Kita harus faham tentang konsep kesamarataan seperti dimaktubkan dalam
Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Secara jelas, terdapat pengecualian kepada
prinsip kesamarataan itu. Pengecualian kepada prinsip kesamarataan yang secara
lahiriah disebut dalam Perkara 8 itu sebenarnya mempunyai semangat dan
prinsipnya yang tersendiri secara tersirat. Prinsip yang tersirat dalam
peruntukan ini ialah ‘prinsip kesaksamaan’.
Prinsip kesaksamaan ini patut diutamakan daripada prinsip kesamarataan
kerana kesaksamaan akan menyelamatkan manusia daripada ditindas. Sebagaimana
tujuannya, amat jelas dalam konsep demokrasi bahawa tiada penganiayaan harus
berlaku dan dilakukan oleh mana-mana pihak, sama ada yang dilakukan oleh pihak
majoriti ke atas pihak minoriti atau sebaliknya.
Perlu juga disebut bahawa, secara tersiratnya, Perkara 8 Perlembagaan
berupaya mengawal dan mengimbangi keadaan sosial, mengelak ketegangan agama dan
menjaga kemaslahatan rakyat.
Keseimbangan kedudukan sosial dan ekonomi antara puak atau kaum akan
menyumbang kepada kesejahteraan negara. Oleh itu, Perlembagaan, walaupun
menjamin kesamarataan, memberi ruang pengecualian kepada kedudukan orang asli
contohnya.
Begitu juga keadaannya apabila Perlembagaan membenarkan kedudukan
istimewa kepada kaum Melayu yang saya anggap sebagai tindakan persetujuan (affirmative action). Langkah ini memberi
ruang kepada keadilan sosial yang juga tujuan atau objektif demokrasi itu
sendiri.
Dalam faham konsep fakta kesamarataan, tindakan persetujuan adalah
sebahagian daripada kesamarataan, bahkan konsep dasar yang perlu dalam fakta
kesamarataan. Ia bukan satu pengecualian kepada kesamarataan. Oleh itu,
keistimewaan Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan itu bukan suatu prinsip
yang bercanggah dengan konsep kesamarataan, tetapi ia adalah prinsip yang
selaras dan mendasar dalam prinsip demokrasi dan kesamarataan.
Tersurat juga dalam jaminan kesamarataan yang ada dalam Perlembagaan
ialah kebebasan diri mengenai undang-undang peribadi. Ruang undang-undang
terbuka kepada rakyat untuk mengamalkan undang-undang peribadi serta agama.
Perlembagaan memberi ruang kepada rakyat untuk mengamalkan undang-undang
peribadinya.
Secara tersirat, Perlembagaan tidak membenarkan rakyat untuk lari
daripada undang-undang peribadinya. Sebagai contoh, seorang yang beragama Islam
yang tertakluk kepada undang-undang jenayah Islam atau undang-undang keluarga
Islam tidak boleh lari daripada kewajipan mentaati undang-undang diri itu.
Secara perundangan adalah menjadi tanggungjawab undang-undang ke atas setiap
rakyat untuk mentaati undang-undang diri yang tertakluk ke atasnya.
Apabila Perkara 8 memberi ruang untuk mengehadkan sesuatu jawatan
keagamaan kepada penganut agama terbabit, pasti di situ wujud kepentingannya.
Secara umum, agama terbentuk atas dua dasar, iaitu, perkara zahir dan juga
batin. Sifat kesaksamaan yang mengehadkan jawatan keagamaan kepada penganut
agama terbabit sangat besar manfaat kepada agama itu. Hanya penganut agama itu
saja yang mempunyai ‘rohani’ kepada agamanya. Walaupun ada yang mencabar,
contohnya jawatan peguam syarie di Mahkamah Syariah, adalah jelas bahawa
Perlembagaan membenarkan pengecualiannya.
Polemik sebegini menjadikan kita berbelah-bahagi dalam menghormati
kehendak rakyat. Tetapi pengisian dalam Perlembagaan Persekutuan sudah tentu
mempunyai semangatnya yang tersirat. Dalam konteks ini, peruntukan Perlembagaan
meletakkan agama secara eksklusif kepada penganut agama terbabit. Keadaan ini
dianggap dapat menutup ruang polemik lebih besar yang boleh mendatangkan petaka
kepada negara.
Oleh itu, seperti juga affirmative action yang saya sebut di atas,
ketaatan kepada undang-undang diri adalah sebahagian daripada konsep
kesamarataan yang dimaksudkan oleh Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan itu.
Begitu juga dengan kepentingan meletakkan agama kepada penganutnya secara
eksklusif.
Jika diperhati secara mendalam, tujuan konsep kesamarataan yang disebut
dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan ini bukanlah semata-mata konsep
kesamarataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan