu, tetapi turut menafikan kepentingan bahasa Melayu sebagai tapak pengetahuan dan khazanah warisan budaya kepada bangsa Melayu dan Malaysia. Ketetapan terus memansuhkan PPSMI dalam PPPM tidak dibuat atas kepentingan politik pemerintah. Sebaliknya ia keputusan pendidikan murni yang mengambil kira aspirasi nasional, dalam konteks jati diri kebangsaan.

Rabu, 3 Oktober 2012


Pembinaan Budaya Kebangsaan

Pembinaan budaya kebangsaan amat penting diberikan perhatian dan tumpuan. Budaya kebangsaan itu bukan sahaja menyatakan jati diri masyarakat dan negara Malaysia, malahan juga penting dalam memupuk semangat patriotisme dan integrasi kaum di negara ini. Melalui budaya kebangsaan itu membolehkan anggota-anggota masyarakat mengenali sejarah dan membina ikatan emosi kepada masyarakat dan negara. Kesedaran tentang pentingnya budaya kebangsaan itu adalah sebahagian daripada kekuatan semangat kebangsaan Melayu yang dipupuk sejak zaman pemerintahan kolonial lagi. Pemerintah kolonial tidak memberikan perhatian tentang bahasa dan budaya Melayu, sebaliknya bahasa dan budaya kolonial didapati semakin penting yang membawa nilai-nilai sosial dan ekonomi. Perjuangan orang Melayu untuk mencapai kemerdekaan adalah tidak dapat dipisahkan daripada kepentingan persoalan bahasa dan budaya.

Kerajaan telah menerima konsep dan prinsip budaya kebangsaan, dan usaha perancangan serta perlaksanaan dimulakan pada tahun 1970. Kerajaan menyedari pentingnya pembinaan budaya kebangsaan, terutama kesan daripada peristiwa 13 Mei 1969. Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan waktu itu ditubuhkan bagi menumpukan perancangan dan perlaksanaan budaya kebangsaan itu, terutama pemuliharaan dan penggalakan budaya rakyat. Salah satu usaha yang dilakukan ialah mengenali dan menggalakkan perkembangan di peringkat nasional berbagai-bagai unsur budaya tradisional pribumi Malaysia.

Dalam pemuliharaan dan penggalakan tradisi rakyat itu, berbagai bantuan diberikan. Malahan ada usaha mendorongkan generasi muda terlibat dalam kegiatan-kegiatan tradisi budaya rakyat itu. Berbagai pihak, terutama pencinta-pencinta seni rakyat berusaha mengembangkan dan menyebarkan ke peringkat nasional. Terdapat institusi-institusi pendidikan yang turut menggalakkan perkembangan seni dan mainan tradisonal. Selain itu, penyelidikan, seminar dan bengkel tentang berbagai warisan tradisi rakyat itu sentiasa diberikan perhatian oleh berbagai-bagai pihak.

Kesan daripada berbagai usaha yang telah dilakukan itu, minat generasi muda terhadap budaya rakyat itu tidak juga meningkat. Sebagaimana telah dinyatakan bahan-bahan budaya popular sentiasa dapat menarik minat ramai. Sebagai contoh, walaupun persembahan budaya rakyat itu ditawarkan secara percuma di bandar-bandar, masih tidak dapat menarik penonton. Tetapi mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk menonton persembahan popular.

Generasi muda tidak diberikan pendedahan seluasnya kepada tradisi budaya itu, yang menyebabkan mereka tidak mengenali dan memahami unsur-unsur budaya tradisi. Apabila mereka tidak mengenalinya maka mereka tidak mencintainya. Sedangkan tradisi sangat penting untuk memberikan peluang generasi muda mengenali sejarah, tradisi dan budaya sendiri. Dengan itu akan dapat memupuk nilai-nilai sosial cintakan bangsa dan tanahair. Seterusnya dapat membina ikatan emosi yang mendalam untuk mempertahankan warisan tradisi, dan jatidiri bangsa dan negara.

Generasi muda patut dipupuk dengan nilai-nilai positif, iaitu memandang tinggi dan berbangga dengan warisan tradisi. Kedudukan warisan tradisi tidak boleh disamakan dengan bahan-bahan budaya popular. Bahan-bahan budaya popular sebagaimana bahan-bahan pengguna yang lain untuk mengisi keperluan yang lebih tinggi. Apabila nilai-nilai sosial yang berbeza diberikan kepada kedua-dua fenomena itu, maka budaya popular itu tidak dapat dianggap sebagai persaingan kepada warisan tradisi atau budaya rakyat itu.

Kedudukan budaya tradisi atau budaya rakyat yang ingin diperkembangkan dalam rancangan pembinaan budaya kebangsaan tidak menunjukkan kemajuan sebagaimana yang diharapkan. Oleh itu kerajaan telah mengubah strategi bagi menggalakkan pertumbuhan budaya kebangsaan, iaitu Kementerian yang berkenaan telah digabungkan dengan industri pelancongan, yang kini dikenali sebagai Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan. Memahami masalah yang dihadapi dalam usaha membangunkan berbagai-bagai unsur seni tradisional adalah berkaitan dengan masalah ekonomi. Mereka yang terlibat dalam kegiatan seni tradisional tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada kegiatan yang berkaitan memandangkan kegiatan itu tidak memberikan pulangan ekonomi sewajarnya. Mereka terpaksa bergiat dalam lapangan berkaitan secara sambilan semata-mata berasaskan kepada minat.

Dari sudut ekonomi, perlibatan dalam kegiatan-kegiatan kesenian tradisional atau budaya rakyat tidak memberikan pendapatan sewajarnya. Ini tidak dapat menarik minat generasi muda untuk melibatkan diri. Ganjaran ekonomi dipercayai boleh menarik dan mendorong generasi muda untuk terlibat dan mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan budaya. Pelancongan diharapkan dapat memberikan suntikan ekonomi kepada kegiatan budaya itu. Budaya pelancongan kini merupakan sebahagian fenomena budaya popular. Penawaran bahan-bahan budaya kepada para pelancong itu dipercayai dapat menghidupkan kegiatan atau industri budaya yang berkaitan dengan budaya tradisi atau budaya rakyat terutama dalam bidang kesenian. Usaha meningkatkan industri pelancongan itu, berasaskan pengalaman negara-negara lain didapati mampu meningkatkan kegiatan yang berkaitan dengan tradisi budaya atau warisan budaya rakyat tempatan.

Berasaskan pengalaman industri pelancongan di Malaysia, didapati industri yang berkaitan dengan kraftangan dapat berkembang dengan baik. Malahan, terdapat badan-badan swasta dan agensi-agensi kerajaan yang menggalakkan peningkatan industri kraftangan tradisional bumiputera di negara ini. Tetapi dalam bidang seni persembahan dan mainan tradisional tidak mengalami pertumbuhan sebagaimana yang dijangkakan. Terdapat usaha komersial yang dilakukan secara kecil-kecilan tetapi setakat ini tidak membuktikan kejayaan yang baik.

Perkembangan warisan budaya tradisi atau tradisi rakyat bagi tujuan industri pelancongan itu terdapat pula kelemahannya. Unsur-unsur budaya yang ditawarkan itu, berasaskan kepentingan komersial selalunya disesuaikan dengan citarasa budaya para pelancong. Atas kepentingan itu didapati pihak pengusaha kurang memberikan tumpuan untuk mempertahankan mutu seni sebagaimana dalam bentuk asalnya. Dalam seni persembahan sebagai contoh, persembahan untuk pelancong yang tidak memahami konteks tradisi budaya tempatan, dilakukan semata-mata untuk pelancong, tetapi tidak dipersembahkan dalam suasana sebenar sebagaimana yang menjadi amalan dalam budaya itu.

Budaya Popular dan Budaya Kebangsaan

Dalam hasrat membina budaya kebangsaan itu, ruang lingkup budaya yang diliputi itu sepatutnya tidak terbatas kepada warisan budaya tradisional atau budaya rakyat. Budaya itu dinamiks. Budaya Melayu juga adalah dinamiks, yang sentiasa berubah menyesuaikan dengan perubahan yang dilalui masyarakat. Perkembangan budaya terkini itu kemudian akan menjadi tradisi. Proses penciptaan dan penghasilan bahan-bahan budaya popular itu adalah sebahagian daripada proses perubahan masyarakat dan budaya Melayu. Dengan itu juga dapat memperkukuhkan kedudukan budaya Melayu. Masyarakat dan budaya akan terus dinamiks, iaitu perubahan perlu dilakukan bagi menjamin peningkatan peradaban Melayu itu.

Dalam konteks ini penghasilan bahan-bahan budaya popular itu adalah sebahagian daripada kemajuan budaya yang dicapai masyarakat Melayu. Dalam konteks ini budaya kebangsaan itu perlu dibina atas warisan budaya tradisi dan pembangunan budaya moden, iaitu budaya popular. Oleh itu dalam penghasilan bahan-bahan budaya popular itu juga perlu mempertahankan mutu yang sewajarnya. Bahan-bahan budaya popular itu juga tidak dapat dinafikan masih mempunyai mutu dan nilai-nilai seni yang akan menjadi warisan budaya Melayu. Penghasilan budaya popular itu juga melalui proses kreativiti sewajarnya, yang dengan sendirinya menyatakan pembangunan budaya Melayu, dan seterusnya memainkan peranan sebagai sumbangan peningkatan peradaban Melayu.

Budaya rakyat kini semakin lemah kedudukannya berikutan minat atau tumpuan orang ramai didapati semakin berkurang. Peranan atau fungsi sesuatu fenomena itu tidak dapat dipisahkan daripada kepentingan sesuatu tradisi budaya. Berikutan dengan perubahan sosial, ekonomi dan pendidikan, didapati kepentingan terhadap budaya rakyat semakin kurang mendapat tempat dalam kehidupan masyarakat Melayu moden hari ini. Walaupun terdapat usaha untuk menghidupkan tradisi rakyat pada peringkat kampung terutama di kalangan golongan tua, tetapi sambutan daripada orang-orang muda tidak menggalakkan.

Mereka yang masih meneruskan perlibatan dalam tradisi rakyat semata-mata berasaskan kepada minat, bukannya sebagai suatu yang dilakukan secara sungguh-sungguh. Masalah yang dihadapi di kalangan penduduk kampung ialah tekanan ekonomi yang tidak memungkinkan mereka menumpukan perhatian terhadap minat mereka itu. Sambutan orang ramai yang dingin terhadap tradisi budaya itu tidak memberi peluang mereka untuk menambahkan pulangan ekonomi dengan menumpukan kepada bidang yang diminati. Penumpuan dalam kegiatan-kegiatan ekonomi yang lain lebih penting, terutama bagi memperbaiki kehidupan mereka.

Dengan pesatnya penawaran berbagai-bagai bahan budaya popular Melayu moden, boleh dianggap mempengaruhi kedudukan tradisi rakyat yang tidak lagi berkembang dan menjadi popular. Bahan-bahan budaya popular yang dianggap lebih moden mempengaruhi keseluruhan kehidupan orang ramai. Citarasa budaya orang ramai telah berubah, terutama berikutan dengan proses modenisasi dan urbanisasi yang semakin pesat. Setiap orang tidak mahu ketinggalan dalam menghadapi atau mengalami gaya hidup moden kini. Sesuatu yang baru dan moden itu mudah didapati dan sesuai dengan perubahan citarasa budaya orang ramai.

Berbagai-bagai usaha pernah dilakukan oleh mereka yang ingin mengekalkan tradisi bagi menghidupkan budaya rakyat Melayu untuk menyesuaikan dengan keperluan mengisi inspirasi budaya nasional. Tetapi jelas didapati, dorongan dan galakan yang dilakukan tidak membawa banyak kesan, terutama di kalangan orang-orang muda. Golongan muda tidak menunjukkan minat yang mendalam terhadap unsur-unsur budaya rakyat tradisi. Proses modenisasi dan urbanisasi membawa kesan-kesan langsung kepada kedudukan warisan budaya rakyat, yang semakin kepinggiran.

Pelancongan Sebagai Industri Budaya

Memandangkan masalah yang dihadapi dalam pengembangan budaya rakyat tempatan, kerajaan telah mengubah strategi untuk menjadikan warisan budaya rakyat sebagai bahan budaya yang boleh menarik perhatian pelancong, terutama pelancong luar negeri. Pelancong-pelancong luar negeri dapat menghayati warisan budaya rakyat kerana itu dianggap kelainan dari budaya mereka. Dengan itu diharapkan penghasilan warisan budaya rakyat akan mendapat perhatian ramai apabila para pelancong mulai menunjukkan minat terhadapnya. Bagi mereka yang terlibat dalam kegiatan itu akan sanggup memberi tumpuan apabila permintaannya semakin baik.

Budaya rakyat sebagai budaya warisan orang Melayu dapat disebarkan atau dihidupkan semula apabila tumpuannya ialah untuk industri pelancongan. Ini merupakan suatu perkembangan baru bagi penduduk di negara ini dalam perancangan untuk mengembalikan kedudukan budaya tradisi. Penawaran budaya rakyat kepada pelancong telah dilakukan dengan jayanya oleh sesetengah negara, seperti di Indonesia dan Thailand. Para pelancong melihat penghasilan seni tempatan itu sebagai suatu yang berbeza daripada seni moden, iaitu mempunyai nilai-nilai seninya tersendiri. Penawaran unsur-unsur budaya rakyat tempatan dapat menarik perhatian para pelancong yang bertujuan untuk mencari dan mengalami sesuatu yang baru dan berlainan daripada budaya mereka. Atas kesedaran ini penduduk tempatan berusaha menimbulkan atau menghidupkan tradisi budaya mereka untuk dihayati oleh para pelancong.

Kerajaan Malaysia menyedari akan pentingnya industri pelancongan itu sebagai sumber ekonomi negara. Di samping dapat meningkatkan kegiatan ekonomi, industri pelancongan ini juga dapat mendorongkan penduduk tempatan terus menumpukan kepada kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan budaya tradisi. Dalam keadaan ini, kerajaan dapat melahirkan dua kepentingan dengan mempergiatkan industri pelancongan ini, iaitu di samping sebagai kegiatan ekonomi, negara juga dapat terus menonjolkan budaya tradisi sebagai usaha melambangkan identiti negara atau dengan kata-kata lain dapat terus mengembangkan identiti negara dalam konteks budaya kebangsaan. Bagi mencapai tujuan itu kerajaan telah menggabungkan kegiatan kebudayaan dan pelancongan di bawah satu Kementerian.

Perancangan seperti itu dikatakan lebih pragmatik dan dapat terus mendorongkan perkembangan budaya tradisi memandangkan tradisi itu dapat memberikan sumbangan ekonomi yang baik. Bagi mengharapkan budaya tradisi berkembang secara sendirian sudah pasti tidak mampu berlaku sebagaimana masa lalu. Sesuatu itu dapat bergerak dan berkembang dengan baik dalam masyarakat kini apabila terdapat dorongan ekonomi.

Industri pelancongan dapat memberikan perhatian kepada warisan budaya rakyat tradisi yang masih kedapatan di negara ini sebagai bahan promosi untuk menarik para pelancong, terutama pelancong-pelancong luar negeri. Kumpulan-kumpulan kesenian selalu dihantar ke luar negeri dengan tujuan menjual Malaysia kepada orang-orang luar. Saluran ini dikatakan amat berkesan untuk menarik perhatian orang luar untuk datang melancong ke negara ini. Selain itu, keindahan alam sekitar dan cara hidup tradisi orang Melayu di peringkat kampung juga selalu dikatakan dapat menarik pelancong-pelancong asing.

Kerajaan dan agensi-agensi pelancongan menyediakan berbagai-bagai rancangan dalam usaha memperkenalkan para pelancong luar negeri kepada budaya rakyat tradisi penduduk tempatan. Misalnya, pusat-pusat yang menumpukan kepada kegiatan kerajinan tangan ditubuhkan. Galakan diberikan kepada tukang-tukang atau artis-artis tradisi untuk menumpukan kegiatan seni itu secara komersial. Pendedahan yang meluas unsur-unsur budaya tradisional yang ditujukan kepada para pelancong itu juga dapat menarik perhatian pelancong-pelancong tempatan. Dengan pendedahan itu, penduduk tempatan dapat memahami dan menghayati bahan-bahan budaya, dan dengan ini penawarannya semakin bertambah di pasaran. Orang ramai juga dengan sendirinya menyedari kepentingan unsur-unsur budaya tradisi. Penghasilan budaya rakyat yang berkembang bagi kepentingan para pelancong itu menghadapi proses penyesuaian yang dilakukan bagi kepentingan pasaran.

Peranan atau fungsi tradisinya mungkin tidak dapat dipertahankan lagi. Budaya rakyat itu kini diletakkan dalam rangka kepentingan atau fungsi baru, iaitu untuk dihayati, bukannya lagi berperanan dalam konteks kaitannya dengan fungsi guna dalam masyarakat Melayu masa lalu. Penghasilannya kini sebagai bahan dagangan, bukannya untuk penggunaan sebagaimana kedudukannya dalam masyarakat Melayu tradisi. Unsur-unsur budaya itu dijadikan komoditi dagangan sebagaimana bahan-bahan budaya popular moden dan bagi kepentingan ini persaingan di kalangan pengusaha-pengusaha mendorongkan mereka melakukan penyesuaian bagi mendapat pasaran yang baik.

Dalam keadaan demikian didapati para pengguna memainkan peranan penting dalam menentukan permintaan. Pengusaha, seperti tukang dan artis berusaha memahami citarasa pelancong dalam menyesuaikan penghasilan keluaran mereka. Walau bagaimanapun, pengekalan unsur-unsur tradisi, terutama dari segi bentuknya perlu dilakukan bagi menentukan keaslian budaya rakyat yang berkembang secara komersial itu.

Persembahan kesenian seperti dikir barat, rebana, wayang kulit, kuda kepang dan berbagai-bagai jenis tarian tradisi yang dipersembahkan untuk pelancong diringkaskan untuk jangka masa yang lebih pendek agar tidak menjemukan penonton. Sedangkan persembahan asalnya memakan masa yang lama, tetapi para penonton dalam konteks masyarakat itu dapat menghayati dan memahaminya. Persembahan kepada pelancong terpaksa mereka memilih bahagian-bahagian yang menarik bagi menarik perhatian penonton. Misalnya, dengan mengurangkan babak-babak dailog dan melebihkan bahagian perlakuan.

Perkembangan budaya pelancongan ini adakala membawa kesan-kesan buruk kepada kedudukan warisan budaya rakyat tradisi itu. Pihak pengusaha selalu menimbangkan kepentingan ekonomi tanpa meneliti kesan-kesan jangka panjangnya. Pengusaha selalu mengubah dan menyesuaikan sesuatu unsur budaya tradisi itu mengikut kemahuan mereka sehingga tidak ada lagi keasliannya dalam unsur itu. Sebagai contoh, dapat kita perhatikan tarian-tarian Melayu asli telah banyak disesuaikan dengan kehendak-kehendak moden dan dilakukan perubahan secara sewenang-wenang sehingga tidak wujud sifat-sifat aslinya. Keadaan ini boleh melenyapkan keaslian sesuatu unsur itu dan diganti dengan sesuatu yang baru. Generasi akan datang menghadapi masalah untuk mengesan dan memahami unsur-unsur budaya asli yang boleh menyatakan identiti masyarakat dan budaya Melayu.

Unsur-unsur budaya kebendaan hasil kerajinan tangan Melayu disesuaikan dengan kehendak-kehendak pelancong. Bahan-bahan budaya itu disesuaikan dari segi saiznya, misalnya dijadikan lebih kecil bagi memudahkan para pelancong membawa pulang. Fungsi asalnya secara umum berubah kepada fungsi perhiasan. Oleh itu penekanan diberikan kepada keindahan, misalnya dari segi ukiran dan kehalusan buatannya, yang bertujuan untuk dapat menarik perhatian pelancong, terutama pelancong luar negeri. Sebagai contoh, layang-layang yang dihasilkan oleh orang Melayu ialah untuk dinaikkan, tetapi dijadikan saiznya lebih kecil untuk perhiasan. Oleh itu ukiran dan warnanya menjadi perhatian tukang-tukang untuk mengisi keperluan itu. Bagi mengisi keperluan budaya pelancong, artis-artis yang berkebolehan bagi mencipta dan menghasilkan sesuatu dengan cara lebih kreatif perlu diberikan perhatian.

Fungsi asasnya telah berubah kepada hasil untuk dagangan kepada para pelancong. Pelancong tidak memahami kedudukan sesuatu hasil budaya itu yang telah dibawa keluar daripada konteks masyarakat. Mereka tidak penting kepada makna dan pengertian asalnya tetapi memerlukan keindahan sesuatu penghasilan budaya, sebagai sesuatu yang dianggap eksotik. Pelancong berusaha memahami sesuatu fenomena budaya itu secara ringkas dan mudah. Mereka menonton atau meneliti sesuatu itu secara sepintas lalu dan kemudian akan melupainya. Kesannya tidak mendalam. Tujuannya untuk menarik perhatian pelancong secara luaran dan secara cepat yang dapat. Misalnya, dalam penghasilan barangan, unsur-unsur tradisi, seperti motif atau ukirannya berubah kepada unsur-unsur moden.

Dengan ini bermakna nilai-nilai tradisi semakin dilupai dan adakala pula dimasukkan unsur-unsur asing. Suasana demikian tidak dapat membina dan mengekalkan keaslian tradisi budaya Melayu. Dengan pesatnya berlaku keadaan demikian, suatu hari nanti orang Melayu terutama generasi muda tidak dapat mengenali unsur-unsur budaya tradisi yang dapat menyatakan keaslian Melayu untuk dibanggakan. Dalam perkembangan budaya pelancongan itu, orang-orang yang berkebolehan dan ahli dalam bidang-bidang berkaitan patut dapat terus mengekalkan nilai-nilai tradisi bagi kepentingan bersama.

Proses Globalisasi dan Budaya Popular Melayu

Perkembangan ekonomi global atau proses globalisasi dalam ekonomi membawa kesan yang ketara dalam perubahan dan pembangunan budaya. Dalam perkembangan ekonomi global itu sebenarnya memperkukukan kedudukan ekonomi negara maju. Penyebaran pasaran yang tidak mempunyai batasan memberikan kekuatan kedudukan dan kuasa ekonomi negara-negara maju, khususnya barat. Sebelum runtuhnya sekatan atau blok ekonomi yang berasaskan kepentingan politik, negara-negara maju itu telah pun menguasai ekonomi di peringkat internasional. Kekuasaan ekonomi itu boleh dikesan sebagai persambungan pembangunan ekonomi kolonial dahulu lagi.

Perkembangan ekonomi global itu turut memperluaskan penyebaran pasaran bahan-bahan budaya, terutama atas kepentingan komersial. Bahan-bahan budaya popular yang dibawa dari negara-negara maju itu, terutama barat sentiasa dianggap mempunyai nilai-nilai sosial yang tinggi, iaitu dianggap moden dan maju. Malahan bahan-bahan budaya popular yang dibawa dari barat sentiasa menarik perhatian golongan muda mudi di negara ini. Anggapan seperti itu bukanlah suatu nilai-nilai sosial yang baru, nilai-nilai demikian telah dipupuk sejak zaman pemerintahan kolonial dahulu lagi. Kemodenan dan kemajuan itu selalu dirujuk kepada pencapaian peradaban barat.

Golongan muda merupakan majoriti penduduk negara ini. Oleh itu, penyebaran bahan-bahan budaya di kalangan muda mudi itu dapat pula berkembang sebagai budaya popular. Pengaruh budaya barat itu tidak terbatas di kalangan golongan muda sahaja. Malahan gaya hidup barat juga telah meresap di kalangan golongan elit bangsawan tempatan sejak lama dahulu lagi. Mereka mempertahankan bahawa kemajuan dan kemodenan yang dibawa oleh barat itu mempunyai kedudukan sosial yang tinggi dan patut diikuti. Bahan-bahan budaya dari barat itu telah diterima dengan meluas sebagai lambang sosial. Suasana demikian mempengaruhi golongan muda dan fenomena ini tidak boleh dianggap sesuatu yang baru.

Budaya barat yang menjadi ikutan golongan muda itu meliputi juga bahan-bahan budaya yang tidak sesuai dengan nilai-nilai sosial tempatan. Antaranya sebagai contoh terdapat gaya hidup penyanyi dan pemain muzik barat yang mempengaruhi kumpulan muda mudi tempatan, dan perlakuan itu adakala bercanggah dengan nilai-nilai tempatan. Apabila keadaan itu berlaku, maka golongan dewasa menentang perlakuan demikian. Sedangkan golongan muda mudi itu didedahkan dengan perkembangan budaya popular barat yang keterlaluan sifatnya. Tetapi golongan dewasa adalah bertanggungjawab dalam menyebarkan bahan-bahan budaya secara meluas itu atas kepentingan komersial.

Penyebaran bahan-bahan budaya barat itu membawa dan menyalurkan bersamanya nilai-nilai sosial berasaskan budaya barat. Selalunya melalui bahan-bahan yang disebarkan itu terdapat nilai-nilai yang baik dan patut menjadi ikutan orang Melayu, terutama golongan muda. Tetapi kerapkali nilai-nilai yang baik itu diketepikan, sebaliknya nilai-nilai yang tidak baik mudah mempengaruhi perlakuan golongan muda mudi Melayu. Orang ramai selalu beranggapan, bahan-bahan budaya popular yang dibawa dari barat itu membawa kesan-kesan buruk kepada masyarakat tempatan, terutama golongan muda. Misalnya, budaya barat itu selalu dikatakan budaya kuning, dan dianggap tidak sesuai dengan kehidupan orang Melayu.

Tetapi aspek kebaikan, terutama nilai-nilai sosial yang patut menjadi teladan, seperti pembinaan hubungan sosial, kekeluargaan, budaya ilmu, menjaga kebersihan dan sebagainya kurang mendapat perhatian. Sedangkan budaya popular yang dibawa dari barat itu terdapat banyak nilai-nilai sosial yang patut diikuti. Perkara yang menjadi perhatian ialah berkaitan dengan nilai-nilai buruk yang dianggap boleh membawa kesan-kesan buruk kepada generasi muda.

Penyebaran bahan-bahan budaya popular moden kini membawa perubahan besar kepada kehidupan orang Melayu. Bahan-bahan budaya popular dapat dianggap sebagai saluran penting kepada orang ramai untuk mengisi keperluan yang lebih tinggi seperti hiburan, melayan perasaan, kepuasan individu, dan mengisi masa lapang. Dengan itu dapat mengurangkan tekanan hidup kepada anggota-anggota masyarakat. Orang ramai, sebagai pengguna bahan-bahan budaya popular boleh membuat pilihan daripada berbagai jenis bahan budaya di pasaran mengikut kemampuan dan keperluan masing-masing. Penawaran bahan-bahan budaya itu dalam berbagai jenis dan bentuk yang dilakukan secara komersial, mampu dibeli untuk penggunaan orang ramai. Perbelanjaan terhadap bahan-bahan budaya popular merupakan sebahagian daripada keperluan kepenggunaan orang ramai yang itu menjadi sebahagian daripada keperluan harian setiap orang.

Bahan-bahan budaya popular itu dihasilkan oleh kegiatan industri budaya. Perkembangan industri itu sebagaimana industri lain mempunyai pengurusan yang berusaha memasarkan keluaran mereka kepada ramai. Sebagai industri, maka usaha promosi, misalnya dengan iklan, pameran, demostrasi dan sebagainya dilakukan bagi menarik pengguna atau audien. Kejayaan sesuatu industri budaya itu sangat bergantung kepada sambutan yang diberikan oleh para pengguna.

Sedangkan pengguna itu mempunyai kemampuan untuk membuat pilihan sendiri. Walau bagaimanapun, melalui promosi yang meluas kerapkali dapat mempengaruhi nilai-nilai sosial. Perkembangan industri budaya popular itu memberikan sumbangan ekonomi yang penting kepada negara. Di samping itu industri itu juga dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada mereka yang berkebolehan dan berminat. Malahan, industri budaya ini turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, misalnya dalam membawa perubahan nilai-nilai sosial dan world-view.

Pesatnya pembangunan yang dilalui penduduk luar bandar, turut memberikan peluang meningkatnya penyebaran budaya popular sehingga ke kawasan-kawasan pendalaman, dan melaluinya dapat menyalurkan proses urbanisasi dan modenisasi dengan lebih berkesan. Misalnya, dengan pendedahan yang disalurkan melalui televisyen dapat membuka minda dan mencabar pemikiran anggota-anggota masyarakat untuk memperbaiki kehidupan mereka. Nilai-nilai yang dipupuk itu dapat mendorongkan mereka untuk mengubah sikap, misalnya dengan bekerja lebih kuat, yang dapat meningkatkan produktiviti.

Budaya popular sekian lama telah memainkan peranan dalam mengurangkan kedudukan jurang sosial di kalangan anggota-anggota masyarakat. Ini dapat dikaitkan dengan peranan media massa yang menawarkan bahan-bahan budaya popular kepada semua peringkat anggota masyarakat tanpa mengira kedudukan kelompok-kelompok sosial. Semua anggota masyarakat menghayati bahan budaya yang sama atau standard yang disalurkan oleh media popular itu. Dengan itu dapat membina dan memupuk nilai-nilai sosial yang lebih kurang sama.

Industri budaya popular di negara ini telah bermula sejak pemerintahan kolonial, apabila berkembangnya ekonomi kapitalis dan teknologi moden. Tetapi pemilikan modal dan teknologi moden itu, seperti filem dan piring hitam dikuasai orang bukan Melayu. Orang Melayu yang terlibat hanya mampu memberikan sumbangan tenaga dengan ganjaran upah atau gaji. Oleh itu, industri budaya popular Melayu yang pesat berkembang di bandar-bandar besar di negara ini adakala merupakan kegiatan komersial orang bukan Melayu.

Pada peringkat awal, orang Melayu boleh dikatakan terlibat dalam indsutri Bangsawan. Apabila industri budaya memerlukan modal yang besar dan teknologi moden, maka orang Melayu tidak mampu untuk turut serta dalam membina industri demikian. Malahan pembangunan industri itu memerlukan kepakaran dan pendidikan, terutama dalam usaha pengurusan industri itu. Pembinaan industri budaya sebagaimana juga industri yang lain memerlukan susunan strategi pengurusan yang berkesan. Walaupun kepentingan utamanya ialah untuk mendapatkan keuntungan, tetapi pengusaha industri itu juga mempunyai peranan dan tanggungjawab sosial.

Dalam perjalanan sesebuah industri budaya itu, melibatkan pengumpulan modal dan tenaga pekerja. Dalam sistem kapitalis, kegiatan yang berkaitan itu berusaha memaksimum keuntungan. Atas kepentingan ini, pengusaha industri itu berusaha menawarkan sesuatu bahan budaya yang dapat menarik perhatian orang ramai.

Bahan-bahan budaya yang baru atau dianggap moden itu kerapkali dapat menarik perhatian orang ramai. Oleh itu, pengusaha sentiasa peka kepada perubahan selera orang ramai. Penwaran bahan-bahan budaya di pasaran sentiasa berubah menyesuaikan dengan kehendak dan kepentingan orang ramai dari masa ke masa. Adakala pengusaha industri budaya popular itu menggunakan strategi mengeksploit keinginan semula jadi manusia bagi menarik minat ramai, terutama golongan muda. Aspek-aspek yang boleh menimbulkan rangsangan keinginan manusia itu seperti seks dan keganasan sebagaimana yang selalu dipaparkan dalam filem selalu diberikan perhatian oleh pengusaha. Filem-filem yang dikeluarkan di barat misalnya, selalu membawa adegan-adegan yang sensasi bagi menarik minat khalayak.

Namun, tumpuan yang diberikan itu kerapkali agak keterlaluan, dan tidak sesuai dengan nilai-nilai sosial tempatan. Oleh itu, kerajaan telah menetapkan syarat dan peraturan dalam mengawal bahan-bahan budaya yang boleh menimbulkan percanggahan dengan nilai-nilai sosial tempatan. Misalnya, badan penapis filem diberikan kuasa dalam menentukan kesesuaian bahan-bahan budaya yang dibawa dari luar itu. Ini dilakukan bagi mengawal moral dan akhlak penduduk tempatan, terutama orang Melayu yang beragama Islam. Kini, penyebaran bahan-bahan budaya semakin meluas, melalui perkembangan teknologi moden yang boleh membawa kesukaran dalam melakukan kawalan terhadap bahan-bahan budaya itu.

Pembangunan teknologi moden yang sangat pesat kini memainkan peranan penting dalam membawa proses globalisasi bahan-bahan budaya popular. Dengan perkembangan media elektronik dan penyebaran yang dapat dilakukan melalui satalite membolehkan bahan-bahan budaya dapat disebarkan dengan meluas. Dalam perkembangan itu, menjadikan negara maju, terutama barat mempunyai kedudukan yang semakin kukuh dalam ekonomi dan budaya. Kekuatan ekonomi barat dalam menguasai ekonomi dunia, turut mempengaruhi pula penyebaran bahan-bahan budayanya. Budaya popular barat yang dihasilkan oleh pembangunan industri budaya itu dapat menyalurkan bahan-bahan budaya itu ke seluruh dunia. Seterusnya, penyebaran yang meluas itu dapat memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan politiknya.

Kekuatan ekonomi dan pembangunan teknologi negara-negara maju itu seterusnya dapat menguasai budaya di peringkat global dan dapat pula mempengaruhi dan menyalurkan ideologi politiknya. Pencapaian itu menyatakan kedudukan global itu hakikatnya membawa kesan yang amat baik kepada negara-negara maju. Namun, asas pembinaannya itu telah bermula sejak pengaruh politik kolonial yang menyebarkan konsep moden tehadap penduduk di negara-negara dunia ketiga, yang masih di peringkat sedang membangun.

Pengaruh budaya barat yang telah bermula sejak zaman pemerintahan kolonial di negara ini turut mempengaruhi perkembangan budaya Melayu. Penyebaran bahan-bahan budaya popular barat memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pembinaan budaya popular Melayu. Teknologi moden yang dibawa dari barat seperti piring hitam, filem, radio dan sebagainya turut diisi dengan kandungan Melayu, tersebar luas, terutama di kalangan orang Melayu. Fenomena budaya popular itu sentiasa dianggap sebagai sesuatu yang baru, dan seterusnya membawa bersamanya nilai-nilai kemodenan.

Sesuatu yang popular dari barat mudah ditiru dan diikuti bagi menyesuaikan dengan kehendak tempatan. Perkembangan budaya popular Melayu itu turut dipengaruhi perkembangan budaya popular di peringkat global khususnya barat. Kini dengan pesatnya penyebaran bahan-bahan budaya dalam proses globalisasi itu, didapati perkembangan itu memainkan peranan dalam mempengaruhi perkembangan industri budaya popular Melayu, yang berusaha untuk mengisi keperluan tempatan.

Dengan kekuatan asas yang telah dibina dalam proses modenisasi semenjak pengaruh budaya kolonial dahulu, dan keadaan yang sama berlaku dalam proses globalisasi budaya kini, didapati bahan-bahan budaya yang dibawa dari barat itu sentiasa dipandang tinggi dan dianggap moden. Namun, berbagai usaha dilakukan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan bahan-bahan budaya tempatan.

Bahan-bahan budaya popular global dalam berbagai lapangan yang disebarkan oleh industri budaya barat itu kini didapati tersebar luas yang memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk melakukan pilihan, pendedahan yang sangat meluas itu tidak dapat dinafikan turut mempengaruhi cita rasa budaya tempatan dan memupuk nilai-nilai sosial negara maju. Orang Melayu turut mempunyai peluang untuk menghayati berbagai bentuk dan jenis penawaran budaya popular yang dibawa dari negara-negara maju. Berasaskan pengalaman itu mereka mengharapkan penawaran bahan-bahan budaya popular tempatan juga tidak jauh berbeza dengan bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju itu. Suasana demikian mempengaruhi perkembangan industri budaya popular Melayu.

Bagi kepentingan komersial, industri budaya tempatan selalu meniru atau mengikuti perkembangan sebagaimana yang dinyatakan oleh negara-negara maju. Tetapi industri budaya tempatan terpaksa menyesuaikan dengan nilai-nilai sosial tempatan, misalnya tentang moral dan akhlak yang tetap berlandaskan kepada nilai-nilai Islam. Adakala terdapat bahan-bahan budaya popular itu yang kurang memberikan pertimbangan tentang nilai-nilai sosial itu yang boleh membawa kepada kesan-kesan sosial yang kurang baik. Namun masyarakat Melayu selalu memberikan tekanan terhadap bahan-bahan budaya Melayu yang didapati agak keterlaluan dan tidak memberikan perhatian kepada nilai-nilai sosial tempatan dan Islam.

Penyebaran bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju dalam proses globalisasi itu memberikan kesan yang menyeluruh terhadap budaya Melayu tradisi. Persaingan dengan perkembangan budaya popular di peringkat global membawa kesan kepada tradisi budaya tempatan, iaitu apabila bahan budaya popular itu digunakan sebagai nilai-nilai yang mengukur kemajuan dan kemodenan kini. Segala warisan tradisi dianggap sebagai ketinggalan zaman dan tidak dinamiks mengikut pembangunan semasa.

Penyebaran budaya popular dari negara-negara maju, terutama barat itu menekankan nilai-nilai sosial yang adakala bercanggah dengan nilai-nilai sosial tempatan, malahan tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam. Misalnya, kepentingan kepada nilai-nilai material dan mementingkan diri keterlaluan boleh menjejaskan kurangnya pertimbangan sosial, terutama nilai-nilai moral dan akhlak. Sedangkan bahan-bahan budaya popular itu sangat berkesan dalam mempengaruhi generasi muda, yang lebih mementingkan hiburan. Mereka kurang memberikan perhatian terhadap masalah-masalah sosial. Adakala kelainan budaya yang disalurkan melalui budaya popular menjadi ikutan kepada generasi muda di negara ini. Selain itu, eksploitasi unsur-unsur sensasi boleh membawa kesan-kesan sosial yang kurang baik.

Penyebaran budaya popular sangat dinamiks, sentiasa berubah menyesuaikan dengan permintaan orang ramai. Penyebaran bahan-bahan budaya itu memberi peluang kepada orang ramai mempelajari dan memahami masyarakat dan budaya lain di dunia ini, yang boleh mempengaruhi pemikiran mereka. Pendedahan yang meluas dapat mempercepatkan proses modenisasi dan globalisasi, tetapi perlu juga diawasi, di samping mendorongkan perubahan selaras dengan kesan yang dibawa oleh proses globalisasi itu. Mereka perlu mempelajari dari masyarakat dan budaya lain bagi membolehkan mereka mengalami perubahan nilai-nilai sosial. Pesatnya perkembangan dan penyebaran bahan-bahan budaya popular itu boleh mempengaruhi pembangunan ekonomi negara. Di samping itu anggota-anggota masyarakat juga boleh melibatkan diri dalam pembangunan industri itu mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing.

Impak Fenomena Budaya Popular

Perkembangan industri budaya popular memberikan sumbangan ekonomi yang tidak kurang pentingnya kepada negara. Sebahagian besar sumbangan itu datangnya daripada kemasukan bahan-bahan budaya dari negara-negara maju. Industri budaya popular tempatan menghadapi persaingan dengan penawaran bahan-bahan budaya yang datangnya dari negara-negara maju itu. Kerajaan berusaha membantu bagi menggalakkan perkembangan industri budaya Melayu. Misalnya, keutamaan diberikan kepada pengusaha-pengusaha tempatan dalam penyebaran bahan-bahan budaya popular.

Penawaran bahan-bahan budaya popular itu bukan sahaja sebagai bahan yang memberikan hiburan, melayan emosi atau perasaan orang ramai sebagai pengguna. Malahan, bahan-bahan budaya itu dapat memainkan berbagai peranan dalam membawa keharmonian dan kesejahteraan sosial. Penyaluran nilai-nilai sosial melalui bahan-bahan budaya popular adalah sangat berkesan, terutama di kalangan orang-orang muda. Misalnya, filem, nyanyian, dan buku-buku cerita popular adalah saluran pemupukan nilai-nilai sosial yang amat baik.

Bahan-bahan budaya popular itu juga turut memainkan peranan dalam memperkukuhkan hubungan sosial, terutama melalui nilai-nilai sosial yang disalurkan itu yang seragam. Malahan budaya popular itu boleh memainkan peranan dalam pembinaan perpaduan antara kaum di negara ini. Di peringkat nasional, budaya popular dapat mengurangkan ikatan individu kepada kelompok yang berasaskan kedaerahan. Bahan-bahan budaya popular dikongsi dan dihayati bersama, maka nilai-nilai sosial dan unsur pendidikan yang disalurkan melalui bahan-bahan itu dapat memberikan rasa kekitaan yang kukuh.

Budaya popular sebagai ‘urban product’ sentiasa menghasilkan sesuatu yang baru. Nilai-nilai sosial yang didedahkan kepada orang ramai melalui bahan-bahan budaya popular itu merupakan suatu pembaharuan dan kemodenan. Orang ramai, terutama golongan muda sentiasa mencari sesuatu yang baru. Oleh itu, bahan-bahan budaya popular itu turut memberikan sumbangan dalam membawa para pengguna itu mengalami proses modenisasi dan urbanisasi. Anggota-anggota masyarakat tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti perkembangan budaya semasa.

Penyaluran bahan-bahan budaya popular melalui media elektronik, media cetak dan seumpamanya mendedahkan orang ramai kepada bahan-bahan budaya popular di peringkat global. Ini memberikan peluang para pengguna berfikiran lebih terbuka dan turut mengalami proses globalisasi. Perkembangan pesat budaya popular dapat memberikan peluang orang ramai membuat pilihan pengisian keperluan lebih tinggi, seperti bahan-bahan budaya, mengikut citarasa masing-masing. Malahan sebagai bahan pengguna, penawaran bahan-bahan budaya itu mampu didapati oleh orang ramai, terutama di pasaran di seluruh negara.

Perkembangan bahan-bahan budaya popular itu adakala dikaitkan dengan kesan buruknya kepada golongan muda. Bahan-bahan budaya yang dibawa dari barat selalu dianggap bercanggah dengan nilai-nilai sosial tempatan dan nilai-nilai Islam. Perlakuan kelainan budaya yang tersebar di kalangan orang-orang muda juga dikaitkan dengan budaya popular dari barat. Oleh itu, orang dewasa beranggapan bahan-bahan budaya itu amat perlu dikawal dan diawasi. Tetapi dengan teknologi penyebaran maklumat yang semakin canggih kini, pengawalan bahan-bahan budaya yang disalurkan melalui teknologi itu didapati semakin sukar dilakukan. Oleh itu, usaha yang perlu dilakukan ialah memperkuatkan ketahanan diri golongan muda itu, misalnya dengan memberikan pendidikan agama dan moral yang sebaiknya. Sejauhmana kesan buruk yang dibawa oleh bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju terhadap golongan muda di negara ini setakat ini belum lagi dilakukan penyelidikan secara mendalam.

Perkembangan pesat penawaran bahan-bahan budaya popular secara global, terutamanya yang datang dari barat mempengaruhi nilai-nilai sosial orang Melayu. Misalnya, nilai-nilai material semakin meningkat. Gaya hidup yang berasaskan ‘impian Amerika’ semakin meluas. Fenomena budaya popular mempengaruhi dan membawa kesan kepada kelemahan kedudukan budaya Melayu tradisional. Minat ramai, terutama golongan muda terhadap warisan tradisi itu semakin berkurang. Kepinggiran warisan tradisi adalah kesan daripada nilai-nilai kemodenan dan kemajuan yang diberikan kepada bahan-bahan budaya popular.

Budaya Melayu itu dinamis. Perkembangan pesat budaya popular Melayu dengan jelas menyatakan dinamiknya budaya Melayu. Perkembangannya itu selaras dengan pembangunan yang dilalui orang Melayu. Kini orang Melayu mengalami proses modenisasi dan urbanisasi yang pesat dan perubahan yang dilalui itu dapat difahami daripada perkembangan bahan-bahan budaya popular yang tersebar luas. Di samping itu masyarakat Melayu terdedah kepada perubahan dan kemajuan yang berlaku di peringkat global apabila bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju itu berkembang secara global. Bahan-bahan budaya popular Melayu itu dengan jelas menyatakan secara ekspresif dan simbolik perubahan yang dilalui orang Melayu. Melaluinya mereka menyatakan pencapaian orang Melayu dalam mengalami perubahan seperti pembangunan dan kemodenan.

Pesatnya perkembangan dan penyebaran bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju di negara ini dalam proses globalisasi boleh membawa kesan-kesan kurang baik dari segi nilai-nilai kebangsaan. Tetapi kesan itu boleh pula memberikan kesedaran kepada masyarakat Melayu, untuk meningkatkan dan memperkukuhkan semangat kebangsaan. Dalam konteks ini usaha mengembalikan masyarakat kepada nilai-nilai sosial tradisi yang berteraskan kepada Islam digalakkan oleh berbagai-bagai pihak di negara ini.

Rumusan

Fenomena budaya popular kini menjadi sebahagian daripada keperluan hidup moden. Perkembangannya tersebar luas merintasi kelas sosial. Penawarannya yang merupakan kegiatan komersial memberikan pulangan ekonomi yang baik kepada negara, dan memberikan peluang pekerjaan kepada ramai orang yang terlibat dalam industri itu.

Budaya Melayu tradisional pernah berkembang secara popular masa lalu dalam konteks budaya rakyat. Budaya popular tradisional itu berbeza daripada budaya popular moden yang telah mengalami proses modenisasi dan urbanisasi. Perkembangan ekonomi, teknologi dan pendidikan moden memainkan peranan penting dalam melahirkan fenomena budaya popular moden Melayu. Ini boleh dikesan sejak perkembangan bandar-bandar moden semasa pemerintahan kolonial. Budaya popular Melayu merupakan ‘urban product’ yang membawa ciri-ciri kemodenan dan pembandaran.

Perkembangan budaya popular moden membawa kesan-kesan perubahan sosial dan budaya yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu. Budaya popular yang tersebar luas itu membawa kemerosotan kepada budaya tradisi, sedangkan dalam konsep pembinaan budaya kebangsaan, unsur-unsur budaya tradisional itu sangat penting sebagai lambang jatidiri negara. Kesannya itu meletakkan budaya rakyat itu menghadapi masalah untuk dapat diterima ramai. Walau bagaimanapun, Kementerian yang terlibat berusaha di samping memulihara ialah menghidupkan berbagai jenis seni tradisional dengan cara melibatkan industri budaya dalam kegiatan pelancongan.

Budaya Melayu tradisional menyatakan aspek ekspresif dan simbolik kehidupan orang Melayu. Berbagai usaha dilakukan dalam menentukan tradisi itu tidak lenyap begitu sahaja. Walau bagaimanapun dalam proses globalisasi yang pesat kini, orang Melayu menyedari kesan-kesan yang kurang baik dibawa oleh bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju itu. Ini memberi kesedaran masyarakat Melayu untuk mengembali dan mempertahankan identiti Melayu itu. Antaranya, ialah dengan berusaha meletakkan warisan tradisi budaya Melayu di tempat sewajarnya. Namun, unsur-unsur budaya tradisi itu boleh dipopularkan apabila unsur-unsur budaya itu dapat disesuaikan dengan keperluan semasa.

Perkembangan budaya popular Melayu itu juga menyatakan dengan jelas dinamiks budaya Melayu itu. Dan dalam pembinaan budaya kebangsaan, peranan budaya moden dalam konteks budaya popular itu perlu juga diberikan tumpuan. Tetapi tidak semua bahan budaya popular itu dapat dianggap penting dalam pembinaan budaya kebangsaan. Pertimbangan mutu sangat penting dalam meletakkannya sebagai budaya kebangsaan. Adakala orang berpendapat bahan-bahan budaya popular bermutu rendah, hanya mementingkan pulangan ekonomi semata-mata. Walau bagaimanapun kita tidak boleh ketepikan nilai mutu itu, memandangkan penawaran bahan-bahan budaya itu ialah untuk kepuasan orang ramai. Oleh itu perkara mutu itu juga sentiasa diberikan perhatian agar penawarannya itu mendapat perhatian orang ramai.

Perkembangan budaya popular itu, terutama bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju dalam konteks global memberikan persaingan kepada perkembangan budaya popular Melayu. Pengusaha dan mereka yang terlibat dalam industri budaya berusaha meningkatkan mutu pengeluaran dan ini merupakan cabaran bagi perkembangan budaya popular Melayu agar dapat bersaing di pasaran.

Pembangunan dalam penawaran bahan-bahan budaya popular Melayu boleh dianggap sangat penting untuk mengimbangi pesatnya kemasukan bahan-bahan budaya dari negara-negara maju. Bahan-bahan budaya popular Melayu masih berteraskan kepada nilai-nilai sosial yang diberikan oleh ajaran Islam. Dengan ini dapat memberikan pilihan kepada orang Melayu yang kian terdedah dengan bahan-bahan budaya dari luar. Bahan-bahan budaya dari barat, di samping terdapat nilai-nilai yang patut dicontohi, terdapat pula nilai-nilai yang dinyatakan dalam perlakuan yang bercanggahdengan nilai-nilai sosial Melayu dan Islam. Perlakuan itu boleh menimbulkan konflik nilai dan mempengaruhi golongan muda yang seterusnya boleh membawa berbagai-bagai masalah sosial atau kelainan budaya.

Kini penyebaran bahan-bahan budaya dari negara-negara maju semakin meluas dalam berbagai saluran yang tidak mungkin boleh diawasi lagi. Oleh itu, ketahanan diri individu perlu diperkukuhkan. Generasi muda perlu dipupuk dengan nilai-nilai moral dan akhlak yang tinggi berasaskan Islam bagi membolehkan mereka berhadapan dengan penyebaran bahan-bahan budaya yang tidak sesuai dengan budaya Melayu dan Islam.

Bahan-bahan budaya popular itu juga memainkan peranan penting dalam membawa orang Melayu mengalami proses modenisasi dan urbanisasi. Selain itu, melaluinya dapat dipupuk nilai-nilai sosial secara berkesan kepada orang ramai. Budaya popular itu yang sentiasa berubah menyesuaikan dengan perubahan cita rasa budaya ramai menyalurkan berbagai-bagai nilai sosial, adakala nilai-nilai sosial itu bercanggah dengan tradisi budaya Melayu dan Islam. Perkembangan budaya popular itu yang merupakan sebahagian kehidupan moden terdapat kesan-kesan baik dan buruknya. Impaknya yang begitu meluas sentiasa disedari anggota-anggota masyarakat.

Anggota-anggota masyarakat Melayu perlu dilengkapkan dengan ketahanan diri yang kuat, terutama asas Islam dan pendidikan, agar orang Melayu mampu menerima cabaran dan dapat bersaing dalam berbagai bidang dan lapangan berikutan pesatnya proses kemodenan, urbanisasi dan globalisasi. Bahan-bahan budaya popular itu mendapat populariti berasaskan peranannya membawa perubahan, pembaharuan dan menyatakan gaya hidup moden dan bandaran.

Tidak dapat dinafikan lagi peranan fenomena budaya popular itu dalam kehidupan masyarakat Melayu moden kini yang perkembangannya semakin meluas dan merupakan sebahagian daripada fenomena budaya moden. Kita tidak boleh lagi menganggap bahan-bahan budaya popular itu tidak penting atau boleh membawa kesan-kesan yang kurang baik kepada masyarakat, terutama golongan muda. Semua pihak perlu memahami kepentingan dan peranan budaya popular dari aspek positifnya, iaitu budaya popular itu boleh memberikan sumbangan penting dalam pembangunan masyarakat dan budaya.

Untuk meletakkan budaya Melayu sebagai budaya kebangsaan yang berteraskan Islam, maka budaya popular itu perlu digunakan seluasnya agar dapat memberikan kesan yang baik, terutama kepada generasi muda. Bahan-bahan budaya popular itu juga boleh digunakan dengan berkesan sebagai saluran pemupukan nilai-nilai sosial yang berteraskan Islam, khususnya ke arah pembangunan orang Melayu. Dalam perancangan pembangunan sosial dan kebudayaan, peranan dan kepentingan fenomena budaya popular perlu diberikan pertimbangan serius sebagai fenomena yang dapat membawa perubahan masyarakat dan budaya, seterusnya meningkatkan peradaban Melayu.