PETUNJUK Prestasi Utama (KPI) dalam pentadbiran kerajaan adalah amalan
penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang
ditetapkan sesuatu organisasi secara objektif, sekali gus membolehkan rakyat
menilai perkhidmatan secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan
kualitatif. Di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak, diperkenalkan
pula Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang memberi tumpuan kepada enam
bidang dengan satu daripadanya ialah meluaskan akses kepada pendidikan
berkualiti dan berkemampuan.
NKRA dijadikan antara teras dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP)
yang dilancarkan Perdana Menteri pada 28 Januari lalu dengan tujuan untuk
memperkasakan sistem pencapaian kepada rakyat dan melaksanakan keputusan pantas
dan berimpak bagi mencapai Wawasan 2020.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, berkata di bawah NKRA Pendidikan, empat sub NKRA diberi tumpuan
Kementerian Pelajaran iaitu Prasekolah, Literasi dan Numerasi (LINUS), Sekolah
Berprestasi Tinggi (SBT) dan Tawaran Baru Kepada Pengetua/Guru Besar.
Bagi Prasekolah, sasaran ialah untuk meningkatkan penyertaan
kanak-kanak lima dan enam tahun kepada 72 peratus menjelang 2010 dan 87 peratus
menjelang 2012 serta meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah dengan menjadikan
prasekolah swasta dan agensi lain sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan
kebangsaan. Bagi memastikan sasaran berkenaan dicapai, katanya, kerajaan
menetapkan tujuh strategi utama, iaitu;
- Penubuhan
Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan;
- Melaksanakan
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan;
- Menyeragamkan
bantuan kepada murid prasekolah Kementerian Pelajaran, Kemas serta Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN);
- Meningkatkan
kualiti guru dan pembantu guru;
- Menambah
prasekolah di kawasan miskin bandar, luar bandar dan pedalaman;
- Meningkatkan
perkongsian pintar kerajaan-swasta; dan
- Mewujudkan
Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan.
Muhyiddin berkata, sejak NKRA Pendidikan dilancarkan pada Januari 2010,
sebanyak 987 prasekolah beroperasi daripada 1,353 prasekolah yang dirancang
untuk dibuka. Beliau berkata, Kementerian Pelajaran dan JPNIN
masing-masing berjaya membuka 315 dan 50 kelas prasekolah seperti dirancang,
manakala Kemas setakat ini memulakan 209 kelas daripada 500 yang disasarkan
serta swasta sudah membuka 426 kelas daripada 488 yang dirancang.
Bagi KEMAS, katanya, masalah utama bagi mencapai sasaran ialah kumpulan
guru prasekolah agensi itu sedang mengikuti latihan, tetapi memberi jaminan ia
akan diatasi Jun depan. Selain itu, sebanyak empat prasekolah (tambahan) akan
dibina di rumah panjang di Sarawak dan empat lagi di Sabah. Muhyiddin
berkata, sub NKRA ini memberi tumpuan kepada peluasan sasaran penyertaan
prasekolah kepada kanak-kanak lima dan enam tahun serta meningkatkan kualiti
pendidikan sedia ada dan penekanan kepada peningkatan penyertaan di kawasan
luar bandar serta pedalaman.
Dalam LINUS pula, katanya, sasaran ialah memastikan setiap kanak-kanak
menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas mengikuti tiga tahun
pendidikan rendah menjelang 2012. “Kementerian Pelajaran akan mewujudkan
jawatan fasilitator LINUS (Fasilinus) pada semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)
bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan LINUS serta membantu guru LINUS dalam
pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
LINUS ialah program pemulihan direka bentuk untuk memastikan murid
menguasai kemahiran asas literasi (Bahasa Malaysia) dan numerasi dan disasar
kepada murid bermasalah 3M, iaitu Membaca, Menulis dan Mengira. Sasarannya
untuk melihat 90 peratus kanak-kanak menguasai aspek ini pada 2010.
Bagi SBT, kerajaan akan mewujudkan SBT yang mempunyai etos, karakter
dan identiti tersendiri yang kemudian akan melonjakkan kecemerlangan pelajar ke
peringkat paling tinggi dengan sasaran 20 SBT menjelang 2010 sebelum meningkat
sebanyak 100 SBT pada 2012.
Muhyiddin berkata, sebanyak 20 SBT diumumkan pada 29 Januari lalu dan
daripada jumlah itu, 14 buah adalah sekolah menengah, manakala enam lagi adalah
sekolah rendah.
Mengenai Tawaran Baru kepada Pengetua/Guru Besar (PGB), katanya, ia
memperkenalkan penilaian berasaskan pencapaian untuk menilai PGB dengan
menawarkan ganjaran menarik kepada mereka yang melepasi sasaran serta membantu
PGB yang lemah.
“Sasaran kerajaan ialah memastikan dua peratus guru mendapat ganjaran
pada 2010, seterusnya meningkat kepada empat peratus pada 2012,” katanya. Hasil
sub NKRA ini, beliau berkata, semua sekolah rendah disusun (ranking) kepada
tujuh kumpulan (band) dengan Band 1 terdiri daripada sekolah cemerlang dan
mencapai sasaran, manakala Band 5 hingga Band 7 membabitkan sekolah lemah atau
berprestasi rendah.
Daripada 7,616 sekolah rendah dalam ranking, hanya 718 buah didapati
berada dalam Band 5 hingga Band 7, sekali gus mendorong Kementerian Pelajaran
membangunkan Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) bagi membantu sekolah
terbabit meningkatkan prestasi, manakala ranking sekolah menengah akan
diumumkan pada Jun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan