Sejak dekad 80-an Malaysia sentiasa disebut sebagai negara Islam contoh
yang bukan sekadar pesat membangun, bahkan memperjuangkan keamanan, keadilan
dan kemanusiaan sejagat. Kenyataan Pengerusi Al-Quds International Institution
(QII), Sheikh Yusuf al-Qaradawi terhadap Malaysia bukti pandangan jujur ulama
tersohor itu terhadap sumbangan negara ini yang sentiasa komited memperjuangkan
nasib umat Islam di Palestin, Bosnia-Herzegovina dan terbaru menjadi watak
utama menyelesaikan krisis 40 tahun di selatan Filipina.
Sebagai ulama terbilang yang pandangannya sentiasa dihargai kalangan
intelektual dan cendekiawan Islam, al-Qaradawi sentiasa konsisten ketika
menyampaikan sesuatu pandangan. Kita akui suratnya kepada Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,
adalah suara ikhlas terhadap dedikasi dan komitmen Malaysia yang menyokong
perjuangan di Baitulmaqdis.
Ketika banyak negara Islam mengabaikan peranan
membantu rakan mereka diancam peperangan dan kebuluran, Malaysia tampil dengan
misi keamanan dan bantuan di Somalia dan Asia Barat. Sumbangan ini memberi
makna betapa Malaysia antara segelintir negara yang sentiasa mengutamakan
silaturahim ummah bagi memastikan keamanan sejagat.
Kita harus akui Malaysia negara Islam contoh yang menjadi tumpuan dunia
sejak tiga dekad lalu. Pencapaian ekonomi, kestabilan politik, kebijaksanaan
pimpinan negara dan peluang pelaburan menjadikan Malaysia model negara Islam
pragmatis yang berjaya mengimbangi kejayaan dunia dan kekuatan kerohanian. Nama
baik Malaysia sentiasa disebut kerana komited memperjuangkan isu keamanan di
Palestin dan Baitulmaqdis serta peranan aktif menyelesaikan krisis Balkan
sehingga mendapat perhatian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB). Terbaru, hasil usaha tanpa mengenal jemu Malaysia ialah perjanjian damai
dimeterai Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi
pewujudan wilayah autonomi Bangsamoro di selatan Filipina.
Kita yakin al-Qaradawi ada alasan kukuh memuji pencapaian Malaysia yang
sepatutnya mendapat reaksi baik rakyat dan ulama tempatan. Kejayaan dan nama
baik negara adalah gabungan tenaga pemimpin dan rakyat yang sentiasa menghargai
keamanan dan kejayaan pelbagai bidang. Sebagai model negara Islam contoh, kita
wajar bersatu agar Malaysia terus mempertahankan nilai keamanan sejagat yang
menjadi idaman semua pihak. Kejayaan tidak mudah dicapai jika kita sendiri
tidak bersatu hati dan mengetepikan perbezaan pendapat bagi masa depan
Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan